Saturday, 24 March 2012

Qaradhawi gesa zakat, wang syubhat disalur kepada rakyat Syria

Dalam siri terbaru sokongan Syaikh al-Qaradhawi terhadap perjuangan rakyat Syria membebaskan diri daripada cengkaman kuku besi diktator negara itu, Bashar al-Asad, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu menggesa umat Islam di seluruh dunia, agar membayar zakat kepada rakyat Syria.

Selain zakat, beliau juga menggesa agar wasiat atau wakaf yang hendak dilakukan, disalurkan kepada rakyat Syria dengan menamakan mereka dalam wasiat dan wakaf yang dilakukan. 

Bagi umat Islam yang mahu menyucikan diri daripada wang haram, seperti wang faedah (bunga), beliau juga menggesa mereka menyalurkan wang tersebut kepada rakyat Syria.

Bagi menjelaskan keutamaan wang zakat disalurkan kepada rakyat Syria, Qaradhawi menjelaskan, para ‘pemberontak’ di Syria kini mewakili pelbagai jenis asnaf zakat. Ini kerana, di kalangan mereka ada orang yang fakir, miskin, pejuang Fi Sabilillah, orang berhutang dan orang-orang dalam perjalanan.

Gesaan ini dibuat ketika beliau menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Umar Ibn al-Khattab di Doha.

Dalam khutbah tersebut, beliau dipetik sebagai berkata :
ادفعوا أموال الزكاة لهذا الشعب لأنهم يستحقونها، كذلك أموال الوصايا والأوقاف والأموال التي بها شبهة من فوائد البنوك وما شابهها، فأي مساعدة تُغطّي جزءاً من حاجتهم وتُعينهم على صمودهم".
Terjemahan : Bayarlah zakat harta kepada rakyat [Syria] ini kerana mereka berhak [menerima] nya. Begitu juga harta-harta wasiat, wakaf dan harta-harta syubhat, seperti faedah bank dan seumpamanya, justeru sebarang bantuan [dapat] memenuhi satu juzuk daripada keperluan mereka dan membantu mereka terus teguh”.
Sumber : qaradawi.net

Thursday, 15 March 2012

Kebajikan anak Hoslan : PAS perlu pergi lebih jauh!


Sesetengah pihak, memandang sinis tindakan Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat membantu keluarga Hoslan Hussin.

Pemuda PAS berusaha mengumpulkan RM20,000 untuk keluarga Hoslan. Manakala Muslimat PAS pula akan menyediakan RM800 sebulan untuk keluarga beliau.

Usaha ini dilakukan bagi menjaga kebajikan isteri dan 7 anak Hoslan, seorang imam yang dihukum penjara selama setahun.

Ditilik dari kacamata agama dan sosial, tindakan kedua-dua sayap PAS itu, sebenarnya merupakan satu permulaan yang sangat baik.

Seharusnya, semua pihak menjadikan ‘permulaan yang baik’ ini, sebagai titik mula atau batu asas kepada pengasasan satu badan khusus, yang bertanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak atau isteri tahanan penjara.

Semua pihak harus menginsafi bahawa menjaga kebajikan anak dan isteri tahanan penjara, adalah satu kewajipan agama dan sosial.

Kedudukannya sebagai satu kewajipan agama, dinyatakan oleh Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Dalam fatwanya, beliau menyatakan, menjadi kewajipan pemerintah menjaga kebajikan anak-anak pesalah yang dihukum penjara (al-Qaradhawi, Yusuf (2000), Fatawa Mu’asarah, cet. ke-8, Kuwait : Darul Qalam, 627).

Adalah jelas, berasaskan fatwa ini, menjadi kewajipan pemerintah menjaga kebajikan tanggungan pesalah yang dikenakan hukuman penjara, sepanjang pemenjaraannya.

Justeru, alangkah eloknya ‘permulaan yang baik’, yang dicetuskan oleh kedua-dua sayap PAS ini, dijadikan ‘sempena yang baik’ oleh pihak Kerajaan bagi membentuk satu badan, yang berperanan menjaga kebajikan anak-anak dan isteri pesalah yang dihukum penjara.

Dalam masa sama, PAS sendiri wajar melihat ‘permulaan yang baik’ yang dicetuskannya ini, sebagai satu peluang untuknya meminta Kerajaan menubuhkan badan kebajikan anak-anak tahanan ini.

Jika permintaan ini tidak dapat ditunaikan oleh Kerajaan, adalah sesuatu yang sangat ‘indah’, andainya parti Islam itu mengusahakan sendiri, atau menggalakkan penubuhan satu badan, bagi tujuan memelihara kebajikan anak-anak dan isteri yang tidak berdosa, yang dipisahkan dari ayah mereka oleh jeriji besi.

