Monday, 6 February 2012

Kepimpinan...bagaimana dengan 'kepengikutan'?

Banyak pihak, terutama ‘orang politik’, sering bercakap tentang kepimpinan.

Dengan sebab itu, sering berkumandang bicara tentang ciri-ciri pemimpin yang berkualiti. 

Atau tentang keperluan melatih pemimpin-pemimpin pelapis. Juga berkenaan pertalian erat antara kepimpinan yang berwibawa dan kemakmuran yang dikecapi hari ini.

Bicara tentang kepimpinan juga wujud dalam bentuk kursus-kursus kepimpinan yang sering dianjurkan.

Dominasi 'bicara tentang kepimpinan' di pentas pemikiran masyarakat, telah menyebabkan fokus mereka tertumpu sepenuhnya kepada soal kepimpinan.

Keadaan ini adalah ‘tanah yang subur’ bagi pertumbuhan satu pemikiran yang melihat, baik buruk sesebuah negara atau masyarakat, bergantung sepenuhnya kepada pemimpin dan kepimpinan.

Pemikiran ini menyebabkan sesebuah komuniti, tidak memandang pengikut atau rakyat jelata, sebagai salah satu kuasa yang penting, yang menjadi pelengkap kepada kepimpinan dalam menjayakan agenda bersama.

Pemikiran 'satu lorong' ini berkesudahan dengan pembenihan satu sikap yang menyerahkan segala urusan kepada pemimpin, sementara rakyat hanya menunggu hasil dan natijah yang baik, hasil kerja keras pemimpin  yang diangkat.

Dominasi bicara kepimpinan ini secara tidak langsung menjadikan wacana tentang kepimpinan, pincang dan tidak seimbang.

Elemen kepimpinan

Realitinya, kepemimpinan melibatkan tiga elemen yang saling berkait, iaitu pemimpin, pengikut dan persekitaran.

Ketiga-tiga elemen inilah akan menentukan daya kepimpinan seseorang pemimpin.

Fungsi kepimpinan ialah mengeksploitasi persekitaran bagi menghasilkan kemakmuran negara.

Ia hanya akan berfungsi dan bergerak, apabila pemimpin dan pengikut berperanan secara saling melengkapi, untuk memanfaatkan persekitaran demi mencetuskan kemakmuran negara.

Sesebuah kepimpinan akan gagal memanfaatkan persekitaran yang ada bagi kebaikan negara, andai elemen pemimpin dan pengikut tidak bergerak secara bergandingan, atau salah satunya tidak berfungsi.

Secara tidak langsung, fakta ini adalah pembetulan kepada pemikiran yang cenderung mengaitkan kemakmuran sesebuah negara, hanya dengan pemimpin yang baik.

Hakikatnya, peranan rakyat dalam melonjakkan kepimpinan, sehingga berupaya mencetuskan kemakmuran negara, tidak boleh dikesampingkan.

Keperluan sesebuah masyarakat kepada gandingan pemimpin yang berkualiti dan pengikut yang bermutu, telah lama diungkapkan oleh Syaidina Ali karramallahu wajhah.

Sejarah merakamkan suasana ketidaktentuan yang menyelubungi zaman pemerintahan beliau, yang merupakan khalifah yang keempat selepas Rasulullah SAW.

Suasana hampir serupa turut mewarnai zaman pemerintahan khalifah sebelumnya, iaitu Syaidina Uthman r.a.

Dari sudut ketenteraman, era pemerintahan dua khalifah ini, jauh berbeza dengan zaman khalifah pertama dan kedua, iaitu Syaidina Abu Bakar r.a dan Syaidina Umar r.a.

Perbezaan ini telah mengundang tanya tanya dan mendorong Ubaydah al-Salmani r.a mengajukan persoalan kepada Syaidina Ali r.a.

Ubaydah al-Salmani adalah seorang ulama. Beliau memeluk Islam sebelum kewafatan Nabi SAW, namun tidak berpeluang bertemu Baginda SAW.

Dalam kitab Sirajul Muluk, karangan Abu Bakar al-Turtusi, dicatatkan bahawa Ubaydah al-Salmani bertanya Syaidina Ali r.a. :

يا أمير المؤمنين، ما بال أبي بكر وعمر انطاع الناس لهما، والدنيا عليهما أضيق من شبر فاتسعتْ عليهما، وولَّيْتَ أنت وعثمانُ الخلافة ولم ينطاعوا لكما، وقد اتسعتْ فصارت عليكما أضيق من شبر؟ فقال: لأن رعيةَ أبي بكر وعمرَ كانوا مثلي ومثلَ عثمان، ورعيتي أنا اليومَ مثلُك وشِبْهُك! 

Terjemahan : Wahai Amirul Mu'minin, apa halnya [Syaidina] Abu Bakar [r.a] dan [Syaidina] Umar [r.a], orang ramai tunduk [dan taat] kepada mereka berdua. [Manakala] dunia [di zaman pemerintahan mereka] lebih sempit daripada [kadar] sejengkal, tetapi telah menjadi luas.

[Manakala] Tuan dan [Syaidina] Uthman [r.a] telah memegang [jawatan] khalifah, tetapi mereka (orang ramai) tidak tunduk [dan taat] kepad Tuan berdua. Dunia yang telah luas, telah menjadi sempit lebih daripada sejengkal?

Lantas [Syaidina Ali r.a] menjawab, "[semua ini berlaku] kerana rakyat [Syaidina] Abu Bakar [r.a] dan [Syaidina] Umar [r.a], mereka [semua] adalah [orang-orang] seperti ku dan [seperti Syaidina] Uthman [r.a], [sedangkan] rakyatku pada hari ini [adalah orang-orang] sepertimu dan seumpamamu.

Mesej ucapan Syaidina Ali r.a adalah jelas. Pemimpin yang baik semata-mata, belum memadai. Ia memerlukan gandingan pengikut-pengikut yang baik.

Ucapan ini memahamkan kita, bahawa disamping kita memilih pemimpin yang baik, dan menuntut supaya pemimpin sedia ada meletakkan dirinya pada tahap pemimpin yang baik, kita rakyat jelata juga tidak lupa, untuk melakukan dan menuntut perkara yang sama.

Disamping kepimpinan, kita juga perlukan 'kepengikutan'...

Friday, 3 February 2012

Di Bawah Naungan Kubah Keamanan


Di bawah naungan kubah keamanan
mari kita rapatkan saf
menadah tangan dan berdoa
Ya Rabb, lindungilah rakyat dan negara ini
dari nikmat yang kian sirna
dari petaka yang bakal menjelma.

Demikianlah hari ini
ada kesukaan yang mendukacitakan
menyemai benih fitnah dan kedengkian
menyubur pucuk-pucuk khianat
melebarkan jalur persengketaan
di tengah perladangan bangsa.

Biar pun kita berselisih pandangan
biar pun kita tidak sefahaman
biarpun jalan tidak sehaluan
namun demi agama, bangsa dan negara
ada yang perlu kita korbankan.

Di bawah naungan kubah keamanan
mari kita sisihkan kejahatan dari kebaikan
mari kita hindarkan kehuruharaan dari keamanan
mari kita jauhkan permusuhan dari persahabatan
mari kita lontar jauh kebodohan dari kebijaksanaan.

Ya Rabb, kami wariskan keamanan itu
untuk seluruh anak bangsa.

Gunawan Mahmood.
Kuala Lumpur.

Wednesday, 1 February 2012

Ibadat tidak sah disebabkan jahil. Wajibkah diqadha?


Seorang rakan FB saya bertanya satu soalan. Iaitu, berkenaan orang yang jahil tentang hukum hakam ibadat.

Bagaimana pun, individu ini tetap melaksanakan ibadat-ibadat fardhu. Kemudian, individu ini menyedari, rupa-rupanya, ibadat yang dilakukannya selama ini, adalah tidak sah.

Soalnya, wajibkah dia mengqadha semua ibadat yang tidak sah itu (disebabkan jahil hukum hakam agama)?

Hadis Nabi

Alhamdulillah, jawapan kepada persoalan ini, terkandung dalam sebuah hadis Nabi SAW.
Hadis tersebut diriwayatkan oleh Abu Hurayrah r.a. Ia direkodkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain.

Hadis itu berbunyi :

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسولَ الله صلَّى الله عليه وسلم دخل المسجدَ فدخل رجلٌ، فصلَّى فسلَّم على النبي صلى الله عليه وسلَّم فرَدَّ وقال : "ارْجِعْ فَصَلِّ فإنَّك لم تُصَلِّ". فرجع يُصلِّي كما صلَّى، ثم جاء فسلَّم على النبي صلى الله عليه وسلم فقال : "ارجع فصل فإنك لم تصل" ثلاثا، فقال : "والذي بَعَثَك بالحق ما أُحْسِنُ غيرَه فعلِّمْني"، فقال : "إذا قُمْتَ إلى الصلاة فكَبِّرْ ثم اقرَأْ ما تَيَسِّرَ معك من القرآن، ثم ارْكَعْ حتى تطمئَنَّ راكعا، ثم ارْفَعْ حتى تعدِلَ قائما، ثم اسْجُدْ حتى تطمئنَّ ساجدا، ثم ارْفَعْ حتى تطمئنَّ جالسا وافعل ذلك في صلاتك كلَّها".

Terjemahan : Daripada Abu Hurayrah r.a, [beliau menceritakan] bahawa [pada suatu hari] Rasulullah s.a.w masuk ke dalam masjid.

Kemudian, seorang lelaki masuk [ke dalam masjid], lalu bersolat dan memberi salam kepada Nabi SAW [setelah selesai bersolat].

Baginda SAW menjawab [salamnya] dan bersabda, "pergi [semula ke tempat solat] dan bersolatlah [sekali lagi] kerana kamu belum [lagi] bersolat". Lantas, dia kembali [melakukan] solat sebagaimana dia solat [sebelumnya].

Kemudian, [setelah selesai solat] dia datang [semula], lalu memberi salam kepada Nabi SAW. Lantas Baginda SAW bersabda, "pergi [semula ke tempat solat] dan bersolatlah [sekali lagi] kerana kamu belum [lagi] bersolat" [Baginda SAW berkata sedemikian sebanyak] tiga kali.

Lalu dia berkata, "demi [Allah] yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak pandai melakukan selainnya, maka ajarkanlah aku [cara solat yang betul]".

Lantas Baginda SAW bersabda, "apabila kamu [telah] berdiri [untuk melakukan] solat, maka bertakbirlah. Kemudian, bacalah apa yang kamu mampu daripada [ayat-ayat] al-Quran. Kemudian, rukuklah sehingga kamu bertama'ninah dalam rukuk.

Kemudian, angkatlah [kepala kamu] sehingga [badan] kamu berdiri dengan lurus. Kemudian, sujudlah sehingga kamu tama'ninah dalam sujud. Kemudian, angkatlah [kepala kamu] sehingga kamu tama'ninah dalam keadaan duduk [antara dua sujud].

Lakukanlah [yang demikian] itu dalam keseluruhan solat kamu".

Pengajaran hadis

Hadis di atas memperihalkan tentang seorang lelaki yang jahil tentang hukum hakam solat. Akibatnya, solat yang dilakukannya tidak sah.

Justeru, Nabi SAW mengajarkannya cara solat yang betul. Kemudian, memerintahkannya mengulangi semula (mengqadha) solatnya, mengikut cara yang telah diajar Baginda SAW.

Hadis ini menjadi dalil bahawa seseorang yang melakukan sesuatu ibadat fardhu, yang tidak sah menurut neraca syarak-disebabkan kejahilan tentang hukum hakam-wajib mengqadhanya. Iaitu setelah diketahui ketidaksahan ibadat yang dilakukan itu.

Dalam erti kata lain, kejahilan tentang hukum hakam ibadat, tidak menggugurkan kewajipan mengqadha sesuatu ibadat, yang diketahui tidak sah pada neraca syarak.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari menukilkan daripada al-Qadhi 'Iyadh sebagai berkata :

قال عياض : فيه أن أفعال الجاهل في العبادة على غير علم لا تجزئ

Terjemahan : Berkata [al-Qadhi] 'Iyadh, di dalamnya (hadis di atas) [terkandung pengertian] bahawa perbuatan-perbuatan orang jahil [tentang hukum hakam syarak] dalam [mengerjakan] ibadat tanpa [panduan] ilmu, tidak menggugurkan kewajipan [melakukan ibadat tersebut daripada tanggungjawabnya].

Makna الإجزاء  yang disebutkan oleh al-Qadhi 'Iyadh di atas boleh dirujuk di sini : www.elazhar)

Kenyataan al-Qadhi 'Iyadh ini bermaksud, kewajipan melaksanakan sesuatu ibadat fardhu, hanya dianggap gugur apabila ia dilaksanakan sejajar dengan hukum hakam syarak.

 Hadis ini juga menjadi dalil bagi kewajipan mengqadha solat, atau ibadat-ibadat fardhu lain, ke atas sesiapa jua yang mengabaikan rukun-rukun dan syarat-syarat sah ibadat yang dilakukan. Samada disebabkan lupa atau sengaja.

Ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar ketika menghuraikan hadis di atas. Beliau mencatatkan dalam Fathul Bari :

وفي هذا الحديث من الفوائد غير ما تقدم وجوب الإعادة على من أخل بشيء من واجبات الصلاة

Terjemahan : Di dalam hadis ini [terdapat] pengertian-pengertian selain [daripada] apa yang [disebutkan] sebelum ini, [iaitu] kewajipan mengulangi [solat] ke atas sesiapa yang mengabaikan mana-mana kewajipan [dalam] solat.

Elak qadha dengan taqlid

Walau bagaimana pun, kewajipan qadha ini menjadi kemestian, jika ibadat yang dilakukan semasa jahil itu, tidak sah mengikut mazhabnya dan juga mazhab-mazhab lain.

Oleh itu, jika ibadat yang dilakukannya itu, tidak sah mengikut mazhabnya, tetapi sah pada mana-mana mazhab yang muktabar, maka, qadha bukanlah satu kemestian ke atasnya.

Dalam keadaan ini, individu ini boleh bertaqlid kepada mazhab lain yang mengatakan ibadatnya itu adalah sah. Dengan berbuat demikian, dia tidak perlu mengqadhakan ibadatnya yang tidak sah menurut mazhabnya itu.

Ini dinyatakan sendiri oleh sesetengah ulama mazhab Syafie, iaitu Imam Abdul Rahman Ibn Ziyad (masyhur dengan Ibn Ziyad).

Beliau menyatakan :

إن العامي إذا وافق فعلُه مذهبَ إمام من الأئمة الذين يجوز تقليدُهم صحَّ وإن لم يقلِّدْه

Terjemahan : Semua orang awam, apabila perbuatannya sejajar dengan mazhab mana-mana Imam yang harus [kita] bertaqlid dengan mereka, sah [perbuatannya itu dari segi syarak], meskipun dia (orang awam) tidak bertaqlid dengannya (mana-mana Imam).

(Rujuk : Al-Mawri, Muhammad bin Abdul Azim (1988), Al-Qaul al-Sadid Fi Ba'di Masa'il Ijtihad Wa al-Taqlid, cet.1, Dar al-Dakwah : Kuwait, ms.116).

Oleh itu, jika seseorang bermazhab Syafie, solat tanpa tama'ninah (sebagai contoh) kerana jahil (mazhab Syafie dan jumhur mengatakan tama'ninah dalam solat, adalah rukun solat), kemudian baru diketahui, bahawa solatnya itu tidak sah menurut mazhab Syafie, dia boleh bertaqlid dengan mazhab Hanafi yang mengatakan tama'ninah itu adalah sunat.

Dengan bertaqlid dengan mazhab Hanafi ini, individu tadi tidak perlu mengqadha solatnya yang tidak sah itu (menurut mazhab Syafie) yang disebabkan ketiadaan salah satu rukun solat, iaitu tama'ninah.

Bagi mengelakkan qadha dengan bertaklid kepada mazhab lain, perlulah dirujuk kepada mereka yang arif tentang mazhab-mazhab dalam Feqh Islam.

Dalam kitab-kitab Feqh dan Usul Feqh, bentuk taqlid yang dinyatakan ini, dikenali dengan nama التقليد بعد العمل.
Memang benar, ulama berselisih pandangan berhubung التقليد بعد العمل ini. Namun, pandangan Imam Ibnu Ziyad, ini dilihat sesuai untuk dipraktikkan oleh orang-orang yang ibadatnya tidak sah, disebabkan kejahilan.

Lebih-lebih lagi, jika ibadat yang dilakukan dalam keadaan jahil itu (yang sebenarnya tidak sah menurut mazhabnya), dilakukan dalam tempoh yang lama.

Mewajibkannya mengqadha ibadat-ibadatnya yang tidak sah menurut mazhabnya, yang mungkin dilakukan selama bertahun-tahun, dilihat bertentangan dengan keluasaan Feqh Islam dan kaedah dakwah.

Persoalan berbangkit

Di sini berbangkit satu soalan.

Iaitu, seseorang yang jahil, melakukan ibadat-ibadat fardhu, bertahun-tahun lamanya. Kemudian, baru diketahui, ibadat-ibadat fardhu yang dilakukan selama bertahun-tahun itu, tidak sah menurut mana-mana mazhab yang muktabar.

Dalam keadaan ini, menjadi kemestian ke atasnya, mengqadha ibadat-ibadat tersebut. Persoalan timbul, apabila dia lupa jumlah ibadat-ibadat yang tidak sah itu. Bagaimanakah dia mengqadha ibadat-ibadat tersebut?

Jawapan kepada persoalan ini, boleh ditinjau melalui perbahasan ulama berkenaan seseorang yang terluput sejumlah ibadat-ibadat wajib, tetapi lupa jumlahnya.

Berkenaan persoalan ini, Syaikh Ramli mencatatkan (Nihayatul Muhtaj, jil.3, ms.282) :

ومن عليه فوائت لا يعرف عددها قال القفال : يقضي ما تحقق تركه ، وقال القاضي الحسين : يقضي ما زاد على ما تحقق فعله وهو الأصح

Terjemahan : [Berkenaan] sesiapa yang menanggung beberapa ibadat yang terluput, [tetapi] tidak mengetahui jumlahnya, berkata al-Qaffal, dia [mesti] mengqadha apa yang dia pasti dia meninggalkannya.[Manakala] al-Qadhi Husain [pula] berkata, dia [mesti] mengqadha selebih daripada yang dia pasti dia melakukannya. Inilah [pendapat] yang paling sahih.

Menurut pendapat al-Qaffal, seseorang itu hanya wajib mengqadha ibadat, mengikut apa yang diyakininya. Jika dia meyakini bahawa dia telah meninggalkan solat sebagai contoh, sebanyak 10 fardhu, maka dia hanya wajib mengqadha 10 fardhu itu sahaja.

Manakala menurut pendapat Qadhi Husain pula, seseorang itu hendaklah menentukan jumlah solat yang dilakukannya.

Katakan, dia yakin, dalam bulan lepas, dia hanya menunaikan sebanyak 100 solat fardhu daripada 150 solat fardhu yang wajib ke atasnya. Maka, menjadi kewajipannya, mengqadhakan selebihnya yang berbaki, iaitu 50 solat.

Inilah huraian kepada pendapat dua tokoh tadi seperti yang dinyatakan dalam al-Majmu', jil.3 ms.72.

Justeru, berdasarkan pendapat yang paling sahih, ialah pendapat al-Qadhi Husain seperti yang dinyatakan Syaikh Ramli, orang yang tidak pasti jumlah solatnya yang tidak sah, hendaklah memastikan terlebih dahulu jumlah solatnya yang sah.

Sebagai contoh, dalam bulan lepas, dia yakin, hanya 100 solatnya yang sah. Maka, wajib ke atasnya, menggadha 50 solat lagi, bagi mengcukupkan 150 solat yang wajib ke atas setiap muslim dalam masa sebulan.

Kewajipan taubat

Setiap mukallaf, dikira berdosa jika tidak mempelajari hukum hakam tentang ibadat-ibadat fardhu. Ini kerana, menuntut ilmu berkenaan sah batal ibadat-ibadat fardhu, adalah fardhu ain.

Ini dinyatakan oleh Imam Nawawi (al-Majmu', jil.1, ms.24) :

باب أقسام العلم الشرعي هي ثلاثة: الاول فرض العين وهو تعلم المكلف مالا يتأدى الواجب الذى تعين عليه فعله الا به ككيفية الوضؤ والصلاة ونحوهما

Terjemahan : Bab [berkenaan] pembahagian ilmu syarak, iaitu ia [terbahagi kepada] tiga [bahagian], [bahagian] pertama : fardhu ain, iaitu [kewajipan] setiap mukallaf mempelajari apa (ilmu) yang tidak tertunai [perkara] wajib yang wajib ditunaikannya, melainkan dengannya. Seperti cara-cara berwuduk, solat dan seumpamanya.

Justeru, disamping mengqadha ibadat-ibadat wajib yang tidak sah yang dilakukan ketika jahil, seseorang itu wajib bertaubat di atas kecuaiannya menuntut ilmu.

Wallahu a'lam.

Friday, 27 January 2012

Ikhwan Muslimin mahu 'tewaskan' Malaysia!


Parti kelolaan Ikhwanul Muslimin, Hizb al-Hurriyyah Wa al-‘Adalah (FJP) sekarang ini sedang berpencak di gelanggang politik Mesir.

Nasib memihak parti itu apabila berjaya menewaskan parti-parti lain, dengan meraih sebanyak 46% kerusi Dewan Rakyat.

Setelah berjaya menewaskan parti-parti tersebut, FJP nampaknya masih belum ‘puas’. Ia kelihatan masih 'bernafsu'. Lantas,  ia cuba ‘menewaskan’ pihak-pihak lain pula.

Namun, kali ini, pihak yang mahu ditewaskannya itu, adalah negara luar yang langsung tiada kaitan dengan persaingan politik di Mesir.

Negara yang mahu ditewaskan oleh FJP ialah Malaysia dan Turki!

Ini dinyatakan sendiri oleh salah seorang pemimpin FJP, iaitu Dr. Muhammad Jawdah.

Namun, FJP bukan mahu menewaskan Malaysia dan Turki dalam bidang politik atau ketenteraan. Sebaliknya, mereka mahu menandingi kedua-dua negara ini dari segi ekonomi.

Tewaskan Malaysia dalam masa 8 tahun

Dalam satu kenyataan, Dr. Muhammad Jawdah, anggota Lajnah Ekonomi dan Setiausaha Pembangunan Minda FJP menyatakan, FJP mempunyai program ekonomi yang bertujuan mencetuskan kebangkitan ekonomi di Mesir.

Dengan program ini, menurut beliau, ekonomi Mesir akan menjadi lebih baik, mengatasi ekonomi Malaysia dan Turki sekarang ini dalam tempoh 7 atau 8 tahun akan datang. (Sumber : islamtoday)

Persoalannya, sejauh manakah Mesir yang diterajui FJP itu, mampu membangunkan ekonominya sehingga mengatasi Malaysia dan Turki?

Jawapan kepada persoalan ini, sedikit sebanyak boleh ditinjau daripada satu catatan Syaikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya, Kayfa Nafhamul Islam.

Dalam buku yang dicetak pada tahun 80-an itu, al-Marhum mencatatkan, setiap tahun, kira 400 rakyat Mesir memperolehi ijazah Phd dalam pelbagai bidang.

Namun, perangkaan juga menunjukkan, setiap tahun, seramai kira-kira 400 rakyat Mesir yang memiliki ijazah Phd, meninggalkan Mesir (pada zaman pemerintahan Husni Mubarak) mencari pekerjaan di negara-negara lain!

Ya, aset-aset intelek ini-bergandingan dengan kepimpinan yang bijak dan amanah- ada kekuatan menukar mimpi menjadi realiti! 

Sunday, 22 January 2012

Kemaruk shopping, atasinya dengan seni berbelanja


Cuba bayangkan…

Anda sedang berjalan kaki menuju ke tempat yang agak jauh, pada hari yang sangat panas.
Peluh berjejeran membasahi tubuh. Tekak terasa perit ‘dicakar’ rasa dahaga...

Lantas, anda berhenti di sebuah gerai yang menjual minuman sejuk.

Bayangkan anda berada dalam situasi sebegini…

Apa yang akan anda buat?

Anda akan membeli sebotol air yang anda suka, dan terus meminumnya dengan rakus...

Ahhhhhh...anda kini sedang merasai kelazatan minuman pilihan anda itu. Kelazatan yang ‘mengkhayalkan’.

Namun, oleh kerana terlalu haus, ia hanya menghilangkan sebahagian rasa dahaga anda. Anda masih memerlukan sebotol lagi minuman.

Lantas, anda meminum sebotol lagi.

Anda kini sedang merasai kelazatan minuman tersebut. Tapi, kelazatan yang anda rasai ini, adalah kurang berbanding kelazatan yang anda rasai ketika meminum air dari botol pertama tadi.

Sekarang, ambil sebotol lagi minuman.

Bila anda minum, anda juga akan merasai kelazatan minuman tadi. Namun, kelazatan yang dirasai, semakin berkurang berbanding kelazatan meminum dari botol kedua, apatah lagi botol pertama.

Kelazatan minuman yang anda rasai, semakin berkurang jika anda meminum kali keempat, kelima dan seterusnya.

Hingga sampai satu tahap, anda sudah tidak mampu minum lagi. Ketika itu, tiada sebarang rasa lazat lagi. Sebaliknya menjadi mudharat, seperti termuntah jika terus minum.

Apa yang anda dapat perhatikan?

Hadis Nabi & Diminishing Marginal Utility

Kadar atau ‘saiz’ kelazatan yang anda rasai, semakin berkurang, setiap kali anda mengambil minuman tambahan. Bahkan, pada peringkat tertentu, anda akan merasa tiada keinginan langsung untuk minum.

Pada tahap itu, pernafasan menjadi sesak disebabkan terlalu banyak minuman yang diambil. Anda juga boleh termuntah.

Bagaimana anda mentafsirkan keadaan ini?

Manfaat (kelazatan) yang diberikan oleh setiap botol air yang anda minum, akan semakin berkurang sehingga sampai ke tahap sifar.

Pada tahap ‘sifar manfaat’ ini, meminum satu lagi botol air, tidak memberikan sebarang manfaat kepada anda. Bahkan sebaliknya, memberikan mudharat seperti termuntah atau sesak pernafasan.

Pada peringkat ini atau sebelum sampai ke peringkat ini, anda mesti berhenti minum.

Fenomena di atas di namakan ‘penyusutan kadar manfaat utiliti’. Iaitu, manfaat sesuatu barangan atau perkhidmatan, semakin menyusut setiap kali penggunaannya bertambah (seperti contoh di atas).

Konsep yang dikenali dengan Diminishing Marginal Utility ini diperkenalkan dalam buku karangan tokoh ekonomi Britain, William Stanley, pada tahun 1871.

Konsep ini menuntut anda menggunakan ‘kemampuan mengguna’,  ketika kepenggunaan anda terhadap sesuatu barang, memberi kepuasan atau kelazatan pada tahap tertinggi (dalam contoh di atas, ketika dahaga).

‘Kemampuan mengguna’ ini terus digunakan, sehinggalah kadar manfaat yang terhasil daripada ‘kelakuan mengguna’, sampai ke tahap sifar (dalam contoh tadi, tahap termuntah) atau sebelumnya.

Saat itu, atau sebelumnya, anda mesti berhenti ‘mengguna’.

Sekarang, fahamlah kita, mengapa Nabi Muhammad s.a.w mengasaskan budaya ‘tidak makan sehinggalah rasa lapar, berhenti sebelum kenyang’.

Fahamlah kita, kalau makan ketika masih kenyang, manfaat dan kelazatan daripada perbuatan ‘makan’, tidak ada atau begitu sedikit.

Begitu juga kalau masih belum berhenti makan meskipun telah kenyang. Manfaat dan kelazatan ‘makan’ sudah tiada, atau sangat kurang.

Kita juga faham, budaya ini nampaknya bukan hanya terpakai dalam soal makan minum. Ia terpakai dalam semua bentuk kepenggunaan.

Orang yang hanya perlukan sebuah kereta, apabila membeli 2,3,4,10 buah kereta, manfaat kereta tersebut semakin berkurang sehinggalah sampai ke tahap sifar. Kereta-kereta tambahan itu tidak lagi mendatangkan ‘kelazatan’ dan manfaat.

Fahamlah kita, bahawa hadis Nabi, “kami adalah satu kaum yang tidak akan makan sehinggalah merasa lapar, dan apabila kami makan, kami tidak akan makan sampai kenyang”, merupakan panduan kepenggunaan.

Hadis ini bermakna :

i. Kepenggunaan hanya dilakukan pada saat ia memberikan ‘kepuasaan’ pada kadar yang paling tinggi. Ini tidak akan berlaku, melainkan dengan adanya keperluan yang betul-betul terhadap sesuatu barang atau perkhidmatan (sehingga kami merasa lapar).

ii. Menghentikan kepenggunaan apabila ia tidak memberikan sebarang manfaat, iaitu tahap ‘kenyang’ yang disebut di dalam hadis. Bermakna, anda sepatutnya berhenti sebelum sampai ke tahap itu.

Dalam bahasa lebih mudah, ‘kebolehan dan kemampuan mengguna’, hanya diguna pakai ketika perlu, ‘disimpan’ atau ‘dibekukan’ bila keperluan sudah tercapai.

Inilah seni berbelanja atau shopping. Seni yang menghasilkan nikmat dari aktiviti shopping.

Orang yang kemaruk shopping, perlu sedar. Sikap boros berbelanja, bukan sahaja tidak kena dari segi agama atau budaya. Malahan, dari segi ekonomi dan kepenggunaan juga tidak kena.

Perwatakan mereka sebenarnya sangat tidak cantik.

Ia seperti orang yang tidak dahaga, meminum bergelas-gelas air sehingga termuntah!

Saturday, 21 January 2012

Kos guaman : Qaradhawi & keharusan meminjam wang zakat


Syaikh Qaradhawi

Isu dakwaan penyalahgunaan wang zakat bagi tujuan pembayaran kos guaman, yang didakwa melibatkan seorang menteri dan pegawai atasan sebuah Majlis Agama, perlu dilihat dari sudut 'hukum meminjam wang zakat'.

Sudut pandangan ini sejajar dengan kedudukan isu ini. Ia-seperti yang digambarkan pihak terbabit-adalah jelas berkisar sekitar tindakan individu-individu berkenaan meminjam wang zakat.

Tindakan mereka mengganti semula wang zakat yang telah digunakan, jelas menunjukkan bahawa isu ini adalah isu 'meminjam wang zakat'.

Justeru, semua pihak wajar merujuk kepada 'hukum meminjam wang zakat' ketika memperkatakan isu ini. Ini bagi mengelakkan diskusi isu ini menjadi berkecamuk dan merawak, disebabkan tidak fokus kepada intipatinya yang sebenar.

Antara ulama yang memperkatakan tentang hukum meminjam wang zakat, ialah al-Allamah Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, dalam karyanya, Feqh al-Zakah.

Ia disentuh dalam huraian beliau berkenaan salah satu asnaf yang layak menerima zakat, iaitu asnaf al-Gharimeen. Al-Gharimeen bermaksud orang-orang yang menanggung hutang. Mereka layak menerima zakat jika tidak mampu membayar hutang yang ditanggung.

Logik

Bagi memahami pandangan Qaradhawi berhubung hukum meminjam wang zakat, perlu difahami kedudukan wang zakat yang diberikan kepada mereka yang layak.

Zakat adalah pemberian kepada mereka yang layak. Terdapat 8 kategori manusia yang layak mendapat zakat, salah satunya ialah al-Gharimeen.

Justeru, mereka yang menerima zakat-termasuk al-Gharimeen-tidak perlu membayar balik wang zakat yang diterima. Ini kerana zakat adalah pemberian, bukan pinjaman.

Jika demikian, tidakkah seseorang yang memerlukan, lebih utama dianggap layak menerima zakat atas nama pinjaman?

Ini kerana, wang zakat yang diterimanya atas nama pinjaman itu, akan dibayar balik. Tidak seperti al-Gharimeen tadi. Mereka tidak perlu membayar balik wang zakat yang diterima.

Logiknya, jika al-Gharimeen layak menerima zakat, sedangkan mereka tidak perlu membayar balik, apatah lagi orang-orang yang memerlukan. Sudah tentu mereka lebih layak menerima zakat kerana mereka akan membayar balik wang zakat yang dipinjam.

Logik ini diterima oleh Qaradhawi.

Justeru, beliau berpandangan, harus bagi al-Muhtajeen (orang-orang yang memerlukan), meminjam wang zakat. Menurut beliau, ini juga merupakan pandangan Syaikh Abu Zuhrah, Syaikh Abdul Wahab Khallaf dan Syaikh Abdul Rahman Hasan.

Ringkasnya, menurut Qaradhawi, meminjam wang zakat adalah harus, tapi khusus bagi al-Muhtajeen sahaja.

Qias

Penjelasan di atas menunjukkan, dalil keharusan meminjam wang zakat bagi al-Muhtajeen, adalah qias.

Qias ialah menyamakan sesuatu kes yang tidak dinyatakan hukumnya oleh al-Quran dan hadis (kes ini dinamakan fara'), dengan kes yang dinyatakan hukumnya oleh kedua-dua sumber tadi (kes ini dinamakan asl).

Penyamaan yang dimaksudkan ialah dari segi hukum. Penyamaan ini dilakukan kerana illah (sebab) asl dihukum dengan sesuatu hukum, juga terdapat pada fara'.

Contohnya, pengharaman arak oleh al-Quran (yang merupakan asl). Ia diharamkan kerana terdapat padanya sifat 'memabukkan'.

Manakala hukum dadah pula, tidak dinyatakan oleh al-Quran. Tapi, dadah (yang merupakan fara') disamakan dengan arak (yang merupakan asl) dari segi hukumnya, iaitu haram.

Penyamaan ini diasaskan kepada kewujudan sifat 'memabukkan' yang turut terdapat pada dadah.

Berhubung hukum meminjam wang zakat, al-Muhtajeen (yang merupakan fara') disamakan (diqiaskan) dengan al-Gharimeen (yang merupakan asl) . Iaitu dari segi kelayakan menerima zakat.

Oleh kerana al-Muhtajeen dinilai lebih utama dianggap layak menerima zakat berbanding al-Gharimeen, disebabkan al-Muhtajeen akan membayar balik wang zakat yang dipinjamnya (berbeza dengan al-Gharimeen yang mengambil zakat secara percuma), maka qias ini dinamakan qias awla.

Kesimpulannya, berdasarkan kaedah qias ini, Qaradhawi berpendapat, al-Muhtajeen boleh diberi pinjaman daripada wang zakat, yang diambil daripada sahm (bahagian) al-Gharimeen.

Namun, Qaradhawi menekankan akan keperluan diwujudkan satu tabung khusus bagi melaksanakan pandangan beliau ini.

Manakala pembayaran semula oleh peminjam wang zakat, disalurkan ke Baitul Mal, bukannya dikembalikan semula ke tabung atau akaun zakat.

Dengan huraian ini, dapatlah difahami kenyataan Qaradhawi dalam karyanya yang dinyatakan.

Terjemahan kenyataan beliau itu ialah "...memberi qardhul hasan (pinjaman tanpa faedah) daripada [wang zakat], adakah harus dengan mengqiaskan orang-orang yang meminjam [sama] dengan al-Gharimeen [dari segi kelayakan menerima zakat]?

Ataupun kita berpegang dengan literal nas, lalu kita tidak mengharuskannya (memberi qardhul hasan dari wang zakat kepada al-Muhtajeen) atas alasan al-Gharimeen adalah orang-orang yang sedang menanggung hutang [maka al-Muhtajeen tidak boleh disamakan dengan al-Gharimeen dari segi kelayakan menerima zakat?].

Saya berpendapat, qias yang sahih dan maqasid am (objektif umum) Islam dalam bab zakat, mengharuskan kita [untuk] berkata [harus] memberi pinjaman kepada al-Muhtajeen daripada sahm al-Gharimeen.

Tapi  [perkara] ini (memberi pinjaman kepada al-Muhtajeen dari wang zakat) perlu disusun dan dibentuk tabung yang khusus. Dengan demikian, zakat [akan] memberi saham secara praktikal dalam memerangi riba dan penghapusan faedah (bunga).

Inilah pendapat [Syaikh] Abu Zuhrah, [Syaikh Abdul Wahab] Khallaf dan [Syaikh Abdul Rahman] Hasan dalam perbahasan mereka tentang zakat.

Alasan mereka ialah, jika hutang-hutang tanpa faedah [boleh]dibayar dengan wang zakat [dan pemiutang tidak perlu membayar balik], maka lebih utama diberikan qardhul hasan daripada wang zakat tanpa faedah [kepada al-Muhtajeen] agar dikembalikan [pembayaran qardhul hasan itu] ke Baitul Mal.

Ini bermakna mereka menjadikannya (keharusan memberi pinjaman dari wang zakat kepada al-Muhtajeen) sebahagian  daripada qias awla. (Feqh al-Zakah, jil.2, ms.634)

Sependapat dengan para ulama ini ialah Syaikh Muhammad Hamidullah ('A'mal Wa Abhath an-Nadwah al-Khamisah, ms.181 dan 187)

Khilafiyyah

Sudah tentu tidak semua ulama bersepakat dengan pandangan Qaradhawi dan beberapa tokoh ulama yang dinyatakan berhubung soal ini.

Antara yang membantah pandangan Qaradhawi ialah pengarang kitab Yas'alunaka (Jld.7, ms.86).

Kesimpulannya, soal keharusan meminjam wang zakat bagi al-Muhtajeen, adalah masalah khilafiyyah  di kalangan para ulama semasa.

Oleh itu, setiap orang Islam boleh berpegang dengan pandangan Qaradhawi ini terutamanya jika melihat adanya maslahah dan keperluan. Mana-mana pihak tidak boleh membantah atau menidakkan tindakan pihak yang berpegang dengan pandangan Qaradhawi berhubung perkara ini.

Ini kerana, sebagaimana yang telah ditetapkan oleh para ulama, tiada bantahan atau penidakkan dalam masalah khilafiyyah (La Inkar Fi Mas'alah Khilafiyyah).

Oleh itu, jelaslah persoalan sebenar dalam isu dakwaan penyalahgunaan wang zakat ini. Tindakan pihak terbabit menggunakan wang zakat di atas nama pinjaman (yang kemudiannya telah dibayar balik), bukanlah satu masalah dan tidak menjadi isu.

Yang menjadi persoalan ialah tujuan pihak terbabit meminjam wang zakat tersebut. Jika ia dipinjam bagi membiayai urusan yang tidak bertentangan dengan syarak, maka menurut pandangan Qaradhawi dan ulama-ulama yang seangkatan, ia harus jika mereka benar-benar memerlukan.

Namun, jika ia dipinjam bagi membiayai urusan yang bercanggah dengan syarak, maka ini merupakan kerja dosa.

Dengan ini, setiap pihak yang terbabit dalam isu ini tahu apa yang perlu mereka lakukan.

Satu lagi yang perlu diperhatikan, wang zakat yang dipinjam itu, adakah diambil daripada sahm al-Gharimeen atau bahagian asnaf-asnaf lain.

Pandangan Qaradhawi jelas menunjukkan bahawa wang zakat yang boleh dipinjam oleh al-Muhtajeen, ialah wang zakat dari bahagian asnaf al-Gharimeen.

Wallahu a'lam.

Tuesday, 17 January 2012

Pilihan raya Mesir : Ikhwan Yang Dipertua Parlimen kali pertama dalam sejarah!


Sa'ad al-Kattatani

Ikhwan Muslimin (IM) dilihat melakar sejarah baru apabila persetujuan dicapai bagi melantik salah seorang pemimpin parti kelolaannya, Hizb al-Hurriyyah Wa al-'Adalah (FJP), bagi menjawat jawatan Yang Dipertua Parlimen Mesir yang bakal dibentuk.

Dalam perkembangan terbaru, Pakatan Demokrasi Demi Mesir yang diketui parti FJP, dan menggabungkan 11 parti politik Mesir, bersepakat mencalonkan Setia Usaha Agong FJP, Muhammad Sa'ad al-Kattatani sebagai Yang Dipertua Parlimen Mesir yang baru.

Persetujuan juga dicapai bagi melantik seorang calon daripada Hizb An-Nur dan al-Wafd bagi memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Parlimen. 

Persetujuan ini mengambil kira kedudukan kedua-dua parti ini selaku pemenang tempat kedua dan ketiga dalam pilihan raya Mesir yang baru saja berakhir.

Selepas pilihan raya peringkat ketiga dan terakhir selesai semalam (17 Jan 2012), FJP mengumumkan kejayaannya meraih sebanyak 46% undi (232 kerusi), manakala Hizb An-Nur sebanyak 23% (113 kerusi), diikuti parti al-Wafd yang memperolehi 9% undi (40 kerusi).

Jumlah keseluruhan kerusi Dewan Rakyat (مجلس الشعب) yang dipertandingkan ialah sebanyak 498 kerusi.
(Sumber : aljazeera.)

Antara semalam & hari ini

Persetujuan yang dicapai ini, tentunya sesuatu yang sangat manis dan penuh makna bagi IM, yang telah ditekan secara melampau dan diharamkan selama 80 tahun oleh regim-regim di Mesir. 

Bukan sekadar itu sahaja, bahkan lebih daripada itu, pencapaian ini dilakar setelah begitu ramai pemimpin dan penyokong IM diseksa dan menemui ajal di tangan regim-regim tersebut.

Sejarah masa lalu IM ini menambahkan lagi erti dan makna pencapaian IM dalam arena politik Mesir masa kini.

Sesungguhnya, ia sebahagian daripada detik yang penuh emosi bagi IM. Tentunya ia disambut dengan linangan air mata kesyukuran, beserta lantunan ucapan-ucapan syukur ke hadrat Yang Maha Berkuasa.

Rasa syukur dan kesedaran akan kekuasaan Allah, kian memuncak bila diimbau kembali sejarah penderitaan yang getir yang dihadapi oleh IM. 

Membaca kisah-kisah penyeksaan yang terpaksa diteguk oleh anggota-anggota IM, secara tanpa sedar, telah melantunkan doa agar Allah menjauhkan diri daripada ujian yang serupa. Bukan apa, cuma bimbang hati yang kerdil dan iman yang nipis ini, tidak mampu berdiri teguh dan bertahan mendepani ujian yang begitu berat itu.

Hati bergetar membaca kisah Mursyidul Am IM yang kedua, Syaikh al-Mujahid Hasan al-Hudhaibi. Seksaan yang beliau terima menyebabkan beliau pengsan. Ini sudah cukup bagi menggambarkan kedahsyatan seksaan yang diterima. 

Begitu juga dengan Syaikh Mustafa Masyhur, juga salah seorang Mursyidul Am IM. Ketika dalam penjara, setiap hari, tapak kaki beliau akan dipukul berkali sehingga tulang-tulang kakinya hancur.

Akibat terlalu kerap disebat, mujahid-mujahid IM ini merasa kebas, sehingga sebatan ke tubuh mereka tidak menyebabkan rasa sakit. 

Bagi memperdayakan penyebat-penyebat penjara, mereka akan berpura-pura sakit, dengan bertempik dan meraung bila disebat. Namun, akhirnya penyebat-penyebat itu mengetahui keadaan sebenar mereka. Lantas mereka beralih kepada sepakan dan terajangan bagi menyeksa mujahid-mujahid itu.

Diantara mereka, ada yang diikat kaki ke bumbung. Lantas, para penyeksa bersilih ganti menendang dan menyepak, sehingga mangsa bertukar menjadi bagai timbunan darah.

Kaedah mencabut kuku-kuku kaki dan tangan menggunakan sejenis alat khusus, adalah perkara biasa yang dihadapi pejuang-pejuang IM. Antara kaedah seksaan yang sangat menyakitkan, ialah kaedah menyalurkan angin menggunakan pam ke bahagian gusi.

Sebahagian kisah menarik para mujahid IM ketika dalam penjara, adalah kisah seorang anak muda yang dipaksa membuat pengakuan seperti yang dikehendaki pemerintah. Namun, anak muda ini tetap berkeras menolak dengan mengacipkan giginya. 

Beliau akhirnya diselam  ke dalam air berkali-kali sehingga menemui syahid. Sebaik sahaja ruhnya melayang ke hadrat Ilahi, mulutnya yang tadinya terkancing kemas, tiba-tiba terbuka dengan mengukirkan senyuman indah.

Subhanallah...

Benarlah apa yang dikatakan oleh al-Imam al-Allamah al-Mujahid Syaikh Yusuf al=Qaradhawi, apa yang dihadapi oleh mujahid-mujahid IM dalam penjara Mesir, lemah untuk qalam menulisnya, dan kelu lidah untuk menggambarkannya.

Kini, IM yang ditekan dan diseksa sebegitu rupa, sekarang berada diambang kekuasaan dan bakal menerajui Mesir.

Benarlah janji-janji Allah kepada para pejuang agamaNya.

Semoga Allah meletakkan para syuhada' IM di syurga Fidaus yang tinggi bersama para syuhada', anbiya' dan rasul.