YB Datuk Dr Harun Taib |
Sehari dua ini, saya agak ‘ketinggalan
maklumat’ disebabkan beberapa faktor.
Malam ini (malam 19 Mac
2013), saya terbaca dalam Malaysiakini 'keluhan' YAB Perdana Menteri berhubung
satu kenyataan Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.
Ulama terkenal PAS itu dilaporkan telah ‘menfatwakan’ bahawa anggota
keselamatan yang terkorban dalam insiden Lahad Datu, adalah mati 'syahid
dunia'.
‘Fatwa’ ini dikeluarkan
pada 16 Mac 2013.
‘Fatwa’
beliau itu bercanggah dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan. Menurut majlis
tersebut, perajurit yang terkorban di Lahad Datu, adalah mati 'syahid akhirat'.
Fatwa
rasmi dikeluarkan pada 6 Mac 2013.
Isu
utama berhubung ‘fatwa’ ketua Dewan Ulama PAS itu, ialah tindakan beliau
mengkategorikan kematian para wira negara itu, sebagai ‘syahid dunia’.
Ulama vs Dewan Ulama
Mati
‘syahid dunia’-seperti yang ditakrifkan oleh para ulama silam- ialah kematian
yang disebabkan peperangan menentang orang kafir, tetapi terdapat
halangan-halangan tertentu yang menghalang mereka yang terkorban, mendapat
status syahid di sisi Allah.
Halangan-halangan
tersebut seperti berperang dengan tujuan menunjuk-nunjuk, mengharumkan nama,
menyalahgunakan harta rampasan perang, dan seumpamanya.
Sila
rujuk Hasyiah Raddul Mukhtar jil.2, ms.252 (Mazhab Hanafi), Mawahibul
Jalil, jil.2, ms.249 (Mazhab Maliki), Al-Majmuk Imam Nawawi, jil.5,
ms.225 (Mazhab Syafie) dan al-Furu’ karangan Ibnu Mufleh, jil.2, ms.214
(Mazhab Hambali).
Dalam
ungkapan lain, ‘syahid dunia’ ialah kematian yang mempunyai dua elamen berikut :
Pertama
: Kematian disebabkan peperangan dengan orang kafir; dan
Kedua
: Tujuan si mati berperang ialah bukan kerana Allah, atau berperang kerana
Allah tetapi-dalam masa sama- telah menyalahgunakan harta rampasan perang.
Kematian
sebegini disifatkan sebagai ‘syahid dunia’ kerana dari segi penyelenggaraan
jenazah, mayat si mati diperlakukan seperti orang yang mati ‘syahid dunia
akhirat’ (akan diterangkan makna ‘syahid dunia akhirat’). Iaitu ia tidak
dimandikan, tidak dikafan dan tidak disembahyangkan.
Dalam
erti kata lain, di atas dunia, si mati dilayan seperti orang mati ‘syahid dunia
akhirat’. Hal ini kerana semasa hidupnya, si mati zahirnya berperang pada jalan
Allah, dan tidak diketahui niat dan tujuannya oleh manusia.
Walau
bagaimana pun, si mati ini tidak dilayan sebagai orang yang mati syahid di sisi
Allah disebabkan niatnya yang tidak ikhlas dalam berjuang semasa di dunia
dahulu.
Sebagai
satu pengukuhan, diperturunkan di sini definisi ‘syahid dunia’ yang dikemukakan
Imam Nawawi r.a seperti yang dipetik oleh Syaikh Khatib al-Syarbeeni :
شهيد في حكم الدنيا فقط، وهو من قُتل في قتال
الكفار بسببه، وقد غل من الغنيمة، أو قتل مدبرا، أو قاتل رياء أو نحوه.
Terjemahan
: [‘Syahid’ terbahagi kepada tiga bahagian, antaranya] ‘syahid’ menurut hukum
hakam dunia semata-mata (atau ‘syahid dunia’), iaitu sesiapa yang terbunuh-disebabkan
pertempuran- dalam peperangan dengan orang-orang kafir, [tapi dalam masa sama]
telah menyalahguna harta rampasan perang (mengambil sebahagian daripadanya
sebelum diagihkan), atau terbunuh dalam keadaan mundur
[dari medan perang], atau berperang dengan tujuan menunjuk-nunjuk dan seumpamanya.
Satu
lagi definisi ‘syahid dunia’ yang boleh dijadikan panduan ialah definisi yang
dikemukakan oleh Mausu'ah al-Feqhiyyah al-Kuwaitiyyah (Ensiklopedia Feqh
Kuwait), iaitu :
أما شهيد الدنيا : فهو من قتل في قتال مع الكفار وقد غلّ في الغنيمة، أو قاتل رياء، أو لغرض من أغراض الدنيا.
Terjemahan
: Adapun ‘syahid dunia’, ia adalah [orang] yang dibunuh dalam peperangan dengan
orang-orang kafir, tetapi [dalam masa sama] telah menyalahgunakan harta
rampasan perang (iaitu mengambil sebahagian daripadanya sebelum diagih),
ataupun berperang dengan tujuan menunjuk-nunjuk, atau demi apa-apa tujuan
keduniaan.
Terkhilaf
Tegasnya,
penyifatan kematian para perwira tanah air di medan Lahad Datu sebagai mati ‘syahid
dunia’, adalah satu kesilapan dari dua aspek.
Aspek
pertama, ‘syahid dunia’ adalah kematian yang disebabkan peperangan menentang
orang-orang kafir.
Tetapi,
dalam kes Lahad Datu, peperangan berlaku antara sesama Islam, bukan dengan
orang-orang kafir.
Kedua,
‘syahid dunia’ adalah kematian yang disebabkan peperangan melawan orang-orang
kafir, yang didorong oleh niat bukan kerana Allah.
Oleh
kerana tiada siapa yang tahu niat yang tersimpan dalam hati manusia, maka tiada
ruang untuk mendakwa para pahlawan negara yang gugur di Lahad Datu, berperang
dengan niat bukan kerana Allah, dan justeru itu, menyifatkan mereka sebagai ‘syahid
dunia’.
Pencerahan
Sebagai
satu pencerahan kepada isu ‘mati syahid’ ini, diperturunkan di sini pembahagian
‘mati syahid’ seperti yang digariskan oleh Mausu'ah
al-Feqhiyyah al-Kuwaytiyyah :
الشهيد على ثلاثة أقسام : الأول
: شهيد الدنيا والآخرة، والثاني : شهيد الدنيا ، والثالث : شهيد الآخرة .فشهيد الدنيا والآخرة هو الذي يقتل في
قتال مع الكفار، مقبلا غير مدبر، لتكون كلمة الله هي العليا، وكلمة الذين كفروا هي
السفلى، دون غرض من أغراض الدنيا .. أما
شهيد الدنيا : فهو من قتل في قتال مع الكفار وقد غل في الغنيمة، أو قاتل رياء، أو
لغرض من أغراض الدنيا. وأما شهيد الآخرة : فهو المقتول ظلما من غير
قتال، وكالميت بداء البطن، أو بالطاعون، أو بالغرق، وكالميت في الغربة، وكطالب
العلم إذا مات في طلبه، والنفساء التي تموت في طلقها، ونحو ذلك.
'Syahid
dunia akhirat' ialah [orang] yang dibunuh dalam peperangan dengan orang-orang
kafir, dalam keadaan mara, bukannya dalam keadaan mundur [dari medan perang],
[berperang dengan niat] supaya kalimah Allah [menjadi kalimah] yang tertinggi, dan kalimah
orang-orang yang kafir [menjadi kalimah] yang paling rendah, tanpa [diresapi]
apa-apa tujuan keduniaan...
Adapun
syahid dunia, ia adalah [orang] yang dibunuh dalam peperangan dengan orang-orang
kafir, tetapi [dalam masa sama] telah menyalahgunakan harta rampasan perang (mengambil sebahagian daripadanya sebelum diagih), ataupun
berperang dengan tujuan menunjuk-nunjuk, atau demi apa-apa tujuan keduniaan.
Adapun
syahid akhirat, ia adalah [orang] yang dibunuh secara zalim tanpa peperangan, atau
orang yang mati disebabkan penyakit dalam perut, atau disebabkan taun, atau
disebabkan tenggelam (lemas), atau orang yang mati diperantauan, atau penuntut
ilmu yang mati semasa menuntut [ilmu], wanita-wanita yang mati beranak dan seumpamanya.
Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment