Gambar hiasan |
Pada pengkritik, 'berselawat' adalah satu ibadat. Dan, menurut kaedahnya, ibadat mesti dilaksanakan mengikut tata cara yang ditunjukkan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam.
Tidak boleh beribadat dengan tata cara yang dicipta sendiri.
Justeru, tidak boleh berselawat dengan lafaz selawat yang digubah ulama, atau yang direka sendiri.
Komentar secara ilmiahnya memerlukan huraian berpandukan Usul Feqh.
Sementara huraian usuli ini dapat disempurnakan, huraian 'mudah dan logik' boleh juga membantu memberi pencerahan berhubung isu ini.
Sallallahu 'alaihi wasallam?
Ambil sahaja lafaz selawat yang digunakan seluruh dunia apabila disebut nama Nabi Muhammad.
Bila nama Baginda disebut, boleh dikatakan semua orang akan mengucapkan 'sallallahu 'alaihi wasallam' (صلى الله عليه وسلم). Maksudnya, 'semoga Allah berselawat dan memberi salam kepadanya'.
Persoalannya, adakah lafaz selawat yang masyhur ini, warid daripada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam?
Sukar dibayangkan, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam mengajar umatnya berselawat kepada Baginda dengan menyuruh mereka melafazkan 'semoga Allah berselawat dan memberi salam kepadanya' (dengan menggunakan ganti nama 'nya').
Bayangkan seorang ayah yang mahu memesan anaknya supaya berdoa untuknya. Lalu, si ayah menyuruh anaknya berdoa dengan lafaz, "ya Allah, ampunkanlah dosanya!"(dengan ganti nama 'nya').
Tidak logik!
Pasti si ayah akan menyarankan anaknya berdoa dengan lafaz "ya Allah, ampunkanlah dosa ayahku".
Jika berselawat dengan lafaz sallallahu 'alaihi wasallam tidak warid dari Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, tapi diamalkan umat Islam seluruh dunia tanpa sebarang bantahan, ini menunjukkan 'terikat dengan lafaz yang hanya warid dari Nabi sallallahu 'alaihi wasallam ketika berselawat', bukan satu kemestian.
Atas andaian lafaz tersebut warid dari Baginda sekali pun, ini masih belum cukup untuk membuktikan kemestian terikat dengan lafaz selawat yang hanya warid dari Baginda.
Ini berasaskan kepada kaedah-kaedah dalam Usul Feqh.
Tambahan pula, penerokaan ke atas kitab-kitab ulama menemukan banyak lafaz selawat yang digubah para ulama salaf sendiri. Antaranya lafaz selawat Imam Hasan al-Basri radhiyAllahu 'anhu.
Kemudian, teliti pula lafaz selawat yang dilantunkan para khatib ketika khutbah Juma'at.
Rata-rata khatib (setakat pemerhatian penulis) membaca selawat yang digubah sendiri, tanpa dibantah sesiapa.
Ini adalah ulasan mudah dan logik.
InsyaAllah, huraian usuli akan menyusul.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment