Wednesday, 8 July 2015

Mati/Lahir Sebelum/Selepas Malam Raya & kewajipan zakat Fitrah [kemas kini]

Mazhab Syafie mengatakan, syarat wajib zakat Fitrah, ialah ‘sempat menemui kedua-dua bulan’, iaitu bulan Ramadhan dan bulan Syawal (Mughni al-Muhtaj karangan Khatib al-Syarbini, jil.5, ms.62)

Oleh sebab itu :

i. Bayi yang dilahirkan selepas tenggelam matahari (selepas Maghrib) hari terakhir Ramadhan (atau lahir pada malam raya), tidak wajib zakat Fitrah ke atasnya.

Sebabnya, bayi tersebut hanya sempat bertemu dengan satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal.

ii. Isteri yang dikahwini selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau dikahwini pada malam raya), tidak wajib ke atas suaminya membayar zakat fitrah untuknya.

Sebabnya, wanita tersebut hanya menjadi isterinya hanya dalam satu bulan, iaitu bulan Syawal.

iii. Orang yang masuk Islam selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau masuk Islam pada malam raya), tidak wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, orang tersebut hanya menjadi muslim dalam satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal.

iv. Orang yang fakir, yang menjadi kaya selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau menjadi kaya pada malam raya), tidak wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, si fakir tersebut hanya berada dalam keadaan kaya dalam satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal. (Sabilal Muhtadin, jil.2, ms.222)

Dalam keempat-empat contoh di atas, kesemua individu terbabit tidak sempat menemui kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal. 

Justeru, tidak wajib ke atas mereka zakat Fitrah.

Sekali lagi ditegaskan, kata kunci berkaitan kewajipan zakat Fitrah ialah 'hidup dalam kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal'.

Oleh itu :

i. Bayi yang dilahirkan sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan, kemudian mati beberapa minit selepas Maghrib (iaitu malam raya), wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, bayi tersebut sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal walaupun dalam tempoh yang sangat singkat.

ii. Isteri yang dikahwini sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan, kemudian diceraikan selepas Maghrib hari tersebut (atau malam raya), wajib ke atas suami membayar zakat Fitrahnya.

Sebabnya, wanita tersebut sempat menemui bulan Ramadhan dan Syawal dalam keadaan menjadi isteri kepada si suami.

Pendapat salah

Difahami daripada penjelasan di atas, pendapat yang mengatakan, orang yang mati pada bulan Ramadhan, wajib dikeluarkan untuknya zakat Fitrah, adalah pendapat yang tidak benar.

Sebenarnya, nama zakat itu sendiri jelas menunjukkan ketidakbenaran pendapat ini.


Ia dinamakan zakat al-Fitr kerana ia diwajibkan dengan sebab tibanya Hari Raya Aidilfitri (Mughni al-Muhtaj, jil.5, ms.61).

Tuesday, 7 July 2015

Reformis Itu Adalah Kita


Terlalu bergantung kepada pahlawan, atau tokoh karismatik untuk menyelamatkan keadaan, pada tilikan mufakkir besar Islam, Malek Ben Nabi, adalah satu bentuk 'kemaharajalelaan dunia keindividuan' (طغيان عالم الأشخاص)...

Dan, ini adalah 'penyakit' pemikiran yang menjadi antara penghalang kebangkitan ummah...

Kesan penyakit ini, mereka tidak banyak berfikir dan berusaha menyelesaikan masalah, kerana lebih fokus kepada menunggu pahlawan harapan, yang diistilahkan sebagai 'rajul al-qadr' (رجل القدر) oleh Ben Nabi (lelaki hebat yang dikirim oleh taqdir)…

Laungan ‘di manakah Salahuddin al-Ayubi, di manakah Umar, dimanakah al-Muktasim’ (atau mana-mana tokoh agung Islam), yang digemakan di waktu-waktu sulit yang menjerut ummah, adalah sebahagian daripada simptom ‘penyakit’ ini.

‘Penyakit’ menggantungkan harapan perubahan kepada kemunculan tokoh hebat dan pahlawan agung!

Mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangan Imam Mahdi yang bakal merubah dunia-yang popular di kalangan sesetengah organisasi Islam-juga antara simptom ‘penyakit’ yang sama.

ii)

Menariknya, apabila 'rajul al-qadr' tidak muncul-muncul untuk memperbaiki keadaan, mereka akan mencari 'rajul an-nahas'-lelaki yg menyebabkan kecelakaan (رجل النحس)...

Lalu dengan mudah, segala kegagalan dan kesulitan yang menimpa mereka, dihempap ke atas 'rajul an-nahas' ini...

iii)

Semua ini salah musuh!

Semua ini salah kerajaan!

Senangkan?

Tanpa perlu berpenat lelah membuat analisa dan kemudiannya mencari solusi, segala masalah 'selesai'...

Kalau bingung mengapa perubahan lambat berlaku dalam sesebuah masyarakat, pemikiran Ben Nabi ini mungkin boleh memberikan pencerahan...

Monday, 6 July 2015

Mengapa Paksa Si Murtad Kekal Islam?

Berikut respons saya terhadap pertanyaan ikhlas seorang rakan non muslim berkenaan hukuman murtad dalam Islam.

Beliau bertanya, mengapa dipaksa seseorang itu kekal dalam agama yang dia sudah tidak percaya?

Jawapan kepada persoalan ini seperti berikut :

1. Bila dikaji hadis-hadis berkenaan hukuman murtad, didapati punca Nabi sallallahu 'alaihi wasallam memerangi golongan murtad, bukan kerana kemurtadan mereka.

Tapi, ia disebabkan faktor lain.

Iaitu, golongan yang murtad pada zaman Baginda, membentuk satu kumpulan yg mengancam umat dan negara Islam waktu itu.

Dalam erti kata lain, mereka bukan sekadar murtad. Tapi, membentuk kumpulan yang mengancam rakyat dan negara.

Dan, atas faktor 'ancaman' inilah mereka diperangi.

Ini kesimpulan kajian yang dibuat oleh ulama Islam semasa, Dr. Raysuni, kelahiran Maghribi.

2. Di zaman Saidina Umar r.a, terdapat kes murtad tanpa disertai pembentukan kumpulan yang mengancam negara.

Ertinya, murtad secara individu.

Oleh kerana tiada faktor 'ancaman' dalam kes murtad ini, Saidina Umar tidak menjatuhinya hukuman bunuh. Beliau hanya sekadar memenjarakannya sahaja.

Soal samada pemenjaraan orang yang murtad (yang tidak mengancam negara) bercanggah dengan kebebasan, itu tajuk lain. Boleh dibincang.

Provokasi

3. Orang Islam 'boleh' murtad secara senyap atau bersendirian. 

Dan, Islam tidak wajibkan pemerintah memeriksa apa yang ada dalam hati orang-orang Islam. Itu urusan individu terbabit dengan tuhan.

Dia 'bebas' untuk murtad selama mana kemurtadan itu berlaku antara dirinya dengan Tuhan.

Di sini, nampak jelas ada elamen kebebasan beragama.

Selesai.

Tapi, bila dia murtad secara terang-terangan, maka di sini Islam campur tangan. Iaitu, dengan memenjarakannya jika dia hanya sekadar murtad, tetapi tidak mengancam umat dan negara Islam.

Ertinya, Islam memandang, kemurtadan secara terang-terangan ini sebagai satu provokasi.

Atas faktor ianya satu provokasi, maka ia dianggap satu kesalahan, dan dikenakan hukuman.

Soal samada dipersetujui ianya satu provokasi atau tidak, ia soal lain.

Atas sebab itulah, orang yang murtad secara sendirian (senyap), tidak dikenakan apa-apa hukuman kerana tiada unsur provokasi di situ.

Dengan ini dimengertikan, menyamakan 'kebebasan memutuskan ikatan dengan Islam' dengan kebebasan 'memutuskan hubungan dengan pasangan hidup', adalah perbandingan yang tidak tepat.

Perbandingan ini bermaksud, jika seseorang itu bebas untuk memutuskan hubungan dengan pasangan yang sudah tidak sukainya, maka dia seharusnya diberi kebebasan 'memutuskan' hubungan dengan agama yang dia sudah tidak sukai dan yakini.

Memutuskan hubungan dengan pasangan hidup, tiada unsur provokasi. Ini berbeza dengan memutuskan hubungan dengan Islam. Padanya ada unsur provokasi ke atas umat Islam yang lain. 

Wallahu a'lam.

Hukum Orang Berpuasa Tiba Di Negara Yang Sedang Berhari Raya

Tarikh Hari Raya Aidilfitri, biasanya berbeza mengikut negara masing-masing.

Katakan, Hari Raya di Malaysia tahun ini jatuh pada 17 Julai 2015. Manakala, di Thailand pula, Hari Raya ialah pada 16 Julai. 

Maknanya, pada 16 Julai, umat Islam di Malaysia masih lagi berpuasa.

Katakan, pada 16 Julai itu, ada rakyat Malaysia pergi ke selatan Thai. Iaitu, pada Hari Raya bagi negara itu.

Adakah rakyat Malaysia tadi wajib terus berpuasa (kerana Hari Raya di Malaysia pada 17 Julai), biar pun umat Islam di selatan Thai sedang berhari raya?

Atau, rakyat Malaysia tersebut wajib menyambut Hari Raya bersama mereka, biar pun Hari Raya bagi umat Islam di Malaysia ialah pada keesokan harinya (17 Julai)?

Asas kepada jawapan bagi persoalan ini ialah dua hadis Nabi sallallahu 'alaihi wasallam seperti berikut :

1. Sabda Baginda :
صوموا لرؤيته وافطروا لرؤيته
Terjemahan : Berpuasalah dengan sebab melihatnya (anak bulan Ramadhan), dan berbukalah (berhari rayalah) dengan sebab melihatnya (anak bulan Syawal).

Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari.

Hadis ini menyatakan kewajipan berpuasa dan berhari raya bergantung kepada pengelihatan anak bulan Ramadhan dan Syawal.

2. Sabda Baginda :
الشهرُ تِسعُ وعِشرونَن
Terjemahan : Bulan [dalam Islam] ialah dua puluh sembilan [hari].

Hadis ini direkodkan Imam Muslim dalam Sahih Muslim.

Hadis ini menyatakan jumlah hari paling minima dalam sebulan, iaitu 29 hari.

Saringan hukum

Berpandukan hadis pertama, dirumuskan bahawa seseorang itu tertakluk kepada hukum yang terpakai di tempat di mana dia berada.

Oleh itu, jika anak bulan Syawal sudah kelihatan di tempat di mana saja dia berada, maka hukum wajib berbuka (berhari raya), turut terkena ke atasnya.

Justeru-merujuk contoh di atas-rakyat Malaysia yang tiba di selatan Thai pada 16 Julai (tarikh Hari Raya bagi Thailand), wajib ke atas mereka berbuka (berhari raya), meski pun Hari Raya bagi Malaysia ialah pada 17 Julai.

Berpandukan hadis kedua pula-setelah menyambut Hari Raya pada 16 Julai di selatan Thai-rakyat Malaysia tadi hendaklah melihat jumlah keseluruhan hari mereka berpuasa pada bulan Ramadhan tahun berkenaan.

Jika jumlah keseluruhannya ialah 29 hari, maka sempurnalah puasa mereka selama sebulan di bulan Ramadhan. 

Ini kerana, jumlah hari yang paling minima dalam sebulan, ialah 29 hari seperti yang disabdakan.

Oleh itu, mereka tidak perlu lagi mencukupkan jumlah puasa menjadi 30 hari jika kebetulan jumlah puasa Ramadhan di Malaysia pada tahun itu ialah 30 hari.

Tetapi, jika jumlah keseluruhan hari mereka berpuasa hanya 28 hari, ini bermakna puasa Ramadhan mereka tidak cukup sebulan.

Oleh itu, mereka wajib berpuasa sehari lagi (puasa qadha) bagi menggenapkan bilangan hari berpuasa menjadi 29 hari.  

Demikianlah fatwa ulama-ulama Mazhab Syafie.

Syaikh Khatib al-Syarbini rhm-ketika menghuraikan matan al-Minhaj karya Imam Nawawi-contohnya berkata :


(وَمَنْ سَافَرَ مِنْ الْبَلَدِ الْآخَرِ) أَيْ الَّذِي لَمْ يُرَ فِيهِ (إلَى بَلَدِ الرُّؤْيَةِ عَيَّدَ مَعَهُمْ) وُجُوبًا...سَوَاءٌ أَصَامَ ثَمَانِيَةً وَعِشْرِينَ...أَمْ تِسْعَةً وَعِشْرِينَ...(وَقَضَى يَوْمًا) إنْ صَامَ ثَمَانِيَةً وَعِشْرِينَ ؛ لِأَنَّ الشَّهْرَ لَا يَكُونُ كَذَلِكَ بِخِلَافِ مَا إذَا صَامَ تِسْعَةً وَعِشْرِينَ لَا قَضَاءَ عَلَيْهِ ؛ لِأَنَّ الشَّهْرَ يَكُونُ كَذَلِكَ .

Terjemahan : "(Sesiapa bermusafir dari negeri lain) yakni [negeri] yang tidak dilihat [anak bulan Syawal] padanya (ke negeri 'rukyah' [hendaklah] berhari raya bersama mereka) yakni wajib [berhari raya bersama mereka-penduduk negeri 'rukyah', iaitu negeri yang dilihat padanya anak bulan Syawal].

[Wajib ke atasnya berhari raya tanpa mengira] samada dia telah berpuasa dua puluh lapan hari...atau dua puluh sembilan hari.

(Dan [hendaklah] dia mengqadha sehari) jika dia [hanya] telah berpuasa [sebanyak] dua puluh lapan hari kerana bulan [dalam Islam] tidak begitu. 

Berbeza jika dia telah berpuasa [sebanyak] dua puluh sembilan hari, [maka] tiada [kewajipan] qadha ke atasnya kerana bulan [dalam Islam] memang begitu".

Perkataan dalam () adalah terjemahan matan Minhaj, manakala perkataan dalam [] adalah tambahan penulis bagi tujuan huraian dan penjelasan.

Keterbalikan

Bagaimana pula jika sebaliknya? 

Iaitu, rakyat selatan Thai-dalam contoh di atas-tiba di Malaysia pada 16 Julai (Hari Raya bagi Thailand). 

Adakah wajib ke atasnya berpuasa bersama rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Raya pada 17 Julai? 

Atau, wajib ke atasnya berhari raya kerana mengikut tarikh Hari Raya di Thailand, iaitu 16 Julai?

Jawapannya sama, iaitu  seseorang itu tertakluk kepada hukum yang terpakai di tempat di mana dia berada.

Oleh itu, wajib ke atas rakyat selatan Thai tadi berpuasa pada 16 Julai, meski pun akan mengakibatkan jumlah puasanya melebihi 30 hari.

Syaikh Khatib Syaribini rhm menyatakan :


( وَإِذَا لَمْ نُوجِبْ عَلَى ) أَهْلِ ( الْبَلَدَ الْآخَرِ ) وَهُوَ الْبَعِيدُ ( فَسَافَرَ إلَيْهِ مِنْ بَلَدِ الرُّؤْيَةِ ) مَنْ صَامَ بِهِ ( فَالْأَصَحُّ أَنَّهُ يُوَافِقُهُمْ ) وُجُوبًا ( فِي الصَّوْمِ آخِرًا ) وَإِنْ كَانَ قَدْ أَتَمَّ ثَلَاثِينَ ؛ لِأَنَّهُ بِالِانْتِقَالِ إلَى بَلَدِهِمْ صَارَ وَاحِدًا مِنْهُمْ فَيَلْزَمُهُ حُكْمُهُمْ .

Terjemahan : "(Bila kita tidak mewajibkan [pengelihatan anak bulan satu negeri] ke atas) penduduk (negeri yang lain) iaitu negeri yang jauh, (lalu dia bermusafir kepadanya[negeri yang belum kelihatan anak bulan Syawal] dari negeri 'rukyah') yakni sesiapa yang berpuasa di situ (maka [pendapat] paling sahih ialah dia menyertai mereka) [iaitu] wajib [menyertai mereka] (dalam berpuasa), walaupun dia telah mencukupkan tiga puluh hari [berpuasa] kerana dengan perpindahannya ke negeri mereka [yang belum kelihatan anak bulan Syawal], dia menjadi salah seorang daripada mereka, maka terkena kepadanya hukum [yang terkena ke atas] mereka".

Wallahu a'lam.

Friday, 31 October 2014

Mahasiswa : Antara 'kebangkitan otak' dan 'kebangkitan otot'

Pergelutan terbaru mahasiswa dengan penguasa
Kebelakangan ini, kebangkitan mahasiswa begitu sinonim dengan aksi konfrantasi fizikal dengan pihak penguasa. 

Sehinggakan-dalam banyak keadaan-aksi mahasiswa bertegang leher dan bercekak pinggang dengan penguasa, seolah-olah menjadi indikator kepada kebangkitan golongan itu. 

Tanpa semua itu, mahasiswa dilihat atau dianggap lesu atau sedang lena.

Oleh kerana 'kebangkitan mahasiswa' dan 'konfrantasi dengan penguasa' berangkaian dalam tempoh agak lama, menjadikan mereka seolah-olah tidak nampak model kebangkitan lain selain daripada bergasak dengan penguasa!

Justeru, tidak pelik jika mereka ingin mencetuskan 'kebangkitan' baru mahasiswa, mereka akan mencari sempena tertentu untuk bergelut secara fizikal dengan penguasa!

Antara dua zaman

Di tahun 70-an sehingga sebelum zaman langit terbuka, di saat pemerintahan negara dan media didominasi oleh parti pemerintah, pendekatan konfrantasi dengan pemerintah mungkin sesuai menjadi mekanisme perubahan. 

Dalam suasana sebegitu, itulah satu-satunya cara yang efektif bagi menyatakan suara dan desakan. Dengan sebab itu, mahasiswa yang melancarkan konfrantasi di waktu itu mungkin diangkat sebagai hero dan pejuang rakyat marhaen.

Pada zaman langit terbuka seperti sekarang, ruang untuk bersuara dan mempengaruhi massa secara damai dan ilmiah, terbuka kepada sesiapa sahaja. Media pula tidak lagi menjadi monopoli parti pemerintah. 

Ruang itu semakin melebar apabila pemerintahan negara sekarang ini tidak lagi didominasi oleh parti pemerintah ekoran kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. 

Keadaan ini memungkinkan mahasiswa menggunakan pembangkang yang begitu kuat di Parlimen sebagai saluran untuk mereka bersuara dan mendesak.

Suasana baru di zaman langit terbuka ini-dengan latar belakang situasi politik semasa-mungkin tidak lagi menjadi suasana yang kondusif bagi aksi konfrantasi fizikal dengan pemerintah. 

Barangkali, inilah tafsiran kepada 'kedinginan' masyarakat-termasuk parti-parti pembangkang-terhadap 'perlawanan' fizikal terbaru antara mahasiswa dengan penguasa berhubung kes perobohan beberapa rumah kediaman rakyat marhaen di ibu kota baru-baru ini.

Model kebangkitan

Realitinya, sejarah gerakan kebangkitan di Malaysia-khususnya selepas merdeka-menawarkan beberapa model kebangkitan-selain aksi konfrantasi fizikal dengan penguasa-yang boleh diteladani oleh mahasiswa masa kini.

Tahun 80-an umpamanya, pernah hangat dan berkocak ekoran gerakan yang dipelopori oleh Ustaz Haji Abdul Hadi Awang (sekarang Datuk Seri Abdul Hadi), presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) sekarang ini.

Ia sebuah gerakan ilmu, dan merupakan satu program tajdid dalam bidang keilmuan Islam yang memberi kesan besar kepada pemikiran politik di tanah air. 

Ia bukan konfrantasi dan aksi beradu otot dengan penguasa.

Mahasiswa juga boleh mengkaji gerakan kebangkitan yang diusahakan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir, yang tidak dapat dinafikan telah berjaya menjulang Malaysia sebagai antara negara membangun terbaik.

Gerakan pemodenan ini juga merupakan sebuah gerakan intelek atau keilmuan.

Di zaman langit terbuka, dan di saat perang sebenar ialah perang idea, gerakan kebangkitan yang berteraskan ilmu dan intelek inilah yang paling sesuai dan efektif.

Telah terbukti, ia lebih berupaya mengocak dan menggugat zaman!

Saturday, 25 October 2014

'Sentuh anjing' : Ulama, antara Wasatiyyah dan sentimen peribadi


Pemimpin politik Islam yang menyokong (sekadar menyokong) program 'I Want to Touch a Dog', digesa bertaubat.

Itu adalah gesaan wakil sekumpulan 'ulama' dua hari lepas.

Hari ini pula, sebuah akhbar melaporkan seorang ulama menggesa pemimpin muslim yang menyokong (sekadar menyokong) program itu, agar merujuk, dan seterusnya merenung ayat 64-66 dalam surah at-Taubah.

Maksud ayat tersebut ialah, "...Dan jika engkau bertanya kepada mereka (orang-orang munafik), tentulah mereka akan menjawab, "sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main".

Katakanlah, "patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta rasulNya kamu perolok-olokkan?". Janganlah kamu berdalih kerana sesungguhnya kamu telah kufur setelah beriman..."

Ayat di atas adalah berkenaan larangan mempermain hukum-hukum Allah. Perbuatan tersebut membawa kepada kekufuran.

Bila pemimpin muslim tadi-yang menyokong program menyentuh anjing-digesa merujuk ayat yang menegah perbuatan memperolok hukum-hukum Allah, ini memahamkan bahawa 'sokongan terhadap program sentuh anjing' itu, boleh termasuk dalam kategori memperolok hukum hakam Allah.

Mazhab Syafie

Anjing berbulu kering, tidak menajiskan manusia, atau sesuatu yang bersentuhan dengannya. Dengan syarat manusia atau sesuatu yang bersentuhan dengan anjing itu, juga dalam keadaan kering. 

Ini adalah Mazhab Syafie seperti yang diketahui rata-rata agamawan.

Oleh kerana anjing berbulu kering tidak menajiskan, maka ia boleh disentuh-biar pun secara sengaja dan tanpa sebab-dan tidak haram.  

Menyentuhnya sama seperti menyentuh haiwan-haiwan lain yang tidak najis seperti harimau, ular, biawak, katak, ulat dan lain-lain. Yakni sama dari segi ketidakharaman dan dari segi tidak menajiskan orang yang menyentuhnya.

Yang haram disentuh dengan sengaja tanpa sebab-menurut Mazhab Syafie- ialah benda atau haiwan yang najis. Seperti sengaja menyentuh tahi haiwan, atau sengaja menyentuh anjing yang basah.

Hukumnya haram kerana menyentuh najis tanpa keperluan yang munasabah.

Bertitik tolak dari sini, sukar untuk difahami, atas sebab apa seorang muslim yang menyokong program menyentuh haiwan yang tidak menajiskan (anjing berbadan kering), digesa bertaubat.

Bertaubat kerana menyokong program menyentuh haiwan yang tidak menajiskan, sangat pelik kedengaran. 

Kewajaran

Lebih memelikkan lagi, bila muslim yang menyokong program menyentuh haiwan yang tidak menajiskan ini (anjing berbulu kering), diminta merujuk ayat suci al-Quran yang menegah perbuatan memperolok hukum hakam Allah.

Pada perbuatan menyentuh haiwan yang tidak menajiskan (anjing berbadan kering), di manakah titik yang dikatakan sebagai memperolok hukum hakam Allah? 

Baiklah, atas andaian perbuatan 'menyentuh anjing berbadan kering' secara sengaja adalah haram menurut Mazhab Syafie, tetapi ia tidak haram pada pandangan Mazhab Maliki.

Justeru, bagaimana seseorang yang melakukan sesuatu yang haram menurut mazhab asalnya, tetapi tidak haram menurut mazhab lain, boleh dikatakan sebagai memperolok hukum hakam Allah?

Sama seperti seorang bermazhab Syafie bersolat setelah menyentuh isterinya-tanpa mengambil wuduk-kerana bertaqlid dengan pandangan mazhab Hambali.

Dimanakah kewajaran orang ini diminta merujuk ayat yang menegah memperolok hukum hakam Allah?

Para ulama ada membahaskan tentang تتبع رخص العلماء , yakni perbuatan sengaja mencari hukum hakam yang paling ringan dalam mazhab-mazhab lain. 

Mereka berselisih pendapat. 

Namun, pendapat yang paling keras, ialah pandangan Imam Nawawi dan ulama-ulama lain yang mengharamkan perbuatan ini. 

Alasan mereka, orang seperti ini hakikatnya mengikut hawa nafsu, iaitu sengaja mencari hukum hakam yang senang, yang disukai hawa nafsu.

Namun, mereka sekali-kali tidak pernah mengaitkan amalan تتبع رخص العلماء ini dengan memperolok hukum hakam Allah.

Tulisan ini bukanlah satu sokongan kepada program 'menyentuh anjing' itu.

Tulisan ini adalah berkenaan wasatiyyah. 

Juga berkenaan penyingkiran sentimen peribadi dalam membahas hukum hakam syarak.

Wallahu a'lam.

Thursday, 23 October 2014

'I Want to Touch a Dog' & 'karut marut' Mazhab Syafie

Khusus dalam soal menyentuh (menjamah) anjing, Mazhab Syafie melihat haiwan itu dalam dua keadaan. Iaitu keadaan kering dan basah.

Anjing dalam keadaan kering, tidak najis (yakni tidak menajiskan sesuatu yang bersentuhan dengannya). 

Justeru, ia boleh disentuh. Tetapi, dengan syarat orang yang menyentuhnya juga dalam keadaan kering.

Anjing hanya dianggap najis, dan tidak boleh disentuh-tanpa sebab-jika ia dalam keadaan basah. Atau pun, orang yang menyentuhnya dalam keadaan basah, biarpun anjing itu sendiri kering.

Ringkasnya, anjing tidak menajiskan orang yang menyentuhnya jika kedua-duanya (anjing dan orang yang menyentuh) dalam keadaan kering. Jika salah satu daripadanya basah (anjing atau orang yang menyentuh), anjing itu menajiskan bila bersentuhan.

Ini disebut dengan jelas oleh seorang ulama besar Mazhab Syafie, Syaikh Ramli dalam Nihayatul Muhtaj (Nihayatul Muhtaj, jld.2, ms.342) :

"jika dipastikan anjing [telah] bersentuhan dengannya (bekas air) yang disertai dengan 'kebasahan' salah satu pihak (iaitu anjing atau bekas), maka ia (bekas) menjadi najis. Dan jika tidak [basah kedua-duanya], maka tidak [menjadi najis bekas tersebut]".

Fakta penting di sini ialah–menurut Mazhab Syafie-anjing yang kering tidak najis.

Semua maklum, menyentuh sesuatu yang tidak najis-secara sengaja atau tanpa sebab-tidak berdosa dan tidak haram.

Sama seperti sengaja menyentuh haiwan lain yang tidak najis seperti kucing, harimau, biawak, ular, ulat dan lain-lain. Menyentuh haiwan-haiwan ini hukumnya harus, dan tidak haram. Ini kerana ia tidak najis.

‘Kesalahan’ besar

Bertolak daripada fakta ini, rasa pelik dan persoalan timbul tatkala bersua dengan ‘fatwa’ yang mewajibkan penganjur ‘I Want to Touch a Dog’, dan peserta muslim yang menyentuh anjing dalam program itu, bertaubat.

Lebih daripada itu, sesiapa yang menyokong program itu-walaupun tidak menyertainya- turut diminta bertaubat oleh 'ulama' tertentu!

Adakah wajib bertaubat disebabkan perbuatan sengaja menyentuh haiwan yang tidak najis, iaitu anjing dalam keadaan kering?

Bila pula ‘sengaja menyentuh haiwan yang tidak najis’-anjing dalam keadaan kering-menjadi satu dosa, sehingga orang yang menyentuhnya wajib bertaubat?

Persoalan seterusnya yang membenih tanpa dapat dibendung, bagaimana muslim yang sengaja menyentuh haiwan yang tidak najis-anjing dalam keadaan kering-boleh disabitkan dengan ‘kesalahan’ yang amat berat, iaitu menghina hukum Allah?

Sengaja menyentuh haiwan yang tidak najis-anjing dalam keadaan kering- bererti menghina hukum Allah?

Persoalan lain yang turut berangkaian, ialah sejauh mana perbuatan menyentuh haiwan yang tidak najis-anjing dalam keadaan kering-wajar disifatkan sebagai perbuatan yang hanya dilakukan oleh orang yang ‘ada ulat di dalam kepala’?

Turut muncul ialah persoalan tentang sejauh mana program yang menyediakan peluang untuk muslim menyentuh haiwan yang tidak najis-anjing dalam keadaan kering- wajar diyakini sebagai menyimpan agenda mempromosi fahaman liberalisme dan pluralisme agama di kalangan umat Islam?

Ringkasnya, satu-satunya ‘kesalahan’ yang dilakukan oleh saudara-saudara seagama itu ialah ‘menyentuh haiwan yang tidak najis’-anjing dalam keadaan kering.

Dengan ‘kesalahan’ yang ‘besar’ itu, maka mereka diwajibkan bertaubat, disifatkan sebagai menghina hukum Allah, ‘ada ulat dalam kepala’, dan terjebak dalam program yang mempromosi liberalisme dan pluralisme agama!

Hakikat Mazhab Syafie

Mazhab Syafie memutuskan bahawa yang diharamkan ialah sengaja menyentuh benda najis tanpa sebarang sebab yang munasabah. Seperti sengaja menyentuh najis haiwan tanpa sebarang sebab yang wajar.

Dalam erti kata lain, ‘illah’ atau sebab sesuatu itu haram disentuh tanpa keperluan, ialah kenajisannya. Oleh itu, ini bermakna, sesuatu yang tidak najis, tidak haram disentuh biarpun dengan sengaja. 

Oleh kerana anjing dalam keadaan kering tidak najis, maka menyentuhnya-biarpun tanpa sebab-bukanlah haram.

Justeru, ‘fatwa’ yang mengatakan bahawa anjing haram disentuh secara sengaja meskipun ia dalam keadaan kering, adalah fatwa yang tiada sandarannya dalam  Mazhab Syafie.

Kenyataan bahawa “Mazhab Syafie melarang umat Islam menyentuh anjing secara sengaja kerana ‘menajiskan’ diri tanpa tujuan munasabah, adalah haram di sisi Islam”-tanpa membezakan anjing yang kering dan basah-juga tersimpang daripada hakikat sebenar Mazhab Syafie berhubung soal ini.

Kenyataan Syaikh Ramli di atas dikukuhkan lagi oleh fatwa seorang lagi ulama besar Mazhab Syafie, iaitu Imam al-Mawardi dalam karyanya, al-Hawi al-Kabir, jld.1, ms.641-642 :

jika anjing menyentuh baju yang basah, atau ia menyentuh dengan badannya yang basah [akan] baju yang kering, atau ia memijak dengan kakinya yang basah [akan] tanah atau hamparan [yang kering], maka [semua itu] adalah seperti [perbuatan anjing] menjilat dari segi kewajipan membasuhnya (iaitu benda yang disentuhnya) tujuh [kali] termasuk sekali [basuhan] dengan tanah".

Rentetan daripada kenyataan dua ulama besar Mazhab Syafie ini, perbuatan menyentuh anjing dalam keadaan kering-seperti yang berlaku dalam program terbabit- oleh itu tidak tepat disifatkan sebagai mencabar Mazhab Syafie yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

Ia sebenarnya lebih tepat disifatkan sebagai mencabar budaya orang Melayu yang sememangnya tidak ‘mesra’ dengan haiwan itu.

Tulisan ini tidak bermaksud menyokong kempen ‘menyentuh anjing’ yang bersifat provakatif kepada budaya orang-orang Melayu-Islam di negara ini.

Sejauh yang mahu dicapai oleh artikel ini ialah melandaskan diskusi isu ‘menyentuh anjing’ ini-setakat termampu- di atas landasan Wasatiyyah yang bersifat tidak ekstrem, dan tidak pula mengabaikan.

Wallahu a'lam. 

Thursday, 16 October 2014

'Bumi ini bumi Melayu Islam' antara dua konteks, dua bahasa


(i)
Pernyataan 'bumi ini bumi Melayu Islam', adalah dimaklumi satu fakta sejarah. Dan, ia relevan diputar-tentunya dengan objektif yang murni-dalam konteks kaum bukan Melayu sebelum merdeka dan beberapa tahun selepasnya.

Memang mereka dilahirkan di tanah air masing-masing, kemudian berhijrah atau dibawa ke Tanah Melayu sebagai pendatang. Mereka tidak dilahirkan di sini, dan bukan 'orang sini'.

(ii)
Namun, dalam konteks bukan Melayu yang lahir di sini, juga ibu bapa mereka-bahkan mungkin datuk nenek mereka juga-dilahirkan di sini, kerelevanan pernyataan itu diputar kembali-biar pun bagi tujuan mempertegas hakikat tertentu-sangat kabur, dan sukar dicerap.

Bila masa berlalu, sehingga tiada lagi bukan Melayu berwarganegara Malaysia yang tidak dilahirkan di sini, dimana bumi ini adalah tanah tumpah darah kesemua mereka, di waktu itu, pernyataan 'bumi ini bumi Melayu Islam' akan semakin kehilangan tanah tempat berpijak, dan mungkin tidak lagi absah!

(iii)
Justeru demikianlah realiti pernyataan itu dalam konteks warganegara bukan Melayu masa kini, mengumandangkannya semula tidak lagi dilihat sebagai berniat murni-iaitu mempertegas hakikat sejarah atau identiti kenegaraan bumi Malaysia-tetapi ditanggapi sebagai satu serangan perkauman ke atas kaum bukan Melayu tertentu.

Lalu, adakah disebabkan perubahan konteks ini, maka orang-orang Melayu kehilangan hak untuk mengingatkan kaum lain akan hakikat sejarah, atau mempertegas identiti kenegaraan bumi bertuah ini? 

(iv)
Realitinya, hakikat sejarah berkaitan bukan Melayu di negara ini, dan identiti kenegaraan Malaysia, sebenarnya telah diolah dengan 'bahasa kenegaraan' yang harmoni, dan kemudiannya disimpan kemas dalam Perlembagaan Persekutuan, Kontrak Sosial dan juga Rukun Negara.

Keistimewaan orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kesetiaan kepada raja yang tertera dalam Rukun Negara, adalah 'bahasa kenegaraan' yang memperihalkan tentang identiti kenegaraan bumi Malaysia. Di sebalik semua ini, tersimpan cerita-cerita sejarah Malaysia yang dimaklumi semua.

(v)
Pejuang-pejuang Melayu oleh itu, perlu menyedari perubahan zaman ini, lalu menganjak wacana mereka perihal identiti kenegaraan Malaysia dan fakta sejarah berkaitan bukan Melayu, daripada 'bahasa sejarah' yang kian hilang keabsahannya, kepada 'bahasa kenegaraan' yang harmoni dan diterima semua pihak.

Wallahu a'lam.

Saturday, 11 October 2014

BR1M dari sudut pandang sifir ekonomi

Saya bukan ahli ekonomi. 

Apa yang mahu dikongsikan di sini, hanya sekadar hasil bacaan yang tidak meluas berkaitan ekonomi. 

Catatan ini adalah tentang satu prinsip asas dalam ekonomi.

Pertambahan kuantiti 'aliran tunai' di kalangan warga sesebuah masyarakat, tidak akan membantu menurunkan harga barangan di pasaran.

Pertambahan kuasa beli para pengguna, ekoran pertambahan aliran tunai dalam pegangan mereka, hanya akan menyumbang kepada kederasan 'gelora' kenaikan harga barang. 

Ini berlaku lantaran kuasa beli yang meningkat, akan meninggikan permintaan terhadap barangan di pasaran. Permintaan yang meningkat akan menyebabkan harga barangan melambung.

Oleh sebab itu, prinsip asas ekonomi menegaskan, satu-satunya cara bagi mengekang kenaikan harga barangan, ialah meningkatkan kadar pengeluaran. 

Peningkatan pengeluaran akan menyebabkan lambakan barangan di pasaran, seterusnya mengekang permintaan terhadap barangan tersebut daripada meningkat.

Bila permintaan yang tinggi terhadap sesuatu barangan tidak berlaku, maka kenaikan harga barangan tersebut tidak akan terjadi.

Justeru, pihak yang menerima wang tunai secara one-off (BR1M) dan bonus dalam Bajet 2015, hendaklah sedar akan 'hukum' atau sifir ekonomi ini. 

Pertambahan aliran tunai dalam pegangan mereka di saat pengeluaran barangan keperluan tidak meningkat, akan menyebabkan permintaan terhadap barangan keperluan melambung, seterusnya mengakibatkan kenaikan harga barang. 

Kecualilah jika pemberian BR1M dan bonus itu disusuli dengan usaha-usaha meningkatkan pengeluaran barangan keperluan, maka kenaikan harga barang tidak akan berlaku.

Wallahu a'lam

Thursday, 9 October 2014

Qorban 'lembu BN' : Bicara kitab fekah




Ibadat qurban-seperti ibadat-ibadat yang lain-perlu disertai niat. Tanpa niat, qurban tidak sah.

Dalam budaya kita, kebiasaannya, yang menyembelih haiwan qurban, ialah orang lain (tukang sembelih), bukannya empunya haiwan qurban itu sendiri.

Persoalannya, adakah tukang sembelih PERLU memasang niat berqurban (bagi pihak empunya haiwan) ketika menyembelih? Atau, tukang sembelih TIDAK perlu berniat apa-apa, dan boleh hanya berpada dengan niat empunya haiwan?

Adakah ketika menyembelih, tukang sembelih PERLU TAHU bahawa haiwan yang disembelihnya itu, adalah haiwan yang mahu dijadikan qurban oleh empunyanya?

Ertinya, jika tukang sembelih tidak tahu hal itu, maka haiwan yang disembelihnya itu tidak dianggap sebagai qurban, meskipun empunyanya meniatkan sedemikian?

Kitab muktabar

Berdasarkan kitab-kitab fekah yang muktabar, dalam ibadat qurban, yang diperlukan hanyalah niat si empunya haiwan. 

Oleh itu, bila dia menyerahkan haiwan yang mahu diqurbankan itu kepada tukang sembelih, tukang sembelih tidak perlu lagi berniat melakukan qurban bagi pihak si empunya.

Tukang sembelih juga tidak disyaratkan mengetahui bahawa haiwan yang disembelihnya itu, adalah haiwan yang mahu dijadikan qurban oleh empunyanya.

Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh kitab fekah berbahasa Melayu, Sabilal Muhtadeen.

Pengarangnya, al-Allamah Syaikh Arsyad al-Banjari rhm menyatakan :

"Seseorang boleh berwakil [kepada orang lain] untuk menyembelih korban, dan MEMADAI niat dari yang berwakil (empunya haiwan), dan tidak diperlukan lagi niat dari wakil (tukang sembelih). 

Syekh Islam berkata, sekalipun wakil (tukang sembelih) tidak tahu keadaan yang disembelihnya itu adalah korban, tidak mengapa...".

Rujuk Sabilal Muhtadeen (1987), PT Bina Ilmu : Surabaya, cet. pertama, edisi rumi, hlm.449. 

Perkataan dalam [ ] dan (  ) adalah tambahan dari penulis bagi tujuan penjelasan.

Wallahu a'lam.

Wednesday, 1 October 2014

Menoktah Debat Ayat-Ayat Sifat Dengan Manhaj Qaradhawi


Sesiapa yang pernah melalui, atau mengikuti debat berkenaan 'ayat-ayat sifat' antara aliran salaf dan khalaf, samada debat yang terakam dalam kitab-kitab turath mahu pun moden, atau debat yang berlangsung di pentas realiti atau alam maya, tentu akan tertuntun kepada satu kesimpulan.

Debat itu tidak mampu menoktahkan perselisihan pandangan yang sedia ada sejak zaman silam!

Sejauh yang mampu dicapai debat itu, ialah akur akan kewujudan perselisihan pendapat antara aliran salaf dan khalaf, tanpa mampu memadamkan perselisihan itu! 

Salaf tidak mentakwilkannya, manakala khalaf pula sebaliknya. Kedua-duanya mempunyai dalil-dalil tersendiri yang muktabar. 

(Menurut Syaikh Dr.Solah al-Khalidi dalam karya beliau, Fi Zilal al-Quran Fi al-Mizan, mazhab salaf bukannya tidak mentakwilkan ayat-ayat sifat sama sekali. Mazhab mereka ialah mentakwilkannya jika ada keperluan. Buktinya, Imam Ahmad dan Imam Bukhari sendiri mentakwil beberapa ayat atau hadis berkenaan sifat-sifat Allah)

Seperkara lagi, debat yang dilangsungkan dengan harapan dapat menamatkan perbezaan pendapat berhubung ayat-ayat sifat itu, menatijahkan hasil yang sebaliknya.

Ia semakin mempertajam dan memperdalamkan lagi perselisihan sedia ada, bukan mengendurkannya! 

Inilah rumusan akhir yang tersaring daripada 'debat ayat-ayat sifat', yang giat diputar kembali di zaman kini oleh sesetengah agamawan.

Debat 'mandul'

Mengikuti debat yang mendarat pada kesimpulan seperti ini-di saat ada debat atau diskusi lain yang lebih utama diikuti-dibimbangi hanya membuang masa, dan menyebabkan pengabaian ke atas kewajipan lain yang lebih utama.

Barangkali, atas kebimbangan inilah, maka Syaikh Qaradhawi  menegur secara langsung sesetengah ulama di Qatar dan Arab Saudi yang berterusan berdebat tentang ayat-ayat sifat.

Dalam risalah kecil berjudul 'Wujudullah' (Kewujudan Allah) hlm.7, Qaradhawi berkata kepada para ulama itu :

إن المعركة اليوم ليست مع الأشاعرة ولا الماتريدية ولا المعتزلة ولا الجهمية. إن معركتنا الكبرى مع الملاحدة الذين لا يؤمنون بإله ولا نبوة ولا كتاب. ليست معركتنا مع الذين يقولون عن الله تعالى : ليس له مكان، بل مع الذين يقولون : ليس له وجود، وعلينا أن نخلقهم، كما قال أحدهم!
ليست معركتنا مع الذين يؤولون صفات الله تعالى، بل مع الذين يجحدون الله بالكلية.

Terjemamah : "Sesungguhnya, peperangan [pada] hari [ini] bukannya [peperangan] dengan 'Asya'irah, Maturidiyyah, Muktazilah atau Jahmiyyah. 

Sesungguhnya, peperangan kita yang paling besar [pada hari ini] ialah [peperangan] dengan [golongan] atheis yang tidak beriman dengan tuhan, kenabian dan kitab.

Peperangan kita bukanlah dengan orang-orang yang berkata tentang Allah [bahawa] Dia tidak bertempat, sebaliknya [peperangan kita ialah] dengan orang-orang yang berkata bahawa Dia tidak wujud, dan menjadi tanggungjawab kita menciptakanNya, seperti yang dikatakan oleh salah seorang daripada mereka (atheis). 

Peperangan kita bukanlah dengan orang-orang yang mentakwilkan ayat-ayat [berkenaan] sifat-sifat Allah ta'ala, sebaliknya [peperangan kita ialah] dengan orang-orang yang mengingkari sama sekali kewujudan Allah".

Yang menariknya, kata Qaradhawi, saranan beliau ini mendapat sambutan hebat ulama-ulama Qatar dan Arab Saudi kecuali segelintir daripada mereka (hlm.8).

Sesuatu debat itu biarlah menghasilkan manfaat yang bermakna. 

Debat tanpa hasil yang bererti, adalah debat yang 'mandul'!

Wallahu a'lam.

Friday, 26 September 2014

Melogikkan akidah

Tuhan itu adil bukan?

Tanyalah penganut agama mana pun, jawapannya ialah 'ya, tuhan itu adil'.

Selesai langkah pertama.

Langkah kedua menyusul.

Tuhan yang adil, tidak akan membiarkan orang-orang yang zalim terlepas dari hukuman. Tidak akan membiarkan orang-orang yang dizalimi tanpa mendapat pembelaan.

Ya. Ini satu logik yang sangat kuat, tak tertolak.

Langkah ketiga muncul.

Tapi, dunia merakamkan ramai orang yang zalim mati begitu sahaja, tanpa mendapat balasan di atas kezalimannya. Lebih memeritkan kemanusiaan, mereka mati dalam keadaan disanjung dunia!

Sejarah juga sudah lali melihat begitu ramai orang yang dizalimi menghembuskan nafas terakhir tanpa mendapat apa-apa pembelaan.

Tuhan itu wujud bukan?

Ya. Tuhan itu wujud. Muktamad.

Tapi mengapa 'ketidakadilan' ini berlaku? Yang menzalimi tidak menerima hukuman, yang dizalimi tidak mendapat pembelaan?

Tuhan hanya melihat begitu saja 'ketidakadilan' ini berlaku?

Persoalan ini memimpin semua logik kepada sebuah keakuran. 

Akur akan kemestian wujudnya suatu hari, dimana yang zalim menerima balasan di atas kezalimannya. Yang dizalimi mendapat pembelaan atas kezaliman yang ditimpakan ke atasnya.

Itulah hari akhirat! 

Selain merupakan akidah, ia adalah suatu logik.

Wallahu a'lam.   

Wednesday, 24 September 2014

Menyikapi 'penyebaran hadis palsu' dengan Wasatiyyah


(i)
Memang jantung rasa berdegup bila label 'pendusta', atau 'pendusta atas nama Rasulullah', dilihat begitu wewenang dilekatkan pada SEMUA org yg semata-mata menukil, atau menyebar hadis-hadis yang kemudiannya terbukti palsu, atau sangat lemah...
(ii)
Imam Al-Iraqi, dan para ulama hadis yg MUKTABAR sendiri tidak menggelarkan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali radhiyAllahu 'anhu sbg 'pendusta', apabila kedapatan beberapa hadis palsu dalam karya agungnya, Ihya' Ulumiddin...

Sejauh yang mereka katakan tentang Hujjatul Islam yang agung itu, ialah beliau tidak berkepakaran dalam ilmu hadis, lalu 'menjerluskan' beliau dalam penukilan hadis-hadis palsu tanpa disengajakan.
Imam Ibnu Jauzi rhm pula-yang lantang mengkritik hadis-hadis dalam Ihya'-dalam kitabnya 'al-Maudhu'at', menghukum beberapa hadis hasan dan sahih-termasuk satu hadis yang direkodkan dalam sahih Muslim-sebagai hadis palsu!
Namun, para ulama tidak pula melabelkan beliau-rahimahullah- sebagai 'menolak hadis' Nabi sallallahu 'alaihi wasallam.
(iii)
Zahirnya, sesetengah ustaz menukilkan hadis-hadis tertentu-yang sebenarnya hadis palsu atau sangat dhaif-dengan niat yang baik, dan tidak mengetahui status hadis tersebut.
Lalu, adalah lebih selamat (bahkan mungkin wajib) berpada dengan pernyataan bahawa hadis-hadis yang dinukilkan sebahagian mereka itu, adalah hadis palsu atau sangat dhaif, dan haram disebutkan kecuali dengan tujuan menerangkan kepalsuannya, tanpa perlu mengambil 'risiko besar' melabel mereka sebagai pendusta atas nama Rasulullah sallallahu alaihi wasallam...!
Pendusta atau tidak seseorang itu, memerlukan dadanya dibelah untuk melihat apakah niatnya yang sebenar di sebalik penyebaran hadis-hadis yang sebenarnya palsu itu.
Atau, memerlukan proses penghakiman yang panjang untuk memastikan bahawa individu itu, memang mengetahui kepalsuan hadis tersebut, tetapi tetap berkeras untuk menyebarkannya dengan niat mahu berbohong atas nama Rasulullah sallallahu alaihi wasallam...
(iv)
Seperkara yang berbaki, penilaian hadis sama seperti hukum hakam fekah. Kekhilafan antara muhaddith sering terjadi dalam menilai satu-satu hadis.
Anggapan-yang biasanya tumbuh tanpa sedar- bahawa penilaian seseorang muhaddith terhadap mana-mana hadis sebagai penilaian muktamad, adalah anggapan yang menyimpang.
Lalu, mungkin saja seseorang itu tidak menerima penilaian muhaddith tertentu terhadap satu-satu hadis-walaupun setelah diterangkan secara terperinci-kerana berpegang kepada penilaian muhaddith yang lain, yang dirasakannya lebih berwibawa.
Catatan Syaikhul Islam, Imam Ibn Taimiyyah r.a tentang pernilaian yang berbeza ke atas satu-satu hadis oleh para muhaddith, boleh dirujuk di dalam karya beliau, Raf'ul Malam.
Atau, lihat saja perbezaan penilaian ke atas hadis-hadis dlm Ihya' antara pernilaian Imam al-Iraqi dan al-Muhaddith Murtadha al-Zubaydi.
Ini adalah bicara ttg WASATIYYAH.
Wallahu a'lam.