Ayatullah Ruhullah Imam Khomenei? |
Di pagi yang mulus dan segar itu, saya berhasrat melambung ke udara satu 'bola' idea bagi mengocak suasana.
Justeru mengharapkan ia disambut, lalu didakap kemas sebagai idea yang jitu, saya bercadang menatahnya dengan mutiara kata tokoh yang dijulang sebagai Ayatullah, Ruhullah dan Imam. Dan tokoh yang tiada taranya itu, tidak lain dan tidak bukan, ialah Khomenei!
Pagi itu, saya melangkah ke rostrum sambil membimbit kemas keinginan jitu menampilkan tokoh Syiah moden itu kepada khalayak sebagai 'Ayatullah, 'Ruhullah' dan 'Imam'.
Entah macam mana, sepanjang berucap, saya terlupa untuk melantun kalimat 'Ayatullah Ruhullah Imam Khomenei' sebagaimana yang direncana.
"Oh, nasib baik aku terlupa menyebut 'Ayatullah Ruhullah Iman Khomenei' tadi. Kalau tidak, tentu aku akan dipanggil oleh Ustaz Engku Ali", hati saya berdetus lega usai perhimpunan.
Kalau saya tidak lupa, Ustaz Engku Ali ketika itu adalah guru Penolong Kanan 1. Namun, 'kegerunan' saya terhadap beliau di waktu itu, bukanlah kerana jawatannya itu. Tapi, disebabkan keilmuan beliau yang pada telahan saya, lebih mantap berbanding ustaz-ustaz lain.
Cebisan kisah ini terselit kemas dalam memori hidup saya sewaktu meniti bilah-bilah hari nan indah dan penuh nostalgia di teratak Smaasza nan permai...Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Kuala Terengganu...
Ketika galak berpencak dan bereksperimen di perladangan Smaasza sepanjang 1992-1993, saya dilantik menjadi pengawas, dan sering pula ditampilkan bagi mempengerusikan perhimpunan mingguan sekolah setiap pagi Ahad.
Yang 'lucu'nya, amanah sebagai pengerusi perhimpunan mingguan sekolah yang diserahkan, sering saya 'salah gunakan' untuk melontar beberapa idea dan pemikiran saya ketika itu!
Pernah juga saya di'boo' oleh para pelajar lelaki di hadapan segenap warga Smaasza ketika menggunakan pentas perhimpunan pagi itu untuk menegur sikap sebahagian mereka yang gemar bertempik dan bersorak dalam bilik-bilik asrama.
Arus PAS
Momen di suatu pagi di tahun 1993 yang terakam di dataran indah Smaasza itu, adalah 'simptom' nyata kepada kekaguman memuncak saya terhadap Khomenei, yang sebelumnya adalah seorang tokoh yang sangat 'tidak sebulu' dengan citarasa pemikiran saya.
Di waktu itu-dalam diam dan tanpa sedar-beliau bukan sahaja seorang 'Imam' dan 'Ayatullah', tetapi lebih daripada itu, beliau juga seorang 'Ruhullah' pada tilikan sanubari saya yang di kala itu berada di tingkatan 5.
Dari mana datangnya benih kekaguman terhadap Khomenei itu, tidaklah saya ketahui waktu itu.
"Ustaz Ibrahim Libya adalah mati syahid", laung naqib saya ketika itu, Azman Ibrahim sewaktu berceramah di surau sekolah.
Beliau kini seorang doktor perubatan dan AJK Badan Perhubungan Parti Islam SeMalaysia (PAS) Terengganu. Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini, beliau bertanding di N5 Jabi mewakili PAS.
Kepelikan dan tanda tanya segera membenih, lalu menjalar dalam diri saya yang ketika itu berada di Tingkatan 4, dan masih berstatus 'orang baru' di Smaasza. Bagaimana mungkin kenyataan politik yang sebegitu 'pekat', boleh dikumandangkan melalui pembesar suara oleh seorang pelajar tingkatan 5 dalam kawasan sekolah, dan secara terbuka pula?
"Huh! Tadi, masa tazkirah pagi dalam kelas, Rosli minta para pelajar menjadikan bekas-bekas pelajar Thanawi terdahulu, seperti Hj. Hadi (Tuan Guru Abdul Hadi Awang), sebagai contoh dan ikutan", Fazdi memberitahu saya dengan nada separuh jengkel terhadap tazkirah berbaur politik itu.
Rakan saya ketika di Sekolah Menengah Agama Marang (SMAM) itu, turut tersentak dengan asakan kuat 'budaya baru' di Smaasza, yang tidak pernah kami temui sepanjang 3 tahun bermukim di SMAM dahulu.
Arus fahaman dan pemikiran PAS di Smaasza ketika itu, begitu kuat menyelinap dan menjalar di kalangan sebahagian pelajar. Dua detik peristiwa yang terakam sepanjang saya bertamu di teratak Smaasza ini, adalah pembayang yang jelas tentang kederasan aliran arus itu.
"Mari kita pergi HIMPIT (Himpunan Pemuda PAS Terengganu) di Kuala Berang", kata Fauzi kepada saya di suatu lokasi di Smaasza. "Sebelum ke Kuala Berang, singgah dulu rumah ana di Manir", ujar beliau lagi.
Dengan membonceng motosikal dipandu Fauzi, kami berdua tiba di lokasi HIMPIT. Kami bermalam di sana semalam atau dua malam.
"Enta tak payahlah pergi dengar ceramah lagi. SPM dah dekat!", nasihat Adnan kepada saya yang sedia maklum akan keaktifan saya memanjat pagar sekolah bersama kawan-kawan seangkatan untuk menghadiri program-program ceramah PAS.
"Hmmm...di sekolah dengar suara Shamsul. Di sini pun dengar suara Shamsul", kata Khusairi dengan nada bergurau kepada saya yang asyik menghafal lantaran SPM hampir menjelang tiba.
Ketika itu, kami berada dalam masjid Rusila di suatu pagi di hari Jumaat sementara menanti Tuan Guru Haji Abdul Hadi menyampaikan kuliah Jumaatnya yang masyhur itu.
Mendengar gurauan Khusairi itu, semua rakan tertawa.
Muara PAS
Tanpa sedar, sebelum genap dua tahun berpencak di gelanggang Smaasza, saya telah pun dibawa arus deras PAS itu ke muara pemikiran dan fahaman PAS yang belum pernah saya jejaki.
Di muara itulah saya 'berkenalan' dengan seorang tokoh yang begitu asing dalam diari dan persekitaran hidup saya.
"Khomenei adalah satu-satunya pemimpin Islam yang mengirim surat kepada Mikhail Gorbachev menyeru beliau memeluk Islam", tulis lidah rasmi PAS, Harakah yang memuji tindakan Khomenei usai keruntuhan Soviet Union.
"Ketika meninggal, Khomenei tidak meninggalkan sebarang harta berharga", lapor Harakah lagi dalam satu tulisan sekitar kematian tokoh agung Syiah moden itu.
"Adakah (Datuk Seri) Shahrizat (Jalil) tidak melihat bagaimana kejayaan kepimpinan ulama mentadbir Iran?", sindir Harakah dalam salah satu ulasannya berkenaan lawatan Shahrizat Jalil ke Iran suatu waktu dahulu.
Dalam tulisan itu, Shahrizat digambarkan sebagai seorang pemimpin yang meragui kemampuan ulama mentadbir negara.
Inilah sebahagian maklumat tentang tokoh agung Syiah moden, Khomenei dan kepimpinan ulama Iran, yang menjadi antara makanan minda saya di tahun 1993 ketika 'mandi-manda' dan 'berkelah' di muara itu.
Dalam masa tidak sampai setahun, maklumat-maklumat ini berpadu, lantas bersebati menjadi benih-benih kekaguman terhadap Khomenei!
Benih-benih itu mula bertunas dalam diri, lantas-dalam diam-mendorong saya memakaikan tokoh Syiah moden itu dengan gelaran Ayatullah, Ruhullah dan Imam, dan hampir-hampir saya menghamburkan kekaguman memuncak saya itu dalam perhimpunan mingguan pagi itu!
Dataran Syam
"Man, enta tolong belikan semua kaset Tok Guru Haji Hadi dan Tok Guru Nik Aziz bila tiba di Malaysia nanti', kata saya kepada seorang rakan serumah berasal dari Kelantan sambil menghulurkan USD200.
Saya mengambil kesempatan permusafirannya ke tanah air sekitar tahun 1995 sempena cuti semester itu, untuk membeli kaset-kaset ceramah dua tokoh besar PAS itu untuk saya dan rakan-rakan putarkan di bumi Syam.
"Khomenei ni, dia ikut Quran dan Sunnah! Mu nok kata 'heh' (membantah), mu kata gi lah (ikut suka kamulah)", begitulah lebih kurang kata-kata tegas Tuan Guru Nik Aziz yang saya temui sepanjang 'menadah ilmu' dengan beliau di Dataran Syam melalui timbunan kaset yang dibeli melalui kawan saya tadi.
Kenyataan tokoh besar sanjungan PAS ini, saya memahaminya sebagai satu perakuan terhadap kredibiliti pegangan dan akidah tokoh ulung Syiah moden ini. Lebih daripada itu, Tuan Guru turut menghantar mesej tegas akan ketidakpeduliannya terhadap sebarang bantahan ke atas perakuan beliau itu.
"Pasal nikah Mut'ah ni, saya tanya sendiri ulama-ulama Iran, adakah mereka mengamalkan Mut'ah? Mereka mengatakan, mereka tidak mengamalkannya. Ulama-ulama Syiah sendiri tidak mengamalkan Mut'ah. Cuma Syiah-Syiah 'jadian' sahaja yang sibuk pasal nikah mut'ah", demikianlah lebih kurang dakwa Tuan Guru Haji Hadi pula dalam salah satu kaset ceramah beliau.
Bersama Hj Mohamad Sabu dalam satu program di Jordan |
Fasa pertama kehidupan saya di Dataran Syam sebagai penuntut di Universiti Mu'tah, menyaksikan tunas-tunas Syiah masih bugar dalam diri lantaran mendapat siraman yang berterusan.
Suasana baru
"Tadi pensyarah sebut dalam kelas, Abdullah bin Mubarak menyebut, sesungguhnya debu yang terdapat dalam lubang hidung Muawiyah ketika berjihad bersama Rasulullah, adalah lebih mulia daripada Umar bin Abdul Aziz", cerita Ustaz Asri Zainal Abidin (sekarang Dr. Asri Zainal Abidin atau MAZA) dengan penuh semangat kepada rakan seangkatannya, Ustaz Azhar Yaakob (kini Dr. Azhar Yaakob).
Saya yang ketika itu berada di tahun 1, hanya memasang telinga mendengar cerita Ustaz Asri yang ketika itu berada di tahun 3 atau 4.
"Semasa Portugis menyerang Melaka, Kerajaan Melayu Melaka sebenarnya ada meminta bantuan daripada Kerajaan Othmaniyyah Turki. Dalam perjalanan menuju ke Melaka, angakatan tentera Turki ini telah diserang oleh pengikut-pengikut Syiah, menyebabkan mereka tidak sampai ke Melaka", tegas sahabat seangkatan saya, Hasrizal Abdul Jamil dalam salah satu ucapan beliau kepada sesama pelajar.
"Khomenei berkata, pengikut-pengikut Syiah di zaman pemerintahannya adalah lebih baik daripada para sahabat Nabi", beritahu pensyarah saya ketika itu, Dr. Yusuf Khumas dalam satu kuliah beliau.
Fasa kedua kembara ilmi ke Dataran Syam, mengheret saya masuk ke dalam persekitaran baru yang berbeza dengan suasana 'muara' tempat saya 'bermandi-manda dahulu'.
Benih-benih kekaguman terhadap Khomenei yang sempat bertunas dan membugar dalam diri, sedikit demi sedikit menuju layu.
Penyudah kepada episod kekaguman terhadap Khomenei ini tiba setelah 'pertemuan' saya dengan al-Marhum Syaikh Sa'id Hawwa melalui risalah beliau tentang keganjilan fahaman dan pendirian Khomenei, yang dimuatkan dalam satu koleksi rencana bertajuk كي لا نمضى بعيدا عن احتياجات العصر (Agar Kita Tidak Pergi Jauh Daripada Keperluan Zaman).
Kini, tunas-tunas Syiah terus galak bercambah di tanah ladang, dan tumbuh di sana sini di merata sudut.
Tangan-tangan yang dahulunya barangkali tersilap menabur benih-benih Syiah, memupuknya bertunas atau membajainya, tangan-tangan itulah yang memikul tanggungjawab mencungkilnya kembali, agar tanah ladang bersih dari benih dan tunas-tunas yang akan membesar menjadi pohon-pohon berduri!
Terima kasih Dataran Syam...
Namun, teratak Smaasza tetap yang terindah...
No comments:
Post a Comment