Saturday 25 October 2014

'Sentuh anjing' : Ulama, antara Wasatiyyah dan sentimen peribadi


Pemimpin politik Islam yang menyokong (sekadar menyokong) program 'I Want to Touch a Dog', digesa bertaubat.

Itu adalah gesaan wakil sekumpulan 'ulama' dua hari lepas.

Hari ini pula, sebuah akhbar melaporkan seorang ulama menggesa pemimpin muslim yang menyokong (sekadar menyokong) program itu, agar merujuk, dan seterusnya merenung ayat 64-66 dalam surah at-Taubah.

Maksud ayat tersebut ialah, "...Dan jika engkau bertanya kepada mereka (orang-orang munafik), tentulah mereka akan menjawab, "sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main".

Katakanlah, "patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta rasulNya kamu perolok-olokkan?". Janganlah kamu berdalih kerana sesungguhnya kamu telah kufur setelah beriman..."

Ayat di atas adalah berkenaan larangan mempermain hukum-hukum Allah. Perbuatan tersebut membawa kepada kekufuran.

Bila pemimpin muslim tadi-yang menyokong program menyentuh anjing-digesa merujuk ayat yang menegah perbuatan memperolok hukum-hukum Allah, ini memahamkan bahawa 'sokongan terhadap program sentuh anjing' itu, boleh termasuk dalam kategori memperolok hukum hakam Allah.

Mazhab Syafie

Anjing berbulu kering, tidak menajiskan manusia, atau sesuatu yang bersentuhan dengannya. Dengan syarat manusia atau sesuatu yang bersentuhan dengan anjing itu, juga dalam keadaan kering. 

Ini adalah Mazhab Syafie seperti yang diketahui rata-rata agamawan.

Oleh kerana anjing berbulu kering tidak menajiskan, maka ia boleh disentuh-biar pun secara sengaja dan tanpa sebab-dan tidak haram.  

Menyentuhnya sama seperti menyentuh haiwan-haiwan lain yang tidak najis seperti harimau, ular, biawak, katak, ulat dan lain-lain. Yakni sama dari segi ketidakharaman dan dari segi tidak menajiskan orang yang menyentuhnya.

Yang haram disentuh dengan sengaja tanpa sebab-menurut Mazhab Syafie- ialah benda atau haiwan yang najis. Seperti sengaja menyentuh tahi haiwan, atau sengaja menyentuh anjing yang basah.

Hukumnya haram kerana menyentuh najis tanpa keperluan yang munasabah.

Bertitik tolak dari sini, sukar untuk difahami, atas sebab apa seorang muslim yang menyokong program menyentuh haiwan yang tidak menajiskan (anjing berbadan kering), digesa bertaubat.

Bertaubat kerana menyokong program menyentuh haiwan yang tidak menajiskan, sangat pelik kedengaran. 

Kewajaran

Lebih memelikkan lagi, bila muslim yang menyokong program menyentuh haiwan yang tidak menajiskan ini (anjing berbulu kering), diminta merujuk ayat suci al-Quran yang menegah perbuatan memperolok hukum hakam Allah.

Pada perbuatan menyentuh haiwan yang tidak menajiskan (anjing berbadan kering), di manakah titik yang dikatakan sebagai memperolok hukum hakam Allah? 

Baiklah, atas andaian perbuatan 'menyentuh anjing berbadan kering' secara sengaja adalah haram menurut Mazhab Syafie, tetapi ia tidak haram pada pandangan Mazhab Maliki.

Justeru, bagaimana seseorang yang melakukan sesuatu yang haram menurut mazhab asalnya, tetapi tidak haram menurut mazhab lain, boleh dikatakan sebagai memperolok hukum hakam Allah?

Sama seperti seorang bermazhab Syafie bersolat setelah menyentuh isterinya-tanpa mengambil wuduk-kerana bertaqlid dengan pandangan mazhab Hambali.

Dimanakah kewajaran orang ini diminta merujuk ayat yang menegah memperolok hukum hakam Allah?

Para ulama ada membahaskan tentang تتبع رخص العلماء , yakni perbuatan sengaja mencari hukum hakam yang paling ringan dalam mazhab-mazhab lain. 

Mereka berselisih pendapat. 

Namun, pendapat yang paling keras, ialah pandangan Imam Nawawi dan ulama-ulama lain yang mengharamkan perbuatan ini. 

Alasan mereka, orang seperti ini hakikatnya mengikut hawa nafsu, iaitu sengaja mencari hukum hakam yang senang, yang disukai hawa nafsu.

Namun, mereka sekali-kali tidak pernah mengaitkan amalan تتبع رخص العلماء ini dengan memperolok hukum hakam Allah.

Tulisan ini bukanlah satu sokongan kepada program 'menyentuh anjing' itu.

Tulisan ini adalah berkenaan wasatiyyah. 

Juga berkenaan penyingkiran sentimen peribadi dalam membahas hukum hakam syarak.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment