Masalah kebersihan tandas di banyak surau atau masjid, bukan hanya berpunca daripada masalah sikap pengguna.
Itulah kesimpulan awal saya setelah mendapati banyak sistem pengepaman tandas di banyak surau atau masjid, tidak berfungsi.
Bila mengepam tandas, air tidak keluar walaupun tangki dipenuhi air. Atau, bila dipam, air pula langsung tidak keluar kerana tiada setitik air pun dalam tangki!
Inilah yang sering terjadi.
Inilah juga antara titik mula kepada masalah kebersihan di tandas surau dan masjid kita!
Jika diperhatikan, jika sistem pengepaman tandas berfungsi dengan baik, tandas sesebuah surau atau masjid itu, biasanya tidak mengalami masalah kebersihan.
Tetapi, mana-mana surau atau masjid yang mengalami masalah kerosakan sistem pengepaman tandas, tandasnya pasti bermasalah dan menjijikkan!
Standard hotel
Sebagai satu langkah penting bagi mengatasi masalah kebersihan tandas di surau dan masjid, pihak berkuasa agama perlu mewajibkan kontraktor memasang sistem pengepaman tandas yang berkualiti dan tidak mudah rosak.
Sepatutnya, sistem pengepaman tandas di surau dan masjid, mestilah mencapai standard sistem pengepaman tandas di pejabat-pejabat kerajaan atau hotel. Selain berkualiti, ia juga tidak mudah rosak.
Amat menyedihkan, kebanyakan tandas di surau dan masjid, hanya menggunakan tangki air plastik.
'Karenah' pertama tangki plastik ini, ialah ia mudah melengkung. Bila melengkung, ia sudah tidak sepadan dengan penutupnya yang lurus.
Bila ini berlaku, biasanya penutup tangki jatuh ke bawah, dan menakung air. Selepas itu, tali yang berfungsi sebagai penarik untuk mengepam air pula yang putus.
Kesudahannya, tandas menjadi sangat menjijikkan!
No comments:
Post a Comment