Showing posts with label SEMASA. Show all posts
Showing posts with label SEMASA. Show all posts

Friday, 25 April 2014

'Sentuhan baru' festival Belia 2014

Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan
Menteri Belia dan Sukan, Saudara Khairy Jamaluddin nampaknya memahami denyut nadi, dan cita rasa terkini golongan belia Malaysia masa kini.

Tidak seperti sebelum ini, sesetengah pemimpin dan agensi Kerajaan seolah-olah tidak menyedari perubahan cita rasa, dan kecenderungan belia Malaysia dewasa ini. 

Mereka disangka masih seperti dulu, masih dahagakan konsert-konsert nyanyian 'ala barat' yang 'tidak mesra' budaya setempat dan agama itu. 

Lalu, mereka dihidangkan dengan konsert-konsert sebegini dalam program-program belia.
 
Namun, di bawah teraju Khairy, Festival Belia Putrajaya 2014 yang akan berlangsung 22-25 Mei 2014 ini, adalah satu terjemahan kepada kepekaan Kementerian Belia dan Sukan terhadap perubahan pola kecenderungan dan cita rasa belia Malaysia waktu ini.

Belia berselawat

Peristiwa-peristiwa yang mewarnai pentas massa negara mutakhir ini, menyerlahkan minat golongan belia yang begitu menonjol terhadap program-program keagamaan.

Lihat saja program Sambutan Tahun Baru 'versi' Islam atau kerohanian. Juga program-program selawat yang begitu fenomenal kebelakangan ini. Puluhan ribu belia yang menghadirinya!

Belia masa kini juga dilihat berminat untuk berekspresi dan bersaing di pentas terbuka dan mencabar, dan tidak lagi hanyut dalam hiburan dan kelalaian.

Lantas, Festival Belia 2014 ini sangat secocok dengan cita rasa golongan belia masa kini.

Apa tidaknya, menurut Khairy, antara program yang tercatat dalam festival itu, ialah Program Belia Berselawat pada 22 Mei 2014, yang akan menampilkan ikon selawat dan qasidah dari dalam dan luar negeri. Ini selain tilawah al-Quran dan nasyid.

Menurut beliau lagi, festival yang diisi dengan 60 segmen ini, akan memberi fokus kepada aktiviti pendidikan, kerohanian, kemahiran, kesenian, bakat, interaksi dan kesukarelaan.

Thursday, 3 May 2012

Catatan 2 BERSIH 3.0 : Menginsafi BERSIH 3.0


"Hidup, hidup…hidup rakyat…"

"Hancur, hancur…hancur kezaliman…"

Itulah sebahagian daripada laungan sederap para demonstran yang menghangatkan suasana, dan membakar perasaan para peserta BERSIH 3.0 sekeliannya, yang mula duduk dan menyimbahi warna kuning di bahagian hadapan Dataran Merdeka, seawal jam 10 pagi, 28 April 2012 lalu.

Saya tiba di situ sekitar jam 9.40 pagi.

"Jangan bagi belon itu jatuh!", jerit seorang peserta dengan lantang kepada para demonstran, meminta agar belon berwarna kuning yang dilambung, ditampar ke atas.

Belon-belon kuning itu akhirnya terus melambung ke udara, apabila ditampar oleh setiap peserta setiap kali ia menjunam ke bawah. Suasana menjadi gamat oleh gelak ketawa dan sorokan para peserta.

"Hebat. Demonstrasi yang membakar semangat dan menggelorakan perasaan sebegini, menjadi seperti sebuah pesta yang menyeronokkan", bisik saya sambil sekali sekali memanjangkan leher, untuk melihat pertunjukan silap mata yang berlansung di hadapan.

Setelah matahari kian meninggi, saya beralih ke bawah landasan LRT yang dipasang merentangi jalan-jalan di hadapan Dataran Merdeka.

"Negaraku...tanah tumpahnya darahku....rakyat hidup...bersatu dan maju...", para peserta serentak menyanyikan lagu Negaraku, sambil berdiri tegak tanda hormat. Anggota-anggota polis yang sejak tadi berdiri tegak, turut menyanyikannya bersama-sama.

Polis hensem

"Polis hensem, polis hensem, polis hensem", tiba-tiba bergema apabila sebarisan pegawai polis menyelinap di celah-celah kepadatan demonstran yang berasak-asak.

"Ini satu pendekatan yang baik. Ia boleh membibitkan hubungan baik antara polis dan sekelian demonstran, dan mengirim mesej bahawa para demonstran tidak mahu bermusuh dengan polis”, hati saya berdetik.

“Sepatutnya, slogan atau laungan yang serupa, perlu diperhebatkan dalam demonstrasi sebesar ini, bagi melahirkan satu demonstrasi yang bertamadun”, hati saya terus berdetik.

Suasana sekali lagi menjadi gamat dengan kemunculan bola gergasi berwarna hijau sebesar kawah, yang dilepaskan oleh pasukan anti Lynas yang turut serta memeriahkan BERSIH 3.0.

Bola itu melambung di udara dan berlegar di sekitar lokasi bila ditampar secara bergilir-gilir oleh para peserta, namun akhirnya mengempis bila berlaku kebocoran akibat ‘kerakusan’ para peserta yang berebut-rebut mendapatkannya.

“Duduk, duduk, duduk, duduk” dilaungkan serentak oleh para peserta di sebelah kanan saya kepada peserta di sebelah kiri, sambil tangan-tangan mereka memberikan isyarat agar para peserta semua duduk.

“Hmmm...mereka tak biasa berdemonstrasi sambil duduk. Sebelum ini mereka berdemonstrasi sambil berarak. Ini kali pertama mereka berdemo sambil duduk”, kata saya sambil tersenyum kepada perserta di sebelah, setelah melihat ramai peserta seakan-akan keberatan untuk duduk bersila di atas jalan yang mendepani Dataran Merdeka itu.

‘Kesabaran’ polis

Kepelbagaian aktiviti yang meriah dan mengundang gelak ketawa dan suasana gamat, menyebabkan saya tidak sedar jam sudah menunjukkan 2.20 petang. Mujurlah rasa lapar yang mula bergelora, mengingatkan saya tentang hari yang sudah mulai menuju ke petang.

Sepanjang hampir 4 jam 30 minit saya menapak di depan Dataran Merdeka bersama ribuan demonstran, polis hanya memerhati pelbagai gelagat kami yang asyik 'berpesta', dan terus berdiri tegak membentengi lokasi yang diidam-idamkan penganjur BERSIH 3.0 itu, tanpa membuat apa-apa tindakan terhadap kami.

Polis hanya mula bertindak setelah lebih kurang 4 jam 30 minit memerhati para peserta ‘berpesta’, setelah mendakwa para peserta cuba menceroboh dataran itu.

Saya tidak dapat menahan benih-benih penghargaan terhadap anggota polis daripada membenih, apabila dirangsang oleh pemerhatian dan pengamatan saya sendiri.

Di atas kesabaran polis bertahan dan menjadi pemerhati setia di atas laungan dan pekikan para peserta BERSIH 3.0 selama 4 jam 30 init itu, ada penghargaan buat mereka yang saya sematkan di hati.

“Sekiranya polis bertindak kasar sekalipun selepas ini, ‘kebaikan’ polis yang mungkin sedikit ini, tidak wajar dikambus atau disisihkan begitu saja”, bisik saya yang cuba mengikat diri dengan sikap telus dan adil.

Pertembungan bermula

Gigitan rasa lapar setelah 4 jam 30 minit bersila di hadapan Dataran Merdeka, memaksa saya menyelinap di celah-celah manusia yang kian padat dan berasak-asak, untuk ke restoran berhampiran.

"Mujur aku beredar cepat meninggalkan perhimpunan di hadapan Dataran Merdeka", hati saya berbisik penuh syukur, setelah melihat orang ramai bertempiaran lari meninggalkan dataran itu lantaran ‘dicakar’ gas pemedih mata yang dilepaskan polis.

"Polis dah tembak gas pemedih mata", ujar seorang peserta BERSIH 3.0.

“Ohh, nampaknya solat Zohor dijamak ta’khir sajalah, mengambil pendapat sesetengah Tabi’een yang mengharuskannya bagi bukan musafir, jika dilakukan sekali sekali”, bisik saya setelah melihat keadaan kian bergelora.

"Bangkit, bangkit...bangkit rakyat..."

"Jangan, jangan...jangan takut..."

"Kita lawan, sampai menang..."

Laung seorang peserta, sambil disambut penuh semangat dan bertenaga oleh para demonstran, yang kini beralih ke kawasan sekitar Sogo, setelah dihambat gas pemedih mata menjauhi Dataran Merdeka.

"Tak boleh dah...kita tak boleh lari...kita kena lawan puak dia (polis) macam di Medan Tahrir, baru dia tahu", kata salah seorang demonstran dengan loghat Pantai Timur kepada rakan-rakannya, kerana terlalu geram terhadap polis setelah terkena gas pemedih mata.

Setelah digertak oleh pihak polis yang berada di depan sana, saya mula bergerak ke betul-betul hadapan Sogo, kemudian meninjau di belakang pusat membeli belah itu, di Jalan Raja Laut.

Peserta bertindak

Setentang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kelihatan sebaris polis tegap berbaris bagi menghalang para peserta mara semula ke Dataran Merdeka.

Ketika para demonstran 'berkonfrantasi' dengan polis, dan seakan tidak mahu berganjak, tiba-tiba muncul sebuah motosikal polis trafik membelah perhimpunan, yang dipandu agak laju.

Serentak itu, berpuluh-puluh botol air mineral berisi air menerjah ke badan anggota polis trafik itu, yang dilantunkan oleh para peserta yang membentuk perhimpunan sepanjang kira-kira 400 meter.

Entah apa tujuannya, sebuah lagi motosikal polis trafik muncul menyusuli motosikal pertama, dan turut menerima nasib sama apabila dilantun dengan berpuluh-puluh botol plastik berisi air, yang berkesudahan dengan salah satunya terbalik di hadapan Bangunan Mara.

Suasana serupa dapat dilihat di hadapan Sogo ketika kereta peronda polis yang melalui jalan raya yang dipenuhi para demonstran, dilontar dengan berpuluh-puluh botol berisi air.

Pengamatan saya di dua lokasi BERSIH 3.0 itu, menemukan saya kepada kesimpulan bahawa kekerasan juga turut dilakukan oleh para peserta. Sekurang-kurangnya itulah apa yang saya saksikan sendiri di depan mata.

Namun, mungkin kadarnya berbeza dengan kekerasan yang didakwa dilakukan oleh polis, yang kebetulan saya tidak berpeluang melihatnya. Justeru, saya tidak ada apa-apa maklumat untuk dicatat berhubung dakwaan-dakwaan itu.

Antara restoran dan premis perniagaan

"Wah! Semua makanan dah habis", hati saya merungut ketika mendapati nasi dan lauk di sebuah restoran berhampiran Masjid India, telah habis ‘dilantak’ para peserta BERSIH 3.0.

Bagi mengisi perut yang begitu mendesak meminta diisi, saya pergi ke sebuah lagi restoran mamak yang bertentangan dengan May Bank Jalan Masjid India.

"Ahhh, mujur masih ada makanan yang berbaki", hati saya berbunga melihat masih ada nasi yang boleh dibeli.

Memang restoran dan gerai-gerai menjual makanan laris pada hari BERSIH 3.0 berlangsung. Walau bagaimana pun, sesiapa yang membuat tinjauan di lokasi, akan mendapati tidak semua kedai dan gerai menjual makanan di sekitar Jalan Masjid India, beroperasi pada hari itu.

Tinjauan saya juga mengesahkan, hanya beberapa restoran dan kedai makan sahaja yang beroperasi, manakala premis-premis perniagaan lain, boleh dikatakan 98% daripadanya ditutup, termasuklah Sogo.

“Mungkin para peniaga menjangkakan BERSIH 3.0 akan bertukar menjadi kecoh seperti siri-siri BERSIH sebelum ini”, saya cuba menelah sebab penutupan premis-premis itu.

“Bagaimana kalau BERSIH 3.0 ini dijamin akan berlangsung secara aman oleh pihak polis. Adakah para peniaga akan membuka premis-premis mereka, dan perniagaan akan memuncak disebabkan kehadiran para demonstran yang bagaikan tsunami itu?”, saya bermonolog sendirian.

“Ahhh...tak mungkin. Dengan kehadiran puluhan, atau ratusan ribu demonstran yang membanjiri sekitar Dataran Merdeka ini, orang ramai awal-awal lagi akan mengelak untuk membeli belah di kawasan ini,  bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan manusia”, saya menjawab sendiri soalan yang bergetus di hati.

“Bukankah dengan kehadiran ratusan ribu demonstran ini, perniagaan di lokasi ini akan ‘menggila’ dan ‘menggelepar’?”, bisikan kecil dari satu sisi hati saya tiba-tiba meletus.

“Ahhh...semua itu tidak mungkin. Sesiapa yang turut serta dalam BERSIH 3.0 ini, dapat merasai sendiri, mood untuk membeli belah ‘dilenyek’ begitu saja oleh hentakan semangat dan gelora demonstrasi yang menggila”, saya menangkis bisikan itu dengan telus berdasarkan apa yang saya lihat dan rasai sendiri.

Semangat untuk berdemonstrasi yang sememangnya membara, tidak boleh bergerak seiringan dengan kemahuan untuk membeli belah, kerana semangat itu akan membunuhnya.

"Oh, gambar ini sangat tidak adil", getus hati saya tatkala melihat beberapa posting di facebook, yang menampal gambar-gambar para peserta BERSIH mengerumuni sebuah restoran.

Ia tidak adil kerana cuba mengirim mesej bahawa perniagaan sebenarnya semakin memuncak ketika BERSIH 3.0 berlangsung, tidak seperti dakwaan kumpulan anti BERSIH, sedangan realitinya adalah sebaliknya...

Wednesday, 2 May 2012

Catatan BERSIH 3-0 : Bara itu dalam jiwa


Terjun ke dalam gelora perhimpunan sebesar BERSIH 3.0, dengan tujuan memerhati dan mengamati gelagat manusia, memang berbaloi.

Perhimpunan yang 'membarakan' perasaan itu, mempamerkan pelbagai aksi dan watak manusia berwarganegara Malaysia, yang menjadi cermin kepada pemikiran mereka yang berbilang kaum dan agama itu.

Setelah berhasil mengutip beberapa ibrah dan kesimpulan daripada BERSIH 3.0, saya dapat merasakan, betapa ruginya andai saya turun ke perhimpunan raksasa itu, hanya semata-mata mahu menyokong 8 tuntutan BERSIH 3.0.

Tentunya saya akan terlepas pandang begitu banyak ibrah berharga, jika penerjunan saya ke lautan manusia yang bergelora di perhimpunan itu, didorong oleh tujuan itu semata-mata.

Perhimpunan sebesar itu adalah medan pengamatan dan arena pembelajaran tentang manusia, bukan hanya sekadar pentas untuk menyokong atau membantah.

Selain itu, ia 'balapan' yang sangat sesuai bagi sesiapa yang sukakan cabaran!

Makcik dan Pak Cik BERSIH

Saya tiba di lokasi seawal jam 9.00 pagi, beberapa jam sebelum BERSIH 3.0 berlangsung secara rasmi, iaitu pada jam 2.30 petang.

Setelah mendapati suasana sekitar Sogo belum menampakkan kewujudan perhimpunan, saya terus ke Masjid India, dan kemudiannya bergerak ke Dataran Merdeka.

Dalam perjalanan, pandangan mata saya disambar oleh kelibat makcik-makcik tua yang obes dan terhenjut-henjut berjalan, sambil mengenakan lambang BERSIH pada pakaian mereka.

Betul-betul di hadapan Dataran Merdeka pula, yang ketika itu sudah sesak dengan para demonstran, kelihatan seorang makcik tua duduk di kerusi roda.

Melihat kepada usia dan fizikalnya, saya pasti, makcik berkerusi roda itu tidak mampu berbuat apa-apa melainkan sekadar memerhati, di tengah-tengah amukan hiruk pikuk dan pekikan ribuan demonstran dengan emosi yang bagaikan kuda-kuda lumba itu.

Kehadiran peserta warga emas, samada Melayu atau pun Cina, yang hanya sekadar mampu meramaikan orang, memang mudah kelihatan pada BERSIH 3.0 kali ini.

Di lokasi, mereka ini tidak bercakap. Hanya melepaskan pandangan seperti seorang tua yang berada di beranda memerhati kanak-kanak riang bermain di halaman.

Berhadapan dengan realiti ini, saya cuba meneka apa sebenarnya yang berlabuh di persada jiwa makcik-makcik dan pakcik-pakcik tua itu, sehingga sanggup mengendong keuzuran dan menggagahi diri yang telah lemah dan kendur urat saraf itu, untuk turut serta meredah ombak di tengah-tengah lautan manusia.

Persoalan kian menebal dan kuat mencengkam dalam minda, apabila realiti yang tercegat di hadapan mata saya itu, wujud di halaman BERSIH 3.0 seawal jam 10 pagi, sedangkan acara sebenar perhimpunan yang membara itu bermula pada jam 2.30 petang!

"Mungkin inilah hasil daripada tarbiyah keagamaan yang dipasakkan PAS ke dalam jiwa pengikut-pengikutnya", bisik saya setelah melihat penampilan dan cara pemakaian warga-warga emas itu.

"Sangat tidak mungkin mereka berada di tengah-tengah lautan manusia yang bergelora ini, kerana mendamba wang. Kalau semata-mata kerana wang, pakcik-pakcik dan makcik-makcik ini tidak akan sanggup berpelampungkan jasad mereka yang lemah dan uzur, untuk meredah kancah hangat ini, walaupun dijanjikan RM500 atau RM1000", bisik saya sambil menyimpulkan satu rumusan.

Kemunculan warga-warga emas ini di tengah-tengah gelojak BERSIH 3.0, mengingatkan saya kepada kisah tokoh besar tabi'een, iaitu Imam Sa'eed al-Musayyab radhiayALLAHu 'anhu.

Imam al-Zuhri menceritakan bahawa Sa'eed al-Musayyab telah menyertai satu peperangan dalam keadaan sebelah matanya buta.

Apabila kehadirannya dipertikai di atas alasan beliau uzur disebabkan pengelihatan tidak sempurna, beliau menjawab, "Allah telah meminta orang yang dalam keadaan susah dan senang pergi berperang. Jika aku tidak mampu berperang, maka aku boleh meramaikan orang dan menjaga barang-barang".

Teks asalnya begini :

وقال الزهري: خرج سعيدُ بن المسيب إلى الغزو وقد ذهبتْ إحدى عينَيْه. فقيل له: إنك عليل. فقال: استنفر اللهُ الخفيفَ والثقيلَ، فإن لم يمكنِّي الحرب كثّرْتُ السوادَ وحفظتُ المتاع.

Kisah ini dicatatkan oleh Imam al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat 41 surah al-Tawbah.

Saya tidak bermaksud menyamakan BERSIH 3.0 sebagai satu peperangan atau jihad. Saya teringat kisah Sa'eed al-Musayyab ini, justeru melihat pemikiran yang sama dikongsi oleh pakcik-pakcik dan makcik-makcik BERSIH itu.

"Walaupun kami warga-warga emas ini, tak berdaya melaungkan slogan-slogan BERSIH, tak berkuasa berhadapan dengan polis, tak mampu berbuat apa-apa kecuali memerhati, tapi kami mampu meramaikan orang", seolah-olahnya itulah kata-kata yang dituturkan oleh lisanul hal pakcik-pakcik dan makcik-makcik itu.

Lewat petang, di Jalan Raja Laut di belakang Sogo, ketika para demonstran 'mencabar' pihak polis, saya terpandang seorang lelaki warga emas berbangsa Cina di tengah-tengah ledakan emosi para demonstran.

Seperti demonstran warga emas yang lain, pakcik Cina ini tidak bersuara, tenang dan hanya sekadar melabuhkan pandangan pada daratan yang tidak pasti.

Di sini, saya tidak memiliki maklumat yang cukup untuk meneka apa berlingkar di sebalik kehadiran pakcik Cina tua itu ke BERSIH 3.0.

"Ah, dia benci sangatlah tu kat Kerajaan", saya membuat kesimpulan mudah, setelah menyedari pengetahuan saya tentang pemikiran dan budaya orang Cina sangat terhad. 

Adik-adik muslimat

Sekitar 10 pagi saya sudah menapak di Dataran Merdeka. Pada waktu itu, para peserta telah memenuhi bahagian hadapan dataran bersejarah itu.

Mata saya yang mula melilau ke kiri kanan, belakang dan depan mengamati gelagat manusia berbilang kaum dan agama, akhirnya berlabuh pada beberapa kelompok adik-adik muslimat yang sebahagiannya berpurdah.

"Mereka ini mungkin mahasiswi IPTA berdekatan dan berpurdah bagi mengelakkan mereka dikenali atas sebab-sebab keselamatan", hati saya berbisik membuat tekaan.

Sepanjang jelajah saya di lokasi BERSIH 3.0, dapatan pemerhatian saya menunjukkan hampir keseluruhan peserta wanita muda, adalah anak-anak gadis berpurdah, bertudung labuh atau berseluar longgar dengan baju yang melepasi pinggul, yang mencerminkan cara pemakaian muslimah sebenar.

Di Masjek Jamek, Masjid India, Sogo, Jalan Raja Laut berhampiran dengan Bangunan Mara dan di Maju Junction yang saya redahi, kesemua wanita muda yang turut serta, adalah muslimah yang mengenakan pakaian yang menyejukkan mata memandang.

Pemandangan ini membenihkan tanda tanya tentang ke mana perginya anak-anak gadis berseluar ketat, berbaju sendat dan bertudung singkat. Ke mana mereka? Mengapa mereka tidak turut serta?

"Kalau diikutkan cara berpakaian, mereka ini lebih sesuai berada di gelanggang BERSIH 3.0. Dengan berpakaian begitu, mereka mudah untuk berlari jika dikejar polis, atau kurang merasa kepanasan matahari, yang dihangatkan lagi oleh himpitan manusia yang berasak-asak", fikir saya.

Tanda tanya semakin galak dan bagai meloncat-loncat, apabila kelibat amoi-amoi muda dapat dikesan di mana sahaja di arena BERSIH 3.0, termasuklah yang berpakaian 'ala berani mati'.

Apakah yang berladung dalam pemikiran amoi-amoi itu, sehingga tergerak untuk mengambil risiko, dengan sama-sama terjun ke kancah yang langsung tiada kaitan dengan soal-soal rutin wanita dan kewanitaan?

Dan, apa pula yang bertenggek di dahan pemikiran anak-anak gadis berseluar ketat, berbaju sendat dan bertudung singkat, sehingga mereka dibawa lari jauh daripada kancah BERSIH 3.0 ini?

"Ooooo...rupa-rupanya, anak-anak gadis macam ni langsung tak peduli soal-soal negara dan semasa", saya membuat kesimpulan mudah setelah rasa malas untuk membuat analisa lanjut.

