Saturday 11 July 2015

'Kepimpinan Ulama' PAS Dalam Kanta Eksperimen Sejarah Islam

Gambar hiasan
Konsep 'kepimpinan ulama' yang dimaksud di sini, ialah 'satu kepercayaan yang ulama mesti diangkat menjadi ketua organisasi, dan oleh itu, memiliki kata putus berhubung perjalanan dan hala tuju organisasi tersebut'. 

PAS telah bertindak tepat apabila berusaha mewujudkan satu instrumen bagi menjamin ia terus kekal atas landasan Islam. 

Kenyataan ini tidak boleh dipertikaikan. Memang mana-mana organisasi Islam, mesti dipastikan terus beristiqamah dengan Islam.

Yang boleh diperdebatkan, ialah instrumen yang digunakan PAS bagi memastikan ke'istiqamah'annya itu, iaitu dengan mengetengahkan instrumen yang namanya 'kepimpinan ulama' dengan makna di atas. 

Dan, tulisan ini adalah berkisar seputar instrumen pilihan PAS itu.

Formula Qurani

Al-Quran-dan kemudiannya disusuli al-Sunnah-telah mengetengahkan dua konsep utama bagi maksud mengawasi penguasa dan umat, demi memastikan mereka kekal istiqamah atas siratul mustaqim.

Dua konsep itu ialah 'dakwah'-yang termasuk di dalamnya konsep 'tarbiyah'-dan 'amar makruf nahi mungkar'. 

Kedua-dua konsep ini, kemudiannya dituntut agar dilaksanakan khususnya oleh para ulama dan du'at, dalam rangka memastikan penguasa dan umat kekal istiqamah dengan Islam. 


Ringkasnya, para ulama dan du'at, dibebankan dengan tugas memantau pemerintah dan rakyat, kemudian membetulkan sebarang kepincangan dengan instrumen 'dakwah' dan 'amar makruf nahi mungkar'. Ini dilakukan dengan tujuan mengekalkan mereka atas landasan Islam.

Dalam melaksanakan tugas pemelihara ke'istiqamah'an penguasa dan umat-yakni dengan formula qurani dua serangkai ini ('dakwah' dan 'amar makruf nahi mungkar')-para ulama agung di zaman-zaman lalu tidak pula menuntut agar golongan ulama diberikan kuasa eksekutif dalam organisasi.

Mereka sebaliknya selesa melunaskan tanggungjawab itu atas kapasiti mereka selaku orang awam yang memiliki pengetahuan agama yang lebih berbanding orang-orang awam yang lain.

Realitinya, inilah yang berlangsung sejak berkurun-kurun lamanya dalam sejarah Islam.

Hasil dan kesan daripada peranan 'dakwah' dan 'amar makruf nahi mungkar' yang dilakukan masyarakat awam yang berpengetahuan agama ini, umat Islam sejak berabad-abad lamanya sehingga kini, umumnya terus istiqamah atas landasan Islam.

Antara dua formula 

Di tengah-tengah eksperimen sejarah yang telah terbukti berjaya ini, PAS-dalam usaha memastikannya kekal istiqamah atas landasan Islam-telah mempopularkan satu idea baru, yang berlainan daripada yang telah dipraktiskan dalam sejarah umat yang panjang ini.

Jika al-Quran mengangkat konsep 'dakwah' dan 'amar makruf nahi mungkar'-yang diwajibkan ke atas mana-mana muslim yang berkelayakan, tanpa memestikannya diangkat ke kerusi ketua organisasi-dalam rangka memastikan ke'istiqamah'an penguasa dan umat-yang kemudiannya ia dipraktikkan dengan jayanya sepanjang sejarah umat-PAS pula mencipta (sebenarnya mengimport) idea yang sangat baru, dan belum terbukti berkesan.

Iaitulah yang namanya 'kepimpinan ulama', dengan makna ulama dipakukan pada kedudukan ketua dan pemilik kata putus dalam organisasi. 

Dengan idea ini, satu-satunya parti di dunia yang menamakan dirinya 'parti Islam' itu, berharap ke'istiqamah'annya atas landasan Islam dapat dijamin.

Bagi PAS, 'kepimpinan ulama'-dengan makna ulama sebagai ketua eksekutif organisasi-adalah satu-satunya jaminan yang PAS akan terus istiqamah atas jalan Islam. 

Sebab itulah, salah seorang pemimpin tertinggi parti itu membuat penegasan yang tanpa kepimpinan ulama, parti itu akan sesat dan jadi sekular!

Formula yang diamalkan sepanjang sejarah umat dan telah terbukti berkesan, iaitu keiltizaman masyarakat sivil yang berpengetahuan agama-yang digelar ulama atau du'at-melaksanakan tugas dakwah dan amar makruf nahi mungkar, bukan satu jaminan yang sesebuah organisasi itu akan terus istiqamah menurut pandangan PAS.

Bagi PAS, tidak dapat tidak, ulama mesti dilantik sebagai ketua tertinggi organisasi, barulah ada jaminan yang organisasi itu akan kekal istiqamah atas kebenaran.

Dalam erti kata lain, PAS tidak percaya yang peranan dakwah dan amar makruf nahi mungkar yang dilakukan masyarakat sivil yang berpengetahuan agama-seperti yang berlaku dalam sejarah umat-boleh menjamin yang sesebuah organisasi, penguasa dan rakyat akan kekal istiqamah dengan Islam.

Oleh kerana idea 'kepimpinan ulama' versi PAS yang diimport dari Iran ini satu  idea yang sangat asing dalam sejarah Islam dan masih begitu 'mentah', ada sebab kukuh untuk diragui kemampuan dan keabsahannya.

Dari itu, ada sebab munasabah untuk idea ini dikaji semula.

Malah, ada alasan yang boleh dipertimbangkan yang idea import itu berpotensi untuk menjerumuskan para ulama yang mengamalkannya ke dalam lumpur kediktatoran.

Perkara ini akan dikupas di tulisan akan datang, insyaAllah.

Wallahu a'lam.  

No comments:

Post a Comment