Friday 27 December 2013

Syiah : Kekhilafan berbahaya Hanifa Maidin dan Chandra Muzaffar!

YB Hanifa Maidin
Ada satu 'kejutan' terselit dalam tulisan YB Hanifa Maidin dalam Harakahdaily bertarikh 19 Disember 2013.

Namun, atas faktor situasi diri dan perkiraan tertentu, 'kejutan' yang bagai menggelepar dalam perasaan itu, saya diamkan sahaja.

Hari ini (26 Disember 2013), perasaan saya 'dijolok' sekali lagi oleh 'kejutan' yang dilepaskan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu. Kali ini, 'kejutan' itu dihidupkan oleh Presiden International Movement for a Just Wold (JUST), Dr. Chandra Muzaffar.

'Inisiatif' Presiden JUST itu diapungkan oleh BERNAMA pada 25 Disember 2013, kemudian 'disambar' dengan pantas oleh Harakahdaily dan Malaysian Insider keesokkan harinya, 26 Disember 2013.

Kemunculan kali kedua 'kejutan' itu di pentas wacana semasa, menandakan ia sudah mula diterima. Menyedari itu, saya tiada pilihan lain selain menitipkan tulisan ini bagi menepis bahana 'kejutan' yang dilepaskan.

Tulisan Ahli Parlimen Sepang yang dimaksudkan itu berjudul Syiah, Mat Sabu dan kesesatan terpilih.

'Kejutan' dalam tulisan itu ialah pada dakwaan beliau bahawa Amman Message yang berpusat di Jordan, "mengiktiraf mazhab Syiah Jaafariyyah dan Zaidiyyah-disamping Mazhab Ibadhi dan Sunni-sebagai mazhab yang diiktiraf sah oleh Islam".

Ketetapan Amman Message itu pula-menurut beliau lagi-ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia yang diwakili Tun Abdullah Badawi, Dato' Seri Shahidan Kassim dan Khairy Jamaluddin.

Lebih daripada itu, menurut YB Hanifa lagi, ia turut ditandatangani banyak negara Islam lain dan ulama-ulama besar sedunia dari pelbagai mazhab, termasuklah ulama terkenal Mauritania, Syaikh Abdullah Ben Bayyah.

Dakwaan YB Hanifa ini kemudiannya disambut oleh Dr. Chandra, dan diberitakan BERNAMA pada 25 Disember 2013 dengan tajuk JUST minta pengesahan awam mengenai 'Mesej Amman'.

Dakwaan berbahaya

Implikasi dakwaan ini sangat besar. Dan makna tersirat di sebaliknya juga besar, malah berbahaya!

Implikasinya boleh dilihat melalui urutan berikut :

  1. 'Amman Message' mengiktiraf mazhab Syiah sebagai mazhab yang sah dalam Islam;
  2. Pengiktirafan Amman Message ini, ditandatangani Kerajaan Malaysia, negara-negara Islam lain dan ulama-ulama besar sedunia daripada pelbagai mazhab; dan 
  3. Urutan(1)dan (2) di atas dengan sendirinya membentuk dua natijah penting iaitu : 
  • Ahli Sunnah boleh menganut ajaran Syiah. Ini kerana ia mazhab yang sah dalam     Islam. Manakala, kesahan mazhab Syiah ini pula diperakui ulama-ulama besar           pelbagai mazhab, negara-negara Islam lain dan Kerajaan Malaysia sendiri; dan
  • Tindakan Kerajaan Malaysia mengekang penyebaran ajaran Syiah di Malaysia, adalah satu langkah yang salah, dan tindakan yang kontradik. Ini kerana, ajaran Syiah adalah mazhab yang sah dalam Islam, dan ini diperakui sendiri Kerajaan Malaysia melalui Amman Message yang dinyatakan.
Pencerahan
Persoalan pokok di sini ialah, benarkah dakwaan YB Hanifa Maidin ini?

Sesiapa jua yang memiliki asas-asas pengajian akidah, akan serta merta meragui dakwaan sebegini. 

Bukankah hadis Nabi sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam telah lama mengkhabarkan umatnya akan berpecah kepada 73 firqah? Dan, daripada 73 firqah ini, hanya satu firqah sahaja yang benar, dan dijamin sebagai firqah yang terselamat daripada kesesatan (al-firqah an-najiah),
manakala firqah-firqah yang selebihnya adalah firqah yang sesat?

Bila kita meyakini firqah yang benar daripada 73 firqah itu ialah firqah Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka dengan sendirinya kita meyakini bahawa firqah-firqah yang berbaki, adalah sesat. Manakala, firqah yang sesat pula bukanlah ajaran atau mazhab yang diperakui sah dalam Islam.

