Tuesday, 26 March 2013

Gugur selawat dalam penulisan : Antara Imam Ahmad & kemungkinan bid'ah

Isu 'menggugurkan selawat ke atas Nabi dalam penulisan', berbangkit setelah sesetengah agamawan mengkritik sebuah syarikat penerbitan terkenal tanah air.

Syarikat berkenaan dikritik lantaran didakwa mengambil pendekatan 'menggugurkan perkataan selawat ke atas Nabi' dalam semua penerbitannya. 

Sebagai ganti, diletakkan di awal setiap naskah terbitannya, pesanan menggalakkan para pembaca berselawat setiap kali terbaca nama Baginda dalam naskah tersebut.

Tindakan menggugurkan ucapan selawat-samada dalam penulisan atau pun pengucapan-dianggap sebagai satu 'kesalahan'. 

Malah, lebih daripada itu, perbuatan 'sengaja menggugurkan selawat dalam penulisan', ditelah sebagai 'mungkin boleh menjadi bid'ah dan mungkar yang besar!'.

Dua isu

Di sini berbangkit dua isu.

Pertama, 'meninggalkan selawat dalam pengucapan'; dan

Kedua, 'meninggalkan selawat dalam penulisan'.

Status isu pertama-dari segi hukum-boleh ditentukan dengan merujuk kepada fatwa para ulama berkenaan hukum 'berselawat ke atas Nabi'.

Imam Ibn Katheer dalam karyanya, Tafseer al-Quran al-'Azeem (yang terkenal dengan nama Tafseer Ibn Katheer) menukilkan tiga pandangan para ulama berhubung perkara ini.

Pertama : Wajib berselawat sekali dalam seumur hidup. Ini berdasarkan perintah Allah dalam ayat 56 surah al-Ahzab yang berbunyi : 

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦

Maksudnya : Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi; wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya dan mohonlah kesejahteraan dengan penuh penghormatan.

Selain daripada 'sekali selawat seumur hidup ini', adalah sunat sahaja. Pendapat ini dijuarai oleh Qadhi 'Iyadh. Sependapat dengan beliau ialah al-Tabarani.

Mafhum pendapat ini, berselawat setiap kali nama Nabi disebut, bukan satu kewajipan (iaitu bagi sesiapa yang telah menunaikan kewajipan 'berselawat sekali seumur hidup').

Kedua : Wajib berselawat sekali dalam satu-satu majlis. Pendapat ini dipetik oleh Imam al-Tirmizi dari sesetengah ulama.

Pendapat ini sama dengan pendapat pertama di atas. Iaitu, sama dari segi 'tidak wajib berselawat setiap kali nama Baginda disebut'.

Yang wajib hanyalah berselawat sekali dalam satu-satu majlis, tanpa mengira samada nama Baginda disebut atau tidak dalam majlis tersebut.

Ketiga : Wajib berselawat setiap kali nama Baginda disebut. Ini adalah pendapat sebahagian ulama, termasuk Imam at-Tahawi dan al-Hulaymi.

Kesimpulannya, hukum berselawat setiap kali nama Baginda disebut, adalah masalah khilafiyyah. Ramai ulama tidak mewajibkannya. Hanya sebahagian ulama sahaja yang mengatakannya wajib.

Justeru, adalah lebih tepat, isu 'meninggalkan selawat dalam pengucapan' ini, ditampilkan sebagai masalah khilafiyyah, bukannya dengan nada muktamad dikelompokkan dalam kategori 'kesalahan'.

Ini berkenaan hukum 'meninggalkan selawat dalam pengucapan'.

Gaya Imam Ahmad

Isu kedua ialah 'meninggalkan selawat dalam penulisan'. Iaitu, menulis nama Baginda tanpa diiringi dengan perkataan 'sallallahu 'alaihi wasallam'.

Adakah ada kemungkinan, tindakan 'sengaja menggugurkan selawat dalam penulisan' seperti ini, boleh menjadi bid'ah atau mungkar yang besar?

Persoalan ini boleh dirungkai dengan dua fakta berikut :

Pertama, ketika memperkatakan hukum 'berselawat dalam pengucapan', Imam Ibn Katheer menukilkan tiga pendapat ulama seperti yang dinyatakan. 

Namun, semasa memperkatakan hukum 'berselawat dalam penulisan', beliau hanya menukilkan satu pandangan sahaja apabila mencatatkan dalam tafsirnya : 

وقدِ استحب أهلُ الكتابة أن يكررَ الكاتبُ الصلاةَ على النبي صلى الله عليه وسلم كلما كَتَبَه

Terjemahan : [Ulama yang] Ahli [dalam bidang] penulisan mengatakan sunat [bagi] mana-mana penulis mengulang [penulisan] selawat ke atas Nabi setiap kali menulisnya (nama Baginda).

Tindakan Imam Ibn Katheer ini membayangkan, kemungkinan tiada ulama yang mewajibkan 'berselawat dalam penulisan' (atau dalam bentuk tulisan) setiap kali ditulis nama Nabi.

Kemungkinan ini dikuatkan oleh kenyataan Imam Ibn Katheer sendiri dalam tafsirnya bahawa tiada hadis sahih, yang menunjukkan 'sunat berselawat dalam bentuk tulisan' setiap kali nama Baginda ditulis.

Andainya tiada hadis sahih yang menunjukkan 'sunat berselawat dalam bentuk tulisan', maka lebih utama tiada hadis sahih yang menunjukkan ianya wajib.

Ringkasnya, 'berselawat dalam penulisan' bukanlah sesuatu yang wajib. Hukumnya sunat menurut pandangan sesetengah ulama.

Kedua, catatan al-Khateeb al-Baghdadi dalam al-Jami' Li Adab al-Rawi Wa al-Sami' (الجامع لآداب الراوي والسامع) memahamkan bahawa Imam Ahmad berkemungkinan berpandangan bahawa 'berselawat dalam penulisan', bukan sesuatu yang sunat. 

Beliau mencatatkan :
رأيتُ بخط الإمام أحمدَ بنِ حنبل رحمه الله : كثيرا ما يكتب اسمَ النبي صلى الله عليه وسلم من غير ذكر الصلاة عليه كتابةً، قال : وبلغني أنه كان يصلي عليه لفظا

Terjemahan : Aku melihat-dengan tulisan [tangan] Imam Ahmad rhm sendiri-[beliau] banyak menulis nama Nabi tanpa menyebut (yakni menulis lafaz) selawat ke atasnya (Nabi) dalam bentuk tulisan. Beliau (al-Khateeb al-Baghdadi) berkata : Sampai [berita] kepadaku bahawa beliau (Imam Ahmad) berselawat ke atasnya (Nabi) dalam bentuk perkataan.

Maksudnya, dalam banyak penulisannya, Imam Ahmad tidak menulis 'sallallahu 'alaihi wasallam' setiap kali menulis nama Nabi. Beliau sebaliknya hanya berselawat dengan lidah setiap kali menulis nama Baginda dalam penulisannya.

Kesimpulan

Kesimpulannya, tindakan 'sengaja menggugurkan selawat dalam penulisan', bukanlah satu kesalahan, dan tidak mungkin boleh menjadi bid'ah, atau mungkar yang besar. 

Ini kerana, tindakan meninggalkan perkara sunat, tidak boleh disifatkan sedemikian.

Sebab kedua ia tidak boleh disifatkan sedemikian, ialah amalan Imam Ahmad dalam penulisan beliau seperti yang dinyatakan.

Dalam masa sama, amalan Imam Ahmad ini juga mengesahkan bahawa-insyaAllah-tiada cacat celanya pendekatan 'menggugurkan selawat dalam penulisan'-dan sebagai ganti dicatatkan pesanan menggalakkan pembaca berselawat setiap kali menemui nama Nabi dalam penulisan tersebut-seperti yang dilakukan oleh syarikat penerbitan terkenal tanah air yang dibicarakan di sini.

Dan, justeru mengikut amalan Imam Ahmad ini, dan dengan niat mempopularkan pandangan ulama, tulisan ini juga tidak menulis 'sallallahu 'alaihi wasallam' setiap kali ditulis nama Baginda, sambil lidah tidak lupa untuk berselawat setiap kali ditulis nama Baginda sallallahu 'alaihi wasallam.

Wallahu a'lam.

Tuesday, 19 March 2013

Lahad Datu : 'Syahid dunia' dan kekhilafan Dewan Ulama


YB Datuk Dr Harun Taib
Sehari dua ini, saya agak ‘ketinggalan maklumat’ disebabkan beberapa faktor.

Malam ini (malam 19 Mac 2013), saya terbaca dalam Malaysiakini 'keluhan' YAB Perdana Menteri berhubung satu kenyataan Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Ulama terkenal PAS itu dilaporkan telah ‘menfatwakan’ bahawa anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden Lahad Datu, adalah mati 'syahid dunia'.

‘Fatwa’ ini dikeluarkan pada 16 Mac 2013.

‘Fatwa’ beliau itu bercanggah dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan. Menurut majlis tersebut, perajurit yang terkorban di Lahad Datu, adalah mati 'syahid akhirat'.

Fatwa rasmi dikeluarkan pada 6 Mac 2013.

Isu utama berhubung ‘fatwa’ ketua Dewan Ulama PAS itu, ialah tindakan beliau mengkategorikan kematian para wira negara itu, sebagai ‘syahid dunia’.

Ulama vs Dewan Ulama

Mati ‘syahid dunia’-seperti yang ditakrifkan oleh para ulama silam- ialah kematian yang disebabkan peperangan menentang orang kafir, tetapi terdapat halangan-halangan tertentu yang menghalang mereka yang terkorban, mendapat status syahid di sisi Allah.

Halangan-halangan tersebut seperti berperang dengan tujuan menunjuk-nunjuk, mengharumkan nama, menyalahgunakan harta rampasan perang, dan seumpamanya.

Sila rujuk Hasyiah Raddul Mukhtar jil.2, ms.252 (Mazhab Hanafi), Mawahibul Jalil, jil.2, ms.249 (Mazhab Maliki), Al-Majmuk Imam Nawawi, jil.5, ms.225 (Mazhab Syafie) dan al-Furu’ karangan Ibnu Mufleh, jil.2, ms.214 (Mazhab Hambali).

Dalam ungkapan lain,  ‘syahid dunia’ ialah kematian yang mempunyai dua elamen berikut :

Pertama : Kematian disebabkan peperangan dengan orang kafir; dan

Kedua : Tujuan si mati berperang ialah bukan kerana Allah, atau berperang kerana Allah tetapi-dalam masa sama- telah menyalahgunakan harta rampasan perang.

Kematian sebegini disifatkan sebagai ‘syahid dunia’ kerana dari segi penyelenggaraan jenazah, mayat si mati diperlakukan seperti orang yang mati ‘syahid dunia akhirat’ (akan diterangkan makna ‘syahid dunia akhirat’). Iaitu ia tidak dimandikan, tidak dikafan dan tidak disembahyangkan.

Dalam erti kata lain, di atas dunia, si mati dilayan seperti orang mati ‘syahid dunia akhirat’. Hal ini kerana semasa hidupnya, si mati zahirnya berperang pada jalan Allah, dan tidak diketahui niat dan tujuannya oleh manusia.

Walau bagaimana pun, si mati ini tidak dilayan sebagai orang yang mati syahid di sisi Allah disebabkan niatnya yang tidak ikhlas dalam berjuang semasa di dunia dahulu.

Sebagai satu pengukuhan, diperturunkan di sini definisi ‘syahid dunia’ yang dikemukakan Imam Nawawi r.a seperti yang dipetik oleh Syaikh Khatib al-Syarbeeni  :

 شهيد في حكم الدنيا فقط، وهو من قُتل في قتال الكفار بسببه، وقد غل من الغنيمة، أو قتل مدبرا، أو قاتل رياء أو نحوه.
Terjemahan : [‘Syahid’ terbahagi kepada tiga bahagian, antaranya] ‘syahid’ menurut hukum hakam dunia semata-mata (atau ‘syahid dunia’), iaitu sesiapa yang terbunuh-disebabkan pertempuran- dalam peperangan dengan orang-orang kafir, [tapi dalam masa sama] telah menyalahguna harta rampasan perang (mengambil sebahagian daripadanya sebelum diagihkan), atau terbunuh dalam keadaan mundur [dari medan perang], atau berperang dengan tujuan menunjuk-nunjuk dan seumpamanya.

Satu lagi definisi ‘syahid dunia’ yang boleh dijadikan panduan ialah definisi yang dikemukakan oleh Mausu'ah al-Feqhiyyah al-Kuwaitiyyah (Ensiklopedia Feqh Kuwait), iaitu :

أما شهيد الدنيا : فهو من قتل في قتال مع الكفار وقد غلّ في الغنيمة، أو قاتل رياء، أو لغرض من أغراض الدنيا.

Terjemahan : Adapun ‘syahid dunia’, ia adalah [orang] yang dibunuh dalam peperangan dengan orang-orang kafir,  tetapi [dalam masa sama] telah menyalahgunakan harta rampasan perang (iaitu mengambil sebahagian daripadanya sebelum diagih), ataupun berperang dengan tujuan menunjuk-nunjuk, atau demi apa-apa tujuan keduniaan.

Terkhilaf

Tegasnya, penyifatan kematian para perwira tanah air di medan Lahad Datu sebagai mati ‘syahid dunia’, adalah satu kesilapan dari dua aspek.

Aspek pertama, ‘syahid dunia’ adalah kematian yang disebabkan peperangan menentang orang-orang kafir.

Tetapi, dalam kes Lahad Datu, peperangan berlaku antara sesama Islam, bukan dengan orang-orang kafir.

Kedua, ‘syahid dunia’ adalah kematian yang disebabkan peperangan melawan orang-orang kafir, yang didorong oleh niat bukan kerana Allah.

Oleh kerana tiada siapa yang tahu niat yang tersimpan dalam hati manusia, maka tiada ruang untuk mendakwa para pahlawan negara yang gugur di Lahad Datu, berperang dengan niat bukan kerana Allah, dan justeru itu, menyifatkan mereka sebagai ‘syahid dunia’.

Pencerahan

Sebagai satu pencerahan kepada isu ‘mati syahid’ ini, diperturunkan di sini pembahagian ‘mati syahid’ seperti yang digariskan oleh Mausu'ah al-Feqhiyyah al-Kuwaytiyyah :

الشهيد على ثلاثة أقسام : الأول : شهيد الدنيا والآخرة، والثاني : شهيد الدنيا ، والثالث : شهيد الآخرة .فشهيد الدنيا والآخرة هو الذي يقتل في قتال مع الكفار، مقبلا غير مدبر، لتكون كلمة الله هي العليا، وكلمة الذين كفروا هي السفلى، دون غرض من أغراض الدنيا ..أما شهيد الدنيا : فهو من قتل في قتال مع الكفار وقد غل في الغنيمة، أو قاتل رياء، أو لغرض من أغراض الدنيا.وأما شهيد الآخرة : فهو المقتول ظلما من غير قتال، وكالميت بداء البطن، أو بالطاعون، أو بالغرق، وكالميت في الغربة، وكطالب العلم إذا مات في طلبه، والنفساء التي تموت في طلقها، ونحو ذلك.

 Terjemahan : [Orang mati] syahid [terbahagi kepada] tiga bahagian. Pertama : Syahid dunia akhirat. Kedua : Syahid dunia; dan ketiga : syahid akhirat.

'Syahid dunia akhirat' ialah [orang] yang dibunuh dalam peperangan dengan orang-orang kafir, dalam keadaan mara, bukannya dalam keadaan mundur [dari medan perang], [berperang dengan niat] supaya kalimah Allah [menjadi kalimah] yang tertinggi, dan kalimah orang-orang yang kafir [menjadi kalimah] yang paling rendah, tanpa [diresapi] apa-apa tujuan keduniaan...

Adapun syahid dunia, ia adalah [orang] yang dibunuh dalam peperangan dengan orang-orang kafir,  tetapi [dalam masa sama] telah menyalahgunakan harta rampasan perang (mengambil sebahagian daripadanya sebelum diagih), ataupun berperang dengan tujuan menunjuk-nunjuk, atau demi apa-apa tujuan keduniaan.

Adapun syahid akhirat, ia adalah [orang] yang dibunuh secara zalim tanpa peperangan, atau orang yang mati disebabkan penyakit dalam perut, atau disebabkan taun, atau disebabkan tenggelam (lemas), atau orang yang mati diperantauan, atau penuntut ilmu yang mati semasa menuntut [ilmu], wanita-wanita yang mati beranak dan seumpamanya.

Wallahu a'lam

Tuesday, 12 March 2013

Pendidikan Islam di sekolah: Masalah kehilangan 'roh', bukan sistem!

"Kalau enta lihat, di sekolah-sekolah menengah agama, masalah akhlak para pelajar, settle berbanding sekolah-sekolah menengah biasa", ujar rakan saya.

"Jadi, kalau Kerajaan sendiri dah nampak keberkesanan sistem pendidikan di sekolah-sekolah agama dalam soal pembentukan akhlak para pelajar, sepatutnya Kerajaan menerapkan sistem tersebut di semua sekolah", ujarnya lagi.

Lontaran pandangan bersalut keluhan itu adalah rentetan daripada satu kes disiplin yang tidak berkesudahan, yang terpaksa ditangani sahabat saya itu di sekolahnya siang tadi. 

"Tapi, kalau kita lihat perbezaan antara sekolah biasa dan sekolah agama, kelebihan sekolah agama hanyalah kerana ia ada subjek Agama Islam Tinggi dan Bahasa Arab. Itu saja",  kata saya yang mula menyusun muqaddimah bagi membina pandangan yang berbeza.

"Pada ana, yang membezakan antara sekolah agama dan sekolah biasa, ialah roh yang mengalir dalam diri para pelajar dan juga guru-gurunya. Bukan pada sistem pendidikan yang dipraktikkan. 

Di kedua-dua jenis sekolah, sekolah agama dan sekolah biasa, sistem pendidikan yang digunakan, adalah sama", saya melambung faktor perbezaan antara sekolah agama dan sekolah biasa dari segi tahap keparahan masalah akhlak para pelajar.

Faktornya ialah 'roh' yang mengalir dalam diri para pelajar. Bukannya sistem pendidikan yang diamalkan!

Memori Smaasza

Perbualan ini segera memaut ingatan saya kepada memori lama sewaktu meniti hari-hari indah di teratak Smaasza sepanjang 1990 sehingga penghujung 1992. Ya, Smaasza. Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Kuala Terengganu!

Segenap inci di Smaasza menjadi saksi bahawa semua program qiamullail, usrah, mukhayyam, kuliah agama, penerbitan majalah dakwah dan seumpamanya, adalah digerakkan sendiri oleh para pelajar, dan dicetuskan sendiri oleh fikiran mereka.

Saya yakin, keadaan serupa disaksikan oleh sekolah-sekolah agama lain di seluruh pelusuk tanah air waktu itu.

Kesemua kegiatan islami ini bukanlah satu tuntutan yang dipaksakan ke atas para pelajar oleh sistem pendidikan di sekolah-sekolah agama. Bukan juga hasil 'tarbiyah' sistem pendidikan tersebut.

Ia lebih kepada hasil kesedaran para pelajar sekolah-sekolah agama sendiri.

"Oleh kerana mereka sedar mereka berada di sekolah agama, maka mereka menggerakkan pelbagai program agama, dan menjadikan agama menerasi perjalanan kehidupan mereka di sekolah", saya cuba menerangkan bagaimana 'roh' yang saya sebutkan tadi, boleh muncul dan menjalar dalam denyut nadi para pelajar di sekolah-sekolah agama.

Sahabat saya yang bertahun-tahun berkecimpung dalam arena perguruan itu mengangguk-angguk perlahan.  

Saya tidak bermaksud untuk meletakkan sistem pendidikan kita pada tahap sempurna dalam membentuk modal insan muslim sejati.

Apa yang cuba ditolak ke tengah dan diberi suluhan ialah terdapat ruang yang luas dalam sistem pendidikan kita untuk roh Islam menyelinap dan mengalir.

Ustaz-ustaz dan guru-guru tentu tahu apa yang perlu mereka sumbangkan!

Friday, 1 February 2013

Kafir benar bukan Islam guna kalimah Allah : Dari hati ke hati bersama Mufti

Sahibus Samahah Mufti Perak
Mingguan Malaysia, 27 Januari 2013 (muka 4) melaporkan, "Harussani menegaskan, umat Islam sama sekali tidak boleh membenarkan 'kalimah Allah' digunakan oleh bukan Islam, kerana ia sama seperti mereka bersetuju dengan perbuatan menyekutukan Allah, dan persetujuan itu juga menjadikan mereka kafir".

Dalam nada sama, Bernama melaporkan, "Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini mengingatkan umat Islam di negara ini, bahawa mereka akan menjadi kafir sekiranya membenarkan pihak lain menggunakan 'kalimah Allah'. Beliau menjelaskan, jika umat Islam membenarkan 'kalimah Allah' digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan mempersekutukan Allah".

Mahallul Ittifaq

Sebelum pergi lebih jauh, dibentangkan di sini 'titik persepakatan' (Mahallul Ittifaq) berhubung 'fatwa' terbaru Sahibul Samahah Mufti Perak itu.


Maksudnya :Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu di dalam Kitab (Al-Qur'an), iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari, dan diejek-ejek (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk dengan mereka, sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; (kalau kamu terus duduk bersama mereka) sesungguhnya tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Neraka Jahanam semuanya.

Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam al-Qurtubi rahimahullah menyatakan, "sesiapa yang tidak menjauhi mereka (orang-orang kafir yang membantah dan mempersenda ayat-ayat Allah), maka sesungguhnya [bermakna] dia telah redha dengan perbuatan mereka [membantah dan mempersenda ayat-ayat Allah]. Dan, redha dengan kekufuran, [menyebabkan] kekufuran".

Yang dimaksudkan dengan 'menjauhi orang-orang kafir yang membantah dan mengejek ayat-ayat Allah' di sini, ialah meninggalkan majlis dimana mereka melakukan perbuatan tersebut, bukannya menjauhi mereka sepanjang masa.

Ini perkara yang disepakati berhubung 'fatwa' Sahibul Samahah Mufti Perak, iaitu redha atau bersetuju dengan perbuatan menyekutukan Allah, akan menyebabkan seseorang itu kafir atau murtad.

Persoalan

Persoalannya sekarang, adakah tindakan sesetengah umat Islam membenarkan orang-orang Kristian menggunakan kalimah Allah dalam bentuk mempersekutukanNya (Allah tiga dalam satu. Maha Suci Allah!), bermakna mereka (umat Islam) bersetuju dengan tindakan orang-orang Kristian itu mempersekutukan Allah?

Jika dilihat kepada nas-nas al-Quran, amalan Nabi s.a.w dan pandangan para ulama muktabar, secara prinsipnya, orang-orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah, biarpun dengan makna yang tidak menepati kehendak sebenar kalimah suci itu.


Maksudnya, “dan orang-orang kafir yang mengambil selainNya menjadi pelindung dan penolong, mereka berkata, "kami tidak menyembah atau memujanya (sembahan selain Allah) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada ALLAH sedamping-dampingnya”.

Adalah jelas mereka menggunakan kalimah Allah, dan tidak dibantah oleh al-Quran. Sila rujuk sambungan ayat 3 surah ini untuk kepastian.

Sejajar dengan al-Quran, Nabi s.a.w juga tidak menegah orang-orang Arab Jahiliah, atau orang Kristian menggunakan kalimah Allah. 

Lebih daripada itu, surat Raja Mesir yang beragama Kristian, Muqauqis kepada Nabi s.a.w, dimulakan dengan bismillahirrahmanirrahim, dan tiada bantahan direkodkan daripada Baginda s.a.w (Rujuk Sirah Ibn Hisyam, jld. 2, hlm. 359 dan Zadul Ma’ad karangan Ibn Qayyim, jld. 3, hlm. 61).

Para ulama sejak zaman berzaman juga-secara prinsipnya- tidak pernah melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, iaitu Ahli Kitab. 

Buktinya, bagi menjadikan sembelihan Ahli Kitab halal dimakan oleh orang Islam, mereka mensyaratkan supaya Ahli Kitab menyebut nama Allah semasa menyembelih! (Rujuk tafsiran Imam Qurtubi terhadap ayat 5 surah al-Ma’idah dalam Tafsir al-Qurtubi).

Rumusannya, mana-mana pihak, sangat tidak wajar tergopoh gapah menanggapi tindakan sebahagian umat Islam membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah berdasarkan kepercayaan mereka, sebagai bermakna mereka (umat Islam) bersetuju dengan tindakan bukan Islam itu mempersekutukan Allah, dan rentetan daripada itu, mereka dihukumkan sebagai kafir!

Kegopohan menanggapi sedemikian memberi implikasi yang sangat 'dahsyat' kerana al-Quran, Nabi s.a.w dan para ulama sejak zaman berzaman, membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Logik akal menolak

Logik akal juga tidak dapat menerima tanggapan yang terkandung dalam fatwa terbaru Mufti Perak ini.

Jika benarlah tindakan membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah bermakna persetujuan ke atas tindakan mereka mempersekutukan Allah, maka tindakan pemimpin Islam membenarkan mereka membina gereja dan rumah-rumah ibadat, juga boleh dikategorikan sebagai tanda persetujuan pemimpin tersebut ke atas kekufuran dan akidah kufur mereka.

Ramai pemimpin Islam juga terjebak dalam kekufuran kerana di kalangan mereka ada yang memberi sumbangan daripada dana kerajaan kepada rumah-rumah ibadat tertentu. 

Ini kerana, dengan sumbangan itu, bermakna mereka redha dan bersetuju dengan kekufuran orang-orang kafir.

Dengan tanggapan sebegini, ramai umat Islam yang tergelincir dalam lumpur kekufuran disebabkan tindakan mereka mengucapkan 'Selamat Hari Krismas', 'Selamat Hari Deepavali' dan sebagainya kerana dengan ucapan ini, bermakna mereka setuju dengan akidah kufur yang melatari perayaan-perayaan ini.

Lebih dahsyat lagi, dengan tanggapan yang dinyatakan, mengiktiraf kewujudan bukan Islam dalam sesebuah negara Islam, juga boleh ditanggapi sebagai bersetuju atau redha dengan kekufuran yang menjadi anutan mereka.

Dengan ini, boleh dirumuskan bahawa tindakan sesetengah umat Islam membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, tidak boleh ditanggapi sebagai bermakna mereka bersetuju dengan akidah batil bukan Islam tentang Allah s.w.t.

Tindakan tersebut hanya boleh ditanggapi sedemikian jika terdapat tanda-tanda yang jelas menunjukkan mereka redha dengan kekufuran yang dilakukan.

Sebagaimana yang jelas difahami, tulisan ini hanya memperkatakan tentang penolakan terhadap fatwa yang mengkafirkan sesiapa yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Tulisan ini tidak menolak pandangan sesetengah pihak yang menghalang bukan Islam menggunakan kalimah Allah di atas alasan menjaga kemaslahatan umum dan akidah umat Islam.

Wallahu a'lam.

Thursday, 31 January 2013

Saringan ilmu dan falsafah hidup...


Diajukan kepada seorang failasuf (ahli falsafah), “apakah yang tuan inginkan?”.

Beliau menjawab, “saya inginkan kesihatan sepanjang hari”.

Lantas dikatakan kepadanya, “bukankah tuan dalam keadaan sihat setiap hari?”.

Beliau menjawab, “kesihatan ialah berlalunya suatu hari tanpa dosa”.

Berkata seorang lagi failasuf, "ada empat perkara yang cantik, tetapi ada empat perkara lagi yang lebih cantik; malunya seorang lelaki, adalah cantik. Tapi, sifat malu dari seorang wanita, adalah lebih cantik...

Sifat adil yang terbit daripada semua orang, adalah cantik, tapi sifat adil yang datang dari hakim dan pemerintah, adalah lebih cantik...

Bertaubatnya seorang tua, adalah cantik, tapi bertaubatnya seorang pemuda, adalah lebih cantik...

Dan, sifat pemurah dari orang-orang kaya adalah cantik, tapi pemurahnya orang-orang fakir, adalah lebih cantik".

Seorang failasuf lain pula berkata, "andai engkau meminta dari seorang yang berhati luhur, biarkan dia berfikir, kerana dia tidak berfikir melainkan yang baik-baik. 

Tapi, tatkala engkau meminta dari seorang yang buruk pekerti, maka desaklah dia agar tabiatnya yang buruk tidak menasihatkannya agar tidak memenuhi permintaan kamu".

Dikatakan kepada seorang lagi failasuf, "orang yang kayakah lebih utama, atau ulama?". 

Beliau menjawab, "ulamalah yang lebih utama". 

Lantas dikatakan kepadanya, "justeru, mengapa para ulama yang datang mengetuk pintu orang-orang yang kaya, sedangkan kita tidak pula melihat orang-orang kaya datang mengetuk pintu rumah para ulama?". 

Lantas beliau menjawab, "kerana para ulama mengetahui kelebihan harta, sedang orang-orang kaya tidak mengetahui kelebihan ilmu".

Ditanya seorang failasuf, "siapakah yang paling teruk keadaannya?". 

Jawabnya, "sesiapa yang kuat nafsu syahwatnya, jauh cita-citanya, pendek usianya dan sempit pandangan mata hatinya".

Ditanya seorang failasuf, "dengan cara apakah seseorang itu membalas dendam terhadap musuhnya?".

Beliau menjawab, "dengan memperbaiki dirinya sendiri".

Tuesday, 22 January 2013

Lawatan Najib ke Palestin : Mesej Ismail Haniyeh kepada rakyat Malaysia


Terjemahan ucapan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh sempena lawatan YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun razak ke Palestin :

"Pada hari ini, di atas nama kami, nama saudara2 kami di Gaza dan [di atas nama] rakyat Palestin di mana jua [mereka berada], kami [ingin] melahirkan [rasa] gembira kami yg memuncak di atas lawatan seorang perdana menteri salah sebuah negara Islam yang memiliki dimensi ketamadunan (Cultural dimension).

[Lawatan] ini bermakna satu 'pengisytiharan islami' tentang penghapusan sekatan yang dipaksakan ke atas Genting Gaza. 

Kami memuji situasi stabil, kehidupan bersama dan persaudaraan yang dikecapi Malaysia, dan keamanan serta kestabilan yang dinikmati rakyat-rakyatnya dan para pengunjungnya. 

Sesungguhnya, kami ingin melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada negara Malaysia, merangkumi raja, rakyat, kerajaan, parti-parti politik dan juga institusi-institusi masyarakat madani (sivil), yang telah memainkan peranan positif yang melangkaui sempadan Malaysia, yang telah menterjemahkan hakikat sebenar ukhuwwah islamiyyah. 

Negara Malaysia mewakili satu kisah kemakmuran dan pertumbuhan ketara dalam segenap bidang, dan kami mengimpikan untuk memanfaatkan kemampuan-kemampuan ini ke arah mengukuhkan daya tahan rakyat Palestin, dan mengembalikan hak-hak mereka.

Pengiktirafan dan sanjungan 

Kami mengetahui bahawa Malaysia mendokong hak rakyat Palestin untuk mengecapi kemerdekaan, dan kami mengimpikan peranan perintis, terkehadapan dan berkesan Malaysia dalam memperkukuhkan daya tahan rakyat Palestin, dan mendokong impian mereka untuk merdeka dan mengembalikan hak-hak mereka, terutamanya memelihara al-Quds agar terus kekal dgn 'kearaban' dan keislaman, merdeka dan menjadi ibu kota negara Palestin. 

Pencapaian Malaysia dalam bidang ekonomi dan pendidikan, satu pencapaian yang disanjung dan dikagumi oleh rakyat dan kerajaan Palestin. 

Kami mengharapkan peranan perintis Malaysia-melalui lawatan Perdana Menteri [Malaysia]-dalam menyumbang ke arah mewujudkan keperluan-keperluan bagi kebangkitan keilmuan yang kami impikan, yang secara asasnya bertujuan memperkukuhkan identiti Islam bagi Palestin. 

Sesungguhnya, kami menegaskan di hadapan Perdana Menteri Malaysia dan rombongan, bahawa kami berpegang teguh dengan pendekatan perdamaian dan mengembalikan perpaduan nasional. 

Kami mahu mententeramkan semua pencinta rakyat Palestin, bahawa kami serius dalam menyempurnakan tugasan ini, dan kami bersedia untuk mempermudahkan apa yang perlu, agar rakyat kami dan pencinta-pencinta mereka di seluruh dunia, dapat melihat hasil yang hakiki dan matang daripada perdamaian yang terbina di atas asas-asas yang betul. 

Aksi praktikal

Di atas nama saya, nama rakyat Palestin dan nama saudara-saudara kami di Genting Gaza, saya sekali lagi mengucapkan penghargaan kepada Yang Berhormat Perdana Menteri, Datuk Muhammad Najib. 

Dan kami mengucapkan penghargaan kepada Malaysia yang sekali lagi menegaskan-melalui lawatan ini-bahawa ia menolak sekatan politik, kebudayaan, keamanan dan ekonomi yang dipaksakan ke atas rakyat palestin. 

Malaysia pada hari ini, tidak hanya berpada dengan sekadar menolak (sekatan ke atas Gaza), tetapi mengembangkan pendiriannya ke arah penghapusan secara praktikal sekatan (ke atas Gaza) dengan lawatan Yang Berhormat Perdana Menteri. 

Saya mengucapkan penghargaan kepada Yang Berhormat Perdana Menteri dan para menteri pengiring. Gaza pada hari ini bergembira, dan walaupun dalam kesejukan musim sejuk, namun cuaca pada hari ini hangat dan mencerminkan kehangatan pertemuan Palestin-Malaysia. 

Selamat datang ke Gaza".

Sunday, 20 January 2013

Perang Idea : Kemurniaan ‘beracun’


Realitinya, kita sekarang sedang berada dalam suasana perang.

Yang dimaksudkan, bukanlah peperangan yang melibatkan penggunaan senjata. Tetapi, ‘peperangan idea’, ‘Peperangan Ideologi’. Dimana, idea-idea yang pelbagai dilontarkan dari semasa ke semasa, ke tengah-tengah masyarakat.

‘Perang Idea’ yang sedang berlangsung ini sangat bahaya, kerana ia berlaku dalam keadaan masyarakat yang diserang dengan pelbagai idea itu, tidak menyedari hakikat bahawa mereka sebenarnya sedang diserang bertubi-tubi sepanjang masa.

Keberlangsungan ‘Perang Idea’ ini dinyatakan dengan jelas, antaranya oleh Cheryl Bernard dan Angel Rabasa pada tahun 2007, dalam laporan mereka yang bertajuk ‘Building Moderate Muslim Networks’.

Cheryl Bernard mengatakan, bahawa perang sebenar yang sedang berlaku di dunia Islam hari ini, bukanlah perang senjata, tetapi perang idea.

Menyedari hakikat ini, beliau menyarankan pentadbiran Amerika Syarikat, supaya membentuk jaringan dengan golongan Muslim liberal dan moderat, untuk mempengaruhi umat Islam supaya menyokong agenda Barat.

‘Perang idea’ yangs sedang berlangsung ini perlu diberi perhatian dan dicermati kerana biasanya idea-idea yang diutarakan-yang merupakan peluru dalam perang ini-dikemukakan dalam bentuk yang tulus, murni dan indah.

Namun, disebalik ketulusan dan kemurnian idea-idea itu, ada agenda lain yang ingin dicapai, yang selari dengan kepentingan pihak-pihak tertentu.

Muhammad Khalafullah

Lihat saja idea Hak Asasi Manusia.

Ia adalah idea yang baik dan kita menyokong serta mempraktikkannya di negara ini.

Tetapi, idea ini-seperti yang dikehendaki oleh sesetengah pihak di Barat-menuntut supaya diberikan kebebasan mutlak kepada setiap individu, sehingga membolehkannya mencabul segala norma dan nilai agama, akhlak serta budaya.

Kesemuanya di atas nama Hak Asasi Manusia!

Mujurlah kita menyedari hakikat ini, menyebabkan kita tidak menerima secara total idea Hak Asasi Manusia yang dijuarai Barat ini.

Contoh lain bagi satu idea yang zahirnya nampak tulus dan murni, ialah idea yang pernah dilontarkan oleh Muhammad Khalafullah, seorang sasterawan Arab dan pakar  dalam Bahasa Arab.

Beliau telah melontarkan idea yang menyatakan (al-Quran Kitābun Adabiyyun al-Akbar) :

القُرْآنْ كِتَابٌ أَدَبِيٌ الأَكْبَرْ

Yang bermaksud,  “al-Quran adalah Kitab Sastera Yang Terulung”.

Idea ini sungguh memukau sesiapa sahaja yang beragama Islam, kerana ia menyanjung tinggi kitab suci mereka, iaitu al-Quran. Namun, ramai yang tidak sedar racun yang terkandung dalam idea ini.

Idea ini, tanpa disedari oleh orang-orang yang mengkaguminya, telah meletakkan al-Quran sebagai sebuah kitab Sastera. Jika demikian, maka al-Quran adalah sama seperti kitab sastera yang lain. Justeru, ia boleh dipertikai dan boleh dikritik seperti mana-mana karya sastera yang lain. 

Inilah titik akhir yang menjadi tempat idea Muhammad Khalafullah ini ‘mendarat’.

Inilah contoh tentang bahayanya ‘Perang Idea’ ini.

Friday, 4 January 2013

Ulasan artikel ‘Menilai Amanat Hadi Dengan Adil’


Antara tujuan ulasan ini dibuat, ialah memberi ‘suluhan tambahan’ ke atas ‘simpulan masalah’ yang ‘tersimpul’ dalam ‘Amanat Haji Hadi’, yang disinggung secara tidak langsung oleh Datuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (MAZA) dalam tulisan beliau bertajuk seperti di atas.

‘Suluhan tambahan’ ini perlu memandangkan ramai yang memperkatakan isu ‘Amanat Haji Hadi’ ini, dilihat kesamaran dalam mengenal pasti ‘titik masalah’ yang ‘melekat’ pada amanat tersebut.

Akibatnya, ramai yang menanggapi isu ‘Amanat Haji Hadi’ ini, sebagai isu seorang yang bernama Datuk Seri Abdul Hadi, mengkafirkan orang-orang UMNO, atau organisasi UMNO itu sendiri.

Tanggapan ini tidak benar kerana dalam amanat tersebut, Presiden PAS itu tidak mengucapkan kata-kata yang difahami secara jelas bahawa beliau telah mengkafirkan UMNO, atau pengikut-pengikutnya.

Tambahan pula, beliau berulang kali menafikan berbuat demikian, malahan pernah mencabar agar dikeluarkan senarai nama orang-orang yang telah beliau kafirkan.

Isu sebenar

Cara liputan yang diberikan media arus perdana yang dikuasai Kerajaan kepada isu amanat ini, memahamkan bahawa isu sebenar yang membelit ‘Amanat Haji Hadi’ ini, ialah kesan yang didakwa dicetuskan oleh amanat itu.

Isunya ialah 'kesan Amanat Haji Hadi', bukannya kandungan amanat itu sendiri.

Paparan media arus perdana tentang pengakuan beberapa bekas ahli PAS yang mengkafirkan ayah sendiri, solat dua imam, memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum keluarga berfahaman UMNO, menikahkan anak perempuan dua kali dengan akad yang kedua dilakukan oleh ahli PAS, memulau jiran tetangga berfahaman UMNO dan bid’ah-bid’ah lain-yang didakwa didorong oleh pegangan mereka terhadap 'Amanat Haji Hadi'-jelas menzahirkan ‘masalah’ sebenar amanat itu, iaitu kesan buruk yang didakwa dicetuskan oleh amanat ulama terkemuka PAS itu.

Lebih memburukkan keadaan, kebanyakan tokoh PAS dilihat tidak menangani gejala buruk ini, atau seakan membiarkan orang awam PAS melakukannya, seperti yang dinyatakan oleh MAZA dalam artikelnya itu.

Kesimpulannya, isu sebenar ‘Amanat Haji Hadi’ ini ialah isu ‘sikap berdiam diri pemimpin-pemimpin PAS terhadap perlakuan takfir dan bid’ah perpecahan berasaskan fahaman politik’, yang dilakukan oleh pengikut-pengikut PAS, yang didakwa berpunca daripada kefahaman mereka tentang amanat tersebut.

Jika diandaikan amanat itu tidak mencetuskan kesan-kesan buruk yang dinyatakan, amanat itu tidak akan menjadi satu isu atau masalah besar seperti sekarang. Buktinya, lihat saja beberapa kenyataan sesetengah pemimpin PAS. 

Meskipun ia lebih 'dahsyat' daripada 'Amanat Haji Hadi', seperti kenyataan UMNO menolak Islam, UMNO seperti ajaran Ayah Pin atau komunis, UMNO adalah Hizbus Syaitan (Parti Syaitan) dan seumpamanya, namun ia tidak menjadi isu atau ‘masalah besar’ kepada masyarakat umum. Ini kerana, ia tidak meninggalkan kesan seperti kesan yang didakwa ditinggalkan oleh ‘Amanat Haji Hadi’.

Jika isu sebenar ‘Amanat Haji Hadi’ ialah ‘sikap berdiam diri pemimpin-pemimpin PAS terhadap kesan buruk yang didakwa tercetus daripada amanat’ itu, maka, untuk menilai dengan adil amanat itu, yang perlu dibangkitkan ialah konteks sikap mereka, bukannya konteks teks amanat itu.

Soalnya sekarang, apakah yang menyebabkan mereka berdiam diri dan berpeluk tubuh melihat gejala takfir dan bid’ah perpecahan berasaskan parti politik, dilakukan oleh pengikut-pengikut mereka?

Persoalan ini lebih releven dikemukakan berbanding huraian tentang konteks amanat itu diucapkan.

Artikel terkhilaf

Walau pun artikel ‘Menilai Amanat Hadi Dengan Adil’ telah membuat singgungan ke atas isu sebenar ‘Amanat Haji Hadi’, namun ia dilihat terkhilaf dalam mengungkapkan fenomena yang didakwa sebagai kesan daripada amanat itu.

Mengungkapkan tindakan sesetengah pengikut PAS mengkafirkan UMNO, atau orang-orang UMNO dengan ungkapan ‘kafir mengkafir’, tidak tepat dalam menggambarkan realiti sebenar. 

Hal ini kerana, perbuatan mengkafir, atau takfir disebabkan perbezaan fahaman politik, sebenarnya dilakukan oleh satu pihak sahaja, bukannya kedua-dua belah pihak, iaitu PAS dan UMNO saling kafir mengkafir antara satu sama lain.

Setakat yang dapat dijangkau, tidak kedengaran pihak UMNO mengkafirkan PAS disebabkan faktor perbezaan fahaman politik. 

Turut terkhilaf ialah pengarang buku ‘Menuju PAS Baru’ apabila merujuk fenomena yang didakwa dicetuskan oleh ‘Amanat Haji Hadi’ ini dengan istilah ‘kafir mengkafir’.

Apa yang berlaku ialah ‘takfir’ atau ‘mengkafir’, bukannya ‘kafir mengkafir’.

Satu perkara lagi yang dilihat sebagai satu kekhilafan ialah penyifatan keengganan pihak Kerajaan memenuhi permintaan Datuk Seri Abdul Hadi muncul di RTM bagi menjelaskan isu 'Amanat Haji Hadi', sebagai tidak memberi peluang kepada beliau memberi penjelasan atau membela diri.

Penyifatan yang memberi gambaran bahawa beliau dikongkong dan ditegah bersuara sama sekali ini, adalah tidak tepat dalam menggambarkan situasi sebenar.

Sebetulnya, pernyataan yang tepat ialah 'Kerajaan tidak memberi peluang kepada beliau memberi penjelasan melalui media awam'. Adapun penjelasan melalui apa jua media, medium atau platform selain media awam, beliau bebas melakukannya tanpa sebarang sekatan.

Itu saja.

Wallahu a'lam.