Monday 13 July 2015

Pegawai & Pejabat Agama : Lagi Keluhan Mualaf


Persatuan Kebajikan Mualaf Selangor pada Isnin (13 JUlai 2015) melahirkan rasa kecewa terhadap pegawai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), yang didakwa menunjukkan sikap negatif terhadap saudara baharu.

Presiden persatuan itu, Mikhael Iskhandaar berkata, ini berikutan pegawai MAIS yang ditempatkan di daerah ini mengambil sikap sambil lewa, dan kurang mesra dengan golongan itu sehingga menimbulkan persepsi tidak baik terhadap jabatan berkenaan.

"Saya kecewa kerana petugas MAIS daerah Klang, seakan tidak mempedulikan mualaf yang datang berurusan di pejabat mereka dan memberi pelbagai alasan jika sesuatu soalan diajukan untuk penjelasan lanjut.

"Kami sebagai mualaf menjadikan MAIS sebagai tempat rujukan apabila berdepan sebarang masalah, terutamanya berkaitan agama namun respons yang diberi langsung tidak membantu," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, sudah lumrah saudara baharu bertanyakan pelbagai soalan mengenai Islam, namun tenaga pengajar kelas Fardu Ain yang dilantik oleh MAIS, tidak membenarkan mereka bertanyakan soalan dan menyebabkan proses pembelajaran terbantut.

"Saya sudah menghantar surat memaklumkan masalah yang dihadapi kepada pihak pengurusan MAIS pada 6 Julai lepas, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.

"Jika tiada sebarang respons daripada mereka (MAIS), saya bersama rakan mualaf lain akan mengutuskan surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya satu tindakan segera diambil bagi membela nasib kami," kata Mikhael yang memeluk Islam sejak Januari lepas.


Bernama

1 comment:

  1. K-Slot Online | K-Slot | K-Slot Online | K-Slot | K-Slot
    K-Slot Online. Home · Slots. K-Slot Online. 메리트 카지노 주소 Slot Online. K-Slot. K-Slot. K-Slot. 온카지노 K-Slot. K-Slot. K-Slot. K-Slot. K-Slot. K-Slot. septcasino K-Slot.

    ReplyDelete