Ada satu yang agak menarik dalam muktamar Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang baru berlangsung. Iaitu pada Khamis, 28 Julai 2011.
Muktamar itu diadakan di Kaherah dengan kerjasama al-Azhar.
Yang menarik, ialah seruan yang ditujukan kepada semua aliran Islam. Iaitu 'tidak keterlaluan dalam menjalankan aktiviti politik, dan tidak meminggirkan kegiatan kemasyarakatan'.
Seruan ini dibuat oleh Dr. Isam al-Basyir. Beliau adalah Setiausaha Agung sebuah NGO Islam berkaitan dakwah dan kerja-kerja kemanusiaan.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan akan keperluan aliran-aliran Islam ini tidak bercakap tentang politik secara berlebihan. Aliran-aliran Islam ini juga,tegas beliau, tidak boleh mengabaikan kerja-kerja kemasyarakatan dan pembinaan pemikiran.
Pada beliau, penumpuan yang berlebihan terhadap kegiatan politik oleh pergerakan Islam, dan pengabaiannya terhadap kerja-kerja kemasyarakatan, merupakan 'penggagalan sebenar terhadap usaha dakwah kepada perlaksanaan Islam'.
(Lihat : http://www.onislam.net/arabic/newsanalysis/special-folders-pages/new-egypt/egypt-after-the-january-25/131647-2011-07-28-10-59-00.html)
'Tenggelam' dalam politik
Soal penekanan yang berlebihan pergerakan Islam terhadap politik, sebenarnya telah lama disentuh, sebagai contoh oleh Qaradhawi.
Dalam bukunya, al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Amal Wa al-Mahazir, beliau melahirkan kebimbangan terhadap fenomena 'istighraq fi al-siyasah' yang wujud dalam sesetengah pergerakan Islam.
Fenomena ini bermaksud 'tenggelam' atau 'lemas' dalam kegiatan politik. Istilah ini bermaksud penekanan yang berlebihan terhadap politik.
Gesaan dan ingatan agar menjauhi fenomen ini, diberikan oleh tokoh-tokoh gerakan Islam dan para ulama, disebabkan aspek politik hanyalah salah satu aspek dalam kegiatan mana-mana pergerakan Islam.
Kegiatan politik bukan segala-galanya dalam mana-mana pergerakan Islam.
Disamping aspek politik, kegiatan kemasyarakatan dan tarbiah kerohanian, merupakan aspek yang perlu diberi penekanan oleh setiap pergerakan Islam.
Kegiatan kemasyarakatan menjadi semakin penting dalam masyarakat yang berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup, seperti masyarakat kita kini.
Sikap berterusan memberi penekanan terhadap kegiatan politik disaat masyarakat berhadapan dengan kerumitan hidup, hanya akan membuatkan mereka 'bosan' dan meluat!
No comments:
Post a Comment