Thursday, 29 September 2011

Syaikh Ali Jum'ah : Zaman kini tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud!


Allamah Syaikh Ali Jum'ah

Dalam memperkatakan tentang perlaksanaan hudud, satu perkara asas mesti dimaklumi semua pihak. Iaitu, Syariat Islam telah meletakkan beberapa syarat yang perlu ada sebelum sesebuah negara melaksanakan hudud.
Justeru, apabila dikatakan ‘suasana semasa tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud’, ia bermakna syarat-syarat perlaksanaan hudud itu belum mengcukupi.
Kenyataan ini sama sekali tidak bermaksud hukum hudud itu sendiri ada kelemahan atau kecacatan, sehingga ia tidak boleh dilaksanakan dalam suasana semasa.
Hukum hudud adalah sempurna dan lengkap. Cuma suasana semasa tidak memiliki syarat yang ditetapkan yang membolehkan ia dilaksanakan.
Ringkasnya, kenyataan ‘suasana semasa tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud’, bukan mempertikaikan kesempurnaannya dan kewajipan melaksanakannya.
Ia sebaliknya berkenaan ‘ketidaksempurnaan’ suasana semasa. Iaitu tidak memiliki syarat yang ditetapkan bagi membolehkan hukum itu dilaksanakan.
Antara syarat tersebut ialah kewujudan saksi-saksi yang berwibawa.
Bagi mensabitkan jenayah hudud (zina, qazaf, minum arak, mencuri, hirabah dan kesalahan murtad), saksi yang bersifat adil (‘adalah) diperlukan.
Saksi yang adil didefinisikan sebagai, antaranya ‘seorang Islam yang menjauhi dosa-dosa besar, tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil, bersikap baik dan bersopan santun (chivalry), dan boleh dipercayai ketika marah. Dengan makna tidak melampau batas dalam tindak tanduknya ketika marah (Rujuk Feqh al-Manhaji, jld. 3, ms.569)
Ketiadaan saksi yang memenuhi piawaian yang dinyatakan, akan mengakibatkan hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan.
Zaman ketiadaan saksi
Persoalannya di sini, wujudkan saksi-saksi seperti yang dinyatakan, pada masa sekarang?
Jika diambil kira kenyataan sesetengah ulama dahulu kala, boleh dikatakan kita mempunyai jawapan yang hampir pasti bagi persoalan ini.
Dalam karyanya, Nisywarul Muhadharah, al-Qadhi al-Tanukhi (356-446 Hijrah) ada memperkatakan tentang realiti manusia di zaman beliau dan zaman sebelumnya.
Beliau mencatatkan dalam karyanya itu, “sesungguhnya hakim [pada zaman sebelum ini], ketika memasuki sesuatu tempat atau kampung, dia [boleh] menemui 40 orang saksi yang kita perakui [kewibawaan mereka] dari segi ‘adalah (sifat adil) dan ketepatan (accuracy). [Tapi] sekarang, [iaitu pada zaman beliau] seseorang hakim, apabila memasuki sesebuah negeri, dia tidak [dapat] menemui melainkan seorang atau dua orang [yang layak menjadi] saksi”.
Demikian realiti manusia pada zaman al-Tanukhi, iaitu sekitar 980 tahun yang lampau. Jika pada zaman beliau tidak boleh ditemui melainkan 1 atau 2 orang yang layak menjadi saksi bagi mensabitkan kes-kes hudud, maka apakah pada zaman kini-yang disifatkan sebagai akhir zaman yang penuh dengan kerosakan-saksi yang memenuhi piawaian yang ditetapkan syarak itu, mudah didapati?
Jawapannya ada pada Mufti Mesir yang diperakui kemantapan ilmu dan kewarakannya, al-Allamah Syaikh Ali Jum’ah (juga ditulis sebagai Ali Gomaa).
Setelah menukilkan kata-kata al-Tanukhi diatas, Syaikh Ali Jum’ah dengan jelas menyatakan bahawa, “zaman kita secara umumnya, boleh disifatkan sebagai [zaman] yang kehilangan kesaksian [saksi-saksi yang berwibawa]”.
(Rujuk : http://www.onislam.net/arabic/madarik/culture-ideas/90481-alsharea.html)
Dalam erti kata lain, zaman yang kehilangan saksi-saksi yang berwibawa pada nilaian syarak, yang boleh diterima kesaksian mereka dalam perbicaraan membabitkan kes-kes hudud.
Dalam realiti Negara Mesir, fenomena ketiadaan syarat yang mencukupi bagi melaksanakan hudud, sebenarnya telah lama berlaku, iaitu sejak sekitar 1000 (seribu) tahun yang lampau. Ini dinyatakan sendiri oleh Syaikh Ali Jum’ah.
Oleh sebab itu, jelas beliau, Negara Mesir, sejak lebih kurang 1000 (seribu) tahun yang lampau, tidak pernah melaksanakan hudud disebabkan fenomena yang dinyatakan.
Hudud bukan keutamaan
Oleh kerana zaman kini tidak memiliki ‘kelayakan’ untuk melaksanakan hudud, antaranya kerana tidak memiliki saksi-saksi yang berwibawa, maka menurut Mufti Mesir ini lagi, persoalan hudud bukan sesuatu yang mendesak dan bukan suatu keutamaan.
Lebih dari itu, menurut beliau, membangkitkan isu hudud pada masa sekarang (iaitu tahun 2006, tahun beliau menyatakan pandangan) mendatangkan mudarat dan tidak memberi manfaat.
(Rujuk : http://www.onislam.net/arabic/madarik/culture-ideas/90481-alsharea.html)
Sebagai penutup, perlu dinyatakan di sini, Syaikh Ali Jum’ah tidak menyatakan secara jelas bahawa zaman kini tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud, seperti yang terpapar pada tajuk tulisan ini. Tajuk itu sebaliknya adalah rumusan dan kesimpulan penulis daripada dua kenyataan beliau.
Pertama, beliau menegaskan bahawa zaman kini boleh disifatkan sebagai zaman yang ketiadaan saksi yang boleh diterima bagi mensabitkan hukum hudud (seperti yang telah dinyatakan); dan
Kedua, beliau menyifatkan zaman ini sebagai zaman syubhah (penuh keraguan). Manakala prinsip yang terpakai dalam hukum hudud ialah ‘hukuman hudud diabaikan disebabkan kewujudan syubhah’.

