Tuesday 21 January 2014

Hukum menyaringkan 'a'uzubillah...' dalam solat

Seorang sahabat saya bertanya satu hukum berkenaan isti'azah (membaca أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ) dalam solat. Iaitu, apakah hukum membaca isti'azah (sebelum membaca al-fatihah) dengan suara nyaring. 

Katanya, ada orang berbuat demikian.

Seperti biasa, persoalan ini akan ditinjau melalui jendela mazhab Syafie. Pandangan mazhab-mazhab lain (jika ada) hanya akan disebut jika terdapat keperluan.

Jawapan persoalan ini ada dalam kitab al-Majmuk karangan Imam Nawawi radhiyAllahu 'anhu.

Sebagaimana yang sedia dimaklumi, berhubung bacaan Fatihah dalam solat, ada yang dibaca perlahan. Iaitu dalam solat Zohor dan Asar (dinamakan solat sirriyyah). Dan, ada yang dibaca nyaring. Iaitu dalam solat Maghrib, Isyak dan Subuh (dinamakan solat jahriyyah).

Dalam solat sirriyyah, isti'azah dibaca perlahan tanpa khilaf di kalangan ulama mazhab Syafie.

Khilaf

Adapun dalam solat jahriyyah, terdapat khilaf.

Imam Nawawi r.a menyatakan, pendapat paling sahih dalam mazhab Syafie (berhubung nada suara ketika membaca isti'azah dalam solat jahriyyah), ialah sunat membacanya dengan perlahan. 

Kata beliau :
فيه ثلاثة اقوال أصحها يستحب الاسرار

Terjemahan : Padanya (nada suara ketika membaca isti'azah dalam solat jahriyyah) [terdapat] beberapa pendapat. [Pendapat] paling sahih ialah sunat memperlahankan [bacaan isti'azah].

Ringkasnya, disunatkan membaca isti'azah dalam solat jahriyyah secara perlahan.

Persoalan

Persoalannya, jika ia dibaca dengan kuat, apakah hukumnya?

Untuk mengetahui jawapannya, perlu dicari hukum meninggalkan perkara sunat.

Tinjauan ke atas kitab-kitab muktabar mazhab Syafie memahamkan bahawa meninggalkan perkara sunat-pada pandangan ulama mazhab Syafie-bukan satu perbuatan makruh.

Sebagai contoh, Imam al-Rafi'e rhm-ketika memperkatakan tentang perkara-perkara yang sunat dilakukan mu'azzin ketika melaungkan azan-memfatwakan :
المستحب ان لا يتكلم في اذانه بشئ...ولو سلم عليه انسان أو عطس لم يجب ولم يشمت حتى يفرغ ولو أجاب أو شمت أو تكلم بما فيه مصلحة لم يكره وان ترك المستحب

Terjemahan : Sunat [bagi mu'azzin] tidak bercakap apa-apa semasa [melaungkan] azan...jika seseorang memberi salam kepadanya atau bersin, [sunat] dia tidak menjawab [salam] dan men'tasymit' (mendoakan untuk orang yang bersin) sehinggalah dia selesai [melaungkan azan]. 

Jika dia menjawab [salam], men'tasymit' (orang yang bersin] atau bercakap apa-apa yang ada maslahah [ketika melaungkan azan], tidaklah makruh meskipun [dengan berbuat demikian] dia telah meninggalkan perkara sunat

Jelasnya, sunat bagi mu'azzin tidak bercakap apa-apa ketika melaungkan azan walaupun untuk menjawab salam atau men'tasymit' orang bersin. 

Namun, jika mu'azzin menjawab salam atau men'tasymit' orang bersin, tindakannya itu tidak disifatkan makruh walau pun-dengan berbuat demikian-dia telah meninggalkan perkara sunat (iaitu tidak bercakap apa-apa ketika melaungkan azan).

Tindakan tersebut hanya disifatkan sebagai 'meninggalkan perkara sunat' sahaja.

Senada dengan Imam al-Rafi'e ialah Imam Daqiqul Eid (bermazhab Maliki, kemudian beralih kepada mazhab Syafie). Imam al-Munawi dalam karyanya, Faidhul Qadeer memetik beliau sebagai berkata :
التحية بغير لفظ السلام من باب ترك المستحب لا مكروه

Terjemahan : Sapaan dengan [lafaz] selain salam (assalamualaikum) [adalah] sebahagian daripada [perbuatan] meninggalkan perkara sunat, bukannya [perbuatan] yang makruh.

Kaedah

Lebih jelas lagi ialah kaedah yang dipetik oleh Imam Ibn 'Abideen dalam karyanya, Raddul Mukhtar iaitu :
ولا يلزم من ترك المستحب ثبوت الكراهة إذ لا بد لها من دليل خاص

Terjemahan : Tidak semestinya meninggalkan perkara sunat [bermakna] sabitnya kemakruhan, dimana tidak dapat tidak, ia (penyabitan kemakruhan] memerlukan dalil yang khusus.

Kaedah ini bermaksud, meninggalkan perkara sunat, bukan satu tindakan yang makruh. Ini kerana, sesuatu itu hanya dianggap makruh jika ada dalil yang khusus menyatakan demikian.

Oleh demikian, perbuatan meninggalkan solat-solat sunat atau puasa sunat, tidak disifatkan sebagai perbuatan yang makruh.

Kesimpulan

Kesimpulannya, berdasarkan kenyataan para ulama ini, membaca isti'azah dengan suara nyaring dalam solat jahriyyah, adalah 'perbuatan meninggalkan perkara sunat'. 

Walau bagaimana pun, ia tidak dianggap makruh. Ini kerana-sepanjang pengetahuan penulis-tiada dalil khusus yang menunjukkannya adalah perbuatan makruh.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment