Tuesday, 29 April 2014

Bukan Islam masuk masjid : Jangan langgar Mazhab Syafie!

Kenyataan Imam Syafie r.a berhubung hukum 'bukan Islam memasuki masjid', sangat jelas dan muktamad.

Dalam masa sama, ia menggambarkan keterbukaan dan sikap ‘mesra’ Islam terhadap bukan Islam.

Kenyataan beliau, seperti yang dipetik Imam al-Mawardi dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir berbunyi :
لا بأس أن يبيت المشرك في كل مسجد إلا المسجد الحرام

Terjemahan : “Tidak mengapa seseorang musyrik (bukan Islam) bermalam dalam setiap masjid, kecuali Masjidil Haram (di Mekah)”. (Al-Hawi al-Kabir, cetakan Dar al-Fikr, jld.2, hlm.622).

Kenyataan ini dihuraikan Imam al-Mawardi dengan mengatakan :

أَنَّهُ يَجُوزُ لَهُمْ أَنْ يَدْخُلُوا مَسَاجِدَنَا بِإِذْنِنَا إِلَّا الْحَرَمَ ، وَمَسَاجِدَهُ

Terjemahan : “[Menurut Mazhab Syafie] harus bagi mereka [bukan Islam] memasuki masjid-masjid kita dengan keizinan kita, kecuali  [tanah] Haram dan masjid-masjidnya]”. (Al-Hawi al-Kabir, jld.2, hlm.622).

Senada dengan Imam al-Mawardi, ialah Imam Nawawi.

Beliau mengatakan, harus bukan Islam memasuki dan bermalam di semua masjid-kecuali Masjid Haram-dengan syarat mendapat keizinan orang-orang Islam. (Al-Majmu’ jld.19, hlm.436).

Tiga kenyataan di atas menunjukkan, bukan Islam bukan sahaja dibenarkan masuk ke dalam masjid. Bahkan, lebih daripada itu, mereka dibenarkan bermalam dalam masjid!

Kenyataan Imam Syafie di atas juga menunjukkan, isu ‘bukan Islam masuk masjid’ sudah lama selesai, iaitu sejak zaman Imam Syafie lagi (150H-204H).

Wanita haid

Bagaimana pula jika bukan Islam dalam keadaan berhadas besar, seperti didatangi haid? 

Adakah mereka tidak dibenarkan memasuki masjid, sama seperti wanita muslim yang juga tidak dibenarkan memasuki masjid jika dalam keadaan haid?

Isu ini juga telah lama diselesaikan, antaranya oleh Imam Nawawi r.a.

Berhubung isu ini, menurut Imam Nawawi, terdapat dua pandangan.

Pandangan yang paling sahih, ialah pandangan yang mengharuskan wanita bukan Islam yang didatangi haid memasuki masjid (al-Majmu’, jld.19, hlm.437).

Alasan yang diberikan para ulama ialah, mereka (wanita bukan Islam) tidak memandang perbuatan memuliakan masjid sebagai satu kewajipan. 

Justeru, mereka tidak dilarang masuk dalam masjid, meskipun dalam keadaan 'tidak memuliakan masjid' (yakni dalam keadaan haid). (Al-Majmu’, jld.19, hlm.434).

Ini berbeza dengan wanita Islam. 

Mereka mempercayai bahawa 'memuliakan masjid' adalah satu kewajipan. Justeru, mereka ditegah melakukan sesuatu tindakan yang dilihat 'tidak memuliakan masjid'. Antaranya, memasuki masjid dalam keadaan haid.

Ringkasnya, Mazhab Syafie mengharuskan bukan Islam memasuki dan bermalan di masjid dengan syarat mendapat keizinan orang Islam. 

Keharusan ini turut diberi kepada wanita bukan Islam yang sedang haid menurut pandangan yang paling sahih dalam Mazhab Syafie.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment