Thursday 15 March 2012

Kebajikan anak Hoslan : PAS perlu pergi lebih jauh!


Sesetengah pihak, memandang sinis tindakan Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat membantu keluarga Hoslan Hussin.

Pemuda PAS berusaha mengumpulkan RM20,000 untuk keluarga Hoslan. Manakala Muslimat PAS pula akan menyediakan RM800 sebulan untuk keluarga beliau.

Usaha ini dilakukan bagi menjaga kebajikan isteri dan 7 anak Hoslan, seorang imam yang dihukum penjara selama setahun.

Ditilik dari kacamata agama dan sosial, tindakan kedua-dua sayap PAS itu, sebenarnya merupakan satu permulaan yang sangat baik.

Seharusnya, semua pihak menjadikan ‘permulaan yang baik’ ini, sebagai titik mula atau batu asas kepada pengasasan satu badan khusus, yang bertanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak atau isteri tahanan penjara.

Semua pihak harus menginsafi bahawa menjaga kebajikan anak dan isteri tahanan penjara, adalah satu kewajipan agama dan sosial.

Kedudukannya sebagai satu kewajipan agama, dinyatakan oleh Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Dalam fatwanya, beliau menyatakan, menjadi kewajipan pemerintah menjaga kebajikan anak-anak pesalah yang dihukum penjara (al-Qaradhawi, Yusuf (2000), Fatawa Mu’asarah, cet. ke-8, Kuwait : Darul Qalam, 627).

Adalah jelas, berasaskan fatwa ini, menjadi kewajipan pemerintah menjaga kebajikan tanggungan pesalah yang dikenakan hukuman penjara, sepanjang pemenjaraannya.

Justeru, alangkah eloknya ‘permulaan yang baik’, yang dicetuskan oleh kedua-dua sayap PAS ini, dijadikan ‘sempena yang baik’ oleh pihak Kerajaan bagi membentuk satu badan, yang berperanan menjaga kebajikan anak-anak dan isteri pesalah yang dihukum penjara.

Dalam masa sama, PAS sendiri wajar melihat ‘permulaan yang baik’ yang dicetuskannya ini, sebagai satu peluang untuknya meminta Kerajaan menubuhkan badan kebajikan anak-anak tahanan ini.

Jika permintaan ini tidak dapat ditunaikan oleh Kerajaan, adalah sesuatu yang sangat ‘indah’, andainya parti Islam itu mengusahakan sendiri, atau menggalakkan penubuhan satu badan, bagi tujuan memelihara kebajikan anak-anak dan isteri yang tidak berdosa, yang dipisahkan dari ayah mereka oleh jeriji besi.

Prinsip Islam

Anak-anak dan isteri yang ditinggalkan ini sebenarnya tidak berdosa. Yang berdosa dan bersalah ialah ayah mereka.

Justeru, seseorang itu tidak wajar dipersalahkan atau dipandang serong, disebab dosa yang dilakukan oleh orang lain.

Inilah prinsip yang diasaskan oleh Islam melalui firman Allah yang bermaksud, “dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain”(Al-Isra’ : 15).

Prinsip ini memahamkan bahawa tiada istilah ‘membela’ atau ‘menjulang penjenayah’ dalam sebarang usaha menjaga kebajikan anak-anak dan isteri pesalah yang hilang tempat bergantung, akibat jenayah atau kesalahan yang dilakukan oleh si ayah atau si suami.

Tindakan sesetengah pihak menyifatkan inisiatif Pemuda dan Muslimat PAS menghulurkan bantuan kepada keluarga Hoslan sebagai ‘menjulang atau membela pesalah’, adalah tunas yang tumbuh daripada kejahilan tentang prinsip Islam yang disebutkan dalam surah al-Isra’ ayat 15.

Semua pihak-tanpa mengira agama dan kaum-perlu menginsafi bahawa pengabaian terhadap anak-anak dan isteri tahanan penjara, boleh menyumbang kepada pertambahan kadar jenayah.

Bila anak-anak dan isteri ini hilang tempat bergantung, kebiasaannya, keadaan akan menolak mereka masuk ke zon masalah ekonomi dan sosial, zon yang menyediakan tanah yang subur bagi percambahan jenayah dan gejala salah laku.

Menyedari kepincangan undang-undang yang hanya memenjarakan pesalah, tetapi mengabaikan tanggungannya yang ditinggalkan tanpa tempat bergantung, Syaikh Qaradhawi menyifatkan undang-undang ciptaan manusia ini sebagai cuai (al-Qaradhawi, Yusuf (2000), Fatawa Mu’asarah, cet. ke-8, Kuwait : Darul Qalam, 627).

Selaku pihak yang boleh disifatkan sebagai ‘penabur benih’ kepada usaha penjagaan kebajikan anak-anak dan isteri tahanan penjara, Pemuda dan Muslimat PAS tidak harus berhenti setakat menghulur bantuan kepada keluarga Hoslan sahaja.

Mereka perlu bergerak lebih jauh ke hadapan, sehingga ke tahap pembentukan sebuah badan kebajikan bagi anak-anak dan isteri yang dipisahkan dari suami mereka oleh tirai besi.

Yang lebih penting, penubuhan badan kebajikan anak-anak dan isteri tahanan penjara ini, sangat cocok dengan agenda penubuhan Negara Berkebajikan PAS.

Selamat berjuang!

No comments:

Post a Comment