Beberapa hari lalu, bibir kita rancak menitipkan
doa "اللهم بلغنا رمضان"...
Ya Allah, sampaikanlah kami ke pangkuan dan
dakapan Ramadhan penuh rahmat.
Kerap kali juga cuping telinga kita dibelai lembut
doa kudus ini, yang sering dialunkan penuh syahdu di rumah-rumah Allah yang
makmur.
Kita jua tidak lupa mengutuskan ucapan selamat
buat rakan dan taulan, sempena persinggahan bahtera Ramadhan di pelabuhan umur
kita yang kini telah retak di sana sini.
Hari ini, Ramadhan seperti mula gelisah dan tidak
senang duduk di teratak usia kita yang sememangnya sedang condong.
Oh, mengapa
gerangannya, Ramadhan yang budiman gelisah dan sudah tidak betah?
Oh, sedar tidak sedar, rupa-rupanya sudah lebih setengah
purnama tetamu nan mulia ini singgah di halaman hidup kita yang comot dan semak
dengan dosa dan nista.
Tataplah wajah Ramadhan yang mulus, dan renunglah
matanya sedalam-dalamnya. Bibirnya sedang menguntum senyuman penuh makna buatmu,
sambil matanya merenung tajam ke arahmu.
Andai ditilik renungan tajam dan diselak tabir
senyumannya itu, tercegat satu permintaan agar kita bersendirian sejenak
bersama diri masing-masing dan bertanya...
"Wahai diri, sepanjang lebih setengah purnama
Ramadhan berlabuh, apakah perubahan yang telah membenih di alam diri...?
Wahai diri, sejauh mana pula langkahmu di medan
bacaan kitab kiriman tuhanmu...?
Wahai diri, sepanjang manakah tanganmu
menghulurkan sedekah dan amal jariah...?
Wahai diri, seteguh manakah kakimu berdiri
memakmurkan malam-malam penuh berkat, dan seasyik manakah hatimu mengenang
tuhanmu...?
Wahai diri, sepanjang manakah pula langkahan
kakimu mengorak langkah ke rumah-rumah Allah...?"
Ramadhan sudah gelisah dan mula tidak betah...
Namun, kesempatan masih berbaki untuk mendakap
rahmatnya dan beradu diribaan maghfirahnya...
Allahumma…
No comments:
Post a Comment