Sunday 23 February 2014

Hukum bersumpah depan Quran, letak tangan atas Quran atau menjunjungnya ketika bersumpah

Amalan 'bersumpah di hadapan al-Quran', memang wujud dalam masyarakat kita. Begitu juga perbuatan 'meletakkan tangan di atas al-Quran' ketika bersumpah.

Seringkali juga terdengar suara-suara yang menyatakan 'kesanggupan bersumpah sambil menjunjung al-Quran'.

Seperti biasa, persoalan ini akan ditinjau melalui jendela mazhab Syafie radhiyAllahu 'anhu. Pandangan mazhab-mazhab lain hanya akan disebut jika ada keperluan. 

Muqaddimah

Bagi memudahkan pemahaman tentang hukum amalan ini, perlu difahami terlebih dahulu soal 'pengukuhan sumpah', atau تغليظ اليمين

Maqasid (tujuan) sumpah ialah 'mendesak seseorang bercakap benar' berhubung sesuatu isu atau kes.

Rata-rata orang Islam takut untuk berbohong ketika bersumpah (atau melakukan sumpah bohong).

Namun, ada juga orang yang berani berbohong ketika bersumpah. Bagi mengatasai masalah ini, sumpah perlu diperkukuhkan.

Sumpah diperkukuhkan dengan tempat, iaitu melakukan sumpah di tempat-tempat yang mulia, seperti dalam masjid. Atau diperkukuhkan dengan masa yang mulia, seperti bersumpah di bulan Ramadhan, selepas solat, semasa wukuf di Arafah, dan sebagainya. 

Sumpah juga diperkukuhkan dengan menambahkan sifat Allah dalam sumpah. Seperti berkata, "demi Allah yang mengetahui yang zahir dan tersembunyi, yang memiliki langit dan bumi, aku bersumpah...".

Bersumpah dengan sumpah yang diperkukuhkan dengan cara-cara yang dinyatakan, akan menyebabkan seseorang melihat tindakan bersumpah sebagai satu acara yang hebat, seterusnya menimbulkan lebih rasa gerun untuk berbohong ketika bersumpah.

'Pengukuhan sumpah' atau تغليظ اليمين ini dikupas oleh para fuqaha' dalam bab li'an (sumpah antara suami dan isteri) dan al-Da'wa (pendakwaan).

Kenyataan fuqaha'

Berhubung hukum amalan bersumpah dengan cara yang dinyatakan di awal tulisan ini, ia boleh disaring melalui kupasan para fuqaha'.

Imam Nawawi radhiyAllahu 'anhu dalam karyanya, Raudhah al-Tolibeen  menyatakan :
واستحب الشافعي رحمه الله أن يقرأ على الحالف " إن الذين يشترون بعهد الله وأيمانهم ثمناً قليلا " الآية وأن يحضر المصحف ويوضع في حجر الحالف

Terjemahan : [Imam] Syafie rhm mensunatkan [supaya] dibaca kepada orang yang [akan] bersumpah [ayat 77 surah Ali Imran yang berbunyi] إن الذين يشترون بعهد الله وأيمانهم ثمناً قليلا dan [mensunatkan supaya] dibawa mushaf (al-Quran) dan diletakkan dalam dakapan orang yang [akan] bersumpah.

Ayat 77 surah Ali Imran secara lengkap berbunyi :

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّـهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَـٰئِكَ لَا خَلَاقَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّـهُ وَلَا يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿٧٧
 
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit, dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah-sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka, dan tidak akan memandang mereka di hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka [dari dosa], dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Ringkasnya, menurut Imam Syafie r.a, dua perkara berikut sunat dilakukan terhadap orang yang mahu bersumpah :

1. Dibacakan kepadanya ayat 77 surah Ali Imran; dan

2. Diletakkan al-Quran dalam dakapannya.

'Bersumpah sambil mendakap al-Quran', adalah antara cara memperkukuhkan sumpah. Dengan cara ini, perasaan gerun untuk berbohong ketika bersumpah, akan semakin menebal dalam diri seseorang yang mahu bersumpah.

Manakala Syaikh Al-Bakri dalam karyanya, I'anah al-Tolibeen pula mencatatkan bahawa sesetengah ulama menyatakan :
التغليظ أن يوضع المصحف في حجره ويطلع له سورة براءة، ويقال له ضع يدك على ذلك ويقرأ قوله تعالى: * (إن الذين يشترون) * الآية.

Terjemahan : Pengukuhan [sumpah dilakukan dengan] diletakkan mushaf dalam dakapannya (orang yang mahu bersumpah), dan dibuka kepadanya surah al-Bara'ah (al-Taubah), dan dikatakan kepadanya, "letakkan tanganmu di atasnya (surah al-Taubah)", dan dibaca [kepadanya] firman [Allah] ta'ala [dalam surah Ali Imran, ayat 77 yang berbunyi] : إن الذين يشترون [sehingga akhir ayat].

Ringkasnya, cara memperkukuhkan sumpah ialah :

1. Meletakkan mushaf dalam dakapan orang yang mahu bersumpah;

2. Disuruh orang yang mahu bersumpah meletakkan tangannya di atas surah al-Taubah; dan

3. Dibaca kepadanya ayat 77 surah Ali Imran.

Hukum syarak

Berdasarkan dua petikan ini, boleh disimpulkan seperti berikut :

1. 'Bersumpah sambil mendakap al-Quran', adalah dibolehkan (hukumnya sunat). Ini kerana, tindakan ini dapat memperkukuhkan sumpah yang dilakukan.

Oleh itu, bersumpah di hadapan al-Quran juga dibolehkan. Ini kerana, ia juga dapat memperkukuhkan sumpah.

Memperkukuhkan sumpah dengan cara mendakap al-Quran (ketika bersumpah), bukanlah satu cara yang mengikat, dengan makna tidak boleh dilakukan cara yang lain.

Buktinya, sesetengah ulama memperkukuhkan sumpah dengan menyuruh seseorang yang mahu bersumpah, meletakkan tangan di atas surah al-Taubah, seperti yang disebut dalam I'anah Tolibeen.

2. 'Meletakkan tangan di atas surah al-Taubah' ketika bersumpah, difatwakan sebagai harus. Oleh demikian, lebih utama 'meletakkan tangan di atas keseluruhan al-Quran' ketika bersumpah, dihukumkan harus.

3. Berdasarkan kenyataan ulama-ulama mazhab Syafie r.a, boleh disimpulkan bahawa perbuatan 'menjunjung al-Quran ketika bersumpah', juga dibolehkan. 

Perbuatan ini sama dengan perbuatan 'mendakap al-Quran' atau 'meletakkan tangan di atas surah al-Taubah' ketika bersumpah. Iaitu sama dari segi memperkukuhkan sumpah.

Manakala cara memperkukuhkan sumpah yang disebut dalam Raudhah al-Tolibeen dan I'anah al-Tolibeen seperti di atas, bukanlah satu cara yang mengikat.

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi oleh tindakan sesetengah tabi'een.

Dalam Musannaf Abdul Razak, direkodkan seperti berikut :
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِينَ ، قَالَ : كَانَ كَعْبُ بْنُ سُورٍ يُحَلِّفُ أَهْلَ الْكِتَابِ يَضَعُ عَلَى رَأْسِهِ الإِنْجِيلَ، ثُمَّ يَأْتِي بِهِ إِلَى الْمَذْبَحِ فَيَحْلِفُ بِاللَّهِ "

Terjemahan : [Diriwayatkan] daripada Muhammad Ibn Sireen (Ibn Sireen) [bahawa beliau] berkata, "[pernah] Ka'ab Ibn Suur [ketika] mengarahkan Ahli Kitab bersumpah, [beliau] meletakkan [kitab] Injil di atas kepalanya (Ahli Kitab), kemudian membawanya ke Mazbah (nama tempat), lalu dia (Ahli Kitab) bersumpah dengan [nama] Allah".

Petikan ini merekodkan tindakan Ka'ab Ibn Suur meletakkan kitab Injil-kitab suci Ahli Kitab (Kristian)-di atas kepala Ahli Kitab tersebut ketika mengarahkannya bersumpah.

Beliau melakukan sedemikian bagi memperkukuhkan sumpah. 

Jika sumpah Ahli Kitab boleh diperkukuhkan dengan cara meminta mereka menjunjung kitab suci mereka ketika bersumpah, maka sumpah penganut Islam juga boleh diperkukuhkan dengan cara meminta mereka menjunjung al-Quran ketika bersumpah.

Kesimpulan

1. Amalan bersumpah di hadapan al-Quran, atau bersumpah sambil meletakkan tangan di atas al-Quran atau menjunjungnya, adalah harus.

Ini berdasarkan kenyataan-kenyataan para ulama mazhab Syafie yang muktabar.

2. Amalan ini tidak boleh dianggap sebagai menyerupai amalan orang Kristian (yang meletakkan tangan di atas kitab Injil ketika bersumpah). Bukan juga amalan bid'ah, atau amalan yang boleh disifatkan sebagai 'tiada dalam Islam'.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment