Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts
Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts

Wednesday, 26 August 2015

Ulama 'mabuk'

Syaikh Muhammad al-Ghazali rhm, menceritakan...

"Aku berkata kepada seorang lelaki yang selalu meneguk arak, "tidakkah kamu mahu bertaubat kepada Allah?".

Lantas, dia memandangku dengan hiba, dan matanya menangis, serta berkata, "berdoalah kepada Allah untukku...".

Aku mengamati keadaan lelaki itu, dan hatiku merasa belas...

Sesungguhnya, tangisannya itu adalah satu perasaan betapa cuainya dia dalam mentaati Allah, juga satu kesedihan atas ketidakpatuhannya, dan keinginannya 'berbaik' dengan Allah...

Sesungguhnya, dia memang seorang mukmin, tetapi dia diuji [dengan dosa]...

Dia mengimpikan 'kesembuhan', dan meminta bantuanku untuk mendekatkan kesembuhan itu kepadanya.

Aku berkata kepada diriku, "boleh jadi, keadaanku sama dengan keadaan lelaki ini, atau lebih buruk lagi!".

Betul, aku tidak pernah mengecapi arak. Persekitaran yang aku diami, tidak mengenalinya. 

Tetapi, barangkali aku telah mengambil 'arak' kelalaian, yang menjadikanku banyak alpakan tuhanku, dan melupakan hak-hakNya.

Sesungguhnya, lelaki pemabuk itu menangis lantaran kecuaiannya...

Sedangkan aku dan orang-orang sepertiku (ulama), tidak menangis atas kecuaian yang dilakukan. 

Boleh jadi, kita tertipu dengan diri kita sendiri...

Aku beralih semula kepada lelaki yang meminta aku berdoa agar dia dapat meninggalkan arak itu.

Aku berkata kepadanya, "marilah kita sama-sama berdoa untuk diri kita :


ربنا ظلمنا أنفسنا وإن لم تغفر لنا وترحمنا لنكونن من الخاسرين

(Wahai tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampun dan merahmati kami, nescaya menjadilah kami dari golongan orang-orang yang rugi).
***
Hari ini, kita mencemuh sepenuh hati wanita-wanita yang mendedahkan aurat. Tapi, kita alpa akan keaiban diri sendiri yang sering terdedah kepada 'pandangan' Allah...

Kita mengutuk sekerasnya muda mudi yang bertingkah tidak sopan. Tapi, kita tidak begitu kisahkan 'kebiadapan' batin kita terhadap Allah...

Kita menghentam selantangnya penguasa kerana tidak melaksanakan hukum hakam syariat. Namun, kita sengaja melupakan yang kita juga sering membelakangkan syariat dalam kehidupan...

"Wahai kaumku, duhai bangsaku...
marilah kalian dan aku, bersama-sama memperbaiki dan mempersuci diri..."

Itulah bahasa yang terinspirasi daripada cerita Allamah Syaikh Muhammad al-Ghazali ini, yang sepatutnya menjadi tuturan setiap da'ie...

Dakwah bertolak dari jiwa da'ie yang sedar akan hakikat dirinya sendiri, bukannya dari jiwa yang merasakan dirinya suci...

Allahumma...

Monday, 13 July 2015

Bila Janin 'Berbicara' Tentang Dunia, Akhirat

Kalaulah setiap janin dalam rahim ibu boleh ditanya (dan ia pula boleh menjawab), "apakah alam itu?", pasti dijawabnya, "alam itu ialah rahim ibuku ini. Tiada alam lain lagi selainnya".

Bahkan, kalau diberitahu kepadanya, bahawa di luar sana ada satu lagi alam yang sangat luas-yang dihiasi bintang, langit, bumi, sungai dan laut-tentu tidak dipercayainya, atau sukar baginya menggambarkannya.

Kalaulah dalam rahim ibu itu ada dua janin kembar, bila salah seorg daripadanya lahir terlebih dahulu, pasti janin yang masih belum lahir menyangka yang kembarnya itu telah meninggal 'dunia'.

Walhal, kembarnya itu berpindah ke alam dunia yang sangat luas berbanding alam rahim nan sempit (yang disangkanya itulah satu-satunya alam yang ada).

(ii)

Demikianlah kehidupan duniawi ini jika dibandingkan dengan kehidupan ukhrawi.

Luasnya alam akhirat berbanding alam dunia, sama seperti luasnya alam dunia berbanding alam rahim.

Sebagaimana janin yang meninggalkan alam rahim (bila dilahirkan) sebenarnya berpindah ke alam lain yang sangat luas (alam dunia), demikianlah juga manusia yang meninggalkan dunia ini...

Ia tidak 'mati', tetapi memulakan kehidupan di satu alam yang maha luas yang tak terjangkau dek akal...

Begitulah indahnya dan menyentuh sekali bicara Syaikh Ali Tantawi dalam karyanya, Ta'rif Am Bi Dinil Islam.

iii)

Manusia yang merasakan kehidupan duniawi ini adalah segala-galanya, adalah sama seperti janin yang mempercayai alam rahim yang sempit itu adalah satu-satunya.

Janin yang meninggalkan alam rahim untuk memulakan kehidupan baru di alam dunia, akan ada yang menyambutnya, seterusnya memelihara, memanjai dan mencaknainya tanpa ia perlu risau apa-apa.

Tetapi, manusia yang meninggalkan alam yang fana ini untuk memulai kehidupan sebenar di alam akhirat, tiada siapa yang bakal menyambut dan memeliharanya kecuali amal soleh yang telah diusahakan.

Allahumma... 

Monday, 10 February 2014

Kemudi hidup : Ilmu 'bahtera penyelamat' di lautan kerohanian

Syaqiq al-Balkhi r.a seorang sufi yang terkenal. 

Beliau juga seorang yang sangat zuhud. Meskipun demikian, beliau juga seorang peniaga.

Suatu hari, beliau bercadang pergi berniaga ke suatu tempat yang agak jauh.

Sebelum bertolak, Syaqiq pergi menemui sahabatnya, Ibrahim Adham r.a untuk mengucapkan selamat tinggal.

Beliau berbuat demikian kerana menjangka akan meninggalkan kampung halaman untuk tempoh yang agak lama. 

Selepas mengucapkan selamat tinggal, Syaqiq pun bertolak ke tempat yang hendak dituju.

Burung 'ajaib'

Tidak berapa hari selepas itu, Syaqiq sudah kembali semula ke kampung halamannya. Ibrahim Adham merasa hairan kerana Syaqiq begitu lekas pulang, tidak seperti yang dijangka.

Ibrahim segera bertanya Syaqiq dengan penuh kehairanan, “apa yang menyebabkan tuan lekas pulang?”.

Syaqiq menjawab, “semasa dalam perjalanan, aku melihat satu peristiwa ajaib, lalu aku terus mengambil keputusan pulang”.

Kata Ibrahim, “baiklah. Apa yang telah tuan lihat?”.

Jawab Syaqiq, “aku singgah di suatu tempat yang sunyi  sepi untuk berehat. Di situ, aku  terlihat seekor burung yang patah sayapnya, dan matanya buta.

Aku merasa takjub. 

Aku berkata dalam hatiku, “bagaimana burung ini boleh hidup di tempat yang sunyi sepi sebegini, sedangkan ia tidak boleh bergerak, dan tidak dapat melihat?”.

Syaqiq meneruskan ceritanya, “tidak berapa lama selepas itu, datanglah seekor burung membawa makanan kepada burung tersebut beberapa kali dalam masa sehari, sehingga burung yang buta itu kenyang.

Lantas hatiku pun berdetik, “sesungguhnya tuhan yang memberikan rezeki kepada burung ini, di tempat yang sunyi sepi sebegini, Maha Berkuasa memberi rezeki kepadaku. Aku pun terus pulang”, kata Syaqiq menjelaskan sebab mengapa beliau membatalkan niatnya untuk berniaga.

Ilmu penyuluh

Sebaik mendengar cerita dan penjelasan Syaqiq, Ibrahim Adham berkata, “ajaib sungguh tuan ini. Mengapa tuan merasa selesa menjadi seperti burung yang patah sayap dan buta, yang hidupnya bergantung kepada pertolongan orang lain?.

Mengapa tuan tidak mahu menjadi seperti burung  yang berdikari, dan mampu menolong burung lain yang buta dan terlantar? 

Tidakkah tuan tahu, bahawa tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah?”.

Sebaik sahaja mendengar komentar Ibrahim itu, Syaqiq segera bangun lantas mencium tangan Ibrahim seraya berkata, “tuan adalah guruku, wahai Abu Ishak”.

Syaqiq akhirnya berniaga semula.

Thursday, 13 June 2013

Bahagiakan jiwa dengan berbaik sangka

Bahagiakanlah diri, rehatkanlah jiwa dengan berbaik sangka…

Dengan berbaik sangka, sejahteralah jiwa, dan amanlah minda dari lintasan-lintasan fikiran yang menggusarkan...

Yang menyakitkan jiwa...

Yang mengocak fikiran...

Dan, meletihkan jasad...

Berbaik sangka akan melapangkan dada...

Akan mengukuhkan tali mahabbah dan kasih sayang sesama saudara seagama...

Lantas, bersihlah dada daripada kebencian dan permusuhan.

Hayatilah sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam :

إياكم والظن؛ فإن الظنَّ أكذبُ الحديث، ولا تحسَّسوا، ولا تجسَّسوا، ولا تنافسوا، ولا تحاسدوا، ولا تباغضوا، ولا تدابروا،وكونوا عبادَ الله إخوانًا

Terjemahan : Jauhilah prasangka kerana sesungguhnya prasangka itu adalah kata-kata yang paling dusta. Jangan kamu mencari-cari berita [tentang seseorang dengan tujuan tidak baik], janganlah kamu mengintip-ngintip, janganlah kamu saling tewas menewas, janganlah kamu saling mendengki, janganlah kamu saling membenci, dan janganlah kamu saling membelakangi. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.

Membajai husnul zan

Hadirkanlah sifat berbaik sangka ke halaman jiwa, dan pakaikanlah diri dengan baju husnul zan.

Bantulah diri agar ia betah untuk berhusnul zan...

Pertama : Berdoalah ke hadrat Ilahi agar dikurniakan hati yang mesra dengan husnul zan. Sesungguhnya, doa adalah pintu segala kebaikan.

Kedua : Biasakan amalan meletakkan diri sendiri pada tempat orang lain. 

Tatkala seseorang melakukan sesuatu perbuatan, atau menuturkan sesuatu ucapan yang dilihat 'tidak sepatutnya', usahlah segera berburuk sangka. 

Sebaliknya, cuba letakkan diri sendiri pada tempat orang itu.

Ambil contoh seorang sahabat yang punyai kuasa dan jawatan, yang tentunya terpaksa meraikan banyak ranah, dan mengambil kira perasaan ramai orang. 

Andai terpacul tindakan atau perkataannya yang zahirnya 'tidak kena', kuncilah hati dan perasaan sekemas-kemasnya daripada dicerobohi buruk sangka. 

Cuba letakkan diri sendiri di tempat sahabat tadi. InsyaAllah, benih-benih husnul zan bercambah sedikit demi sedikit, lalu memberikan damai dan hening kepada jiwa dan perasaan.

Langkah ini sejajar dengan suruhan berbaik sangka sesama saudara seagama dalam firman Allah (an-Nur : 12) :


لَّوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَـذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ ﴿١٢

Maksudnya : Sepatutnya, semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri mereka sendiri, dan sepatutnya mereka berkata : ini adalah tuduhan dusta yang nyata.

Ketiga : Mentafsirkan kata-kata orang lain dengan tafsiran yang baik.

Inilah budaya salafussoleh. 

Mereka berusaha untuk bersangka baik. 

Justeru, jika mereka terdengar kata-kata yang kurang menyenangkan, mereka berusaha mentafsirkannya dengan tafsiran yang baik.

Syaidina Umar r.a menasihatkan :
 لا تظن بكلمة خرجت من أخيك المؤمن شرًّا،وأنت تجد لها في الخير محملاً 
Terjemahan : Janganlah kamu bersangka buruk terhadap sesuatu ucapan yang terbit daripada saudara kamu, sedangkan kamu mendapati ada tafsiran yang baik baginya (ucapan).

Hayatilah akhlak Imam Syafie r.a. 

Ketika jatuh sakit, beliau dikunjungi salah seorang saudaranya. Saudaranya itu berkata kepada beliau :
 قوى لله ضعفك
Terjemahan : Semoga Allah menguatkan kedhaifanmu.

Imam Syafie r.a menjawab :
 لو قوى ضعفي لقتلني
Terjemahan : Sekiranya Dia menguatkan kelemahanku, [itu bermakna] Dia telah membunuhku.

Saudara Imam Syafie itu menjelaskan niat baik beliau daripada kata-kata itu dengan berkata :
 والله ما أردت إلا الخير.
Terjemahan : Demi Allah, aku tidak bermaksud [dengan kata-kataku itu] melainkan kebaikan.
أعلم أنك لو سببتني ما أردت إلا الخير
Imam Syafie menjawab : Aku tahu, sekiranya engkau memakiku [sekalipun], engkau tidak bermaksud melainkan kebaikan. 

Demikianlah tingginya husnul zan Imam Syafie r.a terhadap orang lain. Tetap bersangka baik sekalipun dengan orang yang memaki beliau.

Unggulnya akhlak beliau, murninya hati dan jiwa ulama agung ini, sehinggakan 'makian' mampu ditafsirkan sebagai kebaikan!

Keempat : Mencari 'keuzuran' bagi orang lain

Apabila terbit daripada seseorang sesuatu kata-kata atau perbuatan yang zahirnya 'tidak kena', usah gopoh bersangka buruk. Cubalah mencari atau mengandaikan sebab yang mendorongnya berkata, atau berbuat demikian.

Contohilah sikap orang-orang yang soleh. 

Mereka begitu gemar mengandaikan sebab, alasan atau 'keuzuran' yang menyebabkan seseorang melakukan sesuatu yang zahirnya tidak tepat. 

Semuanya bagi mengelakkan diri daripada bersangka buruk terhadap orang lain. Sehinggakan mereka berkata :
 التمس لأخيك سبعين عذراً.
Terjemahan : Carilah untuk saudara kamu [sebanyak] 70 keuzuran

Maksudnya, bila seseorang melakukan sesuatu yang 'tidak kena', usah terburu-buru bersangka buruk.

Sebaliknya, cuba andaikan sebab, atau faktor yang menyebabkannya melakukan perkara sedemikian. Jika sebab yang diandaikan itu tidak mampu menjustifikasikan tindakannya itu, carilah sebab-sebab lain sehingga kepada 70 sebab atau 'keuzuran'!

Dalam nada serupa, Ibnu Sireen r.a berkata :
إذا بلغك عن أخيك شيء فالتمس له عذرًا ،فإن لم تجد فقل: لعل له عذرًا لا أعرفه
Terjemahan : Apabila sampai kepada kamu sesuatu [perkataan atau perbuatan yang tidak menyenangkan] daripada saudaramu, maka carilah 'keuzuran' untuknya, jika kamu tidak menemui [sebarang 'keuzuran' bagi menjustifikasikan apa yang sampai kepada kamu], maka katakanlah : barangkali dia ada 'keuzuran' lain yang aku tidak ketahui!

Dengan mesej yang sama, syair Arab bermadah :
تأن ولا تعجل بلومك صاحبًا      لعل له عذرًا وأنت تلوم
Terjemahan : Bercermatlah, dan janganlah terburu-buru mencela seseorang rakan [kerana] barangkali dia ada 'keuzuran' sedangkan engkau pula mencela-celanya.

Kelima : Jauhkan sikap menelah niat seseorang.

Ini adalah salah satu sebab terbesar terhasilnya sifat bersangka baik. Dimana kita menyerahkan soal niat seseorang kepada yang Maha Mengetahui. Apa yang menjadi perkiraan kita ialah apa yang zahir dipandang mata. 

Keenam : Mengingati kesan-kesan buruk berburuk sangka.

Seseorang yang mudah berburuk sangka dengan orang ramai, sentiasa dalam keletihan dan kerungsingan yang tidak berkesudahan, disamping mudah kehilangan kawan dan rakan. 

Buruk sangka akan mendorong seseorang mentohmah orang lain. 

Orang yang berburuk sangka juga, biasanya akan mempersucikan dirinya, dan ini bertentangan dengan firman Allah (an-Najm : 32) :


فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَى ﴿٣٢

Maksudnya :Janganlah kamu mempersucikan diri kamu. Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

Allah juga membantah sikap orang-orang Yahudi yang suka mempersucikan diri sendiri dengan berfirman (an-Nisa' : 49) :


أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يُزَكُّونَ أَنفُسَهُم بَلِ اللَّـهُ يُزَكِّي مَن يَشَاءُ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا ﴿٤٩

Maksudnya : Tidakkah engkau perhatikan orang-orang yang menganggap diri mereka suci? Padahal Allahlah yang mempersucikan sesiapa yang dikehendakiNya; dan mereka pula tidak akan dizalimi sedikit pun.

Syaitan memang berusaha memecah belahkan antara sesama Islam. Usaha jahat syaitan itu perlu disekat, antaranya dengan berbaik sangka.

Bermujahadahlah melawan syaitan dengan husnul zan! 

Friday, 14 September 2012

Usah bersedih, apa yang Allah sembunyikan lebih besar!


Seorang lelaki keluar bermusafir bersama seorang anaknya ke sebuah bandar. Jauhnya, dua hari perjalanan. Mereka membawa seekor keldai  bagi membawa barangan mereka.

Menjadi kebiasaan lelaki ini, mengucapkan “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Dalam perjalanan, sebelah kaki keldai mereka, patah.

Lantas, seperti biasa, lelaki ini melantunkan kata-kata “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Justeru, si lelaki dan anaknya, masing-masing terpaksa memikul barangan mereka, dan meneruskan perjalanan.

Selepas beberapa ketika berjalan, sebelah kaki lelaki tersebut pula yang patah.

Dia sudah tidak mampu memikul apa-apa lagi.

Dia kini terpaksa berjalan sambil mengheret kakinya yang  patah, sambil berkata, “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Lantas, si anak tiada pilihan. 

Dia terpaksa memikul barangan yang dipikul oleh ayahnya, beserta memapah ayahnya sekali, lalu bertolak meneruskan perjalanan.

Di tengah jalan, seekor ular mematuk si anak, menyebabkannya terjatuh kesakitan.

Si lelaki tetap juga dengan kebiasaannya, terus berkata, “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Dalam keadaan ini, si anak sudah hilang sabar.

Dia terus melenting, sambil menengking, “adakah sesuatu yang lebih besar daripada apa yang menimpa kita sekarang!?”.

Keldai yang membawa barangan mereka, kakinya patah. Selepas itu, kaki ayahnya pula yang patah, menyebabkan si anak terpaksa memikul barangan dan memapah ayahnya sekali. 

Sekarang, dia pula yang dipatuk ular, sehingga terjatuh dan menahan kesakitan bisa ular.

Adakah sesuatu yang lebih besar dan menyeksakan daripada semua ini?

Setelah si anak sembuh, mereka berdua meneruskan perjalanan, dan akhirnya sampai di bandar yang dituju.

Setibanya di bandar tersebut, mereka berdua sangat terkejut.

Mereka mendapati, bandar itu musnah sama sekali disebabkan gempa bumi yang melanda. Gempa itu membunuh semua penghuninya.

Lantas, si lelaki memandang ke arah anaknya seraya berkata, “lihatlah wahai anak ku, andai kita tidak ditimpa musibah dalam perjalanan kita tadi, sudah tentu kita akan tiba di bandar ini semasa gempa sedang berlaku. Dan, sudah tentu akan menimpa kita, apa yang lebih besar daripada apa yang menimpa kita semasa perjalanan tadi. Sudah tentu kita sudah musnah!”.

Usahlah bersedih...

Cukuplah sifatNya yang Maha Pengasih, Maha Mengetahui sebagai penyejuk jiwa dan pengulit resah tatkala ditimpa musibah.

وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ شَرٌّۭ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ 

Maksudnya : Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.

Tuesday, 7 August 2012

Bila Ramadhan mula 'gelisah'...


Beberapa hari lalu, bibir kita rancak menitipkan doa "اللهم بلغنا رمضان"...

Ya Allah, sampaikanlah kami ke pangkuan dan dakapan Ramadhan penuh rahmat.

Kerap kali juga telinga kita dibelai lembut doa kudus ini, yang sering dialunkan penuh syahdu di rumah2 Allah yang makmur.

Kita jua tidak lupa mengutuskan ucapan selamat buat rakan dan taulan, sempena persinggahan bahtera Ramadhan di pelabuhan umur kita yang kini telah retak di sana sini.

Hari ini, Ramadhan seperti mula gelisah dan tidak senang duduk di teratak usia kita yang sememangnya sedang condong. Oh, mengapa gerangannya, Ramadhan yang budiman gelisah dan sudah tidak betah.

Oh, sedar tidak sedar, rupa-rupanya sudah setengah purnama tetamu nan mulia ini singgah di halaman hidup kita yang comot dan semak dengan dosa dan nista.

Tataplah wajah Ramadhan yang mulus, dan renunglah matanya sedalam-dalamnya. Bibirnya sedang menguntum senyuman penuh makna buatmu, sambil matanya merenung tajam ke arahmu.

Andai dibedah senyuman seribu makna dan dibelek sebalik renungan tajamnya, yang ada hanyalah satu permintaan agar kita bersendirian sejenak bersama diri masing2 dan bertanya...

"Wahai diri, sepanjang setengah purnama Ramadhan berlabuh, apakah perubahan yang telah membenih di alam diri...?

Wahai diri, sejauh mana pula langkahmu di medan bacaan kitab kiriman tuhanmu...?

Wahai diri, sepanjang manakah tanganmu menghulurkan sedekah dan amal jariah...?

Wahai diri, seteguh manakah kakimu berdiri memakmurkan malam-malam penuh berkat, dan seasyik manakah hatimu mengenang tuhanmu...?

Wahai diri, sepanjang manakah langkahan kakimu mengorak langkah ke rumah-rumah Allah...?"

Ramadhan sudah gelisah dan mula tidak betah...

Namun, kesempatan masih berbaki untuk mendakap rahmatnya dan beradu diribaan maghfirahnya...

Friday, 20 July 2012

Amaran keras kepada yang gagal di bulan Ramadhan!


Sedarkah kita semua akan satu nikmat yang sangat besar dikurniakan Allah kepada kita?

Bulan Ramadhan datang berkunjung, sedang kita masih lagi bernyawa…

Itulah nikmat yang sangat besar…

Kesempatan bertemu bulan Ramadhan buat kesekian kali, menganugerahkan kita peluang besar untuk mendahului orang lain ke syurga.

Dengarkanlah perkhabaran seorang sahabat Nabi s.a.w, Talhah bin Ubaidillah r.a.

عن طلحةَ بنِ عبيد الله : أن رجلَيْن من بَلِي - و هو حي من قضاعة - قتل أحدُهما في سبيل الله، وأُخِّر الآخرُ بعده سنةً ثم مات، قال طلحة رضي الله عنه: فرأيْتُ في المنام الجنةَ فُتحتْ، فرأيْتُ الآخِرَ من الرجلَيْن دخل الجنةَ قبل الأول، فتعجبْتُ. فلما أصبحْتُ ذكرْتُ ذلك، فبلغتْ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم، فقال لي رسولُ الله صلى الله عليه وسلم :"أليس قد صام بعده رمضان و صلى بعده ستة آلاف ركعة، وكذا وكذا ركعة لصلاة السنة؟" .

Terjemahan : Dari Talhah bin Ubaidillah r.a [beliau menceritakan bahawa] dua orang lelaki [berasal] dari Baliy-sebuah penempatan dari [suku] Qudha’ah-telah dibunuh salah seorang daripada mereka pada jalan Allah.

Sementara seorang lagi ditangguhkan [ajalnya oleh Allah] selama setahun selepasnya, kemudian beliau pun mati. Talhah r.a berkata, “aku melihat dalam tidur akan syurga yang dibuka [pintunya].

Aku melihat [lelaki] yang terakhir [mati] dari kedua-dua lelaki tadi, masuk syurga [terlebih dahulu] sebelum lelaki yang pertama [yang terlebih dahulu mati].

Lantas aku merasa hairan [kerana orang yang mati biasa, memasuki syurga terlebih dahulu berbanding orang yang mati syahid]. Tatkala waktu pagi, aku menyebut perkara itu dan ia [kemudiannya] sampai kepada Rasulullah s.a.w.

Lantas Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku, “bukankah dia [lelaki yang mati kemudian] telah berpuasa Ramadhan selepasnya (lelaki yang mati terlebih dahulu) dan bersolat selepasnya [sebanyak] 6,000 rakaat  dan  sekian banyak rakaat solat sunat?”.

Menurut Albani dalam Silsilah al-Sahihah, jil. 6, ms.176, hadis ini hadis sahih.

Peluang

Sesungguhnya, kehadiran Ramadhan adalah peluang yang tidak kepalang besarnya…

Peluang untuk diampunkan segala dosamu…

Peluang untuk dibebaskan tengkukmu dari api neraka…

Lantaran, pada setiap malam Ramadhan, ada yang akan dibebaskan daripada api neraka.

Justeru, layaklah orang yang sempat menemui Ramadhan, tetapi tidak diampunkan dosa-dosanya-lantaran alpa dan lalai-didoakan kecelakaan untuknya oleh malaikat Jibril, dan diaminkan oleh Nabi Muhammad s.a.w!

Ya Allah…doa yang sangat ‘dahsyat’…                

Doa yang dilafazkan oleh bukan sahaja seorang malaikat, tetapi malaikat yang paling hampir dengan Allah.

Lebih menggerunkan, diaminkan oleh makhluk yang paling mulia di sisi Allah, Muhammmad s.a.w!

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم صعِد المنبرَ فقال : "آمين آمين آمين"،
قيل : "يا رسولَ الله، إنك صعدْتَ المنبرَ فقلتَ : "آمين آمين آمين". فقال : "إن جبريل عليه السلام أتاني فقال : "من أدرك شهرَ رمضان فلم يُغفَرْ له فدخل النار فأبعده الله،
قل : آمين" فقلتُ : "آمين"

Terjemahan : Dari Abu Hurairah r.a [beliau bercerita] bahawa Rasulullah s.a.w menaiki mimbar, lantas berkata, “amin, amin, amin”.

Dikatakan [kepada Baginda] , “wahai Rasulullah, Tuan telah menaiki mimbar lantas Tuan berkata, “amin, amin, amin”.

Lantas Baginda [menjelaskan dengan] berkata, “sesungguhnya Jibril a.s datang menemuiku lalu berkata, “sesiapa yang menemui bulan Ramadhan, tetapi tidak diampunkan baginya [dosa-dosanya], maka masuk neraka dan Allah menjauhkannya. Katakanlah “amin” [wahai Muhammad]. Maka aku pun berkata, “amin”.

