Showing posts with label MOTIVASI. Show all posts
Showing posts with label MOTIVASI. Show all posts

Thursday, 31 January 2013

Saringan ilmu dan falsafah hidup...


Diajukan kepada seorang failasuf (ahli falsafah), “apakah yang tuan inginkan?”.

Beliau menjawab, “saya inginkan kesihatan sepanjang hari”.

Lantas dikatakan kepadanya, “bukankah tuan dalam keadaan sihat setiap hari?”.

Beliau menjawab, “kesihatan ialah berlalunya suatu hari tanpa dosa”.

Berkata seorang lagi failasuf, "ada empat perkara yang cantik, tetapi ada empat perkara lagi yang lebih cantik; malunya seorang lelaki, adalah cantik. Tapi, sifat malu dari seorang wanita, adalah lebih cantik...

Sifat adil yang terbit daripada semua orang, adalah cantik, tapi sifat adil yang datang dari hakim dan pemerintah, adalah lebih cantik...

Bertaubatnya seorang tua, adalah cantik, tapi bertaubatnya seorang pemuda, adalah lebih cantik...

Dan, sifat pemurah dari orang-orang kaya adalah cantik, tapi pemurahnya orang-orang fakir, adalah lebih cantik".

Seorang failasuf lain pula berkata, "andai engkau meminta dari seorang yang berhati luhur, biarkan dia berfikir, kerana dia tidak berfikir melainkan yang baik-baik. 

Tapi, tatkala engkau meminta dari seorang yang buruk pekerti, maka desaklah dia agar tabiatnya yang buruk tidak menasihatkannya agar tidak memenuhi permintaan kamu".

Dikatakan kepada seorang lagi failasuf, "orang yang kayakah lebih utama, atau ulama?". 

Beliau menjawab, "ulamalah yang lebih utama". 

Lantas dikatakan kepadanya, "justeru, mengapa para ulama yang datang mengetuk pintu orang-orang yang kaya, sedangkan kita tidak pula melihat orang-orang kaya datang mengetuk pintu rumah para ulama?". 

Lantas beliau menjawab, "kerana para ulama mengetahui kelebihan harta, sedang orang-orang kaya tidak mengetahui kelebihan ilmu".

Ditanya seorang failasuf, "siapakah yang paling teruk keadaannya?". 

Jawabnya, "sesiapa yang kuat nafsu syahwatnya, jauh cita-citanya, pendek usianya dan sempit pandangan mata hatinya".

Ditanya seorang failasuf, "dengan cara apakah seseorang itu membalas dendam terhadap musuhnya?".

Beliau menjawab, "dengan memperbaiki dirinya sendiri".

Tuesday, 25 September 2012

Memaknakan hidup dengan 'percaya'...


Menurut satu cerita, terdapat seorang nelayan berperangai pelik.

Nelayan ini seorang yang bernasib baik, kerana mata kailnya selalu disambar ikan. Ini menyebabkan rakan-rakan nelayan yang lain, cemburu.

Suatu hari, rakan-rakan nelayan ini sangat marah.

Mereka sangat marah, kerana nelayan tadi melepaskan semula ikan-ikan besar yang tersangkut di mata kailnya.

Sebaliknya, hanya ikan-ikan kecil sahaja yang diambil!

Sudahlah mereka telah lama mencemburuinya kerana mata kailnya selalu saja disambar ikan. Bila melihatnya melepaskan ikan-ikan besar yang berjaya dipancingnya, tentulah mereka sangat marah dan geram.

Hei, apa hal kau ni ha...!!!?
Kau gila ke!!?
Mengapa kau lepaskan ikan-ikan yang besar!!?”, jerkah mereka kepada si nelayan.

Sebab aku hanya mempunyai kuali yang kecil”, jawabnya selamba.

Percaya pada diri

Kita mungkin tidak percaya ada orang sebodoh nelayan ini. Tapi, malangnya, kita melakukan setiap hari, apa yang dilakukan si nelayan bodoh ini.

Apa tidaknya, kita sering membuang idea-idea mega, cita-cita yang tinggi dan cetusan-cetusan fikiran yang bernilai.

Kerana apa?

Kerana semata-mata menganggap ia lebih besar daripada akal dan kemampuan kita. Sama seperti si nelayan yang membuang ikan-ikan yang besar, semata-mata kerana ia lebih besar daripada kuali yang ada di rumahnya.

Pakar motivasi mengingatkan kita dengan berkata, "anda adalah sebagaimana yang anda percaya".

Justeru, berfikirlah lebih jauh.

Impikan sesuatu yang lebih besar.

Jangkakan sesuatu yang melebihi jangkauan.

Dan berdoalah kepada Allah agar Dia memberikan lebih banyak kepada anda.

Salah satu hakikat yang ditemui ilmu psikologi masa kini ialah manusia mempunyai kemampuan untuk hidup sebagaimana yang dia kehendaki.

Ya, kita mempunyai kemampuan untuk hidup sebagaimana yang kita kehendaki...

Langkah pertama ke arah itu ialah memasang impian.

Impian yang besar akan menggariskan kepada kita tujuan dan matlamat.

Mengenalpasti tujuan dan matlamat adalah langkah kedua.

Matlamat inilah yang akan 'menghantui' kita pagi dan petang, mendesak supaya ia dicapai.

Namun, di sana ada satu sahaja halangan yang menghalang kita daripada menggapai impian dan menggodol kejayaan.

Mahukah anda tahu apakah halangan itu?

Halangan itu ialah ‘hukuman’ yang kita jatuhkan ke atas diri kita, bahawa diri kita lemah, gagal dan tidak berkeupayaan!!

Memang benar, sikap optimis semata-mata tidak mencukupi.

Tapi yang pasti, sikap pesimis adalah ‘penjenayah’ sebenar yang ‘membunuh’ manusia!

Wednesday, 22 February 2012

Berguru dengan kehidupan...


Seorang lelaki pergi menemui seorang failasof (pendeta). 

Tujuannya, mahu bertanya tentang suatu perkara yang membingungkannya.

Failasof bertanya, “tentang perkara apakah kamu mahu bertanya?”.

Si lelaki berkata, “alangkah banyaknya perkara yang menghairankan dalam diri manusia?”.

Failasof mengiyakan kata-katanya lantas menuturkan, “di kala masih kecil, manusia merasa bosan dengan dunia kanak-kanak, berlumba-lumba mahu menjadi dewasa.

Kemudian, setelah dewasa, rindu pula untuk kembali menjadi kanak-kanak...

Manusia mengorbankan kesihatannya demi menghimpun harta. Kemudian, mereka menghabiskan harta itu demi mengembalikan kesihatan yang telah di'korban'kan...

Mereka berfikir tentang masa depan, dengan penuh rasa bimbang dan melupakan masa kini.

Justeru, mereka sebenarnya tidak hidup pada masa kini, tidak juga pada masa depan...

Mereka hidup seolah-olah mereka tidak akan mati, dan mati seolah-olah tidak akan hidup kembali...”.

Failasof mendiamkan diri.

Suasana sunyi menyelubungi untuk beberapa detik.

Si lelaki bertanya, “apakah gerangannya pengajaran daripada kehidupan yang mesti dipelajari manusia?”.

Failasof melantunkan kata-kata memberikan jawapan, “
mereka hendaklah mengerti, mereka tidak berupaya menjadikan seseorang mengasihi diri mereka. Apa yang mereka mampu, ialah menjadikan diri mereka dikasihi...

Mereka perlu belajar untuk tidak membandingkan diri mereka dengan orang lain...Mereka mesti belajar bertolak ansur dan cuba untuk memaafi...

Mereka mesti sedar, kadang-kadang mereka menyebabkan luka yang dalam ke atas orang yang mereka kasihi, hanya dalam beberapa detik.

Tetapi, kadang-kadang mereka memerlukan masa bertahun-tahun lamanya bagi mengubatinya...

Manusia yang paling kaya, bukannya orang yang paling banyak memiliki. Bahkan, mereka yang kaya ialah orang yang paling sedikit memerlukan...

Di sana, terdapat orang-orang yang sangat mereka kasihi. Tetapi, manusia tidak mempelajari cara mempamerkan perasaan kasih mereka...

Manusia perlu belajar, dua orang boleh melihat suatu perkara yang sama, tetapi melihatnya dalam bentuk yang berbeza...

Manusia perlu menyedari, tidak cukup mereka hanya memaafi orang lain. Sebaliknya, mereka juga mesti memaafi diri mereka sendiri.

Setelah butir-butir permata kata itu dilontar dengan lembut dan teratur, tiada kata yang mampu disusun oleh si lelaki selain berkata, “terima kasih tuan”.

Tuesday, 27 December 2011

Tahun Baru 2012 : Bila diri sendiri 'dianaktiri' dalam keghairahan azam baru!

