Tuesday 30 July 2013

Di mana bayar zakat fitrah : 'Pembetulan' fatwa Ustaz Azhar



Antara ulama Mazhab Syafie yang menyentuh tentang 'di mana zakat fitrah perlu dibayar', ialah Imam Asy-Syirazi dan Imam Nawawi r.a. Masing-masing dalam kitab al-Muhazzab dan kitab al-Majmuk.

Dalam al-Majmuk, Imam Nawawi r.a menyatakan :

إذا كان في وقت وجوب زكاة الفطر...في بلد ومالُه في آخر فأيّهما يُعتبر؟ فيه وجهان : (أحدهما) بلد المال كزكاة المال (وأصحهما) بلد ربِّ المال. ممّنْ صحّحه المصنّف في التنبيه والجرجاني في التحرير والغزالي والبغوى والرافعي وآخرون. 

Terjemahan : Jika seseorang itu-sewaktu zakat fitrah wajib [ke atasnya]-[berada] di [sebuah] negeri, manakala hartanya [berada] di [negeri] lain, maka [negeri] mana satukah yang diambil kira [ketika membayar zakat fitrah]? 

Terdapat dua pandangan; salah satunya : [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] harta [itu berada] sama seperti zakat harta [yang perlu dikeluarkan di tempat di mana harta itu berada]. 


[Pendapat] yang paling sahih [daripada kedua-dua pandangan ini] ialah [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] empunya harta [berada]. 


Antara mereka yang mentashihkannya (pendapat yang paling sahih), ialah pengarang (Imam Asy-Syirazi) dalam [kitabnya] at-Tanbih, al-Jurjani dalam [kitabnya] at-Tahrir, al-Ghazali, al-Baghawi, al-Rafi'e dan lain-lain.


Huraian
Kenyataan Imam Nawawi di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (بلد المال), berbeza dengan tempat zakat fitrah wajib ke atasnya.

Dalam Mazhab Syafie, zakat fitrah wajib ke atas seseorang bila bermulanya malam raya. Waktu 'wajib zakat fitrah' ini berakhir sebelum Maghrib hari raya pertama.

Justeru-dalam erti kata lain-kenyataan Imam Nawawi r.a di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (tempat di mana hartanya berada), berbeza dengan tempatnya menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Dalam keadaan ini, yang diambil kira ketika mengeluarkan zakat fitrah-menurut pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie-ialah tempat di mana seseorang itu berada pada waktu zakat fitrah wajib ke atasnya (iaitu malam raya sehingga sebelum Maghrib Hari Raya pertama).

Justeru, seseorang yang bekerja di Kuala Lumpur, tetapi menyambut Hari Raya di Terengganu sebagai contoh, zakat fitrah hendaklah dibayar di Terengganu. 

Inilah pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie, dan ditashihkan ramai ulama besar Mazhab Syafie seperti yang dinyatakan Imam Nawawi di atas.

Ittifaq ulama

Senada dengan pendapat yang paling sahih ini, ialah pendapat ulama besar Mazhab Hambali, Ibn Qudamah dalam kitabnya, al-MughniBeliau mencatatkan :

فأما زكاة الفطر فإنه يفرّقها في البلد الذي وجبتْ عليه فيه سواء كان ماله فيه أو لم يكن؛ لأنه سبب وجوب الزكاة ففرّقتْ في البلد 
الذي سببها فيه

Terjemahan : Adapun zakat fitrah, ia diagihkan (dibayar) di negeri yang wajib ke atasnya [zakat fitrah], samada hartanya (sumber pendapatannya) [berada] di situ (di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) atau tidak. Ini kerana ia (keberadaannya di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) adalah sebab zakat fitrah wajib [ke atasnya], maka dibayar [zakat fitrah] di negeri yang [terdapat] sebab [wajibnya zakat fitrah ke atas] nya.

Sebenarnya, ulama-ulama empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali) bersepakat dalam soal ini. Iaitu, zakat fitrah dikeluarkan di tempat di mana seseorang mukallaf itu berada pada malam atau Hari Raya pertama. Bukannya ditempat di mana seseorang itu bekerja, atau mencari rezeki.

Majlis Fatwa Palestin menukilkan :

أما زكاة الفطرة فلقد اتفق العلماء على أنها تخرج في مكان تواجد الشخص لا مكان تواجد ماله لأنها تتعلق بالبدن فكان أداؤها مكان تواجد البدن

Terjemahan : Adapun zakat fitrah, para ulama telah bersepakat bahawa ia dikeluarkan (dibayar) di tempat seseorang itu berada, bukannya di tempat hartanya (sumber pendapatannya) berada. Ini kerana, ia (zakat fitrah) berkait dengan 'badan' (diri seseorang mukallaf-zakat badan) maka pembayarannya [dibuat] di tempat [di mana] 'badan' itu berada.