Menurut Albani (Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib, jil.2, ms.138), hadis ini bertaraf ‘hasan sahih’, dan direkodkan oleh Ibnu Khuzaymah dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya.

Kalau tidak di Ramadhan, bilakah lagi?

Kalau kita masih tidak diampunkan di bulan Ramadhan, maka bilakah lagi?

Andai kita masih belum mampu ‘memasuki’ syurga di bulan Ramadhan, sedang pintunya terbuka luas di bulan ini, maka bilakah lagi?

Jika leher kita masih belum dibebaskan daripada neraka di bulan Ramadhan, sedang setiap hari di bulan ini adalah peluang untuk bebas daripada api neraka, maka bilakah lagi?

Justeru, jangan sekali-kali dirosakkan puasa dan ibadat dengan maksiat.

Sebaliknya,hormatilah bulan ini selayaknya dan ketahuilah nilai hari-hari Ramadhan yang terbatas ini...

Kerana barangkali ditulis bagi anda kebebasan daripada api neraka di bulan yang mulia ini, maka berjayalah anda dengan kejayaan yang besar…

Barangkali juga Ramadhan ini menjadi peluang terakhir anda…

Berapa ramai orang yang dahulunya bersama kita di Ramadhan yang lepas, tetapi tidak lagi bersama kita di Ramadhan kali ini.

Rebutlah Ramadhan, janganlah mengsia-siakannya...

Tuesday, 29 May 2012

Tentera Allah yang paling hebat itu dalam hatimu...


DIRIWAYATKAN bahawa Syaidina Ali radhiyALLAHu 'anhu wa karramALLAHu wajhah, pernah ditanya orang, "apakah tentera Allah yang paling hebat?".

Beliau menjawab, “aku melihat kepada besi, lantas aku mendapatinya tentera Allah yang paling hebat.
Kemudian, aku menoleh kepada api, dan aku mendapatinya mampu mencairkan besi. Justeru aku berkata, api adalah tentera Allah yang paling hebat.

Kemudian, aku menoleh kepada air, dan aku mendapatinya mampu memadamkan api. Lantas aku berkata, air adalah tentera Allah yang paling hebat.

Kemudian aku melihat pula kepada awan, dan aku mendapatinya mampu menampung air. Justeru aku berkata, awan adalah tentera Allah yang paling hebat.

Kemudian aku melihat pula kepada angin, dan aku mendapatinya berupaya menghalau awan. Lantas, aku berkata, angin adalah tentera Allah yang paling hebat.

Kemudian, aku menoleh pula kepada bukit bukau, dan aku mendapatinya mampu menahan angin. Lantas aku berkata, bukit bukau adalah tentera Allah yang paling hebat.

Kemudian aku melihat pula kepada manusia, dan aku mendapatinya mampu berdiri di atas bukit bukau, dan mampu memahatnya. Lantas aku berkata, manusia adalah tentera Allah yang paling hebat.

Kemudian, aku melihat kepada sesuatu yang boleh merebahkan manusia, lantas aku mendapati ia adalah rasa mengantuk. Justeru aku berkata, mengantuk adalah tentera Allah yang paling hebat.

Kemudian, aku mendapati, bahawa yang mampu menghalau rasa mengantuk, ialah kesedihan dan kerungsingan. Lantas aku berkata, kesedihan dan kerungsingan adalah tentera Allah yang paling hebat.

Kemudian aku melihat lagi, lantas aku mendapati, bahawa kesedihan dan kerungsingan, tempatnya adalah hati. Justeru, aku berkata, hati adalah tentera Allah yang paling hebat.

Kemudian, aku mendapati, bahawa hati tidak akan tenang melainkan dengan zikrullah, lantas aku berkata, tentera Allah yang paling hebat ialah zikrullah!

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ ﴿28﴾

Maksudnya : Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia”(al-Ra'd : 28).

Segala puji dan syukur kepada Allah, yang menempatkan dalam hati manusia, tenteraNya yang paling hebat...

Tentera yang memiliki kehebatan mengatasi kehebatan lambang-lambang keperkasaan di alam semesta...