Monday, 14 April 2014

Ahli syurga di Telaga Zam-Zam, Ahli neraka di Telaga Barahut & Ustaz popular

Gambar hiasan
Entahlah...

Saya tidak pasti, adakah perlu tulisan ini dilakar...

Perasaan bercampur baur, rasa serba salah berlegar-legar di laman perasaan...

Namun, akhirnya keputusan dimuktamadkan juga...

Lalu, terhasillah coretan ini...

'Misteri' sebuah telaga

Sebetulnya, lama dulu, saya pernah menyediakan satu tulisan berkenaan satu telaga 'misteri' yang terletak di Hadramaut, Yaman. Namanya, Barahut. Telaga Barahut (bukan Barhut).

Tapi, atas sebab-sebab tertentu, saya tidak menyiarkannya.

Sebenarnya, dakwaan seorang ustaz popular bahawa ahli syurga di tempatkan di telaga Zam-Zam, manakala ahli neraka ditempatkan di Telaga Barahut, bukan satu isu.

Ia tidak perlu di'geger' dan disensasikan...

Ustaz tersebut juga tidak wajar dikecam, dikutuk atau dihukumkan menyeleweng atau sesat, semata-mata kerana beliau menukilkan cerita perihal tempat tinggal roh-roh ahli syurga dan neraka itu.

Mengapa?

Kerana, kalau kita membuka salah satu kitab karangan Imam Ibn Qayyim r.a, iaitu al-Ruh, akan ditemui satu perbahasan tentang 'tempat tinggal' ruh-ruh orang mati sebelum berlaku kiamat.

Dalam ungkapan lain, orang yang mati sebelum berlaku kiamat, setelah jasadnya dikebumikan, di manakah ruhnya ditempatkan.

Imam Ibn Qayyim mendatangkan banyak pendapat. Iaitu sekitar 11 pendapat.

Pendapat salaf

Di sini, saya hanya menukilkan pandangan yang berkaitan dengan tajuk tulisan ini sahaja.

Imam Ibn Qayyim menukilkan (al-Ruh (1984), ms.113, Jeddah : Darul Madani)

قال ابن منده : روي عن جماعة من الصحابة والتابعين أن أرواح المؤمنين بالجابية وأرواح الكفار ببرهوت بئر بحضرموت  

Terjemahan : Ibn Mandah berkata, "diriwayatkan daripada sekumpulan sahabat dan tabi'een bahawa [mereka berkata] roh-roh orang-orang yang beriman [ditempatkan] di [satu tempat bernama] Jabiyah, dan roh-roh orang-orang kafir [ditempatkan] di Barahut, [iaitu sebuah] telaga di Hadramaut".

Di waktu ini, Jabiyah berada dalam negara Syria.

Di halaman 131, Imam Ibn Qayyim menegaskan bahawa pendapat ini (roh orang mukmin di Jabiyah dan roh orang kafir di Telaga Barahut) adalah pendapat sebahagian ulama Ahli Sunnah, sambil menolak dakwaan Ibn Hazm yang mengatakannya pendapat Rafidhah.

Di halaman 114 pula Imam Ibn Qayyim mencatatkan :

وقالت طائفة : أرواح المؤمنين ببئر زمزم وأرواح الكفار ببئر برهوت
 
Terjemahan : Sebilangan [ulama] berkata, "roh-roh orang-orang mukmin [ditempatkan] di Telaga Zam-Zam, dan roh-roh orang-orang kafir [ditempatkan] di Telaga Barahut".

Walau bagaimana pun, Imam Ibn Qayyim dengan keras menolak (ms.133) pendapat yang mengatakan roh-roh orang-orang mukmin ditempatkan di Telaga Zam-Zam.

Agar tidak lari daripada maksud asal artikel ini ditulis, tulisan ini tidak akan memberi analisis terhadap setiap pandangan ulama berhubung tempat tinggal roh orang-orang mati sementara ketibaan kiamat ini.

Sesiapa yang inginkan pendetailan yang lebih, bolehlah merujuk kepada kitab al-Ruh atau terjemahannya (dalam Bahasa Indonesia).

Fakta 'pelik' agama

Realitinya, dalam khazanah Islam, banyak fakta 'pelik' yang sekali pandang seperti tidak masuk dek akal.

Saya masih ingat ketika mengambil subjek Tafsir 2 ketika belajar di Universiti Mu'tah dahulu. Antara kitab yang saya rujuk, ialah kitab Tafsir al-Manar karangan Syaikh Rasheed Redha rhm.

Antara fakta 'mengejutkan' dari Tafsir al-Manar ini, ialah kenyataan ulama-ulama muhaqqiqeen bahawa syurga yang didiami Nabi Adam a.s dan Hawa, adalah terletak di bumi!

Lebih dahsyat lagi, Imam al-Alusi dalam karyanya, Ruhul Ma'ani menukilkan dakwaan sesetengah tokoh sufi bahawa mereka pernah memasuki syurga Nabi Adam a.s itu!

Ketika mempelajari subjek Manahij Muhaddithin pula, tindakan Nabi Musa a.s menampar malaikat maut (Izrail), sehingga tercabut sebelah matanya, peristiwa Baginda berlari tanpa seurat pakaian, 'sikap buruk' cicak yang sengaja meniup api yang membakar Nabi Ibrahim s.a.w (dengan tujuan agar ia semakin marak), sedangkan beberapa haiwan lain berusaha memadamkannya-seperti yang dinyatakan hadis-hadis yang sahih-dan lain-lain fakta, memang memiliki kejutan tersendiri.

Semua ini akhirnya mendarat pada satu kesimpulan penting...

Bertenanglah...

Usahlah gelojoh...

Dan, teruskanlah kembara ilmi, dan usah berhenti...

Kerana, lautan ilmu ini tersangatlah luas!

Wallahu a'lam.    

Monday, 31 March 2014

Perlaksanaan Islam : Jangan memaksumkan ijtihad sendiri!

(i)

Syaidina Ali r.a dan Syaidina Muawiyah r.a bersepakat akan kewajipan perlaksanaan qisas ke atas pembunuh Syaidina Uthman r.a. 

Ini kerana, kewajipan melaksanakan hukuman qisas ke atas pembunuh, dinyatakan nas dengan jelas.

Cuma, mereka berdua berbeza pendapat berhubung soal perlaksanaan hukum qisas itu. 

Di saat Syaidina Ali r.a berpendapat, qisas perlu ditangguhkan buat sementara sehingga keadaan dalam negeri stabil, Syaidina Muawiyah r.a pula berpandangan sebaliknya.

Pada beliau, ia perlu disegerakan.

Ekoran perbezaan pendapat ini, tercetuslah pertelingkahan antara kedua tokoh besar Islam itu.

(ii)

Kewajipan qisas ke atas pembunuh (dalam konteks ini pembunuh Syaidina Uthman r.a) adalah perkara qat'ie, dan dinyatakan oleh nas yangg maksum.

Di peringkat ini, tiada sebarang khilaf. Kesemua pihak bersepakat dan sebulat suara.

Namun, soal perlaksanaannya (bila, bagaimana), adalah ijtihad manusia yangg tidak maksum.

Pada tahap ini, seringkali berlaku khilaf.

(iii)

Demikianlah dalam banyak isu perlaksanaan Islam.

Dalam banyak kes, perselisihan pendapat sebenarnya-jika diamati-berlaku seputar cara perlaksanaan hukum hakam Islam itu (yang merupakan ijtihad manusia yang tidak maksum), bukannya berhubung kewajipan melaksanakannya.

Contohnya ialah pertelingkahan antara Syaidina Ali r.a dan Syaidina Muawiyah r.a seperti di atas.

(iv)

Pemahaman tentang hal ini sangat penting.

Ini kerana, seringkali berlaku, apabila sesuatu hukum Islam itu disebut oleh nas yang qat'ie (dan tentunya maksum-seperti kewajipan melaksanakan qisas), sesetengah pihak beranggapan bahawa percubaannya melaksanakan hukum Islam yang disebutkan itu, juga maksum. 

Bertitik tolak daripada anggapan ini, maka pihak terbabit terdorong untuk melabel sesiapa yang menentang, atau tidak menyetujui perlaksanaan Islam yang cuba dilaksanakan itu, sebagai kafir, menolak hukum hakam Islam, anti hukum Islam dan sebagainya.

Mereka lupa, bahawa percubaan mereka melaksanakan sesuatu hukum Islam itu, adalah satu ijtihad mereka yang tidak maksum. Yang maksum hanyalah nas yang mewajibkan perlaksanaan hukum Islam tersebut. 

Gejala ini boleh dielakkan dengan memahami 'apa yang maksum', dan 'apa yang merupakan ijtihad manusia yang tidak maksum' dalam soal perlaksanaan hukum hakam Islam.

Wallahu a'lam. 

Saturday, 29 March 2014

MENILAI HUJJAH 'TONG TAIK DIBERSIH DARI LUAR, BUKAN DARI DALAM'



(i)
 
"Tong taik dibersihkan dari luar, bukannya dibersih dari dalam (dengan terjun ke dalamnya)..."

Hujjah (perbandingan) ini sering digunakan bagi menidakkan 'tindakan menyertai sesebuah organisasi yg dikatakan tidak islamik', dengan tujuan mengislahkannya dari dalam...

Pada pandangan pemakai hujjah ini, menyertai organisasi yang tidak islamik-dengan tujuan mengislahkannya dari dalam-sama seperti orang yang mahu mencuci 'tong taik', masuk ke dalam 'tong taik' itu, dan membersihkannya dari dalam.

Ringkasnya, 'pembersihan dari dalam' selain tidak praktikal dan tidak akan berjaya, ia juga akan memalitkan kekotoran kepada tubuh badan. 

(ii)

Persoalannya :

1. Bila disebut Imam Hassan al-Banna masuk ke kelab-kelab malam untuk berdakwah, tidak pula dibantah tindakan beliau ini dengan hujjah 'tong taik dibersih dari luar, bukannya dari dalam'. 

Sebaliknya, tindakan al-Syahid itu disanjung dan kagumi.

Berpandukan hujjah ‘tong taik’ ini, tindakan Imam Hassan al-Banna masuk ke kelab-kelab malam bagi tujuan islah, sama seperti terjun ke dalam ‘tong taik’, dan membersihkannya dari dalam.

Sepatutnya-mengikut hujjah ‘tong taik’ ini-Imam Hassan al-Banna mesti berdakwah di bahagian luar kelab-kelab malam tersebut, bukan masuk ke dalamnya!

2. Tindakan para pemuda dari sesetengah parti politik beraliran Islam terjun ke tengah-tengah konsert hiburan tidak islamik utk mengedar poster dan risalah dakwah, dijulang sebagai satu kesungguhan dalam berdakwah.

Entah macam mana, hujah 'tong taik' juga tidak diguna pakai di sini.

Anehnya, bila melibatkan kemasukan atau penyertaan ke dalam parti lawan-dengan tujuan islah dari dalam-hujjah 'tong taik' ini segera dimainkan...

Persoalannya, apakah sebenarnya yang ‘bersarang’ di sebalik dwi sikap yang kontradik ini?

(iii)

Satu persoalan berbaki : Bagaimana sesuatu seruan dakwah boleh sampai ke sasaran, jika para da’ie  hanya berdakwah dari 'luar, dan tidak terjun ke tengah-tengah gelanggang dakwah'?

Bukankah dengan berada di 'dalam', seruan dakwah boleh terus sampai ke sasaran?

Kesudian Nabi Yusuf a.s menjawat-bahkan meminta jawatan-sebagai menteri dalam kerajaan Mesir pimpinan bukan Islam ketika itu, juga tidak boleh dikesampingkan.

(iv)

Oh, ya...

Ini bukan tentang kebaikan dan keburukan berdakwah dari 'dalam'...

Ini adalah tentang kredibiliti hujjah 'tong taik' yang sering didendangkan…

Itu saja...

Wallahu a'lam.

Monday, 24 March 2014

Qasidah & hingar bingar 'Ya Madad' : Rasai pengalaman berbeza!

Ada yg meningkah, 'wahabi' marahkan perbuatan memuliakan Nabi sallallahu alaihi wasallam. Buktinya, mrk menegah sungguh amalan men'saidina'kan Baginda.

Mujurlah saya pernah sempat bersimpuh di teratak 'wahabi', lalu berkesempatan mengenali yg dikatakan 'wahabi' itu melalui karya2 mrk sendiri.

Emmm...mengenali mrk melalui mrk sendiri. Bkn melalui org lain, atau musuh mrk.

Lantas, saya mengutarakan, mrk bukan menegah perbuatan memuliakan Rasul. Tp, cara mrk memuliakan Rasul itu, berbeza dgn cara kalian.

Kalau kalian memuliakan Rasul dgn men'saidina'kannya, mrk pula dgn cara tdk men'saidina'kannya.

Pd mrk, tdk men'saidina'kan Rasul, adalah sunnah. Dan, sudah brg pasti, 'mengikut sunnah' adalah terjemahan kpd pemuliaan ke atas Baginda Rasul.

Emmmm...mrk dan kalian sebetulnya bersepakat dlm soal kewajipan memuliakan Rasul. 

Cuma, caranya berbeza.

(ii)

Kemudian, suara nyaring mengkritik kumpulan sufi pula dtg menggigit telinga.

"Mrk membenihkan keta'assuban kpd guru apabila menatahkan kata, "sesiapa yg berkata kpd gurunya 'mengapa' (mempersoalkan guru), maka dia tdk akan berjaya selama2nya'.

Lalu, saya bersimpuh pula di serambi tasawwuf, dan cuba memahaminya melalui karya2 mrk sendiri.

Emmm...mengenali dan memahami mrk melalui mrk sendiri. Bkn melalui org lain, atau musuh mrk!

Rupa2nya, mrk membahagikan sang guru kpd dua kelompok...

Satunya, dinamakan 'syaikhul ta'lim' (guru yg mengendali pembelajaran), dan satu lagi, digelar 'syaikhul tarbiyah' (guru pengendali pentarbiyahan jiwa).

Tutur mrk, mana mungkin perawatan seorang pesakit boleh berjaya, andai si pesakit tdk yakin dan ragu2 dgn kemampuan doktor, lantas mendorongnya byk mempersoalkan arahan2 doktor?

Nah, demikianlah juga seorg 'pesakit rohani' yg ragu2 dgn 'syaikhul tarbiyah'nya, serta byk pula mempersoalkan suruhan dan saranannya? Manakan berjaya meraih kesembuhan?

Oh, rupa2nya, yg dimaksudkan dgn kata2 sufi yg masyhur itu, ialah si murid yg menuturkan 'mengapa' kpd syaikhul tarbiyah, bukannya syaikhul ta'lim.

(iii)

Sewaktu singgah di teratak 'wahabi' itu, berkumandang pula suara al-Allamah Ben Baz rhm mengkritik kata2 hikmat Imam Atha'illah al-Sakandari qaddasallahu sirrah.

Imam sufi itu menitipkan dlm kalam hikmahnya, "perilaku kamu berdoa kpdNya, bermakna kamu mentohmahNya".

Kata2 ini memahamkan bhw imam sufi ini menyarankan agar dikesampingkan amalan berdoa.

Sekali lagi, saya menyeberang ke tepian tasawwuf, lalu ketemu butir2 kata Syaikh Sa'id Hawwa rhm.

Ungkap beliau, Imam Atha'illah bkn menyuruh kita berhenti berdoa.

Beliau menyuruh kita berdoa. Tp, meminta kita menyedari bhw Allah mengetahui segala keadaan kita ketika kita menadah tangan kpdNya. 

Jadinya, 'berdoa' bukanlah bg memberitahu keadaan kita kpd Allah, tetapi bg menzahirkan ubudiyyah kpdNya.

Subhanallah, kata2 yg sgt indah, dan terpancar daripadanya kejernihan tauhid...

Oh, berapa ramai yg tika berdoa kpd Allah-tanpa sedar-sprt beranggapan Allah tdk mengetahui keadaannnya, dan oleh itu, doanya itu adalah bagi memberitahu kpdNya akan halnya itu...

Orang yang begini keadaannya ketika berdoa, tidak ragu-ragu lagi telah membuat 'tohmahan' kepada Yang Maha Mengetahui segala.

(iv)

Oh, berkenalan dgn semua aliran faham, dan bersimpuh di semua teratak ilmu, memberikan pengalaman berbeza, dan menguak luas jendela minda.

Di sini, tiada latahan yg meriuhkan, juga tanpa lentingan yg membingitkan.

Pentarjihan yg diusahakan dan kritikan yg berjalan, kesemua berlangsung dgn mesra dan harmoni.

Di sinilah WASATIYYAH datang bersimpuh dan bertamu penuh mesra!

(v)

Oh ya, andai ada hasrat di hati berkenalan dgn 'qasidah' dan 'ya madad'nya, silalah 'ziarahi' Imam al-Mujtahid Taqiyyuddin al-Subki lewat karyanya شفاء السقام في زيارة خير الأنام dan Imam Ibnu Hajar al-Haythami melalui tulisannya الجوهر المنظم في زيارة القبر المكرم


Wallahu a'lam.

Thursday, 27 February 2014

Hukum hakam janin yang keguguran

Seorang sahabat saya bertanya tentang hukum hakam berkaitan janin yang keguguran.

Dalam kitab-kitab feqh, 'janin yang keguguran' disebut sebagai السَقْط.

Yang dimaksudkan dengan 'janin yang keguguran' di sini, ialah janin yang gugur daripada kandungan si ibu.

Bagi memudahkan kefahaman, persoalan ini akan dihurai mengikut tertib berikut :

1. Definisi janin

Janin ialah 'kandungan yang berusia kurang daripada enam (6) bulan'.

Definisi ini dirumuskan daripada pandangan Syaikh Ramli, murid-murid beliau dan Syaikh Khatib al-Syarbini.
 
Definisi ini bermakna :

a. Kandungan berusia enam (6) bulan dan ke atas, yang keluar daripada perut si ibu, tidak dinamakan 'janin'. 

Sebaliknya, ia adalah bayi atau manusia yang sempurna.

b. Proses keluarnya janin ini daripada perut si ibu, tidak dinamakan 'keguguran'.

Sebaliknya, ia adalah adalah proses kelahiran biasa.

Justeru, jika kandungan yang mencapai usia enam (6) bulan ini lahir dalam keadaan bernyawa, kemudian meninggal, maka ia wajib diselenggara seperti jenazah biasa.

Ia wajib dimandi, dikafan, disembahyangi dan dikebumikan.

Demikian juga jika ia lahir dalam keadaan tidak bernyawa (meninggal dalam perut ibu). Ia wajib dimandi, dikafan, disembahyangi dan dikebumikan seperti jenazah biasa.

Hukum ini difatwakan oleh Syaikh al-Ramli, murid-murid beliau dan Syaikh Khatib al-Syarbini.
Oleh itu, perbahasan tentang hukum hakam berkaitan janin yang keguguran, hanya berkaitan dengan kandungan yang berusia bawah enam (6) bulan sahaja.

2. Asas hukum

Asas kepada semua hukum berkaitan 'janin yang keguguran', ialah samada janin tersebut berbentuk manusia, atau tidak.

Dalam ungkapan lain, dalam memutuskan sesuatu hukum berkaitan 'janin yang keguguran', yang diambil kira ialah samada janin tersebut berbentuk manusia, atau tidak.

Hal ini dinyatakan oleh Syaikh Khatib al-Syarbini dalam karyanya, Mughni al-Muhtaj

3. Kategori janin yang keguguran

Ia terbahagi kepada dua (2) :

a. Janin yang tidak berbentuk manusia; dan

b. Janin yang berbentuk manusia

(INGATAN! Janin ialah kandungan yang berusia kurang daripada enam (6) bulan)

Janin yang tidak berbentuk manusia

Janin yang tidak berbentuk manusia, tidak dianggap sebagai manusia. Biasanya, janin yang tidak berbentuk manusia, bukan satu makhluk hidup. 

Oleh itu, tiada satu pun perkara yang wajib dilakukan ke atasnya. 

Iaitu, ia tidak wajib dimandi, dikafan, disembahyangi dan dikebumi.

Yang ada ialah perkara sunat sahaja. Iaitu ia sunat dibungkus dan dikebumikan sahaja.

Janin yang berbentuk manusia

Ia terbahagi kepada dua jenis :

a. Janin yang tiada tanda-tanda hidup (seperti menangis, bergerak, bernafas dan sebagainya)

Maksudnya, janin yang gugur tanpa disertai sebarang tanda hidup.

Hukumnya : Wajib dilakukan semua perkara yang wajib dilakukan ke atas jenazah biasa, kecuali solat.

Maknanya, ia wajib dimandi, dikafan dan dikebumikan sahaja.

Menurut Syaikh al-Bakri dalam I'anah al-Tolibeen, ia tidak harus (tidak boleh) disembahyangi.

b. Janin yang ada tanda-tanda hidup (seperti menangis, bergerak, bernafas dan sebagainya).

Ertinya, ia gugur daripada perut si ibu dalam keadaan ada tanda-tanda hidup, kemudia ia meninggal.

Hukumnya : Wajibkan dilakukan semua perkara yang wajib dilakukan ke atas jenazah biasa. 

Iaitu, wajib dimandi, dikafan, disembahyangi dan dikebumi.
 Penutup

Kesemua hukum yang dinyatakan adalah berpandukan pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafie radhiyAllahu 'anhu.

Wallahu a'lam

Sunday, 23 February 2014

Hukum bersumpah depan Quran, letak tangan atas Quran atau menjunjungnya ketika bersumpah

Amalan 'bersumpah di hadapan al-Quran', memang wujud dalam masyarakat kita. Begitu juga perbuatan 'meletakkan tangan di atas al-Quran' ketika bersumpah.

Seringkali juga terdengar suara-suara yang menyatakan 'kesanggupan bersumpah sambil menjunjung al-Quran'.

Seperti biasa, persoalan ini akan ditinjau melalui jendela mazhab Syafie radhiyAllahu 'anhu. Pandangan mazhab-mazhab lain hanya akan disebut jika ada keperluan. 

Muqaddimah

Bagi memudahkan pemahaman tentang hukum amalan ini, perlu difahami terlebih dahulu soal 'pengukuhan sumpah', atau تغليظ اليمين

Maqasid (tujuan) sumpah ialah 'mendesak seseorang bercakap benar' berhubung sesuatu isu atau kes.

Rata-rata orang Islam takut untuk berbohong ketika bersumpah (atau melakukan sumpah bohong).

Namun, ada juga orang yang berani berbohong ketika bersumpah. Bagi mengatasai masalah ini, sumpah perlu diperkukuhkan.

Sumpah diperkukuhkan dengan tempat, iaitu melakukan sumpah di tempat-tempat yang mulia, seperti dalam masjid. Atau diperkukuhkan dengan masa yang mulia, seperti bersumpah di bulan Ramadhan, selepas solat, semasa wukuf di Arafah, dan sebagainya. 

Sumpah juga diperkukuhkan dengan menambahkan sifat Allah dalam sumpah. Seperti berkata, "demi Allah yang mengetahui yang zahir dan tersembunyi, yang memiliki langit dan bumi, aku bersumpah...".

Bersumpah dengan sumpah yang diperkukuhkan dengan cara-cara yang dinyatakan, akan menyebabkan seseorang melihat tindakan bersumpah sebagai satu acara yang hebat, seterusnya menimbulkan lebih rasa gerun untuk berbohong ketika bersumpah.

'Pengukuhan sumpah' atau تغليظ اليمين ini dikupas oleh para fuqaha' dalam bab li'an (sumpah antara suami dan isteri) dan al-Da'wa (pendakwaan).

Kenyataan fuqaha'

Berhubung hukum amalan bersumpah dengan cara yang dinyatakan di awal tulisan ini, ia boleh disaring melalui kupasan para fuqaha'.

Imam Nawawi radhiyAllahu 'anhu dalam karyanya, Raudhah al-Tolibeen  menyatakan :
واستحب الشافعي رحمه الله أن يقرأ على الحالف " إن الذين يشترون بعهد الله وأيمانهم ثمناً قليلا " الآية وأن يحضر المصحف ويوضع في حجر الحالف

Terjemahan : [Imam] Syafie rhm mensunatkan [supaya] dibaca kepada orang yang [akan] bersumpah [ayat 77 surah Ali Imran yang berbunyi] إن الذين يشترون بعهد الله وأيمانهم ثمناً قليلا dan [mensunatkan supaya] dibawa mushaf (al-Quran) dan diletakkan dalam dakapan orang yang [akan] bersumpah.

Ayat 77 surah Ali Imran secara lengkap berbunyi :

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّـهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَـٰئِكَ لَا خَلَاقَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّـهُ وَلَا يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿٧٧
 
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit, dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah-sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka, dan tidak akan memandang mereka di hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka [dari dosa], dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Ringkasnya, menurut Imam Syafie r.a, dua perkara berikut sunat dilakukan terhadap orang yang mahu bersumpah :

1. Dibacakan kepadanya ayat 77 surah Ali Imran; dan

2. Diletakkan al-Quran dalam dakapannya.

'Bersumpah sambil mendakap al-Quran', adalah antara cara memperkukuhkan sumpah. Dengan cara ini, perasaan gerun untuk berbohong ketika bersumpah, akan semakin menebal dalam diri seseorang yang mahu bersumpah.

Manakala Syaikh Al-Bakri dalam karyanya, I'anah al-Tolibeen pula mencatatkan bahawa sesetengah ulama menyatakan :
التغليظ أن يوضع المصحف في حجره ويطلع له سورة براءة، ويقال له ضع يدك على ذلك ويقرأ قوله تعالى: * (إن الذين يشترون) * الآية.

Terjemahan : Pengukuhan [sumpah dilakukan dengan] diletakkan mushaf dalam dakapannya (orang yang mahu bersumpah), dan dibuka kepadanya surah al-Bara'ah (al-Taubah), dan dikatakan kepadanya, "letakkan tanganmu di atasnya (surah al-Taubah)", dan dibaca [kepadanya] firman [Allah] ta'ala [dalam surah Ali Imran, ayat 77 yang berbunyi] : إن الذين يشترون [sehingga akhir ayat].

Ringkasnya, cara memperkukuhkan sumpah ialah :

1. Meletakkan mushaf dalam dakapan orang yang mahu bersumpah;

2. Disuruh orang yang mahu bersumpah meletakkan tangannya di atas surah al-Taubah; dan

3. Dibaca kepadanya ayat 77 surah Ali Imran.

Hukum syarak

Berdasarkan dua petikan ini, boleh disimpulkan seperti berikut :

1. 'Bersumpah sambil mendakap al-Quran', adalah dibolehkan (hukumnya sunat). Ini kerana, tindakan ini dapat memperkukuhkan sumpah yang dilakukan.

Oleh itu, bersumpah di hadapan al-Quran juga dibolehkan. Ini kerana, ia juga dapat memperkukuhkan sumpah.

Memperkukuhkan sumpah dengan cara mendakap al-Quran (ketika bersumpah), bukanlah satu cara yang mengikat, dengan makna tidak boleh dilakukan cara yang lain.

Buktinya, sesetengah ulama memperkukuhkan sumpah dengan menyuruh seseorang yang mahu bersumpah, meletakkan tangan di atas surah al-Taubah, seperti yang disebut dalam I'anah Tolibeen.

2. 'Meletakkan tangan di atas surah al-Taubah' ketika bersumpah, difatwakan sebagai harus. Oleh demikian, lebih utama 'meletakkan tangan di atas keseluruhan al-Quran' ketika bersumpah, dihukumkan harus.

3. Berdasarkan kenyataan ulama-ulama mazhab Syafie r.a, boleh disimpulkan bahawa perbuatan 'menjunjung al-Quran ketika bersumpah', juga dibolehkan. 

Perbuatan ini sama dengan perbuatan 'mendakap al-Quran' atau 'meletakkan tangan di atas surah al-Taubah' ketika bersumpah. Iaitu sama dari segi memperkukuhkan sumpah.

Manakala cara memperkukuhkan sumpah yang disebut dalam Raudhah al-Tolibeen dan I'anah al-Tolibeen seperti di atas, bukanlah satu cara yang mengikat.

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi oleh tindakan sesetengah tabi'een.

Dalam Musannaf Abdul Razak, direkodkan seperti berikut :
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِينَ ، قَالَ : كَانَ كَعْبُ بْنُ سُورٍ يُحَلِّفُ أَهْلَ الْكِتَابِ يَضَعُ عَلَى رَأْسِهِ الإِنْجِيلَ، ثُمَّ يَأْتِي بِهِ إِلَى الْمَذْبَحِ فَيَحْلِفُ بِاللَّهِ "

Terjemahan : [Diriwayatkan] daripada Muhammad Ibn Sireen (Ibn Sireen) [bahawa beliau] berkata, "[pernah] Ka'ab Ibn Suur [ketika] mengarahkan Ahli Kitab bersumpah, [beliau] meletakkan [kitab] Injil di atas kepalanya (Ahli Kitab), kemudian membawanya ke Mazbah (nama tempat), lalu dia (Ahli Kitab) bersumpah dengan [nama] Allah".

Petikan ini merekodkan tindakan Ka'ab Ibn Suur meletakkan kitab Injil-kitab suci Ahli Kitab (Kristian)-di atas kepala Ahli Kitab tersebut ketika mengarahkannya bersumpah.

Beliau melakukan sedemikian bagi memperkukuhkan sumpah. 

Jika sumpah Ahli Kitab boleh diperkukuhkan dengan cara meminta mereka menjunjung kitab suci mereka ketika bersumpah, maka sumpah penganut Islam juga boleh diperkukuhkan dengan cara meminta mereka menjunjung al-Quran ketika bersumpah.

Kesimpulan

1. Amalan bersumpah di hadapan al-Quran, atau bersumpah sambil meletakkan tangan di atas al-Quran atau menjunjungnya, adalah harus.

Ini berdasarkan kenyataan-kenyataan para ulama mazhab Syafie yang muktabar.

2. Amalan ini tidak boleh dianggap sebagai menyerupai amalan orang Kristian (yang meletakkan tangan di atas kitab Injil ketika bersumpah). Bukan juga amalan bid'ah, atau amalan yang boleh disifatkan sebagai 'tiada dalam Islam'.

Wallahu a'lam.