Tuesday, 4 February 2014

Peluang dakwah di celah krisis kenaikan kos

Agamawan bermentaliti du'ah (pendakwah), memandang sesuatu krisis yang meletus dalam masyarakat sebagai satu 'peluang' dan 'kesempatan lumayan'.

Krisis yang berlaku itu tidak dilihat sebagai semata-mata 'masalah'.

Krisis 'kenaikan kos sara hidup' di tanah air yang didakwa kini kian membengkak, datang bersama 'peluang' dan 'kesempatan dakwah' yang tidak wajar dipersia.

Inilah kesempatan terbaik buat para agamawan memperjelas keburukan sistem kapitalis, yang menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kos sara hidup. 

Dalam masa sama, mendedahkan kepada masyarakat kemampuan sistem ekonomi Islam menjadi alternatif terbaik.

Penangan riba

Antara faktor kenaikan kos sara hidup ialah pengamalan riba yang merupakan 'anak kandung' kepada sistem ekonomi kapitalis.

Analoginya begini :

1. Institusi kewangan berasaskan riba memberikan pinjaman kepada pemaju, atau syarikat yang melaksanakan projek-projek ekonomi atau pembangunan.

2. Riba yang dikenakan ke atas pinjaman tadi, akan dibebankan ke atas pengguna, iaitu dengan cara pihak pemaju menaikkan harga bagi membolehkan mereka melunaskan hutang dengan pihak bank beserta riba (disebut 'bunga' atau 'faedah').

Beginilah secara ringkasnya peranan riba dalam menaikkan kos sara hidup.

Pengamalan riba juga memudahkan amalan monopoli projek-projek mega oleh satu atau segelintir pihak. Manakala 'pemonopolian dalam perniagaan' antara sebab utama berlaku kenaikan harga barangan (disebabkan tiada persaingan).

Analoginya begini :

1. Pinjaman dalam jumlah yang besar (bagi melaksanakan projek-projek mega), bermakna riba yang dikenakan juga besar. 

2. Sistem berasaskan riba ini menyebabkan hanya segelintir kapitalis yang mampu membuat pinjaman dalam jumlah yang besar.

3. Ini bermakna, tiada siapa yang mampu melaksanakan projek-projek mega, melainkan beberapa kerat kapitalis tersebut.

4. Natijahnya, kuasa penentuan harga menjadi milik satu atau segelintir pihak, seterusnya mengakibatkan kenaikan harga barangan.

Sesungguhnya, banyak aspek dakwah yang boleh dilambung seputar krisis kenaikan kos sara 
hidup ini.

Hanya menanti sentuhan agamawan bermentaliti du'ah!   

No comments:

Post a Comment