Tidak sedikit orang yang mahu membuka 'lembaran baru' dalam hidup...
Tetapi, ramai yang mahu memulakan hidup baru itu bila tibanya sempena tertentu.
Keadaan hidup stabil, perkahwinan, memasuki alam pekerjaan, adalah antara sempena yang dijadikan titik perubahan hidup.
Kesemuanya adalah sesuatu yang belum pasti. Ia mungkin berlaku, mungkin tidak.
Dengan tibanya tahun baru, ramai yang mahu menjadikannya titik tolak ke era hidup baru. Jika inilah keadaannya, maka ramai yang tersalah anggap.
Mereka menyangka, kekuatan untuk berubah itu akan tiba bersama sempena-sempena tadi.
Bila berkahwin, kekuatan untuk berubah akan bertunas dan seterusnya merimbun...
Tatkala keadaan hidup stabil, kemampuan untuk berhijrah akan terpasak dan kejap...
Bila mula bekerja atau tibanya tahun baru, kemahuan untuk menukar gaya hidup akan membuak-buak...
Kekuatan berubah dalam diri!
Semua ini adalah sangkaan. Ia adalah khayalan yang diutuskan oleh angan-angan.
Sebenarnya, perubahan hidup tidak terpancar dari semua sempena tadi. Ia sebaliknya terbit dan memancar dari dalam diri manusia, bukan dari luar diri mereka.
Jika diri manusia kuat, kental dan memiliki azam yang tinggi, mereka boleh berubah. Mereka boleh mencetuskan keajaiban  tanpa menanti kedatangan tahun baru, ataupun sempena-sempena tertentu.
Diri yang berkualiti juga tidak akan ditundukkan oleh suasana getir mahupun menekan. Sebaliknya, diri yang bermutu itu akan mengambil manfaat dan faedah dari suasana payah yang mengcengkam.
Ia tidak akan membuka ruang kepada keadaan untuk menawannya. Meskipun hidup dalam suasana yang keruh dan kelam, diri yang berkualiti terus hidup dalam keadaan jati diri dan keperibadiaannya kekal utuh dan tidak tercemar.
Ia umpama benih pepohon berbunga yang tertanam di dalam tanah yang hitam dan cemar.
Meskipun demikian, ‘jatidiri’nya tidak terusik. Ia kekal dalam keutuhan. Dengan ‘jatidiri’ yang tulen itu, ia menebuk tanah-tanah hitam dan pudar untuk menjenguk ke dunia luas, sambil menebarkan wangian dan warnanya yang gemilang!
Demikianlah diri yang berkualiti!
Ia tidak menyerah kalah kepada keadaan. Sebaliknya ia mencanai keadaan untuk melakarkan keajaiban!
Justeru, usahlah terus menganyam sangkaan dan angan-angan.
Sesungguhnya, masa yang anda sedang berada di dalamnya kini, diri anda yang dikenali orang dengan nama anda sekarang, dan suasana yang sedang anda alami saat ini, adalah satu-satunya tunjang yang akan menentukan masa depan anda.
Maka, tidak ada ruang untuk berlambat-lambat atau menangguhkan perubahan hidup!
Ketahuilah, menangguhkan proses perubahan hidup, hanya bermakna memanjangkan keadaan perit yang anda sedang hadapi, yang sepatutnya anda berusaha segera membebaskan diri dari taklukannya.
Ia juga bermakna kekekalan anda dalam keadaan kalah berhadapan dengan tuntutan hawa nafsu yang mengajak anda memanjangkan rehat dan bersenang lenang.
Alangkah indahnya jika manusia sentiasa memperbaiki diri dan mengubah keadaan dirinya setiap masa.
Memperbaiki diri dengan sentiasa meneliti kelemahan dan kekurangan diri sendiri untuk diperbaiki dari semasa ke semasa.
Diri sendiri dianak tiri!
Bila kita pulang ke rumah, tentunya rumah berselerak dan tidak teratur. Pastinya kita tidak sempat mengemaskan rumah di waktu pagi kerana berkejar ke tempat kerja.
Sebaik tiba di rumah, kita akan mengemaskan rumah...
Barang-barang disusun semula seperti keadaannya yang asal...
Sampah-sampah dibuang. Kekotoran dibersihkan...
Jika itulah yang kita lakukan ke atas rumah kita, maka apakah diri kita tidak berhak dilayan seperti itu?
Tidakkah diri kita lebih berhak di‘kemas’kan setiap hari seperti rumah kita juga?
Tidakkah ‘kotoran’ yang melekat pada diri kita, lebih perlu dibersihkan setiap ketika seperti kita membersihkan kotoran di rumah kita?
‘Sampah-sampah’ yang bertimbun dalam diri, tidakkah sangat mustahak untuk dibuang dari semasa ke semasa, seperti mana dari semasa ke semasa kita membuang sampah yang berselerak di rumah kita?
Adalah sangat tidak adil apabila rumah atau kereta kita dibersihkan setiap hari. Atau dibersihkan bila sahaja terdapat kotoran. Tetapi diri kita, hanya diperbaiki bila masuknya tahun baru!
Syair Arab bergurindam “Peliharalah kesejahteraan hati dari suatu penyakit, kerana sukar sekali memperbaikinya kalau sekali telah rosak”.
Bapak Hamka juga ada bermadah, “tiap-tiap orang takut cacat dirinya. Di sini, nyata bahwa manusia tidak ingin kerendahan. Semua suka kemuliaan. Tetapi, jarang orang yang tahu akan aibnya, dan tidak tahu akan aib diri, adalah aib yang sebesar-besarnya”(Tasauf Moden hlm.143).
Tahukah anda, bagaimana cara menimbulkan keinginan untuk berubah? Anda di cadangkan mempraktikkan saranan-saranan berikut :

i.          Lihat kejayaan yang telah dicapai oleh orang yang paling hampir dengan kita         seperti adik beradik, saudara-mara, jiran dan sahabat
ii.         Analisis kehinaan yang kita hadapi jika kita tidak berubah
iii.        Lihat kemajuan yang dicapai oleh orang yang lebih muda daripada kita
iv.        Wujudkan keinginan untuk melancong ke luar negara
v.         Kenangi kesilapan masa silam ketika muhasabah diri
vi.        Berusaha untuk mempunyai anak yang ramai
vii.       Berdoa kepada Tuhan agar hati kita didorongi untuk berubah
(Fadzilah Kamsah, Menerobos Sempadan Diri, hlm3).

Tuesday, 20 December 2011

Hadapi karenah manusia dengan jiwa besar...

Manusia banyak karenahnya...

Karenah adalah 'tunas' kepada 'benih' kerendahan budi. Ia juga boleh 'berpucuk' dari 'dahan' akal separa masak.

Sesiapa yang hidup bermasyarakat, pasti akan berhadapan dengan karenah mereka yang rendah budi dan akal mentah.

Karenah tidak boleh didepani dengan lentingan. Ia hanya akan merumitkan keadaan. Ia juga tidak mendidik mereka yang rendah budi dan berakal mentah.

Apatah lagi sikap biadap atau kebudak-budakan. Ia bukan jawapan kepada karenah yang bertandang.

Karenah 'disambut' dengan akhlak mulia, bukan dengan akhlak yang sama dengan pencetus karenah, yang rendah budi dan mentah akal.

Salaf & karenah manusia

Lembaran sirah para salafussoleh sarat dengan panduan menghadapi karenah manusia.

Penelusuran denai-denai sirah mereka, menemukan kita dengan formula mereka melayani karenah-karenah yang sememangnya 'meletihkan'.

Seorang lelaki berkata kepada Syaidina Abu Bakar radhiyallahu 'anhu  :

والله لأسبنك سبًّا يدخل معك قبرك

"Demi Allah, aku akan mencelamu dengan celaan yang akan masuk bersamamu ke dalam kuburmu!"

As-Siddiq r.a tidak melenting.

Kata-kata sekeras itu tidak menggelorakan 'lautan' jiwa dan 'ombak' emosinya.

Beliau r.a hanya menjawab dengan tenang :

بل يدخل معك لا معي

"Tidak begitu. Celaan [mu ke atasku itu] masuk bersamamu [ke dalam kuburmu], bukan denganku".

Pada suatu malam, Umar Abdul Aziz radhiyallahu 'anhu bersolat dalam Masjid Umayyah. Suasana agak gelap disebabkan lampu masjid padam.

Tanpa sengaja, kaki beliau terlanggar kaki seorang lelaki yang sedang tidur.

"Kau ni keldai ke!?", jerkah si lelaki.

Hati Umar Abdul Aziz tidak disambar gelora marah. Darahnya tidak menggelegak oleh nyalaan makian yang kesat.

Walaupun seorang khalifah, beliau hanya menjawab dengan tawaduk :

لا..أنا عمر بن عبد العزيز ولست حماراً

"Tidak...Saya Umar Ibn Abdul Aziz. Saya bukan keldai".

Seorang lelaki memaki hamun asy-Sya'bi. Namun, al-Sya'bi hanya berkata kepada orang yang memakinya :

 إن كنت صادقًا ، فغفر الله لي ، وإن كنت كاذبًا فغفر الله لك

"Andai kamu benar (dalam maki hamun kamu terhadapku), mudah-mudahan Allah mengampunkanku. Andai kamu berbohong, mudah-mudahan Allah mengampunkanmu".

Tiada dendam. Tiada gelora perasaan...

Daripada sikap yang ditampilkan oleh para salafussoleh ini, boleh disaring formula mereka melayani karenah buruk manusia. Iaitu, melayani karenah manusia dengan akhlak mereka yang mulia, bukan dengan akhlak buruk pencetus karenah.

Dalam olahan kata kunci, formula ini boleh disebut sebagai 'layanilah karenah manusia dengan akhlak anda, bukan dengan akhlak mereka'.

Formula fikiran positif

Formula lain bagi menghadapi karenah manusia, dikemukakan oleh Abdullah Ibn Muti'.
Suatu hari, isteri beliau berkata :

ما رأيت ألأم من أصحابك، إذا أيسرت لزموك، وإن أعسرت تركوك

"Aku tidak pernah melihat [orang] yang lebih teruk daripada sahabat-sahabatmu...Apabila kamu senang, mereka mendampingimu, apabila kamu susah, mereka meninggalkanmu".

Memang menyakitkan.

Didampingi ketika senang, ditinggalkan sendirian di kala kesusahan. Inilah sebahagian daripada karenah manusia bernama sahabat dan rakan.

Abdullah walau bagaimana pun, tidak meratapi nasibnya dilayani sebegitu oleh sahabat dan taulan.

Beliau sebaliknya memujuk hatinya dengan berkata :

هذا من كرمهم، يغشوننا في حال القوة منا عليهم، ويفارقوننا في حال العجز منا عنهم

"[Sikap mereka] ini adalah [sebahagian] daripada [sifat] baik mereka [terhadapku]. Mereka mengerumuni kita dalam keadaan kita mampu [melayani] mereka, dan meninggalkan kita ketika kita lemah [dan tidak mampu] melayani mereka".

Kata-kata ini memperihalkan satu lagi formula mendepani karenah manusia. Iaitu melihat karenah itu dari sisi positif.

Memang benar, sikap yang ditunjukkan para sahabat Abdullah itu suatu yang negatif. Namun, ada sisi positifnya. Iaitu kehadiran mereka ketika beliau senang, memungkinkan beliau melayani mereka.

Sementara kehilangan mereka ketika beliau kesusahan, satu rahmat ke atas beliau kerana mereka menghilangkan diri di saat yang tepat. Iaitu di saat beliau susah dan tidak mampu melayani mereka.

Agar terus teguh dan tenang menghadapi karenah manusia, diri perlu dididik melihat sesuatu dari sisi positif.

Usahlah hanya asyik melihat duri yang melingkungi sekuntum mawar indah, tetapi lihatlah juga titisan-titisan embun yang bertenggek di atasnya sebagai mahkota berkilauan.

Bak kata syair :

ترى الشوك في الورود وتعمى   أن ترى فوقها الندى إكليلا

"Dikau melihat duri-duri pada [jambangan] mawar, sedang dikau rabun untuk melihat [titisan-titisan] embun di atasnya sebagai mahkota"

Agar kita terus dilihat berjiwa besar...
Agar kita dinilai seorang yang berwibawa...
Agar kita tidak  seperti kebudak-budakan...
Agar kita tidak setaraf budak hingusan...

Layanilah karenah manusia dengan akhlak kita yang mulia, bukan dengan akhlak orang yang rendah jiwa dan akal mentah...dan terokailah sisi positif setiap kerenyahan tabiat manusia...

Tuesday, 29 November 2011

Mengurus kemarahan berapi dengan tips nabawi

Pernahkah anda tengok orang yang sedang memarahi (bukan sekadar berleter) isteri, suami, anak atau pekerja, sambil duduk? Tak ada kan?
Kalau ada pun, ia sangat jarang. Itu pun mungkin kerana orang yang marah itu sakit, tak mampu berdiri.
Kalau dia sihat dan bertenaga, mesti dia bingkas bangun ketika marahkan seseorang.
Alah...macam yang kita selalu tengok dalam drama tu....atau kita sendiri alami. Bila memarahi seseorang, kebanyakan kita akan bingkas bangun. Barulah ‘sedap’ memarahi sambil berdiri!
Ok. Pernah anda lihat orang marahkan seseorang  sambil berbaring? Tak ada kan? Kalau dah berbaring, macam mana nak memarahi seseorang? Nak berleter pun tersekat-sekat.
Tapi, orang yang sedang berbaring terus bingkas kerana marah, memang banyak!
Satu lagi, pernah anda jumpa orang yang sedang marah, mendiamkan diri?
Isteri yang marahkan suaminya kerana bermain ’kayu tiga’, mendiamkan diri di depan suami? Pernah anda jumpa? Mungkin pernah, tapi sangatlah kurang orang seperti itu.
Semua itu, jarang atau tidak berlaku.
Yang selalu terjadi, bila ‘dirasuk’ kemarahan, orang yang sedang duduk, akan bingkas bangun.
Yang sedang enak berselimut pun, akan melemparkan selimut bila dah diresapi ‘hantu’ marah.
Orang yang tergagap-gagap, tersekat-sekat semasa bercakap dalam mesyuarat, akan menjadi seperti Suharto atau Hitler bila ‘disinggahi’ rasa marah. Leterannya lancar, merangkumi semua aspek termasuk ‘sejarah’ lama meskipun tanpa teks!!
Pelajaran
Apa yang kita dapat simpulkan daripada fenomena masyarakat di atas, begini...
Kalau masa anda marah itu, anda sedang berdiri, jika anda duduk, rasa marah akan hilang atau reda. Sebab, marah dalam keadaan duduk, sangat tidak selesa.
Kalau berdiri, baru lah sedap. Boleh tunjuk pelbagai aksi kepada orang yang kita marahkan itu. Boleh pergi ke dapur untuk ambil pinggan. Boleh buka almari untuk ambil perhiasan yang tersusun...
Pendek kata, banyak lagilah ‘aktiviti’ yang boleh dilakukan kalau berdiri masa marah. Kata orang, bergantung kepada ‘kreativiti’ masing-masing.
Tapi, oleh kerana terlalu marah, kadang-kadang, ‘duduk’ pun tidak menghilangkan rasa marah. Jadi, kalau dengan duduk pun marah belum reda, anda hendaklah berbaring.
Dengan berbaring, anda sudah tidak boleh nak marah. Sebab itulah, tak pernah dalam hayat kita, kita lihat suami yang sedang baring, memarahi isterinya yang sedang duduk atau berdiri. Atau isteri menengking-nengking suaminya yang sedang bersikat rambut, sambil berbaring!
Dengan berbaring, suara sukar dilantangkan. Nak menampar, menendang sudah tidak boleh.
Tapi, padan-padan laa...Janganlah pula, tengah-tengah memandu ketika ‘jam’ teruk, anda berbaring bila kereta anda dilanggar dari belakang!
“Kenapa encik berbaring dalam kereta tengah-tengah jalan ni!!?”, sergah polis trafik. “Nak kawal marah tuan!!”.
Janganlah sampai macam tu...
Ringkasnya, dengan cara duduk atau berbaring-mengikut keseriusan ‘kes’ marah-kemarahan boleh reda. Atau hilang terus!
Bagi melengkapkan lagi kaedah ‘duduk’ atau ‘baring’ ini, anda kena tambah satu lagi kaedah bila marah. Iaitu kena diamkan diri anda.
Walaupun anda sudah duduk atau berbaring bila marah, tapi kalau mulut asyik membebel, ‘bara’ kemarahan akan terus menyala. Jadi, kenalah diamkan diri. Jangan bercakap semasa anda marah.
Kalau anda bercakap masa marah, besar kemungkinan akan terlucut dari mulut anda kata-kata yang anda pasti menyesalinya bila kemarahan sudah reda.
Kerana suka bercakap semasa marah, ramai si suami terpisah dengan isteri.
“Aku ceraikan kau sebanyak bintang di langit!”. Bukan talak satu, dua atau tiga. Tapi sebanyak bintang di langit. Tengok tu, bila dah marah, macam-macam boleh terlucut dari mulut.
Selain kaedah-kaedah di atas, anda juga boleh mandi bila diserang rasa marah. Bagi orang Islam, anda digalakkan berwudhuk bila marah. Kesejukan air akan memadamkan ‘bara’ marah yang menyala di jiwa anda.
Kaedah-kaedah yang dinyatakan ini sangat besar manfaatnya. Sebab, kemarahan menjadi punca pergaduhan, pembunuhan, penderaan dan macam-macam lagi. Ia juga punca terkeluarnya kata-kata keji atau tuduhan yang bukan-bukan.
Jadi, untuk menyekat kesan buruk marah ini, anda kena ‘kuasai’ anggota tubuh badan anda semasa marah.
Kuasai tangan anda jangan sampai ia menumbuk atau menikam. Kuasai kaki anda jangan sampai ia menendang atau menerajang. Untuk mengawal anggota badan ini, anda digesa duduk atau berbaring bila marah.
Kalau sudah duduk, nak menumbuk tak sedap. Kalau tumbuk pun, ia tidak padu. Apatah lagi kalau berbaring.
Sebab itu, tidak ada orang sepak terajang isteri sambil berbaring. Atau tampar isteri sambil duduk!
Untuk menguasai lidah pula, caranya telah disebutkan tadi. Iaitu mendiamkan diri.
Demikianlah kaedah mengurus emosi semasa marah.
Sumber
Satu lagi, tak terasakah anda nak bertanya dari mana sumber tips-tips ini?
Kalau anda nak tahu, ini adalah petua yang dituturkan Nabi Muhammad s.a.w sejak lebih 1400 tahun yang silam, sejak zaman unta lagi!
Sabda Nabi Muhammad s.a.w, “apabila salah seorang daripada kamu marah [sedang dia] dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Jika hilang [rasa] marah [dengan sebab duduk, bolehlah dia terus duduk], jika tidak [hilang rasa marah dengan cara duduk] maka hendaklah dia berbaring”.
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan Imam Ahmad. Hadis ini diletakkan dalam Sahih Abi Daud (Koleksi hadis-hadis sahih dalam Sunan Abu Daud).
Berkenaan kaedah berwudhuk bagi menghilangkan rasa marah, Nabi s.a.w bersabda, “sesungguhnya kemarahan itu [datang] dari syaitan dan syaitan [pula] diciptakan daripada api. Sesungguhnya api hanya [boleh] dipadamkan dengan air. Maka apabila salah seorang daripada kamu marah, hendaklah berwudhuk”.
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan Imam Ahmad. Hadis ini hadis hasan.
Sementara menghilangkan rasa marah dengan cara mandi pula, ia dinyatakan hadis yang diriwayatkan oleh Muawiyah radiallahu ’anhu.
Ceritanya begini...
Abu Muslim al-Khaulani ada memperkatakan sesuatu kepada Muawiyah r.a yang sedang berada di atas mimbar. Apa yang dicakapkan oleh Abu Muslim itu menyebabkan Muawiyah r.a marah.
Lantas beliau turun dari mimbar dan terus pergi mandi.
Setelah mandi, beliau naik semula ke atas mimbar dan berkata, “sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya kemarahan itu [datangnya] dari syaitan dan syaitan [pula diciptakan] daripada api dan air [boleh] memadamkan api. Maka, apabila salah seorang daripada kamu marah, hendaklah dia mandi”.
Hadis ini dhaif. Namun boleh diamalkan dalam perkara yang tidak membabitkan soal halal dan haram.
Demikianlah petua mengawal emosi ketika marah. Petua ini sangat praktikal dan berkesan. Cubalah...

