Thursday, 15 May 2014

'Perangai' rakyat Malaysia 'membingungkan' Arab : Menghargai keistimewaan 'tersembunyi'

Saya menulis artikel ini di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia…

Ya, ia sangat cepat berkembang dari segi projek-projek pembinaan infrastruktur-dari segi kemahiran, kecepatan siap dan penjimatan kos.

Malaysia juga cemerlang dari segi ekonomi, pertamanya disebabkan pelaburannya dalam modal insan, penjanaan kemampuan-kemampuan semulajadinya, dan industri pelancongan dalam pelbagai bentuk samada persekitaran, pengajian dan perubatan, yang menarik banyak modal. 

Kesemua ini adalah contoh-contoh yang 'menyilau', yang menggamit rasa takjub.

Tetapi, apa yang bersarang dalam minda saya ketika lawatan saya ke Malaysia, dan kekal dalam ingatan selepas meninggalkannya (Malaysia), ialah kedisiplinan masyarakat, dan tingkah lakunya yang bertamadun yang saya saksikan, dan rasai sendiri. 

Masyarakat Malaysia sampai ke tahap ini dalam masa kurang daripada empat puluh tahun.

Mereka sebelum itu adalah masyarakat pedalaman yang kurang pendidikan, dan sedang mencari-cari langkah pertama ke arah hidup yang bersistematik.

Hari ini, masyarakat Malaysia majoritinya berkarakter tenang, beriltizam-secara spontan-dengan tingkah laku kemanusiaan, peraturan dan undang-undang dalam kehidupan seharian. 

Mereka sebagai contoh, melayani para pemastautin dan pelawat dengan nilai-nilai kemanusiaan, dan senyuman yang tidak lekang dari wajah. 

Mereka juga menjaga harta-harta awam dan mengamalkan undang-undang lalu lintas, dan menjaga hak-hak orang-orang kurang upaya. 

Secara ringkasnya, masyarakat Malaysia mempraktikkan tingkah laku yang betul dan berperaturan dalam interaksi mereka.

Malaysia 'contoh hidup'

Di sini berbangkit persoalan, 'bagaimana masyarakat ini sampai ke tahap 'kedisiplinan' ini?'.

Adakah disebabkan pengajaran dan pendidikan? 

Atau, adakah ini disebabkan penguatkuasaan undang-undang yang tegas ke atas semua tanpa pegecualian? 

Saya tidak tahu. 

Tetapi, apa yang saya harapkan, ialah belajar dari eksperimen Malaysia, menceduknya dan cuba melaksanakannya-dalam bentuknya yang manusiawi-dalam masyarakat kita.

Di sana, ada satu lagi aspek yang sentiasa mencuri perhatian saya di Malaysia, iaitu 'kemampuan yang ajaib' untuk hidup bersama dan bertoleransi antara anggota masyarakat. 

Kepelbagaian asal keturunan-Melayu, Cina dan India-tidak memecah belahkan masyarakat ini. Perbezaan dan kepelbagaian agama juga-Islam, Buddha, Hindu dan Kristian-tidak mampu 'mengoyak'nya. 

Oleh demikian, saya menganggap rakyat Malaysia adalah 'contoh hidup' dan berjaya dalam soal ini. 

Tidakkah mereka yang mengangkat slogan-slogan mazhab, kabilah, kedaerahan dan slogan-slogan perkauman yang lain, mahu meneladani masyarakat Malaysia? 

Masih berbaki satu soalan yang tidak berenggang dengan saya, 'bilakah masyarakat kita akan sampai ke peringkat di mana keiltizaman dengan undang-undang, menjadi satu tabiat dan adat kebiasaan?'. 

NOTA : Artikel ini adalah terjemahan kepada artikel berbahasa Arab bertajuk لا عصبية في ماليزيا (Tiada perkauman di Malaysia). Ia disiarkan dalam laman asy-Syuruq, laman yang dibangunkan oleh pemastautin Arab di Malaysia.

No comments:

Post a Comment