Showing posts with label Pemikiran Semasa. Show all posts
Showing posts with label Pemikiran Semasa. Show all posts

Monday, 26 September 2011

Kuasa Kemahuan!

Untuk mengembalikan semula kegemilangan ummah, syarat pertama yang perlu ada, ialah iradah (kemahuan) yang tinggi dan kejap untuk maju dan terbilang.

Seterusnya, ‘iradah untuk maju’ ini mestilah dikongsi bersama oleh seluruh anak bangsa.
Demikianlah yang dinyatakan oleh pemikir Islam yang terkenal, Dr. Said Ramadhan al-Buti di dalam bukunya, Manhaj al-Hadharah al-Insaniyyah.
Ringkasnya, tidak memadai andai ‘iradah’ itu hanya bersarang dalam jiwa beberapa kerat anak bangsa.
Dalam menggambarkan kuasa ‘iradah’ ini, Abuya Hamka dalam karyanya, Tasauf Moden menyamakannya dengan tunas kelapa yang lembut dan rapuh.
Meskipun demikian, ia mampu memecahkan tempurung kelapa yang keras!
Demikianlah kehebatan apa yang dinamakan iradah atau KEMAHUAN!
Iradah’lah yang mencetuskan kebangkitan mana-mana bangsa dalam sejarah peradaban manusia.
Ia menembusi segala tembok dan merobek setiap benteng dan halangan.
Ilmu dan Kudrat sia-sia
Tanpa kemahuan yang tinggi, ilmu dan qudrat (kemampuan) yang dimiliki tidak membawa sebarang makna.
Meskipun seseorang itu tahu pentingnya kemajuan dan memiliki kemampuan untuk mencapainya, tanpa iradah, semua itu tidak membuahkan sebarang hasil.
Demikianlah kesimpulan bicara Hamka dalam Tasauf Moden.
Demi membangkitkan kemahuan dan menyemarakkan keinginan untuk maju, minda anak watan sangat mustahak diisi dengan bahan-bahan pemikiran yang segar dan bertenaga…
Minda anak-anak watan ini tidak perlukan isu-isu khilafiyyah yang tidak berkesudahan…
Juga tidak berhajat kepada politik londeh melondeh yang tidak pernah padam…

Wednesday, 14 September 2011

Jana perubahan minda melalui 'kesemasaan'...

Dalam satu wawancara pada 12 September 2011 baru-baru ini, Tun Mahathir ada menyentuh tentang mindset Kerajaan yang belum berubah berhubung 2 perkara.

Perkara pertama berhubung keupayaan Kerajaan mengawal penyebaran maklumat. Dan kedua, berhubung keupayaan pelabur-pelabur tempatan.

Menurut Tun, zaman Kerajaan boleh mengarahkan sesuatu berita agar dipendamkan, sudah berakhir. Justeru zaman kini adalah zaman ledakan maklumat. Zaman internet dan media sosial yang beroperasi di alam maya.

Malangnya, mindset Kerajaan berhubung soal ini masih belum berubah. Kerajaan masih beranggapan ia masih berkuasa menyekat penyebaran maklumat seperti masa-masa lalu.

Ekoran itu, pihak Kerajaan telah bertindak memadam dengan dakwat hitam perenggan tertentu dalam satu artikel dalam majalah The Economist baru-baru ini. Perenggan yang dipadamkan itu berkaitan dengan laporan majalah itu tentang perhimpunan Bersih Julai lalu.

Pihak Kerajaan menyangka, dengan berbuat demikian, maklumat yang dipadamkan itu telah berjaya disekat daripada sampai kepada pengetahuan umum. Kerajaan tidak sedar, perenggan yang dipadamkan itu masih boleh dibaca dalam internet!

Alpa tentang realiti penyebab jumud

Kerajaan masih beranggapan ia mampu menyekat penyebaran maklumat seperti masa-masa lalu disebabkan satu faktor. Iaitu kealpaannya tentang perubahan realiti dan peredaran zaman.

Kealpaan tentang realitinya inilah yang menyebabkan mindset Kerajaan berhubung soal ini masih tidak berubah.

Jika Kerajaan menyedari zaman kini adalah zaman langit terbuka dan ledakan maklumat, pasti mindsetnya itu akan turut berubah. Secara automatik Kerajaan akan menyedari, zaman ia berupaya mengawal penyebaran maklumat sudah berakhir.

Justeru, tidak akan timbul tindakan seperti  yang dilakukan ke atas majalah The Economist itu.

Perkara kedua yang disentuh oleh Tun ialah persepsi atau mindset Kerajaan tentang pelabur-pelabur tempatan.

Sejak dahulu, Kerajaan melihat pelabur-pelabur luar lebih berkemampuan berbanding pelabur-pelabur tempatan. Ekoran itu, pelbagai kemudahan dan intensif diberikan kepada pelabur-pelabur luar bagi menarik mereka melabur di Malaysia.

Namun, sekarang keadaan telah berubah. Pelabur-pelabur tempatan sudah berdaya saing dan berkemampuan.

Oleh demikian, menurut Tun, mereka perlu diberi peluang untuk membangunkan negara ini. Mereka juga perlu diberi kemudahan untuk melabur di negara ini seperti yang diberikan kepada pelabur-pelabur luar.

Walau bagaimanapun, mindset Kerajaan berhubung pelabur-pelabur tempatan itu masih seperti dulu. Masih tidak berubah. Iaitu, mereka tidak berkemampuan dan tidak setanding dengan pelabur-pelabur luar.

Punca mindset ini tidak berubah ialah kealpaan tentang perubahan realiti dan keadaan pelabur-pelabur tempatan itu.

Bicara Tun ini memberi kesimpulan penting. Iaitu kepentingan kepekaan terhadap realiti semasa dalam menjana perubahan minda.

Kesimpulan ini seterusnya mencetuskan kesimpulan lain. Iaitu, orang yang tidak peka terhadap perubahan realiti, mindanya akan kekal pada takuk lama.

Mindanya tidak berubah meskipun realiti dan zaman telah banyak berubah. Menjadikannya berfikir untuk realiti semasa dengan minda yang lama!

Oh...tak rugi saya diwajibkan hadir ke Yayasan Kepimpinan Perdana bagi mengikuti wawancara itu...

Tuesday, 7 June 2011

'Jenayah' istilah 'Tasawuf' & 'Perubatan Islam'

An-Nadawi
Dalam bukunya, 'Rabbaniyyah La Rahbaniyyah', al-Marhum al-Allamah Maulana Ali An Nadawi ada memperkatakan tentang jenayah.

Tetapi, jenayah yang diperkatakan beliau itu, bukan jenayah yang dilakukan manusia. Ia sebaliknya jenayah yang dilakukan oleh istilah!

Menurut An Nadawi, terdapat beberapa istilah yang diguna pakai oleh manusia, telah melakukan  'jenayah' ke atas banyak perkara.

Setiap perkara ada hakikatnya yang tersendiri. 

Tetapi, disebabkan istilah yang diguna pakai bagi merujuk sesuatu perkara itu, hakikat sebenar perkara itu boleh menjadi kabur. Persepsi manusia terhadapnya menjadi buruk.

Beliau mengambil contoh nasib yang menimpa disiplin ilmu Tasawuf.

Istilah punca pertelagahan

Sejak sekian lama, umat Islam bertelagah tentang Tasawuf. 

Bagi yang menentang, mereka-antara lain-mempersoalkan tentang asal usul nama Tasawuf. Mereka berusaha bersungguh-sungguh membuktikan ia sebenarnya berasal daripada perkataan Yunani.

Atas alasan ini-disamping alasan-alasan yang lain-Tasawuf ditolak kerana asal usul namanya sahaja, sudah menunjukkan ia lahir dalam persekitaran Yunani, bukan persekitaran Islam.

Tetapi menurut An Nadwi, jika dirujuk al-Quran dan Sunnah, kita akan dapati, kedua-duanya sangat menekankan soal pembersihan jiwa dan akhlak. Pembersihan jiwa dan akhlak pula adalah intipati kepada ajaran Tasawuf.

Ini bermakna, Tasawuf-secara prinsipnya-selaras dengan al-Quran dan Sunnah.

Tetapi, mengapa umat Islam berterusan bertelagah tentang Tasawuf?

Jawapannya, menurut An Nadwi, ialah kerana istilah 'Tasawuf' itu sendiri.

Jika diketepikan istilah ini, maka hakikat Tasawuf sebenar akan terserlah. Segala persepsi buruk tentangnya akan tersingkir dari cemin akal.

Yang nyata pada mata hati, ialah sejumlah disiplin atau kaedah pembersihan jiwa dan akhlak yang disusun oleh para ulama rabbaniyyin

Justeru, bagi meleraikan pertelagahan ini, kita perlu abaikan istilah 'Tasawuf'. Jangan digunakan istilah ini untuk merujuk kepada kaedah-kaedah  pembersihan jiwa dan akhlak tadi.

An Nadwi mencadangkan, istilah 'Tasawuf' digugurkan dan diganti dengan istilah 'tazkiah', 'ihsan' atau 'Feqh Batin'.

Memang benar, penggunaan nama ‘Tazkiah’, ‘Ihsan’ atau ‘Feqh Batin’ bagi menggantikan istilah ‘Tasauf’, tidak akan menamatkan pertelagahan berkenaan Tasauf. Namun, ia dapat mengendurkan pertelagahan itu. Atau menurunkan ‘suhu’nya.

Pengabaian terhadap istilah ‘Tasauf’ dalam penulisan berkenaan pembersihan jiwa-yang merupakan tajuk perbincangan ilmu Tasauf-telah pun dilakukan oleh sesetengah tokoh besar Tasauf, iaitu Imam Atho’illah al-Sakandari radhiyallahu ‘anhu, pengarang kitab Hikam yang terkenal.

Syaikh Ramadhan al-Buti dalam karyanya yang menghuraikan kitab Hikam itu mencatatkan, Imam Atho’illah tidak menyebut walaupun sepatah perkataan ‘tasauf’ dalam karyanya itu.

Istilah mengambus hakikat sebenar!

Demikianlah besarnya pengaruh istilah dan peranannya dalam 'mengambus' hakikat sebenar sesuatu perkara.

Justeru, penggunaan istilah 'Perubatan Islam' yang digunakan hari ini bagi merujuk kepada kaedah rawatan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa, wajar diteliti semula.

Ini kerana, istilah ini boleh memberikan kefahaman bahawa perubatan moden yang tidak menggunakan ayat al-Quran dan doa, bukan perubatan Islam. 

Perubatan Islam hanyalah perubatan yang berteraskan ayat-ayat al-Quran dan doa sahaja!

Tidak lama dulu, sebuah majalah berorientasikan Islam yang dipimpin oleh penulis kontroversi berasal dari negara jiran, telah pun mempersoalkan, "perubatan moden yang tidak menggunakan jampi ayat Quran dan doa, bukan perubatan Islam kah?".

Tidak mustahil, jika istilah ini digunakan dan diulang-ulang dalam tempoh yang lama, akan melekat dalam minda umat Islam, bahawa perubatan Islam itu hanyalah perubatan yang menggunakan ayat al-Quran dan doa. Selain itu, tidak dinamakan perubatan Islam!

Jika ini berlaku, memang ia satu ‘jenayah’!

Penggunaan istilah al-'ilaj bi al-ruqyah al-syar'iyyah (rawatan menggunakan jampi syar'ie) oleh orang Arab bagi merujuk kepada kaedah perubatan yang berasaskan jampi dan doa yang diperakui syarak, adalah lebih tepat dan menggambarkan realiti sebenar.

Ia perubatan berasaskan jampi dan doa yang dibenarkan syarak. Jadi, tepat sangatlah jika ia dinamakan al-‘Ilaj Bi al-Ruqyah al-Syar’iyyah!

Justeru, demi mengelakkan kemungkinan istilah 'Perubatan Islam' ini melakukan 'jenayah' terhadap pemikiran umat Islam, elok digunakan istilah lain yang lebih tepat.

Untuk mencari istilah yang sesuai, mereka yang berkepakaran boleh dijadikan rujukan.