Syarikat berkenaan dikritik lantaran didakwa mengambil pendekatan 'menggugurkan perkataan selawat ke atas Nabi' dalam semua penerbitannya.
Sebagai ganti, diletakkan di awal setiap naskah terbitannya, pesanan menggalakkan para pembaca berselawat setiap kali terbaca nama Baginda dalam naskah tersebut.
Tindakan menggugurkan ucapan selawat-samada dalam penulisan atau pun pengucapan-dianggap sebagai satu 'kesalahan'.
Malah, lebih daripada itu, perbuatan 'sengaja menggugurkan selawat dalam penulisan', ditelah sebagai 'mungkin boleh menjadi bid'ah dan mungkar yang besar!'.
Dua isu
Di sini berbangkit dua isu.
Pertama, 'meninggalkan selawat dalam pengucapan'; dan
Kedua, 'meninggalkan selawat dalam penulisan'.
Status isu pertama-dari segi hukum-boleh ditentukan dengan merujuk kepada fatwa para ulama berkenaan hukum 'berselawat ke atas Nabi'.
Imam Ibn Katheer dalam karyanya, Tafseer al-Quran al-'Azeem (yang terkenal dengan nama Tafseer Ibn Katheer) menukilkan tiga pandangan para ulama berhubung perkara ini.
Pertama : Wajib berselawat sekali dalam seumur hidup. Ini berdasarkan perintah Allah dalam ayat 56 surah al-Ahzab yang berbunyi :
إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ
يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ
وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾
Maksudnya : Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi; wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya dan mohonlah kesejahteraan dengan penuh penghormatan.
Selain daripada 'sekali selawat seumur hidup ini', adalah sunat sahaja. Pendapat ini dijuarai oleh Qadhi 'Iyadh. Sependapat dengan beliau ialah al-Tabarani.
Mafhum pendapat ini, berselawat setiap kali nama Nabi disebut, bukan satu kewajipan (iaitu bagi sesiapa yang telah menunaikan kewajipan 'berselawat sekali seumur hidup').
Kedua : Wajib berselawat sekali dalam satu-satu majlis. Pendapat ini dipetik oleh Imam al-Tirmizi dari sesetengah ulama.
Pendapat ini sama dengan pendapat pertama di atas. Iaitu, sama dari segi 'tidak wajib berselawat setiap kali nama Baginda disebut'.
Yang wajib hanyalah berselawat sekali dalam satu-satu majlis, tanpa mengira samada nama Baginda disebut atau tidak dalam majlis tersebut.
Ketiga : Wajib berselawat setiap kali nama Baginda disebut. Ini adalah pendapat sebahagian ulama, termasuk Imam at-Tahawi dan al-Hulaymi.
Kesimpulannya, hukum berselawat setiap kali nama Baginda disebut, adalah masalah khilafiyyah. Ramai ulama tidak mewajibkannya. Hanya sebahagian ulama sahaja yang mengatakannya wajib.
Justeru, adalah lebih tepat, isu 'meninggalkan selawat dalam pengucapan' ini, ditampilkan sebagai masalah khilafiyyah, bukannya dengan nada muktamad dikelompokkan dalam kategori 'kesalahan'.
Ini berkenaan hukum 'meninggalkan selawat dalam pengucapan'.
Gaya Imam Ahmad
Isu kedua ialah 'meninggalkan selawat dalam penulisan'. Iaitu, menulis nama Baginda tanpa diiringi dengan perkataan 'sallallahu 'alaihi wasallam'.
Adakah ada kemungkinan, tindakan 'sengaja menggugurkan selawat dalam penulisan' seperti ini, boleh menjadi bid'ah atau mungkar yang besar?
Persoalan ini boleh dirungkai dengan dua fakta berikut :
Pertama, ketika memperkatakan hukum 'berselawat dalam pengucapan', Imam Ibn Katheer menukilkan tiga pendapat ulama seperti yang dinyatakan.
Namun, semasa memperkatakan hukum 'berselawat dalam penulisan', beliau hanya menukilkan satu pandangan sahaja apabila mencatatkan dalam tafsirnya :
وقدِ استحب أهلُ الكتابة أن يكررَ الكاتبُ الصلاةَ على النبي
صلى الله عليه وسلم كلما كَتَبَه
Terjemahan : [Ulama yang] Ahli [dalam bidang] penulisan mengatakan sunat [bagi] mana-mana penulis mengulang [penulisan] selawat ke atas Nabi setiap kali menulisnya (nama Baginda).
Tindakan Imam Ibn Katheer ini membayangkan, kemungkinan tiada ulama yang mewajibkan 'berselawat dalam penulisan' (atau dalam bentuk tulisan) setiap kali ditulis nama Nabi.
Kemungkinan ini dikuatkan oleh kenyataan Imam Ibn Katheer sendiri dalam tafsirnya bahawa tiada hadis sahih, yang menunjukkan 'sunat berselawat dalam bentuk tulisan' setiap kali nama Baginda ditulis.
Andainya tiada hadis sahih yang menunjukkan 'sunat berselawat dalam bentuk tulisan', maka lebih utama tiada hadis sahih yang menunjukkan ianya wajib.
Ringkasnya, 'berselawat dalam penulisan' bukanlah sesuatu yang wajib. Hukumnya sunat menurut pandangan sesetengah ulama.
Kedua, catatan al-Khateeb al-Baghdadi dalam al-Jami' Li Adab al-Rawi Wa al-Sami' (الجامع لآداب الراوي والسامع) memahamkan bahawa Imam Ahmad berkemungkinan berpandangan bahawa 'berselawat dalam penulisan', bukan sesuatu yang sunat.
Beliau mencatatkan :
رأيتُ بخط الإمام أحمدَ بنِ حنبل رحمه الله : كثيرا
ما يكتب اسمَ النبي صلى الله عليه وسلم من غير ذكر الصلاة عليه كتابةً، قال : وبلغني
أنه كان يصلي عليه لفظا
Terjemahan : Aku melihat-dengan tulisan [tangan] Imam Ahmad rhm sendiri-[beliau] banyak menulis nama Nabi tanpa menyebut (yakni menulis lafaz) selawat ke atasnya (Nabi) dalam bentuk tulisan. Beliau (al-Khateeb al-Baghdadi) berkata : Sampai [berita] kepadaku bahawa beliau (Imam Ahmad) berselawat ke atasnya (Nabi) dalam bentuk perkataan.
Maksudnya, dalam banyak penulisannya, Imam Ahmad tidak menulis 'sallallahu 'alaihi wasallam' setiap kali menulis nama Nabi. Beliau sebaliknya hanya berselawat dengan lidah setiap kali menulis nama Baginda dalam penulisannya.
Kesimpulan
Kesimpulannya, tindakan 'sengaja menggugurkan selawat dalam penulisan', bukanlah satu kesalahan, dan tidak mungkin boleh menjadi bid'ah, atau mungkar yang besar.
Ini kerana, tindakan meninggalkan perkara sunat, tidak boleh disifatkan sedemikian.
Sebab kedua ia tidak boleh disifatkan sedemikian, ialah amalan Imam Ahmad dalam penulisan beliau seperti yang dinyatakan.
Dalam masa sama, amalan Imam Ahmad ini juga mengesahkan bahawa-insyaAllah-tiada cacat celanya pendekatan 'menggugurkan selawat dalam penulisan'-dan sebagai ganti dicatatkan pesanan menggalakkan pembaca berselawat setiap kali menemui nama Nabi dalam penulisan tersebut-seperti yang dilakukan oleh syarikat penerbitan terkenal tanah air yang dibicarakan di sini.
Dan, justeru mengikut amalan Imam Ahmad ini, dan dengan niat mempopularkan pandangan ulama, tulisan ini juga tidak menulis 'sallallahu 'alaihi wasallam' setiap kali ditulis nama Baginda, sambil lidah tidak lupa untuk berselawat setiap kali ditulis nama Baginda sallallahu 'alaihi wasallam.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment