Friday, 17 January 2014

Cara Salaf mendepani kenaikan kos sara hidup

Krisis kenaikan kos sara hidup bukan sahaja fenomena yang mendunia, bahkan juga gejala sepanjang zaman.

Sebagaimana ia pernah 'menjangkiti' zaman Nabi sallallahu 'alaihi wa ali wasallam-seperti yang terakam dalam hadis tas'eer (penetapan harga barang)-zaman salafussoleh juga turut 'dihinggapi' gejala ini.

Lalu, tidak menghairankan ditemui di tengah-tengah timbunan ilmu para salaf, idea-idea mereka berkaitan kaedah mendepani krisis peningkatan kos sara hidup. 

Dalam Syarah Bulugh al-Maram, Syaikh 'Atiyyah Muhammad Salim menukilkan satu idea yang diketengahkan Syaidina Umar r.a sebagai penawar krisis tradisi ini.

Pemboikotan

Idea ini terpacul semasa orang ramai datang menemui beliau membawa aduan berkenaan kenaikan harga daging di pasaran.

"Wahai Umar, [harga] daging [telah menjadi] mahal. Justeru, tetapkanlah harganya untuk kami", adu mereka kepada khalifah kedua umat Islam itu.

Syaidina Umar r.a menolak, sambil meminta mereka sendiri yang menurunkan harga daging tersebut.

Satu permintaan pelik dan membingungkan! 

"Tidak! [aku tidak akan menetapkan harga daging]. Kamu [sendirilah] yang memurahkannya (menurunkan harganya)!", balas Syaidina Umar r.a.

Mereka sangat pelik dengan jawapan balas yang melantun daripada mulut Amirul Mukminin itu.

"Bagaimana kami [dapat] memurahkannya (menurunkan harganya), sedangkan kami tidak memilikinya!?", persoal mereka.

Menjelaskan maksud saranannya agar mereka sendiri yang menurunkan harga daging, Syaidina Umar r.a mengatakan, "biarkan daging itu bersama mereka (penjual)", iaitu jangan dibeli daging-daging itu. 

Dalam erti kata lain, boikot daging-daging tersebut.

Mereka menyetujui saranan itu lalu memboikot daging selama dua hari. 

Pada hari kedua pemboikotan, penjual-penjual daging sudah mula meneriakkan kepada mereka agar membeli daging-daging yang dijual. Mereka tetap berkeras tidak mahu membeli. 

Akhirnya, para penjual menurunkan harga daging.

Teks asal petikan di atas seperti berikut :

قالوا: يا عمر! غلى اللحم فسعره لنا، فقال: لا، أرخصوه أنتم، قالوا: كيف نرخصه وليس عندنا؟! قال: اتركوه لهم، فتركوه اليوم الأول، وتركوه اليوم الثاني، فإذا بالجزارين ينادونهم: هلموا -يا جماعة- للحم، قالوا: لا، أنتم أغليتموه علينا، ثم رخصوه لهم.
 
Dengan mereka memboikot, permintaan ke atas daging berkurang. Kesannya, harga daging menurun. Justeru, tindakan mereka memboikot daging, sama seperti mereka menurunkan harga daging tersebut.

Melalui saranan boikot ini, Syaidina Umar r.a menghantar dua mesej penting.

Pertama, bila berlaku kenaikan harga barang, para pengguna mempunyai 'kuasa' menjadikannya murah. Dalam ungkapan lain, mereka 'berkuasa' menurunkan harganya. Iaitu melalui pemboikotan. 

'Kuasa' menurunkan harga barang bukan hanya terletak di tangan penjual.

Kedua, pemboikotan sebagai kaedah mendepani kenaikan harga barang, bukanlah idea baru. Ia sudah wujud sejak zaman para Salaf lagi. Iaitu sejak zaman Syaidina Umar r.a. Selain ia menepati hukum supply and demand dalam ekonomi.

Saranan sama diutarakan tokoh agung sufi, Sayyidi Ibrahim Adham radhiyallahu 'anhu.

Dalam kitab Tarikh Dimasyq karangan Ibn 'Asakir, dicatatkan bahawa dikatakan kepada tokoh sufi itu, "harga daging sudah meningkat". Beliau menjawab, "kamu murahkanlah [harga] nya". Iaitu dengan memboikotnya supaya harganya menjadi murah.

Teguran

Dua mesej yang terselit dalam saranan Syaidina Umar r.a ini merupakan satu 'teguran secara tidak langsung' kepada mana-mana pihak yang memperlekeh saranan agar menjadikan boikot sebagai satu pendekatan menangani krisis kenaikan harga barang.

Justeru idea pemboikotan ini pernah diutarakan oleh watak-watak agung di zaman salaf-selain ia menepati hukum supply and demand-kritikan bernada sinis ke atas idea ini seperti 'kalau begitu, jika harga bil elektrik naik, boikot elektrik, jika harga air naik, boikot air', adalah sesuatu yang tidak diraikan.

Ini kerana, semua orang sedia maklum bahawa saranan boikot ini hanya tertuju kepada barang-barang yang boleh diboikot sahaja. Ia tidak berkaitan dengan barangan asas yang menjadi 'nadi' dan 'nyawa' kehidupan manusia.

Tegasnya, tidak semua benda boleh diboikot. Namun, pemboikotan barangan yang mampu diboikot oleh pengguna, tetap senjata sahih dan ampuh bagi menyurutkan kenaikan harga.

Menyedari 'pemboikotan sebagai kaedah menangani kenaikan harga barang' merupakan idea yang telah lama dikemukakan Syaidina Umar r.a, golongan agamawan khususnya mesti menjauhi sikap memperlekeh mana-mana pihak yang menyarankan idea ini bagi mengatasi krisis kenaikan harga barang yang sedang berlaku.

Ini kerana, apabila seseorang agamawan ditanya tentang kaedah mendepani krisis kenaikan harga barang menurut persepsi Islam, tidak dapat tidak mereka akan merujuk antaranya kepada pendapat para ulama zaman silam dan masa kini.

Justeru, mereka pasti akan bersua dengan pandangan Syaidina Umar r.a ini, dan tidak dapat tidak mereka terpaksa menyatakan bahawa feqh Islam memperakui pemboikotan merupakan salah satu kaedah menangani kenaikan harga barang!

Meskipun demikian, tidak dinafikan bahawa idea 'pemboikotan sebagai satu kaedah mendepani kenaikan harga'-dalam situasi-situasi tertentu-perlu diolah sebaiknya, dan dikemukakan dengan bahasa 'mesra' pengguna.

Ungkapan 'kalau harga ayam mahal, jangan makan ayam'-dalam situasi-situasi tertentu- mungkin agak 'kasar' membuatkannya tidak sesuai digunakan bagi merujuk kepada pemboikotan meskipun ia sama dari segi makna.

Ungkapan 'gunakan 'kuasa' pengguna untuk menurunkan harga barangan dengan menghentikan sementara pembelian barangan terbabit' dan seumpamanya, mungkin lebih 'mesra' lalu boleh diterima masyarakat.

Rendah kadar cukai

Saranan boikot ini sesuai dipraktikkan orang ramai di atas kapasiti mereka selaku rakyat biasa.

Justeru, Syaidina Umar r.a-secara praktikal-mengetengahkan satu lagi kaedah mendepani kenaikan kos sara hidup yang sesuai dan boleh dilaksanakan sesebuah kerajaan.

Dalam karyanya, al-Muwatta Imam Malik r.a merekodkan kenyataan Ibnu Umar r.a yang berbunyi :

أن عمر كان يأخذ عن النَّبْط من الحنطة والزيت نصفَ العُشُر، يريد أن يُكثر الحملَ إلى المدينة ويأخذ من القِطْنيّة العُشُر

Terjemahan : "Sesungguhnya [Syaidina] Umar r.a mengambil [cukai] daripada an-Nabt (non muslim Tanah Syam), daripada gandum dan minyak [yang mereka bawa untuk diniagakan sebanyak] setengah10% (iaitu 5%). 

Beliau [merendahkan cukai kerana] mahu memperbanyakkan [aktiviti] membawa [masuk gandum dan minyak] ke Madinah. [Sementara itu] beliau mengambil [cukai] daripada 'qitniyyah' [yang mereka bawa] sebanyak] 10%".

Dalam kitab Tahzeeb al-Asma' Wa al-Lughat, Imam Nawawi mengatakan, al-qitniyyah adalah nama bagi semua jenis bijirin yang dimasak.

Polisi pengenaan cukai yang rendah ke atas barangan tertentu dari luar yang dibawa masuk ke pasaran tempatan, akan menggalakkan pedagang-pedagang luar membawa masuk barangan tersebut ke pasaran lokal. 

Kesannya, barangan tersebut akan wujud di pasaran tempatan dalam kadar yang mengcukupi bagi menampung permintaan para pengguna. Keadaan ini akan menghalang 'demam' kenaikan harga barang daripada berlaku.

Barang alternatif

Sorotan ke atas perbendaharaan ilmu para salaf, menemukan satu lagi idea yang ditampilkan sebagai pencabar kepada serangan kenaikan harga barang.

Idea ini dicetuskan Syaidina Ali r.a.

Imam Daraqutni dalam karyanya al-Mu'talif Wa al-Mukhtalif mencatatkan bahawa Imam Bukhari meriwayatkan dengan sanad beliau sendiri seperti berikut :

قال رزين الأعرج مولى آل العباس بن عبد المطلب :  غلا الزيبب علينا بمكة وكتبنا إلى علي بالكوفة فكتب : "ارخصوه بالتمر".
 
Terjemahan : Razeen al-A'raj, mawla (hamba yang dibebaskan) keluarga al-Abbas r.a bin Abdul Muttalib berkata, "[pernah terjadi harga] anggur kering di Mekah [menjadi] mahal. Lalu kami menulis [surat] kepada [Syaidina] Ali r.a [yang berada] di Kufah [mengadukan kepada beliau perkara itu]. Lalu [Syaidina Ali r.a] menulis [kepada kami yang berbunyi] "murahkanlah (turunkanlah) [harga]nya dengan kurma".

Pengkisahan Razeen al-A'raj ini turut direkodkan Imam Yahya Ibn Ma'een dalam karyanya, Tarikh Yahya Ibn Ma'een.

"Murahkanlah (turunkanlah) harganya (anggur kering) dengan kurma" bermaksud 'berhentilah membeli anggur kering dan belilah kurma sebagai ganti'.

Dengan syor ini, Syaidina Ali r.a mengetengahkan idea 'beralih kepada barangan lain yang sejenis' bagi mengatasi kenaikan harga sesuatu barang. 

Cadangan agar penduduk Mekah ketika itu beralih daripada anggur kering kepada kurma, dibuat kerana kurma adalah makanan sejenis dengan anggur kering, selain ia banyak terdapat di Mekah dan harganya murah.

Dengan kaedah ini, permintaan terhadap anggur kering akan menyusut, dan tidak dapat tidak, harganya akan menurun.

Watak salaf

Imbauan ke atas sejarah masa silam ini menitipkan bahawa para salaf mendepani krisis kenaikan kos sara hidup yang menular, dengan berfikir dan merangka strategi, bukan semata-mata berserah dan bertawakkal begitu sahaja.

Dengan ini, mereka tidak mengamalkan budaya 'mengutuk kegelapan'. Tapi bangkit menyalakan lilin bagi menghalau kegelapan dan menerangi suasana.

Paparan ini juga menunjukkan bahawa para salaf bukan hanya menyumbang idea berhubung soal-soal agama atau akhirat, tetapi-secara aktif-turut berpatisipasi dalam mencanai idea-idea berkait isu-isu semasa dan keduniaan. 
 
Wallahu a'lam.

Saturday, 11 January 2014

Fatwa 'bughah' dari jendela Usul Feqh



Fatwa ‘berani mati’ yang menyifatkan peserta demonstrasi TURUN pada 31 Januari 2013 sebagai ‘bughah’ dan ‘halal darah’, jika disoroti semua pihak melalui jendela ilmu Usul Feqh-ilmu yang menyelia kegiatan ijtihad atau pemfatwaan-berkemungkinan besar sudah dapat dimuktamadkan, atau telah ditemui jalan penyelesaiannya.

Antara perkara yang disinggung dalam Usul Feqh, ialah ‘peringkat-peringkat kegiatan ijtihad’ atau pemfatwaan. Perbahasan inilah yang perlu dijadikan 'jendela' bagi meneropong fatwa ‘panas’ itu.

Peringkat pertama proses pemfatwaan, ialah memahami nas-nas al-Quran dan hadis-yang berkaitan dengan sesuatu kes yang sedang didepani-dan selanjutnya ‘mencungkil’ hukum bagi kes tersebut daripada nas-nas tadi.

Peringkat ini dinamakan Feqhul Fahm, al-Ijtihad al-Istinbati atau Feqhul Ta’sil. Karya-karya klasik Usul Feqh menamakannya Takhrijul Manat.

Dalam kes fatwa ‘bughah’ dan ‘halal darah’ ini, hukum yang berkaitan telah pun difahami dan ‘dicungkil’. Iaitu, wajib diperangi bughah-pemberontak bersenjata ke atas kerajaan yang sah-dan halal darah mereka ditumpahkan.

Hukum ini difahami daripada ayat 9 Surah al-Hujurat yang bermaksud, “jika dua kumpulan dari kalangan orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu daripadanya bersikap melampau (zalim), maka lawanlah kumpulan yang melampau (zalim) itu sehingga ia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika ia kembali patuh, maka damaikanlah diantara keduanya dengan adil…”.

Di peringkat pertama proses pemfatwaan ini (peringkat pemahaman dan ‘pencungkilan’ hukum daripada nas), hanya ulama yang berkelayakan boleh terlibat.

Hal ini kerana, untuk memahami nas-nas al-Quran dan hadis, kemahiran dalam Bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam yang berkaitan, adalah satu kemestian.

Ringkasnya, di peringkat ini, apa yang diperlukan seseorang mufti ialah pengetahuan dalam Bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam yang berkaitan, bagi membolehkannya memahami nas dan ‘mencungkil’ hukum daripadanya.

Bebas masalah

Di peringkat pemahaman dan ‘pencungkilan’ hukum ini, fatwa ‘bughah’ dan ‘halal darah’ tiada sebarang masalah dan pertikaian.

Semua pihak, termasuk peserta demonstrasi TURUN dan pengeluar fatwa ‘bughah’, menyetujui bahawa bughah ialah pemberontak bersenjata ke atas pemerintah yang sah, dan mereka wajib diperangi serta darah mereka halal ditumpahkan.

Tiada sebarang masalah dan pertikaian di sini.

Justeru, semua pihak yang membicarakan isu fatwa ‘bughah’ ini, perlu mengabaikan soal definisi sebenar bughah (iaitu penentang bersenjata ke atas kerajaan yang sah), atau pun soal keharusan menumpahkan darah mereka.

Perkara ini tidak perlu dibangkitkan lantaran ia bukan satu masalah. Ini kerana, elamen ‘penentangan bersenjata’ dipersetujui semua pihak adalah syarat mana-mana penentang kerajaan boleh dilabelkan sebagai bughah.

Tugas mufti

Sebaik sahaja hukum syarak berkenaan sesuatu kes telah dikenal pasti, proses pemfatwaan memasuki peringkat kedua. Iaitu peringkat menjatuhkan hukum (yang telah dikenalpasti di peringkat pertama tadi) ke atas kes yang sedang didepani.

Peringkat ini diistilahkan sebagai al-ijtihad al-tatbiqi atau al-ijtihad al-tanzili. Sesetengah ulama silam menggunakan istilah tahqiqul manat bagi merujuk kepada peringkat ini.

Dalam erti kata lain, peringkat kedua proses pemfatwaan ini merupakan ‘proses implementasi hukum ke atas kes yang sedang diteliti’.

Dalam konteks fatwa ‘bughah’ dan ‘halal darah’ ini, tugas mufti di peringkat kedua ini (peringkat menjatuhkan hukum ke atas kes), ialah meneliti samada ciri-ciri bughah (iaitu penentangan bersenjata ke atas kerajaan) terdapat pada para peserta demonstrasi TURUN, atau sebaliknya.

Secara perbandingan, di peringkat pertama pemfatwaan (pemahaman dan ‘pencungkilan’ hukum daripada nas), skop tugasan mufti ialah ‘memahami nas dan mencungkil hukum daripadanya’.

Dalam ungkapan lain, ‘medan’ tempat mufti berpencak di peringkat ini, ialah nas-nas al-Quran atau Hadis.

Sementara instrumen yang diperlukan mufti selama bertugas di ‘medan nas’ ini, ialah kefahaman tentang Bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam yang berkaitan.

Adapun di peringkat kedua pemfatwaan (implementasi hukum ke atas kes), ‘medan’ mufti ialah ‘realiti semasa’ yang berkaitan dengan kes yang sedang dihadapi. Medannya bukan lagi nas-nas al-Quran atau Hadis.

Instrumen yang diperlukan mufti di ‘medan realiti’ ini, ialah pemahaman tentang kes, pengetahuan tentang fakta-fakta dan segala maklumat berkaitan kes tersebut, beserta dengan bukti-bukti yang sahih dan berkredibiliti.

Di peringkat implementasi hukum ini, pengetahuan tentang Bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam yang berkaitan, tidak lagi berperanan atau diperlukan. Hal ini dinyatakan oleh Imam Syatibi dalam karya agungnya, al-Muwafaqat.

Dalam konteks fatwa ‘bughah’ dan ‘halal darah’ ini, di peringkat implementasi hukum, mufti tidak lagi boleh berhujjah dengan ayat 9 Surah al-Hujurat untuk membuktikan bahawa peserta demonstrasi TURUN adalah bughah.

Sebaliknya-di peringkat ini-mufti berkewajipan bersandar kepada bukti-bukti teknikal yang berwibawa, yang boleh mensabitkan dengan yakin bahawa para peserta TURUN telah melakukan ‘penentangan bersenjata ke atas kerajaan’.

Dengan berbuat demikian, barulah mufti boleh berkira-kira untuk menganggap mereka sebagai bughah.

Tergesa-gesa melabel peserta demonstrasi tersebut sebagai bughah dan darah mereka dalal ditumpahkan berdalilkan ayat 9 surah al-Hujurat (yang menggesa diperangi bughah), tanpa mengemukakan bukti-bukti yang sahih dan berwibawa bahawa mereka telah melakukan ‘penentangan bersenjata ke atas kerajaan’, adalah menyalahi kaedah pemfatwaan yang sebenar.

Kerapuhan fatwa

Kalau di peringkat pertama tadi (peringkat pemahaman dan ‘pencungkilan’ hukum daripada nas), fatwa ‘bughah’ dan ‘halal darah’ tiada sebarang masalah dan pertikaian, di peringkat kedua (peringkat implementasi hukum ke atas kes), fatwa tersebut mula ‘tergelincir’, menyebabkan ia kelihatan begitu longgar, rapuh dan goyah.

Dengan hanya bersandar kepada gambar beberapa unit senjata yang dipercayai (sekadar ‘dipercayai’) milik peserta demonstrasi TURUN-tanpa proses penghujahan dan soal jawab dengan semua pihak terbabit-fatwa tersebut-secara sebelah pihak-terus menyifatkan demonstrasi tersebut sebagai ‘penentangan bersenjata ke atas kerajaan’, dan oleh itu peserta-pesertanya diputuskan sebagai bughah!

Inilah punca pertikaian dan ‘titik masalah’ pada fatwa ‘bughah’ dan ‘halal darah’ ini. Iaitu penjatuhan hukum tanpa proses pembuktian yang berkredibiliti dan diperakui sah.

Atas andaian beberapa unit senjata yang dipamerkan itu berjaya dibuktikan sebagai milik peserta demonstrasi TURUN, fatwa itu tetap rapuh kerana menghukum kesemua ribuan peserta sebagai bughah, sedangkan senjata yang ditemui hanyalah beberapa unit sahaja.

Logiknya, label ‘bughah’ sewajarnya hanya dikenakan ke atas beberapa kerat peserta yang membawa senjata itu sahaja, bukan kesemua peserta!

Kerapuhan fatwa ‘bughah’ ini boleh dilihat dengan lebih jelas melalui analogi hukuman gantung sampai mati ke atas pengedar dadah.

Semua pihak bersetuju bahawa-menurut undang-undang negara ini-hukuman bagi kesalahan mengedar dadah dalam kadar tertentu, ialah gantung sampai mati.

Namun, tiada siapa pun yang waras boleh menerima tindakan mana-mana pihak memutuskan-tanpa proses pembuktian yang sahih dan berwibawa-seseorang yang dipercayai (sekadar ‘dipercayai’) mengedar dadah dalam kadar tertentu tadi, sebagai boleh dihukum gantung sampai mati!

Penyelesaian

Sorotan ke atas fatwa ‘bughah’ melalui jendela Usul Feqh ini menjelmakan penyelesaian mudah kepada polemik yang dicetuskan fatwa ini.

Iaitu, mendesak pengeluar fatwa tersebut mengemukakan proses pembuktian yang berwibawa, yang boleh mensabitkan bahawa peserta demonstrasi TURUN telah melakukan ‘penentangan bersenjata ke atas kerajaan’.

Jika ini dapat dilakukan, pasti semua pihak tidak teragak-agak untuk menerima fatwa tersebut.

Namun, jika tuntutan ini tidak mampu dilakukan, desakan agar fatwa itu ditarik balik, perlu dilakukan. Pengeluar fatwa itu juga perlu bertanggungjawab menarik balik fatwa itu kerana dibimbangi ia termasuk dalam kategori menuduh tanpa bukti yang sahih.

Dalam rangka menolak fatwa ‘bughah’ ini, para pengkritik tidak perlulah membawa definisi bughah oleh imam itu, ulama ini, atau soal-soal lain kerana ia hanya akan menjadikan isu fatwa ‘bughah’ ini semakin berkecamuk, meleret dan memeningkan orang awam.

Yang perlu dilambung dan diberikan fokus ialah mendesak dikemukakan bukti-bukti yang berwibawa bahawa peserta demostrasi TURUN telah melakukan ‘penentangan bersenjata ke atas kerajaan’.

Itu sahaja.

Selain proses pembuktian yang sangat lemah, ‘masalah’ lain fatwa ‘bughah’ ini ialah ia boleh memberikan gambaran salah tentang layanan sebenar terhadap bughah menurut feqh Islam.

Dalam feqh Islam, golongan yang benar-benar terbukti bughah, tidak boleh terus diperangi.

Imam Nawawi dalam kitabnya, al-Minhaj menyatakan, “[pemerintah] tidak boleh memerangi bughah sebelum mengutuskan kepada mereka seorang yang amanah, cerdik, yang memberi nasihat [bagi] bertanyakan mereka [tentang] apa yang mereka tidak sukai [yang menyebabkan mereka memberontak].

Jika mereka membangkitkan kezaliman [yang dilakukan pemerintah yang mendorong mereka memberontak] atau syubah (tanggapan terhadap pemerintah), [maka hendaklah] utusan [pemerintah] menyelesaikannya.

[Namun] jika mereka berkeras [untuk terus memberontak walaupun kezaliman dan syubah telah diselesaikan], utusan [pemerintah] hendaklah menasihati mereka. Kemudian [jika mereka tetap berkeras untuk terus memberontak], utusan [atau pemerintah] hendaklah mengisytiharkan perang ke atas mereka.

[Setelah diisytiharkan perang], jika mereka meminta tempoh, [maka pemerintah] hendak berijtihad [samada mahu memberi tempoh atau tidak] dan melakukan apa yang difikirkan betul”.

Wallahu a‘lam. 

Sunday, 29 December 2013

Sambutan Tahun Baru : Jangan sampai meruntuh apa yang dibina!

Saya ada terbaca serangkap syair Arab.

Bunyinya begini :

متى يبلغ البنيانُ يوما تمامَه   إذا كنتَ تبنيه وغيرُك يهدم

Terjemahan : "Bilakah [sesuatu] binaan akan sampai kepada kesudahannya suatu  hari [nanti], andai engkau membinanya [sedang] orang lain [pula] meruntuhkan [nya]?”.

Ya, binaan itu tidak akan siap sampai bila-bila. Biar pun kita bersekang mata dan membanting tulang membinanya, ia tidak akan siap, andai dalam masa sama, orang lain meruntuhkannya.
Ia juga tidak akan siap, jikalau tangan kita membina, sedang kaki kita menghenyak-henyak apa yang kita bina itu.

Kerja membina dan meruntuh dalam masa sama, adalah kerja membuang masa, tenaga dan harta.

Natijah sama juga akan berlaku dalam agenda pembinaan manusia. Pembinaan manusia tidak akan selesai sampai bila-bila, jika kita membina, dan dalam masa sama, kita meruntuhkannya!

Bina waktu siang, runtuh waktu malam

Bilakah manusia secara keseluruhan akan ‘terbangun’, jika manusia yang dibentuk oleh institusi pendidikan dan keagamaan di siang hari, ‘diruntuhkan’ oleh agensi penyiaran dan hiburan di malam hari?

Bilakah jati diri anak bangsa kita akan utuh, andai jiwa mereka yang ‘dikentalkan’ di kem-kem latihan, ‘dileburkan’ di kelab-kelab malam dan pusat hiburan?

Fenomena ‘membina dan meruntuh dalam masa sama’, sangat menyedihkan. Sebenarnya, pelakunya lebih berhak dikasihani daripada dimarahi.

Jika mahu digambarkan kelakuan ini dalam skala yang lebih kecil, ia saling tidak ubah seperti seorang yang membina sebuah rumah dengan tangan kanannya, sambil tangan kirinya meruntuhkan apa yang dibina!

Disinilah tersingkapnya rahsia kegagalan kita membina manusia!

Semua boleh mengakui, bahawa kita jauh terkehadapan berbanding negara-negara Islam lain dalam usaha pembangunan Islam dan umat Islam. Justeru, kita dikagumi dan menjadi Negara Islam contoh!

Komitmen kita terhadap pendidikan Islam di peringkat rendah dan tinggi, sangat jelas. Langkahan kaki kita di ‘litar’ kewangan Islam, memang laju. Jauh meninggalkan negara-negara Islam lain.

Kesungguhan kita menyuburkan program-program Islam, sungguh ketara. Kini, kita melangkah penuh bergaya setapak lagi ke hadapan dengan penubuhan saluran TV berteraskan Islam, TV al-Hijrah.

Namun, kebejatan sosial terus membarah. Keruntuhan akhlak kian parah!

Seriuskah?

Rahsianya, kita membina, tetapi pada waktu yang sama, kita juga meruntuhkan apa yang kita bina itu.

Kita bina anak bangsa kita di siang hari dengan ilmu, kepakaran dan agama. Tapi, malangnya, kita 'runtuhkan'nya di malam hari dengan pembiakan budaya hedonisme!

Akibatnya, penat lelah dan wang ringgit yang dicurahkan bagi membangun manusia, tidak membawa pulangan seperti yang diharapkan.

Mutakhir ini, perangai ‘membina dan meruntuh dalam masa sama’, nampaknya kian galak dan ‘tak keruan’.

Pada titik ini, tercetus persoalan, seriuskan kita membina modal insan?

Persoalan lain, mengapa kita terdorong melakukan kerja ‘membina dan meruntuh’ ini? Kita tahu ia kerja merugikan. Membuang masa. Tapi kita lakukan juga.


Inilah bahananya apabila pembinaan manusia dilakukan mengikut suka, bukan menurut acuan agama!

Friday, 27 December 2013

Syiah : Kekhilafan berbahaya Hanifa Maidin dan Chandra Muzaffar!

YB Hanifa Maidin
Ada satu 'kejutan' terselit dalam tulisan YB Hanifa Maidin dalam Harakahdaily bertarikh 19 Disember 2013.

Namun, atas faktor situasi diri dan perkiraan tertentu, 'kejutan' yang bagai menggelepar dalam perasaan itu, saya diamkan sahaja.

Hari ini (26 Disember 2013), perasaan saya 'dijolok' sekali lagi oleh 'kejutan' yang dilepaskan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu. Kali ini, 'kejutan' itu dihidupkan oleh Presiden International Movement for a Just Wold (JUST), Dr. Chandra Muzaffar.

'Inisiatif' Presiden JUST itu diapungkan oleh BERNAMA pada 25 Disember 2013, kemudian 'disambar' dengan pantas oleh Harakahdaily dan Malaysian Insider keesokkan harinya, 26 Disember 2013.

Kemunculan kali kedua 'kejutan' itu di pentas wacana semasa, menandakan ia sudah mula diterima. Menyedari itu, saya tiada pilihan lain selain menitipkan tulisan ini bagi menepis bahana 'kejutan' yang dilepaskan.

Tulisan Ahli Parlimen Sepang yang dimaksudkan itu berjudul Syiah, Mat Sabu dan kesesatan terpilih.

'Kejutan' dalam tulisan itu ialah pada dakwaan beliau bahawa Amman Message yang berpusat di Jordan, "mengiktiraf mazhab Syiah Jaafariyyah dan Zaidiyyah-disamping Mazhab Ibadhi dan Sunni-sebagai mazhab yang diiktiraf sah oleh Islam".

Ketetapan Amman Message itu pula-menurut beliau lagi-ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia yang diwakili Tun Abdullah Badawi, Dato' Seri Shahidan Kassim dan Khairy Jamaluddin.

Lebih daripada itu, menurut YB Hanifa lagi, ia turut ditandatangani banyak negara Islam lain dan ulama-ulama besar sedunia dari pelbagai mazhab, termasuklah ulama terkenal Mauritania, Syaikh Abdullah Ben Bayyah.

Dakwaan YB Hanifa ini kemudiannya disambut oleh Dr. Chandra, dan diberitakan BERNAMA pada 25 Disember 2013 dengan tajuk JUST minta pengesahan awam mengenai 'Mesej Amman'.

Dakwaan berbahaya

Implikasi dakwaan ini sangat besar. Dan makna tersirat di sebaliknya juga besar, malah berbahaya!

Implikasinya boleh dilihat melalui urutan berikut :

  1. 'Amman Message' mengiktiraf mazhab Syiah sebagai mazhab yang sah dalam Islam;
  2. Pengiktirafan Amman Message ini, ditandatangani Kerajaan Malaysia, negara-negara Islam lain dan ulama-ulama besar sedunia daripada pelbagai mazhab; dan 
  3. Urutan(1)dan (2) di atas dengan sendirinya membentuk dua natijah penting iaitu : 
  • Ahli Sunnah boleh menganut ajaran Syiah. Ini kerana ia mazhab yang sah dalam     Islam. Manakala, kesahan mazhab Syiah ini pula diperakui ulama-ulama besar           pelbagai mazhab, negara-negara Islam lain dan Kerajaan Malaysia sendiri; dan
  • Tindakan Kerajaan Malaysia mengekang penyebaran ajaran Syiah di Malaysia, adalah satu langkah yang salah, dan tindakan yang kontradik. Ini kerana, ajaran Syiah adalah mazhab yang sah dalam Islam, dan ini diperakui sendiri Kerajaan Malaysia melalui Amman Message yang dinyatakan.
Pencerahan
Persoalan pokok di sini ialah, benarkah dakwaan YB Hanifa Maidin ini?

Sesiapa jua yang memiliki asas-asas pengajian akidah, akan serta merta meragui dakwaan sebegini. 

Bukankah hadis Nabi sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam telah lama mengkhabarkan umatnya akan berpecah kepada 73 firqah? Dan, daripada 73 firqah ini, hanya satu firqah sahaja yang benar, dan dijamin sebagai firqah yang terselamat daripada kesesatan (al-firqah an-najiah),
manakala firqah-firqah yang selebihnya adalah firqah yang sesat?

Bila kita meyakini firqah yang benar daripada 73 firqah itu ialah firqah Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka dengan sendirinya kita meyakini bahawa firqah-firqah yang berbaki, adalah sesat. Manakala, firqah yang sesat pula bukanlah ajaran atau mazhab yang diperakui sah dalam Islam.

Maka, bagaimana mungkin ulama-ulama besar, termasuk Allamah Syaikh Ben Bayyah memperakui Syiah sebagai satu mazhab yang sah dalam Islam?

Rujukan terus kepada ketetapan Amman Message itu mengesahkan bahawa dakwaan YB Hanifa itu tidak benar sama sekali. 

Amman Message mengandungi 5 ketetapan yang dipersetujui bersama oleh ulama Ahli Sunnah dan ulama Syiah.

Ketetapan yang didakwa YB Hanifa sebagai 'mengiktiraf Syiah sebagai mazhab yang sah dalam Islam', ialah ketetapan nombor 1.

Teks dalam Bahasa Arabnya berbunyi :
(1) إنّ كل من يتّبع أحد المذاهب الأربعة من أهل السنّة والجماعة (الحنفي، والمالكي، والشافعي، والحنبلي) والمذهب الجعفري، والمذهب الزيدي، والمذهب الإباضي، والمذهب الظاهري، فهو مسلم، ولا يجوز تكفيره. ويحرم دمه وعرضه وماله. وأيضاً، ووفقاً لما جاء في فتوى فضيلة شيخ الأزهر، لا يجوز تكفير أصحاب العقيدة الأشعريّة، ومن يمارس التصوّف الحقيقي. وكذلك لا يجوز تكفير أصحاب الفكر السلفي الصحيح.

Terjemahan : "Setiap orang yang mengikuti salah satu daripada empat (4) mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali), mazhab Ja'fari (Ja'fariyyah), Mazhab Zaidiy (Zaidiyyah), Mazhab Ibadhi dan Mazhab Zahiri, maka dia [adalah seorang] muslim, dan tidak boleh dikafirkan.

Haram [dicerobohi] darah, kehormatan dan hartanya. Begitu juga-selaras dengan fatwa Syaikhul Azhar-tidak boleh ditakfir pengikut-pengikut Akidah 'Asyairah, dan  sesiapa yang mempraktikkan tasauf yang sebenar. Begitu juga, tidak boleh ditakfir pengikut-pengikut aliran Salafi yang benar".

Manakala dalam Bahasa Inggeris pula, ketetapan nombor 1 tersebut diterjemahkan seperti berikut :

(1) Whosoever is an adherent to one of the four Sunni schools (Mathahib) of Islamic       jurisprudence (Hanafi, Maliki, Shafi'i and Hanbali), the two Shi'i schools of Islamic jurisprudence (Jafari and Zaydi), the Ibadi school of Islamic jurisprudence and the Thahiri school of Islamic jurisprudence, is a Muslim.

Declaring that person an apostate is impossible and impermissible. Verily his (or her) blood, honour, and property are inviolable. Moreover, it is not possible nor permissible to declare whosoever subscribes to the Ash'ari creed or whoever practices real Tasawwuf (Sufism) an apostate. Likewise, it is not possible nor permissible to declare whosoever subscribes to true Salafi thought an apostate.

Kekhilafan besar

Inti pati ketetapan nombor 1 ini sangat jelas.

Ia adalah satu perakuan bahawa penganut Syiah adalah seorang muslim. Justeru, mereka tidak boleh dikafirkan tanpa bukti yang jelas.

Darah, kehormatan dan harta mereka juga tidak boleh dicerobohi kerana mereka adalah muslim.

Inilah 'ruang legar' atau skop ketetapan nombor 1 Amman Message ini. Iaitu 'kemusliman penganut Syiah' dan 'keterpeliharaan darah, kehormatan dan harta mereka'.

Secara tersurat atau tersirat, ketetapan Amman Message ini sedikit pun tidak mengiktiraf ajaran Syiah sebagai satu mazhab yang sah dalam Islam. 

Di sini, YB Hanifa Maidin 'terjerlus' dalam kekhilafan yang besar dan berbahaya!

Ketetapan Amman Message yang memperakui penganut Syiah sebagai muslim, difahami dan diwar-warkan sebagai 'perakuan bahawa ajaran Syiah adalah satu mazhab yang sah dalam Islam!

Perakuan akan keislaman pengikut sesuatu mazhab, tidak bermakna perakuan akan kesahan mazhab tersebut. 

Sama seperti perakuan akan keislaman Ayah Pin, Tuhan Harun, pengikut Jemaah Arqam, atau mana-mana pengikut ajaran sesat. Ia sama sekali tidak bermakna perakuan akan kesahan ajaran-ajaran tersebut.

Lebih malang, kekhilafan berbahaya YB Hanifa Maidin ini, disambut kemas secara terburu-buru oleh Presiden JUST.

Kepada para pembaca budiman, tugas selanjutnya ialah memperbetulkan kekhilafan ini.

Wallahu a'lam.