Wednesday, 17 August 2011

Biar apa pun terjadi, senyumlah...



Biar apa pun terjadi, senyumlah...

Biar apa pun terjadi, usah menangis...

Senyumlah, dan biarkan ‘dunia’  menangis bersendirian...

Tatkala gagal...disaat perpisahan...dikala meneguk keperitan...ketika semuanya berakhir...

Pabila  kehidupan tidak seperti yang diimpikan...di waktu dunia ‘memprotes’...Tatkala nasib tidak menyebelahi...ketika orang yang dikasihi melangkah pergi...

Usahlah menangis...

Kita selalu patah semangat...kita sering 'menyerah diri' kepada kesedihan dan lupa kepada impian...kita mendampingi sangkaan-sangkaan...

Mengapa?

Bukankah selepas setiap titisan air mata, ada senyuman...? Selepas perpisahan ada pertemuan...?

Demikianlah resam kehidupan duniawi yang mesti kita telusuri...sedih bersilih ganti dengan kegembiraan...kejayaan dan kegagalan bergantian pergi dan datang...air mata dan senyuman bergilir bertandang...

Justeru, kita mesti mengecapi ‘rasa’ air mata, untuk merasai ‘kesegaran’ senyuman...kita perlu bersusah payah, agar kita mengetahui nilai kesenangan...kita perlu melalui kegagalan, agar kita tahu bagaimana menggapai kejayaan...

Jangan mengalah!

Andai anda rebah, bangunlah dan teruskanlah langkahan meskipun jalanan dipenuhi duri. Pijakkanlah kaki di atasnya dan tanamlah pepohon bunga...kelak ia membuahkan kejayaan dan cinta...

Sesungguhnya, masalah hidup banyak bukan kepalang...Tapi, ia tidak akan sekali-kali mampu diselesaikan oleh berserah dan tangisan...

Justeru, andai berpisah dengan orang yang disayangi, maka kenanglah ia, dan teruskan hidup demi untuknya...

Jika ditinggalkan kekasih...maka lupakanlah ia, dan buktikan kepadanya bahawa dialah yang sebenarnya rugi...

Jika dilukai seseorang yang dekat dengan anda, maka balut luka itu dan janganlah menanti sesuatu dari sesiapa pun...

Jika sekali anda gagal, maka buktikanlah kepada mereka, bahawa anda seorang yang berjaya...

Andai terpaksa menangis

Andai suatu hari dunia memaksamu menangis, dan air matamu mengalir lebat...janganlah anda menyangka itu tanda anda lemah...

Tapi, ketahuilah bahawa air matamu yang mengalir, adalah bukti bahawa anda adalah seorang manusia yang memiliki perasaan...

Janganlah malu dengan air matamu yang tertumpah...tapi ingatlah, jangan tumpahkan air matamu untuk sesuatu yang tidak berhak ditumpahkan air mata...

Andai keperitan dan kesakitan mengikatmu, maka meraunglah sekuat-kuatnya...meraung dengan berkata bahawa anda mampu...! Mampu meneruskan perjalanan...

Andai menitis juga air matamu, maka senyumlah...justeru kehebatan seseorang manusia, terletak pada senyumannya dalam kelebatan air mata...

Senyumlah dan katakanlah kepada dunia, bahawa anda lebih kuat daripada setiap kepayahan dan cabaran hidup yang bertandang...

Optimis dan teguh pendirian

Sesungguhnya, kehidupan tidak lebih daripada sebatang jalan dan lorong yang berselirat, yang penuh dengan godaan dan cabaran…

Tiada pilihan bagi kita selain melalui jalan yang betul, agar kita sampai ke tempat yang akan memberikan kita kebahagiaan dan ketenangan…

Janganlah sekali-kali patah semangat…

Yakinlah, bahawa selepas kegelapan akan datang cahaya…

Jika hari ini mendung, percayalah, bahawa esok akan terang, agar anda kekal optimis dan jangan biarkan sesiapa pun melemahkanmu…

Jika anda merasa perlu menangis, maka menangislah…jika anda ingin meraung, meraunglah…jika anda ingin bernostalgia, maka lakukanlah…

Usah pedulikan orang yang berkata, menangis itu tanda kedhaifan, meraung itu satu keaiban dan bernostalgia itu hanya sangkaan…

Usah pedulikan mereka…

Lemparkanlah segala-galanya di belakangmu dan berjalanlah ke hadapan sampil mengangkat kepala dengan penuh bangga dengan kemanusianmu…

Perlihatkanlah kepada mereka siapa anda sebenarnya, meskipun semua orang membantah mu…

Biarpun semua warna berbeza dengan warnamu…meskipun semua orang berjalan bertentangan dengan arahmu…

Jangan ragu-ragu…

Teruskanlah perjalanan dengan prinsip-prinsipmu, dan usah pedulikan mereka biarpun anda bersendirian…

Jangan ragu-ragu, justeru 'ketersendirian' lebih baik daripada anda hidup berbeza dengan kehendak diri sendiri, semata-mata mahu memuaskan hati orang lain.

Sesungguhnya, kehidupan adalah sebuah buku yang penuh dengan gambar, fasal, warna dan kisah…Justeru, layarilah kehidupan anda kesemuanya dan pilihlah yang terbaik untuk anda…

Maka, walau apa pun yang berlaku, jangan menangis, tetapi senyumlah…

Biarkanlah dunia menangis lantaran kekuasaan senyuman anda!

Senyumlah…