Saya
ada terbaca serangkap syair Arab.
Bunyinya
begini :
متى يبلغ
البنيانُ يوما تمامَه إذا كنتَ تبنيه وغيرُك
يهدم
Terjemahan
: "Bilakah [sesuatu] binaan akan sampai kepada kesudahannya suatu hari [nanti], andai engkau membinanya
[sedang] orang lain [pula] meruntuhkan [nya]?”.
Ya,
binaan itu tidak akan siap sampai bila-bila. Biar pun kita bersekang mata dan
membanting tulang membinanya, ia tidak akan siap, andai dalam masa sama, orang
lain meruntuhkannya.
Ia
juga tidak akan siap, jikalau tangan kita membina, sedang kaki kita
menghenyak-henyak apa yang kita bina itu.
Kerja
membina dan meruntuh dalam masa sama, adalah kerja membuang masa, tenaga dan
harta.
Natijah
sama juga akan berlaku dalam agenda pembinaan manusia. Pembinaan manusia tidak
akan selesai sampai bila-bila, jika kita membina, dan dalam masa sama, kita
meruntuhkannya!
Bina
waktu siang, runtuh waktu malam
Bilakah
manusia secara keseluruhan akan ‘terbangun’, jika manusia yang dibentuk oleh
institusi pendidikan dan keagamaan di siang hari, ‘diruntuhkan’ oleh agensi
penyiaran dan hiburan di malam hari?
Bilakah
jati diri anak bangsa kita akan utuh, andai jiwa mereka yang ‘dikentalkan’ di
kem-kem latihan, ‘dileburkan’ di kelab-kelab malam dan pusat hiburan?
Fenomena
‘membina dan meruntuh dalam masa sama’, sangat menyedihkan. Sebenarnya,
pelakunya lebih berhak dikasihani daripada dimarahi.
Jika
mahu digambarkan kelakuan ini dalam skala yang lebih kecil, ia saling tidak
ubah seperti seorang yang membina sebuah rumah dengan tangan kanannya, sambil
tangan kirinya meruntuhkan apa yang dibina!
Disinilah
tersingkapnya rahsia kegagalan kita membina manusia!
Semua
boleh mengakui, bahawa kita jauh terkehadapan berbanding negara-negara Islam
lain dalam usaha pembangunan Islam dan umat Islam. Justeru, kita dikagumi dan
menjadi Negara Islam contoh!
Komitmen
kita terhadap pendidikan Islam di peringkat rendah dan tinggi, sangat jelas.
Langkahan kaki kita di ‘litar’ kewangan Islam, memang laju. Jauh meninggalkan
negara-negara Islam lain.
Kesungguhan
kita menyuburkan program-program Islam, sungguh ketara. Kini, kita melangkah
penuh bergaya setapak lagi ke hadapan dengan penubuhan saluran TV berteraskan
Islam, TV al-Hijrah.
Namun,
kebejatan sosial terus membarah. Keruntuhan akhlak kian parah!
Seriuskah?
Rahsianya,
kita membina, tetapi pada waktu yang sama, kita juga meruntuhkan apa yang kita
bina itu.
Kita
bina anak bangsa kita di siang hari dengan ilmu, kepakaran dan agama. Tapi,
malangnya, kita 'runtuhkan'nya di malam hari dengan pembiakan budaya hedonisme!
Akibatnya,
penat lelah dan wang ringgit yang dicurahkan bagi membangun manusia, tidak
membawa pulangan seperti yang diharapkan.
Mutakhir
ini, perangai ‘membina dan meruntuh dalam masa sama’, nampaknya kian galak dan
‘tak keruan’.
Pada
titik ini, tercetus persoalan, seriuskan kita membina modal insan?
Persoalan
lain, mengapa kita terdorong melakukan kerja ‘membina dan meruntuh’ ini? Kita
tahu ia kerja merugikan. Membuang masa. Tapi kita lakukan juga.
Inilah
bahananya apabila pembinaan manusia dilakukan mengikut suka, bukan menurut
acuan agama!
No comments:
Post a Comment