'Gula' tidak larut

Penapakan saya di depan Dataran Merdeka selama 4 jam 30 minit, mengirimkan beberapa lagi pemerhatian dan rumusan.

Kali ini, kibaran satu bendera Terengganu dan satu bendera Kelantan di tengah-tengah alunan ombak manusia yang seakan-akan boleh membadai bila-bila masa itu, mencuri perhatian dan pengamatan saya.

"Apa relevannya bendera Terengganu dan Kelantan diarak di sini?", bisik saya yang terasa sedikit 'bosan' dan 'cuak' dengan pemandangan itu.

"Mereka gagal untuk menghadam perjuangan BERSIH 3.0, dan seterusnya gagal untuk lebur dan larut dalam semangat BERSIH 3.0", hati saya membisikkan dengan tegas bagi mentafsirkan permandangan yang tidak memberangsangkan itu.

"Kamu yang mengibarkan bendera parti dengan bangga, juga sama seperti 'budak-budak' yang mengibarkan bendera negeri itu. Kamu juga 'gula' yang jenis tidak larut dalam semangat BERSIH yang menggelegak", hati saya melantunkan kata-kata dari jauh kepada seorang pemuda yang mengibarkan bendera parti dengan penuh bangga, di saat para peserta mengumandangkan slogan-slogan BERSIH dan kenegaraan.

"La Ilaha Illallah, La Ilaha Illallah, La Ilaha Illallah" kemudiannya dikumandangkan serentak ketika para peserta sedang duduk di depan Dataran Merdeka, sementara menanti 'perasmian' BERSIH 3.0 jam 2.30 petang.

Laungan kalimah Syahadat ini, beserta bacaan doa penuh semangat oleh seorang peserta yang diaminkan para demonstran, juga laungan selawat kepada Nabi SAW, antara yang paling mencuri perhatian saya.

"Sesuaikah laungan dan aktiviti sebegini dalam perhimpunan yang bersifat rentas agama dan kaum seperti BERSIH 3.0 ini?", persoalan ini melantun keluar tanpa ada sikap tertentu mendarat di hati saya.

"Dalam perhimpunan BERSIH 3.0 yang bersifat rentas agama dan bangsa, seeloknya tidak dibenarkan warna agama atau bangsa tertentu yang mewarnainya. Biarlah satu-satunya warna yang membalutinya, ialah warna rakyat dan bangsa Malaysia", hati saya berdetik.

"Antara rahsia kejayaan Revolusi Rakyat Mesir 25 Januari ialah kerana ia disertai dan dijayakan oleh semua lapisan rakyat Mesir".

Kenyataan salah seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir ini segera menerpa ke benak saya, apabila berhadapan dengan laungan dan perilaku yang bersifat keagamaan, yang muncul di celah-celah kesesakan dan kepadatan peserta-peserta BERSIH 3.0.

"Bagi menjamin BERSIH 3.0, atau apa jua perhimpunan dan agenda yang bersifat nasional, didokong oleh semua rakyat berbilang agama dan bangsa, ia mestilah diletakkan dalam acuan yang juga bersifat nasional", saya membuat kesimpulan.

"Tapi, aku sebenarnya tidak pasti apakah laungan dan tindakan keagamaan itu, boleh menconteng atau mengeruhkan sifat rentas agama dan bangsa yang dimiliki BERSIH 3.0. Yang penting, apa jua tindakan yang boleh menjejaskan sifat BERSIH 3.0 itu perlu dielakkan", saya bermonolog sendiri.

Bagaimana pula dengan dakwaan keganasan polis dan peserta BERSIH 3.0, serta makna di sebalik kebanjiran peserta Cina dalam BERSIH 3.0?

Oh, minda sudah terasa letih dan tangan pula sudah digigit kelenguhan.

 Catatan BERSIH 3.0 2 dan 3 akan menyusul, insyaAllah.

Thursday, 15 March 2012

Kebajikan anak Hoslan : PAS perlu pergi lebih jauh!


Sesetengah pihak, memandang sinis tindakan Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat membantu keluarga Hoslan Hussin.

Pemuda PAS berusaha mengumpulkan RM20,000 untuk keluarga Hoslan. Manakala Muslimat PAS pula akan menyediakan RM800 sebulan untuk keluarga beliau.

Usaha ini dilakukan bagi menjaga kebajikan isteri dan 7 anak Hoslan, seorang imam yang dihukum penjara selama setahun.

Ditilik dari kacamata agama dan sosial, tindakan kedua-dua sayap PAS itu, sebenarnya merupakan satu permulaan yang sangat baik.

Seharusnya, semua pihak menjadikan ‘permulaan yang baik’ ini, sebagai titik mula atau batu asas kepada pengasasan satu badan khusus, yang bertanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak atau isteri tahanan penjara.

Semua pihak harus menginsafi bahawa menjaga kebajikan anak dan isteri tahanan penjara, adalah satu kewajipan agama dan sosial.

Kedudukannya sebagai satu kewajipan agama, dinyatakan oleh Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Dalam fatwanya, beliau menyatakan, menjadi kewajipan pemerintah menjaga kebajikan anak-anak pesalah yang dihukum penjara (al-Qaradhawi, Yusuf (2000), Fatawa Mu’asarah, cet. ke-8, Kuwait : Darul Qalam, 627).

Adalah jelas, berasaskan fatwa ini, menjadi kewajipan pemerintah menjaga kebajikan tanggungan pesalah yang dikenakan hukuman penjara, sepanjang pemenjaraannya.

Justeru, alangkah eloknya ‘permulaan yang baik’, yang dicetuskan oleh kedua-dua sayap PAS ini, dijadikan ‘sempena yang baik’ oleh pihak Kerajaan bagi membentuk satu badan, yang berperanan menjaga kebajikan anak-anak dan isteri pesalah yang dihukum penjara.

Dalam masa sama, PAS sendiri wajar melihat ‘permulaan yang baik’ yang dicetuskannya ini, sebagai satu peluang untuknya meminta Kerajaan menubuhkan badan kebajikan anak-anak tahanan ini.

Jika permintaan ini tidak dapat ditunaikan oleh Kerajaan, adalah sesuatu yang sangat ‘indah’, andainya parti Islam itu mengusahakan sendiri, atau menggalakkan penubuhan satu badan, bagi tujuan memelihara kebajikan anak-anak dan isteri yang tidak berdosa, yang dipisahkan dari ayah mereka oleh jeriji besi.

Prinsip Islam

Anak-anak dan isteri yang ditinggalkan ini sebenarnya tidak berdosa. Yang berdosa dan bersalah ialah ayah mereka.

Justeru, seseorang itu tidak wajar dipersalahkan atau dipandang serong, disebab dosa yang dilakukan oleh orang lain.

Inilah prinsip yang diasaskan oleh Islam melalui firman Allah yang bermaksud, “dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain”(Al-Isra’ : 15).

Prinsip ini memahamkan bahawa tiada istilah ‘membela’ atau ‘menjulang penjenayah’ dalam sebarang usaha menjaga kebajikan anak-anak dan isteri pesalah yang hilang tempat bergantung, akibat jenayah atau kesalahan yang dilakukan oleh si ayah atau si suami.

Tindakan sesetengah pihak menyifatkan inisiatif Pemuda dan Muslimat PAS menghulurkan bantuan kepada keluarga Hoslan sebagai ‘menjulang atau membela pesalah’, adalah tunas yang tumbuh daripada kejahilan tentang prinsip Islam yang disebutkan dalam surah al-Isra’ ayat 15.

Semua pihak-tanpa mengira agama dan kaum-perlu menginsafi bahawa pengabaian terhadap anak-anak dan isteri tahanan penjara, boleh menyumbang kepada pertambahan kadar jenayah.

Bila anak-anak dan isteri ini hilang tempat bergantung, kebiasaannya, keadaan akan menolak mereka masuk ke zon masalah ekonomi dan sosial, zon yang menyediakan tanah yang subur bagi percambahan jenayah dan gejala salah laku.

Menyedari kepincangan undang-undang yang hanya memenjarakan pesalah, tetapi mengabaikan tanggungannya yang ditinggalkan tanpa tempat bergantung, Syaikh Qaradhawi menyifatkan undang-undang ciptaan manusia ini sebagai cuai (al-Qaradhawi, Yusuf (2000), Fatawa Mu’asarah, cet. ke-8, Kuwait : Darul Qalam, 627).

Selaku pihak yang boleh disifatkan sebagai ‘penabur benih’ kepada usaha penjagaan kebajikan anak-anak dan isteri tahanan penjara, Pemuda dan Muslimat PAS tidak harus berhenti setakat menghulur bantuan kepada keluarga Hoslan sahaja.

Mereka perlu bergerak lebih jauh ke hadapan, sehingga ke tahap pembentukan sebuah badan kebajikan bagi anak-anak dan isteri yang dipisahkan dari suami mereka oleh tirai besi.

Yang lebih penting, penubuhan badan kebajikan anak-anak dan isteri tahanan penjara ini, sangat cocok dengan agenda penubuhan Negara Berkebajikan PAS.

Selamat berjuang!

Friday, 21 October 2011

Kepelikan dalam menyikapi HIMPUN

Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN), bukanlah bertujuan membantah orang lain bersuara.