Prinsip ini diambil daripada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, ‘abaikanlah [hukuman] hudud dengan sebab [adanya] syubhah’.
Jika demikianlah keadaan zaman kini menurut kaca mata Syaikh Ali Jum’ah, maka bolehlah disimpulkan, perlaksanaan hukum hudud pada zaman kini tidak kondusif disebabkan dua sebab yang dinyatakan.
Pandangan beliau ini secara tindak langsung memberi ‘signal’ amaran kepada semua pihak, agar tidak tergesa-gesa menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana pihak yang tidak sependapat dengan mereka dalam soal perlaksanaan hudud.
Dan, inilah objektif tulisan ini.
Ia tidak bertujuan mengikat mana-mana pihak dengan pandangan al-Allamah Mufti Mesir ini!

Monday, 26 September 2011

Kuasa Kemahuan!

Untuk mengembalikan semula kegemilangan ummah, syarat pertama yang perlu ada, ialah iradah (kemahuan) yang tinggi dan kejap untuk maju dan terbilang.

Seterusnya, ‘iradah untuk maju’ ini mestilah dikongsi bersama oleh seluruh anak bangsa.
Demikianlah yang dinyatakan oleh pemikir Islam yang terkenal, Dr. Said Ramadhan al-Buti di dalam bukunya, Manhaj al-Hadharah al-Insaniyyah.
Ringkasnya, tidak memadai andai ‘iradah’ itu hanya bersarang dalam jiwa beberapa kerat anak bangsa.
Dalam menggambarkan kuasa ‘iradah’ ini, Abuya Hamka dalam karyanya, Tasauf Moden menyamakannya dengan tunas kelapa yang lembut dan rapuh.
Meskipun demikian, ia mampu memecahkan tempurung kelapa yang keras!
Demikianlah kehebatan apa yang dinamakan iradah atau KEMAHUAN!
Iradah’lah yang mencetuskan kebangkitan mana-mana bangsa dalam sejarah peradaban manusia.
Ia menembusi segala tembok dan merobek setiap benteng dan halangan.
Ilmu dan Kudrat sia-sia
Tanpa kemahuan yang tinggi, ilmu dan qudrat (kemampuan) yang dimiliki tidak membawa sebarang makna.
Meskipun seseorang itu tahu pentingnya kemajuan dan memiliki kemampuan untuk mencapainya, tanpa iradah, semua itu tidak membuahkan sebarang hasil.
Demikianlah kesimpulan bicara Hamka dalam Tasauf Moden.
Demi membangkitkan kemahuan dan menyemarakkan keinginan untuk maju, minda anak watan sangat mustahak diisi dengan bahan-bahan pemikiran yang segar dan bertenaga…
Minda anak-anak watan ini tidak perlukan isu-isu khilafiyyah yang tidak berkesudahan…
Juga tidak berhajat kepada politik londeh melondeh yang tidak pernah padam…

Friday, 23 September 2011

Minda Imam Muhammad Abduh : Jana Kekayaan Melalui Kebajikan

Imam Muhammad Abduh
Suatu ketika dulu, ada sebuah negara (kalau tidak silap Columbia) enggan melaksanakan hukuman bunuh ke atas pembunuh.

Mereka berpandangan, membunuh pembunuh, merugikan nyawa.

Negara telah kehilangan satu nyawa bila pembunuh membunuh. Jika pembunuh itu pula dihukum bunuh, bermakna negara kehilangan satu lagi nyawa.

Ini merugikan.

Jadi, eloklah pembunuh tidak dihukum bunuh!

Selepas itu, pembunuhan berleluasa di negara tersebut. Tapi, pihak berkuasa tetap berkeras dengan pendiriannya.

Akhirnya, bila Perdana Menteri negara tersebut sendiri dibunuh, barulah dilaksanakan hukuman bunuh ke atas pembunuh!

Negara-negara Barat seperti Itali, pada asalnya tidak membenarkan talak. Pada mereka, perkahwinan adalah ikatan di atas nama tuhan. Jadi, ia tidak boleh dirungkai dengan talak.

Akhirnya, pada zaman moden ini, talak terpaksa dibenarkan di negara-negara tersebut. Iaitu setelah terbukti memaksa manusia hidup dengan pasangan yang ternyata tidak serasi, adalah satu kezaliman.

Di atas adalah contoh beberapa permikiran yang zahirnya logik. Namun, kini terbukti ianya salah.

Banyak fikiran kita yang zahirnya nampak betul. Seperti seorang kaya yang hanya tahu menyimpan harta. Tidak dibantu orang-orang miskin. Tidak dihiraukan peniaga-peniaga kecil yang tidak cukup modal untuk berniaga.

Memang sangat logik, bila harta disimpan, maka ia tidak akan berkurang. Ia akan berkurang bila dibelanjakan untuk membantu orang susah atau orang berhajat.

Justeru, bagaimana kekayaan boleh dijana melalui membantu orang yang susah dan berhajat?

Idea Muhammad Abduh
 
Imam Muhammad Abduh seorang pemikir Islam dan mujaddid ulung. Beliau meninggal pada 1905.

Beliau pernah mengemukakan idea menarik tentang ekonomi.

Pada pandangan beliau, kekayaan seseorang dibina  dengan menggunakan harta orang lain. Iaitu, harta itu diperolehi dengan kebijaksanaan dan interaksinya (hubungan dagang) dengan orang lain.

Jadi,  kekayaannya wujud dengan sebab masyarakat sekitar dan berpunca daripada mereka. Masyarakat dan 'interaksi perdagangan dengan mereka' adalah punca kekayaan seseorang yang kaya.

Justeru, orang kaya mesti menjaga sumber dan punca kekayaan ini (masyarakat). Menjaga supaya ia terus mampu menjadi pihak kedua dalam interaksi perdagangan.

Oleh itu, apabila ada di kalangan masyarakat, orang yang tidak mampu, maka orang-orang ini mesti dibantu.

Mesti dibantu demi memastikan masyarakat keseluruhannya terus berfungsi sebagai pihak kedua dalam interaksi perdagangan.

Cuba bayangkan anggota masyarakat ramai dalam keadaan dhaif. Bagaimana kekayaan boleh dijana melalui perniagaan (sebagai contoh) dalam masyarakat sebegini?

Di sini, ternyata membantu orang miskin bukan hanya soal kemanusiaan. Ia juga soal ekonomi.

Orang kaya yang sedar hakikat ini tidak akan lokek membantu orang miskin. Mereka tidak akan keberatan membantu peniaga-peniaga kecil yang memerlukan modal untuk berniaga.

Ini kerana mereka faham, semakin baik kedudukan ekonomi sesebuah masyarakat, peluang mereka memperluasakan kekayaan semakin luas!

Wednesday, 21 September 2011

'Kuasa' Sejarah!

Kebangkitan mana-mana bangsa sepanjang sejarah, bermula daripada keadaan lemah.

Semua jagoan tamadun silam yang gah, asalnya bangsa yang lemah dan tertindas. Jika dilihat keadaan mereka yang dhaif sebelum bangkit, kemampuan mereka untuk bangkit, bagai mimpi.

Lihatlah bangsa Arab sebelum kemunculan Nabi Muhammad s.a.w. Bangsa yang membudayakan perang. Bangsa porak peranda dan dijajah kuasa Rom dan Parsi.

Sorotilah sejarah pengasas tamadun Islam yang unggul di Andalusia (Sepanyol), Abdul Rahman al-Dakhil.

Beliau terpaksa berkelana meninggalkan tanahair akibat ditekan. Hidup sebagai manusia yang menjadi buruan sebelum bangkit dan berkuasa.

Imbaulah kembali sejarah pembukaan Melaka.

Parameswara terpaksa meninggalkan negeri sendiri kerana diancam. Setelah menetap di Temasik (Singapura), beliau terpaksa pula meninggalkan pulau itu kerana keselamatan terancam.

Beliau akhirnya bangkit di Melaka!

Bangsa yang mahu bangkit mesti berguru dengan sejarah. Mesti menyedut semangat daripada eksperimen manusia terdahulu.

Kelak mereka akan mengerti, bahawa kelemahan dan kedhaifan kini, merupakan titik mula kepada langkah setiap bangsa dan tamadun terbilang!

Sunday, 18 September 2011

Sejenak bersama pemikiran Tun Mahathir

Untuk memulihkan ekonomi negara, Kerajaan perlu menggalakkan pelabur-pelabur tempatan melabur di Malaysia dan memberi peluang kepada mereka berbuat demikian.

Galakan tersebut adalah dalam bentuk memberi kemudahan dan insentif kepada mereka, sama seperti yang diberikan kepada pelabur-pelabur luar.

Demikian ringkasan jawapan Tun Dr. Mahathir apabila diajukan soalan berkenaan kaedah memulihkan ekonomi negara.

Soalan tersebut diajukan dalam satu wawancara bersama beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 12 September 2011 baru-baru ini.

Langkah menggalakkan para pelabur tempatan itu perlu dilakukan kerana pelabur-pelabur luar kini mempunyai banyak pilihan.

Mereka boleh memilih untuk melabur di negara-negara lain yang lebih berpotensi seperti China dan India. Disamping negara-negara membangun lain seperti Vietnam, Thailand, Indonesia dan lain-lain.

Sehubungan itu, Kerajaan perlu mengubah mindset terhadap pelabur-pelabur tempatan. Iaitu mindset yang melihat mereka tidak berdaya saing dan berkemampuan seperti pelabur-pelabur luar. Ini disebabkan kedudukan dan prestasi semasa pelabur-pelabur tempatan telah meningkat dan sudah boleh bersaing dengan pelabur-pelabur luar.

Untuk menjana ekonomi, kerajaan juga perlu berbelanja. Ekonomi boleh digerakkan dengan berbelanja kerana faedah daripada perbelanjaan itu akan kembali semula kepada Kerajaan dalam bentuk cukai.

Justeru, percayalah, kata Tun, jika anda menyimpan wang dibawah bantal, anda akan rugi kerana wang itu tidak akan menghasilkan pulangan dan nilainya akan susut.

Nilai idea Tun Mahathir

Unsur terpenting yang terkandung dalam jawapan Tun itu ialah nilai praktikal dan logikal. Cadangan penyelesaian yang diberikan itu bukan berbentuk teori. Atau idea mentah yang masih memerlukan pemprosesan dan pengolahan. 

Ia sebaliknya cadangan yang telah siap dan sedia untuk dilaksanakan!

Nilai praktikal dan logikal ini juga boleh dilihat dalam satu lagi lontaran idea Tun berhubung pemeliharaan keharmonian antara kaum di Malaysia.

Dalam mengekalkan keharmonian itu, Tun mengajak kesemua kaum di Malaysia menerima dan menyedari realiti kepelbagaian kaum di Malaysia.

Setelah itu, setiap kaum seterusnya hendaklah menerima hakikat bahawa dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia, setiap kaum tidak boleh menuntut hak mereka sepenuhnya.

Jika ini dilakukan, maka akan berlaku pertembungan antara kaum.

Justeru, setiap kaum hendaklah akur dan menerima hakikat, bahawa dalam negara seperti Malaysia, setiap kaum hanya boleh mendapat sebahagian sahaja daripada hak mereka.

Membaca sepintas lalu lontaran idea Tun ini, sudah cukup untuk membuatkan kita merasai kesegaran dan kebernasannya. Dalam masa sama, jelas tergambar akan nilai praktikal dan logikal yang terkandung di dalamnya.

Wednesday, 14 September 2011

Cium tangan Syaikh Ali Jum'ah, Erdogan kempunan!

Allamah Syaikh Ali Jum'ah
Selasa, 13 September 2011 baru-baru ini, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan melakukan lawatan ke Mesir.

Di Mesir, beliau melawat Universiti al-Azhar.

Antara yang menyambut beliau di al-Azhar ialah Syaikh Ali Jum'ah, Mufti Mesir dan Menteri Agama Mesir, Dr. Muhammad al-Qawsi.

Hasil lawatan dan ketulusan hati 2 tokoh

Lawatan itu cukup bermakna bagi para pelajar Turki di al-Azhar. Sempena lawatan tersebut, Erdogan mengumumkan, Kerajaan Turki mengiktiraf sijil yang dikeluarkan al-Azhar.

Pengumuman ini bermakna, lepasan al-Azhar diiktiraf di universiti-universiti di Turki.

Kain rentang yang menyambut ketibaan Erdogan sudah cukup untuk menceritakan kedudukan Erdogan di hati rakyat Mesir.

'Selamat datang Erdogan, selamat datang Pahlawan'...

'Selamat datang Erdogan, selamat datang Pemberani'...

'Selamat datang di negara keduamu', adalah sebahagian daripada catatan kain rentang tersebut.

Namun, kesemua sanjungan itu sedikit pun tidak membuatkan beliau merasa megah, bangga diri atau sombong.

Laporan sekitar lawatan tersebut menunjukkan Erdogan seorang yang merendah diri,  memuliakan ulama dan tulus hatinya.

Menurut laporan agensi berita Bawwabah al-Wafd, dalam lawatan tersebut, Erdogan telah cuba mencium tangan Allamah Syaikh Ali Jum'ah.

Namun, Syaikh Ali Jum'ah yang juga merupakan seorang sufi, menolak. Beliau segera menarik tangannya ketika Erdogan cuba menciumnya.

Laporan itu menyebut, Syaikh Ali Jum'ah bertindak demikian kerana sikap rendah diri beliau. Disamping disebabkan beliau menyanjung tinggi apa yang telah dilakukan oleh Erdogan.

Sesungguhnya, apa yang dilakukan oleh Erdogan dan Syaikh Ali Jum'ah ini, adalah satu pelajaran berguna tentang TAWADHUK...

sumber : http://www.onislam.net/arabic/newsanalysis/special-folders-pages/new-egypt/egypt-after-the-january-25/134374-2011-09-13-13-02-58.html

Jana perubahan minda melalui 'kesemasaan'...

Dalam satu wawancara pada 12 September 2011 baru-baru ini, Tun Mahathir ada menyentuh tentang mindset Kerajaan yang belum berubah berhubung 2 perkara.

Perkara pertama berhubung keupayaan Kerajaan mengawal penyebaran maklumat. Dan kedua, berhubung keupayaan pelabur-pelabur tempatan.

Menurut Tun, zaman Kerajaan boleh mengarahkan sesuatu berita agar dipendamkan, sudah berakhir. Justeru zaman kini adalah zaman ledakan maklumat. Zaman internet dan media sosial yang beroperasi di alam maya.

Malangnya, mindset Kerajaan berhubung soal ini masih belum berubah. Kerajaan masih beranggapan ia masih berkuasa menyekat penyebaran maklumat seperti masa-masa lalu.

Ekoran itu, pihak Kerajaan telah bertindak memadam dengan dakwat hitam perenggan tertentu dalam satu artikel dalam majalah The Economist baru-baru ini. Perenggan yang dipadamkan itu berkaitan dengan laporan majalah itu tentang perhimpunan Bersih Julai lalu.

Pihak Kerajaan menyangka, dengan berbuat demikian, maklumat yang dipadamkan itu telah berjaya disekat daripada sampai kepada pengetahuan umum. Kerajaan tidak sedar, perenggan yang dipadamkan itu masih boleh dibaca dalam internet!

Alpa tentang realiti penyebab jumud

Kerajaan masih beranggapan ia mampu menyekat penyebaran maklumat seperti masa-masa lalu disebabkan satu faktor. Iaitu kealpaannya tentang perubahan realiti dan peredaran zaman.

Kealpaan tentang realitinya inilah yang menyebabkan mindset Kerajaan berhubung soal ini masih tidak berubah.

Jika Kerajaan menyedari zaman kini adalah zaman langit terbuka dan ledakan maklumat, pasti mindsetnya itu akan turut berubah. Secara automatik Kerajaan akan menyedari, zaman ia berupaya mengawal penyebaran maklumat sudah berakhir.

Justeru, tidak akan timbul tindakan seperti  yang dilakukan ke atas majalah The Economist itu.

Perkara kedua yang disentuh oleh Tun ialah persepsi atau mindset Kerajaan tentang pelabur-pelabur tempatan.

Sejak dahulu, Kerajaan melihat pelabur-pelabur luar lebih berkemampuan berbanding pelabur-pelabur tempatan. Ekoran itu, pelbagai kemudahan dan intensif diberikan kepada pelabur-pelabur luar bagi menarik mereka melabur di Malaysia.

Namun, sekarang keadaan telah berubah. Pelabur-pelabur tempatan sudah berdaya saing dan berkemampuan.

Oleh demikian, menurut Tun, mereka perlu diberi peluang untuk membangunkan negara ini. Mereka juga perlu diberi kemudahan untuk melabur di negara ini seperti yang diberikan kepada pelabur-pelabur luar.

Walau bagaimanapun, mindset Kerajaan berhubung pelabur-pelabur tempatan itu masih seperti dulu. Masih tidak berubah. Iaitu, mereka tidak berkemampuan dan tidak setanding dengan pelabur-pelabur luar.

Punca mindset ini tidak berubah ialah kealpaan tentang perubahan realiti dan keadaan pelabur-pelabur tempatan itu.

Bicara Tun ini memberi kesimpulan penting. Iaitu kepentingan kepekaan terhadap realiti semasa dalam menjana perubahan minda.

Kesimpulan ini seterusnya mencetuskan kesimpulan lain. Iaitu, orang yang tidak peka terhadap perubahan realiti, mindanya akan kekal pada takuk lama.

Mindanya tidak berubah meskipun realiti dan zaman telah banyak berubah. Menjadikannya berfikir untuk realiti semasa dengan minda yang lama!

Oh...tak rugi saya diwajibkan hadir ke Yayasan Kepimpinan Perdana bagi mengikuti wawancara itu...

Tuesday, 6 September 2011

Zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa!?

Seorang sahabat saya di Perak memberitahu tentang kewujudan satu pendapat baru berkaitan zakat Fitrah.

Menurut sahabat saya itu, 'pendapat baru' ini mengatakan, orang yang TIDAK berpuasa, TIDAK perlu bayar zakat Fitrah. Ini kerana, zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa sahaja.

Demikian lontaran pandangan 'pendapat baru' ini.

'Celaru' dalam kejelasan hadis Nabi

Hairan sekali, macam mana pendapat seperti ini boleh muncul. Sedangkan, hadis Nabi s.a.w berhubung kewajipan menunaikan zakat Fitrah, sangat jelas.

Ibnu Umar r.a meriwayatkan :

فرض رسولُ الله صلى الله عليه وسلم زكاةَ الفطر من رمضان صاعا من تمر أو صاعا من شعير على العبد والحر والذكر والأنثى والصغير والكبير من المسلمين

Terjemahan :

"Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat Fitrah [sempena berakhirnya] Ramadhan [dengan kadar] secupak tamar atau secupak bijirin ke atas [setiap] hamba, orang yang merdeka, lelaki, perempuan, kecil dan besar dari [kalangan] orang-orang Islam".

Hadis ini direkodkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain.

Hadis di atas sangat jelas. Ibnu Umar r.a dengan jelas menyatakan, Rasulullah s.a.w turut mewajibkan zakat Fitrah ke atas umat Islam, samada kecil atau besar.

Hadis di atas juga jelas menyatakan kewajipan zakat Fitrah ke atas wanita.

Sebagaimana yang dimaklumi, kanak-kanak dan kebanyakan wanita tidak berpuasa atau tidak berpuasa penuh sebulan Ramadhan. Meski pun demikian, mereka tetap diwajibkan menunaikan zakat Fitrah. Iaitu melalui ibu bapa atau suami masing-masing.

Kaedah Usul

Hadis di atas juga bersifat umum bila ia mewajibkan zakat Fitrah ke atas semua umat Islam, samada lelaki atau wanita, kecil atau besar dan samada hamba atau seorang yang merdeka. 

Lafaz hadis di atas tidak mengkhususkan kewajipan zakat Fitrah hanya kepada orang-orang yang berpuasa sahaja.

Oleh kerana berpegang kepada lafaz hadis yang umum ini, Ibnu Hazm berpendapat, bayi dalam kandungan wajib juga dikeluarkan zakat Fitrah untuknya. Beliau berhujjah, lafaz 'al-saghir' (budak kecil) yang disebut dalam hadis di atas, juga merangkumi bayi dalam kandungan.

Walau bagaimana pun, jumhur ulama tidak mewajibkan zakat Fitrah ke atas bayi dalam kandungan.

Berdasarkan kaedah Usul Feqh, nas yang umum, kekal di atas sifatnya yang umum selama mana tiada nas yang mengkhususkannya.

Justeru, orang yang membawa 'pendapat baru' ini mesti membawa nas yang mengkhususkan hadis di atas, jika terus mahu berpegang bahawa zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa sahaja. Iaitu nas yang mengatakan dengan jelas bahawa zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa sahaja.

Ringkasnya, soal berpuasa atau tidak, langsung tidak berbangkit dalam konteks kewajipan menunaikan zakat Fitrah.

Punca kecelaruan

Barangkali 'pendapat baru' ini muncul akibat salah faham terhadap hadis yang mengatakan bahawa zakat Fitrah berfungsi sebagai 'pencuci' bagi orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan keji.

Atau hasil kefahaman terhadap kata-kata sesetengah ulama yang menyamakan zakat Fitrah dengan sujud sahwi. Sebagaimana sujud sahwi berfungsi menampal kekurangan solat, demikian juga zakat Fitrah. Ia menampal kekurangan puasa.

Oleh kerana zakat Fitrah berperanan sebagai 'pencuci' bagi orang yang berpuasa dan menampal kekurangan puasa mereka, maka logiknya ia tidak perlu ditunaikan oleh atau untuk orang yang tidak berpuasa.

Mungkin logik ini yang dipegang oleh 'pendapat baru' ini.

Jika demikianlah logik 'pendapat baru' ini, maka kita katakan :

1. Agama tidak didasarkan kepada pemikiran logik (dengan makna, hukum hakam agama bukan ditentukan oleh logik akal manusia); dan

2. Hikmat zakat Fitrah bukan hanya 'membersihkan' orang yang berpuasa dan menampal kekurangan puasa mereka.

Ia juga difardhukan bagi meringankan beban orang-orang miskin. Justeru, tidak timbul zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa sahaja.

Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan :

فرض رسول الله صلى الله عليه وسلم صدقة الفطر طهرة للصائم من اللغو والرفث وطعمة للمساكين فمن أداها قبل الصلاة فهي زكاة مقبولة ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقة

Terjemahan : "Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat Fitrah [sebagai] 'pencuci' bagi orang yang berpuasa dari perkara sia-sia dan keji dan [sebagai sumber] makanan kepada orang-orang miskin. Maka sesiapa yang menunaikannya sebelum solat [Hari Raya] maka ia adalah zakat [Fitrah] yang diterima [Allah], dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat [Hari Raya] maka ia adalah [dikira sebagai] sedekah biasa yang lain".

Hadis ini direkodkan oleh Abu Dawud, Ibnu Majah dan al-Hakim. Al-Hakim berkata, "[hadis ini] sahih berdasarkan standard Bukhari". Hadis ini dinilai hasan oleh Albani (Sahih al-Targhib Wa al-tarhib, jil.1, ms.263)

Wallahu a'lam.

Thursday, 25 August 2011

Duhai insan...ketatkanlah tali 'pinggang'mu...*

Tidak lama dulu, bekas presiden Amerika Syarikat, George W.Bush mengumunkan Amerika dalam bahaya.

Bahaya yang dimaksudkan ialah kemerosotan ekonomi yang sedang mengganas.

Saya pula berkata, sesungguhnya semesta alam ini dalam bahaya semenjak turunnya Adam a.s ke dunia”. Justeru, tiada apa di dunia ini yang boleh dipercayai, yang boleh kita cenderung, kecuali Allah satu-satunya.

Janganlah kiranya kalian menyangka, kalian akan terus kekal kaya. Menyangka harta benteng maha teguh di hadapan kegetiran dan petaka.

Banyak sekali seorang kaya menjadi papa. Si hartawan menjadi muflis. Matawang berubah dan bertukar nilai.

Duhai insan, sayugia jangan dipercayai kesihatan yang bertenggek pada tubuh kalian. Janganlah kalian menyangka kalian akan kekal kuat. Kemudaan terus meningkat. Kesasaan tetap teguh. Urat dan sendi tulang sentiasa kukuh.

Aduhai, jangan disangka demikian. Justeru ketuaan sedang berkunjung. Usia semakin lanjut. Sakit dan uzur seringkali bertandang tiba-tiba.

Wahai insan, janganlah kiranya hatimu condong’ kepada anak-anakmu dan menyangka mereka adalah sumber kekuatanmu di saat getir, tempat berlindungmu di waktu kesempitan.

Berapa ramai anak-anak yang menderhaka dan melawan kata. Berapa ramai anak yang tidak mengenang budi dan berhati bakhil!?

Usahlah bergantung kepada kaum kerabat. Usahlah disangka mereka perisai bagi mu, bentang yang akan melindungimu. Justeru, kadang-kadang kaum kerabat membiarkanmu sendirian di saat dirimu sangat-sangat memerlukan bantuan.

Wahai insan budiman, janganlah bergembira  dengan jawatanmu. Janganlah merasa tenang tenteram dengan pangkatmu. Justeru ‘kerusi’ seringkali bertukar ganti, hari berterusan bersilih ganti.

Kadang-kadang khabar perlucutan mengunjungimu lebih cepat dari kilat yang menyambar. Lantas, kembalilah kamu ke rumah mu tanpa pangkat, kedudukan dan nama.

Janganlah berpekerti sebegini.

Bergantunglah hanya kepada Allah!

Usahlah kalian menyangka itu dan ini. Sebaliknya, jadilah kalian seperti mana difirman tuhan (al-Furqan : 58) Dan berserahlah engkau kepada Allah, tuhan Yang Hidup, yang tidak mati”.

Yakinilah titah tuhan (al-Qosos : 88), Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan zat Allah. BagiNya kuasa memutuskan segala hukum dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan”.

Sesungguhnya, kita ini sentiasa dalam saat genting semenjak kita diciptakan, semenjak kepala kita ‘terhantuk’ ke bumi.

Abu Tayyib al-Mutanabbi dalam madahnya berterus terang berkata, orang yang tolol itu adalah sesiapa yang bermegah dan berpaut serta menaruh segenap kepercayaan kepada sesuatu yang akan lenyap :

Kematian pasti akan berkunjung, sementara jiwa hanyalah beberapa nafas
Justeru sesiapa yang bermegah dengan apa yang ada padanya adalah si tolol!

Di dalam buku ‘Iman’, tulisan bekas presiden Amerika, Jimmy Carter (1977–1981) ada disebut, “bila krisis membadainya semasa di Rumah Putih, beliau akan mengadap tuhan”.

Ya, mengadap tuhan dengan caranya yang telah diselewengkan dan dimansuhkan.

Bekas presiden Amerika juga, George Bush, dalam catatan peribadinya mencatatkan, beliau pernah melawat jenazah mendiang bekas presiden Soviet Union, Leonid I. Brezhnev. Beliau berkata, “aku melihat jenazahnya gelap gelita, tiada cahaya”.

Saya pula berkata, “kerana Bush penganut kristian, beliau lebih dekat dengan petunjuk tuhan. Padanya ada percikan cahaya. Sedang Brezhnev seorang mulhid yang tidak percayakan tuhan. Maka bagaimana andainya Bush mengenali Islam, agama yang benar?

Jadi, barang yang pasti, semenjak kita berpijak di bumi ini, kita semuanya sentiasa dalam bahaya.

Bahaya kematian.

Kesakitan.

Peperangan.

Kepapaan.

Kezaliman.

Kedukaan.

Kegetiran…

Tidaklah kita memiliki sebarang kunci penyelesaian kecuali lari kepada Allah.

Lari kepadaNya dengan mengesakanNya. Beribadat kepadaNya bagai yang difirmankanNya (al-Zariyat : 50), “(katakanlah kepada mereka wahai Muhammad s.a.w), “Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan ta’at), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran yang nyata”.

Keagungan dan kemegahan hanya milik Allah!

Amerika di kala ini empayar terbesar. Ia akan didatangi sunnatullah (peraturan alam) berkaitan semua bangsa dan negara bagai disebut Ibnu Khaldun dalam ‘Muqaddimah’.

Ia akan menjadi lemah. Di kala itu, akan datang kuasa lain mengambil tempat seperti ditutur  Quran (Ali Imran), “Dan demikian itulah keadaan hari-hari (di dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan ia antara sesama manusia”.

Bekas presiden Amerika, Richard Nixon (1969–1974)  menulis di dalam karyanya Peluang Keemasan, “sesungguhnya China sedang mara bagi mengambil peranan Amerika secara paksa”.

Saya pula berkata, “bahkan, ia adalah giliran yang telah berlaku dalam sejarah. Ia adalah sunnatullah ke atas hamba-hambaNya. Setiap umat akan mengambil gilirannya untuk berkuasa dan menempa kemajuan. Kemudian, ia akan menjunam supaya datang pula umat lain untuk mengambil gilirannya. Giliran untuk menjadi berkuasa”.

Alangkah baiknya andai manusia seluruhnya kembali kepada tuhan mereka. Kembali kepada pencipta mereka di saat musibah dan petaka melanda. Kembali kepadaNya untuk menyembahNya semata-mata. Juga mengikut sunnah nabiNya s.a.w. Beriman dengan para malaikatNya, hari akhirat, dan qadar yang ditentukan.

Andai Amerika dalam bahaya bagai dikata Bush, maka sedarilah duhai insan, alam semesta semuanya dalam bahaya.

Justeru kerana alam akan berakhir hayatnya seperti dialun ayat suci (al-Qosos : 88), “Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan zat Allah”.

Di mana dia jaguh-jaguh silam yang berpencak di pentas dunia?
Di mana dia Rom, Parsi, Babylon...?

Kesemuanya hanya tinggal sejarah. Semuanya menjadi dendangan kisah dan hikayat.

Abu Tayyib al-Mutanabbi bermadah, “Di mana dia pemuka-pemuka dan kaisar-kaisar (gelaran bagi raja Parsi) yang menyimpan khazanah?

Ia tidak kekal, mereka pun begitu jua. Mereka yang dahulunya sempit angkasa oleh ramainya tentera mereka. Sehinggalah kini melitupi tubuh mereka lahad yang sempit!”.

*Terjemahan daripada tulisan Dr. Aidh al-Qarniy

Balik Kampung : 'Bertareqat' di jalan raya cegah kemalangan!

Berwirid dalam jumlah tertentu adalah amalan zaman berzaman. Ia amalan para sahabat dan para ulama yang soleh sehingga hari ini.

Safiyyah r.a menceritakan :

دخل علي رسولُ الله صلى الله عليه وسلم وبين يدي أربعة آلاف نواة أسبح بهن فقال : "ما هذا يا بنتَ حيي؟" قلتُ : "أسبح بهن"، قال : "قد سبحتُ منذ قمتُ على رأسكِ أكثر من هذا"، قلتُ : "علمني يا رسولَ الله"، قال : "قولي : سبحان الله عددَ ما خَلَقَ من شيء".

Terjemahan : Rasulullah s.a.w telah masuk menemui ku dan di hadapan ku [terdapat] 4,000 biji kurma yang aku bertasbih dengannya.

Lantas Baginda s.a.w bertanya, "apakah ini wahai anak Huyai?". Aku menjawab, "[ini biji kurma yang] aku bertasbih dengannya".

Baginda s.a.w bersabda, "sesungguhnya aku telah bertasbih sejak aku berdiri di sini lebih banyak daripada [4,000 tasbih] ini".

Aku [pun] berkata, "ajarkanlah aku wahai Rasulullah".

Baginda bersabda, "katakanlah, Maha Suci Allah [sebanyak] bilangan segala sesuatu [yang] Dia cipta".

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi, al-Hakim dan al-Tabarani.

Ia dinilai sahih oleh Imam Sayuti (Lihat al-Hawi Li al-Fatawa (2000), cet. Darul Kutub al-Ilmiyyah, jld.2, hlm.3)

Hadis di atas menjelaskan bilangan tasbih yang dibaca oleh Safiyyah r.a, iaitu sebanyak 4,000 tasbih!

Turut dijelaskan, kelebihan bertasbih dengan lafaz :

سبحانَ اللهِ عَدَدَ ما خَلَقَ مِنْ شَيْءٍ

Abu Hurairah r.a pula memiliki seutas benang yang mempunyai 2,000 simpulan.

Beliau tidak akan tidur, sehinggalah menyelesaikan sebanyak 12,000 tasbih! Hal ini diceritakan oleh Ikrimah (Lihat al-Hawi Li al-Fatawa, jld.2, hlm.4)

Ketika memperihalkan sejarah hidup Abu Darda' r.a, al-Hafiz Abdul Ghani dalam karyanya al-Kamal, mencatatkan bahawa beliau r.a bertasbih sebanyak 100,000 sehari!

Subhanallah!

Begitu juga dengan Khalid Ibn Ma'dan, seorang tabi'in. Beliau bertasbih sebanyak 40,000 sehari.

Ini tidak termasuk bacaan al-Quran yang beliau amalkan (Lihat al-Hawi Li al-Fatawa, jld.2, hlm.4-5)

Sesetengah ulama zaman sekarang diketahui mengamalkan wirid-wirid tertentu seperti Wahbah Zuhayli. 

Wirid amalan beliau ada dalam simpanan sesetengah blog ustaz tempatan.

Begitu juga dengan Bin Beh, ulama kelahiran Mauritania yang disifatkan sebagai tokoh yang menghimpunkan antara 'kesalafian' dan kesufian dalam peribadi dan amalan beliau, turut mengamalkan wirid tertentu.

Wasiat Imam Hasan al-Banna r.a

Tokoh ulama yang begitu ketara menekankan keperluan wirid bagi setiap muslim ialah Imam al-Mujaddid, Imam Hasan al-Banna r.a.

Beliau telah menyusun sejumlah zikir dan doa yang dipetik dari hadis-hadis Nabi s.a.w.

Susunan beliau itu terkenal dengan nama al-Ma'thurat. Ia dibahagikan kepada Wazifah Kubra dan Wazifah Sughra. Wazifah Sughra, bacaannnya lebih pendek.

Beliau mewasiatkan supaya jangan ditinggalkan bacaan al-Ma'thurat ini setiap pagi dan petang. Jika tidak berkesempatan membaca pada waktu petang, hendaklah dibaca pada waktu malam.

Andainya masa dan keadaan tidak mengizinkan, hendaklah dibaca Wazifah Sughra. Demikian wasiat beliau. 

Berwirid mengelakkan kemalangan!

Dengan berzikir dan berwirid semasa memandu, hati menjadi tenang dan mantap.

Emosi 'tertambat' kemas pada 'tiang' rasional, sambil akal menguasai otak dan pemikiran.

Dalam keadaan ini, karenah pemandu dan onar yang pelbagai di jalan raya, tidak lagi sewenang-wenangnya mampu 'mengacah' emosi. Kesesakan di jalanan tidak dengan mudah menggelorakan jiwa dan perasaan. 

Yang lebih penting, wirid dan zikir di jalan raya, boleh membunuh rasa takbur dan megah yang 'menakluki' ramai pemandu.

Rasa takbur dan megah itulah yang mendorong mereka memandu melulu, memotong sesuka hati dan memecut laju.

Pakar-pakar tempatan telah lama menjelaskan, kemalangan jalan raya banyak berpunca dari sikap pemandu.

Namun, jarang dinyatakan cara mengubah sikap pemandu.

Sikap tidak boleh dibentuk hanya dengan undang-undang. Ia hanya boleh dibentuk dengan berkesan dengan kalam memuji tuhan.
 
Justeru, daripada berkhayal atau 'melepaskan' begitu sahaja fikiran semasa berjam-jam memandu, lebih baik berzikir mengingati Allah.

Emmm...berwirid semasa memandu tidak akan menghilangkan tumpuan kita kepada pemanduan.

Cubalah sendiri!

Mati/lahir sebelum/selepas malam raya & kewajipan zakat Fitrah

Seorang sahabat FB saya bertanya tentang orang yang mati pada bulan Ramadhan. Adakah wajib dibayar zakat fitrah untuknya?

Katanya lagi, ada ustaz yang mengatakan, wajib dibayar zakat fitrah untuk orang yang mati pada bulan Ramadhan.

Jawapan kepada persoalan ini terkandung dalam kata-kata Imam Nawawi radhiayallahu 'anhu dalam kitabnya, al-Minhaj.

Beliau berkata : تجب بأول ليلة العيد في الأظهر،فتخرج عمن مات بعد الغروب دون من ولد

Terjemahan : "[Zakat fitrah menjadi] wajib dengan [kemunculan] malam pertama [hari] raya menurut [pendapat] yang paling zahir. Maka [wajib] dikeluarkan [zakat fitrah] untuk sesiapa yang mati SELEPAS tenggelam [matahari hari terakhir Ramadhan], tidak [keatas] sesiapa yang dilahirkan [selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan]"

Matan Minhaj di atas menyentuh tentang waktu wajib zakat Fitrah. Iaitu, saat kemunculan malam pertama Hari Raya Aidilfitri. Atau saat tenggelamnya matahari hari terakhir Ramadhan.

Dalil kepada penentuan waktu wajib zakat Fitrah ini ialah hadis Ibnu Umar dan Abu Sa'id al-Khudri. Kedua-dua hadis ini jelas menyandarkan zakat ini kepada Hari Raya Aidilfitri dengan menyebut زكاة الفطر

Oleh itu, sesiapa yang sempat melalui, atau mengalami peristiwa tenggelamnya matahari hari terakhir Ramadhan itu, maka wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Jelasnya, untuk mengalami peristiwa tenggelamnya matahari hari terakhir Ramadhan, seseorang itu mestilah hidup sebelum matahari hari tersebut tenggelam. Iaitu hidup pada hari terakhir Ramadhan.

Dari sini, ulama Mazhab Syafie mengatakan, syarat wajib zakat Fitrah ialah sempat menemui kedua-dua bulan, iaitu bulan Ramadhan dan bulan Syawal. Iaitu akhir bulan Ramadhan dan awal bulan Syawal. (Mughni al-Muhtaj karangan Khatib al-Syarbini, jil.5, ms.62)

Dalam matan di atas, Imam Nawawi  memberikan contoh bagi orang yang sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal. Iaitu orang yang mati selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan. Atau mati pada malam raya.

Zakat Fitrah wajib ke atas si mati kerana beliau sempat menemui kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal.

Contoh bagi orang yang TIDAK sempat menemui bulan Ramadhan dan bulan Syawal sekaligus, ialah bayi yang dilahirkan selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan. Iaitu bayi yang dilahirkan pada malam raya.

Tidak wajib zakat Fitrah ke atas bayi ini kerana dia tidak sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal. Sebaliknya, hanya sempat menemui bulan Syawal sahaja.

Kata kunci

Ringkasnya, kata kunci kepada permasalah ini ialah 'hidup dalam kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal'.

Oleh sebab itu :

i. Bayi yang dilahirkan selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan, tidak wajib zakat Fitrah ke atasnya.

Sebabnya, bayi tersebut hanya sempat bertemu dengan satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal.

ii. Isteri yang dikahwini selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan, tidak wajib ke atas suaminya membayar zakat fitrah untuknya.

Sebabnya, wanita tersebut hanya menjadi isterinya hanya dalam satu bulan, iaitu bulan Syawal.

iii. Orang yang masuk Islam selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan, tidak wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, orang tersebut hanya menjadi muslim dalam satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal.

iv. Orang yang fakir yang menjadi kaya selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan, tidak wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, si fakir tersebut hanya berada dalam keadaan kaya dalam bulan Syawal sahaja. (Sabilal Muhtadin, jil.2, ms.222)

Dalam keempat-empat contoh di atas, kesemua individu terbabit tidak sempat menemui kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal.

Justeru, tidak wajib ke atas mereka zakat Fitrah.

Ditegaskan sekali lagi, kata kunci permasalahan ini ialah, 'hidup dalam kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal'.

Oleh itu :

i. Bayi yang dilahirkan sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan, kemudian mati beberapa minit selepas Maghrib (iaitu malam raya), wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, bayi tersebut sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal.

ii. Isteri yang dikahwini sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan, kemudian diceraikan selepas Maghrib hari tersebut, wajib ke atas suami membayar zakat Fitrahnya.

Sebabnya, wanita tersebut sempat menemui bulan Ramadhan dan Syawal dalam keadaan menjadi isteri kepada si suami.

Pendapat salah

Difahami daripada penjelasan di atas, pendapat yang mengatakan bahawa orang yang mati pada bulan Ramadhan wajib dikeluarkan untuknya zakat Fitrah, adalah pendapat yang tidak benar.

Sebenarnya, nama zakat itu sendiri jelas menunjukkan ketidakbenaran pendapat ini. Ia dinamakan zakat al-Fitr kerana ia diwajibkan dengan sebab tibanya Hari Raya Aidilfitri (Mughni al-Muhtaj, jil.5, ms.61).






Tuesday, 23 August 2011

Awasi 'anai-anai' bangsa!

Kisah kejatuhan sesebuah tamadun bermula dengan ‘wabak’ yang menjangkiti ‘tubuh’ tamadun tersebut.
Serangan musuh dari luar hanyalah ‘sentuhan terakhir’, ataupun ‘tumbukan pelengkap’ yang merebahkan sesebuah tamadun.
Ia rebah bukan kerana tumbukan yang datang itu padu dan kuat. Tetapi, ia tumbang kerana tumbukan itu datang di saat ia hampir-hampir rebah kerana sudah begitu tenat dan nazak.
Inilah kesimpulan dari pengamatan terhadap sejarah kejatuhan sesebuah tamadun manusia.
Maka, tidak hairanlah bila al-Marhum Syeikh Muhammad al-Ghazali mengatakan, yang menjatuhkan kerajaan Bani Abbasiah (750-1258M) pada tahun 1258M bukannya tentera Monggol.
Tetapi, yang menghancurkan pusat tamadun Islam itu ialah istana-istana yang subur dengan dosa dan kemungkaran.
Demikian juga Kerajaan Islam Andalusia (756-1492M). Yang melenyapkannya bukan tentera Salib.
Tetapi, yang menghancurkannya ialah kelompok umat Islam yang hidup bermewah-mewah dan bersenang lenang (lihat Dustur al-Wehdah al-Thaqafiyyah hlm.13).
Bagi al-Ghazali, peruntuh sebenar kedua-dua pusat tamadun Islam zaman silam itu ialah ‘wabak’ kepincangan akhlak dan jati diri. Ia membarah dalam jiwa umat Islam di zaman itu.
Dalam lain perkataan, peruntuhnya ialah umat Islam itu sendiri!
Ubah persepsi
Pada titik ini, nyata sekali  keperluan dirombak persepsi sebahagian umat Islam terhadap sebab-sebab kejatuhan tamadun. Pandangan yang melihat serangan bersenjata dari luar sebagai satu-satunya ancaman kepada kelangsungan tamadun bangsa, mesti dihapuskan.
Demikian juga pemikiran yang melihat satu-satunya jaminan bagi kesinambungan tamadun ialah persiapan rapi menghadapi ancaman musuh dari luar. Ia juga mesti dibasmi.
Umat Islam perlu ‘dikejutkan’ bahawa asakan luaran hanyalah ‘siri terakhir’ kepada  kisah kejatuhan tamadun silam mereka yang beratus-ratus episod itu.
Mereka perlu disedarkan bahawa ‘episod pertama’ kisah kejatuhan tamadun silam mereka bermula dari dalam. Apabila ia begitu tenat dan hampir tumbang, di saat itulah musuh mengambil peluang.
Dengan hanya satu ‘tumbukan’, ia rebah dan hancur.
Kesedaran akan hakikat ini akan melahirkan warga yang berwatak jaga dan peka. Iaitu jaga dan peka terhadap sebarang kepincangan atau penyelewengan dalam negara.
Ia akan menjadikan kesejahteraan jiwa, akal dan rohani masyarakat dari segala ‘wabak perosak’, satu keutamaan di sisi setiap warganegara.
Sejarah tidak pernah jemu merakamkan, jika dalaman ummah kuat dan sejahtera dari sebarang ‘wabak’ atau ‘penyakit’, serangan dari luar sukar memberi kesan.
Jadi, kita boleh bersetuju dengan Syeikh Yusuf al-Qardhawi  yang mengatakan, “saya tidak bimbang dengan ancaman kuasa asing yang sentiasa mengintai mencari peluang terhadap kebangkitan Islam.
Saya juga tidak bimbang dengan kuasa dalaman yang memerintah. Ini kerana, gerakan Islam akan mampu bertahan dan berdiri teguh menghadapi semua itu.
Seringkali gerakan Islam diserang, tetapi ia mampu berdiri teguh di hadapan serangan tersebut, dan berjaya melepasi dugaan dalam keadaan gagah dan sabar...
Tetapi, menurut Qardhawi, “...apa yang saya bimbangkan ialah suasana dalaman kebangkitan Islam itu sendiri...saya bimbang dengan pelbagai aliran pemikiran yang terdapat di dalamnya”(lihat Sohwah Islamiah Baina al-Amal Wa al-Mahazir hlm 31-32).
Apa yang menggusarkan beliau ialah penyakit dalaman yang membiak dalam tubuh gerakan Islam seperti ekstrimisme, perpecahan, kegelojohan dan ‘kelarutan’ dalam politik (lihat hlm32-41)
Telusurilah jejak sejarah. Amati faktor kejatuhan mana-mana tamadun atau apa jua organisasi. Samada di zaman moden atau di zaman silam, kesemuanya roboh dengan mudah tanpa dapat dikekang bilamana dalamannya dijangkiti ‘wabak’.
Kesimpulannya, kesejahteraan dalaman ummah dari segala gejala atau ‘wabak perosak’, adalah soal hidup mati tamadun bangsa. Ia perkara teras dan tunjang bagi keutuhan tamadun dan peradaban.
Mereka yang membiarkan, atau memberi saham kepada terungkainya akhlak dan runtuhnya jati diri umat, sebenarnya telah membawa ‘wabak’ yang ‘mereputkan’ teras dan tunjang tamadun bangsa.