Showing posts with label PEMIKIRAN. Show all posts
Showing posts with label PEMIKIRAN. Show all posts

Friday, 31 October 2014

Mahasiswa : Antara 'kebangkitan otak' dan 'kebangkitan otot'

Pergelutan terbaru mahasiswa dengan penguasa
Kebelakangan ini, kebangkitan mahasiswa begitu sinonim dengan aksi konfrantasi fizikal dengan pihak penguasa. 

Sehinggakan-dalam banyak keadaan-aksi mahasiswa bertegang leher dan bercekak pinggang dengan penguasa, seolah-olah menjadi indikator kepada kebangkitan golongan itu. 

Tanpa semua itu, mahasiswa dilihat atau dianggap lesu atau sedang lena.

Oleh kerana 'kebangkitan mahasiswa' dan 'konfrantasi dengan penguasa' berangkaian dalam tempoh agak lama, menjadikan mereka seolah-olah tidak nampak model kebangkitan lain selain daripada bergasak dengan penguasa!

Justeru, tidak pelik jika mereka ingin mencetuskan 'kebangkitan' baru mahasiswa, mereka akan mencari sempena tertentu untuk bergelut secara fizikal dengan penguasa!

Antara dua zaman

Di tahun 70-an sehingga sebelum zaman langit terbuka, di saat pemerintahan negara dan media didominasi oleh parti pemerintah, pendekatan konfrantasi dengan pemerintah mungkin sesuai menjadi mekanisme perubahan. 

Dalam suasana sebegitu, itulah satu-satunya cara yang efektif bagi menyatakan suara dan desakan. Dengan sebab itu, mahasiswa yang melancarkan konfrantasi di waktu itu mungkin diangkat sebagai hero dan pejuang rakyat marhaen.

Pada zaman langit terbuka seperti sekarang, ruang untuk bersuara dan mempengaruhi massa secara damai dan ilmiah, terbuka kepada sesiapa sahaja. Media pula tidak lagi menjadi monopoli parti pemerintah. 

Ruang itu semakin melebar apabila pemerintahan negara sekarang ini tidak lagi didominasi oleh parti pemerintah ekoran kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. 

Keadaan ini memungkinkan mahasiswa menggunakan pembangkang yang begitu kuat di Parlimen sebagai saluran untuk mereka bersuara dan mendesak.

Suasana baru di zaman langit terbuka ini-dengan latar belakang situasi politik semasa-mungkin tidak lagi menjadi suasana yang kondusif bagi aksi konfrantasi fizikal dengan pemerintah. 

Barangkali, inilah tafsiran kepada 'kedinginan' masyarakat-termasuk parti-parti pembangkang-terhadap 'perlawanan' fizikal terbaru antara mahasiswa dengan penguasa berhubung kes perobohan beberapa rumah kediaman rakyat marhaen di ibu kota baru-baru ini.

Model kebangkitan

Realitinya, sejarah gerakan kebangkitan di Malaysia-khususnya selepas merdeka-menawarkan beberapa model kebangkitan-selain aksi konfrantasi fizikal dengan penguasa-yang boleh diteladani oleh mahasiswa masa kini.

Tahun 80-an umpamanya, pernah hangat dan berkocak ekoran gerakan yang dipelopori oleh Ustaz Haji Abdul Hadi Awang (sekarang Datuk Seri Abdul Hadi), presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) sekarang ini.

Ia sebuah gerakan ilmu, dan merupakan satu program tajdid dalam bidang keilmuan Islam yang memberi kesan besar kepada pemikiran politik di tanah air. 

Ia bukan konfrantasi dan aksi beradu otot dengan penguasa.

Mahasiswa juga boleh mengkaji gerakan kebangkitan yang diusahakan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir, yang tidak dapat dinafikan telah berjaya menjulang Malaysia sebagai antara negara membangun terbaik.

Gerakan pemodenan ini juga merupakan sebuah gerakan intelek atau keilmuan.

Di zaman langit terbuka, dan di saat perang sebenar ialah perang idea, gerakan kebangkitan yang berteraskan ilmu dan intelek inilah yang paling sesuai dan efektif.

Telah terbukti, ia lebih berupaya mengocak dan menggugat zaman!

Wednesday, 1 October 2014

Menoktah Debat Ayat-Ayat Sifat Dengan Manhaj Qaradhawi


Sesiapa yang pernah melalui, atau mengikuti debat berkenaan 'ayat-ayat sifat' antara aliran salaf dan khalaf, samada debat yang terakam dalam kitab-kitab turath mahu pun moden, atau debat yang berlangsung di pentas realiti atau alam maya, tentu akan tertuntun kepada satu kesimpulan.

Debat itu tidak mampu menoktahkan perselisihan pandangan yang sedia ada sejak zaman silam!

Sejauh yang mampu dicapai debat itu, ialah akur akan kewujudan perselisihan pendapat antara aliran salaf dan khalaf, tanpa mampu memadamkan perselisihan itu! 

Salaf tidak mentakwilkannya, manakala khalaf pula sebaliknya. Kedua-duanya mempunyai dalil-dalil tersendiri yang muktabar. 

(Menurut Syaikh Dr.Solah al-Khalidi dalam karya beliau, Fi Zilal al-Quran Fi al-Mizan, mazhab salaf bukannya tidak mentakwilkan ayat-ayat sifat sama sekali. Mazhab mereka ialah mentakwilkannya jika ada keperluan. Buktinya, Imam Ahmad dan Imam Bukhari sendiri mentakwil beberapa ayat atau hadis berkenaan sifat-sifat Allah)

Seperkara lagi, debat yang dilangsungkan dengan harapan dapat menamatkan perbezaan pendapat berhubung ayat-ayat sifat itu, menatijahkan hasil yang sebaliknya.

Ia semakin mempertajam dan memperdalamkan lagi perselisihan sedia ada, bukan mengendurkannya! 

Inilah rumusan akhir yang tersaring daripada 'debat ayat-ayat sifat', yang giat diputar kembali di zaman kini oleh sesetengah agamawan.

Debat 'mandul'

Mengikuti debat yang mendarat pada kesimpulan seperti ini-di saat ada debat atau diskusi lain yang lebih utama diikuti-dibimbangi hanya membuang masa, dan menyebabkan pengabaian ke atas kewajipan lain yang lebih utama.

Barangkali, atas kebimbangan inilah, maka Syaikh Qaradhawi  menegur secara langsung sesetengah ulama di Qatar dan Arab Saudi yang berterusan berdebat tentang ayat-ayat sifat.

Dalam risalah kecil berjudul 'Wujudullah' (Kewujudan Allah) hlm.7, Qaradhawi berkata kepada para ulama itu :

إن المعركة اليوم ليست مع الأشاعرة ولا الماتريدية ولا المعتزلة ولا الجهمية. إن معركتنا الكبرى مع الملاحدة الذين لا يؤمنون بإله ولا نبوة ولا كتاب. ليست معركتنا مع الذين يقولون عن الله تعالى : ليس له مكان، بل مع الذين يقولون : ليس له وجود، وعلينا أن نخلقهم، كما قال أحدهم!
ليست معركتنا مع الذين يؤولون صفات الله تعالى، بل مع الذين يجحدون الله بالكلية.

Terjemamah : "Sesungguhnya, peperangan [pada] hari [ini] bukannya [peperangan] dengan 'Asya'irah, Maturidiyyah, Muktazilah atau Jahmiyyah. 

Sesungguhnya, peperangan kita yang paling besar [pada hari ini] ialah [peperangan] dengan [golongan] atheis yang tidak beriman dengan tuhan, kenabian dan kitab.

Peperangan kita bukanlah dengan orang-orang yang berkata tentang Allah [bahawa] Dia tidak bertempat, sebaliknya [peperangan kita ialah] dengan orang-orang yang berkata bahawa Dia tidak wujud, dan menjadi tanggungjawab kita menciptakanNya, seperti yang dikatakan oleh salah seorang daripada mereka (atheis). 

Peperangan kita bukanlah dengan orang-orang yang mentakwilkan ayat-ayat [berkenaan] sifat-sifat Allah ta'ala, sebaliknya [peperangan kita ialah] dengan orang-orang yang mengingkari sama sekali kewujudan Allah".

Yang menariknya, kata Qaradhawi, saranan beliau ini mendapat sambutan hebat ulama-ulama Qatar dan Arab Saudi kecuali segelintir daripada mereka (hlm.8).

Sesuatu debat itu biarlah menghasilkan manfaat yang bermakna. 

Debat tanpa hasil yang bererti, adalah debat yang 'mandul'!

Wallahu a'lam.

Friday, 13 September 2013

Antara dua 'ingin tahu'...

"Saya tidak memiliki bakat khusus, saya hanya mempunyai 'rasa ingin tahu' yang mendalam".

Demikian Albert Einstein memperihalkan dirinya.
Padanya, 'rasa ingin tahu' yang mendalam itulah yang menabalkannya menjadi seorang genius.

Logiknya, begitulah.

Seseorang yang ditawan 'perasaan ingin tahu' yang kuat, akan terdorong untuk mengkaji dan menyelidik. Dia hanya akan berhenti 'menyelongkar' dan 'menggeledah', apabila jawapan kepada persoalan yang menghantui, ditemui.

'Rasa ingin tahu' jugalah yang menampilkan Isaac Newton ke pentas sejarah peradaban manusia sebagai seorang tokoh berjasa.

Gugurnya sebiji epal ke bawah, dan bukannya ke atas, adalah fenomena biasa alam.

Namun, 'rasa ingin tahu' yang mendalam, tidak mempedulikan status 'biasa' fenomena itu. 'Rasa ingin tahu' itu, akhirnya membawa kepada penemuan hukum graviti.

Versi kita

Masyarakat kita juga memiliki 'rasa ingin tahu' yang ketara.

Lihat saja selera sebahagian daripada kita-terutama anak-anak muda perempuan-terhadap gossip-gossip melibatkan golongan artis. Juga minat mereka terhadap kehidupan peribadi artis pujaan.

Bila berlaku kemalangan di jalan raya, masing-masing memperlahankan kenderaan. Sambil itu, tengkuk dipanjangkan. Mata pula mengintai-ngintai ke luar.

Semua orang mahu tahu apa yang berlaku. Atau, sudah tahu apa yang berlaku, tetapi mahu melihat sendiri apa yang berlaku.

Entah apa faedah yang diperolehi hasil pengetahuan tentang perkara sebegitu, dan apa pula masalah yang timbul kalau jahil mengenainya, tidaklah dapat dipastikan.

Arahan polis trafik agar semua kenderaan yang 'tidak berkenaan' beredar segera, tidak diendahkan. 

Akibatnya, jalan yang alirannya sedia perlahan, bertambah perlahan.

Semuanya kerana 'rasa ingin tahu'!

Bila berlaku kematian, para wartawan akan bertanya keluarga si mati, "adakah ada perubahan tertentu pada si mati sebelum kematiannya?". Atau, adakah terdapat tanda-tanda tertentu yang si mati akan mati!?

Itu soalan wajib usai kematian!

Apa relevan atau kepentingan soalan itu, juga tidak dapat dipastikan.

Kaedah

'Rasa ingin tahu' itu sendiri, sesuatu yang positif. Tapi, tempat ke mana ia dihalakan itu yang tidak betul.

Alangkah baiknya, jika 'rasa ingin tahu' kita yang meronta-ronta di jiwa itu, dihalakan ke tempat di mana Albert Einstein atau Isaac Newton menghalakannya. 

Atau lebih tepat, menghalakannya ke tempat di mana para ulama Islam zaman silam menghalakannya.

Bagaimana caranya 'rasa ingin tahu' itu hendak dialirkan ke arah itu?

Kita kena sama-sama memikirkanya kerana 'rasa ingin tahu' sepatutnya memimpin kita kepada kemajuan, bukan menyusahkan atau membuang masa!

Sunday, 20 January 2013

Perang Idea : Kemurniaan ‘beracun’


Realitinya, kita sekarang sedang berada dalam suasana perang.

Yang dimaksudkan, bukanlah peperangan yang melibatkan penggunaan senjata. Tetapi, ‘peperangan idea’, ‘Peperangan Ideologi’. Dimana, idea-idea yang pelbagai dilontarkan dari semasa ke semasa, ke tengah-tengah masyarakat.

‘Perang Idea’ yang sedang berlangsung ini sangat bahaya, kerana ia berlaku dalam keadaan masyarakat yang diserang dengan pelbagai idea itu, tidak menyedari hakikat bahawa mereka sebenarnya sedang diserang bertubi-tubi sepanjang masa.

Keberlangsungan ‘Perang Idea’ ini dinyatakan dengan jelas, antaranya oleh Cheryl Bernard dan Angel Rabasa pada tahun 2007, dalam laporan mereka yang bertajuk ‘Building Moderate Muslim Networks’.

Cheryl Bernard mengatakan, bahawa perang sebenar yang sedang berlaku di dunia Islam hari ini, bukanlah perang senjata, tetapi perang idea.

Menyedari hakikat ini, beliau menyarankan pentadbiran Amerika Syarikat, supaya membentuk jaringan dengan golongan Muslim liberal dan moderat, untuk mempengaruhi umat Islam supaya menyokong agenda Barat.

‘Perang idea’ yangs sedang berlangsung ini perlu diberi perhatian dan dicermati kerana biasanya idea-idea yang diutarakan-yang merupakan peluru dalam perang ini-dikemukakan dalam bentuk yang tulus, murni dan indah.

Namun, disebalik ketulusan dan kemurnian idea-idea itu, ada agenda lain yang ingin dicapai, yang selari dengan kepentingan pihak-pihak tertentu.

Muhammad Khalafullah

Lihat saja idea Hak Asasi Manusia.

Ia adalah idea yang baik dan kita menyokong serta mempraktikkannya di negara ini.

Tetapi, idea ini-seperti yang dikehendaki oleh sesetengah pihak di Barat-menuntut supaya diberikan kebebasan mutlak kepada setiap individu, sehingga membolehkannya mencabul segala norma dan nilai agama, akhlak serta budaya.

Kesemuanya di atas nama Hak Asasi Manusia!

Mujurlah kita menyedari hakikat ini, menyebabkan kita tidak menerima secara total idea Hak Asasi Manusia yang dijuarai Barat ini.

Contoh lain bagi satu idea yang zahirnya nampak tulus dan murni, ialah idea yang pernah dilontarkan oleh Muhammad Khalafullah, seorang sasterawan Arab dan pakar  dalam Bahasa Arab.

Beliau telah melontarkan idea yang menyatakan (al-Quran Kitābun Adabiyyun al-Akbar) :

القُرْآنْ كِتَابٌ أَدَبِيٌ الأَكْبَرْ

Yang bermaksud,  “al-Quran adalah Kitab Sastera Yang Terulung”.

Idea ini sungguh memukau sesiapa sahaja yang beragama Islam, kerana ia menyanjung tinggi kitab suci mereka, iaitu al-Quran. Namun, ramai yang tidak sedar racun yang terkandung dalam idea ini.

Idea ini, tanpa disedari oleh orang-orang yang mengkaguminya, telah meletakkan al-Quran sebagai sebuah kitab Sastera. Jika demikian, maka al-Quran adalah sama seperti kitab sastera yang lain. Justeru, ia boleh dipertikai dan boleh dikritik seperti mana-mana karya sastera yang lain. 

Inilah titik akhir yang menjadi tempat idea Muhammad Khalafullah ini ‘mendarat’.

Inilah contoh tentang bahayanya ‘Perang Idea’ ini.

Tuesday, 10 January 2012

Keruntuhan Negara pada ketidakpedulian


Zaman Sultan Sulaiman al-Qanuniy (1495-1566M)-menurut kebanyakan ahli sejarah-merupakan zaman keemasan Empayar Othmaniyyah.

Pada zaman Baginda, jajahan takluk empayar itu semakin meluas. Banyak negeri dan bandar dibuka. Kemakmuran dan kemewahan merata ke segenap penjuru empayar.

Namun, Sultan Sulaiman-melalui sorotan Baginda ke atas sejarah peradaban manusia-mengetahui bahawa setiap negara yang kuat, tidak dapat tidak, pasti akan menjadi lemah.

Akan menular ke dalam strukturnya faktor-faktor kelemahan dan keruntuhan. Ini kerana, setiap peradaban mempunyai ajal masing-masing.

Apakah perkara sama akan menimpa Empayar Othmaniyyah?

Apakah di sana ada cara untuk lari daripada keruntuhan?

Persoalan ini menghantui fikiran Sultan Sulaiman selama beberapa hari.

Setelah lama berfikir dan bingung dengan persoalan ini, Baginda memutuskan untuk mengajukan persoalan ini kepada seorang ulama yang masyhur ketika itu, iaitu Yahya Afandi.

Yahya Afandi juga merupakan saudara susuan Baginda.

Tuan adalah seorang yang mengetahui banyak rahsia. Justeru, kami berharap dari tuan, agar sudi memberitahu kepada kami, bilakah sesebuah negara itu akan runtuh. Dan apakah kesudahan Empayar Othmaniyyah ini?”.

Demikian isi surat yang dihantar Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

‘Peka’ tugas rakyat jelata

Yahya Afandi segera menjawab soalan Sultan Sulaiman itu. Namun, jawapannya sangat ringkas dan memeningkan Baginda Sultan.

Apa kaitan perkara ini denganku, wahai Tuanku al-Sultan? Apa kaitannya denganku?”.

Demikian jawapan Yahya Afandi.

Sultan Sulaiman sangat hairan dan pening dengan jawapan Yahya Afandi. Apakah dalam jawapan ini mengandungi makna tersirat yang Baginda tidak fahami?

Baginda tiada jalan lain melainkan pergi menemui sendiri Yahya Afandi di tempat tinggalnya.
Setibanya di sana, Baginda mengajukan soalan yang sama seperti dalam surat yang dikirimkan, sambil menegur Yahya Afandi yang dilihatnya tidak serius menjawab soalan Baginda.

Beta berharap dari Tuan, wahai saudaraku, supaya menjawab soalan Beta dan menganggap persoalan ini serius. Beta juga berharap agar Tuan memberitahu apakah maksud Tuan dengan jawapan yang Tuan berikan itu”, titah Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

Wahai Tuanku, tatkala kezaliman dan kerosakan berleluasa dalam sesebuah negara, dan setiap orang yang melihat kezaliman dan kerosakan ini berkata, “apa kaitannya perkara ini denganku” kerana sibuk dengan hal diri masing-masing sahaja...

Apabila ‘pengembala’ membaham ‘kambing’ yang dijaganya, sedang orang yang mengetahui dan mendengar hal ini mendiamkan diri...

Apabila teriakan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan, mula meninggi ke langit dan tiada siapa yang mendengarnya selain pokok-pokok dan tanah...

Ketika itu, terserlahlah tanda-tanda kejatuhan sesebuah negara, terhakislah rasa kesetiaan rakyat terhadapnya…

Demikianlah kemalapan menjadi ketentuan yang tertulis ke atas sesebuah negara yang tiada jalan melarikan diri daripadanya”.

Penyakit & penawar

Begitulah jawapan Yahya Afandi kepada persoalan Sultan Sulaiman.

Kezaliman pemerintah dan ketidakpedulian rakyat terhadap ketidakadilan!

Itulah ‘barah’ dua serangkai yang menjadi penyebab keruntuhan sesebuah negara.

Sesebuah negara boleh terus bertahan jika pemimpinnya zalim, tetapi rakyatnya peka dan sentiasa jaga. Atau rakyatnya lena, tetapi penguasanya adil dan prihatin.

Tetapi, sesebuah negara akan tumbang tatkala kezaliman pemerintah digandingi dengan ketidakpedulian rakyat!

Tanggungjawab pemerintah dalam memelihara keutuhan sesebuah negara ialah membela rakyat, bersikap adil dan saksama.

Manakala tanggungjawab rakyat ialah peka terhadap sebarang ketidakadilan dan sensitif terhadap apa jua kepincangan! 

Untuk terus gah dan utuh, negara memerlukan pemerintah yang adil.

Yang penyayang.

Yang amanah.

Yang sedar bahawa dirinya adalah ‘pekerja’ kepada rakyat dan pemegang amanah mereka.

Untuk terus gah dan utuh, negara juga perlukan rakyat yang sensitif, peka dan sentiasa jaga terhadap apa jua perkembangan dalam negara.

Ya, pemerintah yang adil dan rakyat yang peka!

Itulah talian hayat sesebuah negara!

Justeru, disamping berusaha menjadi atau melahirkan pemimpin yang adil, jangan dilupa, usahakan juga agenda membentuk rakyat yang peka!

Sunday, 8 January 2012

Talian Hayat Organisasi


Sesebuah tamadun itu, boleh terus hidup, jika ia memiliki simpanan ‘modal’ yang mencukupi.

Namun, yang dimaksudkan dengan ‘modal’, bukanlah kebendaan, atau tenaga manusia secara asas.

‘Modal’ yang menjadi ‘talian hayat’ sesuatu tamadun, ialah idea-idea baru yang boleh dipersembahkan kepada manusia sejagat.

Idea yang ditawarkan itu pula, mestilah berupaya mencetuskan anjakan, dan perubahan dalam kehidupan manusia. 

Jika ini mampu dilakukan, sesebuah tamadun itu akan terus berkesinambungan dan terus gah.

Kemuflisan tamadun Barat

Justeru, ramai pemikir menjangka, hayat tamadun Barat hari ini, sudah sampai ke penghujungnya. Ini kerana, tamadun tersebut sudah kekeringan 'modal'. Sudah kehabisan idea-idea berkesan untuk dikemukakan kepada manusia dan dunia.

Idea terakhir, yang ditawarkan tamadun Barat kepada dunia sejagat, ialah persaudaraan dan persamaan, yang dicetuskan oleh Revolusi Perancis.

Idea yang diketengahkan itu, telah berjaya mencipta anjakan besar ke atas dunia Barat dan seluruh dunia amnya.

Namun, setelah idea tersebut selesai ‘menjalankan tugas’, kini tamadun Barat dalam keadaan muflis idea!

Pendokong-pendokongnya sudah kehabisan idea baru untuk dihadiahkan kepada manusia sejagat.

Kemuflisan di alam idea dan nilai ini, menyebabkan tamadun Barat kini hanya mampu memberikan ciptaan demi ciptaan baru, yang berbentuk kebendaan kepada manusia zaman kini.

Sesuatu tamadun itu, tidak boleh kekal dengan hanya mampu melakukan cetusan baru di alam kebendaan.

‘Nyawa’ sesebuah tamadun ialah idea dan nilai, yang berupaya mencetuskan perubahan dan anjakan.

Keruntuhan organisasi

‘Hukum’ ini juga terpakai ke atas sesebuah organisasi atau pergerakan. 

Ia akan malap atau berkubur, bila ‘simpanan’ idea dan nilai, susut dan kering.

Justeru, mana-mana organisasi, sangat perlu menggali khazanah ilmu dan memerah otak, demi mencetuskan idea-idea berkualiti. Iaitu idea-idea yang mampu mencetuskan anjakan dalam masyarakat.

Idea-idea bermutu inilah yang akan melanjutkan usia sesebuah organisasi.

Keasyikan melondeh pihak lawan...

Tenggelam dalam aktiviti pembongkaran kelemahan musuh, sepatutnya sudah berakhir... 

Wednesday, 21 September 2011

'Kuasa' Sejarah!

Kebangkitan mana-mana bangsa sepanjang sejarah, bermula daripada keadaan lemah.

Semua jagoan tamadun silam yang gah, asalnya bangsa yang lemah dan tertindas. Jika dilihat keadaan mereka yang dhaif sebelum bangkit, kemampuan mereka untuk bangkit, bagai mimpi.

Lihatlah bangsa Arab sebelum kemunculan Nabi Muhammad s.a.w. Bangsa yang membudayakan perang. Bangsa porak peranda dan dijajah kuasa Rom dan Parsi.

Sorotilah sejarah pengasas tamadun Islam yang unggul di Andalusia (Sepanyol), Abdul Rahman al-Dakhil.

Beliau terpaksa berkelana meninggalkan tanahair akibat ditekan. Hidup sebagai manusia yang menjadi buruan sebelum bangkit dan berkuasa.

Imbaulah kembali sejarah pembukaan Melaka.

Parameswara terpaksa meninggalkan negeri sendiri kerana diancam. Setelah menetap di Temasik (Singapura), beliau terpaksa pula meninggalkan pulau itu kerana keselamatan terancam.

Beliau akhirnya bangkit di Melaka!

Bangsa yang mahu bangkit mesti berguru dengan sejarah. Mesti menyedut semangat daripada eksperimen manusia terdahulu.

Kelak mereka akan mengerti, bahawa kelemahan dan kedhaifan kini, merupakan titik mula kepada langkah setiap bangsa dan tamadun terbilang!