Sunday, 21 July 2013

Mengorek hidung & telinga ketika berpuasa : Pandangan Mazhab Syafie

Persoalan samada perbuatan mengorek telinga atau hidung membatalkan puasa atau tidak-seperti biasa- akan ditinjau melalui jendela kitab-kitab muktabar Feqh Mazhab Syafie.

Pendapat mazhab-mazhab lain hanya akan disebut jika ada keperluan.

Jawapan kepada persoalan ini boleh ditemui melalui pendakian 'tangga-tangga' pemahaman seperti berikut :

Pertama : Puasa terbatal disebabkan kemasukan sesuatu objek ke dalam badan. 

Ketika menghuraikan syarat-syarat sah puasa, Imam Nawawi r.a menyatakan :
الإمساك...عن وصول العين إلى ما يسمى جَوْفا 
Terjemahan : [Syarat sah puasa antaranya] menahan...daripada sampai sesuatu objek kepada [anggota tubuh badan] yang dinamakan 'jauf'.

Mu'jam al-Waseet, mentakrifkan 'jauf' dengan  الجَوْفُ من كل شَيءٍ : باطنه الذي يقبل الشَّغْل والفراغ .

Maksudnya, " 'jauf' setiap sesuatu, ialah bahagian dalamnya (sesuatu) yang boleh diisi dan dikosongkan".

Dengan ini, 'jauf' bolehlah diterjemahkan sebagai 'bahagian dalam badan manusia'.

Ringkasnya, kemasukan sesuatu objek ke 'bahagian dalam badan manusia', membatalkan puasa.

Dalil kepada kenyataan Imam Nawawi di atas, ialah kata-kata Syaidina Ibnu Abbas radhiyALLAHu  'anhu. Beliau berkata :
إنّما الوضوءُ ممّا يخْرجُ وليس ممّا يدْخلُ وإنّما الفِطْر ممّا دخل وليس ممّا خرج
Terjemahan : Sesungguhnya wuduk [terbatal] disebabkan keluarnya [sesuatu dari badan], dan bukan [terbatal] disebabkan masuknya [sesuatu ke dalam badan], dan sesungguhnya berbuka (terbatal puasa) disebabkan sesuatu yang masuk [ke dalam badan], dan bukannya disebabkan keluarnya sesuatu [dari badan].

Menurut Imam Nawawi r.a dalam al-Majmuk, kata-kata Ibnu Abbas ini direkodkan oleh Imam al-Bayhaqi dengan sanad yang hasan atau sahih.

Had 'bahagian dalam'

Kedua : Penentuan had 'bahagian dalam badan manusia'

Ulama-ulama Mazhab Syafie memperincikan bahagian-bahagian hidung dan telinga yang dianggap sebagai 'bahagian dalam badan' seperti berikut :

a. Bahagian selepas pangkal hidung. 

Dalam Bahasa Arab, 'pangkal hidung' disebut 'khaisyum'. Khaisyum ialah tempat keluar (makhraj) suara dengung.

Adapun 'bahagian dalam lubang hidung sehingga ke pangkal hidung', ia tidak dianggap 'bahagian dalam badan manusia'. Ia dikira sebagai 'bahagian luar tubuh manusia'.

Oleh itu, dalam Mazhab Syafie, seseorang yang mengorek hidungnya tanpa melangkaui pangkal hidung, tidak dianggap telah memasukkan sesuatu objek ke 'dalam badan'. 

Ini kerana, bahagian dalam hidung sehingga ke pangkal hidung, termasuk dalam kategori 'bahagian luar tubuh manusia', bukannya bahagian dalam.

Oleh itu, mengorek hidung-selama mana tidak melangkaui pangkal hidung-tidak membatalkan puasa.

Perkara ini dinyatakan dengan jelas oleh para ulama Mazhab Syafie. Imam Nawawi menukilkan dalam al-Majmuk :
قال أصحابنا : وما جاوز الخيشومَ في الاستعاط فقد حصل في حد الباطن وحصل به الفطرُ

Terjemahan : Berkata rakan-rakan kami [ulama-ulama Mazhab Syafie] : Apa-apa yang melangkaui pangkal hidung (khaisyum) ketika memasukkan ubat ke dalam hidung, maka [bermakna] ia sampai ke had [bahagian] dalam [tubuh manusia], dan menyebabkan berbuka (terbatal puasa).      

b. Lubang telinga.

Lubang telinga dianggap 'bahagian dalam tubuh manusia'. Oleh itu, memasukkan sesuatu ke dalam lubang telinga, membatalkan puasa.

Dalam Feqh al-Ibadat berasaskan Mazhab Syafie dinyatakan :
ومثله حك الأذن من داخلها بشيء صلب أما بالإصبع فلا يفطر ما لم تصل إلى الصِّماخ

Terjemahan : Dan sama dengannya (apa yang disebut sebelumnya) [dari segi membatalkan puasa] ialah mengorek dalam telinga dengan benda keras. Adapun [mengorek telinga] dengan jari, ia tidak membatalkan [puasa] selama mana [jari] tidak sampai ke 'simagh'.

Kitab Hasyiah al-Bujayrimi 'Ala al-Khateeb mentakrifkan 'simagh' sebagai خرق الأذن iaitu 'lubang telinga'.

Kesimpulan

Nukilan daripada kitab-kitab muktabar Feqh Syafie ini merumuskan dua perkara penting.

Pertama : Kepercayaan bahawa mengorek hidung (iaitu tanpa melangkaui pangkal hidung) membatalkan puasa, adalah karut. Tiada ulama Mazhab Syafie yang menyatakan demikian.

Kedua : Tiada ulama Mazhab Syafie yang mengatakan 'bahagian dalam telinga' (yang membatalkan puasa jika dikorek) ialah 'bahagian selepas gegendang' seperti yang difahami daripada 'fatwa' sesetengah ustaz popular.

'Fatwa' ini bermakna, jika dikorek lubang telinga selama mana tidak sampai ke gegendang, tidak membatalkan puasa.

Pendapat sebenar Mazhab Syafie ialah seperti yang dinyatakan. Iaitu semata-mata mengorek atau memasukkan sesuatu dalam lubang telinga, membatalkan puasa.

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment