Monday, 15 August 2011

Berbuka setelah matahari terbenam kemudian muncul kembali : Ali Jum'ah ada jawapannya!



Syaikh Ali Jum'ah

Kalau di zaman dahulu, mustahil ada yang percaya matahari yang terbenam, boleh muncul kembali beberapa minit kemudian.

Tapi, pada zaman sains dan teknologi yang canggih ini, banyak yang dahulunya mustahil, menjadi realiti.

Persoalannya, jika seseorang itu melihat dengan yakin matahari telah terbenam, lalu dia berbuka puasa. Tapi, sebaik sahaja dia berbuka, dia melihat matahari yang tadinya telah terbenam, muncul kembali.

Apakah sah puasanya itu? Atau dia wajib mengqadhanya?

Kejadian 'pelik' ini pernah dialami oleh seseorang. Beliau kemudiannya bertanya al-Allamah Syaikh Ali Jum'ah hafizahullah.

Orang tersebut menceritakan pengalamannya menaiki kapal terbang pada bulan Ramadhan. Setelah melihat matahari terbenam melalui tingkap kapal terbang, dia terus berbuka.

Selang beberapa minit dia berbuka, dia melihat matahari muncul kembali. Ini berlaku kerana pergerakan kapal terbang lebih laju daripada putaran bumi.

Kelajuan pergerakan membolehkan kapal terbang sampai dengan cepat ke kawasan yang masih belum terbenam matahari.

Menjawab persoalan itu, al-Allamah Syaikh Ali Jum'ah memfatwakan, puasanya sah kerana dia telah berbuka setelah terbenam matahari.

Adapun kemunculan semula matahari disebabkan kelajuan pergerakan pesawat, ia tidak memberi apa-apa kesan. (Rujuk : http://www.djazairess.com/elhiwar/34907

Semoga Allah memelihara dan memberikan kekuatan dan kesihatan kepada al-Allamah Ali Jum'ah...

Dakwah 'Pak Cik Ibrahim' : Tiada lagi keuzuran buatmu...

Di suatu tempat di Perancis, hampir 50 tahun yang lampau, hidup seorang tua berbangsa Turki. Berusia 50 tahun. Namanya Pak Cik Ibrahim.

Beliau berniaga di sebuah kedai yang terletak di sebuah bangunan yang mana salah satu unitnya didiami oleh sebuah keluarga Yahudi.

Keluarga Yahudi ini mempunyai seorang anak lelaki bernama Jad, berumur 7 tahun. Menjadi kebiasaan Jad datang ke kedai Pakcik Ibrahim setiap hari untuk membeli keperluan harian.

Menjadi tabiat Jad, setiap kali dia mahu keluar dari kedai Pakcik Ibrahim setelah selesai membeli, dia akan mengambil kesempatan mencuri seketul coklat.

Suatu hari, ketika keluar dari kedai Pakcik Ibrahim, Jad terlupa mencuri coklat seperti kebiasaannya. Lantas Pakcik Ibrahim memanggilnya dan memberitahu bahawa dia terlupa mengambil seketul coklat di kedainya, seperti yang dilakukannya setiap hari.

Persahabatan dan mahabbah

Jad merasa sangat takut kerana mula menyedari perbuatannya mencuri coklat setiap hari, sebenarnya telah lama diketahui oleh Pakcik Ibrahim. Dia langsung tidak menyangka Pakcik Ibrahim mengetahui perbuatannya itu.

Jad lantas merayu Pakcik Ibrahim supaya memaafkannya. Dia juga berjanji tidak akan mencuri coklatnya lagi.

"Janganlah kamu berjanji tidak akan mencuri sesuatu dalam hidup kamu", kata Pakcik Ibrahim dengan lembut. "Setiap hari, ketika kamu hendak keluar dari kedai ini, ambillah seketul coklat. Pakcik berikan kepada kamu", sambung Pakcik Ibrahim.

Jad setuju dengan kata-kata Pakcik Ibrahim itu dan dia sangat gembira.

Setelah beberapa tahun berlalu, Pakcik Ibrahim akhirnya menjadi seperti seorang ayah, kawan dan ibu bagi Jad, seorang kanak-kanak Yahudi. Apabila Jad menghadapi masalah, dia akan pergi menemui Pakcik Ibrahim dan menceritakan masalahnya kepada lelaki tua itu. Seorang lelaki tua yang bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi.

Menjadi kebiasaan Pakcik Ibrahim, apabila Jad selesai menceritakan masalahnya, beliau akan mengeluarkan sebuah buku daripada laci yang terdapat di kedainya. Beliau akan memberikan buku itu kepada Jad dan memintanya membuka buku tersebut secara rambang.

Selepas Jad membuka buku itu, Pakcik Ibrahim akan membaca dua muka surat buku tersebut yang dibuka oleh Jad. Selepas membacanya, Pakcik Ibrahim menutup buku itu dan terus menyelesaikan masalah yang dihadapi Jad.

Hasil penyelesaian yang diberikan Pak Cik Ibrahim, Jad keluar dari kedainya dalam keadaan kerunsingannya hilang, jiwanya tenang dan masalahnya selesai.

Selepas 17 tahun

Beberapa tahun terus berlalu. Namun, beginilah keadaan Jad dan Pakcik Ibrahim, seorang muslim berbangsa Turki, yang telah lanjut usia dan tidak berpelajaran tinggi.

Selepas 17 tahun, Jad telah menjadi seorang pemuda berusia 24 tahun, sementara Pakcik Ibrahim pula berusia 67 tahun. Dalam usia itu, Pakcik Ibrahim meninggal dunia.

Sebelum meninggal, beliau meninggalkan sebuah peti untuk anak-anaknya. Beliau meletakkan di dalam peti itu, buku yang selalu dibacanya di hadapan Jad sebelum memberikan cadangan penyelesaian masalah yang dihadapi Jad.

Pakcik Ibrahim mewasiatkan anak-anaknya supaya memberikan buku itu kepada Jad selepas kematiannya sebagai hadiah darinya kepada Jad, seorang pemuda Yahudi.

Jad mengetahui tentang kematian Pakcik Ibrahim ketika anak-anaknya datang menyampaikan peti kepadanya yang diwasiatkan oleh Pakcik Ibrahim. Jad sangat sedih dan menekup mukanya kerana sangat sedih disebabkan Pakcik Ibrahim merupakan teman dan tempat dia mengadu masalah sebelum ini.

Apakah buku itu?

Hari-hari terus berlalu. Suatu hari, Jad menghadapi masalah. Lantas, beliau teringatkan Pakcik Ibrahim yang merupakan tempat beliau mengadu masalah semasa hayatnya.

Bila teringatkan Pakcik Ibrahim, Jad teringat  peti yang diwasiatkan Pakcik Ibrahim kepadanya. Jad terus mendapatkan peti tersebut lantas membukanya. Tiba-tiba dia mendapati di dalamnya buku yang selalu dibuka oleh Pakcik Ibrahim, selepas setiap kali dia menceritakan masalahnya kepada kepada lelaki tua berbangsa Turki itu.

Jad terus membuka buku tersebut tetapi ia ditulis dalam Bahasa Arab yang tidak difahaminya. Dia terus pergi menemui kawannya yang berasal dari Tunisia dan memintanya membaca dua muka surat daripada buku tersebut. Kawannya itu terus membacanya.

Setelah Jad menceritakan masalahnya kepada pemuda Tunisia itu, kawannya itu berjaya mendapatkan penyelesaian bagi masalah Jad.

Jad sangat terkejut lantas bertanya, apakah buku ini?. Kawannya menjawab, buku ini adalah al-Quran, iaitu kitab orang-orang Islam.

Jad bertanya lagi, bagaimana dia boleh menjadi seorang Islam? Kawannya menjawab, dengan mengucap dua kalimah syahadat dan menurut Syariat Islam. Jad terus berkata asyhadu alla ila ha illallah wa anna Muhammadan rasulullah!.

Jad seorang Islam

Akhirnya Jad memeluk Islam dan memilih nama Jadullah al-Qur'ani sebagai nama barunya. Beliau memilih nama ini kerana memuliakan kitab al-Quran yang mengagumkan dan beliau telah memutuskan untuk menginfakkan apa yang dimilikinya dalam hidup ini untuk berbakti kepada kitab yang suci ini.

Jad mempelajari al-Quran dan akhirnya berjaya memahaminya. Beliau mula berdakwah kepada Islam di Eropah sehingga ramai yang masuk Islam di tangan beliau, iaitu seramai 6000 orang Yahudi dan Kristian.

Pada suatu hari, semasa Jad membelek-belek buku-buku lamanya, beliau membuka al-Quran yang dihadiahkan oleh Pakcik Ibrahim.

Tiba-tiba beliau mendapati di dalamnya, iaitu di muka depan, peta dunia dan di atas benua Afrika yang terdapat dalam peta itu, terdapat tandatangan Pakcik Ibrahim. Sementara di bawah peta benua Afrika itu tertulis ayat suci al-Quran yang bermaksud, "serulah kepada jalan tuhanmu dengan hikmat dan nasihat yang baik" (Al-Isra' : 125).

Jad menyedari dan memahami bahawa ini adalah wasiat daripada Pakcik Ibrahim kepadanya. Jad terus memutuskan untuk melaksanakan wasiat itu.

Jad akhirnya meninggalkan Eropah dan pergi ke berdakwah ke Kenya, selatan Sudan, Uganda dan negara-negara yang berjiran dengannya. Hasilnya, daripada suku Zulu sahaja, seramai 6 juta memeluk Islam di tangannya!

Kematian Jad al-Qur'ani

Jadullah al-Qurani, muslim sejati, pendakwah yang diperkuatkan dengan ilham ilahi, telah menghabiskan masa semasa Islamnya selama 30 tahun untuk berdakwah kepada Allah di ceruk Afrika.

Hasilnya berjuta-juta manusia memeluk Islam di tangannya. Beliau meninggal pada tahun 2003 akibat penyakit yang dideritainya semasa berdakwah di Afrika. Waktu itu beliau berusia 54 tahun. 

Cerita belum berakhir

Ibu Jad seorang yahudi yang taassub dan seorang pensyarah universiti. Beliau yang merupakan seorang pendidik, memeluk Islam pada tahun 2005, iaitu dua tahun selepas kematian anaknya, Jad. Dia memeluk Islam semasa berumur 70 tahun.

Dia menceritakan bahawa dia telah berusaha selama 30 tahun untuk mengembalikan anaknya kepada agama Yahudi. Dengan pengalaman, pendidikan dan kemampuan mempengaruhi yang dimilikinya selaku seorang pendidik, dia tetap gagal memujuk anaknya kembali kepada agama asal, sedangkan Pakcik Ibrahim, seorang muslim yang tidak berpendidikan tinggi, seorang tua, berjaya memaut hati anaknya kepada Islam!

Kenapa Jad memeluk Islam

Jadullah al-Qur'ani menceritakan, Pakcik Ibrahim, selama 17 tahun tidak pernah berkata kepadanya, "wahai orang kafir" atau "hei orang Yahudi". Beliau juga tidak pernah berkata kepadanya, "masuklah Islam".

Bayangkan selama 17 tahun, beliau tidak pernah bercakap dengan Jad tentang Islam atau agama Yahudi. Seorang tua yang tidak berpendidikan, tahu bagaimana menjadikan hati kanak-kanak kecil ini terpaut kepada al-Quran!

Ketika ditanya dalam satu pertemuan tentang perasaannya apabila berjuta-juta orang memeluk Islam di tangannya, Jadullah al-Qur’ani menjawab bahawa beliau tidak merasa ada kelebihan atau merasa bangga. Menurutnya, dia hanya membalas satu juzuk daripada kebaikan Pakcik Ibrahim kepadanya.

Tangan yang bersalam dengan tangan Jad

Dr. Sofwat Hijazi menceritakan, dalam satu persidangan di London berkenaan Darfur dan kaedah membantu orang-orang Islam di sana daripada bahaya kristianisasi dan peperangan, beliau menemui seorang ketua Kabilah Zulu yang menetap di Darfur.

Semasa berbual dengan ketua kabilah itu, Dr. Sofwat Hijazi bertanya apakah beliau mengenali Dr. Jadullah al-Qur'ani? Bila ditanya sedemikian, ketua kabilah itu terus bangun dan bertanya Dr. Sofwat samada beliau mengenali atau tidak Dr. Jadullah al-Qur'ani. Dr. Sofwat  menjawab, "ya, saya mengenalinya dan saya pernah bertemu dengannya di Switzerland. Dia mendapatkan rawatan di sana".

Ketua kabilah tadi terus  memegang tangan Dr. Sofwat lantas menciumnya dengan penuh perasaan. Lalu Dr. Sofwat berkata, "apa yang tuan lakukan? Saya tidak berbuat apa-apa yang menyebabkan saya berhak dilayan begini!".

Ketua kabilah menjawab, "saya tidak mencium tangan tuan, sebaliknya saya mencium tangan yang bersalam dengan tangan Dr. Jadullah al-Qur'ani!".
Dr. Sofwat bertanya lagi, "adakah tuan masuk Islam di tangan Dr. Jadullah". Beliau menjawab, “tidak. Saya masuk Islam di tangan orang yang masuk Islam di tangan Dr. Jadullah al-Qur'ani!".

Subhanallah...!

Bayangkanlah berapa ramai lagi yang akan masuk Islam di tangan orang-orang yang masuk Islam di tangan Jadullah al-Qur'ani?

Pahala adalah untuk Jadullah dan orang yang menjadi sebab Jadullah memeluk Islam, iaitu Pakcik Ibrahim yang meninggal dunia sejak 30 tahun yang lalu.

Di sini, berakhirlah cerita.

Sesungguhnya ia sebuah kisah yang penuh dengan ibrah dan pengajaran...saya serahkan kepada semua pembaca budiman untuk mengcungkil dan mengutipnya...

Saturday, 13 August 2011

Tanggapi Wahabi dengan adil

Kita diajar berlaku adil walau pun terhadap orang yang dibenci atau musuh.

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ ۚ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ
“Dan janganlah sampai kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih dekat kepada taqwa”. Surah al-Maidah, ayat 8.
Sesiapa yang mendalami pengajian akidah Islam, maklum bahawa aliran Wahabiyyah atau Salafiyyah, berbeza dengan jumhur umat Islam sejak dahulu hingga sekarang, dalam beberapa masalah cabang (furuk) berkaitan akidah.
Memang benar mereka mendakwa, pandangan mereka yang berbeza dengan jumhur umat Islam itu, adalah pandangan yang benar. Sementara pandangan jumhur umat Islam yang mewakili aliran Asya’irah, dalam beberapa masalah tadi, adalah bertentangan dengan pandangan sebenar Islam.
Dalam buku Fatawa al-Aqidah, tokoh besar Salafiyyah masa kini, al-Marhum Syaikh Uthaimin mengatakan,  pengikut aliran Asya’irah secara umumnya adalah Ahli Sunnah Wal Jama’ah.
Namun, dalam bab asma’ dan sifat (bab nama-nama dan sifat Allah), mereka bukan Ahli Sunnah. Demikian fatwa Syaikh Uthaimin rahimahullah. Maknanya, dalam bab asma’ dan sifat, aliran Asya’irah bukan Ahli Sunnah.
Oleh sebab itu, memang benar mereka menyekat penyebaran fahaman Asya’irah-yang berkaitan dengan beberapa perkara berkaitan akidah tadi-di Arab Saudi yang menjadi ‘markas’ aliran Salafiyyah itu.
Lebih daripada itu, mereka turut menyekat pandangan yang berbeza dengan pegangan mereka, biar pun ia hanya sekadar berkaitan dengan hukum hakam fiqh. Seperti buku al-Halal Wa al-Haram, karangan ulama terkemuka zaman kini, Syaikh al-Qaradhawi.
Ia pernah diharamkan di Arab Saudi kerana banyak hukum hakam fiqh dalam buku tersebut, bercanggah dengan pegangan ulama-ulama di Arab Saudi. Seperti hukum mendengar nyanyian dan bermain alat muzik. Qaradhawi mengharuskannya. Sedang mereka mengharamkannya.
Tidak dapat dinafikan juga, bahawa di kalangan mereka ada yang mudah menyesatkan umat Islam lain yang berbeza pandangan dengan mereka, biarpun dalam perkara-perkara furuk (cabang) yang dibenarkan perselisihan berlaku.
Memang benar mereka berusaha menyebarkan pegangan mereka  yang berbeza dengan jumhur umat Islam itu ke negara-negara umat Islam yang lain.
Ringkasnya, pandangan mereka berhubung beberapa perkara cabang berkaitan akidah, adalah berbeza dengan pandangan dan pegangan majoriti umat Islam sedunia, termasuklah umat Islam di Malaysia.
Justeru, sesiapa pun boleh bersetuju bahawa penyebaran ajaran Salafiyyah dalam masyarakat Islam di Malaysia, boleh mencetuskan ketegangan dan perbalahan. Tambahan pula, umat Islam di Malaysia telah menerima mazhab Asya’irah dalam soal akidah sejak zaman berzaman.
Bahkan, boleh dikatakan bahawa sejak orang Melayu memeluk Islam di zaman lampau, mereka tidak kenal aliran akidah yang lain melainkan aliran Asya’irah.
Ini adalah beberapa fakta yang dimaklumi oleh sesiapa saja yang mendalami pengajian akidah Islam dan mengikuti perkembangan pemikiran akidah umat Islam.
Bersikap adil terhadap Salafiyyah
Namun, semua ini tidak boleh menjadi alasan bagi sesiapa juga untuk tidak berlaku adil kepada aliran Salafiyyah ini.
Kesemua fakta yang dinyatakan tadi adalah benar.
Namun, adalah bertentangan dengan prinsip keadilan, perbuatan menuduh aliran ini sebagai bertujuan mengkucar kacirkan umat Islam di negara ini melalui penubuhan sebuah universiti antarabangsa di sini.
Tuduhan ini memberikan gambaran bahawa pendokong aliran ini mempunyai niat jahat terhadap umat Islam di sini.
Tuduhan ini dibimbangi termasuk dalam kategori buruk sangka terhadap sesama Islam yang ditegah al-Quran.
Demikian juga tuduhan bahawa mereka hanya bertopengkan al-Quran dan Sunnah bagi tujuan menyebarkan fahaman Salafiyyah di negara ini.
Tuduhan-tuduhan ini sangat tidak wajar kerana ia bercanggah dengan kedudukan sebenar isu ‘penyebaran aliran Salafiyyah’ ini di Malaysia.
Realiti sebenar penyebaran Salafiyyah di Malaysia
Di atas andaian bahawa dakwaan mereka menyebarkan fahaman Salafiyyah di sini adalah benar, mereka sebenarnya hanya bertujuan menyampaikan dakwah Islam. Iaitu menyampaikan ajaran Islam yang mereka yakini betul melalui kefahaman mereka terhadap nas-nas al-Quran dan hadis.
Menyampaikan dakwah Islam. Bukan mengkucar kacirkan ummah!
Pada mereka, kefahaman akidah mereka yang berbeza dengan jumhur umat Islam itu (dalam beberapa perkara sahaja), adalah akidah yang benar. Akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w dan dipegang oleh para sahabat dan tabi’in. Lantas, menjadi tanggungjawab mereka menyebarkan akidah yang benar.
Inilah titik tolak usaha penyebaran ajaran Salafiyyah di negara. Melaksanakan tanggungjawab dakwah. Bukan merencanakan rancangan jahat yang bertopengkan al-Quran dan Sunnah!
Tapi malangnya, penyebaran akidah Salafiyyah di negara ini boleh mencetuskan ketegangan dan perbalahan yang tidak berkesudahan. Ini disebabkan aliran itu bertentangan dengan aliran Asya’irah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini sejak zaman berzaman.
Selain itu, pendekatan mereka juga menimbulkan masalah. Secara umumnya, mereka biasanya tidak meraikan pandangan orang lain. Mereka dilihat beranggapan bahawa pandangan mereka sahaja yang betul. Ini mendorong sesetengah daripada mereka dengan begitu mudah menghukumkan sesat ke atas umat Islam yang berbeza pandangan dengan mereka.
Inilah kedudukan sebenar isu ‘penyebaran ajaran Wahabiyyah’ oleh sebuah universiti antarabangsa di sini. Iaitu usaha dakwah dengan niat murni, tetapi menimbulkan masalah disebabkan realiti semasa yang ada.
Itu sahaja. Inilah kata-kata yang tepat bagi menggambarkan kedudukan sebenar isu ini.

Jadi, tidak timbul soal universiti itu bertopengkan al-Quran dan Sunnah! Tidak berbangkit soal mengkucar kacirkan umat Islam di Malaysia seperti yang digembar gemburkan!

Inilah sikap yang perlu diambil berhubung isu ini kerana-disamping penjelasan di atas-prinsip Islam ialah bersangka baik terhadap saudara seagama yang menunjukkan penampilan yang baik dan tidak diragui.
Maka, sangatlah tepat komen yang diberikan oleh seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap soal-soal keagamaan-bila ditanya tentang penyebaran aliran Wahabi di Malaysia-yang mengatakan “Wahabi tidak sesuai di sini”.
Justeru, tidak perlulah bagi mana-mana pihak melancarkan ‘jihad’ melawan Wahabiyyah di Malaysia yang kini mula wujud dalam bentuk sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini.
Tidak perlu juga dikerah umat Islam di negara ini bangkit mempertahankan akidah Asya’irah di bumi Asya’irah ini!
Keadaan sebenar yang berlaku tidak menuntut semua ini.
Apa yang perlu dilakukan
Apa yang perlu ialah kerajaan menjelaskan kepada universiti terbabit, pendiriannya yang tidak mahu disebarkan ajaran atau aliran lain yang berbeza dengan pegangan umat Islam di sini, demi menjaga keharmonian masyarakat.
Sementelahan pula, apa yang dipegang oleh umat Islam di negara ini adalah pegangan jumhur umat Islam seluruh dunia sejak zaman berzaman.
Kerajaan juga boleh mencadangkan kepada universiti antarabangsa terbabit, supaya memperkenalkan subjek Adab Ikhtilaf, atau adab berbeza pendapat.
Ini bagi mengelakkan para pelajar dididik dengan pendekatan keras yang hanya melihat pandangan yang mewakili aliran Salafiyyah sahaja yang betul, sementara yang lain adalah sesat atau bid’ah. Disamping mendidik mereka menghormati pandangan orang lain.

Jika perlu, kerajaan boleh bawa isu ini ke meja perbincangan yang sihat dan penuh ukhuwwah.
Ini adalah lebih baik dan lebih harmonis daripada apa yang dicadang atau diusahakan pihak-pihak tertentu.

Tuesday, 9 August 2011

Kumpulkan 'bulu burung' atau pelihara lidahmu...

Seorang lelaki menengking seorang sahabatnya.

Akibat emosi yang menguasai diri, beliau menuduh sahabatnya itu dengan tuduhan yang pedih.

Sebaik tiba dirumah dan emosinya kembali tenang, dia mula berfikir.

“Bagaimana kata-kata tadi boleh keluar dari mulutku?”, fikirnya.

“Aku perlu meminta maaf daripada sahabatku”, getus hati kecilnya.

Tanpa berlengah, dia terus pergi menemui sahabatnya semula. Dalam keadaan yang sangat malu, dia berkata, “maaf. Kata-kata tadi telah keluar dari mulut ku secara spontan. Maafkan aku”, ujarnya dengan penuh perasaan.

Sahabatnya itu menerima permohonan maafnya tanpa banyak bicara.

Namun, jiwa si lelaki tadi masih belum tenang. Dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa kata-kata kesat tadi boleh ‘melantun’ dari mulutnya.

Dia lantas pergi menemui penghulu kampungnya bagi menenangkan gelojak jiwanya.

Sambil mengakui apa yang dilakukannya adalah salah, dia berkata, “tuan, saya mahu jiwa saya tenang. Saya masih tidak percaya bahawa kata-kata kesat itu boleh keluar dari mulut saya”, katanya.

Penghulu berkata kepadanya, “jika kamu mahu jiwa kamu tenang, isikan bekas anak panah kamu dengan bulu-bulu burung. Kemudian, lewatilah setiap rumah di kampung ini dan letakkan sehelai bulu burung di depan setiap rumah”.

Si lelaki melakukan sepenuhnya apa yang disarankan penghulu.

Setelah selesai melakukan apa yang disuruh, dia pergi menemui semula penghulu dengan girang sambil berkata, “saya telah buat apa yang tuan suruh”.

Penghulu berkata, “pergi sekali lagi, dan kumpul semua bulu-bulu tadi”.

Tanpa membantah, si lelaki terus beredar untuk mengumpul semula bulu-bulu burung yang telah diletakkannya di hadapan setiap rumah di kampungnya.

Malangnya, dia mendapati semua bulu burung tersebut telah diterbangkan angin kecuali beberapa helai sahaja.

Dia sangat sedih dan terus pergi menemui penghulu. 

Penghulu lantas menitipkan kepadanya satu pelajaran dengan berkata, “setiap perkataan yang kamu lafazkan, sama seperti sehelai bulu burung yang kamu letakkan di hadapan rumah sahabat kamu.

Alangkah mudahnya kamu melafazkannya, semudah meletakkan sehelai bulu burung di hadapan sebuah rumah.

Tetapi, alangkah sukarnya untuk kamu menarik balik perkataan kamu itu, sebagaimana sukarnya kamu mengumpul kembali bulu-bulu burung yang telah ditiup angin”.

Justeru, tiada pilihan bagi kita...

Samada menahan lidah, atau ‘mengumpul bulu-bulu burung’ yang telah ditiup angin...

Monday, 8 August 2011

Darul Ifta’ Mesir : Penduduk UK boleh berbuka sebelum tenggelam matahari!

Ada satu persoalan menarik tentang puasa.
Persoalan ini berkaitan secara langsung dengan umat Islam di sesetengah Negara Barat. Iaitu, waktu berpuasa yang menjangkau hingga ke 18 jam sehari!
Persoalannya, bagaimanakah umat Islam di negara tersebut berpuasa?
Jika mereka wajib berpuasa seperti biasa, iaitu semenjak terbit fajar hingga tenggelam matahari, iaitu selama 18 jam, mampukah mereka berpuasa selama itu?
Jika mereka tidak wajib berpuasa selama itu, bolehkah mereka berbuka sebelum tenggelamnya matahari?
Persoalan ini telah diajukan oleh seorang umat Islam yang tinggal di United Kingdom (UK) kepada Darul Ifta’, Mesir.
Rujukan kepada Mekah
Menurut penanya, di UK pada tahun 2011 ini, waktu siang hari menjangkau ke sekitar 19 jam. Ini bermakna, mengikut perkiraan biasa, penghuninya terpaksa berpuasa selama hampir 19 jam sehari! 
Menjawab persoalan itu, Sekretariat Fatwa Darul Ifta’ Mesir memfatwakan, bahawa-dalam keadaan ini-puasa dilakukan selari dengan tempoh masa berpuasa di Mekah al-Mukarramah.
Tempoh masa berpuasa di Mekah dijadikan rujukan kerana Mekah merupakan Ummul Qura (Ibu kepada seluruh negeri).
Oleh itu, penduduk di UK mesti memulakan puasa semenjak terbitnya fajar di UK. Mereka hendaklah terus berpuasa mengikut berapa jam penduduk Mekah berpuasa pada hari tersebut.
Ini bermakna, jika fajar di UK terbit pada jam 3.00 pagi, dan penduduk Mekah berpuasa selama 15 jam pada hari itu, maka waktu berbuka umat Islam di UK ialah pada jam 6.00 petang (3.00 pagi + 15 jam). Iaitu setelah berlalunya 15 jam berpuasa.
Dalam erti kata lain, umat Islam di UK tidak perlu menunggu sehingga tenggelamnya matahari untuk berbuka puasa.
Mereka sebaliknya boleh berbuka, apabila mereka telah berpuasa dalam tempoh yang sama dengan tempoh penduduk Mekah berpuasa (iaitu selama 15 jam sebagai contoh).
Asas kepada fatwa ini ialah berpuasa selama 18 jam boleh memudaratkan manusia, seperti yang diperakui oleh pakar.
Untuk beramal dengan fatwa ini, umat Islam di negara seperti UK, perlulah mengetahui berapa jamkah penduduk Mekah berpuasa.
Seperkara lagi, difahami daripada teks fatwa ini, fatwa yang dinyatakan di atas adalah berkaitan dengan tempat yang mana waktu berpuasanya menjangkau ke 18 jam atau lebih.

Sunday, 7 August 2011

Batalkah solat orang yang terlelap?

Seorang sahabat saya bertanya tentang hukum orang terlelap dalam solat. Adakah solatnya batal atau tidak?

Alhamdulillah, persoalan ini telah diperkatakan Imam Mawardi dalam karya beliau, al-Hawi al-Kabir.

Dalam karyanya itu, beliau menyebut dua keadaan orang yang terlelap dalam solat.

Pertama : Terlelap dalam keadaan duduk. Iaitu semasa duduk antara dua sujud atau ketika membaca tahiyyat. Terlelap dalam keadaan ini, tidak membatalkan solat. Wuduk juga tidak terbatal.

Kedua : Terlelap dalam keadaan selain duduk. Samada ketika berdiri, rukuk atau sujud.

Imam Syafie dalam qaul jadid memfatwakan, terlelap dalam keadaan selain duduk, membatalkan solat dan juga wuduk.

Dalil

Dalil yang menunjukkan bahawa terlelap dalam solat ketika berdiri, rukuk atau sujud, membatalkan solat ialah :

1. Kaedah yang menyatakan :

  ما كان حدثا في غير الصلاة كان حدثا في الصلاة

Terjemahan : Apa yang merupakan hadas (yang membatalkan wuduk) di luar solat, adalah hadas di dalam solat.

Tidur atau terlelap dalam keadaan selain duduk dan melentang, atau yang dinamakan sebagai 'tidur dalam keadaan punggung tidak menekup lantai', membatalkan wuduk.

Wuduk dikira batal kerana sesuatu boleh terkeluar dari punggung semasa tidur, tanpa disedari.

Jika tidur dalam keadaan ini membatalkan wuduk semasa di luar solat, maka ia juga membatalkan wuduk jika ia berlaku dalam solat.

Bila wuduk terbatal, dengan sendirinya solat turut terbatal sama.

2. Hadis yang berbunyi :

 قيل لرسول الله صلى الله عليه وسلم : إنك تنام في صلاتك فقال صلى الله عليه وسلم :  تنام عيناي ولا ينام قلبي

Maksudnya : Dikatakan kepada Rasulullah s.a.w, "sesungguhnya Tuan pernah tidur dalam solat". Maka Baginda s.a.w bersabda. "(Sungguh pun) kedua-dua mataku tidur, (tetapi) hatiku tidak tidur".

Menurut Imam Mawardi, hadis ini menunjukkan bahawa 'ketiduran hati', iaitu tidur dengan makna yang kita fahami, membatalkan wuduk.

Persoalan berkaitan

Memanjangkan rukun solat yang pendek membatalkan solat. Rukun solat yang pendek seperti iktidal dan duduk antara dua sujud.

Kalau sekadar terlelap beberapa saat semasa duduk antara dua sujud, solat tidak terbatal. Ini kerana, ia tidak menyebabkan rukun solat yang pendek ini menjadi panjang.

Persoalan timbul, jika seseorang tertidur selama 10 minit (sebagai contoh)ketika duduk antara dua sujud. Apakah solatnya terbatal, disebabkan rukun solat yang pendek telah menjadi panjang?

Jawapannya ialah, solatnya tidak batal meskipun tidur dalam tempoh yang lama ketika duduk antara dua sujud yang merupakan rukun solat yang pendek.

Ini kerana, yang membatalkan solat ialah sengaja memanjangkan rukun solat yang pendek. Adapun memanjangkannya dengan tidak sengaja, ia tidak membatalkan solat. 

Syaikh Arsyad al-Banjari mengatakan, ketika menyebut perkara-perkara yang membatalkan solat, "(perkara) ketiga (yang membatalkan solat ialah), sengaja memanjangkan rukun yang semestinya pendek, seperti iktidal dan duduk antara dua sujud".

Rujuk Sabilal Muhtadin, edisi rumi, hlm. 435.

Lebih jelas lagi ialah kenyataan pengarang Hasyiah Qalyubi Wa Umairah.

Disebut dalam karya itu (Hasyiah Qalyubi Wa 'Umairah, jilid 3, hlm.16):

 ( ولو سكت طويلا ) ولو عمدا بلا قصد قطع لم تبطل ومثله نوم ممكن ، ولو في ركن قصير ، إذا لم يتعمده فيه

Terjemahan : "Jika dia (orang yang bersolat) senyap (dalam tempoh) yang panjang, meski pun dengan sengaja, tanpa qasad memutuskan (solat), tidak batal (solatnya).

Dan (sama) sepertinya (iaitu senyap yang panjang dengan sengaja dari segi tidak membatalkan solat ialah) tidur yang kejap (kedudukan punggung pada lantai), walaupun (tidur) pada rukun yang pendek jika dia tidak menyengajakannya".

Kesimpulan

Kesimpulannya, kebatalan solat disebabkan tertidur atau terlelap, bergantung kepada masa terlelap.

Jika terlelap ketika punggung tidak menekup lantai atau anggota tubuh, iaitu ketika berdiri, rukuk dan sujud, maka solat terbatal meski pun terlelap hanya sekejap.

Sebaliknya, jika terlelap ketika punggung menekup lantai atau anggota tubuh, iaitu ketika duduk antara dua sujud dan membaca tahiyyat, solat tidak terbatal, walaupun terlelap dalam tempoh yang lama jika ia tidak disengajakan.

والله أعلم بالصواب

Thursday, 4 August 2011

Rujukan 'kemesraan' Salaf dengan al-Quran di bulan Ramadhan

Ada seorang sahabat FB saya bertanyakan tentang rujukan catatan saya sebelum ini. Iaitu catatan berkenaan ‘kemesraan’ para salaf dengan al-Quran. Rujukan kepada catatan itu tidak sempat disertakan disebabkan kesuntukan masa.
Maklumat berkenaan kesungguhan para salaf dan para ulama dahulu kala membaca al-Quran, boleh didapati dalam sekurang-kurang 2 kategori karya.
Kategori pertama, kitab-kitab Hadis. Ia seperti Sunan Ibnu Majah, Sahih Bukhari dan Sunan Abu Daud. Maklumat boleh didapati dalam bab في كم يقرأ القرآن dalam kitab-kitab yang dinyatakan.
Dalam kitab hadis yang lain, seperti Sunan al-Darimi, ada satu bab bertajuk باب في ختم القرآن  .Di bawah bab ini beliau merekodkan tentang Said bin Jubair r.a iaitu :
عن سعيد بن جبير : انه كان يختم القرآن كل ليلتين
Terjemahan : Dari Sa’id bin Jubair [beliau menceritakan] bahawa beliau mengkhatam al-Quran setiap dua malam.
Dalam Syu’abul Iman karya Imam Bayhaqi pula disebutkan bahawa Ibnu Mas’ud r.a khatam al-Quran setiap 3 hari (jil.5, ms.188).
Manakala Abdullah bin Amru r.a pula pernah mengkhatam al-Quran setiap hari. Namun beliau ditegah berbuat demikian oleh Rasulullah s.a.w. Beliau menceritakan :
جمعت القرآن فقرأته كله في ليلة ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إني أخشى أن يطول عليك الزمان، وأن تمل ، فاقرأه في شهر، فقلت: دعني أستمتع من قوتي وشبابي قال : فاقرأه في عشرة ، قلت : دعني أستمتع من قوتي وشبابي، قال: فاقرأه في سبع، قلت: دعني أستمتع من قوتي وشبابي فأبى.
Terjemahan : Aku telah menghafal al-Quran, lalu aku membacanya keseluruhannya dalam satu malam. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda, “sesungguhnya aku bimbang lama kelamaan engkau akan jemu [membaca al-Quran].
Oleh itu bacalah ia (yakni khatamlah ia) dalam masa sebulan”. Aku berkata, “biarkanlah aku menikmati kekuatan[tubuhku] dan [usia] mudaku [dengan membaca al-Quran]”. Nabi s.a.w menjawab, “oleh itu bacalah ia (yakni khatamlah ia) dalam [masa] sepuluh [hari]”.
Aku berkata [lagi], “biarkanlah aku menikmati kekuatan [tubuhku] dan [usia] mudaku [dengan membaca al-Quran]”. Nabi s.a.w menjawab, “oleh itu bacalah ia (yakni khatamlah ia) dalam [masa] tujuh [hari]”.
Aku berkata, “biarkanlah aku menikmati kekuatan [tubuhku] dan [usia] mudaku [dengan membaca al-Quran], tapi Baginda enggan [mengizinkannya]”.
Hadis ini direkodkan oleh Ibnu Majah dalam Kitab كتاب إقامة الصلاة القرآن  bab  باب في كم يستحب يختم القرآن
Kategori kedua, kitab-kitab berkenaan al-Quran. Ia seperti al-Tibyan Fi Adab Hamalah al-Quran karya Imam Nawawi, Fadhail al-Quran karya al-Faryabi, Fadhail al-Quran karangan Ibnu Kathir dan fadhail al-Quran karya al-Qasim bin Salam.
Sebagi contoh disebutkan di dalam Fadhail al-Quran karya al-Faryabi, tentang seorang sahabat Nabi s.a.w iaitu Sa’ad bin al-Munzir al-Ansari yang mengkhatam al-Quran dalam masa tiga hari.
Di kalangan para sahabat dan tabi’in ada yang mengkhatamnya dalam masa 8, 7, atau 5 hari. Seperti Ubay bin Ka’ab (sekali khatam dalam masa 8 hari), Tamim al-Dari (sekali khatam dalam masa 7 hari) (Rujuk no. hadis : 121), Alqamah (sekali khatam dalam masa 5 hari).
Pernah juga beliau (Alqamah)mengkhatamnya dalam masa sehari, iaitu semasa berada di Mekah(Rujuk no. hadis 124).
Maklumat berkaitan juga boleh didapati Ihya Ulumiddin dalam Bab Adab al-Tilawah.
Gambaran keseluruhan tentang ‘keghairahan’ para salaf membaca al-Quran boleh dilihat dalam kenyataan Imam Nawawi r.a yang menyebut (al-Tibyan Fi Adab Hamalah al-Quran, jil.1, ms.59) :
عن بعض السلف رضي الله عنهم أنهم كانوا يختمون في كل شهرين ختمة واحدة وعن بعضهم في كل شهر ختمة * وعن بعضهم في كل عشر ليال ختمة * وعن بعضهم في كل ثمان ليال وعن الأكثرين في كل سبع ليال * وعن بعضهم في كل ست * وعن بعضهم في كل خمس * وعن بعضهم في كل أربع * وعن كثيرين في كل ثلاث * وعن بعضهم في كل ليلتين * وختم بعضهم في كل يوم وليلة ختمة * ومنهم من كان يختم في كل يوم وليلة ختمتين * ومنهم من كان يختم ثلاثا وختم بعضهم ثمان ختمات أربعا بالليل وأربعا بالنهار فمن الذين كانوا يختمون ختمة في الليل واليوم عثمان بن عفان رضي الله عنه وتميم الداري وسعيد بن جبير ومجاهد والشافعي وآخرون
Terjemahan : [Diriwayatkan] daripada sesetengah para Salaf r.a bahawa mereka mengkhatam [al-Quran] dalam setiap 2 bulan [sebanyak] sekali khatam. [Diriwayatkan] sebahagian [daripada] mereka [ada yang khatam al-Quran] dalam sebulan [sebanyak] sekali khatam. Sesetengah [daripada] mereka [ada yang khatam al-Quran] dalam [masa] setiap 10 malam.
Sesetengah mereka ada yang khatam setiap 8 malam. Kebanyakan mereka [mengkhatamnya] pada setiap 7 malam. Sesetengah mereka [khatam] setiap 6 [hari], sesetengah mereka [ada yang khatam] setiap 5 [hari]. Sesetengah mereka [ada yang khatam] setiap 4 [hari]. Dan ramai [yang khatam] setiap 3 [hari].
Sesetengah mereka [mengkhatamnya] setiap 2 malam. Sesetengah mereka pula khatam [dalam masa] sehari semalam[ sebanyak] sekali khatam. Di kalangan mereka [ada] yang khatam [dalam tempoh] sehari semalam [sebanyak] 2 kali khatam.
Ada juga yang khatam [sebanyak] 3 kali [sehari semalam]. Sesetengah mereka khatam sebanyak 8 kali [dalam masa sehari semalam iaitu] 4 [kali khatam] pada malam hari dan 4 [kali khatam] pada siangnya.
Diantara orang yang khatam [al-Quran sebanyak] sekali khatam [dalam masa] sehari semalam [ialah] Uthman bin Affan r.a, Tamim al-Dari r.a, Sa’id bin Jubair r.a, Mujahid r.a, Imam Syafie r.a dan lain-lain”.
Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua mengikuti perilaku para Salaf radhiyallahu 'anhum. Amin.

Wednesday, 3 August 2011

'Kemesraan' Salaf dengan al-Quran di bulan Ramadhan

Melihat sikap para salaf terhadap al-Quran di bulan Ramadhan, membuatkan diri merasa begitu 'kerdil'.

Apa tidaknya, 'kemesraan' mereka dengan al-Quran di bulan yang mulia ini, kadang-kadang tidak terlintas di fikiran.

Lihat saja Imam Syafie radhiyallahu 'anhu, imam ikutan kita.

Beliau r.a mengkhatam al-Quran pada bulan Ramadhan sebanyak 60 kali! Iaitu 2 kali khatam sehari!

Subhanallah...

Imam Ahmad pula menggandakan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan, melebihi bulan-bulan yang lain.

Pada hari-hari biasa, beliau mengkhatam al-Quran setiap minggu, iaitu sekali khatam dalam masa seminggu. Tapi, apabila masuknya bulan Ramadhan, beliau mengkhatamnya sebanyak 2 kali seminggu. Iaitu sekali pada waktu malam dan sekali pada waktu siang.

Qatadah, mufassir yang besar pun begitu juga. Menjadi kebiasaan beliau, khatam al-Quran setiap 7 hari. Tapi, pada bulan Ramadhan, beliau khatam al-Quran setiap 3 hari. Pada malam 10 terakhir pula, beliau khatam al-Quran setiap malam.
Pada bulan Ramadhan ini, para salaf 'menolak ketepi' kegiatan mereka yang lain bagi berdamping dengan kitabullah.

Imam Malik r.a sebagai contoh, tatkala masuknya bulan Ramadhan, beliau akan menutup kitab-kitabnya. Lebih daripada itu, beliau akan berhenti memberi fatwa pada bulan Ramadhan.

Semuanya demi 'bermesra' dengan al-Quranul Karim.

Demikian juga para ulama hadis yang lain. Sebaik tibanya Ramadhan, di kalangan mereka ada yang 'berehat' dari membaca hadis-hadis Nabi s.a.w.

Sebagai contoh, Imam Zuhri. Beliau mengelak daripada membaca hadis pada bulan Ramadhan bagi memberi tumpuan kepada al-Quran.

Tidak ketinggalan dalam berdampingan dengan al-Quran pada bulan Ramadhan, ialah Amirul Mukminin Fi al-Hadis, Imam Bukhari. Pada bulan Ramadhan, beliau khatam al-Quran sebanyak 30 kali. Iaitu sekali khatam setiap hari.

Imam Sufian al-Thauri juga begitu. Apabila masuknya bulan Ramadhan, beliau meninggalkan segala ibadat sunat lain dan memberikan tumpuan kepada membaca al-Quran.

Sesetengah para salaf mengkhatam al-Quran ketika mereka melakukan qiyam Ramadhan. Sesetengah mereka mengkhatam al-Quran setiap tiga malam. Sebahagian mereka mengkhatamnya setiap 7 malam. Ada juga yang mengkhatamnya setiap 10 malam.

Mereka berhenti membaca hadis...mereka 'berehat' dari memberi fatwa...mereka 'mengetepikan' ibadat-ibadat sunat yang lain...untuk membaca al-Quran.

Jadi, apa halnya dengan kita ini...masih tidak mahu berhenti berbuat perkara yang sia-sia...masih belum mahu berhenti berfikir soal makan dan minum di bulan Ramadhan ini untuk berdampingan dengan al-Quran?

Allahu Akbar!






 
 

Tuesday, 2 August 2011

Doa Jibril dan 'amin' Nabi s.a.w ke atas orang yang gagal di bulan Ramadhan!

Sedarkah anda satu nikmat yang sangat besar dikurniakan Allah kepada anda? Bulan Ramadhan datang berkunjung, sedang anda masih lagi bernyawa…
Itulah nikmat yang sangat besar…
Kesempatan bertemu bulan Ramadhan buat kesekian kali, menganugerahkan anda peluang besar untuk mendahului orang lain ke syurga.
Dengarkanlah perkhabaran seorang sahabat Nabi s.a.w, Talhah bin Ubaidillah.
عن طلحةَ بنِ عبيد الله : أن رجلَيْن من بَلِي - و هو حي من قضاعة - قتل أحدُهما في سبيل الله، وأُخِر الآخرُ بعده سنةً ثم مات، قال طلحة : فرأيْتُ في المنام الجنةَ فُتحتْ، فرأيْتُ الآخِرَ من الرجلَيْن دخل الجنةَ قبل الأول، فتعجبْتُ. فلما أصبحْتُ ذكرْتُ ذلك،فبلغتْ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم، فقال لي رسولُ الله صلى الله عليه وسلم :"أليس قد صام بعده رمضان و صلى بعده ستة آلاف ركعة، وكذا وكذا ركعة لصلاة السنة؟" .
Terjemahan : Dari Talhah bin Ubaidillah r.a [beliau menceritakan bahawa] dua orang lelaki [berasal] dari Baliy-sebuah penempatan dari [suku] Qudha’ah-telah dibunuh salah seorang daripada mereka pada jalan Allah.
Sementara seorang lagi ditangguhkan [ajalnya oleh Allah] selama setahun selepasnya, kemudian beliau pun mati. Talhah r.a berkata, “aku melihat dalam tidur akan syurga yang dibuka [pintunya].
Aku melihat [lelaki] yang terakhir [mati] dari kedua-dua lelaki tadi, masuk syurga [terlebih dahulu] sebelum lelaki yang pertama [yang terlebih dahulu mati].
Lantas aku merasa hairan. Tatkala waktu pagi, aku menyebut perkara itu dan ia [kemudiannya] sampai kepada Rasulullah s.a.w.
Lantas Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku, “bukankah dia [lelaki yang mati kemudian] telah berpuasa Ramadhan selepasnya [lelaki yang mati terlebih dahulu] dan bersolat selepasnya [sebanyak] 6,000 rakaat  dan  sekian banyak rakaat solat sunat?”.
Menurut Albani dalam Silsilah al-Sahihah, jil. 6, ms.176, hadis ini hadis sahih.
Sesungguhnya, kehadiran Ramadhan peluang yang tidak kepalang besarnya…
Peluang untuk diampunkan segala dosamu…
Peluang untuk dibebaskan tengkukmu dari api neraka… Lantaran, pada setiap malam Ramadhan, ada yang akan dibebaskan daripada api neraka.
Justeru, layaklah orang yang sempat menemui Ramadhan, tetapi tidak diampunkan dosanya-lantaran alpa dan lalai-didoakan kecelakaan untuknya oleh malaikat Jibril, dan diaminkan oleh Nabi Muhammad s.a.w!
Ya Allah…doa yang sangat ‘dahsyat’…
Doa yang dilafazkan oleh bukan sahaja seorang malaikat, tetapi malaikat yang paling hampir dengan Allah.
Lebih menggerunkan, diaminkan oleh makhluk yang paling mulia di sisi Allah, Muhammmad s.a.w!
عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم صعِد المنبرَ فقال : "آمين آمين آمين"،
قيل : "يا رسولَ الله، إنك صعدْتَ المنبرَ فقلتَ : "آمين آمين آمين". فقال : "إن جبريل عليه السلام أتاني فقال : "من أدرك شهرَ رمضان فلم يُغفَرْ له فدخل النار فأبعده الله،
قل : آمين" فقلتُ : "آمين"
Terjemahan : Dari Abu Hurairah r.a [beliau bercerita] bahawa Rasulullah s.a.w menaiki mimbar, lantas berkata, “amin, amin, amin”.
Dikatakan [kepada Baginda] , “wahai Rasulullah, Tuan telah menaiki mimbar lantas Tuan berkata, “amin, amin, amin”.
Lantas Baginda [menjelaskan dengan] berkata, “sesungguhnya Jibril a.s datang menemuiku lalu berkata, “sesiapa yang menemui bulan Ramadhan, tetapi tidak diampunkan baginya [dosa-dosanya], maka masuk neraka dan Allah menjauhkannya. Katakanlah “amin” [wahai Muhammad]. Maka aku pun berkata, “amin”.
Menurut Albani (Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib, jil.2, ms.138), hadis ini bertaraf ‘hasan sahih’, dan direkodkan oleh Ibnu Khuzaymah dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya.
Kalau tidak di Ramadhan, bilakah lagi?
Kalau anda masih tidak diampunkan di bulan Ramadhan, maka bilakah lagi?
Andai anda masih belum mampu ‘memasuki’ syurga di bulan Ramadhan, sedang pintunya terbuka luas di bulan ini, maka bilakah lagi?
Jika lehermu masih belum dibebaskan daripada neraka di bulan Ramadhan, sedang setiap hari di bulan ini adalah peluang untuk bebas daripada api neraka, maka bilakah lagi?
Justeru, jangan sekali-kali dirosakkan puasa dan ibadat dengan maksiat. Sebaliknya,hormatilah bulan ini selayaknya dan ketahuilah nilai hari-hari Ramadhan yang terbatas ini...
Kerana barangkali ditulis bagi anda kebebasan daripada api neraka di bulan yang mulia ini, maka berjayalah anda dengan kejayaan yang besar.
Barangkali juga Ramadhan ini menjadi peluang terakhir anda.
Berapa ramai orang yang dahulunya bersama kita di Ramadhan yang lepas, tetapi tidak lagi bersama kita di Ramadhan kali ini.
Rebutlah Ramadhan, janganlah mengsia-siakannya...