Showing posts with label HUKUM FEQH. Show all posts
Showing posts with label HUKUM FEQH. Show all posts

Sunday, 23 February 2014

Hukum bersumpah depan Quran, letak tangan atas Quran atau menjunjungnya ketika bersumpah

Amalan 'bersumpah di hadapan al-Quran', memang wujud dalam masyarakat kita. Begitu juga perbuatan 'meletakkan tangan di atas al-Quran' ketika bersumpah.

Seringkali juga terdengar suara-suara yang menyatakan 'kesanggupan bersumpah sambil menjunjung al-Quran'.

Seperti biasa, persoalan ini akan ditinjau melalui jendela mazhab Syafie radhiyAllahu 'anhu. Pandangan mazhab-mazhab lain hanya akan disebut jika ada keperluan. 

Muqaddimah

Bagi memudahkan pemahaman tentang hukum amalan ini, perlu difahami terlebih dahulu soal 'pengukuhan sumpah', atau تغليظ اليمين

Maqasid (tujuan) sumpah ialah 'mendesak seseorang bercakap benar' berhubung sesuatu isu atau kes.

Rata-rata orang Islam takut untuk berbohong ketika bersumpah (atau melakukan sumpah bohong).

Namun, ada juga orang yang berani berbohong ketika bersumpah. Bagi mengatasai masalah ini, sumpah perlu diperkukuhkan.

Sumpah diperkukuhkan dengan tempat, iaitu melakukan sumpah di tempat-tempat yang mulia, seperti dalam masjid. Atau diperkukuhkan dengan masa yang mulia, seperti bersumpah di bulan Ramadhan, selepas solat, semasa wukuf di Arafah, dan sebagainya. 

Sumpah juga diperkukuhkan dengan menambahkan sifat Allah dalam sumpah. Seperti berkata, "demi Allah yang mengetahui yang zahir dan tersembunyi, yang memiliki langit dan bumi, aku bersumpah...".

Bersumpah dengan sumpah yang diperkukuhkan dengan cara-cara yang dinyatakan, akan menyebabkan seseorang melihat tindakan bersumpah sebagai satu acara yang hebat, seterusnya menimbulkan lebih rasa gerun untuk berbohong ketika bersumpah.

'Pengukuhan sumpah' atau تغليظ اليمين ini dikupas oleh para fuqaha' dalam bab li'an (sumpah antara suami dan isteri) dan al-Da'wa (pendakwaan).

Kenyataan fuqaha'

Berhubung hukum amalan bersumpah dengan cara yang dinyatakan di awal tulisan ini, ia boleh disaring melalui kupasan para fuqaha'.

Imam Nawawi radhiyAllahu 'anhu dalam karyanya, Raudhah al-Tolibeen  menyatakan :
واستحب الشافعي رحمه الله أن يقرأ على الحالف " إن الذين يشترون بعهد الله وأيمانهم ثمناً قليلا " الآية وأن يحضر المصحف ويوضع في حجر الحالف

Terjemahan : [Imam] Syafie rhm mensunatkan [supaya] dibaca kepada orang yang [akan] bersumpah [ayat 77 surah Ali Imran yang berbunyi] إن الذين يشترون بعهد الله وأيمانهم ثمناً قليلا dan [mensunatkan supaya] dibawa mushaf (al-Quran) dan diletakkan dalam dakapan orang yang [akan] bersumpah.

Ayat 77 surah Ali Imran secara lengkap berbunyi :

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّـهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَـٰئِكَ لَا خَلَاقَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّـهُ وَلَا يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿٧٧
 
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit, dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah-sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka, dan tidak akan memandang mereka di hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka [dari dosa], dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Ringkasnya, menurut Imam Syafie r.a, dua perkara berikut sunat dilakukan terhadap orang yang mahu bersumpah :

1. Dibacakan kepadanya ayat 77 surah Ali Imran; dan

2. Diletakkan al-Quran dalam dakapannya.

'Bersumpah sambil mendakap al-Quran', adalah antara cara memperkukuhkan sumpah. Dengan cara ini, perasaan gerun untuk berbohong ketika bersumpah, akan semakin menebal dalam diri seseorang yang mahu bersumpah.

Manakala Syaikh Al-Bakri dalam karyanya, I'anah al-Tolibeen pula mencatatkan bahawa sesetengah ulama menyatakan :
التغليظ أن يوضع المصحف في حجره ويطلع له سورة براءة، ويقال له ضع يدك على ذلك ويقرأ قوله تعالى: * (إن الذين يشترون) * الآية.

Terjemahan : Pengukuhan [sumpah dilakukan dengan] diletakkan mushaf dalam dakapannya (orang yang mahu bersumpah), dan dibuka kepadanya surah al-Bara'ah (al-Taubah), dan dikatakan kepadanya, "letakkan tanganmu di atasnya (surah al-Taubah)", dan dibaca [kepadanya] firman [Allah] ta'ala [dalam surah Ali Imran, ayat 77 yang berbunyi] : إن الذين يشترون [sehingga akhir ayat].

Ringkasnya, cara memperkukuhkan sumpah ialah :

1. Meletakkan mushaf dalam dakapan orang yang mahu bersumpah;

2. Disuruh orang yang mahu bersumpah meletakkan tangannya di atas surah al-Taubah; dan

3. Dibaca kepadanya ayat 77 surah Ali Imran.

Hukum syarak

Berdasarkan dua petikan ini, boleh disimpulkan seperti berikut :

1. 'Bersumpah sambil mendakap al-Quran', adalah dibolehkan (hukumnya sunat). Ini kerana, tindakan ini dapat memperkukuhkan sumpah yang dilakukan.

Oleh itu, bersumpah di hadapan al-Quran juga dibolehkan. Ini kerana, ia juga dapat memperkukuhkan sumpah.

Memperkukuhkan sumpah dengan cara mendakap al-Quran (ketika bersumpah), bukanlah satu cara yang mengikat, dengan makna tidak boleh dilakukan cara yang lain.

Buktinya, sesetengah ulama memperkukuhkan sumpah dengan menyuruh seseorang yang mahu bersumpah, meletakkan tangan di atas surah al-Taubah, seperti yang disebut dalam I'anah Tolibeen.

2. 'Meletakkan tangan di atas surah al-Taubah' ketika bersumpah, difatwakan sebagai harus. Oleh demikian, lebih utama 'meletakkan tangan di atas keseluruhan al-Quran' ketika bersumpah, dihukumkan harus.

3. Berdasarkan kenyataan ulama-ulama mazhab Syafie r.a, boleh disimpulkan bahawa perbuatan 'menjunjung al-Quran ketika bersumpah', juga dibolehkan. 

Perbuatan ini sama dengan perbuatan 'mendakap al-Quran' atau 'meletakkan tangan di atas surah al-Taubah' ketika bersumpah. Iaitu sama dari segi memperkukuhkan sumpah.

Manakala cara memperkukuhkan sumpah yang disebut dalam Raudhah al-Tolibeen dan I'anah al-Tolibeen seperti di atas, bukanlah satu cara yang mengikat.

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi oleh tindakan sesetengah tabi'een.

Dalam Musannaf Abdul Razak, direkodkan seperti berikut :
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِينَ ، قَالَ : كَانَ كَعْبُ بْنُ سُورٍ يُحَلِّفُ أَهْلَ الْكِتَابِ يَضَعُ عَلَى رَأْسِهِ الإِنْجِيلَ، ثُمَّ يَأْتِي بِهِ إِلَى الْمَذْبَحِ فَيَحْلِفُ بِاللَّهِ "

Terjemahan : [Diriwayatkan] daripada Muhammad Ibn Sireen (Ibn Sireen) [bahawa beliau] berkata, "[pernah] Ka'ab Ibn Suur [ketika] mengarahkan Ahli Kitab bersumpah, [beliau] meletakkan [kitab] Injil di atas kepalanya (Ahli Kitab), kemudian membawanya ke Mazbah (nama tempat), lalu dia (Ahli Kitab) bersumpah dengan [nama] Allah".

Petikan ini merekodkan tindakan Ka'ab Ibn Suur meletakkan kitab Injil-kitab suci Ahli Kitab (Kristian)-di atas kepala Ahli Kitab tersebut ketika mengarahkannya bersumpah.

Beliau melakukan sedemikian bagi memperkukuhkan sumpah. 

Jika sumpah Ahli Kitab boleh diperkukuhkan dengan cara meminta mereka menjunjung kitab suci mereka ketika bersumpah, maka sumpah penganut Islam juga boleh diperkukuhkan dengan cara meminta mereka menjunjung al-Quran ketika bersumpah.

Kesimpulan

1. Amalan bersumpah di hadapan al-Quran, atau bersumpah sambil meletakkan tangan di atas al-Quran atau menjunjungnya, adalah harus.

Ini berdasarkan kenyataan-kenyataan para ulama mazhab Syafie yang muktabar.

2. Amalan ini tidak boleh dianggap sebagai menyerupai amalan orang Kristian (yang meletakkan tangan di atas kitab Injil ketika bersumpah). Bukan juga amalan bid'ah, atau amalan yang boleh disifatkan sebagai 'tiada dalam Islam'.

Wallahu a'lam.

Friday, 7 February 2014

Makna bayi tidak 'tertebus' tanpa akikah

Ada orang bertanya tentang akikah.

Iaitu, apakah maksud 'seseorang bayi atau kanak-kanak tidak 'tertebus', selagi tidak dilakukan akikah untuknya'. 

Pertanyaan ini berkaitan dengan sepotong hadis. Iaitu sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam:

الْغُلَامُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ، يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ، وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Terjemahan : [Setiap] kanak-kanak 'tertebus' dengan akikah [yang dilakukan untuk]nya. [Akikah terlaksana dengan] disembelih untuknya [haiwan ternakan] pada hari ketujuh [kelahirannya], diberi nama dan dicukur kepalanya.

Hadis ini hadis sahih. Ia direkodkan Imam Bukhari dalam Sahihnya, no.5155.

Hadis ini memahamkan bahawa setiap bayi dilahirkan dalam keadaan 'tergadai'. Sama seperti barang gadaian yang lain, ia boleh 'ditebus'. Tapi, cara 'menebus'nya ialah dengan melakukan akikah untuknya. 

Ini bermakna, selagi kanak-kanak itu tidak diakikahkan, ia kekal dalam keadaan 'tergadai'. Ia hanya dianggap 'tertebus' bila ia diakikahkan.

Bila sesuatu itu disifatkan sebagai 'tergadai', maksudnya ia milik kita, tetapi berada dalam penguasaan atau genggaman orang lain.
Demikian mafhum hadis di atas.

Apakah maksud 'setiap bayi dilahirkan dalam keadaan tergadai-tidak 'tertebus'-selagi belum diakikahkan' ini?

Pendapat 3 ulama

Terdapat beberapa pendapat ulama.

Pendapat pertama ialah pendapat Imam Ahmad bin Hambal r.a. 
Menurut beliau, ungkapan الْغُلَامُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ (Setiap kanak-kanak 'tertebus' dengan akikah yang dilakukan untuknya) bermaksud :

إذا لم يعق عنه فمات طفلا لم يشفع في أبويه

Terjemahan : Jika ia (bayi atau kanak-kanak) tidak diakikahkan, kemudian ia mati ketika masih kecil, ia tidak [dapat] memberikan syafaat kepada kedua ibu bapanya [di hari akhirat kelak].

Ringkasnya, pendapat Imam Ahmad ini berkaitan kanak-kanak yang meninggal semasa kecil, dan belum diakikahkan.

Dalam keadaan ini, di hari akhirat kelak, si anak kecil ini tidak akan dapat memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya.

Oleh itu, berdasarkan pandangan Imam Ahmad ini, maksud 'setiap kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan tergadai-tidak 'tertebus'-selagi belum diakikahkan', ialah 'ia tidak dapat memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya di hari akhirat jika ia mati (semasa kecil) sebelum diakikahkan'.

Ini bermakna, jika bayi ini mati semasa kecil setelah diakikahkan, maka ia dianggap telah 'tertebus', iaitu dengan makna 'boleh memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya' di hari akhirat kelak.

Dalam erti kata lain, 'orang yang tertebus' (المرتهَن)bermaksud 'orang yang boleh memberi syafaat kepada orang lain'.

Ibn Qayyim 'sanggah' Imam Ahmad

Walau bagaimana pun, pendapat Imam Ahmad ini disanggah oleh Imam Ibn Qayyim rhm. 

Hujjah beliau, seseorang yang dapat memberi syafaat kepada orang lain (seperti para nabi, rasul dan syuhada') tidak dinamakan المرتَهن ('yang ditebus' atau 'yang tertebus').

Oleh demikian, tidak tepat ditafsirkan ungkapan 'setiap bayi 'tertebus' dengan akikah' dengan mengatakan 'setiap bayi dapat memberi syafaat dengan sebab akikah yang dilakukan untuknya'.

Menurut Ibn Qayyim, ungkapan الْغُلَامُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ (setiap kanak-kanak 'tertebus' dengan akikah yang dilakukan untuknya) bermaksud 'setiap kanak-kanak terbebas daripada syaitan disebabkan akikah yang dilakukan untuknya'.

Beliau menyatakan : 

المراد أن العقيقة تخليص له من الشيطانِ ومنعِه [له] من سعيه في مصالح آخرته

Terjemahan : Yang dikehendaki [dengan 'setiap kanak-kanak 'tertebus' dengan akikah] ialah akikah membebaskannya daripada syaitan, dan [daripada tindakan syaitan] menghalangnya daripada berusaha untuk kemaslahatan akhiratnya".

Oleh demikian, berdasarkan pandangan Imam Ibn Qayyim ini, 'setiap bayi dilahirkan dalam keadaan tergadai-tidak 'tertebus'-selagi belum diakikahkan', bermaksud 'ia tidak terbebas daripada syaitan selagi tidak diakikahkan'.

'Tertebus' bermakna 'sejahtera'

Pendapat ketiga pula ialah pendapat al-Mulla Ali al-Qari. Dalam karyanya Mirqatul Mafatih, beliau mencatatkan :

"الغلام مرتهن"...أي : مرهون بعقيقته يعني أنه محبوس سلامته عن الآفات بها أو أنه كالشيء المرهون لا يتم الاستمتاع به دون أن يقابل بها لأنه نعمة من الله على والديه فلا بد لهما من الشكر عليه.

Terjemahan : "[Setiap] kanak-kanak 'tertebus' dengan akikah [yang dilakukan untuk]nya", maksudnya [kanak-kanak] bergantung kepada akikahnya, yakni kesejahteraannya daripada penyakit 'tertahan' disebabkan akikah (apabila dilakukan akikah, sejahteralah ia daripada penyakit), atau ia seperti barang gadaian [yang] tidak dapat dinikmati sepenuhnya tanpa disusuli dengannya (akikah) kerana ia (anak) adalah nikmat daripada Allah ke atas kedua ibu bapanya, maka mereka mesti mensyukurinya [dengan mengadakan akikah].

Ringkasnya, menurut Mulla Ali al-Qari, 'setiap kanak-kanak 'tertebus' dengan akikah' bermaksud :

1. Setiap kanak-kanak sejahtera daripada penyakit disebabkan akikah yang dilakukan untuknya; atau

2. Nikmat mendapat anak dapat dinikmati sepenuhnya setelah ia diakikahkan. Selagi belum diakikahkan, ia seperti barang yang digadai yang tidak dapat 'dinikmati' sepenuhnya.

Oleh itu, berdasarkan pandangan ini, 'setiap bayi dilahirkan dalam keadaan tergadai-tidak 'tertebus'-selagi belum diakikahkan', bermaksud 'ia tidak sejahtera daripada penyakit selagi belum diakikahkan, atau ia tidak dapat 'dinikmati' sepenuhnya selagi belum diakikahkan'.

Kesimpulan penting daripada pandangan para ulama ini ialah kepentingan melakukan akikah untuk setiap anak yang dikurniakan Allah. 

Dengan melakukan akikah, ada kelebihan yang diperolehi si anak dan juga ibu bapa yang melaksanakannya.

Sebagai rumusan akhir, dinyatakan disini bahawa berhubung tajuk ini, penulis cenderung kepada pandangan Imam Ibn Qayyim dan Syaikh Mulla Ali al-Qari.

Wallahu a'lam.

Sunday, 21 July 2013

Mengorek hidung & telinga ketika berpuasa : Pandangan Mazhab Syafie

Persoalan samada perbuatan mengorek telinga atau hidung membatalkan puasa atau tidak-seperti biasa- akan ditinjau melalui jendela kitab-kitab muktabar Feqh Mazhab Syafie.

Pendapat mazhab-mazhab lain hanya akan disebut jika ada keperluan.

Jawapan kepada persoalan ini boleh ditemui melalui pendakian 'tangga-tangga' pemahaman seperti berikut :

Pertama : Puasa terbatal disebabkan kemasukan sesuatu objek ke dalam badan. 

Ketika menghuraikan syarat-syarat sah puasa, Imam Nawawi r.a menyatakan :
الإمساك...عن وصول العين إلى ما يسمى جَوْفا 
Terjemahan : [Syarat sah puasa antaranya] menahan...daripada sampai sesuatu objek kepada [anggota tubuh badan] yang dinamakan 'jauf'.

Mu'jam al-Waseet, mentakrifkan 'jauf' dengan  الجَوْفُ من كل شَيءٍ : باطنه الذي يقبل الشَّغْل والفراغ .

Maksudnya, " 'jauf' setiap sesuatu, ialah bahagian dalamnya (sesuatu) yang boleh diisi dan dikosongkan".

Dengan ini, 'jauf' bolehlah diterjemahkan sebagai 'bahagian dalam badan manusia'.

Ringkasnya, kemasukan sesuatu objek ke 'bahagian dalam badan manusia', membatalkan puasa.

Dalil kepada kenyataan Imam Nawawi di atas, ialah kata-kata Syaidina Ibnu Abbas radhiyALLAHu  'anhu. Beliau berkata :
إنّما الوضوءُ ممّا يخْرجُ وليس ممّا يدْخلُ وإنّما الفِطْر ممّا دخل وليس ممّا خرج
Terjemahan : Sesungguhnya wuduk [terbatal] disebabkan keluarnya [sesuatu dari badan], dan bukan [terbatal] disebabkan masuknya [sesuatu ke dalam badan], dan sesungguhnya berbuka (terbatal puasa) disebabkan sesuatu yang masuk [ke dalam badan], dan bukannya disebabkan keluarnya sesuatu [dari badan].

Menurut Imam Nawawi r.a dalam al-Majmuk, kata-kata Ibnu Abbas ini direkodkan oleh Imam al-Bayhaqi dengan sanad yang hasan atau sahih.

Had 'bahagian dalam'

Kedua : Penentuan had 'bahagian dalam badan manusia'

Ulama-ulama Mazhab Syafie memperincikan bahagian-bahagian hidung dan telinga yang dianggap sebagai 'bahagian dalam badan' seperti berikut :

a. Bahagian selepas pangkal hidung. 

Dalam Bahasa Arab, 'pangkal hidung' disebut 'khaisyum'. Khaisyum ialah tempat keluar (makhraj) suara dengung.

Adapun 'bahagian dalam lubang hidung sehingga ke pangkal hidung', ia tidak dianggap 'bahagian dalam badan manusia'. Ia dikira sebagai 'bahagian luar tubuh manusia'.

Oleh itu, dalam Mazhab Syafie, seseorang yang mengorek hidungnya tanpa melangkaui pangkal hidung, tidak dianggap telah memasukkan sesuatu objek ke 'dalam badan'. 

Ini kerana, bahagian dalam hidung sehingga ke pangkal hidung, termasuk dalam kategori 'bahagian luar tubuh manusia', bukannya bahagian dalam.

Oleh itu, mengorek hidung-selama mana tidak melangkaui pangkal hidung-tidak membatalkan puasa.

Perkara ini dinyatakan dengan jelas oleh para ulama Mazhab Syafie. Imam Nawawi menukilkan dalam al-Majmuk :
قال أصحابنا : وما جاوز الخيشومَ في الاستعاط فقد حصل في حد الباطن وحصل به الفطرُ

Terjemahan : Berkata rakan-rakan kami [ulama-ulama Mazhab Syafie] : Apa-apa yang melangkaui pangkal hidung (khaisyum) ketika memasukkan ubat ke dalam hidung, maka [bermakna] ia sampai ke had [bahagian] dalam [tubuh manusia], dan menyebabkan berbuka (terbatal puasa).      

b. Lubang telinga.

Lubang telinga dianggap 'bahagian dalam tubuh manusia'. Oleh itu, memasukkan sesuatu ke dalam lubang telinga, membatalkan puasa.

Dalam Feqh al-Ibadat berasaskan Mazhab Syafie dinyatakan :
ومثله حك الأذن من داخلها بشيء صلب أما بالإصبع فلا يفطر ما لم تصل إلى الصِّماخ

Terjemahan : Dan sama dengannya (apa yang disebut sebelumnya) [dari segi membatalkan puasa] ialah mengorek dalam telinga dengan benda keras. Adapun [mengorek telinga] dengan jari, ia tidak membatalkan [puasa] selama mana [jari] tidak sampai ke 'simagh'.

Kitab Hasyiah al-Bujayrimi 'Ala al-Khateeb mentakrifkan 'simagh' sebagai خرق الأذن iaitu 'lubang telinga'.

Kesimpulan

Nukilan daripada kitab-kitab muktabar Feqh Syafie ini merumuskan dua perkara penting.

Pertama : Kepercayaan bahawa mengorek hidung (iaitu tanpa melangkaui pangkal hidung) membatalkan puasa, adalah karut. Tiada ulama Mazhab Syafie yang menyatakan demikian.

Kedua : Tiada ulama Mazhab Syafie yang mengatakan 'bahagian dalam telinga' (yang membatalkan puasa jika dikorek) ialah 'bahagian selepas gegendang' seperti yang difahami daripada 'fatwa' sesetengah ustaz popular.

'Fatwa' ini bermakna, jika dikorek lubang telinga selama mana tidak sampai ke gegendang, tidak membatalkan puasa.

Pendapat sebenar Mazhab Syafie ialah seperti yang dinyatakan. Iaitu semata-mata mengorek atau memasukkan sesuatu dalam lubang telinga, membatalkan puasa.

Wallahu a'lam

Monday, 27 May 2013

Hukum meniarap

Meniarap atau tidur dalam keadaan meniarap, ditegah oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Baginda juga menyifatkan meniarap sebagai 'cara ahli neraka berbaring'.

Berkenaan tegahan meniarap, Abu Hurairah r.a meriwayatkan :
مرَّ النبيُ صلى الله عليه وسلم برجلٍ مضطجعٍ على بطنِه فغمزه برِجْله وقال :"إن هذه ضِجْعة لا يحبُّها اللهُ عز وجل

Terjemahan : "Nabi sallallahu 'alaihi wasallam melewati seorang lelaki yang sedang berbaring di atas perutnya (meniarap), lantas menguisnya (lelaki) dengan kaki Baginda seraya bersabda, "sesungguhnya ini (meniarap) adalah cara berbaring yang tidak disukai Allah Azza Wajalla".

Hadis ini direkodkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya dari Abu Zar r.a (no.5040), dan Imam Ahmad dalam Musnadnya dari Abu Hurairah (no.7981).

Hadis ini dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam karya beliau, Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib.

Hadis di atas menegah perbuatan meniarap secara umum, tanpa membezakan samada meniarap dalam masjid, atau di tempat-tempat lain.

Cara ahli neraka berbaring

Berkenaan penyifatan meniarap sebagai 'cara ahli neraka berbaring' pula, Abu Zar r.a meriwayatkan :
مرَّ بي النبيُ صلى الله عليه وسلم وأنا مضطجعٌ على بطني فرَكَضَني برِجْله وقال:"يا جُنَيْدِب، إنما هذه ضِجْعَة أهلِ النار
Terjemahan : "Nabi sallallahu 'alaihi wasallam pernah melewatiku yang sedang berbaring di atas perutku (meniarap), lantas menjolokku dengan kaki Baginda seraya bersabda, "wahai Junaydib (nama panggilan Abu Zar r.a), sesungguhnya ini (meniarap) adalah cara berbaring ahli neraka".

Hadis ini direkodkan oleh Imam Ibn Majah dalam Sunannya (no.3724).
Al-Albani menilainya sahih dalam karya beliau, Sahih Wa Dhaif Sunan Ibn Majah.

Terdapat juga hadis yang menyifatkan perbuatan tidur meniarap, sebagai 'tidur ala neraka jahannam'. 

Diriwayatkan daripada Abu Umamah r.a :
مرَّ النبيُ صلى الله عليه وسلم على رجلٍ نائمٍ في المسجد منبَطِحٌ على وجهه فضربه برجله وقال : قم واقعد فإنها نومة جهنمية.
Terjemahan : Nabi salallahu alayhi wasallam pernah melewati seorang lelaki yang sedang tidur dalam masjid dalam keadaan meniarap, lantas menguisnya (lelaki) dengan kaki Baginda seraya berkata, "bangun dan duduklah, sesungguhnya ia (meniarap) adalah 'tidur ala neraka jahannam'!"

Hadis ini direkodkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya (no.3725) dan Imam Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad

Walau bagaimana pun, hadis ini dinilai dhaif oleh al-Albani dalam karya beliau, Sahih Wa Dhaif Sunan Ibn Majah.

Makruh meniarap

Walaupun meniarap disifatkan sebagai cara berbaring yang tidak disukai Allah dan cara ahli neraka berbaring, namun menurut Imam Tirmizi, meniarap hukumnya makruh. 

Ini dinyatakan melalui satu tajuk bagi salah satu bab yang terdapat dalam sunan beliau.

Tajuk bab tersebut ialah باب ما جاء في كراهية الإضطجاع على البطن (Bab pada menyatakan kemakruhan berbaring di atas perut-meniarap)

Hadis-hadis yang dinyatakan, beserta kenyataan Imam Tirmizi di atas menunjukkan bahawa yang ditegah dan dimakruhkan, ialah meniarap itu sendiri. 

Ini kerana, yang diperkatakan oleh hadis riwayat Abu Hurairah r.a dan Abu Zar r.a di atas-beserta kenyataan Imam Tirmizi-ialah tegahan meniarap, atau dalam bahasa Arabnya, الإضطجاع على البطن  

Oleh itu, samada meniarap dalam keadaan jaga, atau tidur dalam keadaan meniarap, kedua-duanya adalah makruh.

Justeru, 'fatwa' sesetengah ustaz yang membayangkan bahawa yang dimakruhkan hanyalah 'tidur meniarap' (manakala meniarap sahaja-iaitu dalam keadaan jaga-tidak makruh), adalah tidak benar.

Tidak makruh

Hukum makruh meniarap yang dinyatakan ini, adalah khusus bagi orang yang tiada keuzuran. Ada pun meniarap disebabkan keuzuran atau kesakitan, ia tidak dimakruhkan.

Al-Allamah al-Marhum Syaikh Uthaimeen rhm dalam karya beliau, Syarh Riyadhus Soliheen menyatakan :
لا ينبغي للإنسان أن ينام على بطنه...لكن إذا كان في الإنسان وجع في بطنه وأراد أن ينام على هذه الكيفية لأنه أريح له فإن هذا لا بأس به لأن هذه حاجة
Terjemahan : Tidak sepatutnya seseorang itu tidur di atas perutnya (meniarap)...tetapi jika  seseorang itu sakit perut dan mahu tidur dengan cara ini (meniarap) kerana itu lebih selesa baginya, maka tidak mengapa kerana ini (meniarap) adalah satu keperluan.
Wallahu a'lam.

Tuesday, 15 May 2012

Hak mangsa rogol tanpa 4 saksi dan persoalan qazaf*


[Pengertian qazaf]
SOALAN 1 : Apakah pengertian qazaf?

JAWAPAN  :     

Para ulama berbeza pendapat dalam mendefinisikan qazaf seperti berikut :

i.             Menurut Mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan  pegangan dua murid kanan Imam Abu Hanifah[1], iaitu Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad, qazaf ialah ‘menuduh seseorang melakukan zina atau liwat’[2].

ii.            Pada pandangan Imam Abu Hanifah, qazaf ialah ‘menuduh seseorang melakukan zina sahaja’[3] . Justeru, menurut beliau, perbuatan menuduh seseorang melakukan liwat, tidak boleh dikenakan hukuman qazaf[4]. Hukumannya ialah ta’zir (تعزير)[5].

[Aduan mangsa rogol atau liwat yang disokong empat saksi]
SOALAN 2 : Adakah seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat, boleh dikenakan hukuman qazaf?

JAWAPAN :      

Seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat, TIDAK BOLEH dikenakan hukuman qazaf apabila dia dapat membawa empat orang saksi[6].

Dalam keadaan ini, hukuman hudud akan dijatuhkan ke atas perogol atau peliwat[7], bukannya pengadu.

[Keadaan aduan mangsa rogol atau liwat yang TIDAK disokong empat saksi]
SOALAN 3 : Apabila mangsa rogol atau liwat membuat aduan rogol atau liwat, tetapi TIDAK DAPAT membawa empat orang saksi, adakah akan dikenakan hukuman qazaf?

JAWAPAN  :     

Apabila mangsa rogol atau liwat membuat aduan, tetapi TIDAK DAPAT membawa empat orang saksi, hendaklah dilihat :

i.             Jika dia tidak dapat membawa sebarang bukti[8]yang berwibawa yang menunjukkan dia dirogol atau diliwat, dia akan dikenakan hukuman qazaf kerana telah menuduh orang lain berzina atau meliwat tanpa sebarang bukti.

Firman Allah[9],“Dan orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik-baik, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka selamanya; dan mereka adalah orang yang fasik”.

ii.            Jika dia dapat membawa bukti yang menunjukkan berlakunya kejadian rogol atau liwat, dia dibebaskan dan tidak dikenakan hukuman qazaf[10]meskipun gagal mengemukakan empat saksi.

Kesimpulan : Keterangan di atas bermakna, mangsa rogol atau liwat tidak tertakluk kepada ‘kemestian membawa empat saksi’-seperti yang ditegaskan oleh ayat 4 surah an-Nur- ketika membuat aduan rogol atau liwat secara paksa.

Mangsa sebaliknya boleh membuat laporan bahawa seseorang telah merogol atau meliwatnya secara paksa dengan membawa bukti-bukti lain yang berwibawa, yang mengesahkan laporan dan dakwaannya.

Dalam keadaan ini, mangsa rogol atau liwat secara paksa tidak dikenakan hukuman qazaf, meskipun telah mendakwa seseorang melakukan jenayah rogol atau liwat ke atasnya tanpa mengemukakan empat saksi[11].

[Proses ke atas aduan mangsa rogol atau liwat]
SOALAN 4 : Adakah ini bermakna seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, tanpa membawa empat orang saksi, TIDAK terus dikenakan hukuman qazaf?

JAWAPAN  :     

Ya. Seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, TIDAK terus dikenakan hukuman qazaf walau pun gagal membawa empat orang saksi.

Berdasarkan keterangan ulama, boleh disimpulkan, setiap aduan rogol atau liwat perlu melalui proses berikut :

i.             Pihak berkuasa perlu mengumpul bukti-bukti yang berwibawa yang menunjukkan mangsa betul-betul  dirogol atau diliwat;

ii.            Apabila terdapat bukti yang menunjukkan pengadu memang dirogol atau diiwat, pengadu akan dibebaskan tanpa dikenakan sebarang hukuman[12];

iii.           Jika pengadu tidak mampu mengemukakan sebarang bukti, atau pihak berkuasa tidak menemui apa-apa bukti yang menunjukkan pengadu betul-betul dirogol atau diliwat, pengadu boleh dikenakan hukuman qazaf. Ini kerana pengadu tersebut telah menuduh seseorang melakukan zina atau liwat tanpa sebarang bukti.Dalil kenyataan-kenyataan di atas ialah keterangan Imam Abd al-Bar. Beliau menyatakan[13]:

أجمع العلماء على أن على المستكرِه المغتصِب الحدَ إن شهدت البينة عليه بما يوجب الحد أو أقر بذلك. فإن لم يكن، فعليه العقوبة ولا عقوبة عليها إذا صح أنه استكرهها وغلبها على نفسها، وذلك يعلم بصراخها واستغاثتها وصياحها وأن كانت بكرا فيما يظهر من دمها ونحوها مما يفصح به امرها... ولا نعلم خلافا بين العلماء أن المستكرَهة لا حدَ عليها اذا صح استكراهها بما ذكرنا وشبهه .

Terjemahan : Para ulama telah berijmak[14]bahawa perogol [dikenakan][15]keatasnya [hukuman] hudud jika terdapat bukti yang mensabitkan [hukuman] hudud [ke atasnya][16]atau dia mengakuinya[17]. Jika tidak ada [bukti yang boleh mensabitkan hukuman hudud], maka [dikenakan] ke atasnya (tertuduh) hukuman[18]dan tiada sebarang hukuman ke atasnya (iaitu mangsa rogol yang mengadu dirogol) apabila terbukti bahawa dia (tertuduh) memaksa dan mendesaknya (pengadu) [melakukan zina tanpa kerelaannya]. [Wujudnya paksaan melakukan zina] itu diketahui dengan [adanya kedengaran] tempikan [mangsa], [suaranya] meminta pertolongan dan jeritannya, serta [diketahui wujudnya paksaan melakukan zina apabila dikenal pasti] dia seorang gadis, yang boleh diketahui melalui darahnya[19]  dan seumpamanya yang boleh menerangkan keadaannya [bahawa dia dipaksa][20]…Kami tidak mengetahui [wujudnya] sebarang khilaf[21]di kalangan ulama bahawa [wanita] yang dipaksa [melakukan zina] tiada [sebarang hukuman] hudud[22][dikenakan] ke atasnya apabila terbukti [wujudnya] paksaan [keatas] nya dengan [bukti-bukti seperti yang] kami sebutkan dan [yang] seumpamanya”. 

[Bukti-bukti yang boleh digunakan dalam kes rogol atau liwat]
SOALAN 5 : Apakah bukti yang boleh digunakan bagi menunjukkan berlakunya jenayah rogol atau liwat?.

JAWAPAN  :     

Seperti yang disebutkan oleh sesetengah ulama zaman silam[23], bukti tersebut seperti :

i.             Mangsa datang melapor kes rogol atau liwat sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan kemaluannya berdarah jika dia seorang gadis;

ii.            Mangsa didengari berteriak meminta tolong; atau

iii.           Tertuduh dilihat membawa masuk mangsa ke dalam rumahnya (tertuduh) secara paksa.

Pada zaman sekarang, kajian saintifik boleh digunakan sebagai bukti kes rogol atau liwat seperti laporan perubatan, ujian DNA, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sebagainya.

[Dalil mangsa rogol atau liwat yang membawa bukti selain empat saksi dibebaskan daripada hukuman qazaf]
SOALAN 6 : Apakah dalil yang menunjukkan bahawa mangsa rogol atau liwat, tidak dikenakan hukuman qazaf bila menuduh seseorang merogol atau meliwatnya tanpa mengemukakan empat saksi, tetapi dengan membawa bukti seperti yang telah dinyatakan?[24].

JAWAPAN :      

Dalilnya ialah hadis Nabi s.a.w, kias[25]dan keterangan ulama.

Dalil Pertama : Hadis Nabi s.a.w

Pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w, seorang wanita yang dirogol seorang lelaki secara bersendirian, mendakwa lelaki berkenaan merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi.

Setelah suspek ditangkap, wanita tersebut mengesahkan bahawa suspek tersebut adalah perogolnya.
Namun, apabila Nabi s.a.w memerintahkan supaya lelaki tersebut direjam[26], seorang lelaki yang lain bangun membuat pengakuan bahawa beliaulah yang sebenarnya merogol wanita berkenaan.

Hukuman akhirnya dijatuhkan ke atas lelaki yang mengaku merogol, sementara suspek serta wanita yang menjadi mangsa rogol dibebaskan.

Dalam peristiwa ini, Nabi s.a.w tidak menjatuhkan hukuman qazaf ke atas wanita tadi, meskipun beliau telah mendakwa seseorang merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi.

Hadis yang diriwayatkan oleh Wa’il al-Kindi daripada ayahnya itu seperti berikut :

أن امرأة خرجت على عهد رسول الله -صلى الله عليه وسلم- تريد الصلاة فتلقاها رجل فتجللها فقضى حاجته منها فصاحت فانطلق ومر عليها رجل فقالت إن ذاك الرجل فعل بى كذا وكذا. ومرت بعصابة من المهاجرين فقالت إن ذاك الرجل فعل بى كذا وكذا. فانطلقوا فأخذوا الرجل الذى ظنت أنه وقع عليها وأتوها فقالت نعم هو هذا. فأتوا به رسول الله -صلى الله عليه وسلم- فلما أمر به ليرجم قام صاحبها الذى وقع عليها فقال يا رسول الله أنا صاحبها. فقال لها « اذهبى فقد غفر الله لك ». وقال للرجل قولا حسنا وقال للرجل الذى وقع عليها « ارجموه ». وقال « لقد تاب توبة لو تابها أهل المدينة لقبل منهم »

Terjemahan : Sesungguhnya [terdapat] seorang wanita telah keluar [dari rumahnya] pada zaman Nabi s.a.w [kerana] mahu [mengerjakan] solat [di masjid]. Lalu seorang lelaki menemuinya [di tengah jalan] lalu menindih dan merogolnya serta melempiaskan hajat [nafsu] nya. 

Lantas wanita tersebut bertempik lalu perogolnya melarikan diri. [Selepas itu] seorang lelaki menemui wanita tersebut, lalu beliau berkata, “sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atas ku [perkara] demikian [yakni merogolnya]”. 

Kemudian wanita itu bertemu pula sekumpulan orang-orang Muhajirin lantas berkata, “sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atasku [perkara] demikian [yakni merogolnya]. Lalu mereka terus beredar dan menangkap lelaki yang disangka oleh wanita itu bahawa dia yang telah memperkosanya, lantas mereka membawanya kepada wanita itu seraya dia berkata,“ya dialah orangnya [yang telah merogolku]”. 

Mereka terus membawa lelaki tadi kepada Rasulullah s.a.w. Tatkala Baginda s.a.w memerintahkan supaya lelaki itu direjam, bangun seorang lelaki yang [sebenarnya] telah merogol wanita itu sambil berkata ,“wahai Rasulullah, akulah orangnya [yang merogol wanita itu]. 

Lantas Baginda s.a.w bersabda kepada wanita itu,“pergilah, sesungguhnya Allah telah mengampunkanmu”. Baginda [seterusnya] berkata kepada lelaki [yang didakwa oleh wanita itu sebagai orang yang merogolnya] dengan kata-kata yang baik. 

Seterusnya Baginda s.a.w bersabda kepada lelaki yang [mengaku] merogolnya “rejamlah dia” sambil bersabda, “sesungguhnya dia telah bertaubat [kepada Allah] dengan taubat yang jika seluruh penduduk Madinah bertaubat seperti itu, nescaya diterima [Allah] daripada mereka [taubat itu]”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata“[hadis] ini hasan gharib sahih” (Sunan Tirmizi, jil.6, hlm.35) 

Menurut al-Albani, hadis ini adalah hadis sahih dalam kategori Hassan kecuali sabda Baginda s.a.w yang berbunyi “rejamlah dia”.

Menurut al-Albani, berdasarkan pendapat yang kuat, lelaki yang mengaku merogol itu tidak direjam (Lihat al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, jil.4, hlm.56).

Ringkasnya, hadis ini adalah hadis yang sahih.           

Dalil Kedua : Kias

Kes rogol sama dengan kes li’an iaitu seorang suami menuduh isterinya berzina. Dalam kes li’an, si suami boleh menuduh isterinya berzina, tanpa dikenakan hukuman qazaf meskipun tuduhan dilakukan tanpa disokong empat orang saksi.

Dalam keadaan ini, si suami dibebaskan daripada hukuman qazaf kerana beliau terpaksa melakukan li’an bagi menjaga nasab keturunannya.

Dalam kes rogol, mangsa rogol juga terpaksa menceritakan kejadian rogol bagi mengelakkannya disebat atau direjam disebabkan kehamilan luar nikah[27].

Oleh kerana seseorang yang menuduh isterinya berzina, tanpa membawa empat saksi tidak dikenakan hukuman qazaf, kerana terpaksa berbuat demikian bagi menjaga nasab keturunannya, maka demikian juga mangsa rogol yang mendakwa seseorang merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi, juga tidak dikenakan hukuman qazaf, kerana terpaksa berbuat demikian bagi mengelakkannya disabitkan dengan kesalahan zina disebabkan kehamilan luar nikah[28].

Dalil Ketiga : Keterangan ulama

Antara ulama yang menyatakan dengan jelas bahawa mangsa rogol yang mengadu dirogol dengan membawa bukti lain selain empat saksi, tidak dikenakan hukuman qazaf, ialah Imam al-Baji.

Beliau berkata[29] :

فإن لم يشهدا لها بالإكراه ولا باحتمالها مكرَهة والمغيب عليها ولكن جاءت متعلقة به وهي تدمى إن كانت بكرا أو لا تدمى إن كانت ثيبا وقد فضحت نفسها، ففي كتاب ابن المواز عن عبد الملك وغيره "لا تحد هي لما رمته به

Terjemahan : “Jika kedua-dua[30]orang [saksi] tidak melihatnya (iaitu wanita yang mendakwa dirogol) dipaksa [melakukan persetubuhan] dan [tidak juga menyatakan] kemungkinan dia dipaksa [melakukan persetubuhan][31], tetapi dia datang [kepada pihak berkuasa] sambil berpaut padanya (iaitu pada tertuduh) dalam keadaannya berdarah[32]jika dia [seorang] gadis, atau [datang sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan] tidak berdarah jika dia seorang janda…maka dalam kitab Ibn al-Mawāz [yang memetik] daripada Abdul Malik dan [ulama-ulama] selainnya, [dinyatakan bahawa] “dia tidak dikenakan [hukuman] hudud[33]disebabkan tuduhannya ke atasnya (iaitu tertuduh)”.

Kesimpulan :

Hadis Nabi s.a.w, qias dan kenyataan ulama yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa dalam kes rogol, mangsa mempunyai hak didengari aduannya, walaupun tidak membawa empat orang saksi.

Dalam kes rogol yang kebiasaannya berlaku secara tersembunyi, aduan mangsa diambil kira dan mangsa dibebaskan daripada hukuman qazaf, jika terbukti bahawa kejadian rogol benar-benar berlaku melalui pembuktian yang telah dinyatakan[34].

Anggapan banyak pihak bahawa seseorang yang mendakwa dirogol atau diliwat secara paksa oleh individu yang lain, tanpa mengemukakan empat saksi, terus dianggap telah melakukan kesalahan qazaf, adalah anggapan yang silap seperti yang dapat dilihat melalui hadis Nabi s.a.w, kias dan keterangan ulama yang dinyatakan.

[Hukuman ke atas tertuduh dalam kes rogol atau liwat yang disokong bukti]
SOALAN 7: Jika mangsa rogol atau liwat tidak mampu mendatangkan empat orang saksi, tetapi dapat membawa bukti-bukti seperti yang dinyatakan[35], bagaimana dengan tertuduh?

JAWAPAN :      

Jika mangsa dapat mengemukakan bukti-bukti yang menunjukkan dia dirogol atau diliwat, tertuduh dikenakan hukuman seperti berikut :

i.             Membayar wang dalam jumlah yang sama dengan mas kahwin semasa kepada mangsa[36]. Hukuman ini dikenakan dengan dua syarat, iaitu terdapat saksi yang melihat tanda-tanda berlakunya jenayah rogol atau liwat[37]; dan mangsa bersumpah bahawa dia telah dirogol[38].

ii.            Hakim boleh mengenakan hukuman ta’zir–iaitu hukuman yang diserahkan kepada budi bicara hakim-ke atas tertuduh seperti hukuman denda, penjara, sebat, buang daerah dan sebagainya.

Hukuman ta’zir wajib dikenakan ke atas setiap individu yang melakukan maksiat yang tidak ditentukan hukumannya oleh syarak[39].

[PERBICARAAN KES QAZAF MENURUT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DAN UNDANG-UNDANG SYARIAH MALAYSIA]

[Mahkamah yang berhak dari segi undang-undang mengadili kes qazaf]
SOALAN 8 : Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mahkamah manakah yang mempunyai kuasa membicarakan kes rogol atau liwat?

JAWAPAN :      

Menurut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kes yang tidak melibatkan Undang-undang Keluarga Islam, dan kes tersebut berada di bawah kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, mahkamah yang berhak membicarakannya ialah mahkamah sivil atau jenayah, bukannya Mahkamah Syariah.

[Aduan mangsa rogol atau liwat yang tidak disokong empat saksi menurut Undang-Undang Syariah di Malaysia]
SOALAN 9: Mengikut Undang-Undang Syariah di Malaysia, adakah mangsa yang mengadu dirogol atau diliwat, akan dikenakan hukuman qazaf apabila gagal membawa empat orang saksi?

JAWAPAN :      

Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan qazaf HANYA dikenakan ke atas seseorang yang TIDAK TERLIBAT dalam perbuatan zina atau liwat, yang menuduh seseorang yang lain melakukan zina atau liwat.

Ini bermakna, akta ini tidak merangkumi mangsa atau orang yang melakukan zina atau liwat itu sendiri, yang mendakwa perogol merogolnya, atau menyatakan pasangannya melakukan zina dengannya.

*Ini adalah artikel lama yang diterbitkan kembali untuk perkongsian yang lebih luas



[1] Iaitu pengasas Mazhab Hanafi.
[2] Mājid Muhammad(1997), al-Hudūd Fi al-Fiqh al-Islāmi, Kuwait : Maktabah al-Falāh, hlm.75.
[3] Ibid.
[4] Hukuman qazaf ialah 80 kali sebatan seperti yang dinyatakan dalam ayat 4 surah an-Nur.
[5]Ta’zir ialah hukuman yang dijatuhkan berdasarkan budi bicara hakim. Lihat al-Zuhayli, Wahbah (1989), al-Fiqh al-Islāmi Wa Adillatuh, cetakan ketiga, Damsyiq : Dār al-Fikr, jld.6, hlm. 18.
[6] Iaitu empat orang saksi yang menyaksikan kejadian rogol atau liwat dengan jelas seperti melihat pen dimasukkan ke dalam tudungnya.
[7] Menurut pandangan Imam Abu Hanifah, peliwat hanya dikenakan hukuman ta’zir, bukannya hukuman hudud. Lihat Ibn al-Hamām, Kamāluddin Muhammad Ibn Abdul Wāhid, Fath al-Qadir, Damsyiq : Matba’ah Mustafa al-Hilabi, jld.5, hlm. 263.
[8] Contoh-contoh bukti yang boleh digunakan akan dinyatakan selepas ini.
[9] Surah an-Nūr : 4.
[10] Dalil kepada kenyataan ini akan dinyatakan pada halaman berikutnya.
[11] Perincian lebih lanjut akan dinyatakan pada halaman berikutnya.
[12] Dalam keadaan ini, yang dikenakan hukuman ialah tertuduh seperti yang akan dijelaskan.
[13] Abd al-Bar, Abū Umar Yūsuf Ibn Abdullah (2000), al-Istizkār, Beirut : Dār al-Kutub al-Ilmiyyah, Jld.7, hlm. 146.
[14] Ijmak (إجماع) ialah “persepakatan para mujtahidin dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w setelah kewafatan baginda s.a.w, dalam mana-mana zaman, berkenaan sesuatu hukum syarak”. Lihat al-Zuhayli, Wahbah (1986), Usūl al-Fiqh al-Islāmi, Damsyiq : Dār al-Fikr, Jld.1, hlm. 490.
[15] Perkataan dalam [ ] adalah tambahan penulis bagi menerangkan maksud asal teks.
[16] Iaitu empat orang saksi yang melihat dengan jelas kejadian rogol tersebut seperti melihat pen dimasukkan ke dalam tudungnya. Apabila wujud saksi seperti ini, perogol dikenakan hukuman hudud.
[17] Yakni mengakui bahawa dia merogol. Pengakuan tertuduh dianggap bukti yang boleh dijatuhi hukuman hudud.
[18] Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa seseorang yang dituduh merogol tetap akan dihukum apabila terdapat bukti. Jika bukti tersebut ialah empat orang saksi, perogol akan dikenakan hukuman hudud. Jika bukti yang ada adalah selain daripada empat orang saksi-akan dinyatakan selepas ini-, tertuduh dikenakan hukuman ta’zir. Dengan ini, dapat difahami, dalam kes rogol, empat orang saksi diperlukan bagi mensabitkan hukuman hudud ke atas perogol. Tetapi, bagi membebaskan mangsa rogol dari hukuman qazaf, empat orang saksi tidak diperlukan. Yang diperlukan hanyalah bukti-bukti-yang akan disebut selepas ini- yang menunjukkan berlakunya kes rogol.
[19] Iaitu darah kemaluannya yang terkeluar akibat dirogol.
[20] Keterangan Imam Abd al-Bar ini bermakna bukti-bukti yang menunjukkan seseorang pengadu dirogol, tidak terhad kepada apa yang dinyatakan dalam teks di atas.
[21] Perselisihan pandangan.
[22] Samada hukuman zina atau qazaf.
[23] Iaitu Imam al-Bāji dalam kitabnya al-Muntaqā Syarh Muwatto’ Imam Mālik seperti yang akan dinyatakan dan Imam Abd al-Bar dalam kitabnya al-Istizkār seperti yang telah disebutkan sebelum ini.
[24] Lihat contoh-contoh bukti pada JAWAPAN bagi SOALAN 5.
[25] Kias ialah “perbandingan dengan contoh yang telah ada atau dengan hal yang telah berlaku”. Dewan Bahasa dan Pustaka (2007), Kamus Dewan, edisi empat, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.786.

[26] Akan dinyatakan selepas ini bahawa berdasarkan pendapat yang kuat, lelaki tersebut tidak dikenakan hukuman rejam.
[27] Dalam mazhab Maliki, wanita yang hamil tanpa suami yang sah boleh disabitkan dengan kesalahan zina.
[28] Al-Bāji, Sulaiman Ibn Khalaf (1999), al-Muntaqā Syarh Muwatto’ Mālik, Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Jld 4, hlm. 21.
[29] Ibid
[30] Imam al-Bāji menyebut ‘kedua-dua orang saksi’ kerana sebelum petikan di atas beliau memperkatakan tentang wanita yang mendakwa dirogol tanpa membawa empat orang saksi. Maka ‘dua orang saksi’ diambil sebagai contoh bagi ‘saksi yang kurang daripada empat orang’.
[31] Maksudnya saksi tidak memberikan sebarang keterangan yang menunjukkan kemungkinan mangsa dirogol seperti melihat mangsa dilarikan, mangsa dikasari tertuduh dan sebagainya.
[32] Maksudnya dalam keadaan kemaluannya berdarah
[33] Iaitu hukuman qazaf
[34] Rujuk JAWAPAN bagi SOALAN 5
[35] Lihat JAWAPAN bagi SOALAN 5
[36] Dalam menentukan kadar semasa mas kahwin hendaklah dilihat kepada status, pendidikan, tempat tinggal mangsa dan sebagainya.
[37] Seperti tertuduh dilihat membawa mangsa masuk ke dalam rumahnya secara paksa seperti yang dinyatakan.
[38] Al-Bāji (1992), op.cit., jld. 4, hlm. 21
[39] Zaydān, Abdul Karim (1992), Usūl ad-Da’wah, Baghdād : Maktabah al-Quds, hlm. 293.