Zaman
Sultan Sulaiman al-Qanuniy (1495-1566M)-menurut kebanyakan ahli
sejarah-merupakan zaman keemasan Empayar Othmaniyyah.
Pada zaman
Baginda, jajahan takluk empayar itu semakin meluas. Banyak negeri dan bandar
dibuka. Kemakmuran dan kemewahan merata ke segenap penjuru empayar.
Namun,
Sultan Sulaiman-melalui sorotan Baginda ke atas sejarah peradaban
manusia-mengetahui bahawa setiap negara yang kuat, tidak dapat tidak, pasti
akan menjadi lemah.
Akan
menular ke dalam strukturnya faktor-faktor kelemahan dan keruntuhan. Ini
kerana, setiap peradaban mempunyai ajal masing-masing.
Adakah
perkara sama akan menimpa Empayar Othmaniyyah?
Adakah di
sana cara untuk lari daripada keruntuhan?
Persoalan
ini menghantui fikiran Sultan Sulaiman selama beberapa hari.
Setelah
lama berfikir dan bingung dengan persoalan ini, Baginda memutuskan untuk
mengajukan persoalan ini kepada seorang ulama yang masyhur ketika itu, iaitu
Yahya Afandi.
Yahya
Afandi juga merupakan saudara susuan Baginda.
“Tuan
adalah seorang yang mengetahui banyak rahsia. Justeru, kami berharap dari tuan,
agar sudi memberitahu kepada kami, bilakah sesebuah negara itu akan runtuh. Dan
apakah kesudahan Empayar Othmaniyyah ini?”.
Demikian
isi surat yang dihantar Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.
‘Peka’
tugas rakyat jelata
Yahya
Afandi segera menjawab soalan Sultan Sulaiman itu. Namun, jawapannya sangat
ringkas dan memeningkan Baginda Sultan.
“Apa kaitan
perkara ini denganku, wahai Tuanku al-Sultan? Apa kaitannya denganku?”.
Demikian
jawapan Yahya Afandi.
Sultan
Sulaiman sangat hairan dan pening dengan jawapan Yahya Afandi itu. Apakah dalam
jawapan itu mengandungi makna tersirat yang Baginda tidak fahami?
Baginda
tiada jalan lain melainkan pergi menemui sendiri Yahya Afandi di tempat
tinggalnya.
Setibanya
di sana, Baginda mengajukan soalan yang sama seperti dalam surat yang
dikirimkan, sambil menegur Yahya Afandi yang dilihatnya tidak serius menjawab
soalan Baginda.
“Beta
berharap dari Tuan, wahai saudaraku, supaya menjawab soalan Beta dan menganggap
persoalan ini serius.
Beta juga
berharap agar Tuan memberitahu apakah maksud Tuan dengan jawapan yang Tuan
berikan itu”, titah Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.
“Wahai
Tuanku, tatkala kezaliman dan kerosakan berleluasa dalam sesebuah negara, dan
setiap orang yang melihat kezaliman dan kerosakan ini berkata, “apa kaitannya
perkara ini denganku” kerana sibuk dengan hal diri masing-masing sahaja...
Apabila
‘pengembala’ membaham ‘kambing’ yang dijaganya, sedang orang yang mengetahui dan
mendengar hal ini mendiamkan diri...
Apabila
teriakan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan, mula meninggi ke langit
dan tiada siapa yang mendengarnya selain pokok-pokok dan tanah...
Ketika itu,
terserlahlah tanda-tanda kejatuhan sesebuah negara, terhakislah rasa kesetiaan
rakyat terhadapnya…
Demikianlah
kemalapan menjadi ketentuan yang tertulis ke atas sesebuah negara yang tiada
jalan melarikan diri daripadanya”.
Penyakit
& penawar
Begitulah
jawapan Yahya Afandi kepada persoalan Sultan Sulaiman.
Kezaliman
pemerintah dan ketidakpedulian rakyat terhadap ketidakadilan!
Itulah
‘barah’ dua serangkai yang menjadi penyebab keruntuhan sesebuah negara.
Sesebuah
negara boleh terus bertahan jika pemimpinnya zalim, tetapi rakyatnya peka dan
sentiasa jaga. Atau rakyatnya lena, tetapi penguasanya adil dan prihatin.
Tetapi,
sesebuah negara akan tumbang tatkala kezaliman pemerintah digandingi dengan
ketidakpedulian rakyat!
Tanggungjawab
pemerintah dalam memelihara keutuhan sesebuah negara ialah dengan membela
rakyat, bersikap adil dan saksama.
Manakala
tanggungjawab rakyat ialah peka terhadap sebarang ketidakadilan dan sensitif
terhadap apa jua kepincangan!
Untuk terus
gah dan utuh, negara memerlukan pemerintah yang adil.
Yang
penyayang.
Yang
amanah.
Yang sedar
bahawa dirinya adalah ‘pekerja’ kepada rakyat dan pemegang amanah mereka.
Untuk terus
gah dan utuh, negara juga perlukan rakyat yang sensitif, peka dan sentiasa jaga
terhadap apa jua perkembangan dalam negara.
Ya,
pemerintah yang adil dan rakyat yang peka!
Itulah
talian hayat sesebuah negara!
Justeru,
disamping berusaha menjadi atau melahirkan pemimpin yang adil, jangan dilupa,
usahakan juga agenda membentuk rakyat yang peka!