Justeru, HIMPUN tidak boleh disifatkan sama dengan tindakan gereja yang menyekat suara-suara para ilmuan.

Penyifatan HIMPUN sama dengan tindakan tidak bertamadun gereja itu, sangat keterlaluan dan jauh tersasar daripada realiti sebenar HIMPUN itu sendiri.

HIMPUN hanyalah satu usaha mewujudkan kesatuan suara dan sikap umat Islam bagi mendepani gejala pemurtadan. Ia bukan bagi membantah orang lain bersuara.

Ia juga bukan satu demonstarasi jalanan yang boleh disifatkan sebagai tindakan ‘menjerit di jalanan’. Lantas ia merupakan perhimpunan besar bagi membincangkan isu pemurtadan umat Islam.

Oleh itu, sangat jauh terpesong kefahaman pihak yang turut memahami HIMPUN sebagai satu usaha dakwah, yang sememangnya ditunjangi oleh- antara lain- hujjah dan dialog.

HIMPUN bukan satu gerakan mendakwah bukan Islam kepada Islam. Sebaliknya sekadar perhimpunan yang bertujuan membentuk kesatuan sikap dan suara di kalangan umat Islam.

Oleh itu, tidak releven-ketika kita memperkatakan tentang HIMPUN yang sedemikian sifatnya-dikemukakan ayat 125 dari surah al-Nahl yang bermaksud, “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik”.

Hakikat dan kedudukan sebenar HIMPUN sangat jelas.

Justeru, sesuatu yang amat sukar untuk dimengerti, apabila ada pihak yang menanggapi HIMPUN sebagai ‘membantah orang lain bersuara’, ‘menjerit di jalanan’ atau satu usaha dakwah yang sewajarnya berteraskan hujah dan dialog, bukannya dengan cara berhimpun!

Ini berkaitan hakikat sebenar kedudukan HIMPUN yang sememangnya jelas.

Dalil keharusan berhimpun

Seperkara lagi yang berkaitan, ialah berkenaan kedudukan perbuatan berhimpun bagi tujuan yang diizinkan syarak, seperti menyatakan pandangan, pada pandangan Islam.

Realitinya, tindakan berhimpun bagi menyatakan sesuatu pandangan, bukan sesuatu yang asing dalam Islam. Ini memandangkan perbuatan berhimpun bagi tujuan yang dibenarkan syarak, termasuk menyatakan pandangan, dikelompokkan dalam kategori perkara-perkara harus.

Dalil keharusan berhimpun bagi tujuan yang diizinkan syarak, ialah ketiadaan dalil yang menegahnya.

Dalam konteks perkara-perkara yang dikategorikan sebagai adat (lawan kepada ibadat), ketiadaan dalil yang mengharamkannya, merupakan dalil keharusan perkara-perkara adat tadi.

Ini kerana hukum asal bagi semua perkara berkaitan adat, adalah harus. Oleh itu, ia hanya menjadi haram apabila terdapat dalil yang mengharamkannya.

Selagi tiada dalil yang mengharamkannya, maka ia kekal di atas hukumnya yang asal, iaitu harus.

Ini berdasarkan kaedah Feqh yang menyatakan :

الأصل في الأشياء الإباحة

Terjemahan : “Dasar [yang diguna pakai] berhubung perkara-perkara [adat] ialah [hukumnya] harus”.

Sehubungan itu, adalah menjadi satu kesalahan dari segi manhaj, jika ada pihak yang meminta supaya dikemukakan dalil yang mengharuskan berhimpun.

Justeru, tidak boleh dinafikan keharusan berhimpun bagi tujuan-tujuan baik, seperti menyatakan pandangan berhubung sesuatu isu.

Berbaki satu lagi persoalan, iaitu berkaitan kewajaran HIMPUN diadakan.

Kewajaran HIMPUN diadakan atau sebaliknya, adalah bergantung kepada pertimbangan masing-masing berasaskan pengetahuan tentang perkembangan semasa dan kefahaman tentang realiti masa kini.

Jika demikian keadaannya, maka bukan suatu yang pelik bila wujud perbezaan pendapat berhubung kewajaran HIMPUN diadakan. Sudah tentu ada pihak yang melihatnya sesuatu yang wajar. Dan sudah pasti ada pula yang melihat sebaliknya.

Oleh itu, jika ada pihak yang mahu mengetengahkan pendapat yang mengatakan HIMPUN sebagai tidak wajar, apa yang perlu dan boleh dilakukannya, ialah menyenaraikan fakta-fakta realiti semasa yang menunjukkan ketidakwajaran HIMPUN diadakan, bukannya dengan menyifatkan perhimpunan sebagai sesuatu yang tidak wujud dalam Islam.