Sedarkah kita semua akan satu nikmat yang sangat
besar dikurniakan Allah kepada kita?
Bulan Ramadhan datang berkunjung, sedang kita
masih lagi bernyawa…
Itulah nikmat yang sangat besar…
Kesempatan bersua dengan bulan Ramadhan buat
kesekian kali, menganugerahkan kita peluang besar untuk mendahului orang lain
ke syurga.
Dengarkanlah perkhabaran seorang sahabat Nabi
s.a.w, Talhah bin Ubaidillah r.a.
عن طلحةَ بنِ عبيد الله : أن رجلَيْن من بَلِي - و هو
حي من قضاعة - قتل أحدُهما في سبيل الله، وأُخِّر الآخرُ بعده سنةً ثم مات، قال طلحة
رضي الله عنه :
فرأيْتُ في المنام الجنةَ فُتحتْ، فرأيْتُ الآخِرَ من الرجلَيْن دخل الجنةَ قبل الأول،
فتعجبْتُ. فلما أصبحْتُ ذكرْتُ ذلك، فبلغتْ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم، فقال لي
رسولُ الله صلى الله عليه وسلم :"أليس قد صام بعده رمضان وصلى بعده ستة آلاف ركعة،
وكذا وكذا ركعة لصلاة السنة؟".
Terjemahan : “Dari Talhah bin Ubaidillah r.a
[beliau menceritakan bahawa] dua orang lelaki [berasal] dari Baliy-sebuah
penempatan sebahagian [suku] Qudha’ah-telah dibunuh salah seorang daripada
mereka berdua pada jalan Allah.
Sementara seorang lagi ditangguhkan
[ajalnya oleh Allah] selama setahun selepasnya, kemudian beliau pun mati.
Talhah r.a berkata, “aku melihat dalam tidur akan syurga yang dibuka
[pintunya].
Lalu, aku melihat [lelaki] yang
terakhir [mati] dari kedua-dua lelaki tadi, masuk syurga [terlebih dahulu]
sebelum lelaki yang pertama [yang terlebih dahulu mati].
Lantas aku merasa hairan [kerana orang
yang mati biasa, memasuki syurga terlebih dahulu berbanding orang yang mati
syahid]. Tatkala waktu pagi, aku menyebut perkara itu dan ia [kemudiannya]
sampai kepada Rasulullah s.a.w.
Lantas Rasulullah s.a.w bersabda
kepadaku, “bukankah dia [lelaki yang mati kemudian] telah berpuasa Ramadhan
selepasnya (lelaki yang mati terlebih dahulu) dan bersolat selepasnya
[sebanyak] 6,000 rakaat dan sekian banyak rakaat solat sunat?”.
Menurut Albani dalam Silsilah al-Sahihah,
jil. 6, ms.176, hadis ini hadis sahih.
Peluang keemasan
Sesungguhnya, kehadiran Ramadhan adalah peluang
yang bukan kepalang besarnya…
Peluang untuk diampunkan segala dosamu…
Peluang untuk dibebaskan tengkukmu dari api
neraka…
Lantaran, pada setiap malam Ramadhan, ada yang
akan dibebaskan daripada api neraka.
Justeru, layaklah orang yang sempat menemui
Ramadhan, tetapi tidak diampunkan dosa-dosanya-lantaran alpa dan lalai-didoakan
kecelakaan untuknya oleh malaikat Jibril, dan diaminkan oleh Nabi Muhammad
s.a.w!
Ya Allah…doa yang sangat ‘dahsyat’…
Doa yang dilafazkan oleh bukan sahaja seorang
malaikat, tetapi malaikat yang paling hampir dengan Allah.
Lebih menggerunkan, diaminkan pula oleh makhluk
yang paling mulia di sisi Allah, Muhammmad sallallahu alaihi wasallam!
عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه
وسلم صعِد المنبرَ فقال : "آمين آمين آمين"، قيل : "يا رسولَ الله، إنك صعدْتَ المنبرَ فقلتَ : "آمين
آمين آمين". فقال : "إن جبريل عليه السلام أتاني فقال : "من أدرك شهرَ
رمضان فلم يُغفَرْ له فدخل النار فأبعده الله، قل : آمين" فقلتُ
: "آمين".
Terjemahan : “Dari Abu Hurairah r.a [beliau
bercerita] bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menaiki mimbar, lantas
berkata, “amin, amin, amin”.
Dikatakan [kepada Baginda] , “wahai
Rasulullah, Tuan telah menaiki mimbar lantas Tuan berkata, “amin, amin, amin”.
Lantas Baginda [menjelaskan dengan]
berkata, “sesungguhnya Jibril a.s datang menemuiku lalu berkata, “sesiapa yang
menemui bulan Ramadhan, tetapi tidak diampunkan baginya [dosa-dosanya], maka
masuk neraka dan Allah menjauhkannya. Katakanlah “amin” [wahai Muhammad]. Maka
aku pun berkata, “amin”.
Menurut Albani (Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib,
jil.2, ms.138), hadis ini bertaraf ‘hasan sahih’, dan direkodkan oleh Ibnu
Khuzaymah dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya.
Kalau tidak di Ramadhan,
bilakah lagi?
Kalau kita masih tidak diampunkan di bulan
Ramadhan, maka bilakah lagi?
Andai kita masih belum mampu ‘memasuki’ syurga di
bulan Ramadhan, sedang pintunya terbuka luas di bulan ini, maka bilakah lagi?
Jika leher kita masih belum dibebaskan daripada
neraka di bulan Ramadhan, sedang setiap hari di bulan ini adalah peluang untuk
bebas daripada api neraka, maka bilakah lagi?
Justeru, jangan sekali-kali dirosakkan puasa dan
ibadat dengan maksiat.
Sebaliknya,hormatilah bulan ini selayaknya, dan
ketahuilah nilai hari-hari Ramadhan yang terbatas ini...
Kerana barangkali ditulis bagi anda kebebasan
daripada api neraka di bulan yang mulia ini, maka berjayalah anda dengan
kejayaan yang besar…
Barangkali juga Ramadhan ini menjadi peluang
terakhir anda…
Berapa ramai orang yang dahulunya bersama kita di
Ramadhan yang lepas, tetapi tidak lagi bersama kita di Ramadhan kali ini.
Rebutlah Ramadhan, janganlah mengsia-siakannya...
Ohhh…
Allahumma…
Kemaskini artikel asal Amaran keras bagi yang gagal di bulan Ramadhan
No comments:
Post a Comment