Sebagaimana ia pernah 'menjangkiti' zaman Nabi sallallahu 'alaihi wa ali wasallam-seperti yang terakam dalam hadis tas'eer (penetapan harga barang)-zaman salafussoleh juga turut 'dihinggapi' gejala ini.
Lalu, tidak menghairankan ditemui di tengah-tengah timbunan ilmu para salaf, idea-idea mereka berkaitan kaedah mendepani krisis peningkatan kos sara hidup.
Dalam Syarah Bulugh al-Maram, Syaikh 'Atiyyah Muhammad Salim menukilkan satu idea yang diketengahkan Syaidina Umar r.a sebagai penawar krisis tradisi ini.
Pemboikotan
Idea ini terpacul semasa orang ramai datang menemui beliau membawa aduan berkenaan kenaikan harga daging di pasaran.
"Wahai Umar, [harga] daging [telah menjadi] mahal. Justeru, tetapkanlah harganya untuk kami", adu mereka kepada khalifah kedua umat Islam itu.
Syaidina Umar r.a menolak, sambil meminta mereka sendiri yang menurunkan harga daging tersebut.
Satu permintaan pelik dan membingungkan!
"Tidak! [aku tidak akan menetapkan harga daging]. Kamu [sendirilah] yang memurahkannya (menurunkan harganya)!", balas Syaidina Umar r.a.
Mereka sangat pelik dengan jawapan balas yang melantun daripada mulut Amirul Mukminin itu.
"Bagaimana kami [dapat] memurahkannya (menurunkan harganya), sedangkan kami tidak memilikinya!?", persoal mereka.
Menjelaskan maksud saranannya agar mereka sendiri yang menurunkan harga daging, Syaidina Umar r.a mengatakan, "biarkan daging itu bersama mereka (penjual)", iaitu jangan dibeli daging-daging itu.
Dalam erti kata lain, boikot daging-daging tersebut.
Mereka menyetujui saranan itu lalu memboikot daging selama dua hari.
Pada hari kedua pemboikotan, penjual-penjual daging sudah mula meneriakkan kepada mereka agar membeli daging-daging yang dijual. Mereka tetap berkeras tidak mahu membeli.
Akhirnya, para penjual menurunkan harga daging.
Teks asal petikan di atas seperti berikut :
قالوا: يا عمر! غلى اللحم فسعره لنا، فقال: لا، أرخصوه
أنتم، قالوا: كيف نرخصه وليس عندنا؟! قال: اتركوه لهم، فتركوه اليوم الأول، وتركوه
اليوم الثاني، فإذا بالجزارين ينادونهم: هلموا -يا جماعة- للحم، قالوا: لا، أنتم أغليتموه
علينا، ثم رخصوه لهم.
Dengan mereka memboikot, permintaan ke atas daging berkurang. Kesannya, harga daging menurun. Justeru, tindakan mereka memboikot daging, sama seperti mereka menurunkan harga daging tersebut.
Melalui saranan boikot ini, Syaidina Umar r.a menghantar dua mesej penting.
Pertama, bila berlaku kenaikan harga barang, para pengguna mempunyai 'kuasa' menjadikannya murah. Dalam ungkapan lain, mereka 'berkuasa' menurunkan harganya. Iaitu melalui pemboikotan.
'Kuasa' menurunkan harga barang bukan hanya terletak di tangan penjual.
Kedua, pemboikotan sebagai kaedah mendepani kenaikan harga barang, bukanlah idea baru. Ia sudah wujud sejak zaman para Salaf lagi. Iaitu sejak zaman Syaidina Umar r.a. Selain ia menepati hukum supply and demand dalam ekonomi.
Saranan sama diutarakan tokoh agung sufi, Sayyidi Ibrahim Adham radhiyallahu 'anhu.
Dalam kitab Tarikh Dimasyq karangan Ibn 'Asakir, dicatatkan bahawa dikatakan kepada tokoh sufi itu, "harga daging sudah meningkat". Beliau menjawab, "kamu murahkanlah [harga] nya". Iaitu dengan memboikotnya supaya harganya menjadi murah.
Teguran
Dua mesej yang terselit dalam saranan Syaidina Umar r.a ini merupakan satu 'teguran secara tidak langsung' kepada mana-mana pihak yang memperlekeh saranan agar menjadikan boikot sebagai satu pendekatan menangani krisis kenaikan harga barang.
Justeru idea pemboikotan ini pernah diutarakan oleh watak-watak agung di zaman salaf-selain ia menepati hukum supply and demand-kritikan bernada sinis ke atas idea ini seperti 'kalau begitu, jika harga bil elektrik naik, boikot elektrik, jika harga air naik, boikot air', adalah sesuatu yang tidak diraikan.
Ini kerana, semua orang sedia maklum bahawa saranan boikot ini hanya tertuju kepada barang-barang yang boleh diboikot sahaja. Ia tidak berkaitan dengan barangan asas yang menjadi 'nadi' dan 'nyawa' kehidupan manusia.
Tegasnya, tidak semua benda boleh diboikot. Namun, pemboikotan barangan yang mampu diboikot oleh pengguna, tetap senjata sahih dan ampuh bagi menyurutkan kenaikan harga.
Menyedari 'pemboikotan sebagai kaedah menangani kenaikan harga barang' merupakan idea yang telah lama dikemukakan Syaidina Umar r.a, golongan agamawan khususnya mesti menjauhi sikap memperlekeh mana-mana pihak yang menyarankan idea ini bagi mengatasi krisis kenaikan harga barang yang sedang berlaku.
Ini kerana, apabila seseorang agamawan ditanya tentang kaedah mendepani krisis kenaikan harga barang menurut persepsi Islam, tidak dapat tidak mereka akan merujuk antaranya kepada pendapat para ulama zaman silam dan masa kini.
Justeru, mereka pasti akan bersua dengan pandangan Syaidina Umar r.a ini, dan tidak dapat tidak mereka terpaksa menyatakan bahawa feqh Islam memperakui pemboikotan merupakan salah satu kaedah menangani kenaikan harga barang!
Meskipun demikian, tidak dinafikan bahawa idea 'pemboikotan sebagai satu kaedah mendepani kenaikan harga'-dalam situasi-situasi tertentu-perlu diolah sebaiknya, dan dikemukakan dengan bahasa 'mesra' pengguna.
Ungkapan 'kalau harga ayam mahal, jangan makan ayam'-dalam situasi-situasi tertentu- mungkin agak 'kasar' membuatkannya tidak sesuai digunakan bagi merujuk kepada pemboikotan meskipun ia sama dari segi makna.
Ungkapan 'gunakan 'kuasa' pengguna untuk menurunkan harga barangan dengan menghentikan sementara pembelian barangan terbabit' dan seumpamanya, mungkin lebih 'mesra' lalu boleh diterima masyarakat.
Rendah kadar cukai
Saranan boikot ini sesuai dipraktikkan orang ramai di atas kapasiti mereka selaku rakyat biasa.
Justeru, Syaidina Umar r.a-secara praktikal-mengetengahkan satu lagi kaedah mendepani kenaikan kos sara hidup yang sesuai dan boleh dilaksanakan sesebuah kerajaan.
Dalam karyanya, al-Muwatta Imam Malik r.a merekodkan kenyataan Ibnu Umar r.a yang berbunyi :
أن عمر كان يأخذ عن النَّبْط من
الحنطة والزيت نصفَ العُشُر، يريد أن يُكثر الحملَ إلى المدينة ويأخذ من القِطْنيّة
العُشُر
Terjemahan : "Sesungguhnya [Syaidina] Umar r.a mengambil [cukai] daripada an-Nabt (non muslim Tanah Syam), daripada gandum dan minyak [yang mereka bawa untuk diniagakan sebanyak] setengah10% (iaitu 5%).
Beliau [merendahkan cukai kerana] mahu memperbanyakkan [aktiviti] membawa [masuk gandum dan minyak] ke Madinah. [Sementara itu] beliau mengambil [cukai] daripada 'qitniyyah' [yang mereka bawa] sebanyak] 10%".
Dalam kitab Tahzeeb al-Asma' Wa al-Lughat, Imam Nawawi mengatakan, al-qitniyyah adalah nama bagi semua jenis bijirin yang dimasak.
Polisi pengenaan cukai yang rendah ke atas barangan tertentu dari luar yang dibawa masuk ke pasaran tempatan, akan menggalakkan pedagang-pedagang luar membawa masuk barangan tersebut ke pasaran lokal.
Kesannya, barangan tersebut akan wujud di pasaran tempatan dalam kadar yang mengcukupi bagi menampung permintaan para pengguna. Keadaan ini akan menghalang 'demam' kenaikan harga barang daripada berlaku.
Barang alternatif
Sorotan ke atas perbendaharaan ilmu para salaf, menemukan satu lagi idea yang ditampilkan sebagai pencabar kepada serangan kenaikan harga barang.
Idea ini dicetuskan Syaidina Ali r.a.
Imam Daraqutni dalam karyanya al-Mu'talif Wa al-Mukhtalif mencatatkan bahawa Imam Bukhari meriwayatkan dengan sanad beliau sendiri seperti berikut :
قال رزين
الأعرج مولى آل العباس بن عبد المطلب
: غلا
الزيبب علينا بمكة وكتبنا إلى علي بالكوفة فكتب : "ارخصوه بالتمر".
Terjemahan : Razeen al-A'raj, mawla (hamba yang dibebaskan) keluarga al-Abbas r.a bin Abdul Muttalib berkata, "[pernah terjadi harga] anggur kering di Mekah [menjadi] mahal. Lalu kami menulis [surat] kepada [Syaidina] Ali r.a [yang berada] di Kufah [mengadukan kepada beliau perkara itu]. Lalu [Syaidina Ali r.a] menulis [kepada kami yang berbunyi] "murahkanlah (turunkanlah) [harga]nya dengan kurma".
Pengkisahan Razeen al-A'raj ini turut direkodkan Imam Yahya Ibn Ma'een dalam karyanya, Tarikh Yahya Ibn Ma'een.
"Murahkanlah (turunkanlah) harganya (anggur kering) dengan kurma" bermaksud 'berhentilah membeli anggur kering dan belilah kurma sebagai ganti'.
Dengan syor ini, Syaidina Ali r.a mengetengahkan idea 'beralih kepada barangan lain yang sejenis' bagi mengatasi kenaikan harga sesuatu barang.
Cadangan agar penduduk Mekah ketika itu beralih daripada anggur kering kepada kurma, dibuat kerana kurma adalah makanan sejenis dengan anggur kering, selain ia banyak terdapat di Mekah dan harganya murah.
Dengan kaedah ini, permintaan terhadap anggur kering akan menyusut, dan tidak dapat tidak, harganya akan menurun.
Watak salaf
Imbauan ke atas sejarah masa silam ini menitipkan bahawa para salaf mendepani krisis kenaikan kos sara hidup yang menular, dengan berfikir dan merangka strategi, bukan semata-mata berserah dan bertawakkal begitu sahaja.
Dengan ini, mereka tidak mengamalkan budaya 'mengutuk kegelapan'. Tapi bangkit menyalakan lilin bagi menghalau kegelapan dan menerangi suasana.
Paparan ini juga menunjukkan bahawa para salaf bukan hanya menyumbang idea berhubung soal-soal agama atau akhirat, tetapi-secara aktif-turut berpatisipasi dalam mencanai idea-idea berkait isu-isu semasa dan keduniaan.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment