"Kalau enta lihat, di sekolah-sekolah menengah agama, masalah akhlak para pelajar, settle berbanding sekolah-sekolah menengah biasa", ujar rakan saya.
"Jadi, kalau Kerajaan sendiri dah nampak keberkesanan sistem pendidikan di sekolah-sekolah agama dalam soal pembentukan akhlak para pelajar, sepatutnya Kerajaan menerapkan sistem tersebut di semua sekolah", ujarnya lagi.
Lontaran pandangan bersalut keluhan itu adalah rentetan daripada satu kes disiplin yang tidak berkesudahan, yang terpaksa ditangani sahabat saya itu di sekolahnya siang tadi.
"Tapi, kalau kita lihat perbezaan antara sekolah biasa dan sekolah agama, kelebihan sekolah agama hanyalah kerana ia ada subjek Agama Islam Tinggi dan Bahasa Arab. Itu saja", kata saya yang mula menyusun muqaddimah bagi membina pandangan yang berbeza.
"Pada ana, yang membezakan antara sekolah agama dan sekolah biasa, ialah roh yang mengalir dalam diri para pelajar dan juga guru-gurunya. Bukan pada sistem pendidikan yang dipraktikkan.
Di kedua-dua jenis sekolah, sekolah agama dan sekolah biasa, sistem pendidikan yang digunakan, adalah sama", saya melambung faktor perbezaan antara sekolah agama dan sekolah biasa dari segi tahap keparahan masalah akhlak para pelajar.
Faktornya ialah 'roh' yang mengalir dalam diri para pelajar. Bukannya sistem pendidikan yang diamalkan!
Memori Smaasza
Perbualan ini segera memaut ingatan saya kepada memori lama sewaktu meniti hari-hari indah di teratak Smaasza sepanjang 1990 sehingga penghujung 1992. Ya, Smaasza. Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Kuala Terengganu!
Segenap inci di Smaasza menjadi saksi bahawa semua program qiamullail, usrah, mukhayyam, kuliah agama, penerbitan majalah dakwah dan seumpamanya, adalah digerakkan sendiri oleh para pelajar, dan dicetuskan sendiri oleh fikiran mereka.
Saya yakin, keadaan serupa disaksikan oleh sekolah-sekolah agama lain di seluruh pelusuk tanah air waktu itu.
Kesemua kegiatan islami ini bukanlah satu tuntutan yang dipaksakan ke atas para pelajar oleh sistem pendidikan di sekolah-sekolah agama. Bukan juga hasil 'tarbiyah' sistem pendidikan tersebut.
Ia lebih kepada hasil kesedaran para pelajar sekolah-sekolah agama sendiri.
"Oleh kerana mereka sedar mereka berada di sekolah agama, maka mereka menggerakkan pelbagai program agama, dan menjadikan agama menerasi perjalanan kehidupan mereka di sekolah", saya cuba menerangkan bagaimana 'roh' yang saya sebutkan tadi, boleh muncul dan menjalar dalam denyut nadi para pelajar di sekolah-sekolah agama.
Sahabat saya yang bertahun-tahun berkecimpung dalam arena perguruan itu mengangguk-angguk perlahan.
Saya tidak bermaksud untuk meletakkan sistem pendidikan kita pada tahap sempurna dalam membentuk modal insan muslim sejati.
Apa yang cuba ditolak ke tengah dan diberi suluhan ialah terdapat ruang yang luas dalam sistem pendidikan kita untuk roh Islam menyelinap dan mengalir.
Ustaz-ustaz dan guru-guru tentu tahu apa yang perlu mereka sumbangkan!
assalam, bagaimana pula dengan pelajar yang hanya disekolah sahaja mempunyai roh yang mengalir dalam diri pelajar tetapi tidak apabila tamat dari mana-mana sekolah agama?
ReplyDelete