Monday, 31 August 2015

Keruntuhan Negara Pada 'Ketidakpedulian'

Zaman Sultan Sulaiman al-Qanuniy (1495-1566M)-menurut kebanyakan ahli sejarah-merupakan zaman keemasan Empayar Othmaniyyah.

Pada zaman Baginda, jajahan takluk empayar itu semakin meluas. Banyak negeri dan bandar dibuka. Kemakmuran dan kemewahan merata ke segenap penjuru empayar.

Namun, Sultan Sulaiman-melalui sorotan Baginda ke atas sejarah peradaban manusia-mengetahui bahawa setiap negara yang kuat, tidak dapat tidak, pasti akan menjadi lemah.

Akan menular ke dalam strukturnya faktor-faktor kelemahan dan keruntuhan. Ini kerana, setiap peradaban mempunyai ajal masing-masing.

Adakah perkara sama akan menimpa Empayar Othmaniyyah?

Adakah di sana cara untuk lari daripada keruntuhan?

Persoalan ini menghantui fikiran Sultan Sulaiman selama beberapa hari.

Setelah lama berfikir dan bingung dengan persoalan ini, Baginda memutuskan untuk mengajukan persoalan ini kepada seorang ulama yang masyhur ketika itu, iaitu Yahya Afandi.

Yahya Afandi juga merupakan saudara susuan Baginda.

Tuan adalah seorang yang mengetahui banyak rahsia. Justeru, kami berharap dari tuan, agar sudi memberitahu kepada kami, bilakah sesebuah negara itu akan runtuh. Dan apakah kesudahan Empayar Othmaniyyah ini?”.

Demikian isi surat yang dihantar Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

‘Peka’ tugas rakyat jelata

Yahya Afandi segera menjawab soalan Sultan Sulaiman itu. Namun, jawapannya sangat ringkas dan memeningkan Baginda Sultan.

Apa kaitan perkara ini denganku, wahai Tuanku al-Sultan? Apa kaitannya denganku?”.

Demikian jawapan Yahya Afandi.

Sultan Sulaiman sangat hairan dan pening dengan jawapan Yahya Afandi itu. Apakah dalam jawapan itu mengandungi makna tersirat yang Baginda tidak fahami?

Baginda tiada jalan lain melainkan pergi menemui sendiri Yahya Afandi di tempat tinggalnya.

Setibanya di sana, Baginda mengajukan soalan yang sama seperti dalam surat yang dikirimkan, sambil menegur Yahya Afandi yang dilihatnya tidak serius menjawab soalan Baginda.

Beta berharap dari Tuan, wahai saudaraku, supaya menjawab soalan Beta dan menganggap persoalan ini serius.

Beta juga berharap agar Tuan memberitahu apakah maksud Tuan dengan jawapan yang Tuan berikan itu”, titah Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

Wahai Tuanku, tatkala kezaliman dan kerosakan berleluasa dalam sesebuah negara, dan setiap orang yang melihat kezaliman dan kerosakan ini berkata, “apa kaitannya perkara ini denganku” kerana sibuk dengan hal diri masing-masing sahaja...

Apabila ‘pengembala’ membaham ‘kambing’ yang dijaganya, sedang orang yang mengetahui dan mendengar hal ini mendiamkan diri...

Apabila teriakan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan, mula meninggi ke langit dan tiada siapa yang mendengarnya selain pokok-pokok dan tanah...

Ketika itu, terserlahlah tanda-tanda kejatuhan sesebuah negara, terhakislah rasa kesetiaan rakyat terhadapnya…

Demikianlah kemalapan menjadi ketentuan yang tertulis ke atas sesebuah negara yang tiada jalan melarikan diri daripadanya”.

Penyakit & penawar

Begitulah jawapan Yahya Afandi kepada persoalan Sultan Sulaiman.

Kezaliman pemerintah dan ketidakpedulian rakyat terhadap ketidakadilan!

Itulah ‘barah’ dua serangkai yang menjadi penyebab keruntuhan sesebuah negara.

Sesebuah negara boleh terus bertahan jika pemimpinnya zalim, tetapi rakyatnya peka dan sentiasa jaga. Atau rakyatnya lena, tetapi penguasanya adil dan prihatin.

Tetapi, sesebuah negara akan tumbang tatkala kezaliman pemerintah digandingi dengan ketidakpedulian rakyat!

Tanggungjawab pemerintah dalam memelihara keutuhan sesebuah negara ialah dengan membela rakyat, bersikap adil dan saksama.

Manakala tanggungjawab rakyat ialah peka terhadap sebarang ketidakadilan dan sensitif terhadap apa jua kepincangan!

Untuk terus gah dan utuh, negara memerlukan pemerintah yang adil.

Yang penyayang.

Yang amanah.

Yang sedar bahawa dirinya adalah ‘pekerja’ kepada rakyat dan pemegang amanah mereka.

Untuk terus gah dan utuh, negara juga perlukan rakyat yang sensitif, peka dan sentiasa jaga terhadap apa jua perkembangan dalam negara.

Ya, pemerintah yang adil dan rakyat yang peka!

Itulah talian hayat sesebuah negara!


Justeru, disamping berusaha menjadi atau melahirkan pemimpin yang adil, jangan dilupa, usahakan juga agenda membentuk rakyat yang peka!

Wednesday, 26 August 2015

Ulama 'mabuk'

Syaikh Muhammad al-Ghazali rhm, menceritakan...

"Aku berkata kepada seorang lelaki yang selalu meneguk arak, "tidakkah kamu mahu bertaubat kepada Allah?".

Lantas, dia memandangku dengan hiba, dan matanya menangis, serta berkata, "berdoalah kepada Allah untukku...".

Aku mengamati keadaan lelaki itu, dan hatiku merasa belas...

Sesungguhnya, tangisannya itu adalah satu perasaan betapa cuainya dia dalam mentaati Allah, juga satu kesedihan atas ketidakpatuhannya, dan keinginannya 'berbaik' dengan Allah...

Sesungguhnya, dia memang seorang mukmin, tetapi dia diuji [dengan dosa]...

Dia mengimpikan 'kesembuhan', dan meminta bantuanku untuk mendekatkan kesembuhan itu kepadanya.

Aku berkata kepada diriku, "boleh jadi, keadaanku sama dengan keadaan lelaki ini, atau lebih buruk lagi!".

Betul, aku tidak pernah mengecapi arak. Persekitaran yang aku diami, tidak mengenalinya. 

Tetapi, barangkali aku telah mengambil 'arak' kelalaian, yang menjadikanku banyak alpakan tuhanku, dan melupakan hak-hakNya.

Sesungguhnya, lelaki pemabuk itu menangis lantaran kecuaiannya...

Sedangkan aku dan orang-orang sepertiku (ulama), tidak menangis atas kecuaian yang dilakukan. 

Boleh jadi, kita tertipu dengan diri kita sendiri...

Aku beralih semula kepada lelaki yang meminta aku berdoa agar dia dapat meninggalkan arak itu.

Aku berkata kepadanya, "marilah kita sama-sama berdoa untuk diri kita :


ربنا ظلمنا أنفسنا وإن لم تغفر لنا وترحمنا لنكونن من الخاسرين

(Wahai tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampun dan merahmati kami, nescaya menjadilah kami dari golongan orang-orang yang rugi).
***
Hari ini, kita mencemuh sepenuh hati wanita-wanita yang mendedahkan aurat. Tapi, kita alpa akan keaiban diri sendiri yang sering terdedah kepada 'pandangan' Allah...

Kita mengutuk sekerasnya muda mudi yang bertingkah tidak sopan. Tapi, kita tidak begitu kisahkan 'kebiadapan' batin kita terhadap Allah...

Kita menghentam selantangnya penguasa kerana tidak melaksanakan hukum hakam syariat. Namun, kita sengaja melupakan yang kita juga sering membelakangkan syariat dalam kehidupan...

"Wahai kaumku, duhai bangsaku...
marilah kalian dan aku, bersama-sama memperbaiki dan mempersuci diri..."

Itulah bahasa yang terinspirasi daripada cerita Allamah Syaikh Muhammad al-Ghazali ini, yang sepatutnya menjadi tuturan setiap da'ie...

Dakwah bertolak dari jiwa da'ie yang sedar akan hakikat dirinya sendiri, bukannya dari jiwa yang merasakan dirinya suci...

Allahumma...

Tuesday, 25 August 2015

Bolehkah bapa angkat mengakikahkan anak angkat?

Gambar hiasan.
Seorang rakan bertanya tentang akikah. Soalannya, bolehkah seseorang mengakikahkan anak angkatnya?

Dalam mazhab Syafie radhiyAllahu 'anhu, orang yang dituntut melakukan akikah, ialah 'induk yang wajib memberi nafkah kepada si anak'.

Dalam erti kata lain, orang yang dituntut melakukan akikah, ialah seorang induk, dan dalam masa sama berkewajipan memberi nafkah kepada si anak. 

'Induk yang wajib memberi nafkah kepada si anak', ialah bapa kandung.

Bapa kandung wajib memberi nafkah kepada anak kandungnya, selama mana anak itu di bawah jagaan dan tanggungjawabnya.

Oleh demikian, bapa angkat tidak dituntut (tidak sunat) mengakikahkan anak angkatnya.

Ini kerana, bapa angkat bukan induk kepada anak angkatnya itu.

Bapa kandung si anak angkat tadi, juga tidak dituntut melakukan akikah untuk anaknya itu (yang telah menjadi anak angkat kepada orang lain).

Ini kerana, beliau (bapa kandung anak angkat), sudah tidak berkewajipan memberi nafkah kepada anaknya itu (kerana telah menjadi anak angkat kepada orang lain).

Ringkasnya, akikah untuk anak angkat, tidak sunat dilakukan. Samada oleh bapa angkat, atau ayah kandungnya sendiri.  

Dalil

Sandaran kepada hukum di atas, ialah kenyataan Syaikh al-Bakri dalam karyanya, إعانة الطالبين :
المخاطب بالعقيقة هو الاصل الذي تلزمه نفقة فرعه

Terjemahan : [orang] yang dititahkan [melakukan] akikah, ialah 'induk yang wajib memberi nafkah kepada cabangnya (anak)'.

Oleh kerana bapa angkat bukanlah induk kepada anak angkatnya, maka dia tidak dituntut melakukan akikah untuk anak angkatnya itu.

Begitu juga dengan bapa kandung anak angkat tadi. 

Oleh kerana dia tidak lagi berkewajipan memberi nafkah kepada anaknya (yang sudah menjadi anak angkat orang lain), maka dia juga tidak dituntut melakukan akikah.

Ini dalil pertama.

Dalil kedua ialah qias.

Ulama mazhab Syafie ada menyebut perihal si anak yang berstatus hamba.

Katakan, seorang lelaki yang merdeka, berkahwin dengan seorang hamba. Bila hamba yang dikahwininya itu melahirkan anak, maka anak itu berstatus hamba berdasarkan status ibunya itu.

Dalam kes ini, Syaikh al-Bulqini rhm memfatwakan, si ayah yang merdeka tadi (induk), tidak dituntut untuk mengakikahkan anak kandungnya yang berstatus hamba itu. 

Ini kerana, dia tidak berkewajipan memberi nafkah kepada anak kandungnya itu. Tanggungjawab memberi nafkah tertanggung di atas tuan ibunya (yang secara automatik adalah tuannya juga).

Tuan ibunya juga tidak dituntut melakukan akikah untuknya (si anak). Ini kerana, dia (tuan) bukan induk bagi si anak.

Kenyataan Syaikh al-Bulqini-seperti yang tercatat dalam kitab أسنى المطالب-seperti berikut :


فَلَوْ كَانَ رَقِيقًا وَضَعَتْهُ جَارِيَةُ الْإِنْسَانِ أَوْ زَوْجَتُهُ الرَّقِيقَةُ لَمْ تَتَعَلَّقْ سُنِّيَّةُ الْعَقِيقَةِ بِوَالِدِهِ؛ لِأَنَّهُ لَا تَلْزَمُهُ نَفَقَتُهُ، وَلَا بِمَالِكِهِ؛ لِأَنَّهُ لَا يُنْسَبُ إلَيْهِ

Terjemahan : Jika dia (si anak) seorang hamba, yang dilahirkan oleh hamba wanita milik seseorang, atau [dilahirkan oleh] isterinya yang [berstatus] hamba, tidak 'tersangkut' kesunatan [melakukan] akikah pada ayahnya [yang merdeka]. 

[Ini] kerana tidak wajib ke atasnya (si ayah yang merdeka) memberi nafkah kepadanya (anak yang berstatus hamba). 

[Juga] tidak ['tersangkut' kesunatan melakukan akikah] pada tuannya (si anak), kerana dia (si anak) tidak dinasabkan kepadanya (tuan)"

Anak angkat (yang berada di bawah tanggungjawab ayah angkat), sama dengan anak yang berstatus hamba. 

Iaitu, sama dari segi orang yang memeliharanya, adalah bukan induknya (bapa angkat bukan induk anak angkat).

Dan, induknya pula (bapa kandung), tidak berkewajipan memberi nafkah kepadanya (kerana dia telah menjadi anak angkat kepada orang lain).

Oleh itu, tidak sunat dilakukan sebarang akikah untuk anak angkat sebagai mana anak yang berstatus hamba.

Wallahu a'lam.  

Wednesday, 15 July 2015

Ayah, Terima Kasih Kerana Tidak Pernah Merotan

Arwah ayah tak pernah menjentik saya, apa lagi memukul atau merotan...

Ibu juga begitu...
Sekali saja ibu menampar punggung, itu pun secara tak sengaja...
Masa itu, saya terjun dari atas dan jatuh atas lengan ibu. Secara tak sengaja, tangan ibu tertampar pada tubuh saya di bahagian itu...

Kala itu, rasanya saya di usia sekitar 3 tahun...
Masih ingat lagi, ayah menegur ibu agak keras atas ketidaksengajaannya itu...
Ditengking...diherdik juga tidak pernah...

(ii)

Ayah dan ibu tidak pernah marah saya mandi sungai, meredah paya mahu pun 'mengembara' ke hutan...
Selesai mengaji di surau selepas isyak, pernah saya ke lopak air hampir kering, dan menggagau ikan...

Waktu itu, saya masih sekolah rendah...

Bayangkan suasana pada waktu malam di kampung-kampung pada waktu itu....

Gelap pekat....

Ibu tak kisah...ibu siangkan ikan yang saya bawa pulang, lalu memasaknya tanpa persoal apa-apa...

(iii)

Ayah tidak garang, tidak pernah meninggi suara....tapi disegani anak-anak...

Entah macam mana, anak-anak seperti dengan sendiri memahami apa yang boleh, dan tak boleh dibuat, meski ayah tidak nyatakan apa-apa...

Sekali, saya berpatah balik ke rumah dalam perjalanan ke sekolah. Sebabnya, hari itu saya sudah terlewat...

Di rumah, saya berpura-pura tidur seperti orang demam...

Ayah datang sambil meletakkan tangan di kepala saya. Dengan suara sayu dan simpati, ayah berkata, "hmmm...demam berseorangan".

Allah...

Jiwa kanak-kanak saya waktu itu bagai tersiram terjunan air kasih sayang...

Waktu itu, memang tiada sesiapa di rumah. Ke mana orang lain pergi, saya tidak ingat...

Dengan sentuhan kasih sayang dan kejiwaan, inilah saya kini...

(iv)

Sekarang, saya akan menangis menatap gambar atau berita kanak-kanak didera...

Mendengar tangisan kuat kanak-kanak di rumah jiran, sudah cukup meragut lena, bimbang mereka didera...

Pernah berlaku, di sebelah rumah ibu mertua, seorang kanak-kanak perempuan sekitar tahun 2, akan menangis setiap pagi ketika hendak ke sekolah.

"Tak mau ayah...tak mau dah...", rayunya berkali-kali sambil menangis.

Terasuk dengan tangisan itu, saya tergopoh gapah mahu melaporkan kepada polis. 

Saya ditertawakan isteri. 

Katanya, memang begitu kelakuan budak perempuan itu. Merayu-rayu sambil menangis macam didera. Walhalnya, dia tak diapa-apakan. Hanya dimandikan oleh ayah atau ibunya untuk ke sekolah!

Suatu yang saya tak sanggup hingga kini, menonton video kanak-kanak di dera lewat laman sosial...

Terima kasih ayah kerana tidak pernah menjentik, merotan saya...

Oh, tiba-tiba malam ini gerimis air mata rindu pada arwah ayah merenyai...
Rindu ini ku terjemahkan dalam bahasa doa buatmu ayah...
Ayah...

Tuesday, 14 July 2015

Meluruskan 'Ulama Haraki'

Gambar hiasan
Agak 'terkejut' juga terbaca tulisan seorang penulis veteran sebuah gerakan Islam tanah air.

Katanya dalam tulisan itu, sahabat Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, Saidina Abu Zar radhiyAllahu 'anhu, bukan seorang ulama haraki!

"Ulama yang tidak haraki, seperti Abu Zar. Rasulullah SAW dan khalifah tidak beri jawatan politik padanya. Ulama politik itu contohnya Saidina Umar al-Khattab, Khalifah Umar Abdul Aziz. Ulama yang tidak haraki, kata Imam Khomeini, ialah ulama haid dan nifas", tulis penulis itu. 

Ia disiarkan dalam laman rasmi gerakan Islam yang dianggotainya.

Menghalusi 'haraki'

'Haraki' adalah kata nisbah kepada perkataan 'harakah'. 'Harakah' (حركة) perkataan Arab yang bermaksud 'pergerakan'.

Justeru, 'haraki' bermaksud 'sesuatu yang sifatnya bergerak'.

Dari itu, untuk menjadi seorang 'haraki', seseorang itu tidak semestinya perlu menceburi politik kepartian. Atau mesti menjadi ahli politik.

Cukup dengan hanya wujud elemen-elemen 'pergerakan' pada dirinya, seseorang yang berpegang dengan al-Quran dan Sunnah, sah untuk disifatkan sebagai seorang 'haraki', meski pun tidak menganggotai mana-mana parti politik, atau mengasingkan diri daripada politik kepartian.

Makna 'haraki' dari segi bahasa (sesuatu yang sifatnya bergerak), tidak menyokong kata-kata penulis veteran di atas yang seorang 'haraki' itu ialah individu yang terlibat dalam politik.

'Keterlibatan dalam politik'-yang dijadikannya penentu keharakian seseorang- dibawa masuk ke dalam pengertian 'haraki' tanpa sokongan bahasa mahu pun syarak.

Apakah elemen-elemen 'pergerakan' itu, yang dengan adanya ia pada diri seseorang, dia dianggap seorang 'haraki'?

Seorang ulama terkenal Jordan, Syaikh Dr. Solah al-Khalidi-seorang ahli tafsir yang berkepakaran tentang sejarah dan pemikiran al-Syahid Syed Qutb- menggariskan empat elemen 'pergerakan' itu. Iaitu :

1. Dakwah
2. Tarbiyah
3. Harakah; dan
4. Jihad (Al-Khittah al-Barraqah Lizi an-Nafs al-Tawwaqah (2000), Damsyik : Darul Qalam, hlm.82)

Oleh itu, menurut beliau, mana-mana organisasi (bukan hanya organisasi Islam) yang manhajnya bersumberkan al-Quran dan Sunnah, adalah sebuah organisasi yang 'haraki' jika mempraktikkan keempat-empat elemen di atas.

Demikian juga mana-mana individu yang berkecimpung dalam bidang dakwah, tarbiyah, harakah dan jihad, adalah seorang yang 'haraki', biar pun tidak menganggotai mana-mana parti atau jemaah Islam.

Dari sini, beliau menolak 'keharakian' hanya dibataskan kepada gerakan, jemaah, organisasi atau parti Islam semata-mata.

Monday, 13 July 2015

Pegawai & Pejabat Agama : Lagi Keluhan Mualaf


Persatuan Kebajikan Mualaf Selangor pada Isnin (13 JUlai 2015) melahirkan rasa kecewa terhadap pegawai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), yang didakwa menunjukkan sikap negatif terhadap saudara baharu.

Presiden persatuan itu, Mikhael Iskhandaar berkata, ini berikutan pegawai MAIS yang ditempatkan di daerah ini mengambil sikap sambil lewa, dan kurang mesra dengan golongan itu sehingga menimbulkan persepsi tidak baik terhadap jabatan berkenaan.

"Saya kecewa kerana petugas MAIS daerah Klang, seakan tidak mempedulikan mualaf yang datang berurusan di pejabat mereka dan memberi pelbagai alasan jika sesuatu soalan diajukan untuk penjelasan lanjut.

"Kami sebagai mualaf menjadikan MAIS sebagai tempat rujukan apabila berdepan sebarang masalah, terutamanya berkaitan agama namun respons yang diberi langsung tidak membantu," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, sudah lumrah saudara baharu bertanyakan pelbagai soalan mengenai Islam, namun tenaga pengajar kelas Fardu Ain yang dilantik oleh MAIS, tidak membenarkan mereka bertanyakan soalan dan menyebabkan proses pembelajaran terbantut.

"Saya sudah menghantar surat memaklumkan masalah yang dihadapi kepada pihak pengurusan MAIS pada 6 Julai lepas, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.

"Jika tiada sebarang respons daripada mereka (MAIS), saya bersama rakan mualaf lain akan mengutuskan surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya satu tindakan segera diambil bagi membela nasib kami," kata Mikhael yang memeluk Islam sejak Januari lepas.


Bernama

Bila Janin 'Berbicara' Tentang Dunia, Akhirat

Kalaulah setiap janin dalam rahim ibu boleh ditanya (dan ia pula boleh menjawab), "apakah alam itu?", pasti dijawabnya, "alam itu ialah rahim ibuku ini. Tiada alam lain lagi selainnya".

Bahkan, kalau diberitahu kepadanya, bahawa di luar sana ada satu lagi alam yang sangat luas-yang dihiasi bintang, langit, bumi, sungai dan laut-tentu tidak dipercayainya, atau sukar baginya menggambarkannya.

Kalaulah dalam rahim ibu itu ada dua janin kembar, bila salah seorg daripadanya lahir terlebih dahulu, pasti janin yang masih belum lahir menyangka yang kembarnya itu telah meninggal 'dunia'.

Walhal, kembarnya itu berpindah ke alam dunia yang sangat luas berbanding alam rahim nan sempit (yang disangkanya itulah satu-satunya alam yang ada).

(ii)

Demikianlah kehidupan duniawi ini jika dibandingkan dengan kehidupan ukhrawi.

Luasnya alam akhirat berbanding alam dunia, sama seperti luasnya alam dunia berbanding alam rahim.

Sebagaimana janin yang meninggalkan alam rahim (bila dilahirkan) sebenarnya berpindah ke alam lain yang sangat luas (alam dunia), demikianlah juga manusia yang meninggalkan dunia ini...

Ia tidak 'mati', tetapi memulakan kehidupan di satu alam yang maha luas yang tak terjangkau dek akal...

Begitulah indahnya dan menyentuh sekali bicara Syaikh Ali Tantawi dalam karyanya, Ta'rif Am Bi Dinil Islam.

iii)

Manusia yang merasakan kehidupan duniawi ini adalah segala-galanya, adalah sama seperti janin yang mempercayai alam rahim yang sempit itu adalah satu-satunya.

Janin yang meninggalkan alam rahim untuk memulakan kehidupan baru di alam dunia, akan ada yang menyambutnya, seterusnya memelihara, memanjai dan mencaknainya tanpa ia perlu risau apa-apa.

Tetapi, manusia yang meninggalkan alam yang fana ini untuk memulai kehidupan sebenar di alam akhirat, tiada siapa yang bakal menyambut dan memeliharanya kecuali amal soleh yang telah diusahakan.

Allahumma... 

Saturday, 11 July 2015

'Kepimpinan Ulama' PAS Dalam Kanta Eksperimen Sejarah Islam

Gambar hiasan
Konsep 'kepimpinan ulama' yang dimaksud di sini, ialah 'satu kepercayaan yang ulama mesti diangkat menjadi ketua organisasi, dan oleh itu, memiliki kata putus berhubung perjalanan dan hala tuju organisasi tersebut'. 

PAS telah bertindak tepat apabila berusaha mewujudkan satu instrumen bagi menjamin ia terus kekal atas landasan Islam. 

Kenyataan ini tidak boleh dipertikaikan. Memang mana-mana organisasi Islam, mesti dipastikan terus beristiqamah dengan Islam.

Yang boleh diperdebatkan, ialah instrumen yang digunakan PAS bagi memastikan ke'istiqamah'annya itu, iaitu dengan mengetengahkan instrumen yang namanya 'kepimpinan ulama' dengan makna di atas. 

Dan, tulisan ini adalah berkisar seputar instrumen pilihan PAS itu.

Formula Qurani

Al-Quran-dan kemudiannya disusuli al-Sunnah-telah mengetengahkan dua konsep utama bagi maksud mengawasi penguasa dan umat, demi memastikan mereka kekal istiqamah atas siratul mustaqim.

Dua konsep itu ialah 'dakwah'-yang termasuk di dalamnya konsep 'tarbiyah'-dan 'amar makruf nahi mungkar'. 

Kedua-dua konsep ini, kemudiannya dituntut agar dilaksanakan khususnya oleh para ulama dan du'at, dalam rangka memastikan penguasa dan umat kekal istiqamah dengan Islam. 


Ringkasnya, para ulama dan du'at, dibebankan dengan tugas memantau pemerintah dan rakyat, kemudian membetulkan sebarang kepincangan dengan instrumen 'dakwah' dan 'amar makruf nahi mungkar'. Ini dilakukan dengan tujuan mengekalkan mereka atas landasan Islam.

Dalam melaksanakan tugas pemelihara ke'istiqamah'an penguasa dan umat-yakni dengan formula qurani dua serangkai ini ('dakwah' dan 'amar makruf nahi mungkar')-para ulama agung di zaman-zaman lalu tidak pula menuntut agar golongan ulama diberikan kuasa eksekutif dalam organisasi.

Mereka sebaliknya selesa melunaskan tanggungjawab itu atas kapasiti mereka selaku orang awam yang memiliki pengetahuan agama yang lebih berbanding orang-orang awam yang lain.

Realitinya, inilah yang berlangsung sejak berkurun-kurun lamanya dalam sejarah Islam.

Hasil dan kesan daripada peranan 'dakwah' dan 'amar makruf nahi mungkar' yang dilakukan masyarakat awam yang berpengetahuan agama ini, umat Islam sejak berabad-abad lamanya sehingga kini, umumnya terus istiqamah atas landasan Islam.

Antara dua formula 

Di tengah-tengah eksperimen sejarah yang telah terbukti berjaya ini, PAS-dalam usaha memastikannya kekal istiqamah atas landasan Islam-telah mempopularkan satu idea baru, yang berlainan daripada yang telah dipraktiskan dalam sejarah umat yang panjang ini.

Jika al-Quran mengangkat konsep 'dakwah' dan 'amar makruf nahi mungkar'-yang diwajibkan ke atas mana-mana muslim yang berkelayakan, tanpa memestikannya diangkat ke kerusi ketua organisasi-dalam rangka memastikan ke'istiqamah'an penguasa dan umat-yang kemudiannya ia dipraktikkan dengan jayanya sepanjang sejarah umat-PAS pula mencipta (sebenarnya mengimport) idea yang sangat baru, dan belum terbukti berkesan.

Iaitulah yang namanya 'kepimpinan ulama', dengan makna ulama dipakukan pada kedudukan ketua dan pemilik kata putus dalam organisasi. 

Dengan idea ini, satu-satunya parti di dunia yang menamakan dirinya 'parti Islam' itu, berharap ke'istiqamah'annya atas landasan Islam dapat dijamin.

Bagi PAS, 'kepimpinan ulama'-dengan makna ulama sebagai ketua eksekutif organisasi-adalah satu-satunya jaminan yang PAS akan terus istiqamah atas jalan Islam. 

Sebab itulah, salah seorang pemimpin tertinggi parti itu membuat penegasan yang tanpa kepimpinan ulama, parti itu akan sesat dan jadi sekular!

Formula yang diamalkan sepanjang sejarah umat dan telah terbukti berkesan, iaitu keiltizaman masyarakat sivil yang berpengetahuan agama-yang digelar ulama atau du'at-melaksanakan tugas dakwah dan amar makruf nahi mungkar, bukan satu jaminan yang sesebuah organisasi itu akan terus istiqamah menurut pandangan PAS.

Bagi PAS, tidak dapat tidak, ulama mesti dilantik sebagai ketua tertinggi organisasi, barulah ada jaminan yang organisasi itu akan kekal istiqamah atas kebenaran.

Dalam erti kata lain, PAS tidak percaya yang peranan dakwah dan amar makruf nahi mungkar yang dilakukan masyarakat sivil yang berpengetahuan agama-seperti yang berlaku dalam sejarah umat-boleh menjamin yang sesebuah organisasi, penguasa dan rakyat akan kekal istiqamah dengan Islam.

Oleh kerana idea 'kepimpinan ulama' versi PAS yang diimport dari Iran ini satu  idea yang sangat asing dalam sejarah Islam dan masih begitu 'mentah', ada sebab kukuh untuk diragui kemampuan dan keabsahannya.

Dari itu, ada sebab munasabah untuk idea ini dikaji semula.

Malah, ada alasan yang boleh dipertimbangkan yang idea import itu berpotensi untuk menjerumuskan para ulama yang mengamalkannya ke dalam lumpur kediktatoran.

Perkara ini akan dikupas di tulisan akan datang, insyaAllah.

Wallahu a'lam.  

Friday, 10 July 2015

Bila Lagi Ulama Nak Bertaubat?


Turunnya Nabi Isa 'alaihissalam di akhir zaman, disebut dalam hadis-hadis mutawatir...

Ia juga sudah menjadi ijmak (konsensus) ulama...

Namun, meski pun begitu, al-marhum al-Imam al-Akbar al-Allamah Syaikh Mahmud Syaltut rhm menafikannya...

Bekas Syaikhul Azhar itu turut mentakwilkan ayat al-Quran berkenaan pengangkatan Nabi Isa a.s ke langit dengan takwilan yang janggal.

Ayat dari surah an-Nisa' (ayat :158) itu berbunyi :

بَل رَّفَعَهُ اللَّـهُ إِلَيْهِ وَكَانَ اللَّـهُ عَزِيزًا حَكِيمًا 

Maksudnya, "bahkan Allah mengangkatnya(Nabi Isa) kepadaNya, dan adalah Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".

Ayat ini ditakwilkan oleh Syaikh Syaltut dengan makna 'mengangkat darjat' Nabi Isa a.s, bukannya mengangkat jasad dan roh Baginda ke langit.

Di akhir hayatnya, Syaikh Syaltut telah membakar tulisan-tulisan beliau berkenaan pandangan-pandangan beliau yang janggal itu, dan bertaubat kepada Allah...

Demikianlah letak duduknya ulama...

Setinggi mana pun ilmu yang dimiliki, mereka tetap manusia biasa yang tidak maksum...

Demikianlah sifat ulama-ulama sejati...

Segera bertaubat atas kekhilafan dan kegelinciran pandangan...

Bagaimana pula dengan pandangan-pandangan menyimpang dan ekstrem sesetengah 'ulama' yang pernah mewarnai tanah air, yang kadang-kadang meruapkan bau takfir yang tengit?

Alangkah indahnya jika ia juga ditaubati...

Taubat bukan hanya untuk orang-orang awam...

Tapi, untuk para ulama juga...

Allahumma...


Thursday, 9 July 2015

Taubat Salafi

"Saya sentiasa mengikuti pergerakan (al-Marhum) Syaikh Muhammad al-Ghazali rhm. 

Tujuan saya, ialah mahu mengumpul pandangan beliau yang bercanggah dengan amalan salaf (untuk dijawab)", begitulah lebih kurang tulis seorang salafi.

Tulisan itu tersiar dalam al-Sabeel, akhbar rasmi Jabhah Amal Islami (Ikhwanul Muslimeen) Jordan sekitar tahun 1998.

"Kemudian, saya tersedar...

Perlakuan saya 'mengekori' Syaikh al-Ghazali untuk mencari kesilapan beliau, bercanggah dengan amalan salaf sendiri", sambung si salafi tadi dengan jujur.

"Para salaf tidak mencari-cari kesilapan orang...

Mereka hanya menegur dan memperbetulkan kesilapan jika sampai ke pengetahuan mereka sahaja", catat si salafi itu lagi menjelaskan bagaimana amalan para salafussoleh.

Kejujuran dan keikhlasan pasti akan menemukan para pemburu akan kebenaran...

Syaikh Muhammad al-Ghazali memang menjadi sasaran sesetengah salafi, terutamanya selepas terbitnya buku beliau, al-Sunnah al-Nabawiyyah Bayna Ahlil Feqh Wa Ahlil Hadith (Sunah Nabi Antara Ahli Fekah dan Ahli Hadis).

Dalam salah satu tulisannya, Syaikh Qaradhawi menceritakan kisah beliau dengan dua pemuda Arab. 

Waktu itu beliau menghadiri satu seminar di salah sebuah negara Arab. 

Ketika sedang berjalan, beliau disapa oleh dua pemuda, kemudian bertanya samada beliau Yusuf Qaradhawi atau bukan.

Setelah mengesahkan beliau adalah Qaradhawi, antara yang ditegaskan oleh pemuda itu ialah Syaikh Muhammad al-Ghazali adalah kafir! 

Begitukah akhlak dan metodologi salaf?

Wednesday, 8 July 2015

Mati/Lahir Sebelum/Selepas Malam Raya & kewajipan zakat Fitrah [kemas kini]

Mazhab Syafie mengatakan, syarat wajib zakat Fitrah, ialah ‘sempat menemui kedua-dua bulan’, iaitu bulan Ramadhan dan bulan Syawal (Mughni al-Muhtaj karangan Khatib al-Syarbini, jil.5, ms.62)

Oleh sebab itu :

i. Bayi yang dilahirkan selepas tenggelam matahari (selepas Maghrib) hari terakhir Ramadhan (atau lahir pada malam raya), tidak wajib zakat Fitrah ke atasnya.

Sebabnya, bayi tersebut hanya sempat bertemu dengan satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal.

ii. Isteri yang dikahwini selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau dikahwini pada malam raya), tidak wajib ke atas suaminya membayar zakat fitrah untuknya.

Sebabnya, wanita tersebut hanya menjadi isterinya hanya dalam satu bulan, iaitu bulan Syawal.

iii. Orang yang masuk Islam selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau masuk Islam pada malam raya), tidak wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, orang tersebut hanya menjadi muslim dalam satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal.

iv. Orang yang fakir, yang menjadi kaya selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau menjadi kaya pada malam raya), tidak wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, si fakir tersebut hanya berada dalam keadaan kaya dalam satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal. (Sabilal Muhtadin, jil.2, ms.222)

Dalam keempat-empat contoh di atas, kesemua individu terbabit tidak sempat menemui kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal. 

Justeru, tidak wajib ke atas mereka zakat Fitrah.

Sekali lagi ditegaskan, kata kunci berkaitan kewajipan zakat Fitrah ialah 'hidup dalam kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal'.

Oleh itu :

i. Bayi yang dilahirkan sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan, kemudian mati beberapa minit selepas Maghrib (iaitu malam raya), wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, bayi tersebut sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal walaupun dalam tempoh yang sangat singkat.

ii. Isteri yang dikahwini sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan, kemudian diceraikan selepas Maghrib hari tersebut (atau malam raya), wajib ke atas suami membayar zakat Fitrahnya.

Sebabnya, wanita tersebut sempat menemui bulan Ramadhan dan Syawal dalam keadaan menjadi isteri kepada si suami.

Pendapat salah

Difahami daripada penjelasan di atas, pendapat yang mengatakan, orang yang mati pada bulan Ramadhan, wajib dikeluarkan untuknya zakat Fitrah, adalah pendapat yang tidak benar.

Sebenarnya, nama zakat itu sendiri jelas menunjukkan ketidakbenaran pendapat ini.


Ia dinamakan zakat al-Fitr kerana ia diwajibkan dengan sebab tibanya Hari Raya Aidilfitri (Mughni al-Muhtaj, jil.5, ms.61).

Tuesday, 7 July 2015

Reformis Itu Adalah Kita


Terlalu bergantung kepada pahlawan, atau tokoh karismatik untuk menyelamatkan keadaan, pada tilikan mufakkir besar Islam, Malek Ben Nabi, adalah satu bentuk 'kemaharajalelaan dunia keindividuan' (طغيان عالم الأشخاص)...

Dan, ini adalah 'penyakit' pemikiran yang menjadi antara penghalang kebangkitan ummah...

Kesan penyakit ini, mereka tidak banyak berfikir dan berusaha menyelesaikan masalah, kerana lebih fokus kepada menunggu pahlawan harapan, yang diistilahkan sebagai 'rajul al-qadr' (رجل القدر) oleh Ben Nabi (lelaki hebat yang dikirim oleh taqdir)…

Laungan ‘di manakah Salahuddin al-Ayubi, di manakah Umar, dimanakah al-Muktasim’ (atau mana-mana tokoh agung Islam), yang digemakan di waktu-waktu sulit yang menjerut ummah, adalah sebahagian daripada simptom ‘penyakit’ ini.

‘Penyakit’ menggantungkan harapan perubahan kepada kemunculan tokoh hebat dan pahlawan agung!

Mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangan Imam Mahdi yang bakal merubah dunia-yang popular di kalangan sesetengah organisasi Islam-juga antara simptom ‘penyakit’ yang sama.

ii)

Menariknya, apabila 'rajul al-qadr' tidak muncul-muncul untuk memperbaiki keadaan, mereka akan mencari 'rajul an-nahas'-lelaki yg menyebabkan kecelakaan (رجل النحس)...

Lalu dengan mudah, segala kegagalan dan kesulitan yang menimpa mereka, dihempap ke atas 'rajul an-nahas' ini...

iii)

Semua ini salah musuh!

Semua ini salah kerajaan!

Senangkan?

Tanpa perlu berpenat lelah membuat analisa dan kemudiannya mencari solusi, segala masalah 'selesai'...

Kalau bingung mengapa perubahan lambat berlaku dalam sesebuah masyarakat, pemikiran Ben Nabi ini mungkin boleh memberikan pencerahan...

Monday, 6 July 2015

Mengapa Paksa Si Murtad Kekal Islam?

Berikut respons saya terhadap pertanyaan ikhlas seorang rakan non muslim berkenaan hukuman murtad dalam Islam.

Beliau bertanya, mengapa dipaksa seseorang itu kekal dalam agama yang dia sudah tidak percaya?

Jawapan kepada persoalan ini seperti berikut :

1. Bila dikaji hadis-hadis berkenaan hukuman murtad, didapati punca Nabi sallallahu 'alaihi wasallam memerangi golongan murtad, bukan kerana kemurtadan mereka.

Tapi, ia disebabkan faktor lain.

Iaitu, golongan yang murtad pada zaman Baginda, membentuk satu kumpulan yg mengancam umat dan negara Islam waktu itu.

Dalam erti kata lain, mereka bukan sekadar murtad. Tapi, membentuk kumpulan yang mengancam rakyat dan negara.

Dan, atas faktor 'ancaman' inilah mereka diperangi.

Ini kesimpulan kajian yang dibuat oleh ulama Islam semasa, Dr. Raysuni, kelahiran Maghribi.

2. Di zaman Saidina Umar r.a, terdapat kes murtad tanpa disertai pembentukan kumpulan yang mengancam negara.

Ertinya, murtad secara individu.

Oleh kerana tiada faktor 'ancaman' dalam kes murtad ini, Saidina Umar tidak menjatuhinya hukuman bunuh. Beliau hanya sekadar memenjarakannya sahaja.

Soal samada pemenjaraan orang yang murtad (yang tidak mengancam negara) bercanggah dengan kebebasan, itu tajuk lain. Boleh dibincang.

Provokasi

3. Orang Islam 'boleh' murtad secara senyap atau bersendirian. 

Dan, Islam tidak wajibkan pemerintah memeriksa apa yang ada dalam hati orang-orang Islam. Itu urusan individu terbabit dengan tuhan.

Dia 'bebas' untuk murtad selama mana kemurtadan itu berlaku antara dirinya dengan Tuhan.

Di sini, nampak jelas ada elamen kebebasan beragama.

Selesai.

Tapi, bila dia murtad secara terang-terangan, maka di sini Islam campur tangan. Iaitu, dengan memenjarakannya jika dia hanya sekadar murtad, tetapi tidak mengancam umat dan negara Islam.

Ertinya, Islam memandang, kemurtadan secara terang-terangan ini sebagai satu provokasi.

Atas faktor ianya satu provokasi, maka ia dianggap satu kesalahan, dan dikenakan hukuman.

Soal samada dipersetujui ianya satu provokasi atau tidak, ia soal lain.

Atas sebab itulah, orang yang murtad secara sendirian (senyap), tidak dikenakan apa-apa hukuman kerana tiada unsur provokasi di situ.

Dengan ini dimengertikan, menyamakan 'kebebasan memutuskan ikatan dengan Islam' dengan kebebasan 'memutuskan hubungan dengan pasangan hidup', adalah perbandingan yang tidak tepat.

Perbandingan ini bermaksud, jika seseorang itu bebas untuk memutuskan hubungan dengan pasangan yang sudah tidak sukainya, maka dia seharusnya diberi kebebasan 'memutuskan' hubungan dengan agama yang dia sudah tidak sukai dan yakini.

Memutuskan hubungan dengan pasangan hidup, tiada unsur provokasi. Ini berbeza dengan memutuskan hubungan dengan Islam. Padanya ada unsur provokasi ke atas umat Islam yang lain. 

Wallahu a'lam.