Tuesday, 30 July 2013

Di mana bayar zakat fitrah : 'Pembetulan' fatwa Ustaz Azhar



Antara ulama Mazhab Syafie yang menyentuh tentang 'di mana zakat fitrah perlu dibayar', ialah Imam Asy-Syirazi dan Imam Nawawi r.a. Masing-masing dalam kitab al-Muhazzab dan kitab al-Majmuk.

Dalam al-Majmuk, Imam Nawawi r.a menyatakan :

إذا كان في وقت وجوب زكاة الفطر...في بلد ومالُه في آخر فأيّهما يُعتبر؟ فيه وجهان : (أحدهما) بلد المال كزكاة المال (وأصحهما) بلد ربِّ المال. ممّنْ صحّحه المصنّف في التنبيه والجرجاني في التحرير والغزالي والبغوى والرافعي وآخرون. 

Terjemahan : Jika seseorang itu-sewaktu zakat fitrah wajib [ke atasnya]-[berada] di [sebuah] negeri, manakala hartanya [berada] di [negeri] lain, maka [negeri] mana satukah yang diambil kira [ketika membayar zakat fitrah]? 

Terdapat dua pandangan; salah satunya : [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] harta [itu berada] sama seperti zakat harta [yang perlu dikeluarkan di tempat di mana harta itu berada]. 


[Pendapat] yang paling sahih [daripada kedua-dua pandangan ini] ialah [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] empunya harta [berada]. 


Antara mereka yang mentashihkannya (pendapat yang paling sahih), ialah pengarang (Imam Asy-Syirazi) dalam [kitabnya] at-Tanbih, al-Jurjani dalam [kitabnya] at-Tahrir, al-Ghazali, al-Baghawi, al-Rafi'e dan lain-lain.


Huraian
Kenyataan Imam Nawawi di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (بلد المال), berbeza dengan tempat zakat fitrah wajib ke atasnya.

Dalam Mazhab Syafie, zakat fitrah wajib ke atas seseorang bila bermulanya malam raya. Waktu 'wajib zakat fitrah' ini berakhir sebelum Maghrib hari raya pertama.

Justeru-dalam erti kata lain-kenyataan Imam Nawawi r.a di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (tempat di mana hartanya berada), berbeza dengan tempatnya menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Dalam keadaan ini, yang diambil kira ketika mengeluarkan zakat fitrah-menurut pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie-ialah tempat di mana seseorang itu berada pada waktu zakat fitrah wajib ke atasnya (iaitu malam raya sehingga sebelum Maghrib Hari Raya pertama).

Justeru, seseorang yang bekerja di Kuala Lumpur, tetapi menyambut Hari Raya di Terengganu sebagai contoh, zakat fitrah hendaklah dibayar di Terengganu. 

Inilah pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie, dan ditashihkan ramai ulama besar Mazhab Syafie seperti yang dinyatakan Imam Nawawi di atas.

Ittifaq ulama

Senada dengan pendapat yang paling sahih ini, ialah pendapat ulama besar Mazhab Hambali, Ibn Qudamah dalam kitabnya, al-MughniBeliau mencatatkan :

فأما زكاة الفطر فإنه يفرّقها في البلد الذي وجبتْ عليه فيه سواء كان ماله فيه أو لم يكن؛ لأنه سبب وجوب الزكاة ففرّقتْ في البلد 
الذي سببها فيه

Terjemahan : Adapun zakat fitrah, ia diagihkan (dibayar) di negeri yang wajib ke atasnya [zakat fitrah], samada hartanya (sumber pendapatannya) [berada] di situ (di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) atau tidak. Ini kerana ia (keberadaannya di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) adalah sebab zakat fitrah wajib [ke atasnya], maka dibayar [zakat fitrah] di negeri yang [terdapat] sebab [wajibnya zakat fitrah ke atas] nya.

Sebenarnya, ulama-ulama empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali) bersepakat dalam soal ini. Iaitu, zakat fitrah dikeluarkan di tempat di mana seseorang mukallaf itu berada pada malam atau Hari Raya pertama. Bukannya ditempat di mana seseorang itu bekerja, atau mencari rezeki.

Majlis Fatwa Palestin menukilkan :

أما زكاة الفطرة فلقد اتفق العلماء على أنها تخرج في مكان تواجد الشخص لا مكان تواجد ماله لأنها تتعلق بالبدن فكان أداؤها مكان تواجد البدن

Terjemahan : Adapun zakat fitrah, para ulama telah bersepakat bahawa ia dikeluarkan (dibayar) di tempat seseorang itu berada, bukannya di tempat hartanya (sumber pendapatannya) berada. Ini kerana, ia (zakat fitrah) berkait dengan 'badan' (diri seseorang mukallaf-zakat badan) maka pembayarannya [dibuat] di tempat [di mana] 'badan' itu berada.

Sebab mengapa zakat fitrah dibayar di tempat di mana seseorang itu berhari raya, turut dinyatakan oleh Syaikh al-Qaradhawi. Beliau menyatakan :

فيخرج المسلم زكاة فطره في البلد الذي يدركه فيه أول ليلة من شوال (ليلة العيد) ؛ لأن هذه الزكاة ليس سببها الصيام وإنما سببها الفطر ولهذا أضيفت إليه وسميت زكاة الفطر

Terjemahan : Maka [setiap] muslim [perlu] membayar zakat fitrah di negeri yang dia menemui malam pertama [bulan] Syawal (malam raya). Ini kerana, sebab zakat [fitrah] ini [menjadi wajib], bukannya puasa. Sebab [ia menjadi wajib] ialah [munculnya Hari Raya] Aidil Fitri. Dengan sebab itu, disandarkan [zakat ini] kepadanya (Hari Raya Aidil Fitri) dan dinamakan 'zakat al-fitr' (zakat Hari Raya Aidil Fitri).

Keliru 2 zakat

Adapun 'fatwa' yang mengatakan zakat fitrah perlu dibayar di tempat seseorang mencari rezeki (jika bekerja di Kuala Lumpur, zakat fitrah hendaklah dibayar di Kuala Lumpur walaupun Hari Raya disambut di Terengganu, sebagai contoh), ia adalah fatwa yang bercanggah dengan pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie. Juga bertentangan dengan kesepakatan (ittifaq) para ulama mazhab empat.

Percanggahan dan pertentangan ini berlaku disebabkan kekeliruan antara zakat harta dan zakat fitrah.

Dalam zakat harta, memang zakat perlu dibayar atau dikeluarkan ditempat harta itu dijana dan diusahakan (perniagaan, penternakan atau pertanian yang dilakukan di Terengganu sebagai contoh, mesti dikeluarkan di Terengganu). Ini adalah pendapat jumhur ulama, termasuk ulama Mazhab Syafie.

Adapun dalam bab zakat fitrah, ia dikeluarkan di tempat di mana seseorang itu menyambut Hari Raya Aidilfitri, tanpa mengira lokasi sambutan Hari Raya Aidilfitri itu adalah tempatnya bekerja (seperti di bandar), atau tidak (seperti kampung kelahiran).

Wallahu a'lam.

Tuesday, 23 July 2013

Suami isteri di berlainan negara & cara membayar zakat fitrah

Bila suami dan isteri berada di dua negara berbeza, persoalan berkaitan zakat fitrah mungkin berbangkit.

Jika si suami berada di Malaysia, manakala si isteri pula berada di Amerika sebagai contoh, bagaimanakah si suami membayar zakat fitrah si isteri?

Adakah zakat fitrah dibayar berdasarkan kadar zakat fitrah di Malaysia, atau berdasarkan kadar zakat fitrah di Amerika? 

Zakat fitrah yang dikeluarkan itu pula, adakah dibayar kepada amil zakat di Malaysia, atau amil zakat di Amerika?
Seperti biasa, persoalan ini akan ditinjau melalui jendela Mazhab Syafie.

Antara ulama Mazhab Syafie yang menyentuh soal ini, ialah Imam al-Mawardi dan Syaikh al-Bakri al-Dumyati.

Dalam karyanya,حاشية إعانة الطالبين Syaikh al-Bakri menyebut :
إذا اختلف بلدُ المؤدَى عنه وبلد المؤدِي بأن كان الرقيق أو الزوجة مثلا ببلد، والسيد أو الزوج ببلد آخر، صُرفتْ من غالب قوت بلد الرقيق أو الزوجة على مستحقي بلدَيْهما، لا بلد السيد أو الزوج.

Terjemahan : Jika negara 'orang yang dibayar [zakat] untuknya' (seperti isteri) berbeza dengan [negara] 'orang yang membayar' [zakat], iaitu hamba atau isteri sebagai contoh, [berada] di sebuah negara, dan tuan atau suami pula [berada] di sebuah negara lain, [maka] dibayar [zakat fitrah] dengan makanan ruji kebiasaan [di] negara si hamba atau isteri, [dan diagihkan] kepada orang-orang yang berhak [menerima zakat] di negara [tempat] kedua-duanya [berada], bukannya [berdasarkan] negara [tempat] tuan atau suami [berada].

Rumusan

Kenyataan Syaikh al-Bakri ini menyimpulkan-dalam kes suami (atau bapa) berada di negara yang berlainan dengan negara isterinya (atau anak)-seperti berikut :

1. Kadar zakat fitrah yang digunakan, ialah kadar zakat fitrah di negara di mana isterinya berada. 

Jika si suami berada di Malaysia, manakala si isteri pula di Amerika sebagai contoh, maka si suami membayar zakat fitrah isterinya itu, berdasarkan kadar zakat fitrah di Amerika, bukannya Malaysia; dan

2. Zakat fitrah yang dikeluarkan oleh si suami (yang berada di Malaysia)-mengikut kadar zakat fitrah Amerika itu (iaitu negara tempat isterinya berada)-hendaklah diserahkan kepada amil zakat di Amerika, atau diagihkan kepada mereka yang berhak menerima zakat di Amerika.

Bagi memenuhi tuntutan ini, si suami boleh mengirim wang zakat fitrah itu kepada isterinya di Amerika untuk diserahkan kepada amil di sana.

Zakat fitrah adalah zakat 'badan' atau zakat 'diri'. 

Justeru, logiknya ia dibayar berdasarkan kadar zakat fitrah tempat di mana 'badan' atau 'diri' itu berada, dan diagihkan kepada orang-orang yang berhak di tempat 'badan' atau 'diri' itu tinggal.

Wallahu a'lam

Sunday, 21 July 2013

Mengorek hidung & telinga ketika berpuasa : Pandangan Mazhab Syafie

Persoalan samada perbuatan mengorek telinga atau hidung membatalkan puasa atau tidak-seperti biasa- akan ditinjau melalui jendela kitab-kitab muktabar Feqh Mazhab Syafie.

Pendapat mazhab-mazhab lain hanya akan disebut jika ada keperluan.

Jawapan kepada persoalan ini boleh ditemui melalui pendakian 'tangga-tangga' pemahaman seperti berikut :

Pertama : Puasa terbatal disebabkan kemasukan sesuatu objek ke dalam badan. 

Ketika menghuraikan syarat-syarat sah puasa, Imam Nawawi r.a menyatakan :
الإمساك...عن وصول العين إلى ما يسمى جَوْفا 
Terjemahan : [Syarat sah puasa antaranya] menahan...daripada sampai sesuatu objek kepada [anggota tubuh badan] yang dinamakan 'jauf'.

Mu'jam al-Waseet, mentakrifkan 'jauf' dengan  الجَوْفُ من كل شَيءٍ : باطنه الذي يقبل الشَّغْل والفراغ .

Maksudnya, " 'jauf' setiap sesuatu, ialah bahagian dalamnya (sesuatu) yang boleh diisi dan dikosongkan".

Dengan ini, 'jauf' bolehlah diterjemahkan sebagai 'bahagian dalam badan manusia'.

Ringkasnya, kemasukan sesuatu objek ke 'bahagian dalam badan manusia', membatalkan puasa.

Dalil kepada kenyataan Imam Nawawi di atas, ialah kata-kata Syaidina Ibnu Abbas radhiyALLAHu  'anhu. Beliau berkata :
إنّما الوضوءُ ممّا يخْرجُ وليس ممّا يدْخلُ وإنّما الفِطْر ممّا دخل وليس ممّا خرج
Terjemahan : Sesungguhnya wuduk [terbatal] disebabkan keluarnya [sesuatu dari badan], dan bukan [terbatal] disebabkan masuknya [sesuatu ke dalam badan], dan sesungguhnya berbuka (terbatal puasa) disebabkan sesuatu yang masuk [ke dalam badan], dan bukannya disebabkan keluarnya sesuatu [dari badan].

Menurut Imam Nawawi r.a dalam al-Majmuk, kata-kata Ibnu Abbas ini direkodkan oleh Imam al-Bayhaqi dengan sanad yang hasan atau sahih.

Had 'bahagian dalam'

Kedua : Penentuan had 'bahagian dalam badan manusia'

Ulama-ulama Mazhab Syafie memperincikan bahagian-bahagian hidung dan telinga yang dianggap sebagai 'bahagian dalam badan' seperti berikut :

a. Bahagian selepas pangkal hidung. 

Dalam Bahasa Arab, 'pangkal hidung' disebut 'khaisyum'. Khaisyum ialah tempat keluar (makhraj) suara dengung.

Adapun 'bahagian dalam lubang hidung sehingga ke pangkal hidung', ia tidak dianggap 'bahagian dalam badan manusia'. Ia dikira sebagai 'bahagian luar tubuh manusia'.

Oleh itu, dalam Mazhab Syafie, seseorang yang mengorek hidungnya tanpa melangkaui pangkal hidung, tidak dianggap telah memasukkan sesuatu objek ke 'dalam badan'. 

Ini kerana, bahagian dalam hidung sehingga ke pangkal hidung, termasuk dalam kategori 'bahagian luar tubuh manusia', bukannya bahagian dalam.

Oleh itu, mengorek hidung-selama mana tidak melangkaui pangkal hidung-tidak membatalkan puasa.

Perkara ini dinyatakan dengan jelas oleh para ulama Mazhab Syafie. Imam Nawawi menukilkan dalam al-Majmuk :
قال أصحابنا : وما جاوز الخيشومَ في الاستعاط فقد حصل في حد الباطن وحصل به الفطرُ

Terjemahan : Berkata rakan-rakan kami [ulama-ulama Mazhab Syafie] : Apa-apa yang melangkaui pangkal hidung (khaisyum) ketika memasukkan ubat ke dalam hidung, maka [bermakna] ia sampai ke had [bahagian] dalam [tubuh manusia], dan menyebabkan berbuka (terbatal puasa).      

b. Lubang telinga.

Lubang telinga dianggap 'bahagian dalam tubuh manusia'. Oleh itu, memasukkan sesuatu ke dalam lubang telinga, membatalkan puasa.

Dalam Feqh al-Ibadat berasaskan Mazhab Syafie dinyatakan :
ومثله حك الأذن من داخلها بشيء صلب أما بالإصبع فلا يفطر ما لم تصل إلى الصِّماخ

Terjemahan : Dan sama dengannya (apa yang disebut sebelumnya) [dari segi membatalkan puasa] ialah mengorek dalam telinga dengan benda keras. Adapun [mengorek telinga] dengan jari, ia tidak membatalkan [puasa] selama mana [jari] tidak sampai ke 'simagh'.

Kitab Hasyiah al-Bujayrimi 'Ala al-Khateeb mentakrifkan 'simagh' sebagai خرق الأذن iaitu 'lubang telinga'.

Kesimpulan

Nukilan daripada kitab-kitab muktabar Feqh Syafie ini merumuskan dua perkara penting.

Pertama : Kepercayaan bahawa mengorek hidung (iaitu tanpa melangkaui pangkal hidung) membatalkan puasa, adalah karut. Tiada ulama Mazhab Syafie yang menyatakan demikian.

Kedua : Tiada ulama Mazhab Syafie yang mengatakan 'bahagian dalam telinga' (yang membatalkan puasa jika dikorek) ialah 'bahagian selepas gegendang' seperti yang difahami daripada 'fatwa' sesetengah ustaz popular.

'Fatwa' ini bermakna, jika dikorek lubang telinga selama mana tidak sampai ke gegendang, tidak membatalkan puasa.

Pendapat sebenar Mazhab Syafie ialah seperti yang dinyatakan. Iaitu semata-mata mengorek atau memasukkan sesuatu dalam lubang telinga, membatalkan puasa.

Wallahu a'lam

Monday, 8 July 2013

Kedahsyatan gagal di bulan Ramadhan!

Sedarkah kita semua akan satu nikmat yang sangat besar dikurniakan Allah kepada kita?

Bulan Ramadhan datang berkunjung, sedang kita masih lagi bernyawa…

Itulah nikmat yang sangat besar…

Kesempatan bersua dengan bulan Ramadhan buat kesekian kali, menganugerahkan kita peluang besar untuk mendahului orang lain ke syurga.

Dengarkanlah perkhabaran seorang sahabat Nabi s.a.w, Talhah bin Ubaidillah r.a.

عن طلحةَ بنِ عبيد الله : أن رجلَيْن من بَلِي - و هو حي من قضاعة - قتل أحدُهما في سبيل الله، وأُخِّر الآخرُ بعده سنةً ثم مات، قال طلحة رضي الله عنه : فرأيْتُ في المنام الجنةَ فُتحتْ، فرأيْتُ الآخِرَ من الرجلَيْن دخل الجنةَ قبل الأول، فتعجبْتُ. فلما أصبحْتُ ذكرْتُ ذلك، فبلغتْ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم، فقال لي رسولُ الله صلى الله عليه وسلم :"أليس قد صام بعده رمضان وصلى بعده ستة آلاف ركعة، وكذا وكذا ركعة لصلاة السنة؟".

Terjemahan : “Dari Talhah bin Ubaidillah r.a [beliau menceritakan bahawa] dua orang lelaki [berasal] dari Baliy-sebuah penempatan sebahagian [suku] Qudha’ah-telah dibunuh salah seorang daripada mereka berdua pada jalan Allah.

Sementara seorang lagi ditangguhkan [ajalnya oleh Allah] selama setahun selepasnya, kemudian beliau pun mati. Talhah r.a berkata, “aku melihat dalam tidur akan syurga yang dibuka [pintunya].

Lalu, aku melihat [lelaki] yang terakhir [mati] dari kedua-dua lelaki tadi, masuk syurga [terlebih dahulu] sebelum lelaki yang pertama [yang terlebih dahulu mati].

Lantas aku merasa hairan [kerana orang yang mati biasa, memasuki syurga terlebih dahulu berbanding orang yang mati syahid]. Tatkala waktu pagi, aku menyebut perkara itu dan ia [kemudiannya] sampai kepada Rasulullah s.a.w.

Lantas Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku, “bukankah dia [lelaki yang mati kemudian] telah berpuasa Ramadhan selepasnya (lelaki yang mati terlebih dahulu) dan bersolat selepasnya [sebanyak] 6,000 rakaat dan sekian banyak rakaat solat sunat?”.

Menurut Albani dalam Silsilah al-Sahihah, jil. 6, ms.176, hadis ini hadis sahih.

Peluang keemasan

Sesungguhnya, kehadiran Ramadhan adalah peluang yang bukan kepalang besarnya…

Peluang untuk diampunkan segala dosamu…

Peluang untuk dibebaskan tengkukmu dari api neraka…

Lantaran, pada setiap malam Ramadhan, ada yang akan dibebaskan daripada api neraka.

Justeru, layaklah orang yang sempat menemui Ramadhan, tetapi tidak diampunkan dosa-dosanya-lantaran alpa dan lalai-didoakan kecelakaan untuknya oleh malaikat Jibril, dan diaminkan oleh Nabi Muhammad s.a.w!

Ya Allah…doa yang sangat ‘dahsyat’…               

Doa yang dilafazkan oleh bukan sahaja seorang malaikat, tetapi malaikat yang paling hampir dengan Allah.

Lebih menggerunkan, diaminkan pula oleh makhluk yang paling mulia di sisi Allah, Muhammmad sallallahu alaihi wasallam!

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم صعِد المنبرَ فقال : "آمين آمين آمين"، قيل : "يا رسولَ الله، إنك صعدْتَ المنبرَ فقلتَ : "آمين آمين آمين". فقال : "إن جبريل عليه السلام أتاني فقال : "من أدرك شهرَ رمضان فلم يُغفَرْ له فدخل النار فأبعده الله، قل : آمين" فقلتُ : "آمين".

Terjemahan : “Dari Abu Hurairah r.a [beliau bercerita] bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menaiki mimbar, lantas berkata, “amin, amin, amin”.

Dikatakan [kepada Baginda] , “wahai Rasulullah, Tuan telah menaiki mimbar lantas Tuan berkata, “amin, amin, amin”.

Lantas Baginda [menjelaskan dengan] berkata, “sesungguhnya Jibril a.s datang menemuiku lalu berkata, “sesiapa yang menemui bulan Ramadhan, tetapi tidak diampunkan baginya [dosa-dosanya], maka masuk neraka dan Allah menjauhkannya. Katakanlah “amin” [wahai Muhammad]. Maka aku pun berkata, “amin”.

Menurut Albani (Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib, jil.2, ms.138), hadis ini bertaraf ‘hasan sahih’, dan direkodkan oleh Ibnu Khuzaymah dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya.

Kalau tidak di Ramadhan, bilakah lagi?

Kalau kita masih tidak diampunkan di bulan Ramadhan, maka bilakah lagi?

Andai kita masih belum mampu ‘memasuki’ syurga di bulan Ramadhan, sedang pintunya terbuka luas di bulan ini, maka bilakah lagi?

Jika leher kita masih belum dibebaskan daripada neraka di bulan Ramadhan, sedang setiap hari di bulan ini adalah peluang untuk bebas daripada api neraka, maka bilakah lagi?

Justeru, jangan sekali-kali dirosakkan puasa dan ibadat dengan maksiat.

Sebaliknya,hormatilah bulan ini selayaknya, dan ketahuilah nilai hari-hari Ramadhan yang terbatas ini...

Kerana barangkali ditulis bagi anda kebebasan daripada api neraka di bulan yang mulia ini, maka berjayalah anda dengan kejayaan yang besar…

Barangkali juga Ramadhan ini menjadi peluang terakhir anda…

Berapa ramai orang yang dahulunya bersama kita di Ramadhan yang lepas, tetapi tidak lagi bersama kita di Ramadhan kali ini.

Rebutlah Ramadhan, janganlah mengsia-siakannya...

Ohhh…
Allahumma…

Sunday, 7 July 2013

Penggulingan Morsi : Qaradhawi bantah Syaikhul Azhar!

Syaikh Yusuf al-Qaradhawi
'Bahang' pertelagahan ekoran penggulingan Presiden Mohammad Mursi, nampaknya tidak hanya 'menggelegakkan' alam realiti di bumi Mesir. 

'Api'nya yang marak 'membakar' medan-medan di bumi Kinanah itu, mula merebak dan menjulang ke alam keintelektualan Islam.
  
Syaikhul Azhar, Syaikh Ahmad Tayyib-yang diangkat ke jawatan tertinggi di al-Azhar itu oleh bekas presiden Mesir, Husni Mubarak-telah menyediakan 'unggun-unggun' pertelingkahan di alam keintelektualan Islam apabila menyokong tindakan kontroversi dan provokatif pihak tentera Mesir pada 4 julai 2013 baru-baru ini.

Pada hari yang hitam dalam sejarah moden Mesir itu, pihak tentera telah menyempurnakan dengan jayanya penggulingan presiden Mesir yang pertama dipilih melalui pilihan raya yang telus dan demokratik, Dr. Muhammad Mursi.

Syaikhul Islam lwn Syaikhul Azhar!

Hari ini (Sabtu, 7 Julai 2013), Syaikh Qaradhawi-yang dianggap sebagai Syaikhul Islam zaman ini oleh Syaikh Ali Sobuni- menyalakan 'unggun-unggun' yang disediakan oleh Syaikhul Azhar itu dengan kritikan-kritikan pedas beliau.

Qaradhawi menghangatkan pentas diskusi seputar tragedi terbaru Mesir itu dengan dakwaan bahawa Ahmad Tayyib menyatakan sikap berhubung tragedi penggulingan Mursi di atas nama Hay'ah Kibar Ulama al-Azhar (Lembaga Ulama-Ulama Besar al-Azhar), tanpa perbincangan dengan ahli-ahli lembaga. 

Ahli-ahli lembaga ulama itu juga, menurut Qaradhawi tidak mewakilkan Syaikhul Azhar itu untuk menyatakan sikap berhubung tragedi hitam itu di atas nama mereka.

Qaradhawi terus memanaskan diskusi apabila menyifatkan Ahmad Tayyib tersilap bila menyokong tindakan tentera menggulingkan Mursi, presiden yang sah di sisi undang-undang.

Bukan setakat itu sahaja, Ahmad Tayyib juga dianggap menyanggah ijmak dan konsensus ummah dengan pendirian beliau itu.

Darjah kehangatan diskusi semakin meningkat bila pengerusi Kesatuan Ulama-Ulama Islam Sedunia itu menganggap pendirian Ahmad Tayyib itu tidak bersandarkan kepada al-Quran dan Sunnah, dan menyanggahi ijmak para ulama yang tidak 'menjual' ilmu mereka kepada mana-mana makhluk!

Bantahan Qaradhawi terhadap Ahmad Tayyib diakhiri dengan kesimpulan bahawa pendirian Syaikhul Azhar itu, hanya akan memusnahkan peranan al-Azhar selama ini yang sentiasa berpihak kepada rakyat, bukannya kepada pemerintah kuku besi!

NOTA : Teks asal bantahan Qaradhawi :
إن الدكتور الطيب رئيس هيئة كبار العلماء -وأنا أحدهم- لم يستشرنا ولم نفوضه ليتحدث باسمنا، وهو مخطئ في تأييده الخروج على الرئيس الشرعي للبلاد، وهو مخالف لإجماع الأمة، ولم يستند في موقفه إلى قرآن ولا إلى سنة وخالف علماء الأمة الإسلامية الذين لا يبيعون علمهم من أجل مخلوق كان. ليت الدكتور الطيب يتعامل مع الدكتور مرسي كما تعامل من قبل مع حسني مبارك! فلماذا يكيل بمكيالين؟ فهذا تخريب لدور الأزهر، الذي يقف دائماً مع الشعب، لا مع الحاكم المستبد


Terjemahan : Dr. [Ahmad] Tayyib, pengerusi Lembaga Ulama-Ulama Besar [al-Azhar]-dan saya salah seorang daripada ahlinya-tidak berbincang dengan kami [berhubung pendirian Lembaga Ulama-Ulama Besar al-Azhar terhadap penggulingan Mursi], dan kami tidak mewakilkan beliau untuk bercakap [berhubung perkara ini] di atas nama kami. 

Beliau tersilap apabila menyokong [tindakan] memberontak ke atas presiden yang sah bagi negara [Mesir]. 

Beliau telah menyanggahi ijmak ummah dan tidak bersandarkan kepada al-Quran dan Sunnah dalam pendirian [yang diambil itu], dan menyanggahi ulama-ulama yang tidak 'menjual' ilmu mereka kepada mana-mana makhluk.

Alangkah moleknya jika Dr. [Ahmad] Tayyib 'melayani' Dr. Mursi sebagaimana beliau 'melayani' Husni Mubarak sebelum ini [ketika rakyat bangkit menentangnya pada 25 Januari 2011]. 

Mengapa beliau 'menimbang' dengan dua penimbang [yang berbeza]. [Semua] ini merosakkan peranan al-Azhar yang sentiasa berdiri bersama rakyat, bukannya bersama pemerintah kuku besi!

Wallahu a'lam.

Monday, 1 July 2013

Qaradhawi : Sucikan wang haram dengan bersedekah kepada rakyat Syria

Dalam siri sokongan berterusan terhadap perjuangan rakyat Syria membebaskan diri daripada cengkaman kuku besi diktator negara itu, Bashar al-Asad, Syaikh al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia menggesa umat Islam di seluruh dunia, agar membayar zakat kepada rakyat Syria.

Selain zakat, beliau juga menggesa agar wasiat atau wakaf yang hendak dilakukan, disalurkan kepada rakyat Syria dengan menamakan mereka dalam wasiat dan wakaf yang dilakukan.

Bagi umat Islam yang mahu menyucikan diri daripada wang haram, seperti wang faedah (bunga), beliau juga menggesa mereka menyalurkan wang tersebut kepada rakyat Syria.

Bagi menjelaskan keutamaan wang zakat disalurkan kepada rakyat Syria, Qaradhawi menjelaskan, para ‘pemberontak’ di Syria kini mewakili pelbagai jenis asnaf zakat. 

Ini kerana, di kalangan mereka ada orang yang fakir, miskin, pejuang Fi Sabilillah, orang berhutang dan orang-orang dalam perjalanan.

Gesaan ini dibuat ketika beliau menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Umar Ibn al-Khattab di Doha.

Dalam khutbah tersebut, beliau dipetik sebagai berkata :

ادفعوا أموال الزكاة لهذا الشعب لأنهم يستحقونها، كذلك أموال الوصايا والأوقاف والأموال التي بها شبهة من فوائد البنوك وما شابهها، فأي مساعدة تُغطّي جزءاً من حاجتهم وتُعينهم على صمودهم

Terjemahan : Bayarlah zakat harta kepada rakyat [Syria] ini kerana mereka berhak [menerima] nya. Begitu juga harta-harta wasiat, wakaf dan harta-harta syubhat, seperti faedah bank dan seumpamanya, justeru sebarang bantuan [dapat] memenuhi satu juzuk daripada keperluan mereka dan membantu mereka terus teguh”.

NOTA : Kemas kini artikel asal bertajuk Qaradhawi gesa zakat, wang syubhat disalur kepada rakyat Syria

Friday, 28 June 2013

Al-Ghanushi & pem'bongsai'an Syariat dalam hudud!

"Salah seorang pemuda bertanya saya dengan nada membantah, "apa yang telah kamu sumbangkan untuk Islam, dan apa Syariat Islam yang telah kamu laksanakan [setakat ini di Tunisia]", catat Syaikh Rasheed al-Ghanushi dalam akaun Facebook beliau.

Al-Ghanushi ialah presiden Hizb An-Nahdhah, parti beraliran Islam yang menerajui Kerajaan Tunisia pasca penggulingan regim Ben Ali.

Beliau diasak dengan soalan provakatif itu dalam satu seminar berkenaan Maqasid Syariah di  Algeria.
Syaikh Rasheed al-Ghanushi
Soalan sebegitu timbul lantaran Syariat Islam-yang biasa difahami sebagai 'perlaksanaan hudud' dan 'kawalan ke atas moral manusia'-dilihat tidak terlaksana biar pun selepas 2 tahun Hizb an-Nahdhah menerajui Tunisia.

"Dua tahun sebelum ini (iaitu sebelum Tunisia 'merdeka' daripada regim Ben Ali), adakah kamu boleh bertanya soalan [seperti] ini, kemudian pulang ke rumah kamu dalam keadaan aman?", al-Ghanushi menyoal balas pemuda itu. Satu soalan yang mengandungi  pernyataan secara tidak langsung tentang kekejaman regim Ben Ali ketika berkuasa.

Pem'bongsai'an Syariat 

"Mengapa kamu melihat Syariat [Islam] itu [sebagai] satu siri hukuman [hudud, qisas dan takzir]...mengapa kamu tidak melihat 'syariat' itu ialah keadilan, kebebasan dan keamanan?", soal al-Ghanushi lagi.

Melalui soalan ini, al-Ghanushi cuba membebaskan pemikiran pemuda tadi daripada 'tempurung' pemikiran tradisi, yang gemar mem'bongsai'kan 'Syariat Islam'-yang mengcakupi seluruh ranah kehidupan manusia-dalam 'perlaksanaan hudud, qisas dan takzir' semata-mata.

Pemikiran 'keretot' tentang Syariat Islam ini mengakibatkan keadilan yang ditegakkan, kebebasan dan keamanan yang ditebarkan, serta pembangunan dan pendidikan yang dimajukan, tidak dilihat sebagai satu perlaksanaan Islam, atau penegakan Syariat Islam! 

"Bukankah kamu [sebagai seorang Islam] ada sesuatu yang lain [yang boleh] kamu kemukakan kepada manusia selain hukuman [hudud, qisas dan takzir]?", soal al-Ghanushi lagi, yang dalam masa sama menarik perhatian pemuda tadi kepada soal awlawiyyat dalam perlaksanaan Islam, khususnya di Tunisia.

"Kebebasan yang dinikmati rakyat Tunisia [kini], bukankah ia salah satu maqasid syarak? Akhbar kita [sudah] bebas, universiti kita bebas, bukankah [semua] ini satu juzuk daripada Syariat [Islam]", soal al-Ghanushi lagi sambil membuat penegasan secara tidak langsung tentang makna Syariat Islam, dan makna 'perlaksanaan syariat'.

Satu 'kuliah' ringkas yang menarik dan padat tentang makna 'Syariat Islam' dan makna 'perlaksanaan Islam'!

NOTA : Teks asal catatan al-Ghanushi :
سألني أحد الشباب بشكل استنكاري: ماذا قدمتم للإسلام وماذا طبقتم من الشريعة؟  فقلت له: قبل سنتين هل كان يمكن أن تسأل هذا السؤال وتعود إلى بيتك آمنا ؟؟
لماذا ترى أن الشريعة سلسلة من العقوبات، لماذا لا ترى الشريعة عدالة وحريات وأمنا ؟؟ أليس لديكم شيء آخر تقدمونه للناس غير العقوبات ؟؟
الشريعة عدل كلها ورحمة كلها، والحريات التي يتمتع بها الشعب التونسي أليست مقصدا من مقاصد الشريع؟؟ صحافتنا حرة ومساجدنا حرة وجامعاتنا حرة، أليس هذا جزءا من الشريعة؟

Thursday, 20 June 2013

Gesaan membayar zakat kepada tentera Pembebasan Syria

Syaikh Dr. Salman Awdah
Fatwa terbaru Syaikh Salman Awdah berhubung peperangan di Syria, boleh dianggap satu anjakan bermakna dalam sikap para ulama semasa terhadap kekejaman regim Basyar al-Asad, yang didokong kuat oleh Republik Islam Iran dan rangkaiannya, Hezbullah.

Ulama pembaharu Arab Saudi itu memfatwakan 'keharusan membayar zakat' kepada Tentera Pembebasan Syria yang berusaha menamatkan kekejaman regim Basyar al-Asad ke atas umat Islam Syria.

Dalam akaun Facebooknya, Syaikh Salman mencatatkan :


يجوز دفع الزكاة لهم، ويجوز تعجيلها لمن عادته إخراجها في رمضان

Terjemahan : Harus membayar zakat kepada mereka (tentera-tentera Pembebasan Syria), dan harus menyegerakannya (pembayaran zakat, iaitu sebelum cukup haul) bagi sesiapa [yang menjadi] kebiasaannya mengeluarkannya (zakat) pada [bulan] Ramadhan.

Fatwa wajib

Fatwa ini mungkin dibina di atas asas 'perjuangan membebaskan Syria daripada kezaliman regim Basyar al-Asad', adalah satu jihad. 

Berdasarkan pertimbangan ini, zakat boleh dibayar kepada mereka kerana salah satu asnaf yang berhak menerima zakat, ialah 'Fi Sabilillah', iaitu 'orang yang berjuang di jalan Allah' dengan maknanya yang luas.

Walau bagaimana pun, fatwa Syaikh Salman ini lebih 'ringan' berbanding fatwa Syaikh Sadik al-Gharayani, ketua Darul Ifta' Libya (Majlis Fatwa Libya). 

Ulama Libya itu pergi lebih jauh, apabila memfatwakan 'wajib membayar zakat' kepada para tentera Pembebasan Syria. Sependapat dengan beliau ialah Syaikh Khaled Hendawi, seorang pendakwah.

Besar kemungkinan, asas kepada fatwa kedua ini ialah 'pengabaian Negara-Negara Arab' terhadap rakyat Syria yang dizalimi regim ganas, Basyar al-Asad. 

Dalam keadaan mereka yang dizalimi dibiarkan sendirian, ini membuka ruang kepada fatwa 'kewajipan membayar zakat kepada tentera Pembebasan Syria', untuk muncul.

Thursday, 13 June 2013

Bahagiakan jiwa dengan berbaik sangka

Bahagiakanlah diri, rehatkanlah jiwa dengan berbaik sangka…

Dengan berbaik sangka, sejahteralah jiwa, dan amanlah minda dari lintasan-lintasan fikiran yang menggusarkan...

Yang menyakitkan jiwa...

Yang mengocak fikiran...

Dan, meletihkan jasad...

Berbaik sangka akan melapangkan dada...

Akan mengukuhkan tali mahabbah dan kasih sayang sesama saudara seagama...

Lantas, bersihlah dada daripada kebencian dan permusuhan.

Hayatilah sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam :

إياكم والظن؛ فإن الظنَّ أكذبُ الحديث، ولا تحسَّسوا، ولا تجسَّسوا، ولا تنافسوا، ولا تحاسدوا، ولا تباغضوا، ولا تدابروا،وكونوا عبادَ الله إخوانًا

Terjemahan : Jauhilah prasangka kerana sesungguhnya prasangka itu adalah kata-kata yang paling dusta. Jangan kamu mencari-cari berita [tentang seseorang dengan tujuan tidak baik], janganlah kamu mengintip-ngintip, janganlah kamu saling tewas menewas, janganlah kamu saling mendengki, janganlah kamu saling membenci, dan janganlah kamu saling membelakangi. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.

Membajai husnul zan

Hadirkanlah sifat berbaik sangka ke halaman jiwa, dan pakaikanlah diri dengan baju husnul zan.

Bantulah diri agar ia betah untuk berhusnul zan...

Pertama : Berdoalah ke hadrat Ilahi agar dikurniakan hati yang mesra dengan husnul zan. Sesungguhnya, doa adalah pintu segala kebaikan.

Kedua : Biasakan amalan meletakkan diri sendiri pada tempat orang lain. 

Tatkala seseorang melakukan sesuatu perbuatan, atau menuturkan sesuatu ucapan yang dilihat 'tidak sepatutnya', usahlah segera berburuk sangka. 

Sebaliknya, cuba letakkan diri sendiri pada tempat orang itu.

Ambil contoh seorang sahabat yang punyai kuasa dan jawatan, yang tentunya terpaksa meraikan banyak ranah, dan mengambil kira perasaan ramai orang. 

Andai terpacul tindakan atau perkataannya yang zahirnya 'tidak kena', kuncilah hati dan perasaan sekemas-kemasnya daripada dicerobohi buruk sangka. 

Cuba letakkan diri sendiri di tempat sahabat tadi. InsyaAllah, benih-benih husnul zan bercambah sedikit demi sedikit, lalu memberikan damai dan hening kepada jiwa dan perasaan.

Langkah ini sejajar dengan suruhan berbaik sangka sesama saudara seagama dalam firman Allah (an-Nur : 12) :


لَّوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَـذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ ﴿١٢

Maksudnya : Sepatutnya, semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri mereka sendiri, dan sepatutnya mereka berkata : ini adalah tuduhan dusta yang nyata.

Ketiga : Mentafsirkan kata-kata orang lain dengan tafsiran yang baik.

Inilah budaya salafussoleh. 

Mereka berusaha untuk bersangka baik. 

Justeru, jika mereka terdengar kata-kata yang kurang menyenangkan, mereka berusaha mentafsirkannya dengan tafsiran yang baik.

Syaidina Umar r.a menasihatkan :
 لا تظن بكلمة خرجت من أخيك المؤمن شرًّا،وأنت تجد لها في الخير محملاً 
Terjemahan : Janganlah kamu bersangka buruk terhadap sesuatu ucapan yang terbit daripada saudara kamu, sedangkan kamu mendapati ada tafsiran yang baik baginya (ucapan).

Hayatilah akhlak Imam Syafie r.a. 

Ketika jatuh sakit, beliau dikunjungi salah seorang saudaranya. Saudaranya itu berkata kepada beliau :
 قوى لله ضعفك
Terjemahan : Semoga Allah menguatkan kedhaifanmu.

Imam Syafie r.a menjawab :
 لو قوى ضعفي لقتلني
Terjemahan : Sekiranya Dia menguatkan kelemahanku, [itu bermakna] Dia telah membunuhku.

Saudara Imam Syafie itu menjelaskan niat baik beliau daripada kata-kata itu dengan berkata :
 والله ما أردت إلا الخير.
Terjemahan : Demi Allah, aku tidak bermaksud [dengan kata-kataku itu] melainkan kebaikan.
أعلم أنك لو سببتني ما أردت إلا الخير
Imam Syafie menjawab : Aku tahu, sekiranya engkau memakiku [sekalipun], engkau tidak bermaksud melainkan kebaikan. 

Demikianlah tingginya husnul zan Imam Syafie r.a terhadap orang lain. Tetap bersangka baik sekalipun dengan orang yang memaki beliau.

Unggulnya akhlak beliau, murninya hati dan jiwa ulama agung ini, sehinggakan 'makian' mampu ditafsirkan sebagai kebaikan!

Keempat : Mencari 'keuzuran' bagi orang lain

Apabila terbit daripada seseorang sesuatu kata-kata atau perbuatan yang zahirnya 'tidak kena', usah gopoh bersangka buruk. Cubalah mencari atau mengandaikan sebab yang mendorongnya berkata, atau berbuat demikian.

Contohilah sikap orang-orang yang soleh. 

Mereka begitu gemar mengandaikan sebab, alasan atau 'keuzuran' yang menyebabkan seseorang melakukan sesuatu yang zahirnya tidak tepat. 

Semuanya bagi mengelakkan diri daripada bersangka buruk terhadap orang lain. Sehinggakan mereka berkata :
 التمس لأخيك سبعين عذراً.
Terjemahan : Carilah untuk saudara kamu [sebanyak] 70 keuzuran

Maksudnya, bila seseorang melakukan sesuatu yang 'tidak kena', usah terburu-buru bersangka buruk.

Sebaliknya, cuba andaikan sebab, atau faktor yang menyebabkannya melakukan perkara sedemikian. Jika sebab yang diandaikan itu tidak mampu menjustifikasikan tindakannya itu, carilah sebab-sebab lain sehingga kepada 70 sebab atau 'keuzuran'!

Dalam nada serupa, Ibnu Sireen r.a berkata :
إذا بلغك عن أخيك شيء فالتمس له عذرًا ،فإن لم تجد فقل: لعل له عذرًا لا أعرفه
Terjemahan : Apabila sampai kepada kamu sesuatu [perkataan atau perbuatan yang tidak menyenangkan] daripada saudaramu, maka carilah 'keuzuran' untuknya, jika kamu tidak menemui [sebarang 'keuzuran' bagi menjustifikasikan apa yang sampai kepada kamu], maka katakanlah : barangkali dia ada 'keuzuran' lain yang aku tidak ketahui!

Dengan mesej yang sama, syair Arab bermadah :
تأن ولا تعجل بلومك صاحبًا      لعل له عذرًا وأنت تلوم
Terjemahan : Bercermatlah, dan janganlah terburu-buru mencela seseorang rakan [kerana] barangkali dia ada 'keuzuran' sedangkan engkau pula mencela-celanya.

Kelima : Jauhkan sikap menelah niat seseorang.

Ini adalah salah satu sebab terbesar terhasilnya sifat bersangka baik. Dimana kita menyerahkan soal niat seseorang kepada yang Maha Mengetahui. Apa yang menjadi perkiraan kita ialah apa yang zahir dipandang mata. 

Keenam : Mengingati kesan-kesan buruk berburuk sangka.

Seseorang yang mudah berburuk sangka dengan orang ramai, sentiasa dalam keletihan dan kerungsingan yang tidak berkesudahan, disamping mudah kehilangan kawan dan rakan. 

Buruk sangka akan mendorong seseorang mentohmah orang lain. 

Orang yang berburuk sangka juga, biasanya akan mempersucikan dirinya, dan ini bertentangan dengan firman Allah (an-Najm : 32) :


فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَى ﴿٣٢

Maksudnya :Janganlah kamu mempersucikan diri kamu. Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

Allah juga membantah sikap orang-orang Yahudi yang suka mempersucikan diri sendiri dengan berfirman (an-Nisa' : 49) :


أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يُزَكُّونَ أَنفُسَهُم بَلِ اللَّـهُ يُزَكِّي مَن يَشَاءُ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا ﴿٤٩

Maksudnya : Tidakkah engkau perhatikan orang-orang yang menganggap diri mereka suci? Padahal Allahlah yang mempersucikan sesiapa yang dikehendakiNya; dan mereka pula tidak akan dizalimi sedikit pun.

Syaitan memang berusaha memecah belahkan antara sesama Islam. Usaha jahat syaitan itu perlu disekat, antaranya dengan berbaik sangka.

Bermujahadahlah melawan syaitan dengan husnul zan!