Maka, bagaimana mungkin ulama-ulama besar, termasuk Allamah Syaikh Ben Bayyah memperakui Syiah sebagai satu mazhab yang sah dalam Islam?

Rujukan terus kepada ketetapan Amman Message itu mengesahkan bahawa dakwaan YB Hanifa itu tidak benar sama sekali. 

Amman Message mengandungi 5 ketetapan yang dipersetujui bersama oleh ulama Ahli Sunnah dan ulama Syiah.

Ketetapan yang didakwa YB Hanifa sebagai 'mengiktiraf Syiah sebagai mazhab yang sah dalam Islam', ialah ketetapan nombor 1.

Teks dalam Bahasa Arabnya berbunyi :
(1) إنّ كل من يتّبع أحد المذاهب الأربعة من أهل السنّة والجماعة (الحنفي، والمالكي، والشافعي، والحنبلي) والمذهب الجعفري، والمذهب الزيدي، والمذهب الإباضي، والمذهب الظاهري، فهو مسلم، ولا يجوز تكفيره. ويحرم دمه وعرضه وماله. وأيضاً، ووفقاً لما جاء في فتوى فضيلة شيخ الأزهر، لا يجوز تكفير أصحاب العقيدة الأشعريّة، ومن يمارس التصوّف الحقيقي. وكذلك لا يجوز تكفير أصحاب الفكر السلفي الصحيح.

Terjemahan : "Setiap orang yang mengikuti salah satu daripada empat (4) mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali), mazhab Ja'fari (Ja'fariyyah), Mazhab Zaidiy (Zaidiyyah), Mazhab Ibadhi dan Mazhab Zahiri, maka dia [adalah seorang] muslim, dan tidak boleh dikafirkan.

Haram [dicerobohi] darah, kehormatan dan hartanya. Begitu juga-selaras dengan fatwa Syaikhul Azhar-tidak boleh ditakfir pengikut-pengikut Akidah 'Asyairah, dan  sesiapa yang mempraktikkan tasauf yang sebenar. Begitu juga, tidak boleh ditakfir pengikut-pengikut aliran Salafi yang benar".

Manakala dalam Bahasa Inggeris pula, ketetapan nombor 1 tersebut diterjemahkan seperti berikut :

(1) Whosoever is an adherent to one of the four Sunni schools (Mathahib) of Islamic       jurisprudence (Hanafi, Maliki, Shafi'i and Hanbali), the two Shi'i schools of Islamic jurisprudence (Jafari and Zaydi), the Ibadi school of Islamic jurisprudence and the Thahiri school of Islamic jurisprudence, is a Muslim.

Declaring that person an apostate is impossible and impermissible. Verily his (or her) blood, honour, and property are inviolable. Moreover, it is not possible nor permissible to declare whosoever subscribes to the Ash'ari creed or whoever practices real Tasawwuf (Sufism) an apostate. Likewise, it is not possible nor permissible to declare whosoever subscribes to true Salafi thought an apostate.

Kekhilafan besar

Inti pati ketetapan nombor 1 ini sangat jelas.

Ia adalah satu perakuan bahawa penganut Syiah adalah seorang muslim. Justeru, mereka tidak boleh dikafirkan tanpa bukti yang jelas.

Darah, kehormatan dan harta mereka juga tidak boleh dicerobohi kerana mereka adalah muslim.

Inilah 'ruang legar' atau skop ketetapan nombor 1 Amman Message ini. Iaitu 'kemusliman penganut Syiah' dan 'keterpeliharaan darah, kehormatan dan harta mereka'.

Secara tersurat atau tersirat, ketetapan Amman Message ini sedikit pun tidak mengiktiraf ajaran Syiah sebagai satu mazhab yang sah dalam Islam. 

Di sini, YB Hanifa Maidin 'terjerlus' dalam kekhilafan yang besar dan berbahaya!

Ketetapan Amman Message yang memperakui penganut Syiah sebagai muslim, difahami dan diwar-warkan sebagai 'perakuan bahawa ajaran Syiah adalah satu mazhab yang sah dalam Islam!

Perakuan akan keislaman pengikut sesuatu mazhab, tidak bermakna perakuan akan kesahan mazhab tersebut. 

Sama seperti perakuan akan keislaman Ayah Pin, Tuhan Harun, pengikut Jemaah Arqam, atau mana-mana pengikut ajaran sesat. Ia sama sekali tidak bermakna perakuan akan kesahan ajaran-ajaran tersebut.

Lebih malang, kekhilafan berbahaya YB Hanifa Maidin ini, disambut kemas secara terburu-buru oleh Presiden JUST.

Kepada para pembaca budiman, tugas selanjutnya ialah memperbetulkan kekhilafan ini.

Wallahu a'lam. 

No comments:

Post a Comment