Monday, 22 October 2012

4 keadaan mengharuskan qurban untuk orang lain

Dalam catatan sebelum ini, ada diperkatakan tentang hukum melakukan qurban untuk orang lain, samada orang yang masih hidup atau pun telah mati.

Ringkasnya, melakukan qurban untuk orang lain, DIBOLEHKAN dengan SYARAT ada keizinan daripada orang berkenaan.

Jika orang berkenaan telah mati, qurban hanya boleh dilakukan untuknya jika dia mewasiatkan sedemikian.

Catatan kali ini pula menerangkan keharusan melakukan qurban untuk orang lain, meski pun tanpa keizinannya.

Walau bagaimana pun, keharusan ini hanya khusus bagi 4 keadaan.

Pertama : Seseorang yang melakukan korban untuk ahli rumahnya, iaitu orang-orang di bawah tanggungannya.

Tindakan ini DIHARUSKAN, walaupun tiada keizinan daripada mereka.

Kedua : Seseorang yang menyembelih binatang milik orang lain, yang dinazarkan untuk dijadikan qurban.

Contohnya, si A telah bernazar untuk mengorbankan seekor lembu yang khusus (yang ditentukan). Kemudian, si B menyembelih lembu tersebut pada hari Raya Haji tanpa keizinannya( si A).

Penyembelihan tersebut tetap dianggap sebagai qurban, walaupun tanpa keizinan si A selaku orang yang bernazar.

Ketiga : Qurban yang dilakukan oleh pemerintah untuk semua umat Islam.

Pemerintah dibenarkan menggunakan wang Baitul Mal untuk melakukan qurban untuk semua umat Islam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Mawardi.

Keempat : Penjaga (al-waliy) melakukan korban menggunakan wangnya sendiri untuk orang-orang di bawah jagaannya.

Ia diharuskan sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Bulqiniy dan al-Azra'ie.

Keterangan hukum di atas dinyatakan oleh Syaikh Khatib Syarbini dalam karyanya, Mughni al-Muhtaj ketika menghuraikan matan al-Minhaj karangan Imam Nawawi yang berbunyi :

ولا أضحية عن الغير ولا عن ميت إن لم يوص بها
Wallahu a’lam.

Thursday, 18 October 2012

Qurban atas nama syarikat : Satu diskusi dan analisis pandangan


Seorang sahabat saya, bertanya tentang sebuah syarikat yang mahu melakukan ibadat qurban sempena Aidil Adha.

Bagi tujuan ini, satu budjet khusus dikeluarkan syarikat tersebut.

Kesan daripada itu, qurban akan dilaksanakan atas nama syarikat. Bukannya atas nama individu.

Dari segi hukum, adakah amalan ini dibolehkan?

Kaedah mantiq

Bagi menjawab persoalan ini, perlu ditentukan terlebih dahulu hakikat atau sifat sebenar amalan ‘qurban atas nama syarikat’ ini.

Ulama mantiq ada berkata الحكم على الشيء فرع عن تصوره.

Maksudnya, penentuan hukum sesuatu perkara, adalah satu cabang daripada tasawwur tentangnya.

Ini bermakna, tasawwur atau gambaran yang jelas tentang sesuatu perkara, adalah asas. Manakala ‘proses penentuan hukum’ sesuatu perkara tadi, adalah cabang kepada asas yang dinyatakan.

Dalam erti kata lain, proses penentuan hukum bagi sesuatu perkara, tidak dapat dilakukan, selagi gambaran yang jelas tentangnya tidak diperolehi.

Realitinya, ‘qurban atas nama syarikat’, sebenarnya adalah amalan berkongsi membeli haiwan untuk diqurbankan.

Hukum feqh menjelaskan, berkongsi membeli haiwan dibolehkan jika ia adalah lembu, kerbau atau unta. Perkongsian ini harus, jika ia hanya melibatkan beberapa individu yang tidak melebihi 7 orang.

Adapun kambing, perkongsian ini tidak dibenarkan. Kambing hanya boleh diqurbankan oleh seorang individu.

Dalilnya ialah hadis yang direkodkan  oleh Imam Muslim (no.hadis : 1318) yang berbunyi :

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنهما قَالَ : نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ ، وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Terjemahan : Daripada Jabir bin Abdillah r.a, beliau berkata, “kami menyembelih bersama Rasulullah s.a.w pada tahun [berlakunya perjanjian] Hudaybiyyah seekor untuk tujuh [orang] dan seekor lembu [juga] untuk tujuh [orang].

Rumusan

Oleh demikian, dapat dirumuskan seperti berikut :

1. Jika syarikat terbabit dimiliki oleh seorang, atau beberapa individu yang tidak melebihi 7 orang, maka harus melakukan korban di atas nama syarikat, dengan menggunakan duit syarikat.

2. Jika syarikat tersebut dimiliki oleh beberapa individu melebihi 7 orang, maka tidak boleh dilakukan qurban dengan menggunakan duit syarikat. Ini kerana, perkongsian dalam melakukan korban, tidak boleh melebihi 7 orang.

Rumusan ini dikuatkan lagi oleh fatwa pakar rujuk laman web islamqa.com.

Fatwa tersebut dikeluarkan bagi menjawab soalan tentang keharusan membeli haiwan untuk diqurbankan, dengan menggunakan wang dari tabung keluarga.

Iaitu tabung yang diwujudkan hasil sumbangan beberapa orang ahli keluarga.

Dalam fatwanya, pakar rujuk laman tersebut menyatakan ketidakharusan membeli haiwan qurban menggunakan wang tabung keluarga, jika haiwan yang dibeli itu, adalah kambing.

Walau bagaimana pun, jika tabung itu wujud hasil sumbangan 7 orang atau kurang, maka boleh digunakan wang tabung tersebut bagi membeli lembu, kerbau atau unta untuk diqurbankan.

Teks fatwa tersebut seperti berikut :

السوال : نحن إخوة نعيش في بيت واحد ولدينا ما يسمى بصندوق العائلة، حيث نشترك في مصاريف البيت. فإذا جاء وقت الأضحية فهل نشتري الأضحية من صندوق العائلة أم يشتري كل واحد منا أضحية...؟ الإجابــة : فإن كان المقصود بقولك: فهل نشتري الأضحية من صندوق العائلة. أنكم تشترونها من الصندوق وتشتركون فيها. فالجواب أنه لا يصح الاشتراك في الأضحية إذا كانت من الغنم...ولكم أن تشتركوا في الأضحية من الإبل أو البقر...فإذا كنتم سبعة فأقل فلكم أن تشتروا بمال صندوق العائلة أضحية من الإبل أو البقر وتجزئ عنكم.

Terjemahan :

Soalan : Kami adik beradik tinggal dalam satu rumah dan kami memiliki apa yang dinamakan ‘tabung keluarga’dimana kami berkongsi dalam perbelanjaan [keperluan] rumah...

Apabila tiba waktu qurban, maka [bolehkah] kami membeli haiwan qurban [dengan wang] dari tabung keluarga, atau setiap daripada kami [perlu] membeli haiwan qurban [masing-masing]?...

Jawapan :Jika dimaksudkan dengan kata-kata anda ‘adakah kami [boleh] membeli haiwan qurban [dengan wang] dari tabung keluarga’ bahawa kamu [semua] membelinya (haiwan qurban) [dengan wang] dari tabung [keluarga tersebut], dan kamu berkongsi haiwan qurban tersebut, maka jawab [nya] bahawa tidak sah berkongsi haiwan qurban jika ia adalah kambing…

[Tetapi] kamu boleh berkongsi haiwan qurban [yang terdiri] daripada unta atau lembu…

Maka, jika [jumlah] kamu semua [adalah] tujuh [orang] atau kurang, maka kamu boleh membeli dengan wang tabung keluarga, haiwan qurban samada unta atau lembu, dan ia (lembu atau unta) memadai [bagi mewujudkan qurban] bagi kamu.

Munaqasyah

Ringkasnya, qurban yang dilakukan dengan menggunakan duit syarikat, dan dilaksanakan atas nama syarikat, dibolehkan dengan syarat yang dinyatakan di atas (no.1&2)

Zahirnya, ‘melakukan qurban di atas nama syarikat’, bukanlah satu masalah. Ia juga bukan faktor yang menjadikan qurban, tidak sah.

Ini kerana, ‘qurban yang dilakukan di atas nama syarikat’, dilaksanakan bukan dengan niat ‘berqurban untuk bangunan, atau pejabat operasi syarikat’ tersebut, seperti yang difahami sesetengah pihak.

Sebaliknya, qurban dilakukan untuk manusia yang bernaung, atau mengendalikan syarikat itu.

Tambahan pula, tiada sesiapa yang melakukan korban atas nama syarikat, dengan qasad ‘berqurban untuk bangunan atau tempat syarikat itu beroperasi’. Yang diqasadkan ialah melakukan qurban untuk manusia yang bernaung atau menggerakkan syarikat tersebut.

Justeru, yang perlu diambil kira ialah qasad di sebalik ‘qurban di atas nama syarikat’ itu. Ini sejajar dengan kaedah feqh yang menyatakan :

الأمور بمقاصدها

Terjemahan : Semua perkara dikira berdasarkan maqasidnya (tujuan dan qasad) .

Jelasnya, dalam kes ‘qurban atas nama syarikat’, soal ‘melakukan qurban untuk organisasi bukan manusia’, tidak berbangkit dan tidak wujud.

Melakukan sesuatu bagi objek yang bukan manusia, hanya tergambar dalam upacara pemujaan. Seperti menyembelih haiwan untuk berhala, busut, tempat-tempat yang dipercayai berpenunggu dan sebagainya.

Oleh itu, mana-mana syarikat boleh melakukan qurban di atas nama syarikat.

Tidak perlulah haiwan qurban yang dibeli dengan budjet syarikat, dihadiahkan kepada salah seorang kakitangannya, agar qurban dilakukan di atas nama kakitangan berkenaan.

Ini kerana, ‘berqurban di atas nama syarikat’, tidak mewujudkan apa yang dinamakan ‘qurban untuk organisasi bukan manusia’, yang dianggap sebagai faktor yang menyebabkan qurban tersebut, tidak sah.

Sesuatu yang tidak wujud, tidak perlu dielakkan.

Tambahan pula, tindakan menghadiahkan haiwan qurban kepada seseorang individu untuk diqurbankan di atas namanya, menimbulkan persoalan.

Iaitu, apakah ia benar-benar satu ‘hadiah’? Atau ia pada zahirnya sahaja berbentuk hadiah, tetapi hakikatnya adalah wakalah, iaitu mewakilkan seseorang melakukan sesuatu.

Ini kerana, individu berkenaan tidak memiliki apa-apa hak ke atas haiwan qurban yang ‘dihadiahkan’ kepadanya itu. Ini kerana, mahu tidak mahu, dia terpaksa menyembelih haiwan tersebut dengan niat qurban.

Jika haiwan tersebut benar-benar satu hadiah, tentu dia boleh untuk tidak menyembelihnya, samada menjual atau memeliharanya.

Dalam konteks akad, yang diambil kira ialah qasad dan niat, bukannya lafaz yang digunakan. Hal ini dinyatakan oleh kaedah feqh, iaitu :

العبرة في العقود للمقاصد والمعاني لا للألفاظ والمباني

Terjemahan : Yang diambil kira dalam akad ialah maksud dan pengertian, bukannya lafaz dan binaan (kerangka luaran akad)

Bagi menjawab persoalan ini, hukum hibah atau hadiah bersyarat, perlu dirujuk.

Qurban sama dengan sedekah

Melakukan qurban di atas nama syarikat sebenarnya sama dengan bersedekah atas nama syarikat, atau bersedekah kepada syarikat tertentu.

Sedekah di atas nama syarikat adalah sedekah yang dilakukan oleh manusia.

Demikian juga sedekah yang diberikan kepada syarikat tertentu.Ia juga sedekah kepada manusia yang mengendalikan syarikat itu atau semua orang yang bernaung di bawahya. Ia bukan sedekah kepada bangunan atau pejabat tempat syarikat itu beroperasi.

Persoalan berkaitan

Berhubung persoalan ini, berbangkit satu lagi persoalan. Iaitu hukum melakukan qurban menggunakan duit tabung masjid.

Walau bagaimana pun, disebabkan belum menemui jawapan yang pasti, saya tawaqquf dulu dalam soal ini.

Sikap tawaqquf ini diambil kerana mengambil kira pandangan fuqaha’ mazhab Syafie yang mengharuskan ketua negara melakukan qurban dengan menggunakan wang Baitul Mal. Iaitu qurban yang dilakukan untuk seluruh rakyat.

Saya tidak pasti, samada pengerusi atau ahli jawatankuasa masjid, boleh dikiaskan dengan ketua negara.

Dari satu segi, terdapat persamaan antara kedua-duanya. Iaitu dari segi ‘penguasaan terhadap wang di bawah jagaan masing-masing’.

Jika ketua negara berkuasa ke atas Baitul Mal, pengerusi atau ahli jawatankuasa masjid pula, berkuasa ke atas tabung masjid.

Jika ketua negara boleh melakukan qurban menggunakan wang Baitul Mal, adakah pengerusi atau ahli jawatankuasa masjid juga, boleh melakukan qurban menggunakan duit tabung masjid?

Persoalannya ini saya tawaqquf dahulu, dengan harapan para ilmuan melontarkan idea dan pandangan masing-masing.

Wallahu a’lam.

Thursday, 11 October 2012

Diskusi hukum penentuan jantina janin melalui kaedah perubatan


Percambahan minda sekitar persoalan-persoalan fiqh semasa, seperti lazimnya terus mewarnai pentas keilmuan Islam Mesir.

Terbaru, muncul persoalan berhubung hukum ‘campur tangan’ manusia dalam menentukan jantina bayi dalam kandungan.

Persoalan ini ‘tumbuh’ ekoran dapatan perangkaan dan kajian semasa tentang kependudukan, menunjukkan pertambahan kelahiran bayi perempuan berbanding lelaki.

Dalam sesetengah kes, jumlah kelahiran bayi perempuan melebihi bayi lelaki sebanyak tiga kali ganda!

Persoalan ini kian ‘subur’ dan ‘membesar’, apabila pakar-pakar perubatan mengesahkan kejayaan eksperimen yang dilakukan bagi menentukan jantina bayi dalam kandungan.

Khilaf ulama

Walau bagaimana pun, para ulama berbeza pendapat berhubung persoalan baru fiqh ini.

Antara ulama yang mengharuskan ‘campur tangan’ manusia dalam menentukan jantina bayi melalui kaedah perubatan moden, ialah Syaikh Dr. Abdullah an-Najjar, ahli Akademi Kajian Islam Mesir, atau Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah.

Beliau berdalilkan dengan doa beberapa orang nabi a.s dan doa ibu kepada Sayyidatina Maryam a.s yang disebut di dalam al-Quran.

Kesemua doa ini merakamkan keinginan mereka terhadap jantina tertentu anak-anak mereka yang bakal dilahirkan.

Nabi Zakaria a.s umpamanya berdoa (Maryam : 5) :

وَإِنِّى خِفْتُ ٱلْمَوَ‌ٰلِىَ مِن وَرَآءِى وَكَانَتِ ٱمْرَأَتِى عَاقِرًۭا فَهَبْ لِى مِن لَّدُنكَ وَلِيًّۭا ﴿5﴾

Maksudnya : Dan sesungguhnya aku bimbangkan kaum kerabatku sepeninggalanku; dan isteriku seorang yang mandul; maka kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak.

Menurut Dr al-Najjar, perkataan ‘wali’ dalam ayat di atas, bermaksud anak lelaki.

Demikian juga ibu kepada Sayyidatina Maryam, juga mengharapkan Allah mengurniakan kepadanya seorang anak lelaki.

Oleh sebab itu, setelah anak yang dilahirnya adalah seorang perempuan, beliau mengadu kepada Allah dengan berkata (Ali Imran : 36) :

فَلَمَّا وَضَعَتْهَا قَالَتْ رَبِّ إِنِّى وَضَعْتُهَآ أُنثَىٰ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ وَلَيْسَ ٱلذَّكَرُ كَٱلْأُنثَىٰ ۖ وَإِنِّى سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ وَإِنِّىٓ أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ ٱلرَّجِيمِ ﴿36﴾

Maksudnya : Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia : Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan, dan Allah memang mengetahui apa yang dilahirkannya itu, dan tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku perlindungkan dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, daripada godaan syaitan yang kena rejam.

Senada dengan doa dan harapan ibu Sayyidatina Maryam dan Nabi Zakaria a.s, ialah doa Nabi Ibrahim a.s.

Baginda juga berdoa agar Allah mengurniakannya anak lelaki.

Baginda berdoa (As-Safat : 100-101) :

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ﴿100﴾ فَبَشَّرْنَـٰهُ بِغُلَـٰمٍ حَلِيمٍۢ ﴿101﴾

Maksudnya : Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada kalangan orang yang salih! Lalu Kami berikan kepadanya berita gembira, bahawa ia akan beroleh seorang anak lelaki yang penyabar.

Pada pandangan Dr. an-Najjar, kesemua doa ini menunjukkan ‘keinginan terhadap jantina tertentu bayi yang bakal dilahirkan’, adalah harus.

Daripada rumusan ini beliau menyimpulkan, penentuan jantina anak dalam kandungan melalui kaedah perubatan, diharuskan.

Harus bersyarat

Pendapat kedua yang hampir dengan pendapat Dr. an-Najjar ialah pandangan Syaikh Dr. Abdul Fattah Idris, pensyarah Feqh al-Muqaran (Feqh Perbandingan) di Universiti al-Azhar.

Beliau mengharuskan tindakan menentukan jantina bayi dengan syarat adanya keperluan (الحاجة).

Antara contoh ‘keperluan’ yang mengharuskan tindakan tersebut, ialah kecacatan akibat keturunan, yang boleh menjangkiti bayi dalam kandungan, dan kecacatan tersebut boleh mengakibatkan kematian, atau menyebabkan si bayi hidup tidak seperti manusia normal.

Beliau dipetik sebagai berkata :

إنه لا تحرمه الشريعة الإسلامية ويجوز اللجوء إلي تقنية اختيار جنس المولود إذا كانت هناك حاجة لذلك, مثل أن تكون هناك تشوهات وراثية تنتقل إلي أحد نوع الذرية الذكور أو الإناث وهذه التشوهات قد تؤدي إلي إنهاء حياته أو منعه من أن يعيش حياة سوية

Terjemahan : [Usaha menentukan jantina bayi dalam kandungan] tidak diharamkan oleh Syariat Islam. Harus beralih kepada teknik pemilihan jantina anak [yang bakal] dilahirkan jika terdapat keperluan.
Seperti wujudnya kecacatan keturunan [yang boleh] berjangkit kepada zuriat lelaki atau perempuan, dan kecacatan ini pula berkemungkinan menyebabkan  kematian atau menghalangnya (bayi yang bakal dilahirkan) daripada hidup dengan cara yang normal.

Haram

Manakala pendapat yang mengharamkan tindakan ini, berdalilkan dengan fakta bahawa ‘penentuan jantina bayi dalam rahim’, adalah urusan yang khusus bagi Allah swt sahaja.

Dalam erti kata lain, manusia tiada hak untuk ‘campur tangan’.

Pendapat ini diutarakan oleh Syaikh Dr. Mabruk Athiyyah, professor Fakulti Pengajian Islam, Universiti al-Azhar.

Antara dalil yang menunjukkan kekhususan tersebut ialah firman Allah (al-Haj : 5):

وَنُقِرُّ فِى ٱلْأَرْحَامِ مَا نَشَآءُ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًۭا ثُمَّ لِتَبْلُغُوٓا۟ أَشُدَّكُمْ ۖ

Maksudnya : Dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak, kemudian sampai ke peringkat umur dewasa.

Firman Allah (al-Syura : 49-50) :

لِّلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَ‌ٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ ۚ يَهَبُ لِمَن يَشَآءُ إِنَـٰثًۭا وَيَهَبُ لِمَن يَشَآءُ ٱلذُّكُورَ ﴿49﴾ أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًۭا وَإِنَـٰثًۭا ۖ وَيَجْعَلُ مَن يَشَآءُ عَقِيمًا ۚ إِنَّهُۥ عَلِيمٌۭ قَدِيرٌۭ ﴿50﴾

Maksudnya : Bagi Allah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya; Ia mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya akan anak-anak perempuan, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau Ia jodohkan anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia memandulkan sesiapa yang Ia kehendaki. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

Dalam usaha mengukuhkan pandangannya, Dr. Mabruk menekankan soal kemestian redha dengan ketentuan Allah berhubung jantina anak yang dilahirkan.

Beliau juga melontarkan soal ketidaktahuan manusia berhubung apa yang terbaik bagi mereka, samada anak lelaki atau perempuan. 

Pada beliau, ada kemungkinan, seorang anak perempuan lebih baik daripada seribu anak lelaki.

Dr. Mabruk memberi contoh pasangan suami isteri yang memiliki seorang anak lelaki yang disebut dalam surah al-Kahfi. 

Anak tersebut telah dibunuh oleh Nabi Khaidir a.s kerana apabila dewasa, dia akan mendesak kedua ibu bapanya yang soleh, melakukan kezaliman dan kekufuran, sebagaimana yang diilhamkan Allah kepada beliau (Nabi Khidir a.s)

Surah al-Kahfi merakam kisah ini dalam firman Allah (al-Kahfi : 80) yang berbunyi :

وَأَمَّا ٱلْغُلَـٰمُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَآ أَن يُرْهِقَهُمَا طُغْيَـٰنًۭا وَكُفْرًۭا ﴿80﴾ فَأَرَدْنَآ أَن يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًۭا مِّنْهُ زَكَوٰةًۭ وَأَقْرَبَ رُحْمًۭا ﴿81﴾

Maksudnya :  Adapun kanak-kanak lelaki itu, kedua ibu bapanya adalah orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan kezaliman dan kufur. Oleh itu, kami berharap agar Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih dekat sayangnya.

Menurut para mufassirun, sebagai ganti,  Allah telah mengurniakan kepada ibu bapa kanak-kanak lelaki yang dibunuh itu, seorang anak perempuan yang akhirnya melahirkan anak-anak yang soleh.

Soal ketidaktahuan manusia tentang apa yang terbaik bagi mereka dalam soal jantina anak, ditegaskan sendiri oleh Allah dalam al-Quran.

Allah berfirman (An-Nisa’ : 11):

ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًۭا ۚ

Maksudnya : Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka lebih dekat manfaaatnya kepada kamu.

(Sumber :di sini)

Pemerhatian

Pengamatan awal terhadap dalil-dalil yang dikemukakan mendapati, doa agar dikurniakan anak yang memiliki jantina tertentu, seperti yang dirakamkan al-Quran, memahamkan akan keharusan seseorang mengingini anak dengan jantina tertentu.

Sedangkan, persoalan yang berbangkit ialah sekitar keharusan ‘campur tangan’ manusia dalam menentukan jantina anak melalui kaedah perubatan.

‘Keinginan terhadap jantina tertentu si anak’ dan ‘campur tangan dalam menentukan jantina si anak’, adalah dua perkara yang berbeza.

Manakala ayat-ayat al-Quran (al-Haj ayat 5 dan Asy-Syura ayat 49-50) yang dijadikan dalil bagi mengharamkan ‘campur tangan’ manusia dalam menentukan jantina si anak, zahirnya menerangkan kekuasaan Allah yang mutlak dalam menentukan jantina bayi dalam kandungan.

Sedangkan yang diperlukan-bagi mengharamkan ‘campur tangan’ manusia dalam soal ini-ialah tegahan ke atas manusia daripada ‘campur tangan’ tersebut.

Soal rezeki sebagai contoh, ia juga merupakan kekuasaan Allah yang mutlak dalam menentukan rezeki seseorang. Namun, ini tidak bermakna manusia tidak boleh ‘campur tangan’ dalam menentukan rezeki mereka melalui kaedah berusaha, merancang dan sebagainya.

Diskusi yang masih begitu ‘muda’ berhubung soal ini, sesungguhnya perlu dipupuk dan dibajai agar ia terus 'mekar' dan seterusnya 'matang', sebelum boleh diputuskan dengan jawapan yang konkrit dan muktamad.

Wallahu a’lam.

Friday, 5 October 2012

Emotional intelligence & rahsia kejayaan


Setelah sekian lama menyelidik, para cerdik pandai mendapati, kejayaan dan kebahagiaan seseorang, tidak hanya bergantung kepada kecerdikan akal semata-mata.

Manusia perlukan satu lagi jenis kecerdikan.

Dan kecerdikan inilah yang tiada, atau kurang penekanan dalam sistem pendidikan kita. Samada pendidikan formal atau tidak.

Para pengkaji barat menamakan kecerdikan ini ‘kecerdikan emosi’  atau emotional intelligence. Sehingga kini, ia masih satu ilmu baru bagi orang-orang barat sendiri, dan memerlukan kajian lanjut.

Sejak 24 tahun lalu, 1000 institusi berkaitan telah menjalankan beberapa kajian ke atas berpuluh-puluh ribu responden.

Kesemua kajian tersebut mencapai keputusan yang sama. Iaitu, kejayaan seseorang bergantung kepada beberapa kemahiran yang langsung tiada kaitan dengan sijil-sijil pengajian dan pengajian akademik!

Sekarang, kecerdikan emosi sudah menjadi satu juzuk yang penting dalam falsafah mana-mana institusi atau organisasi. Ini kerana, kecerdikan emosi mendidik individu bekerja bersama-sama bagi mencapai tujuan bersama.

Sikap proaktif, efisyen, berdaya saing, optimis dalam sektor pekerjaan adalah sifat yang terbit daripada kecerdikan emosi, bukannya daripada kecerdikan akal semata-mata.

Kursus motivasi berkaitan budaya kerja sebenarnya usaha menggilap atau menyuburkan kecerdikan emosi, bukannya kecerdikan akal.

Semua ini mengesahkan bahawa kejayaan dalam erti kata yang luas, bukan hanya bergantung kepada kecerdikan akal. Kecerdikan emosi juga sangat mustahak.

Apa itu kecerdikan emosi?

Kecerdikan emosi ialah ‘kemampuan manusia berinteraksi secara positif dengan dirinya sendiri dan juga orang lain, yang akan menghasilkan kebahagiaan yang maksima bagi diri sendiri dan orang lain’.

Kecerdikan emosi mengandungi beberapa sifat yang bersifat emosi, antaranya :

i.             Kemampuan memahami perasaan diri sendiri dan perasaan orang lain;
ii.            Kemampuan mencetuskan rasa sayang orang lain terhadap diri sendiri, dan mampu berinteraksi dengan mereka;
iii.           Kemampuan meluahkan perasaan dan emosi, dan kemampuan memahaminya;
iv.           Kemampuan menjalinkan hubungan dengan orang lain(boleh menyesuaikan diri);
v.            Kemampuan mengawal dan ‘mengendarai’ emosi;
vi.           Kejayaan dalam bidang akademik dan kerjaya;
vii.          Kemampuan membuat keputusan sendiri;
viii.        Istiqamah (konsisten) dan berterusan dalam sesuatu pekerjaan;
ix.           Berusaha menyelesaikan permasalahan yang berlaku dalam masyarakat; dan
x.            Menghormati diri sendiri dan orang lain.

Pupuk kecerdikan emosi 

Kecerdikan emosi sepatutnya disemai pada usia kanak-kanak lagi. Tempoh selepas lahir sehingga usia lima tahun, dianggap tempoh paling sesuai bagi tujuan ini.

Anda boleh menggunakan teknik-teknik di bawah bagi memupuk kecerdikan emosi dalam diri anak-anak tersayang :

i.             Melatih anak-anak bergantung kepada diri mereka sendiri dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan diri mereka. Ini supaya mereka mampu membuat keputusan dalam kehidupan mereka di masa depan.

Contohnya, biarkan mereka memilih sendiri pakaian, warna bilik tidur, jenis permainan dan buku-buku kegemaran mereka.

Semasa mereka membuat pilihan, anda sebagai ibu bapa hendaklah berperanan sebagai pembimbing dan memberi khidmat nasihat, supaya mereka dapat membuat pilihan yang tepat dan terbaik.

ii.            Mengajar mereka menghormati orang yang lebih tua. Sifat ‘menghormat orang lain’ akan subur dalam diri mereka dan akan memberi saham kepada kejayaan mereka pada masa depan.

Menggalakkan mereka mencium tangan orang dewasa semasa berjabat tangan, merendahkan suara di hadapan orang tua, antara kaedah yang boleh dipraktikkan

iii.           Mengajar mereka kemahiran mendengar buah fikiran dan ucapan orang lain dengan penuh simpati.

Maksud ‘mendengar dengan penuh simpati’  ialah memberikan respon kepada percakapan orang lain dan berbual dengannya jika mereka berkelayakan berbuat demikian. Ini akan menyuburkan kemahiran berbicara dalam diri mereka.

iv.           Melatih mereka belajar dari kesilapan mereka dan juga kesilapan orang lain. Setiap dari kita mesti berbuat salah dan terlanjur. Akan tetapi, kita mesti mengambil peluang daripada kesilapan untuk belajar apa yang betul dan mesti bangkit kembali.

v.            Menyuburkan di dalam diri mereka sikap tafa’ul (optimis), kerana individu yang mutafa’il (optimis) ialah orang yang mampu mengatasi masalah  dan kesukaran pada masa depan

vi.           Mengajar mereka memohon maaf apabila melakukan kesilapan. Anda hendaklah menjadi contoh kepada mereka. Memohon maaf tidak akan mengurangkan kedudukan seseorang. Sebaliknya ia akan membiasakannya bersifat tolak ansur

vii.          Latih mereka memikul tanggungjawab yang sesuai dengan usia mereka, seperti menugaskan anak perempuan mengemas rumah, atau pun membeli barang keperluan bagi anak lelaki

viii.        Membentuk anak-anak supaya menjadi seorang yang bermasyarakat. Ini dilakukan dengan cara menjalinkan hubungan kemasyarakatan dengan jiran tetangga supaya anak-anak hidup harmoni dengan orang di sekeliling

ix.           Melatih mereka bersimpati dan mengambil berat tentang orang lain. Ini boleh dilakukan dengan turut serta meraikan kejayaan kawan-kawan dan bersimpati di atas kesusahan mereka, seperti menziarahi kawan yang sakit, memberi hadiah kepada rakan sekolah dan sebagainya.

Emosi bukan lalang

Adalah sangat malang andainya emosi kanak-kanak tidak terdidik dan dibiarkan berkembang sendiri seperti lalang.

Dengan kefahaman tentang kecerdikan emosi ini, dapatlah anda mentafsirkan fenomena yang sering dilihat, iaitu seseorang yang cemerlang dalam akademik di peringkat sekolah mahu pun universiti, tidak dapat meneruskan tradisi kecemerlangan dalam kehidupan dan tidak menonjol di medan kehidupan.

Sebaliknya, kedapatan ramai orang yang pencapaian akademiknya sekadar ‘cukup makan’, tetapi berjaya dalam hidupnya dan berupaya menjadi pemimpin terkenal!