Thursday, 2 June 2011

Pemeliharaan haiwan daripada kepupusan : Idea Islam yang dijuarai Barat!

Pemikiran tentang 'pemeliharaan spesis haiwan tertentu daripada kepupusan', sudah lama wujud dalam khazanah Islam.
Nabi s.a.w bersabda :
لو لا أن الكلابَ أمةٌ من الأمم لأمرْتُ بقتلها، فاقتلوا منها الأسودَ البهيم
Terjemahan : “Jika tidak [kerana spesis] anjing [adalah] salah satu umat daripada umat-umat [yang ada di dunia], nescaya aku telah perintahkan ia dibunuh, [tetapi oleh kerana ia juga salah satu umat yang wujud di dunia ini] maka bunuhlah [anjing] hitam yang tiada belang padanya(hitam sepenuhnya)”.
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasa’ie, Ibnu Majah dan At Tirmizi.
At Tirmizi menilainya hasan. Al-Albani pula memasukkannya ke dalam himpunan hadis-hadis sahih, al-Jami’ al-Soghir.
Hadis ini jelas mengiktiraf spesis anjing sebagai salah satu umat yang wujud di muka bumi. Hadis ini merujuk kepada realiti hidupan di dunia yang disebut al-Quran dalam surah al-An’am (ayat 38) :
وَمَا مِن دَآبَّةٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا طَـٰٓئِرٍۢ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّآ أُمَمٌ أَمْثَالُكُم ۚ
Maksudnya, “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu”.
Isalm mendahului Barat beratus-ratus tahun
Realitinya, hidupan lain di dunia ini seperti manusia juga. Setiap spesis merupakan entiti dan kelompok tersendiri. Seperti setiap bangsa atau keturunan manusia, adalah umat atau entiti yang tersendiri.
Di atas asas spesis anjing adalah salah satu umat (satu entiti tersendiri) yang wujud, maka tidak wajar ia pupus, atau dihapuskan spesisnya. Bertitik tolak daripada hakikat inilah, Nabi s.a.w hanya meminta dibunuh anjing yang memudharatkan manusia.
Antara anjing yang memudharatkan manusia, ialah yang seluruh tubuhnya berwarna hitam. Ada yang mengatakan, anjing sebegini adalah anjing yang sangat jahat dan sangat suka menggigit.
Inilah falsafah Islam disebalik pemeliharaan spesis haiwan daripada kepupusan, iaitu ia adalah salah satu umat yang wujud di muka bumi.
Pemikiran tentang perlunya dikekalkan spesis haiwan daripada kepupusan, telah difahami oleh ulama Islam sejak dahulu lagi. Antara mereka ialah Imam al-Khattabi (meninggal 388H).
Ketika menghuraikan hadis di atas di dalam kitabnya, Ma’alim Fi al-Sunan, beliau berkata :
معناه : أنه كره إفناء أمة من الأمم، وإعدام جيل من الخلق...لأنه ما من خلق لله تعالى إلا وفيه نوع من الحكمة وضرب من المصلحة
Terjemahan : “maknanya, Baginda s.a.w tidak menyukai [perbuatan] melenyapkan mana-mana umat (entiti) dan [perbuatan] menghapuskan mana-mana generasi [sesuatu] makhluk...kerana tidak ada mana-mana makhluk Allah, melainkan [ada] padanya hikmat dan faedah tertentu”(Jilid 4, hlm. 132-133)
Jelas sekali, idea ‘pemeliharaan spesis haiwan daripada kepupusan’, telah disebut sejak dahulukala lagi oleh Nabi s.a.w dan para ulama Islam.
Kitab Ma’alim Fi al-Sunan, bukanlah kitab yang asing bagi golongan agamawan. Tetapi, pemikiran ini terpendam begitu sahaja. Tiada orang yang mengambil dan menyebarkannya. Atau menjurainya.
Di sini, fahamlah kita, punca umat Islam ketinggalan dalam bidang pengasasan idea-idea terkini dan segar. Puncanya bukan kerana kekeringan perbendaharaan pemikiran Islam. Puncanya mungkin ketidakpedulian. Kejahilan. Terlepas pandang atau lain-lainya.
Mungkin juga disebabkan persepsi kebanyakan umat Islam, yang melihat hadis-hadis Nabi s.a.w hanya sekadar sumber hukum hakam fekah semata-mata, bukannya sumber ilmu dan peradaban.
Tujuan pemeliharaan spesis haiwan
Itu dari segi falsafah pemeliharaan spesis haiwan daripada kepupusan. Bagaimana pula tentang hikmatnya?
Lihat apa kata para pengkaji dan saintis.
Mereka memberi amaran, ubat-ubatan versi baru kemungkinan  akan hilang buat selama-lamanya, jika tidak dijaga spesis-spesis haiwan dan serangga tertentu yang diancam kepupusan.
Kepupusan spesis-spesis ini bermakna, tiada uji kaji yang boleh dilakukan ke atasnya bagi memajukan bidang perubatan.
Kepupusan katak jenis Rheobatrachus silus sebagai contoh, amat merugikan manusia.
Ia sejenis katak  yang menyimpan anak di dalam perutnya. Menurut para pengkaji, kepupusan katak ini telah menghilangkan peluang para pengkaji menjalankan kajian ke atasnya, bagi menghasilkan ubat ulser usus.
Kajian awal yang sempat dilakukan menunjukkan, anak katak yang disimpan dalam perut ibunya itu, mengeluarkan sejenis bahan yang menghalangnya daripada proses penghadaman makanan di dalam perut.
Para pengkaji mengatakan, rahsia perubatan yang berharga, yang tersimpan dalam spesis katak ini, telah hilang buat selama-lamanya disebabkan kepupusannya.
Ini bermakna, ilmu perubatan hari ini kehilangan peluang keemasan bagi mencipta ubat bagi pelbagai jenis penyakit.
Jelasnya, spesis-spesis haiwan dipelihara, bukan semata-mata bagi dilihat oleh generasi akan datang, seperti yang difikir banyak orang.

Sunnah Nabi s.a.w, sesungguhnya adalah perbendaharaan yang sarat dengan idea-idea segar dan 'gagah'...hanya menanti sentuhan pengkaji-pengkaji Islam yang tidak hanya melihatnya sekadar sumber hukum. Bahkan lebih dari itu, melihatnya juga sebagai khazanah ilmu dan peradaban!

No comments:

Post a Comment