Tuesday, 11 September 2012

Perlukah perjuangan memperundangkan hudud?


Al-Fadhil Us. Dr. Khairuddin
Ada sesuatu yang menarik dalam tulisan terbaru al-Fadhil Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali. Tulisan Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat itu bertajuk ‘Hudud : Sila rujuk penegasan Presiden PAS’. Ia disiarkan Harakahdaily.net pada 6 September 2012.

Dalam tulisan tersebut, sahabat saya itu membekalkan satu maklumat baru tentang perjuangan PAS. Ia maklumat baru bagi individu seperti saya.

Beliau mencatatkan, perjuangan PAS dalam melaksanakan hukum hudud, merentasi dua peringkat.

Peringkat pertama ialah perjuangan memperundangkan hudud dalam Perlembagaan Persekutuan. Peringkat kedua pula, ialah perlaksanaan hudud itu sendiri. Iaitu setelah ia berjaya diperundangkan.

Maklumat baru di sini ialah kedudukan ‘memperundangkan hudud dalam perlembagaan negara’, sebagai salah satu perjuangan PAS. Bukan sekadar satu perjuangan. Lebih dari itu, ia satu perjuangan besar PAS!

Al-Fadhil sahabat seperjuangan saya itu menitipkan, “perjuangan untuk memperundangkan hudud dalam perlembagaan negeri dan negara, adalah perjuangan besar PAS apabila mendapat kuasa menerusi lunas demokrasi”.

Setelah perjuangan memperundangkan hudud ini berjaya, barulah perbincangan tentang perlaksanaanya akan dimulakan. Justeru, isu perlaksanaan hudud samada ia kondusif atau tidak, tidak berbangkit pada peringkat pertama perjuangan hudud ini.

Menyatakan hal ini, ustaz Khairuddin yang diketahui gigih berdakwah itu menegaskan, “adapun isu pelaksanaan  undang-undang jenayah Islam termasuk Hudud, sama ada kondusif atau pun tidak, boleh dilaksanakan atau tidak kerana berlaku syubhat-syubhat, ia adalah perbincangan selepas ia diperundangkan dalam perlembagaan dan bukan sekarang masa perbincangannya”.

Mengapa hudud?

Berhadapan maklumat baru ini, persoalan pertama yang menerpa, ialah “mengapa memperundangkan hudud diangkat menjadi satu perjuangan PAS yang besar?”.

Bukankah hudud hanya satu juzuk yang sangat kecil dalam Syariat Islam? Ini diakui sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi. Beliau pernah mengatakan, hudud hanyalah mewakili 0.001% daripada keseluruhan Syariat Islam.

Hakikat ini boleh dilihat dengan jelas melalui pembahagian hukum hakam syarak yang dilakukan  para ulama. 

Syaikh Abdul Wahab Khalaf umpamanya, membahagikan hukum hakam yang dinyatakan al-Quran kepada tiga kategori induk. Iaitu Hukum Hakam Akidah, Hukum Hakam Akhlak dan Hukum Hakam Amali. Iaitu hukum hakam berkaitan tindak tanduk manusia.

Hukum Hakam Amali ini pula terbahagi kepada dua bahagian yang besar, iaitu Hukum Hakam Ibadat dan Hukum Hakam Muamalat (transaksi).

Sementara itu, hukum hakam Muamalat pula dipecahkan kepada 7 bahagian, iaitu Hukum Hakam Kekeluargaan, Hukum Hakam Madani (sivil), Hukum Hakam Jenayah (hudud, qisas dan takzir), Hukum Hakam Perundangan, Hukum Hakam Kenegaraan, Hukum Hakam Antarabangsa dan Hukum Hakam Ekonomi (Abdul Wahab Khalaf (1998), Ilmu Usul al-Feqh, Mansurah : Darul Kalimah, ms.34-35).

Pembahagian ini mempamerkan dengan jelas kedudukan hukum hudud sebagai salah satu juzuk daripada ‘binaan’ hukum hakam Islam yang besar, dan bukannya keseluruhan hukum hakam Islam itu sendiri.

‘Saiz’ hudud yang sangat kecil ini juga boleh dilihat melalui nisbah ayat-ayat al-Quran berkenaan hudud (10 ayat), berbanding jumlah keseluruhan ayat-ayat al-Quran (6,236 ayat). Iaitu 10 : 6,236.

Jika demikian, bukankah lebih tepat ‘memperundangkan Syariat Islam’, yang mencakupi segenap aspek kehidupan manusia itu, dijulang sebagai agenda perjuangan, bukannya mengangkat salah satu juzuknya yang sangat kecil, iaitu hudud sebagai perjuangan besar parti?

Kesan buruk

Penekanan berlebihan terhadap hudud sebenarnya adalah satu kepincangan!

Ini ditegaskan oleh Syaikh Yusuf al-Qaradhawi dalam karyanya, Fi Fiqh al-Awlawiyyat : Dirasah Jadeedah Fi Dhau’i al-Quran Wa al-Sunnah (2000) cet. pertama, Beirut : Muassasah al-Risalah.

Beliau mencatatkan (ms. 235) :

مما وقع فيه الخلل أن معظم العاملين في الحقل الإسلامي ـ وبخاصة المتحمسون منهم ـ أعطوا عناية كبرى لقضية ما أسموه "تطبيق الشريعة الإسلامية" يعنون الجانب القانوني من الشريعة، ولا سيما في العقوبات: أي الحدود والقصاص والتعازير.

Terjemahan : Sebahagian daripada kepincangan yang berlaku ialah, kebanyakan aktivis dalam arena Islam, terutamanya orang-orang yang bersemangat dari kalangan mereka, memberikan perhatian yang paling besar kepada apa yang mereka namakan ‘perlaksanaan Syariat Islam’, [dimana] yang mereka maksudkan [dengan Syariat Islam itu ialah] aspek undang-undang Syariat, terutamanya yang berkaitan hukuman iaitu hudud, qisas dan takzir”.

Selain ia suatu kepincangan, menurut Qaradhawi, ia juga memberi kesan buruk kepada pemikiran Islam, gerak kerja Islam dan pemikiran orang ramai. Selain ia menjadi bahan eksplotasi pihak musuh untuk memburukkan Islam (ms.235-236).

Pemikiran al-Ghanoushi

Persoalan kedua yang berbangkit, ialah perlukah ‘memperundangkan hudud’ dijadikan perjuangan yang besar?

Jawapan kepada persoalan ini boleh disaring daripada pemikiran pemikir Islam terkenal, Syaikh Rashid al-Ganoushi, presiden Hizb an-Nahdhah (HN) Tunisia.

Baru-baru ini, tercetus debat yang hangat di Tunisia. Ia ekoran sikap HN terhadap Fasal Pertama dalam Perlembagaan negara itu.

Fasal tersebut menyebut, “Tunisia adalah negara merdeka, bebas, bahasanya ialah Bahasa Arab dan agamanya ialah Islam”.

Di tengah-tengah desakan kuat aliran Salafiyyah agar fasal tersebut dipinda, HN berkeras mengekalkannya tanpa sebarang pindaan.

Salafiyyah mendesak agar ia dipinda bagi memasukkan perkara yang menyebut ‘Syariat Islam adalah sumber perundangan negara’. Walau bagaimana pun, desakan ini ditolak oleh HN selaku parti politik yang dominan dalam Kerajaan Tunisia.

Bagi menjustifikasikan penolakan HN ini, Ghanoushi antaranya mengemukakan fakta bahawa semata-mata pernyataan sesuatu perkara dalam perlembagaan negara, tidak memadai. Beliau menyebut contoh yang berlaku di Tunisia sendiri pada zaman pemerintahan diktator Bourqiba.

Sebagai sebuah republik, perlembagaan Tunisia menyebut tentang pengamalan konsep pengasingan kuasa di negara itu. Tapi, realitinya, ketika menjadi presiden, Bourqiba juga mengetuai Majlis Kehakiman Tertinggi Negara.

Contoh lain ialah perlembagaan Mesir dan Yaman.

Perlembagaan kedua-dua negara itu menyebut dengan jelas Islam adalah sumber perundangan negara. Namun, soal Ghanoushi, adakah rakyat kedua-dua buah negara tersebut, bebas daripada pemerintahan kuku besi?

Daripada deretan contoh-contoh ini, Ghanoushi menyimpulkan bahawa memperundangkan sesuatu, atau mencatatkannya dalam perlembagaan semata-mata, tidak memadai. Ini kerana, kesudahan perlembagaan itu terletak di tangan manusia yang melaksanakannya.

Lihat saja Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu.

Ketika memerintah negeri itu (1999-2004), PAS berjaya meletakkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai Undang-Undang Tubuh negeri petroleum itu.

Sehingga kini, ketika Terengganu diperintah Barisan Nasional (BN), al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias kekal sebagai Undang-Undang Tubuh negeri yang sangat diidam-idamkan PAS itu.

Tapi, oleh kerana penggerak utama dalam proses perlaksanaan undang-undang ialah manusia, seperti yang diutarakan oleh Ghanoushi, dari segi perlaksanaan dan pengamalan Islam, Negeri Terengganu tidak berbeza dengan negeri-negeri lain yang tidak menjadikan empat sumber hukum Islam itu sebagai Undang-Undang Tubuh negeri masing-masing.

Awlawiyyat

Sebenarnya, untuk melaksanakan hudud di Malaysia tidak memerlukan undang-undang khusus. Ini kerana, kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara, telah menyediakan ruang yang luas bagi perlaksanaan segala ajaran Islam, termasuklah hudud.

Mengambil kira kedudukan Islam ini, pakar undang-undang, Prof. Aziz Bari telah menegaskan bahawa hudud tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Hal yang sama pernah diutarakan oleh pakar undang-undang PAS, Dato’ Mutalib Embong.

Oleh demikian, menyedari kedudukan hudud sebagai satu juzuk yang sangat kecil dalam Syariat Islam, ditambah dengan hakikat ketidakmampuan pewartaan undang-undang semata-mata dalam menjamin perlaksanaan hudud, sesuaikah ‘memperundangkan hudud’ dijadikan sebagai satu perjuangan yang besar?

Realitinya, dalam menegakkan Islam (bukan hanya hudud semata-mata), keutamaannya bukan pada memperundangkannya, terutamanya dalam sebuah negara yang sudah mengangkat Islam sebagai agama rasmi negara.

Keutamaannya ialah apa yang dinyatakan oleh Imam Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, yang dianggap Syaikhul Islam di zaman ini itu.

Beliau mencatatkan (Madkhal Li Dirasah al-Syariah al-Islamiyyah (1993), cet. pertama, Beirut : Muassasah al-Risalah, ms.249) :

إن علينا – لكي ينجح التشريع الإسلامي في حياتنا الجديدة - أن نهيىء له الفرد المسلم الذي يؤمن بعدالة هذا التشريع، ويحتكم إليه راضيا مسلّما، والقاضي المسلم الذي يؤمن بقدسية هذا التشريع ولا يتلاعب بنصوصه...والسلطة التنفيذية المسلمة التي تقوم على حراسة هذا التشريع وتطبيقه، بلا محاباة ولا مداهنة ولا وهن.

Terjemahan : "Sesungguhnya, [satu kemestian] atas kita-agar perundangan Islam berjaya [berperanan] dalam kehidupan kita masa kini-menyediakan individu muslim yang meyakini keadilan perundangan ini berhukum dengannya dengan redha dan sepenuh hati.

[Juga menyediakan] hakim muslim yang meyakini kesucian perundangan ini dan tidak mempermain-mainkan nas-nasnya…[dan satu kemestian ke atas kita menyediakan] kuasa eksekutif Islam yang memelihara perundangan ini dan melaksanakannya tanpa pilih kasih, mengampu dan gentar”.

Sebagaimana yang jelas terpapar, tulisan ini berkisar seputar awlawiyyat dalam perjuangan menegakkan Islam.

Ia juga berlegar sekitar keperluan penekanan terhadap sesuatu hukum Islam itu, sepadan dengan kedudukannya dalam Syariat Islam. Tidak boleh berlebihan daripada kadar sepatutnya.

Inilah yang tersurat dan tersirat, insyaAllah.

Wallahu a’lam.

Friday, 7 September 2012

Bersalam dengan bukan muhrim : Qaradhawi sembunyi fatwa!*


Bagi yang membaca karya-karya Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, mereka arif tentang pandangan beliau berhubung hukum berjabat tangan antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim.
(NOTA : Ungkapan yang tepat ialah 'mahram', bukan 'muhrim'. Tapi digunakan ungkapan 'muhrim' kerana meraikan kebiasaan masyarakat)

Qaradhawi tidak sependapat dengan jumhur (majoriti) ulama dalam soal ini.

Bagi jumhur ulama, wanita tidak dibenarkan berjabat tangan dengan lelaki bukan muhrim. Begitu juga sebaliknya
.
Kecualilah kalau berjabat tangan dengan lelaki atau wanita yang sudah tua, atau dengan kanak-kanak kecil. Jumhur ulama membolehkannya.

Mengapa perkara ini tidak dibolehkan?

Illah tegahan

Jawapan mudahnya begini...

Ini adalah soal etika.

Soal protokol seorang Islam.

Sama seperti masuk ke parlimen dengan baju yang tidak berkolar. Mengapa ia tidak dibolehkan? Mencemar kemuliaan institusi parlimen kah? Atau biadabkah masuk parlimen dengan baju tidak berkolar?

Tidak.

Ini soal etika.

Begitu juga soal berjabat tangan dengan orang bukan muhrim.

Ini jawapan mudah.

Jawapan yang lebih ilmiah begini...

Islam datang kerana hendak menjaga lima perkara asas kehidupan manusia. Agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Semua agama memelihara dan menjaga lima teras ini.

Antara cara menjaga keturunan ialah dengan menghalang penzinaan. Bukan sahaja zina yang dihalang. Semua perkara yang membawa kepada zina, turut ditegah.

Sama seperti jenayah bunuh.

Bukan membunuh sahaja yang ditegah. Menyimpan pistol pun turut dikenakan hukuman berat. Walaupun sekadar simpan dalam almari, ia tetap salah, kerana ia boleh membawa kepada jenayah bunuh.

Demikianlah halnya berjabat tangan.

Berjabat tangan antara lelaki dan wanita (terutama yang muda) boleh merangsang nafsu. Nafsu bila sudah terangsang, akan ‘menunggang’ manusia kepada zina.

Dengan sebab itulah, dibolehkan berjabat tangan dengan lelaki atau wanita tua. Sebab nafsu kebiasaannya tidak terangsang bila bersentuhan dengan lelaki atau wanita tua.

Inilah falsafah di sebalik tegahan berjabat tangan antara lelaki dan wanita bukan muhrim.

Ia ditegah bukan kerana ‘rasa tidak percaya’ kepada orang yang bukan muhrim.

“Ah, aku berjabat tangan dengan wanita, tak terasa apa-apa pun”, dakwa seorang lelaki.
Kata-kata seperti ini tidak boleh diterima.

Ia sama dengan kata-kata mat rempit bila ditegah memandu laju kerana menyebabkan kemalangan, “ah, dah bertahun aku merempit laju, tak kemalangan pun!”.

Kolot

Prinsipnya, sesuatu yang berpotensi membawa kepada sesuatu yang ditegah atau bahaya, ia mesti ditegah meskipun bahaya belum berlaku. Begitu juga soal berjabat tangan dengan bukan muhrim ini.

Jika begitulah falsafahnya, tidak wajar sama sekali dianggap kolot orang yang tidak mahu berjabat tangan dengan bukan muhrim.

Ini kerana, keengganan mereka berjabat tangan dengan bukan muhrim ada falsafah dan pemikirannya yang tersendiri.

Kalau kita masih mahu mengatakannya kolot, maka kita kena buktikan bahawa ‘bersentuhan antara lelaki dan wanita boleh membangkitkan nafsu’, adalah kepercayaan kolot.

Hendaklah dibuktikan kaedah ‘sesuatu yang berpotensi membawa kepada sesuatu yang ditegah atau bahaya, ia mesti ditegah meskipun bahaya belum berlaku’, adalah kaedah kolot.

Jika falsafah, pemikiran dan kaedah yang dinyatakan ini berjaya dibuktikan sebagai kolot dan tidak tepat, barulah kita boleh mengatakan ‘tidak berjabat tangan dengan bukan muhrim’ sebagai kolot.

Perkara ini disebut bagi memupuk rasa hormat kepada pendapat dan pegangan orang lain.

Kalau kita boleh hormat tegahan memakai baju tidak berkolar dalam parlimen, walaupun harganya ratusan ringgit, mengapa kita tidak boleh hormat pegangan yang bersandarkan pendapat jumhur ulama?

Pandangan Qaradhawi

Apa pula pandangan Qaradhawi?

Pada beliau, diharuskan berjabat tangan dengan bukan muhrim dengan dua syarat.

Pertama, adanya keperluan. Kedua, aman daripada fitnah.

Ia dibolehkan kerana beliau mendapati hadis yang menegah lelaki menyentuh wanita (termasuk berjabat tangan) tidak terbukti kesahihannya.

Beliau juga berdalilkan dengan hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik r.a. Beliau meriwayatkan :

إِنْ كَانَتِ الأَمَةُ مِنْ إِمَاءِ أَهْلِ المَدِينَةِ، لَتَأْخُذُ بِيَدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتَنْطَلِقُ بِهِ حَيْثُ شَاءَتْ

Terjemahan : Mana-mana hamba wanita di Madinah boleh saja memegang tangan Nabi s.a.w dan memimpin tangan Baginda kemana saja yang dikehendakinya.

Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahihnya, bernombor 6072.

Selain menunjukkan sikap tawaduk Nabi s.a.w, hadis ini juga menunjukkan bersentuhan tangan antara lelaki dan wanita bukan muhrim, diharuskan jika tidak disertai nafsu.

Fatwa keharusan berjabat tangan dengan bukan muhrim ini, beliau sembunyikan selama beberapa tahun bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai terhadap beliau.

Beliau juga mengatakan, ramai ulama masa kini bimbang untuk mendedahkan kepada awam fatwa-fatwa mereka yang bercanggah dengan pandangan dan pegangan umum masyarakat.

Beliau mendedahkan, beliau tidak berani mendedahkan fatwa ini selama beberapa tahun lamanya. Beliau kemudiannya menyiarkannya dalam bukunya, Fatawa Mu’asirah, juzuk kedua.

Sembunyi ilmu elak kekecohan

Sebenarnya,  tindakan menyembunyikan sesuatu pandangan atau fatwa kerana bimbang kekeliruan dan kekecohan dalam masyarakat, ada sandarannya dalam syarak.

Imam Bukhari meriwayatkan (hadis bernombor 126), Nabi s.a.w berkata kepada Aisyah r.a :

 يَا عَائِشَةُ لَوْلاَ قَوْمُكِ حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ - قَالَ ابْنُ الزُّبَيْرِ - بِكُفْرٍ، لَنَقَضْتُ الكَعْبَةَ فَجَعَلْتُ لَهَا بَابَيْنِ: بَابٌ يَدْخُلُ النَّاسُ وَبَابٌ يَخْرُجُونَ 

Terjemahan : Wahai Aisyah, jika tidak [kerana] kaum mu masih baru [meninggalkan] kekufuran, nescaya aku [akan] robohkan kaabah dan membuat dua pintu [pada kaabah]; satu pintu [untuk] manusia masuk dan satu pintu [untuk] mereka keluar”.

Nabi s.a.w tidak melakukan apa yang dinyatakannya kerana bimbang kaum Quraisy yang baru memeluk Islam-yang sangat memuliakan kaabah-salah sangka.

Daripada hadis ini dan hadis-hadis yang lain, diasaskan kaedah ‘meninggalkan sesuatu demi mengelakkan kekacauan atau kekeliruan’.

*Ini adalah artikel lama (dengan sedikit penambahan) dari blog warisansemasa.blogspot.com sebelum bertukar menjadi warisan-semasa.blogspot.com

Thursday, 30 August 2012

‘Syaitan’ dikenali lebih baik : Benarkah boleh merosakkan akidah?


Better the devil you know than the angel you don’t’, yang dicatatkan Tun Mahathir, pada mulanya langsung tidak menarik perhatian saya. Tidak juga melekat atau singgah di dahan minda.

Tapi, setelah membaca kenyataan seorang tokoh ulama terkenal, hati saya tergerak untuk mencatat satu tulisan.

Sekadar berkongsi pandangan.

Lagipun para ulama ada menitipkan,  الغلام في الإسلام يناقش شيخ الإسلام (Kanak-kanak dalam Islam [boleh] mempersoalkan Syaikul Islam!)

Faktor utama yang mencubit-cubit perasaan saya untuk menulis, ialah kenyataan yang berbunyi, “oleh itu, umat Islam tidak boleh mengambil pepatah Inggeris itu kerana ia boleh merosakkan akidah”(Sinar Harian, 29 Ogos 2012).

Yang dimaksudkan dengan ‘pepatah Inggeris itu’, ialah ‘better the devil you know than the angel you don’t’ yang dicatatkan Tun Mahathir dalam blognya.

Pendetailan

Benar, jika ada muslim yang beriktiqad, ada syaitan yang lebih baik daripada malaikat, akidahnya boleh terjejas.

Tapi, bagaimana jika pepatah itu diucapkan sebagai kiasan semata-mata? Iaitu, yang dimaksudkan dengan ‘syaitan’ ialah manusia yang jahat, manakala ‘malaikat’ adalah manusia yang baik?

Adakah muslim yang berpegang bahawa ‘berkawan dengan manusia jahat yang dikenali, lebih baik daripada berkawan dengan manusia baik yang tidak dikenali’, akidahnya juga boleh rosak?

Tentunya tidak.

Tambahan pula, boleh dikatakan semua orang Melayu memahami, catatan Tun Mahathir itu hanyalah satu kiasan. Sebab semua umat Islam di negara ini, hatta kanak-kanak tadika, tahu bahawa syaitan semuanya jahat. Manakala malaikat, semuanya baik.

Justeru, kita tidak perlu pergi begitu jauh dalam memberi pandangan berhubung catatan Tun Mahathir ini. Sehingga membuat penegasan bahawa tiada ayat dalam al-Quran yang menyatakan malaikat lebih buruk berbanding syaitan.

‘Fatwa’ bahawa umat Islam tidak boleh mengambil pepatah Inggeris yang dicatat oleh Tun Mahathir itu, juga tidak perlu. Juga tidak perlu, ialah dakwaan bahawa catatan Tun Mahathir itu seolah-olah satu pernyataan bahawa ada malaikat yang lebih teruk daripada syaitan.

Semua ini tidak perlu kerana yang dimaksudkan dengan ‘syaitan’ ialah BN seperti yang diakui Tun Mahathir sendiri. Ironinya, yang dimaksudkan dengan ‘malaikat’ tentunya lawan BN, iaitu Pakatan Rakyat, bukannya malaikat yang diciptakan Allah daripada nur.

Usah rigid

Dalam pengucapan harian orang-orang Melayu, terdapat beberapa ucapan yang jika difahami secara literal, boleh membawa kepada kekufuran.

Ia seperti istilah ‘alam semulajadi’ yang merujuk kepada alam ciptaan Allah ini. Demikian juga ucapan ‘biarlah masa yang menentukan’.

Namun, tiada yang mengharamkan ungkapan-ungkapan ini. Ini kerana, semua orang Melayu faham, ucapan-ucapan ini diucapkan tanpa iktiqad bahawa alam ini terjadi sendiri, atau masa berkuasa menentukan sesuatu. Sebaliknya, ia hanyalah satu budaya dalam pengucapan.

Sama seperti seorang wanita yang mendedahkan aurat yang berkata “masih belum sampai seru” apabila diminta menutup aurat.

Ada pendakwah yang tergesa-gesa menyifatkan kata-kata seperti itu sebagai haram. Ini kerana, seruan menutup aurat telah dilaungkan oleh al-Quran dan Nabi saw sejak lebih 1400 tahun yang lampau.

Mendakwa seruan menutup aurat masih belum diterima, adalah satu pembohongan. Justeru, ucapan itu haram diucapkan. Demikian hujjah pendakwah tersebut.

Namun, jika difahami maksud kata-kata itu, ternyata ia bermaksud ‘belum tercetus rasa mahu’ untuk menutup aurat, bukannya ‘belum sampai seruan atau perintah menutup aurat’.

Jika begitu, dimanakah haramnya kata-kata itu?

‘Tidak rasa mahu melakukan kewajipan’ tidak berdosa. Sebab, ia urusan hati. Yang berdosa ialah menurut ‘rasa tidak mahu melakukan kewajipan’ itu.

Wallahu a’lam.

Wednesday, 15 August 2012

Mati, lahir bulan Ramadhan, Syawal & kewajipan zakat Fitrah


Seorang sahabat FB bertanya tentang orang yang mati pada bulan Ramadhan. Adakah wajib dibayar zakat fitrah untuknya?

Katanya lagi, ada ustaz yang mengatakan, wajib dibayar zakat fitrah untuk orang yang mati pada bulan Ramadhan.

Jawapan kepada persoalan ini, terkandung dalam kata-kata Imam Nawawi radhiayallahu 'anhu dalam kitabnya, al-Minhaj.

Beliau berkata :
تجب بأول ليلة العيد في الأظهر،فتخرج عمن مات بعد الغروب دون من ولد

Terjemahan : "[Zakat fitrah menjadi] wajib dengan [kemunculan] malam pertama [hari] raya menurut [pendapat] yang paling zahir. Maka [wajib] dikeluarkan [zakat fitrah] untuk sesiapa yang mati SELEPAS tenggelam [matahari hari terakhir Ramadhan], tidak [keatas] sesiapa yang dilahirkan [selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan]"

Matan Minhaj di atas menyentuh tentang waktu wajib zakat Fitrah. Iaitu, saat kemunculan malam pertama Hari Raya Aidilfitri. Atau saat tenggelamnya matahari hari terakhir Ramadhan.

Dalil kepada penentuan waktu wajib zakat Fitrah ini ialah hadis Ibnu Umar dan Abu Sa'id al-Khudri. Kedua-dua hadis ini jelas menyandarkan zakat ini kepada Hari Raya Aidilfitri dengan menyebut زكاة الفطر

Oleh itu, sesiapa yang sempat melalui, atau mengalami peristiwa tenggelamnya matahari hari terakhir Ramadhan itu, maka wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Jelasnya, untuk mengalami peristiwa tenggelamnya matahari hari terakhir Ramadhan, seseorang itu mestilah hidup sebelum matahari hari tersebut tenggelam. Iaitu hidup pada hari terakhir Ramadhan.

Dari sini, ulama Mazhab Syafie mengatakan, syarat wajib zakat Fitrah ialah ‘sempat menemui kedua-dua bulan’, iaitu bulan Ramadhan dan bulan Syawal. Iaitu akhir bulan Ramadhan dan awal bulan Syawal. (Mughni al-Muhtaj karangan Khatib al-Syarbini, jil.5, ms.62)

Dalam matan di atas, Imam Nawawi  memberikan contoh bagi orang yang sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal. Iaitu orang yang mati selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan. Atau mati pada malam raya.

Zakat Fitrah wajib ke atas si mati kerana beliau sempat menemui kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal.

Contoh bagi orang yang TIDAK sempat menemui bulan Ramadhan dan bulan Syawal sekaligus, ialah bayi yang dilahirkan selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan. Iaitu bayi yang dilahirkan pada malam raya.

Tidak wajib zakat Fitrah ke atas bayi ini kerana dia tidak sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal. Sebaliknya, hanya sempat menemui bulan Syawal sahaja.

Kata kunci

Ringkasnya, kata kunci kepada permasalah ini ialah 'hidup dalam kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal'.

Oleh sebab itu :

i. Bayi yang dilahirkan selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau  malam raya), tidak wajib zakat Fitrah ke atasnya.

Sebabnya, bayi tersebut hanya sempat bertemu dengan satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal.

ii. Isteri yang dikahwini selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau malam raya), tidak wajib ke atas suaminya membayar zakat fitrah untuknya.

Sebabnya, wanita tersebut hanya menjadi isterinya hanya dalam satu bulan, iaitu bulan Syawal.

iii. Orang yang masuk Islam selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau malam raya), tidak wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, orang tersebut hanya menjadi muslim dalam satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal.

iv. Orang yang fakir yang menjadi kaya selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan (atau malam raya), tidak wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, si fakir tersebut hanya berada dalam keadaan kaya dalam bulan Syawal sahaja. (Sabilal Muhtadin, jil.2, ms.222)

Dalam keempat-empat contoh di atas, kesemua individu terbabit tidak sempat menemui kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal.

Justeru, tidak wajib ke atas mereka zakat Fitrah.

Ditegaskan sekali lagi, kata kunci permasalahan ini ialah, 'hidup dalam kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal'.

Oleh itu :

i. Bayi yang dilahirkan sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan, kemudian mati beberapa minit selepas Maghrib (iaitu malam raya), wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, bayi tersebut sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal walaupun dalam tempoh yang sangat singkat.

ii. Isteri yang dikahwini sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan, kemudian diceraikan selepas Maghrib hari tersebut (atau malam raya), wajib ke atas suami membayar zakat Fitrahnya.

Sebabnya, wanita tersebut sempat menemui bulan Ramadhan dan Syawal dalam keadaan menjadi isteri kepada si suami.

Pendapat salah

Difahami daripada penjelasan di atas, pendapat yang mengatakan bahawa orang yang mati pada bulan Ramadhan, wajib dikeluarkan untuknya zakat Fitrah, adalah pendapat yang tidak benar.

Sebenarnya, nama zakat itu sendiri jelas menunjukkan ketidakbenaran pendapat ini.

Ia dinamakan zakat al-Fitr kerana ia diwajibkan dengan sebab tibanya Hari Raya Aidilfitri (Mughni al-Muhtaj, jil.5, ms.61).

Monday, 13 August 2012

Penyelesaian masalah solat & puasa di negara Scandinavia


Seorang sahabat FB saya bertanya tentang kesukaran menunaikan solat yang dihadapi rakannya di Bergen, Norway.

Menurutnya, waktu solat Maghrib di Norway waktu ini (waktu soalan ditanya), bermula sekitar jam 10 malam. Manakala waktu solat Isyak pula, bermula 2 jam selepas itu. Iaitu jam 12 malam. Lebih memburukkan keadaan, waktu Subuh pula tiba pada jam 2 pagi.

Ini bermakna, waktu malam di Norway sekitar 4 jam sahaja. 

Ini memaksa orang-orang Islam di sana, tidur beberapa jam sahaja pada waktu malam-yang sedia pendek-demi menjaga solat.

Soalannya, adakah harus bagi mereka mempercepatkan solat Isyak. Iaitu dengan cara mengerjakannya sejurus selesai solat Maghrib, iaitu dengan cara jamak taqdim.

Ulama semasa berbeza pendapat  berhubung persoalan ini. 

Puncanya ialah perbezaan kefahaman mereka tentang waktu-waktu solat yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. 

Waktu-waktu solat tersebut, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, adalah seperti berikut :

1. Waktu zuhur bermula apabila matahari tergelincir dan berakhir apabila bayang seseorang itu sama panjang dengan tingginya.

2. Waktu asar bermula apabila bayang seseorang itu lebih panjang daripada tingginya yang sebenar, dan berakhir apabila matahari hampir terbenam.

3. Waktu Maghrib bermula apabila matahari tenggelam sehingga hilang mega merah (syafaq) di sebelah barat.

4. Waktu Isyak bermula apabila mega merah (syafaq) lenyap dan berakhir pada pertengahan  waktu malam.

5. Waktu subuh bermula dengan menyingsingnya fajar dan berakhir apabila terbit matahari.

Aliran al-Azhar

Para ulama al-Azhar di Darul Ifta' Mesir (Jawatankuasa Fatwa Mesir) memahami, waktu-waktu solat yang dinyatakan ini, adalah khusus bagi tempat yang normal sahaja.

Iaitu tempat dimana tempoh masa siang dan malamnya, adalah normal. Iaitu sekitar 12 jam waktu malam, dan 12 jam waktu siang, seperti yang berlaku di sebahagian besar tempat di muka bumi.

Adapun tempat-tempat yang tidak normal, iaitu waktu malam atau siangnya terlalu pendek atau panjang, maka waktu-waktu solat yang dinyatakan ini, tidak terpakai.

Oleh itu, umat Islam yang berada di tempat yang tidak normal sebegini, boleh menggunakan kaedah anggaran (التقدير) dalam menentukan permulaan waktu solat.

Cara membuat anggaran akan dinyatakan selepas ini.

Darul Ifta' Mesir memfatwakan :
البلاد التي اختل فيها الإعتدالُ حتى أصبح متعذرا على المسلم الصيامُ فيها : فإنها ترجع إلى التقدير وتترك العلاماتِ التي جعلها اللهُ سببا للأحكام الشرعية في الصلاة والصيام؛ من فجر وشروق وزوال وغروب وذهاب شفق ونحوها. ذلك أنه قد جرت سنةُ الله في التكاليف أن ترد على غالب الأحوال، دون أن تتعرض لبيان حكم ما يخرج على هذا الغالب.
Terjemahan : "Negara-negara yang terjejas keseimbangan [waktunya] sehingga orang Islam sukar berpuasa di situ, maka negara tersebut [perlu] kembali kepada [kaedah] anggaran, dan mengabaikan tanda-tanda yang dijadikan Allah [sebagai] sebab [kewajipan melaksanakan] hukum syarak berhubung puasa dan solat, seperti [terbit] fajar, terbit [matahari], tergelincir [matahari], terbenam [matahari], kelenyapan mega merah dan seumpamanya. 

Yang demikian kerana sunnatullah dalam [soal] taklif [bahawa] ia datang sejajar dengan keadaan yang normal, tanpa menjelaskan hukum apa yang terkeluar daripada [keadaan] yang normal [itu]".

Walaupun fatwa ini secara asasnya adalah jawapan kepada soalan berkaitan cara berpuasa di tempat yang waktu siangnya terlampau panjang, namun ia juga berkaitan dengan cara solat di tempat sedemikian, seperti yang dapat difahami dengan jelas dari teks fatwa di atas.

Dalil

Darul Ifta' Mesir menyandarkan fatwanya ini kepada pengamalan dan tradisi Syariat Islam dalam mentaklifkan (mewajibkan) kewajipan syarak.

Menurutnya, para ulama Usul (Usul Feqh) menegaskan, taklif-taklif (kewajipan) syarak yang diwajibkan ke atas setiap mukallaf, adalah khusus bagi keadaan dan suasana yang normal. 

Ini bermakna, penentuan waktu-waktu solat berdasarkan tanda-tanda yang dinyatakan (terbit fajar, tergelincir matahari, terbenam matahari dan kelenyapan mega merah) adalah khusus bagi tempat-tempat yang normal, iaitu kebanyakan tempat di dunia. 

Tanda-tanda ini tidak terpakai ke atas tempat-tempat yang tidak normal seperti di Bergen, Norway ketika ini.
Antara ulama Usul yang menyatakan hal ini ialah Imam Abul Fathi Ibn Sayyid an-Nas al-Ya'muri ( أبو الفتح بن سيد الناس اليعمري). 

Beliau berkata : 
 الأحكام إنما تناط بالغالب لا بالصورة النادرة
Terjemahan : Hukum hakam [syarak] sesungguhnya 'disangkut' pada [perkara dan keadaan] yang biasa [berlaku], bukannya pada bentuk [dan keadaan] yang jarang-jarang [berlaku].

Senada dengan beliau ialah Imam al-Qurafi yang menegaskan :
 والشرع إنما يبني أحكامه على الغالب
Terjemahan : Syarak sesungguhnya membina hukum hakamnya di atas [perkara dan keadaan] yang biasa [berlaku].

Kenyataan dua ulama muktabar ini bermakna, tanda-tanda permulaan waktu-waktu solat yang dinyatakan dalam hadis (terbit fajar, tergelincir matahari, terbenam matahari dan kelenyapan mega merah), adalah khusus bagi tempat yang normal keadaannya.

Adapun tempat yang tidak normal, atau disebut sebagai syaz (menyalahi keadaan biasa), ia tidak terikat dengan tanda-tanda masuk waktu-waktu solat yang dinyatakan.

Syaz tidak terangkum dalam nas umum

Antara ulama muktabar yang menyebut bahawa nas umum tidak merangkumi kes atau keadaan yang syaz, ialah Imam Syafie r.a.

Beliau menyatakan :
 الشاذ ينتحى بالنص-أي من شأنه أن ينص عليه بخصوصه-ولا يراد على الخصوص بالصيغة العامة
Terjemahan : [Kes atau keadaan] yang syaz [perlu] disandarkan kepada nas-iaitu ia (syaz) mestilah disebutkan secara khusus [hukumnya] oleh nas-dan tidak dikehendaki dengan lafaz yang umum akan [kes] yang khusus.

Kenyataan Imam Syafie ini bermaksud, dalam tradisi Syariat Islam, hukum bagi kes yang syaz, disebut secara khusus oleh nas yang khusus. Justeru, hukum bagi kes yang syaz, tidak boleh diambil daripada nas yang umum.

Di sini, nas yang umum ialah hadis Nabi s.a.w yang menerangkan permulaan waktu-waktu solat (rujuk hadis). Manakala, kes yang syaz ialah, keadaan yang tidak normal seperti di Bergen, Norway ketika ini.

Ini bermakna, hadis penentuan waktu-waktu solat tersebut, walaupun ia bersifat umum, iaitu merangkumi semua tempat dan keadaan, namun ia tidak merangkumi kes atau tempat yang syaz.

Untuk tempat yang syaz, penentuan waktu solat memerlukan nas yang khusus. Oleh kerana tiada nas yang khusus, maka kaedah anggaran digunakan.

Demikianlah pandangan Darul Ifta' Mesir berhubung soal ini.

Asas kepada kaedah anggaran ini ialah hadis Nabi s.a.w berkenaan suasana pada hari kemunculan Dajjal.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim tersebut, para sahabat bertanya :

قُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا لَبْثُهُ فِي الْأَرْضِ ؟ ، قَالَ : " أَرْبَعُونَ يَوْمًا يَوْمٌ كَسَنَةٍ ، وَيَوْمٌ كَشَهْرٍ ، وَيَوْمٌ كَجُمُعَةٍ وَسَائِرُ أَيَّامِهِ كَأَيَّامِكُمْ "قلنا : يا رسول الله! فذلك اليوم الذي كسنة، أتكفينا فيه صلاة يوم؟ قال : لا؛ اقدروا له قدره.

"Kami bertanya, "wahai Rasulullah, berapa lamakah ia (Dajjal) wujud di muka bumi?". Baginda menjawab, "[Dajjal wujud dimuka bumi selama] 40 hari [dimana] sehari seperti setahun, [kemudian] sehari seperti sebulan, [kemudian] sehari seperti [sekali] jumaat dan [kemudian] kesemua harinya seperti hari-hari kamu [yang biasa].

Kami bertanya, wahai Rasulullah, [pada hari dimana] satu hari sama dengan setahun itu, adakah memadai [bagi] kami [mengerjakan] solat sehari [sahaja-iaitu 5 waktu sahaja]. Baginda menjawab, tidak [memadai. Sebaliknya] buatlah anggaran [waktu-waktu solat]”.

Hadis ini jelas menyebut, bahawa pada hari dimana sehari sama seperti setahun itu, umat Islam diperintahkan agar membuat anggaran waktu solat. Ini kerana, pada waktu tersebut tanda-tanda masuk waktu solat seperti yang dinyatakan Nabi sa.aw, telah lenyap.

Cara menganggar waktu solat

Menurut Imam Muhammad Abduh yang juga bekas mufti Mesir, para ulama berselisih pendapat berhubung cara menganggar waktu solat di tempat-tempat yang tidak normal seperti di Norway ketika ini.

Beliau dipetik sebagai berkata :

واختلفوا في التقدير على أي بلاد يكون؟ فقيل : على البلاد المعتدلة التي وقع فيها التشريع كمكة والمدينة. وقيل : على أقرب بلاد معتدلة إليهم، وكل منهم جائز، فإنه إجتهادي لا نص فيه.

Terjemahan : “Mereka (para ulama) berselisih [pendapat] tentang [cara membuat] anggaran [waktu solat dan puasa], [iaitu] berdasarkan negara manakah ia (anggaran) dilakukan? Ada yang berkata, [anggaran dilakukan] berdasarkan negara yang normal yang berlaku padanya pensyariatan [hukum hakam syarak], seperti Mekah dan Madinah.

Ada juga yang berkata, [anggaran dilakukan] berdasarkan negara yang normal, yang paling dekat dengan mereka (iaitu penduduk negara yang tidak normal). Kesemua pendapat ini harus [diamalkan] kerana sesungguhnya ia adalah [perkara] ijtihadi yang tiada nas berkaitan”.

Walau bagaimanapun, yang dipilih oleh Darul Ifta’ Mesir, ialah membuat anggaran berpandukan waktu di Mekah. Ini kerana, Mekah disifatkan al-Quran sebagai Ummul Qura atau negeri induk. Justeru, ia sesuai dijadikan rujukan.

Kesimpulannya, penghuni Bergen, Norway mempunyai pilihan berikut untuk menunaikan solat :

1. Menunaikan solat berpandukan waktu solat di tempat atau negara yang normal yang paling hampir dengan Norway.

2. Menunaikan solat berpandukan waktu solat di Mekah atau Madinah.

Rumusan

Walau bagaimanapun, Darul Ifta’ Mesir tidak menyatakan secara jelas, cara menunaikan solat berpandukan waktu negara yang normal yang paling hampir, atau berpandukan waktu solat di Mekah atau Madinah.

Ini kerana, fatwa yang dinyatakan di atas, secara asasnya adalah fatwa berkaitan kaedah berpuasa di negara yang waktu siangnya terlampau panjang.

Walaupun begitu, boleh dirumuskan daripada fatwa ini kaedah mengerjakan solat berpandukan waktu solat di Mekah.

Darul Ifta Mesir menukilkan fatwa Syaikh Jadul Haq, bekas Syaikhul Azhar yang menyebut  :

أميل إلى دعوة المسلمين المقيمين في هذه البلاد إلى صوم عدد الساعات التي يصومها المسلمون في مكة أو المدينة، على أن يبدأ الصوم من طلوع الفجر الصادق حسب موقعهم في الأرض، دون نظر إو اعتداد بمقدار ساعات الليل أوالنهار، ودون توقف في الفطر على غروب الشمس أو اختفاء ضوئها بدخول الليل فعلا

Terjemahan : Saya cenderung kepada menyeru orang-orang Islam yang tinggal di negara-negara ini (negara yang waktu siangnya terlampau panjang), agar [mereka] berpuasa [mengikut] bilangan jam orang-orang Islam di Mekah atau Madinah berpuasa.

Tapi, mereka mestilah memulakan puasa bermula terbitnya fajar di tempat mereka, tanpa melihat atau mengambil kira bilangan jam [waktu] malam atau siang [di tempat mereka], dan tanpa [meletakkan] kebergantungan berbuka puasa terhadap tenggelamnya matahari, atau kelenyapan cahayanya disebabkan masuknya waktu malam”.

Fatwa Syaikh Jadul Haq yang dipegang oleh Darul Ifta Mesir ini bermakna, penduduk di negara yang waktu siangnya sangat panjang seperti Norway, wajib berpuasa sebaik terbitnya fajar di Norway atau masuknya waktu Subuh.

Jika penduduk Mekah atau Madinah pada waktu ini berpuasa selama 12 jam, maka penduduk di Norway, boleh berbuka 12 jam selepas waktu Subuh yang masuk pada jam 2.00 pagi. 

Ini bermakna, waktu berbuka mereka ialah pada jam 2.00 petang, iaitu 8 jam lebih awal daripada waktu Maghrib di sana yang masuk pada jam 10.00 malam.

Jika mereka boleh berbuka pada jam 2.00 petang, maka sudah tentu mereka boleh menunaikan solat Maghrib juga pada jam 2.00 petang.

Untuk menunaikan solat Isyak, kaedah yang sama digunakan. Iaitu mereka hendaklah melihat selang masa antara solat Maghrib dan Isyak di Mekah atau Madinah.

Jika selang masa antara kedua-duanya ialah 1 jam 10 minit, maka mereka boleh menunaikan solat Isyak pada jam 3.10 minit petang, tanpa perlu menunggu sehingga jam 12.00 malam, waktu sebenar solat Isyak di Norway.

Wallahu a’lam