An-Nadawi |
Dalam bukunya, 'Rabbaniyyah La Rahbaniyyah', al-Marhum al-Allamah Maulana Ali An Nadawi ada memperkatakan tentang jenayah.
Tetapi, jenayah yang diperkatakan beliau itu, bukan jenayah yang dilakukan manusia. Ia sebaliknya jenayah yang dilakukan oleh istilah!
Menurut An Nadawi, terdapat beberapa istilah yang diguna pakai oleh manusia, telah melakukan 'jenayah' ke atas banyak perkara.
Setiap perkara ada hakikatnya yang tersendiri.
Tetapi, disebabkan istilah yang diguna pakai bagi merujuk sesuatu perkara itu, hakikat sebenar perkara itu boleh menjadi kabur. Persepsi manusia terhadapnya menjadi buruk.
Tetapi, disebabkan istilah yang diguna pakai bagi merujuk sesuatu perkara itu, hakikat sebenar perkara itu boleh menjadi kabur. Persepsi manusia terhadapnya menjadi buruk.
Beliau mengambil contoh nasib yang menimpa disiplin ilmu Tasawuf.
Istilah punca pertelagahan
Sejak sekian lama, umat Islam bertelagah tentang Tasawuf.
Bagi yang menentang, mereka-antara lain-mempersoalkan tentang asal usul nama Tasawuf. Mereka berusaha bersungguh-sungguh membuktikan ia sebenarnya berasal daripada perkataan Yunani.
Atas alasan ini-disamping alasan-alasan yang lain-Tasawuf ditolak kerana asal usul namanya sahaja, sudah menunjukkan ia lahir dalam persekitaran Yunani, bukan persekitaran Islam.
Tetapi menurut An Nadwi, jika dirujuk al-Quran dan Sunnah, kita akan dapati, kedua-duanya sangat menekankan soal pembersihan jiwa dan akhlak. Pembersihan jiwa dan akhlak pula adalah intipati kepada ajaran Tasawuf.
Ini bermakna, Tasawuf-secara prinsipnya-selaras dengan al-Quran dan Sunnah.
Tetapi, mengapa umat Islam berterusan bertelagah tentang Tasawuf?
Tetapi, mengapa umat Islam berterusan bertelagah tentang Tasawuf?
Jawapannya, menurut An Nadwi, ialah kerana istilah 'Tasawuf' itu sendiri.
Jika diketepikan istilah ini, maka hakikat Tasawuf sebenar akan terserlah. Segala persepsi buruk tentangnya akan tersingkir dari cemin akal.
Yang nyata pada mata hati, ialah sejumlah disiplin atau kaedah pembersihan jiwa dan akhlak yang disusun oleh para ulama rabbaniyyin.
Justeru, bagi meleraikan pertelagahan ini, kita perlu abaikan istilah 'Tasawuf'. Jangan digunakan istilah ini untuk merujuk kepada kaedah-kaedah pembersihan jiwa dan akhlak tadi.
An Nadwi mencadangkan, istilah 'Tasawuf' digugurkan dan diganti dengan istilah 'tazkiah', 'ihsan' atau 'Feqh Batin'.
Memang benar, penggunaan nama ‘Tazkiah’, ‘Ihsan’ atau ‘Feqh Batin’ bagi menggantikan istilah ‘Tasauf’, tidak akan menamatkan pertelagahan berkenaan Tasauf. Namun, ia dapat mengendurkan pertelagahan itu. Atau menurunkan ‘suhu’nya.
Pengabaian terhadap istilah ‘Tasauf’ dalam penulisan berkenaan pembersihan jiwa-yang merupakan tajuk perbincangan ilmu Tasauf-telah pun dilakukan oleh sesetengah tokoh besar Tasauf, iaitu Imam Atho’illah al-Sakandari radhiyallahu ‘anhu, pengarang kitab Hikam yang terkenal.
Syaikh Ramadhan al-Buti dalam karyanya yang menghuraikan kitab Hikam itu mencatatkan, Imam Atho’illah tidak menyebut walaupun sepatah perkataan ‘tasauf’ dalam karyanya itu.
Istilah mengambus hakikat sebenar!
Demikianlah besarnya pengaruh istilah dan peranannya dalam 'mengambus' hakikat sebenar sesuatu perkara.
Justeru, penggunaan istilah 'Perubatan Islam' yang digunakan hari ini bagi merujuk kepada kaedah rawatan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa, wajar diteliti semula.
Ini kerana, istilah ini boleh memberikan kefahaman bahawa perubatan moden yang tidak menggunakan ayat al-Quran dan doa, bukan perubatan Islam.
Perubatan Islam hanyalah perubatan yang berteraskan ayat-ayat al-Quran dan doa sahaja!
Tidak lama dulu, sebuah majalah berorientasikan Islam yang dipimpin oleh penulis kontroversi berasal dari negara jiran, telah pun mempersoalkan, "perubatan moden yang tidak menggunakan jampi ayat Quran dan doa, bukan perubatan Islam kah?".
Tidak mustahil, jika istilah ini digunakan dan diulang-ulang dalam tempoh yang lama, akan melekat dalam minda umat Islam, bahawa perubatan Islam itu hanyalah perubatan yang menggunakan ayat al-Quran dan doa. Selain itu, tidak dinamakan perubatan Islam!
Jika ini berlaku, memang ia satu ‘jenayah’!
Penggunaan istilah al-'ilaj bi al-ruqyah al-syar'iyyah (rawatan menggunakan jampi syar'ie) oleh orang Arab bagi merujuk kepada kaedah perubatan yang berasaskan jampi dan doa yang diperakui syarak, adalah lebih tepat dan menggambarkan realiti sebenar.
Ia perubatan berasaskan jampi dan doa yang dibenarkan syarak. Jadi, tepat sangatlah jika ia dinamakan al-‘Ilaj Bi al-Ruqyah al-Syar’iyyah!
Justeru, demi mengelakkan kemungkinan istilah 'Perubatan Islam' ini melakukan 'jenayah' terhadap pemikiran umat Islam, elok digunakan istilah lain yang lebih tepat.
Untuk mencari istilah yang sesuai, mereka yang berkepakaran boleh dijadikan rujukan.
No comments:
Post a Comment