"Aku berkata kepada seorang lelaki yang selalu meneguk arak, "tidakkah kamu mahu bertaubat kepada Allah?".
Lantas, dia memandangku dengan hiba, dan matanya menangis, serta berkata, "berdoalah kepada Allah untukku...".
Aku mengamati keadaan lelaki itu, dan hatiku merasa belas...
Sesungguhnya, tangisannya itu adalah satu perasaan betapa cuainya dia dalam mentaati Allah, juga satu kesedihan atas ketidakpatuhannya, dan keinginannya 'berbaik' dengan Allah...
Sesungguhnya, dia memang seorang mukmin, tetapi dia diuji [dengan dosa]...
Dia mengimpikan 'kesembuhan', dan meminta bantuanku untuk mendekatkan kesembuhan itu kepadanya.
Aku berkata kepada diriku, "boleh jadi, keadaanku sama dengan keadaan lelaki ini, atau lebih buruk lagi!".
Betul, aku tidak pernah mengecapi arak. Persekitaran yang aku diami, tidak mengenalinya.
Tetapi, barangkali aku telah mengambil 'arak' kelalaian, yang menjadikanku banyak alpakan tuhanku, dan melupakan hak-hakNya.
Sesungguhnya, lelaki pemabuk itu menangis lantaran kecuaiannya...
Sedangkan aku dan orang-orang sepertiku (ulama), tidak menangis atas kecuaian yang dilakukan.
Boleh jadi, kita tertipu dengan diri kita sendiri...
Aku beralih semula kepada lelaki yang meminta aku berdoa agar dia dapat meninggalkan arak itu.
Aku berkata kepadanya, "marilah kita sama-sama berdoa untuk diri kita :
ربنا ظلمنا أنفسنا وإن لم تغفر لنا وترحمنا لنكونن من الخاسرين
(Wahai tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampun dan merahmati kami, nescaya menjadilah kami dari golongan orang-orang yang rugi).
***
Hari ini, kita mencemuh sepenuh hati wanita-wanita yang mendedahkan aurat. Tapi, kita alpa akan keaiban diri sendiri yang sering terdedah kepada 'pandangan' Allah...Kita mengutuk sekerasnya muda mudi yang bertingkah tidak sopan. Tapi, kita tidak begitu kisahkan 'kebiadapan' batin kita terhadap Allah...
Kita menghentam selantangnya penguasa kerana tidak melaksanakan hukum hakam syariat. Namun, kita sengaja melupakan yang kita juga sering membelakangkan syariat dalam kehidupan...
"Wahai kaumku, duhai bangsaku...
marilah kalian dan aku, bersama-sama memperbaiki dan mempersuci diri..."
Itulah bahasa yang terinspirasi daripada cerita Allamah Syaikh Muhammad al-Ghazali ini, yang sepatutnya menjadi tuturan setiap da'ie...
Dakwah bertolak dari jiwa da'ie yang sedar akan hakikat dirinya sendiri, bukannya dari jiwa yang merasakan dirinya suci...
Allahumma...











