Mufti Wilayah Persekutuan |
Isunya bukanlah perihal seorang pemimpin bernama Datuk Seri
Abdul Hadi Awang mengkafirkan orang-orang UMNO, atau organisasi UMNO itu
sendiri.
Dakwaan beliau dalam amanatnya itu bahawa UMNO mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah, serta mati syahid sesiapa yang mati dalam perjuangan menentang UMNO, tidak boleh dijadikan dalil Presiden PAS itu telah mengkafirkan orang-orang UMNO.
Demikian juga fatwa beliau yang memutuskan menjadi kafir sesiapa yang mengamal, atau berkata 'politik suku, agama suku'. Ia juga tidak boleh mensabitkan beliau dengan tuduhan mengkafirkan UMNO atau orang-orang UMNO.
Presiden PAS itu hanya boleh didakwa sedemikian, jika beliau mengakui memang benar amanat itu, bermaksud mengkafirkan pengikut-pengikut parti Melayu terbesar itu.
Nafi takfir
Tambahan pula, kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini, jelas menafikan beliau-pada bila-bila masa-telah mengkafirkan UMNO atau pengikut-pengikutnya.
Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia tidak lama dulu, beliau menafikan telah mengkafirkan orang-orang UMNO, sambil mencabar agar dikemukakan senarai nama orang-orang yang telah beliau kafirkan.
Dalam satu kaset ceramah beliau-kalau tidak silap penulis sempena kempen Pilihan Raya Kecil Bukit Payong pada tahun 1990-an-beliau mengatakan tidak semua orang UMNO kafir. Sebaliknya, yang dihukumkan kafir hanyalah orang-orang yang menghina hukum Allah daripada kalangan mereka, atau sesiapa saja yang berbuat demikian.
Ringkasnya, tiada ruang untuk 'memuatkan' dakwaan bahawa Presiden PAS itu-melalui amanatnya itu-telah mengkafirkan orang-orang UMNO, atau organisasi UMNO.
Sejauh yang boleh didakwa
ialah Presiden PAS itu berdiam diri dan membiarkan pengikut-pengikut PAS mengkafirkan
orang-orang UMNO-jika ada-kerana didorong oleh kefahaman mereka tentang
amanatnya itu.
Atau beliau hanya berpeluk
tubuh melihat pengikut-pengikut PAS mengasaskan
bid’ah-bid’ah buruk seperti solat dua imam, memutuskan hubungan silaturrahim
dengan kaum keluarga berfahaman UMNO, memulaukan orang-orang UMNO, nikah dua
kali, tidak memakan daging sembelihan orang-orang UMNO dan bid’ah-bid’ah lain yang didakwa sebagai kesan daripada amanat tersebut.
Dalil amanat tidak kafirkan
UMNO
Pendirian ini adalah bersandarkan kepada kaedah yang diutarakan jumhur ulama, iaitu لازم المذهب ليس بمذهب (Lazimul Mazhab Laysa Bi Mazhab)
Kaedah ini bermaksud, ‘rentetan pengertian(dalam Bahasa Arab disebut ‘lazim’) daripada sesuatu pandangan (juga disebut sebagai mazhab), bukan merupakan mazhab’.
Sesuatu mazhab atau pandangan itu,
biasanya mencetuskan satu ‘rentetan pengertian’ lain secara automatik.
Sebagai
contoh, dakwaan bahawa ‘Syaidina Abu Bakar r.a tidak wujud’. Dakwaan ini
mencetuskan satu ‘rentetan pengertian’, iaitu beliau r.a bukan seorang sahabat
Nabi s.a.w.
Adalah
mustahil seorang yang tidak wujud, boleh menjadi sahabat kepada Junjungan Besar
Nabi Muhammad s.a.w.
Meskipun begitu, para ulama memfatwakan, orang yang mendakwa sedemikian, tidak menjadi kafir walau pun dakwaan ini secara automatik mencetuskan ‘rentetan pengertian’ yang dinyatakan, iaitu Syaidina Abu Bakar bukan seorang sahabat Nabi s.a.w.(Rujuk Hasyiata al-Qalyubi Wa 'Umairah di permulaan Kitab al-Riddah).
Kedudukan Syaidina Abu Bakar r.a sebagai seorang sahabat Nabi
s.a.w, adalah perkara qat'ie kerana Allah berfirman yang bermaksud,
"ketika dia berkata kepada sahabatnya, "janganlah engkau
berdukacita" (al-Taubah : 40)
Para sahabat berijmak, yang dimaksudkan dengan "sahabatnya" dalam ayat ini, ialah Syaidina Abu Bakar r.a (Rujuk Hasyiah al-Dasuqi 'Ala al-Syarh al-Kabir, jld.18, hlm.294).
Namun begitu, orang yang mendakwa 'Syaidina Abu Bakar tidak wujud', tidak dihukumkan kafir-meskipun dakwaan ini melahirkan satu 'rentetan pengertian' atau 'lazim',
iaitu 'Syaidina Abu Bakar r.a bukan seorang sahabat Nabi s.a.w'-kerana Lazimul Mazhab Laysa Bi Mazhab.
Atau ‘rentetan pengertian'
daripada sesuatu pendapat atau mazhab, tidak dikira sebagai pendapat atau
mazhab’.
Dalam erti kata lain, 'Syaidina Abu Bakar bukan seorang sahabat
Nabi s.a.w', tidak dianggap sebagai pandangan atau mazhab orang yang mendakwa
'Syaidina Abu Bakar r.a tidak wujud'.
Walau bagaimana pun, ‘rentetan pengertian’ daripada sesuatu pendapat atau mazhab, akan dikira sebagai pendapat atau mazhab, apabila seseorang itu mengucapkannya, atau menerima 'rentetan pengertian' itu. (Rujuk al-Qawa'id al-Muthla Fi Sifatillah Wa Asma'ih al-Husna, karangan Syaikh 'Uthaimin, hlm.16)
Oleh itu, hendaklah ditanya orang yang mendakwa 'Syaidina Abu Bakar tidak wujud', samada dia menerima ‘rentetan pengertian’ daripada dakwaannya ini, atau tidak. Iaitu Syaidina Abu Bakar r.a bukan seorang sahabat Nabi s.a.w.
Jika dia menerima, barulah boleh dikatakan bahawa dia telah mendakwa 'Syaidina Abu Bakar bukan sahabat Nabi s.aw'. Jika dia tidak menerimanya, maka tidak boleh dikatakan bahawa dia telah berkata 'Syaidina Abu Bakar bukan seorang sahabat Nabi s.a.w'.
Dalam
konteks isu ‘Amanat Haji Hadi’ ini-berdasarkan kaedah Lazimul Mazhab Laysa Bi
Mazhab ini-adalah satu tindakan yang salah, menuduh beliau telah mengkafirkan
orang-orang UMNO, semata-mata kerana beliau telah mengeluarkan satu amanat yang menggambarkan atau difahami demikian.
Mati
syahid
Berkenaan
mati syahid, hadis Nabi s.a.w jelas memperlihatkan bahawa seseorang itu boleh dianggap
mati syahid, meskipun dibunuh oleh pembunuh beragama Islam.
Nabi s.a.w bersabda :
من قُتل دون ماله فهو شهيد ومن قُتل دون دمه فهو شهيد ومن قُتل دون
دينه فهو شهيد ومن قُتل دون أهله فهو شهيد
Terjemahan : Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya,
maka dia [mati] syahid, sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya
(nyawanya), maka dia [mati] syahid. Sesiapa yang mati mempertahankan agamanya,
maka dia [mati] syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya,
maka dia [mati] syahid".
Hadis ini direkodkan oleh Abu Daud, Nasa'ie, Ibnu Majah dan
Tirmizi. Imam Tirmizi menilainya hasan sahih, manaka Syaikh Albani menilainya
sahih (Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib, hadis no.1411)
Ringkasnya, ‘mati syahid’ adalah
kematian yang berlaku ekoran perjuangan mempertahankan harta, nyawa, agama atau
kaum keluarga, bukannya kematian yang disebabkan oleh pembunuh yang kafir.
Justeru, dakwaan Datuk
Seri Abdul Hadi Awang bahawa mati syahid sesiapa yang mati dalam perjuangan
menentang UMNO, tidak boleh dijadikan tapak yang kukuh untuk melancarkan dakwaan
bahawa beliau telah mengkafirkan UMNO.
Apa yang diperkatakan di
sini ialah ketiadaan ruang untuk mendakwa Presiden PAS itu telah mengkafirkan
UMNO melalui amanatnya itu.
Ada pun soal samada amanatnya itu bertepatan atau bercanggah dengan ajaran Islam, ia bukan mauduk perbincangan tulisan ini.
Ada pun soal samada amanatnya itu bertepatan atau bercanggah dengan ajaran Islam, ia bukan mauduk perbincangan tulisan ini.
Isu sebenar
Isu sebenar yang 'bertenggek' di atas ‘Amanat Haji Hadi’ ini ialah dakwaan ia mencetuskan bid’ah-bid’ah
keji yang berlaku dalam masyarakat seperti solat dua imam, memutuskan hubungan
silaturrahim kerana faktor perbezaan fahaman politik, memulau saudara seagama
yang berlainan parti politik, menganggap tidak sah akad nikah atau sembelihan
yang dilakukan oleh individu berlainan parti dan bid’ah-bid’ah lain.
Inilah isu sebenar 'Amanat
Haji Hadi' ini.
Kegagalan mengenal pasti
isu sebenar 'Amanat Haji Hadi' ini, menyebabkan kebanyakan reaksi yang ditunjukkan, atau komen yang dikemukakan
kedua-dua belah pihak (PAS dan UMNO), tidak menyentuh isu hakiki, yang akhirnya
menyebabkan isu ‘Amanat Haji Hadi’ ini makin bersimpang siur.
Lebih 'berbahaya' lagi, ia menyebabkan Presiden PAS itu dilihat membuat strategi yang silap apabila 'mencabar' agar diberikan peluang kepada beliau untuk menjelaskan isu Amanat Haji Hadi ini di kaca TV.
Wallahu a'lam.
Lebih 'berbahaya' lagi, ia menyebabkan Presiden PAS itu dilihat membuat strategi yang silap apabila 'mencabar' agar diberikan peluang kepada beliau untuk menjelaskan isu Amanat Haji Hadi ini di kaca TV.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment