Seorang sahabat saya, meminta kepastian berhubung kewajipan menyamak sesuatu yang bersentuhan dengan anjing atau khinzir.
Adakah disyarat anjing/khinzir dan benda yang bersentuhan dengannya, salah satunya dalam keadaan BASAH, baru wajib menyamak?
Ertinya, jika kedua-duanya (anjing/khinzir dan benda yang bersentuhan dengannya) dalam keadaan KERING, maka benda yang bersentuhan dengannya itu, TIDAK menjadi najis dan TIDAK wajib disamak?
Melalui penelitian saya terhadap belasan kitab-kitab Feqh Syafie, hanya dua buah kitab sahaja yang memberi jawapan kepada persoalan di atas.
Pertama, ialah kitab al-Hawi al-Kabir, karangan Imam al-Mawardi, dan kedua, kitab Nihayah al-Muhtaj, tulisan al-Allamah Syaikh Ramli.
Najis dengan syarat 'basah'
Syaikh Ramli menyatakan dengan jelas, sesuatu yang bersentuhan dengan anjing atau khinzir, hanya menjadi najis jika SALAH SATU daripada kedua-duanya, dalam keadaan BASAH. Tidak kiralah samada yang basah itu badan anjing/khinzir, atau benda yang bersentuhan dengannya.
Sebagai contoh, anjing/khinzir yang bulunya KERING, bersentuhan dengan baju yang BASAH. Hukumnya, baju itu menjadi NAJIS. Ia wajib disamak dengan 7 kali basuhan, salah satunya air yang bercampur dengan tanah.
Atau anjing/khinzir yang bulunya BASAH, bersentuhan dengan baju yang KERING. Hukumnya, baju itu juga menjadi NAJIS dan wajib disamak.
Oleh itu, jika kedua-duanya (anjing dan benda yang bersentuhan dengannya) dalam keadaan KERING, maka benda yang bersentuhan dengannya, TIDAK dianggap menjadi najis. Justeru, ia tidak perlu disamak.
Sebagai contoh, baju yang KERING bersentuhan dengan anjing yang bulunya KERING. Hukumnya, baju tersebut TIDAK menjadi najis.
Kenyataan di atas dirumuskan daripada kenyataan Syaikh Ramli yang berbunyi (Nihayatul Muhtaj, jld.2, ms.342) :
فإن تحقق مس الكلب له مع رطوبة من أحد الجانبين تنجس وإلا فلا
Terjemahan : "Jika dipastikan anjing [telah] bersentuhan dengannya (bekas air) yang disertai dengan 'KEBASAHAN' salah satu pihak (iaitu anjing atau bekas), maka ia (bekas) menjadi najis. Dan jika TIDAK [basah kedua-duanya], maka TIDAK [menjadi najis bekas tersebut]".
Kenyataan Imam Mawardi juga membawa makna yang sama dengan kenyataan di atas.
Beliau mencatatkan ( al-Hawi al-Kabir, jld.1, ms.641-642) :
لو ماس الكلب ثوبا رطبا أو ماس ببدنه الرطب ثوبا يابسا أو وطئ برطوبة رجله على أرض أو بساط كان كالولوغ في وجوب غسله سبعا فيهن مرة بالتراب .
Terjemahan : “Jika anjing menyentuh baju yang BASAH, atau ia menyentuh dengan badannya yang BASAH [akan] baju yang kering, atau ia memijak dengan kakinya yang BASAH [akan] tanah atau hamparan [yang KERING], maka [semua itu] adalah seperti [perbuatan anjing] menjilat dari segi kewajipan membasuhnya (iaitu benda yang disentuhnya) tujuh [kali] termasuk sekali [basuhan] dengan tanah".
Kenyatan Imam Mawardi ini jelas menunjukkan, sesuatu yang bersentuhan dengan badan anjing/khinzir, wajib disamak dengan tujuh kali basuhan, andainya salah satu daripada kedua-duanya (anjing/khinzir dan benda yang bersentuhan dengannya) dalam keadaan BASAH.
Sensitiviti masyarakat
Berdasarkan kenyataan dua imam besar Mazhab Syafie ini, boleh dinyatakan bahawa dalam Mazhab Syafie, menyentuh badan anjing/khinzir yang KERING, dengan tangan yang juga KERING, TIDAK menjadikan tangan itu najis.
Namun, oleh kerana masyarakat kita rata-rata beranggapan menyentuh anjing/khinzir menyebabkan anggota tubuh manusia yang menyentuhnya, menjadi najis walaupun kedua-duanya (anjing dan anggota tubuh) dalam keadaan kering, sayugia dielakkan menyentuhnya di hadapan mereka yang tidak memahami.
No comments:
Post a Comment