Prinsip Islam

Anak-anak dan isteri yang ditinggalkan ini sebenarnya tidak berdosa. Yang berdosa dan bersalah ialah ayah mereka.

Justeru, seseorang itu tidak wajar dipersalahkan atau dipandang serong, disebab dosa yang dilakukan oleh orang lain.

Inilah prinsip yang diasaskan oleh Islam melalui firman Allah yang bermaksud, “dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain”(Al-Isra’ : 15).

Prinsip ini memahamkan bahawa tiada istilah ‘membela’ atau ‘menjulang penjenayah’ dalam sebarang usaha menjaga kebajikan anak-anak dan isteri pesalah yang hilang tempat bergantung, akibat jenayah atau kesalahan yang dilakukan oleh si ayah atau si suami.

Tindakan sesetengah pihak menyifatkan inisiatif Pemuda dan Muslimat PAS menghulurkan bantuan kepada keluarga Hoslan sebagai ‘menjulang atau membela pesalah’, adalah tunas yang tumbuh daripada kejahilan tentang prinsip Islam yang disebutkan dalam surah al-Isra’ ayat 15.

Semua pihak-tanpa mengira agama dan kaum-perlu menginsafi bahawa pengabaian terhadap anak-anak dan isteri tahanan penjara, boleh menyumbang kepada pertambahan kadar jenayah.

Bila anak-anak dan isteri ini hilang tempat bergantung, kebiasaannya, keadaan akan menolak mereka masuk ke zon masalah ekonomi dan sosial, zon yang menyediakan tanah yang subur bagi percambahan jenayah dan gejala salah laku.

Menyedari kepincangan undang-undang yang hanya memenjarakan pesalah, tetapi mengabaikan tanggungannya yang ditinggalkan tanpa tempat bergantung, Syaikh Qaradhawi menyifatkan undang-undang ciptaan manusia ini sebagai cuai (al-Qaradhawi, Yusuf (2000), Fatawa Mu’asarah, cet. ke-8, Kuwait : Darul Qalam, 627).

Selaku pihak yang boleh disifatkan sebagai ‘penabur benih’ kepada usaha penjagaan kebajikan anak-anak dan isteri tahanan penjara, Pemuda dan Muslimat PAS tidak harus berhenti setakat menghulur bantuan kepada keluarga Hoslan sahaja.

Mereka perlu bergerak lebih jauh ke hadapan, sehingga ke tahap pembentukan sebuah badan kebajikan bagi anak-anak dan isteri yang dipisahkan dari suami mereka oleh tirai besi.

Yang lebih penting, penubuhan badan kebajikan anak-anak dan isteri tahanan penjara ini, sangat cocok dengan agenda penubuhan Negara Berkebajikan PAS.

Selamat berjuang!

Wednesday, 7 March 2012

Kewangan Islam : Rahsia 'kanak-kanak' bertatih selamat menempuh ribut


Kanak-kanak masih bertatih berjaya meredah ribut kencang!?

Ini memang berita ajaib.

Lebih ajaib lagi apabila orang dewasa dan berpengalaman pula yang tumbang di ‘terajang’ ribut!. Kanak-kanak yang masih bertatih terus juga teguh di tengah amukan ribut.

Sistem kewangan Islam masih begitu baru di dunia ekonomi global. Ia bagaikan ‘kanak-kanak’ jika dibandingkan dengan sistem kapitalis yang sudah lama ‘bercekak pinggang’ di pentas ekonomi dunia.

Ia adalah ‘orang dewasa’ yang matang lagi berpengalaman.

Perbezaan umur dan pengalaman, menjadikan dunia tidak begitu memberi perhatian kepada ‘kanak-kanak’ kecil yang masih ‘bertatih’ ini.

Hinggalah ‘ribut’ krisis kewangan global mengamuk, mahu tidak mahu, ‘orang dewasa’ yang matang lagi berpengalaman ini serta seantero dunia, terdorong untuk ‘berkenalan’ dengan sistem kewangan Islam.

Yang masih ‘kanak-kanak’. Masih ‘bertatih’. Yang logiknya akan tersungkur jikalau tersepak batu!

Ia menjadi tarikan ‘orang luar’ lantaran terus teguh meskipun krisis kewangan global sedang galak ‘melenyek’ satu persatu institusi-institusi kewangan berasaskan kapitalis, yang ‘dewasa’ itu.

Fenomena ‘kanak-kanak bertatih berjaya menghadapi ribut’ ini telah memaut perhatian Clancy Yeates.

Beliau menulis satu artikel bertajuk Islamic finance rides the storm(Kewangan Islam teguh menghadapi ribut) dalam akhbar The Sydney Morning Herald pada 11 Oktober 2008(http://business.smh.com.au/business/islamic-finance-rides-the-storm-20081010-4yft.html).

Keajaiban bukan hanya terhenti pada keteguhan sistem kewangan Islam di tengah-tengah krisis kewangan global yang makin sasau’ itu.

Lebih daripada itu, menurut Yeates, ia-pada masa ribut’ sedang menggila- sedang bergerak ke arah perkembangan yang serius. Ia juga berkembang lebih cepat daripada sistem perbankan lain di dunia!

Bak kata beliau “Not only has the industry been resilient; it's also on the cusp of serious expansion. It is growing faster than any other subset of world banking, at 15 to 20 per cent a year”.

Ketika pasaran saham merudum di Amerika dan Britain, indeks kewangan Islam, Dow Jones's mencatatkan peningkatan sebanyak 4.75% pada suku terakhir tahun 2008.

Ia juga mencatatkan peningkatan sekitar 15-20% setahun pada satu dekad yang lepas.

Untung tanpa riba

Kanak-kanak’ kecil yang sedang bertatih ini memiliki koleksi keajaiban.

Akhbar mingguan Britain, The Economist menganggarkan, asset yang diuruskan oleh institusi-institusi  kewangan Islam kesemuanya berjumlah 1000 billion dollar Amerika!

Jumlah yang sebegini besar berpotensi untuk terus meningkat pada tahun-tahun akan datang.

Yang ajaib bukanlah jumlah 1000 billion USD itu sangat. Yang memelikkan-kata Yeates- ialah kesemua keuntungan itu diperoleh melalui sistem pinjaman tanpa riba.

Juga melalui cara menjauhkan diri daripada membuat spekulasi(speculation) dalam pasaran saham, dan memberi pinjaman dalam jumlah yang besar!

Inilah yang lebih menakjubkan!

Demikian bicara Yeates.

Andai demikianlah duduknya keadaan, bagaimana anak kecil’ masih bertatih ini menjana keuntungan sebegitu besar?.

Persoalan ini sebenarnya kad jemputan’ istimewa kepada semua orang.

Jemputan untuk berkenalan’ dengan sistem kewangan Islam yang menyimpan seribu satu macam perkara yang tidak diketahui dunia.

Maklumat umum anak kecil’

Sistem kewangan Islam terbina di atas tiga prinsip asasi.

Keadilan, perkongsian dan menolak amalan menanggung risiko yang berlebihan (opposition to excessive risk).

Ini melalui penilaian Yeates.

Meskipun ketiga-tiga prinsip ini juga diamalkan dalam sistem kewangan lain, tetapi, yang membezakan sistem kewangan Islam-menurut Yeates-ialah pengharaman faedah.

Faedah dianggap riba yang diharamkan syariat Islam.

Islam memerangi riba

Islam memandang riba sesuatu yang tidak bermoral kerana ia memberi kesan buruk kepada peminjam. Dan inilah yang telah berlaku ke atas peminjam-peminjam yang membeli hartanah di Amerika. Dimana, bank memperolehi  pembayaran tetap daripada peminjam-tanpa mengira keadaan pasaran- dalam bentuk kadar faedah.

Sudah ramai kalangan di barat mula menyedari keburukan riba dalam ekonomi. Mereka mula mengkritik amalan riba terang-terangan. Antara mereka ialah Beaufils Vincent, ketua editor majalah ekonomi berpengaruh, Challenger.

Beliau menulis satu artikel yang sangat kontroversi di barat bertajuk Le Pape ou le Coran (Pope atau al-Quran).

Beliau menulis saya rasa, dalam menghadapi krisis ini, kita semua lebih perlu membaca al-Quran sebagai alternatif kepada Injil bagi memahami apa yang berlaku ke atas kita dan juga bank-bank kita.

Ini kerana, jika pengurus-pengurus bank-bank kita cuba menghormati ajaran dan hukum hakam yang disebut di dalam al-Quran dan melaksanakannya, nescaya tidak akan menimpa kita krisis dan bencana yang telah menimpa, dan keadaan kita tidak akan sampai kepada keadaan seperti sekarang, kerana wang tidak akan melahirkan wang.

Dengan nada lebih berani, Roland Laskine, ketua editor akhbar Le Journal des fienance dalam rencananya bertajuk Is it time now for adopting the principles of Islamic Sharia'h in Wall Street? menggesa dilaksanakan syariat Islam dalam bidang kewangan dan ekonomi bagi mengekang krisis yang menggegarkan pasaran dunia lantaran manipulasi ke atas asas-asas transaksi dan pengamalan transaksi ‘atas angin’ yang melampau.

Friday, 2 March 2012

Penangan perniagaan ‘atas angin’ dan riba ke atas ekonomi Amerika


Tom  tinggal di sebuah rumah sewa bersama keluarganya. Sewanya 700 USD sebulan. Seperti kebiasaan, gajinya akan habis sebelum hujung bulan.

Tom memang mengimpikan sebuah rumah sendiri. Beliau mahu ‘bebas’ daripada rumah sewanya sekarang.

Suatu hari, Tom sangat terkejut bila mendengar berita tentang Jerry, rakan sekerjanya. Tom terkejut bukan kepalang bila mendapat tahu Jerry telah membeli sebuah rumah secara ansuran!

Yang menyebabkan Tom terkejut ialah gajinya sama banyak dengan gaji Jerry. Apa tidak terkejutnya, dengan gaji sekarang, mereka berdua tidak mampu membeli kereta terpakai secara ansuran, apatah lagi membeli rumah!

Tom sudah tidak mampu membendung rasa terkejutnya. Dia terus bertanya Jerry.

‘Suhu’ terkejut Tom makin meningkat bila Jerry memberitahunya,bahawa dia juga boleh membeli rumah sepertinya.

Jerry memberikan Tom nombor telefon agensi hartanah yang menguruskan pembelian rumahnya.
Sebenarnya, Tom tidak mempercayai kata-kata Jerry. Namun, keinginan memiliki rumah yang membuak, menyebabkannya tidak dapat tidur malam itu.

Keesokan harinya, perkara pertama yang dilakukan Tom ialah menelefon agensi hartanah tersebut untuk memastikan kesahihan kata-kata Jerry.

Tom begitu terkejut dengan layanan bersungguh-sungguh Mary, pegawai wanita agensi tersebut.

Mary juga menjemput Tom dan isterinya melawat pejabatnya secepat mungkin. Mary  memberitahu Tom, dia tidak layak mendapat pinjaman daripada mana-mana bank kerana pendapatannya rendah.

Disamping itu, dia juga tidak memiliki sebarang aset yang boleh dicagar bagi mendapat pinjaman. Tetapi, kata Mary, dia akan menolong Tom mendapatkan pinjaman, tetapi dengan kadar faedah yang tinggi.

Oleh kerana Mary dan agensinya suka ‘membantu’ golongan berpendapatan rendah seperti Tom, maka dia akan menolong Tom dengan sepenuh hati. Caranya, Mary akan mengusahakan satu pinjaman ‘istimewa’ untuk Tom.

‘Istimewa’nya pinjaman ini ialah, kadar faedahnya rendah pada tahun-tahun pertama. Ini bagi membolehkah Tom mengukuhkan kedudukan kewangannya.

Itu semua tidak penting bagi Tom. Yang penting, bayaran bulanan tidak melebihi 700 USD sebulan, iaitu kadar sewa rumahnya sekarang.

Ringkas cerita, Tom membeli sebuah rumah secara ansuran. Bayaran bulanannya sama dengan bayaran sewa rumahnya dahulu, USD 700 sebulan.

Tom begitu gembira kerana dengan setiap bayaran bulanan, bermakna dia telah memiliki satu juzuk daripada rumah yang dibeli dengan ansuran itu. Pihak bank bersetuju mengenakan kadar faedah yang rendah ke atas Tom kerana ‘menyokong’ dasar ‘setiap warganegara sebuah rumah’ yang diambil kerajaan.

Tom bertambah gembira kerana harga rumahnya kian meningkat. Sekarang, harganya lebih tinggi daripada harga belian.

Dengan peningkatan harga ini, Tom sudah boleh menjual rumahnya dan mendapat keuntungan berganda. Tom bertambah yakin beliau boleh berbuat demikian apabila bertemu dengan anak saudaranya, John.

John memberitahu, memandangkan harga rumahnya meningkat sebanyak 10,000 USD, dia layak mendapat pinjaman bank sebanyak 30 ribu USD. Iaitu  dengan cara mencagarkan sebahagian daripada rumahnya.

John menambah, dia akan gunakan pinjaman yang diperolehinya untuk membaiki rumah dan bercuti di sebuah pulau. Selebihnya, akan digunakan untuk membuat bayaran pendahuluan bagi membeli kereta baru.

Undang-undang tidak lindungi orang tidak arif!

Malangnya, Tom dan rakannya, Jerry tidak membaca kontrak pinjaman dan satu syarat yang ditulis dihujung kertas.

Di situ ditulis satu perenggan, “kadar faedah yang dikenakan sentiasa berubah, bukannya tetap. Kadar ini adalah rendah pada tahun-tahun pertama, kemudian meningkat sedikit demi sedikit”.

Di situ juga terdapat satu lagi perenggan, “kadar faedah akan meningkat setiap kali bank pusat menaikkan kadar faedah”.

Terdapat satu lagi perenggan yang menyebut, “apabila peminjam lewat membuat bayaran bulanan dan sebarang bayaran lain, kadar faedah akan meningkat 3 kali ganda”.

Yang paling ‘penting’ sekali ialah perenggan yang menyebut, “bayaran bulanan bagi tiga tahun pertama dikira sebagai bayaran kepada faedah yang dikenakan kepada peminjam”.

Ini bermakna, bayaran tersebut bukannya dikira bayaran ansuran rumah. Bayaran ansuran bulanan hanya dikira sebagai bayaran rumah selepas tiga tahun.

Selepas beberapa bulan, bank pusat menaikkan kadar faedah. Kadar faedah yang dikenakan ke atas Tom turut meningkat sebagaimana yang tertulis dalam akad.

Ini menyebabkan kadar bayaran ansuran bulanan rumah Tom turut meningkat. Kemudian, meningkat sekali lagi selepas berlalunya satu tahun sebagaimana yang tertulis dalam perjanjian.

Apabila ansuran bulanan meningkat kepada 950 USD sebulan, Tom mulai terlewat menjelaskan ansuran bulanan. 

Ini menyebabkan ansuran bulanan meningkat dengan sendirinya menjadi 1200 USD sebulan.
Oleh kerana Tom tidak mampu membayarnya, maka denda lewat bayar dan kadar faedah bertimbun-timbun di atas bahunya.

Sekarang, Tom mesti memilih satu antara dua, memberi makan kepada tanggungannya, ataupun membayar ansuran bulanan sebanyak USD 1200 sebulan.

Tom tiada pilihan melainkan memilih pilihan pertama. Maka, dia berhenti membayar ansuran bulanan kerana sudah tidak mampu.

Dalam masa sama, Tom mendapat tahu, Jerry telah pun dihalau dari rumahnya. Sekarang, Jerry menumpang di rumah ibunya.

Tom juga dapat tahu bahawa apa yang berlaku ke atasnya, turut berlaku ke atas ramai orang. Tom  memutuskan untuk terus kekal di rumahnya sehingalah polis datang menghalaunya.

Bank & bisnes ‘atas angin’

Ini pula cerita tentang bank yang memberi pinjaman kepada Tom dan yang sewaktu dengannya. Sepatutnya, bank hanya berpada dengan keuntungan yang diperolehinya daripada kadar faedah yang dibayar oleh Tom dan peminjam-peminjam lain.

Tetapi ini tidak berlaku.

Bank sebaliknya ‘menjual’ kepada para pelabur baki pinjaman yang belum dibayar(hutang peminjam dengan bank) dengan menukarkannya menjadi bon. 

Dalam jual beli bon tersebut, pihak bank mengenakan komisyen dan bayaran perkhidmatan ke atas pelabur-pelabur tersebut.

Ini bermakna, pihak bank berusaha mendapat sebanyak mungkin komisyen dan kemudiannya, memindahkan barang gadaian (rumah Tom dan para peminjam lain) kepada para pelabur.

Sekarang, para pelabur memiliki bon yang dicagar (dijamin/disokong) dengan hartanah (rumah).
Ini bermakna, jika Tom dan Jerry muflis, rumah mereka boleh dijual bagi mengukuhkan bon. Para pelabur ini pula mencagarkan bon-bon ini - atas dasar ianya aset- bagi mendapatkan hutang baru bagi membeli lebih banyak bon.

Ini bermakna, mereka menggunakan hutang bagi memperolehi lebih banyak hutang.

Satu lagi masalah ialah, pihak bank mengambil mudah sehinggakan membenarkan seseorang meminjam wang 30 kali ganda lebih banyak daripada nilai sebenar barang gadaian(cagaran).

Ringkas cerita,  Tom menganggap rumahnya sekarang adalah kekal miliknya. Bank pula beranggapan rumah itu miliknya. Pelabur pun begitu juga, menganggap rumah itu milik mereka kerana mereka memiliki bon.

Oleh kerana para pelabur tersebut mencagarkan bon bagi mendapatkan hutang baru, maka pihak bank yang memberi pinjaman beranggapan bahawa memang terdapat rumah di tempat sekian sekian, yang boleh menampung nilai bon tersebut.

Tetapi masalahnya, jumlah hutang yang diberikan 30  kali ganda lebih banyak daripada harga rumah.

Cerita belum berakhir

Nilai bon tidak sama.

Ada bon yang bernilai, dan ada yang langsung tidak berharga. Kedudukan bon-bon ini ditentukan oleh syarikat pentaksir bon.

Asas yang digunakan dalam menilai sesuatu bon itu ialah kemampuan peminjam membayar hutang.
Justeru, peminjam yang dipastikan dapat menjelaskan hutangnya, maka bon tersebut bernilai tinggi. Adapun bon yang tidak dapat dipastikan demikian, ia dianggap tidak bernilai.

Jadi, bagi mengatasi masalah ketiadaan nilai bon ini, maka pihak bank berusaha memperkukuhkan pusat-pusat pengeluar bon.

Caranya, pihak bank mencipta pelbagai bentuk insuran. Di mana melalui cara ini, pemegang bon (atau pembeli bon) perlu mendapatkan polisi insuran di syarikat insuran.

Ini bagi memastikan syarikat insuran dapat membayar harga bon jika bank ataupun pembeli rumah yang asal jatuh bankrap. Perkembangan ini menggalakkan para pelabur di seluruh dunia berlumba-lumba membeli lebih banyak bon.

Akhirnya, dengan sebab Tom, Jerry dan para peminjam lain telah berhenti membayar ansuran bulanan, bon-bon kehilangan nilainya.

Kejatuhan nilai bon-bon ini menyebabkan para pelabur yang membeli polisi di syarikat insuran, menuntut pampasan. Kejatuhan mendadak nilai bon dan jumlah pampasan yang terlalu tinggi mengakibatkan syarikat-syarikat insuran jatuh muflis.

Perkembangan yang berlaku memaksa pihak bank memperkecilkan risiko dengan cara mengurangkan pemberian pinjaman. Ini memberi kesan kepada banyak syarikat industri dan lain-lainnya yang memerlukan aliran tunai bagi membiayai kos pengurusan setiap hari.

Tanda-tanda kelembapan ekonomi semakin kelihatan, menyebabkan kerajaan  menambah aliran tunai  dengan cara menyuntik sejumlah wang yang sangat besar bagi mencergaskan ekonomi yang mula sesak nafas kerana ditekan oleh ‘hutang yang digunakan untuk melabur dalam sektor perhutangan’.

Benarlah, riba bukan elemen yang merancakkan ekonomi.

Terserlahlah keunggulan ekonomi Islam yang sejak dahulu lagi menegah penjualan burung di udara, ikan di air, buah yang masih putik di pokok...

Friday, 24 February 2012

Jangan bunuh ular dalam rumah atau anda akan dibunuh!*


Rumah anda pernah dimasuki ular?

Ular masuk rumah, bukan isu. Bukan benda misteri.

Yang menjadi misteri ialah, tidak semua ular yang masuk ke dalam rumah anda, adalah ular!

Kalau ular yang masuk itu bukan ular, apakah sebenarnya ular itu?!

Ular bukan ular?

Di sinilah misterinya...

Lebih misteri lagi, pernah berlaku seorang manusia terus mati sebaik sahaja membunuh ular yang sedang berlingkar di dalam rumahnya!

Apakah sebab kematiannya?

Siapa pula yang membunuhnya?

Pada suatu hari...pada zaman yang silam dan pada detik waktu yang lampau…Abu Saib pergi menziarahi Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ’anh, seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w.

Ketika Abu Saib tiba, Abu Sa’id al-Khudri sedang bersolat. Mahu tidak mahu, Abu Saib terpaksa menunggu sehingga Abu Sa’id al-Khudri r.a selesai mengerjakan solat.

Semasa sedang menunggu itu, Abu Saib mendengar sesuatu yang bergerak dalam timbunan pelepah tamar, yang terletak di satu penjuru rumah Abu Sa’id al-Khudri.

Abu Saib yang segera menoleh ke arah timbunan pelepah tamar itu terkejut, bila mendapati bunyi pergerakan itu rupa-rupanya datang dari seekor ular!

Apalagi, Abu Saib segera menerpa ke arah ular itu untuk membunuhnya. Namun, sebelum sempat beliau berbuat demikian, Abu Sa’id al-Khudri r.a segera memberikan isyarat kepada beliau supaya duduk dan membiarkan saja ular tersebut.

Akur dengan isyarat itu, Abu Saib duduk dan membatalkan niatnya untuk membunuh ular tersebut.

Malang pengantin baru

Setelah ular itu beredar, Abu Sa’id al-Khudri r.a menunjukkan dengan jarinya ke arah sebuah rumah yang berdekatan, sambil berkata kepada Abu Saib, “engkau nampak rumah itu?”.

“Ya, saya Nampak”, ujar Abu Saib.

“Sebelum ini, rumah itu didiami oleh seorang pemuda yang baru berkahwin”, kata Abu Sa’id al-Khudri memulakan ceritanya tentang kisah pemuda tersebut.

Cerita ini bermula apabila pemuda tersebut turut serta dalam perang Khandak yang dipimpin Rasulullah s.a.w, bersama-sama  dengan Abu Sa’id al-Khudri dan para sahabat yang lain.

“Ketika kami semua berada di medan perang Khandak, pemuda tadi meminta izin Rasulullah s.a.w untuk pulang ke rumahnya sekejap, ketika separuh hari sudah berlalu. Setelah diizinkan, dia pun pulang menemui isteri yang baru sahaja dikahwininya”, cerita Abu Sa’id al-Khudri.

Cerita ini mula menuju ke kemuncaknya apabila suatu hari, pemuda tadi sekali lagi meminta izin untuk pulang ke rumahnya. Maklumlah, beliau baru sahaja berkahwin dan dalam masih dalam tempoh ‘bulan madu’.

Rasulullah s.a.w yang memahami situasi pemuda ini, tidak keberatan membenarkannya pulang, meskipun umat Islam ketika itu berada di medan perang.

Tapi, kali ini, Rasulullah seolah-olah dapat merasakan sesuatu yang tidak baik akan berlaku ke atas si pemuda.

Tidak seperti sebelum ini, iaitu semasa si pemuda meminta izin untuk pulang pada kali pertama, Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya, “bawalah sekali senjata mu kerana aku bimbang Bani Quraizah (salah satu puak Yahudi) mengancam keselamatanmu”.

Sebaik sahaja mengambil senjatanya seperti yang diminta oleh Rasulullah s.a.w, si pemuda terus beredar pulang bagi menemui isteri yang dirinduinya.

Sebaik tiba di rumahnya, si pemuda tiba-tiba diresapi kemarahan yang meluap-meluap, sehingga mengacukan lembing ke arah isterinya, seolah-olah mahu menikamnya.

Kebetulan, semasa dia tiba di rumahnya, dia melihat isterinya berdiri di pintu rumah.

Oleh kerana isterinya itu baru sahaja dikahwini, dan tiada sebab untuknya berdiri di pintu rumah, sementelahan pula dia tiada di rumah kerana berjuang di medan perang, si pemuda merasa sangat cemburu.

Dengan sebab itulah dia mengacukan lembingnya ke arah isterinya.

“Sabar bang, simpanlah dulu lembing abang itu!”, rayu si isteri.

“Marilah masuk ke dalam dulu, biar abang tengok sendiri apa yang menyebabkan saya keluar”, pujuk si isteri.

Si pemuda terus masuk ke dalam rumah dan beliau terkejut bila melihat seekor ular yang sangat besar, yang sedang berlingkar di atas katil!

Dendam ular

Tanpa berfikir panjang, si pemuda terus menikam ular tersebut. Tikamannya menyebabkan ular mengelepar sambil menyerang dan menerkam si pemuda.

Kesudahannya, si pemuda dan ular yang ditikamnya, mati.

“Tidak diketahui siapa yang mati terlebih dahulu, si pemuda atau pun ular yang ditikamnya”, cerita Abu Sa’id al-Khudri r.a lagi.

Peristiwa tragis yang menimpa si pemuda pengantin baru itu, menimbulkan persoalan dan misteri, disamping rasa simpati di kalangan para sahabat.

Bagi menyingkap tabir misteri yang menyelubungi kematiannya, para sahabat pergi menemui Rasulullah s.a.w bagi menceritakan apa yang berlaku.

“Berdoalah kepada Allah, wahai Rasulullah semoga Allah menghidupkannya kembali”, rayu para sahabat kepada Nabi s.a.w kerana begitu menyayangi si pemuda dan bersimpati dengan apa yang berlaku ke atasnya dan juga isterinya.

Nabi Muhammad s.a.w tidak memenuhi permintaan para sahabat, sebaliknya meminta mereka memohon ampun bagi si pemuda.

“Pohonlah ampun dari Allah untuk sahabat kamu itu”, sabda Baginda kepada mereka semua.

Merungkai misteri kematian si pemuda, Nabi s.a.w bersabda, “sesungguhnya di Madinah ini [terdapat] jin-jin yang telah memeluk Islam. Maka, apabila kamu melihat sesuatu daripada mereka, hendaklah kamu memberi amaran selama tiga hari.

Jika ternyata kepada kamu selepas itu [bahawa ular yang berada dalam rumah kamu itu benar-benar ular] maka hendaklah kamu membunuhnya. Sesungguhnya itu adalah syaitan”.

Cerita di atas beserta hadis yang dinyatakan bersumberkan Sahih Muslim. Ertinya, kisah ini adalah kisah benar dan hadis yang disebutkan adalah hadis sahih.

Sementara huraian kisah dan hadis di atas bersumberkan kitab Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih.

Menurut pengarang kitab Aun al-Ma’bud, larangan membunuh ular yang dijumpai di dalam rumah kecuali setelah diberikan amaran, terpakai pada semua tempat, bukan khusus kepada rumah di Madinah al-Munawwarah sahaja seperti yang difahami ramai ulama.

Amaran

Oleh kerana ular yang anda jumpai di dalam rumah anda, bukan semuanya ular, sebaliknya kadang-kadang ia adalah jin yang menjelma menjadi ular, maka jangan terus di bunuh.

Kalau kebetulan ular yang dibunuh itu sebenarnya jin, kemungkinan sanak saudara atau kawan-kawannya akan menuntut bela di atas kematiannya seperti kisah di atas.

Justeru apa yang perlu anda buat bila terserempak dengan ular di dalam rumah?

Anda kenalah memberi amaran kepada ular itu supaya keluar. Amaran diberikan sebanyak tiga kali sebagaimana pandangan sesetengah ulama (lihat Aun al-Ma’bud).

Tetapi jumhur ulama mengatakan amaran diberi selama tiga hari!

Setelah diberi amaran, tapi ia tidak keluar juga, itu menandakan ular itu memang ular sebenar, bukannya jin yang bertukar rupa. Di saat itu, barulah ular itu ‘selamat’ untuk dibunuh.

Tapi, kaedah yang dinyatakan ini hanya melibatkan ular yang ditemui di dalam rumah sahaja.

Kalau ia ditemui di tempat lain, sekalipun di dalam masjid-seperti yang dinyatakan Imam Malik (lihat huraian Imam Nawawi ke atas Sahih Muslim)-anda disunatkan membunuhnya terus, tanpa memberikan amaran.


NOTA : Ini adalah artikel lama yang dimasukkan bagi mengelakkan blog ini tidak dikemaskini.

Wednesday, 22 February 2012

Berguru dengan kehidupan...


Seorang lelaki pergi menemui seorang failasof (pendeta). 

Tujuannya, mahu bertanya tentang suatu perkara yang membingungkannya.

Failasof bertanya, “tentang perkara apakah kamu mahu bertanya?”.

Si lelaki berkata, “alangkah banyaknya perkara yang menghairankan dalam diri manusia?”.

Failasof mengiyakan kata-katanya lantas menuturkan, “di kala masih kecil, manusia merasa bosan dengan dunia kanak-kanak, berlumba-lumba mahu menjadi dewasa.

Kemudian, setelah dewasa, rindu pula untuk kembali menjadi kanak-kanak...

Manusia mengorbankan kesihatannya demi menghimpun harta. Kemudian, mereka menghabiskan harta itu demi mengembalikan kesihatan yang telah di'korban'kan...

Mereka berfikir tentang masa depan, dengan penuh rasa bimbang dan melupakan masa kini.

Justeru, mereka sebenarnya tidak hidup pada masa kini, tidak juga pada masa depan...

Mereka hidup seolah-olah mereka tidak akan mati, dan mati seolah-olah tidak akan hidup kembali...”.

Failasof mendiamkan diri.

Suasana sunyi menyelubungi untuk beberapa detik.

Si lelaki bertanya, “apakah gerangannya pengajaran daripada kehidupan yang mesti dipelajari manusia?”.

Failasof melantunkan kata-kata memberikan jawapan, “
mereka hendaklah mengerti, mereka tidak berupaya menjadikan seseorang mengasihi diri mereka. Apa yang mereka mampu, ialah menjadikan diri mereka dikasihi...

Mereka perlu belajar untuk tidak membandingkan diri mereka dengan orang lain...Mereka mesti belajar bertolak ansur dan cuba untuk memaafi...

Mereka mesti sedar, kadang-kadang mereka menyebabkan luka yang dalam ke atas orang yang mereka kasihi, hanya dalam beberapa detik.

Tetapi, kadang-kadang mereka memerlukan masa bertahun-tahun lamanya bagi mengubatinya...

Manusia yang paling kaya, bukannya orang yang paling banyak memiliki. Bahkan, mereka yang kaya ialah orang yang paling sedikit memerlukan...

Di sana, terdapat orang-orang yang sangat mereka kasihi. Tetapi, manusia tidak mempelajari cara mempamerkan perasaan kasih mereka...

Manusia perlu belajar, dua orang boleh melihat suatu perkara yang sama, tetapi melihatnya dalam bentuk yang berbeza...

Manusia perlu menyedari, tidak cukup mereka hanya memaafi orang lain. Sebaliknya, mereka juga mesti memaafi diri mereka sendiri.

Setelah butir-butir permata kata itu dilontar dengan lembut dan teratur, tiada kata yang mampu disusun oleh si lelaki selain berkata, “terima kasih tuan”.