Sebab mengapa zakat fitrah dibayar di tempat di mana seseorang itu berhari raya, turut dinyatakan oleh Syaikh al-Qaradhawi. Beliau menyatakan :

فيخرج المسلم زكاة فطره في البلد الذي يدركه فيه أول ليلة من شوال (ليلة العيد) ؛ لأن هذه الزكاة ليس سببها الصيام وإنما سببها الفطر ولهذا أضيفت إليه وسميت زكاة الفطر

Terjemahan : Maka [setiap] muslim [perlu] membayar zakat fitrah di negeri yang dia menemui malam pertama [bulan] Syawal (malam raya). Ini kerana, sebab zakat [fitrah] ini [menjadi wajib], bukannya puasa. Sebab [ia menjadi wajib] ialah [munculnya Hari Raya] Aidil Fitri. Dengan sebab itu, disandarkan [zakat ini] kepadanya (Hari Raya Aidil Fitri) dan dinamakan 'zakat al-fitr' (zakat Hari Raya Aidil Fitri).

Keliru 2 zakat

Adapun 'fatwa' yang mengatakan zakat fitrah perlu dibayar di tempat seseorang mencari rezeki (jika bekerja di Kuala Lumpur, zakat fitrah hendaklah dibayar di Kuala Lumpur walaupun Hari Raya disambut di Terengganu, sebagai contoh), ia adalah fatwa yang bercanggah dengan pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie. Juga bertentangan dengan kesepakatan (ittifaq) para ulama mazhab empat.

Percanggahan dan pertentangan ini berlaku disebabkan kekeliruan antara zakat harta dan zakat fitrah.

Dalam zakat harta, memang zakat perlu dibayar atau dikeluarkan ditempat harta itu dijana dan diusahakan (perniagaan, penternakan atau pertanian yang dilakukan di Terengganu sebagai contoh, mesti dikeluarkan di Terengganu). Ini adalah pendapat jumhur ulama, termasuk ulama Mazhab Syafie.

Adapun dalam bab zakat fitrah, ia dikeluarkan di tempat di mana seseorang itu menyambut Hari Raya Aidilfitri, tanpa mengira lokasi sambutan Hari Raya Aidilfitri itu adalah tempatnya bekerja (seperti di bandar), atau tidak (seperti kampung kelahiran).

Wallahu a'lam.

14 comments:

  1. salam. mohon penjelasan. dikatakan seseorg itu dalam perjalanan pulang ke kampung dan menunaikan solat raya dalam perjalanan. jadi dia perlu membayar zakat di tempat dia solat tersebut? tetapi seperti hilangnya hikmah zakat untuk saling tolong menolong sebab kita tidak dapat kenal masyarakat di tempat tersebut yang membolehkan dia menolong kita semula. trima ksih

    ReplyDelete
  2. Wsalam...
    Tak ada masalah walau tak kenal penerima zakat. Bahkan kalau dibayar zakat di kampung sendiri, kita juga tak kenal penerima zakat, krn yg agihkan zakat itu ialah pihak berkuasa...
    Dgn berzakat, harta jd berkat dan akan dibantu oleh Allah, samada melalui org yg terima zakat kita, atau melalui cara lain yg dikehendaki Allah. Wallahu a'lam

    ReplyDelete
  3. Assalamulaikum saudara,
    Boleh berikan kepada saya rujukan dari kitab mana pendapat mengatakan 4 mazhab sepakat mengatakan membayar zakat fitrah afdal di bayar di tempat waktu wajib membayarnya dan dari mana petikan pendapat Syeikh Yusuf Qardawi tersebut.
    Terima kasih.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam...
    Saya hanya merujuk kepada Majlis Fatwa Palestin...link ada disediakan di atas...cuba cari di situ...
    Link pendapat Qaradawi juga disertakan di atas...

    ReplyDelete
  5. Syukran...Terima kasih atas penerangan. Info yg "SANGAT BAGUS"!! Mohon Share.. :)

    ReplyDelete
  6. Jadi tak boleh bayar zakat awal lah kalau macam tu. Kena tunggu decide nak beraya di mana dulu kalau tak sure kat mana nak beraya.

    ReplyDelete
  7. Kemah molek ust sol kite..

    ReplyDelete
  8. Lau seorg 2 bekerja di singapore jadi blhkh die bayar zakat di johor dimn tmpt die tinggl??

    ReplyDelete
  9. Bagaimana pula kalau kita telah membayar zakat fitrah di dalam bulan Ramadhan di tempat tinggal kita? Bukan di kampung halaman tempat kita beraya.

    ReplyDelete
  10. Kenyataan dari imam nawawi itu seperti bercanggah dgn huraian dlm tulisan ini. Maaf klu saya keliru.

    ReplyDelete
  11. Shamsul Muda12 July 2015 at 19:08
    Waalaikumussalam...
    Saya hanya merujuk kepada Majlis Fatwa Palestin...link ada disediakan di atas...cuba cari di situ...
    Link pendapat Qaradawi juga disertakan di atas...

    salam , kita dok kat maalaysia pakai majlis fatwa Malaysia la, pakai negera lain punya buat apa..

    ReplyDelete
  12. Bagi aku mudah je, yang penting kita bayar zakat berbanding orang yang tak bayar zakat. Itu je pendapat aku.

    ReplyDelete
  13. Memang la asal hukum bayar mlm raya,tp tu zaman nabi,zaman skrg ko byr mlm raya,raya haji baru abis

    ReplyDelete