Friday 20 April 2012

Disebalik lawatan Syaikh Ali Jum’ah ke Masjid al-Aqsa


Ali Jum'ah di al-Quds

Rabu lepas, 18 April 2012, Mufti Mesir, al-Allamah Syaikh Ali Jum’ah telah membuat satu kejutan besar, terutamanya bagi rakyat Mesir.

Pada tarikh tersebut, tanpa makluman kepada al-Azhar, beliau telah mengadakan satu lawatan ke Masjidil Aqsa dan tempat-tempat bersejarah lain di bandar al-Quds.(Sumber :aljazeera.net)

Lawatan tersebut mencetuskan kejutan memandangkan ia dianggap sebagai satu perlanggaran ke atas ‘ijmak kebangsaan’(consensus) di dunia Arab dan Islam, yang membantah sebarang lawatan ke Masjidil Aqsa, selama mana ia berada di bawah penjajahan Israel.

Lawatan ke tempat suci itu dalam keadaan sekarang, dianggap sebagai satu tatbi' (normalisasi) hubungan antara umat Islam dengan penjajah Israel.

Bantahan banyak pihak terhadap tindakan luar dugaan Syaikh Ali Jum’ah itu, diterjemahkan dalam bentuk demonstrasi para pelajar al-Azhar dan desakan agar dilucutkan jawatan beliau sebagai mufti.

Antara yang mendesak jawatan mufti beliau dilucutkan ialah pendakwah terkenal Mesir, Dr. Safwat al-Hijazi.(Sumber : aljazeera.net)

Justifikasi

Bagaimanapun, lawatan Mufti Mesir itu ke al-Quds, dialu-alukan oleh Syaikh Azam al-Khatib, pengarah Wakaf al-Quds. 

Beliau menyifatan lawatan Syaikh Ali Jum'ah, yang diiringi oleh putera Ghazi Muhammad, sepupu Raja Jordan, Abdullah2 itu, sebagai “bagi menyokong al-Aqsa dan menyokong penduduk Bandar al-Quds”.

Bagi menjustifikasikan lawatannya itu, Syaikh Ali Jum’ah menjelaskan, lawatan itu dilakukan dengan penyeliaan pihak berkuasa Jordan sepenuhnya, tanpa perlu mendapat visa atau cop kemasukan daripada kerajaan Israel. 

Ini memandangkan Dewan Diraja Jordan merupakan penyelia kepada tempat-tempat lawatan keagamaan di al-Quds.(Sumber : aljazeera.net)

Dengan penjelasan ini, Syaikh Ali Jum’ah mahu menyampaikan mesej bahawa lawatan beliau itu, tidak boleh ditafsirkan sebagai satu usaha tatbi’ hubungan antara umat Islam dan negara haram Israel. 

Ini kerana, lawatan tersebut berlaku tanpa ada hubung kait dengan negara haram tersebut.

Mesej ini nampaknya diterima oleh sesetengah ulama al-Azhar sendiri. Ini dapat dilihat melalui pendirian bekas Pesuruhjaya al-Azhar (Wakil al-Azhar), Syaikh Mahmud ‘Asyur, yang melihat lawatan Syaikh Ali Jum’ah itu bukan satu masalah, selama ia tidak menggunakan visa Israel.

Senada dengan Syaikh Mahmud ‘Asyur ialah Syaikh Muhammad al-Syahhat, anggota Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah (Akademi Kajian Islam). 

Beliau berpandangan, lawatan Syaikh Ali Jum’ah itu “[satu] bentuk penzahiran isu al-Quds dan penolakan ke atas apa yang didakwa oleh Israel bahawa ia [isu al-Quds] adalah isu [rakyat] Palestin semata-mata”.(Sumber :aljazeera.net)

Melalui kenyataan Syaikh Ali Jum’ah, penduduk al-Quds juga tidak memandang lawatan beliau itu sebagai masalah dan satu bentuk normalisasi hubungan dengan Israel. Ini kerana, menurut beliau, penduduk Baitul Maqdis menyambut kehadirannya dengan mesra.

Dalam kenyataan yang dilihat sebagai penolakan ke atas pandangan yang melihat lawatan ke al-Quds sebagai tindakan normalisasi hubungan dengan Israel, Syaikh Ali Jum’ah menyatakan, “sesiapa yang pergi ke al-Quds, akan semakin bertambah penolakannya terhadap kezaliman dan penjajahan [Israel] melalui apa yang dilihat dengan matanya [sendiri] dan [akan] pulang dalam keadaan isu [Palestin] bangkit semula di dalam jiwanya”.(Sumber : aljazeera.net)

Harus bersyarat

Apa yang dapat difahami daripada isu lawatan ke al-Quds oleh Syaikh Ali Jum’ah ini, ialah keharusan melawat Masjidil al-Aqsa dan tempat-tempat bersejarah di Palestin, dengan syarat kemasukan ke bumi umat Islam itu tidak melalui visa negara haram Israel.

Sekurang-kurangnya inilah pandangan al-Allamah Syaikh Ali Jum’ah dan Syaikh Mahmud ‘Asyur.

Dilihat sependapat dengan beliau ialah pendakwah terkenal Yaman, Syaikh Habib al-Ja’fari yang telah melakukan lawatan ke Masjid al-Aqsa bersama Putera Hashim Husain pada 5 April lalu. 

Apa yang difahami melalui laporan media, beliau juga memasuki al-Quds melalui pihak berkuasa Jordan, bukannya melalui visa negara haram Israel.

Friday 6 April 2012

Dakwah Bilhal dan keuzuran yang hilang...


“Datuk, sangat elok kalau kita boleh bina masjid terbuka. Tapi, masjid itu biarlah terletak di tengah-tengah bandar, tempat orang lalu lalang”, kata saya kepada Datuk Hj. Zainal Abidin Hj. Abdul Kadir, Pengarah Tajdid Pemikiran Islam, Perkim.

“Dulu, saya selalu mengikuti satu kolum dalam Utusan Malaysia, bertajuk Mengapa Saya Pilih Islam. Saya dapati, rata-rata bukan Islam, memeluk Islam disebabkan perkara-perkara ‘remeh’, dan boleh dilakukan setiap muslim”, saya menyambung.

“Ada seorang Kristian, memeluk Islam setelah mendapati, tidak ada perabot dalam masjid yang dilawatinya. Tidak seperti dalam gereja.

Seorang Cina di Malaysia, memeluk Islam, setelah abangnya yang telah memeluk Islam, datang menyantuni dan menyelenggara jenazah ibunya”, ujar saya lagi.

“Rupa-rupanya, orang Cina menjauhkan diri daripada jenazah, sebab mereka percaya, jenazah ada ‘badi’”, saya melengkapkan cerita.

Dalam perbualan sementara menunggu solat Maghrib di surau Kelab Darul Ehsan itu, saya terlupa menyebutkan kisah seorang jururawat Cina. 

Beliau memeluk Islam kerana tertarik dengan sikap rakan-rakan Melayunya, yang suka berkongsi makanan ketika rehat.

“Setiap Jumaat, saya selalu solat Jumaat di Masjid India. Ketika solat Jumaat, masjid itu melimpah, sehingga ramai yang bersolat di atas jalan. 

Kerap kali saya lihat, pelancong-pelancong berdiri, sambil memerhati dengan penuh minat jemaah yang sedang menunaikan solat”, tambah saya lagi kepada Datuk Zainal yang kelihatan tekun mendengar.

Saya nyatakan kisah-kisah ini, bagi menyatakan pentingnya penzahiran syiar-syiar Islam dilakukan. 

Biarpun kita sebagai muslim, nampak ianya ‘remeh’, tetapi ia mempunyai kesan tersendiri dalam memaut minat bukan Islam terhadap Islam.

Sebab itulah saya syorkan pembinaan sebuah masjid terbuka di tengah-tengah Bandar. Ia bertujuan memaparkan kaedah orang-orang Islam bersolat.

Saya percaya, berasaskan kisah-kisah keislaman yang dinyatakan, masjid terbuka ini juga mempunyai kekuatan yang serupa dalam menumbuhkan minat bukan Islam kepada agama suci ini.

Mesej besar!

Kisah-kisah saudara-saudara baru menemui hidayat ini, memberikan banyak mesej bermakna kepada setiap muslim.

Ia mengirim mesej agar kita mengubah persepsi terhadap dakwah. Konsep dakwah sangat luas, sehingga merangkumi setiap perlakuan yang baik walau bagaimana ‘remeh’ sekalipun.

Ia satu penyataan tentang pentingnya Dakwah Bilhal (dakwah melalui perbuatan).

Ia adalah satu penolakan yang tiada budi bicara lagi terhadap sebarang alasan mana-mana muslim, yang mahu menjustifikasikan penangguhan perlaksanaan dakwah kepada bukan Islam.

Sekadar untuk berkongsi makanan, atau menyantuni jenazah bukan Islam, sesiapa pun boleh melakukan, termasuk muslim yang paling ‘lekeh’ pengetahuan agamanya.

Kisah ini juga memacak dengan kukuh akan hakikat betapa luasnya ruang-ruang dakwah kepada bukan Islam.

Semarakkanlah semangat untuk berdakwah kepada bukan Islam dengan menyedari akan hakikat kerapuhan dan kelonggaran akidah mereka.

Akidah yang boleh runtuh hanya disebabkan perlakuan berkongsi makanan dengan rakan-rakan, adalah akidah yang boleh digoyahkan bila-bila masa.

Mulai saat ini, setiap muslim berkewajipan memikirkan tingkah laku dan perbuatan-perbuatan yang terpancar daripada akhlak Islam, yang boleh diketengahkan di pentas dakwah!

Seeru ‘ala barakatillah…  

Sunday 1 April 2012

Pilihanraya Presiden : Mengapa Ikhwan ubah pendirian?


Khairat Shatir

Pergerakan Ikhwan Muslimin Mesir (IM) dilihat telah membuat perubahan drastik, apabila memutuskan untuk menghantar calonnya bagi merebut jawatan Presiden Mesir dalam Pilihanraya Presiden yang dijangka berlangsung Mei depan.

Keputusan yang dibuat pada Sabtu lalu (31 Mac 2012) itu,  sekaligus memansuhkan ketetapan pergerakan itu sebelum ini, yang memutuskan untuk tidak menyertai Pilihanraya Presiden dan menegah ahli-ahlinya berbuat demikian.

Sebelum ini, pendirian untuk tidak menyertai Pilihanraya Presiden, diambil bagi mengelakkan IM dilihat sebagai berusaha memonopoli kuasa pemerintahan di Mesir, selepas pergerakan itu melalui sayap politiknya, al-Hurriyyah Wal ‘Adalah (FJP), menguasai Parlimen Mesir.

Dalam Pilihanraya Presiden yang bakal berlangsung itu, IM mempertaruhkan Timbalan 1 Mursyidul Amnya, Khairat Shatir, anak kelahiran 1950, yang merupakan seorang jurutera dan ahli perniagaan.

Pemilihan Khairat Shatir, yang pernah merengkok dalam penjara beberapa kali pada zaman regim Jamal Abdul Nasir dan regim Husni Mubarak, sebagai calon Presiden mewakili IM, diputuskan oleh Majlis Syura IM dan Jawatankuasa Tertinggi FJP.

Ekoran daripada pemilihan ini, beliau telah meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Mursyidul Am IM dan Ahli Jawatankuasa Umum FJP. (Rujukan : aljazeera.net)

Sebab perubahan pendirian

Al-Jazeera dalam laporannya menyifatkan, ketetapan terbaru IM ini sebagai mengejutkan banyak pihak, dan membuatkan mereka tertanya-tanya tentang sebab ketetapan baru ini diambil.

Menjawab persoalan ini, sumber-sumber IM menjelaskan, ketetapan ini diambil kerana IM mengambil kira cabaran dan ancaman semasa yang dihadapi oleh Revolusi Rakyat Mesir, yang tercetus pada 25 Januari 2011 yang lalu.

Sebahagian daripada cabaran dan ancaman tersebut ialah keengganan pihak tentera yang mentadbir Mesir sekarang, untuk memansuhkan kerajaan sementara Mesir yang dipimpin oleh Kamal al-Janzuri.

Di samping itu, bayangan yang diberikan oleh pihak tentera untuk membubarkan Parlimen yang dikuasai FJP melalui pilihanraya yang bebas, juga salah satu sebab yang mendorong IM mengambil keputusan menyertai Pilihanraya Presiden ini.

Dalam pada itu, Presiden FJP, Muhammad Mursi menyatakan, keputusan terbaru IM ini juga difaktorkan oleh masalah yang dihadapi Mesir ketika ini, dan ekoran penyertaan beberapa pemimpin, yang disifatkan sebagai saki baki regim Husni Mubarak, dalam  Pilihanraya Presiden yang bakal berlangsung.

Beberapa hari sebelum ini, tersebar desas desus bahawa Umar Sulaiman, ketua Mukhabarat (perisik) di zaman Husni Mubarak dan juga Timbalan Mubarak pada hari-hari terakhir beliau sebagai Presiden, akan turut menyertai Pilihanraya Presiden.(Rujukan : aljazeera.net)

Dalam satu lagi laporan, al-Jazeera melaporkan Presiden FJP itu menyatakan, sebab IM mengambil ketetapan baru ini ialah kewujudan usaha-usaha yang serius, yang dilakukan pihak-pihak tertentu, yang mahu menghalang rakyat Mesir merealisasikan kestabilan secara aman.

Kesemua perkembangan ini telah mendorong IM mengubah pendiriannya sebelum ini, yang bertegas untuk tidak menyertai Pilihanraya Presiden dan tidak membenarkan mana-mana ahlinya berbuat demikian.

Ketegasan IM dalam soal ini sebelum ketetapan baru ini diambil, telah ‘mengorbankan’ salah seorang pemimpin tertinggi IM, iaitu Dr. Mun’em Abu Futuh, yang telah dipecat daripada IM ekoran tindakannya melanggar ketetapan IM, yang pada waktu itu melarang mana-mana ahlinya menyertai Pilihanraya Presiden.

Kesimpulan

Secara umumnya boleh disimpulkan, antara sebab utama IM membuat keputusan untuk menyertai Pilihanraya Presiden ialah kerana mahu memelihara Revolusi Rakyat Mesir daripada dikhianati, dan memastikan matlamat revolusi rakyat itu tercapai.

Dengan pencalonan Khairat Shatir ini, setakat ini, rakyat Mesir mempunyai sekurang-kurangnya 4 orang calon Islamist bagi jawatan Presiden Mesir, iaitu Dr. Muhammad Salim al-Awwa (Pemikir Islam), Syaikh Hazim Solah Abu Ismail (Pendakwah Salafi) dan Dr. Mun'em Abu Futuh (Bekas pemimpin tertinggi IM).

Walaubagaimana pun, dari satu segi yang lain, kewujudan calon Islamist yang ramai akan merugikan golongan Islamist Mesir sendiri kerana ia memberi kesan dari segi memecahkan undi golongan Islamist, dan akan memberi kelebihan kepada aliran lain.

Oleh sebab itu, sekarang ini ada usaha dilakukan bagi menyatukan undi golongan Islamist dalam Pilihanraya Presiden yang akan berlangsung Mei ini.