Presiden CAP |
Wawancara Mingguan Malaysia (19 Januari 2014) bersama Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M Mohamed Idris (SMMI) menarik untuk disoroti kerana faktor kapasiti beliau selaku pihak berkecuali.
Wawancara tersebut saya ringkaskan (tanpa mengubah makna) dan membahagikannya kepada aspek-aspek berikut :
A. Pandangan umum CAP terhadap krisis kenaikan harga barang
SMMI : Masalah
'kenaikan harga' adalah fenomena global, dan tidak hanya berlaku di Malaysia.
Oleh sebab kita turut bergantung kepada barangan import, maka kesan inflasi itu
turut dirasai rakyat negara ini.
B. Peranan Kerajaan dalam menangani kenaikan harga
SMMI : (Peranan Kerajaan seperti berikut)
1. Mengambil
langkah drastik mengekang faktor yang boleh meningkatkan harga barang.
Antaranya, dengan tidak lagi mengeksport hasil pertanian dan laut.
Dengan
cara ini, kita dapat memastikan harga makanan sentiasa rendah kerana sentiasa
mencukupi bagi menampung permintaan tempatan.
2. Meningkatkan
industri pertanian supaya lebih banyak bahan makanan dapat dihasilkan,
seterusnya mengurangkan harganya di pasaran.
Barangkali,
sudah tiba masanya kerajaan menggalakkan pertanian bandar (urban agriculture).
Di kebanyakan negara maju seperti London dan New York, pertanian bandar bukan
perkara luar biasa.
Rakyat
negara ini sepatutnya sudah mula ke arah itu.
Meskipun
tinggal di apartmen atau kondominium, mereka masih boleh bercucuk tanam, sekali
gus menjimatkan perbelanjaan mereka.
3. Penguatkuasaan akta-akta berkaitan pengguna.
Kerajaan perlu sentiasa turun padang
memastikan akta itu benar-benar dikuatkuasakan. Jadi, tidak ada pihak yang boleh
mengambil kesempatan.
Akta Antipencatutan misalnya, akta itu memang wujud, tetapi seolah-olah
tidak dikuatkuasakan. Kalau tidak ada penguatkuasaan, untuk apa akta itu
diwujudkan?
C. Cara pengguna mengelak kesan kenaikan harga
SMMI : (Pengguna perlu melakukan perkara berikut)
1. Ubah
cara pemakanan
Kita
sebagai pengguna, boleh mengelak daripada merasai tekanan kenaikan harga
barang. Sebagai contoh, dengan merubah cara pemakanan.
Rakyat
Malaysia gemar memakan makanan yang sebenarnya tidak diperlukan tubuh. Antaranya, terlalu kerap minum kopi dan teh, serta mengambil ayam dan daging
dalam kuantiti terlalu banyak.
Sepatutnya,
mereka melebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang pastinya lebih
murah.
2. Mengawal
perbelanjaan
Rakyat
Malaysia suka berbelanja untuk perkara-perkara tidak diperlukan. Kita
juga sering membazir dalam mengadakan majlis-majlis seperti perkahwinan,
sambutan perayaan, atau meraikan ulang tahun.
Rakyat
kita, apabila makan di restoran, akan pesan lebih daripada dua atau tiga jenis
makanan.
Adakah
tidak boleh makan hanya satu jenis makanan?
Apabila
mereka pesan minuman, mesti mahu minuman manis dan berperisa.
Apakah
tidak boleh pesan air kosong atau air suam?
Jadi,
kenapa masyarakat tidak ubah cara hidup mereka terlebih dahulu? Bukan hanya
pandai mengkritik dan menyalahkan kerajaan setiap kali berlakunya kenaikan
harga barang.
Kebanyakan
rakyat Malaysia, apabila berbelanja, bukan membeli barang keperluan, tetapi
membeli barang keterlaluan.
Pasar
raya turut mempengaruhi pengguna untuk berbelanja besar. Pasar raya selalunya
menyediakan troli besar.
Jadi, secara
psikologinya pengguna akan berbelanja lebih untuk mengisi troli.
D. Sikap
CAP terhadap pemberian subsidi
SMMI :
1.
Dalam setiap sesi dialog CAP dengan kerajaan berkenaan subsidi, kita
selalu tegaskan supaya kerajaan memansuhkan semua subsidi yang diberikan selama
ini.
2.
Kerajaan telah memberi pendidikan salah kepada rakyat berhubung pemberian subsidi.
Oleh
sebab sistem ini, masyarakat dilihat terlalu bergantung kepada subsidi, sehingga menyebabkan mereka berharap mendapat lebih banyak lagi daripada
kerajaan.
Sebab
itu, apabila kerajaan berhasrat menarik balik subsidi walaupun sedikit, rakyat
akan melenting dan marah sebab mereka sudah terlalu selesa dengan subsidi.
3.
Subsidi tidak disalurkan dengan cara betul. Tidak banyak pun subsidi yang diberikan
kerajaan benar-benar diterima golongan sasaran.
Jadi,
mereka sebenarnya tidak perlu marah-marah apabila kerajaan mahu menarik balik
subsidi kerana selama ini pun, mereka tidak mendapat manfaat daripada subsidi
itu secara menyeluruh.
4.
Kerajaan harus memikirkan kaedah bagaimana bantuan untuk mengurangkan beban
rakyat itu boleh disalurkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk, bukan hanya
menerusi subsidi.
Misalnya
menggunakan subsidi itu untuk meningkatkan sektor pendidikan, kesihatan,
pengangkutan awam dan sebagainya.
Sumber : Mingguan Malaysia, 19 Januari 2014
saya setuju dengan cadangan ini. negara kita terlalu memanjakan rakyat sehinnga tidak dapat berusaha untuk melakukan perubahan yang positif dan mengikut ajaran Islam yang sebenarnya.
ReplyDelete