Wednesday, 23 April 2014

Menunduk kepala kepada jenazah: Pencerahan dan feqhul hadis

Gambar hiasan
Hadis berkenaan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam berdiri ketika jenazah seorang Yahudi diusung melintasi Baginda, adalah hadis sahih.

Ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan ramai lagi ulama hadis.

Sahl Ibn Hunaif dan Qais Ibn Sa'd berkata :


إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّتْ بِهِ جِنَازَةٌ فَقَامَ، فَقِيلَ لَهُ : "إِنَّهَا جِنَازَةُ يَهُودِيٍّ"، فَقَالَ : "أَلَيْسَتْ نَفْسًا؟"

Terjemahan : Sesungguhnya Nabi sallallahu 'alaihi wasallam telah dilintasi [satu] jenazah [yang diusung], lantas Baginda sallallahu 'alaihi wasallam berdiri. Lalu, dikatakan kepada Baginda sallallahu 'alaihi wasallam, "sesungguhnya ia [adalah] jenazah [seorang] Yahudi". Lantas [Baginda sallallahu 'alaihi wasallam] bersabda, "bukankah ia [jenazah seorang] manusia?".

Hadis ini direkodkan Imam Bukhari dalam Kitab al-Jana'iz, no. hadis : 1235, dan Imam Muslim juga dalam Kitab al-Jana'iz, no. hadis : 1602.

Tunduk kepada jenazah?

Ada 2 (dua) isu utama berhubung hadis yang menceritakan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bangun ketika jenazah seorang Yahudi melintasi Baginda.

Pertama, hadis-hadis yang merakamkan tindakan Baginda ini, hanya sekadar menyebut 'Baginda bangun' (iaitu ketika jenazah tersebut melintasi Baginda). 

Tiada riwayat yang menyebut 'Baginda bangun dan diam sejenak sambil menundukkan kepala' kepada jenazah tersebut.

Ini berdasarkan rujukan kepada kitab Fathul Bari, karangan al-Hafiz Ibn Hajar, Jami' al-Usul Min Ahadith al-Rasul karangan Ibn Athir, Khulasah al-Ahkam Fi Muhimmat al-Sunan Wa Qawa'id al-Islam karya Imam Nawawi radhiyAllahu 'anhu dan kitab-kitab hadis yang lain.

Sebab Nabi berdiri

Kedua, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam berdiri bukan dengan tujuan menghormati jenazah Yahudi itu.

Ini dinyatakan sendiri oleh hadis yang diriwayatkan oleh Anas radhiyAllahu 'anhu yang berbunyi :

أَنَّ جِنَازَةً مَرَّتْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَامَ، فَقِيلَ إِنَّهَا جِنَازَةُ يَهُودِيٍّ، قَالَ : "إِنَّمَا قُمْنَا لِلْمَلائِكَةِ"

Terjemahan : "Satu jenazah [yang diusung] telah melintasi Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, lantas [Baginda] berdiri. Lalu dikatakan [kepada Baginda], "sesungguhnya ia jenazah [seorang] Yahudi. [Baginda] berkata, "sesungguhnya kami bangun untuk para malaikat".

Menurut Imam Nawawi, hadis ini direkodkan Imam al-Nasaie dengan 'isnad yang sahih berdasarkan piawaian Imam Muslim'.

Dalam feqh Islam, penghormatan kepada jenazah dilakukan dengan cara tidak menyakiti, dengan memandi, mengafan, menyembahyangi (jika seorang Islam) dan mengebumikannya, bukan dengan cara berdiri untuknya, apatah lagi menundukkan kepala kepadanya.

Sebab mengapa Baginda berdiri dinyatakan oleh satu hadis sahih iaitu :

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ : " مَرَّتْ جَنَازَةٌ فَقَامَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقُمْنَا مَعَهُ فَقُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهَا يَهُودِيَّةٌ ، فَقَالَ : إِنَّ الْمَوْتَ فَزَعٌ فَإِذَا رَأَيْتُمُ الْجَنَازَةَ فَقُومُوا " .

Terjemahan : "[Diriwayatkan] dari Jabir Ibn Abdillah [bahawa beliau] berkata, "satu jenazah melintas [di depan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam], lantas Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam berdiri, dan kami berdiri bersama Baginda sallallahu 'alaihi wasallam. 

Kami berkata, "wahai Rasulullah, sesungguhnya ia [jenazah seorang] Yahudi", lantas [Baginda sallallahu 'alaihi wasallam] bersabda, "sesungguhnya kematian [adalah sesuatu yang] menggerunkan, maka apabila kamu melihat jenazah, hendaklah kami berdiri".

Hadis ini direkodkan Imam Muslim dalam Kitab al-Jana'iz, no. hadis : 1599.

Menurut Imam al-Qurtubi, tujuan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam berdiri ketika jenazah tersebut-yang kebetulannya seorang Yahudi-melintasi Baginda, ialah bagi mengajar umatnya agar tidak berterusan lalai setelah melihat kematian di hadapan mata. 

Sebaliknya, umat Baginda hendaklah menunjukkan rasa bimbang dan tidak tenteram apabila melihat kematian berlaku. Kesemua ini dizahirkan dalam bentuk 'berdiri apabila melihat jenazah'.
  
Imam Qurtubi-seperti yang dinukilkan al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari-mengatakan :

ومقصود الحديث أن لا يستمر الإنسان على الغفلة بعد رؤية الموت لما يشعر ذلك من التساهل بأمر الموت فمن ثم استوى فيه كون الميت مسلما أو غير مسلم

Terjemahan : "Maksud hadis ini [ialah supaya] manusia tidak berterusan lalai selepas melihat kematian, [gesaan ini dibuat] disebabkan yang demikian itu (berterusan lalai walaupun melihat kematian di depan mata) memperlihatkan [sikap] mengambil mudah terhadap soal kematian. Oleh yang demikian, Islamnya si mati atau tidak Islamnya ia, sama saja [dari segi gesaan agar tidak berkekalan lalai bila melihat sesuatu jenazah].

Menurut Imam Hasan Ibn Ali radhiyAllahu 'anhuma pula, sebab Nabi sallallahu 'alaihi wasallam berdiri ialah kerana 'tidak suka jenazah Yahudi tersebut berada lebih tinggi daripada kepala Baginda'.

Imam al-Nasaie merekodkan :

أَنَّ الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ ، كَانَ جَالِسًا ، فَمُرَّ عَلَيْهِ بِجِنَازَةٍ ، فَقَامَ النَّاسُ حَتَّى جَاوَزَتِ الْجِنَازَةُ ، فَقَالَ الْحَسَنُ : إِنَّمَا مُرَّ بِجِنَازَةِ يَهُودِيٍّ ، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى طَرِيقِهَا جَالِسًا ، " فَكَرِهَ أَنْ تَعْلُوَ رَأْسَهُ جِنَازَةُ يَهُودِيٍّ ، فَقَامَ "

Terjemahan : [Ketika] Hasan Ibn Ali sedang duduk, melintas [di depan] beliau satu jenazah. Lantas orang ramai berdiri sehingga jenazah melepasi [mereka]. Lalu Hasan berkata, "sesungguhnya lalu satu jenazah [seorang] Yahudi [yang diusung] dan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam [berada] di laluannya sambil duduk. Maka Baginda tidak suka jenazah Yahudi berada di atas kepala Baginda, lantas Baginda pun berdiri".

Hadis ini direkodkan Imam al-Nasaie dalam sunannya dalam Kitab al-Jana'iz, no. hadis : 2040.

Syaikh Albani menilainya sebagai sahih, yakni sahih penisbahan riwayat ini kepada Imam Hasan Ibn Ali radhiyAllahu 'anhuma.

Wallahu a'lam.

Monday, 21 April 2014

Hubungan dengan UMNO : PAS dan 'misteri' kontradiksi 2 'wajah'

Dalam soal hubungan sosial dengan UMNO, Parti Islam SeMalaysia (PAS) memiliki dua 'wajah' yang kontradik. Kontradiksi antara kedua-dua 'wajah' ini, begitu menjolok.

Semua masih ingat betapa maraknya semangat persaudaraan yang diserlahkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz ketika kematian isteri Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Abdullah Badawi.

Tuan Guru, yang waktu itu menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan, segera bergegas ke Putrajaya atas maksud memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Datin Seri Endon, dan merakam ucapan takziah buat suaminya.

Beberapa waktu kemudian, ketika mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, antara yang terawal menziarahi negarawan itu.

Terkini, bila Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh (ADUN), Datuk Norzula kemalangan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Penyelia DUN Galas, Ustaz Abdullah Husain antara pemimpin PAS yang terawal melawat ADUN dari UMNO itu. 

Itu belum dikira ucapan takziah yang dirakamkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub.

Semangat persaudaraan Islam yang kental turut diserlahkan Dewan Muslimat PAS Pusat. 

Ketua Penerangannya, Mastura Mohamad dilaporkan lidah rasmi parti itu sebagai berkata, "muslimat PAS seluruh negara mendoakan Norzula segera sembuh, dan dapat meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di DUN Paloh, Kelantan".

Sebenarnya, banyak contoh yang membuktikan hubungan sosial pemimpin-pemimpin PAS dengan pemimpin dan ahli-ahli UMNO, secara asas dan umumnya, diterasi ukhuwwah Islam, dan dilatari semangat persaudaraan yang kental dan kemesraan yang mekar.

Lihat sahaja bagaimana wakil-wakil rakyat, atau calon-calon pilihan raya PAS bergaul, bermesra dan menjalin hubungan persahabatan dengan pemimpin-pemimpin atau ahli-ahli UMNO.

Tragedi

Namun, sungguh malang, entah di mana silapnya, di peringkat bawah, ahli-ahli PAS mewarnai hubungan sosial mereka dengan ahli-ahli UMNO dengan warna pemulauan, tidak bertegur sapa, pemutusan hubungan silaturahim dan warna-warna lain yang sangat tragis.

Warna-warna ini banyak menconteng hamparan putih ukhuwwah Islamiah pada tahun-tahun 80'an.

Hingga kini, bid'ah solat dua imam berasaskan perbezaan parti, masih berleluasa berlaku di banyak di tempat di negeri-negeri Pantai Timur.

Semua tragedi ini berlaku di peringkat bawahan PAS di saat 'bahagian atas' parti itu bermesra, menziarahi dan menjalin hubungan dengan pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

Mengapakah 'tragedi' malang ini berlaku?

Dan, mengapa 'bahagian atas' parti itu membiarkan 'bahagian bawah'nya dicomoti dengan 'bid'ah' ini? Atau, mereka sudah berusaha melenyapkannya, tetapi gagal?

Satu persoalan yang menanti jawapan, dan satu kontradiksi yang membingungkan!

Oh, moga tiada yang cuba 'membereskan' isu ini dengan hujah 'itu isu lama yang dibangkitkan kembali'!

Oh, sejak bila pula 'lama' atau 'baru'nya sesuatu isu itu menjadi hujjah?

Melainkan hujah serapuh sarang labah-labah itu mampu 'memuaskan' hati Mungkar dan Nakir, bolehlah diteruskan usaha menegakkannya!

Sunday, 20 April 2014

Keramat wali dari jendela Wasatiyyah

Umumnya, saya (dan ramai orang) tidak kisah dengan pendirian mana-mana agamawan kita yang menolak cerita-cerita pelik, atau 'keramat' yang dinisbahkan kepada ulama, atau orang-orang soleh. Asalkan penolakan itu dibuat berpandukan manhaj yang betul.

Tapi, bila penolakan itu diasaskan atas manhaj yang tempang, penolakan itu adalah satu 'masalah'.

Yang dibicarakan di sini, ialah keramat orang-orang selepas kewafatan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. 

Ada pun keramat yang diceritakan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dalam hadis-hadis sahih, tiada agamawan (yang sejati) yang menolaknya.

Janggal

Adalah sangat janggal, bila keramat yang dikaitkan dengan seseorang individu soleh, ditolak atas dasar ianya tidak logik, dan bertentangan dengan akal.

Walhal, keramat itu sendiri-dari segi definisinya-adalah perkara luar biasa (atau mencarik adat) yang berlaku ke atas orang-orang soleh.

Lebih 'parah' lagi, jika ada yang menolak keramat seseorang yang terkenal dengan kewalian, atas dasar tiada nas khusus!

Bertitik tolak daripada 'manhaj logik' ini, dipertikaikan cerita seorang yang dikenali sebagai wali Allah, bersolat sebanyak 1000 rakaat dalam satu malam!

Cerita ini ditolak mentah-mentah, kerana setelah dihitung, satu malam tidak cukup untuk tunaikan solat sebanyak 1000 rakaat!

Tanpa sedar, manhaj ini menuntut agar dinafikan semua keramat, meski pun yang diriwayatkan secara mutawatir, seperti keramat Syaikh Abdul Qadir al-Jailani radhiyAllahu 'anhu seperti yang ditegaskan Imam Ibn Taimiyyah r.a.

Hal ini kerana kesemua keramat ini bercanggah dengan perkiraan logik, dan menyalahi hukum-hukum sebab dan akibat.

Manhaj wasatiy 

Lalu, apakah manhaj yang betul ketika berinteraksi dengan isu 'keramat' ini?

Sesuatu keramat yang dinukilkan, hendaklah dinilai dari segi periwayatannya.

Jika riwayatnya sahih, maka ia diterima, meski pun ia bercanggah dengan logik akal (kerana sememangnya keramat sesuatu yang bertentangan dengan perkiraan logik).

Menolak sesuatu keramat semata-mata kerana ia tidak logik, tanpa mengambil kira status periwayatannya (samada sahih atau dhaif), selain manhaj yang tidak tepat, ia juga dibimbangi bermakna selangkah mendekati manhaj Muktazilah!

Wallahu a'lam

Saturday, 19 April 2014

Dialog di telaga Barahut : Bicara kitab turath & persoalan manhaj

Gambar hiasan
Dalam posting lepas, saya ada menulis tentang telaga Barahut (juga disebut Burahut), yang dikatakan lokasi dimana roh-roh orang-orang kafir yang telah mati, dihimpun sementara berlakunya kiamat.

Hari ini (17 April 2014), saya ada sebab untuk menulis satu lagi artikel tentang telaga Barahut ini.

Telaga Barahut menjadi isu sehari dua ini ekoran satu ceramah seorang ustaz popular.

Dalam ceramah tersebut, ustaz itu mengisahkan satu cerita. 

Cerita itu menjadi isu kerana ia merakamkan satu dialog antara seorang yang masih hidup, dengan roh seorang yang telah mati, yang ditempatkan di sebuah telaga di Hadramaut, Yaman, iaitu telaga Barahut. 

Dalam dialog ini, si mati memberitahu kenalannya yang masih hidup itu akan perihalnya (si mati) yang telah digolongkan dalam kelompok ahli neraka. Beliau dikategorikan sedemikian disebabkan dosa memutus hubungan silaturahim yang dilakukannya.

Kebarangkalian terjadi dialog antara seorang yang masih hidup dengan seorang yang telah mati, dan kemampuan seseorang mengetahui secara pasti kedudukan si mati selaku ahli neraka (melalui perkhabaran si mati sendiri), dipertikai banyak pihak.

Dua perkara ini menjadikan cerita telaga Barahut ini satu isu.

Lantas, cerita yang dikisahkan si ustaz popular tadi, dihukumkan sebagai satu kebatilan oleh sesetengah agamawan. Malahan, disebabkan cerita 'mengarut' dan 'batil' ini, si ustaz disifatkan sebagai 'qussas', atau panglipulara.

Manhaj Wasatiyyah

Apa pendirian yang diambil berhubung cerita ini, bukan satu hal penting. Dan, artikel ini dilakar bukan untuk memenangkan sikap menerima, atau menolak kebenaran cerita ini. Juga bukan untuk mengiya, atau menidakkan kesahihannya.

'Bagaimana kita bersikap'...

Inilah 'ruh' kepada artikel ini. Dan, inilah sebab mengapa artikel ini ditulis.

Sebelum mengambil sesuatu sikap berhubung sesuatu perkara, segala maklumat yang berkaitan, hendaklah diterokai sejauh mungkin. 

Usah terus membuat bantahan semata-mata kerana perkara yang berbangkit, tampak pelik dan janggal pada cerapan akal sendiri.

Tergesa-gesa menyesat, membid'ah, apatah lagi mentakfir, hendaklah dilontar jauh-jauh ke hujung dunia.

Setelah semua maklumat bersangkutan diteroka, dengan cermat dan berhati-hati-kerana bimbang ada maklumat yang gagal ditemui, tercicir atau terlepas pandang-buatlah pendirian, dan nyatakanlah sikap terhadap isu yang sedang didepani itu dengan nada dan bahasa 'terbuka', bukannya bersifat muktamad.

Kesemua ini dilakukan tentulah dengan penuh sopan dan bahasa yang harmonis

Manhaj (kalau boleh disebut manhaj) 'apa yang aku tidak tahu, adalah tidak wujud', atau 'sesuatu yang menyalahi pengetahuanku adalah batil', adalah 'manhaj' yang silap, dan menyimpang jauh dari landasan Wasatiyyah.

Tinta ulama

Cerita yang dipopularkan ustaz seleberiti tadi, sebenarnya tercatat dalam kitab beberapa ulama muktabar.

Ini dinyatakan oleh Imam al-Saffarini al-Hambali (wafat 1118H) dalam karyanya غذاء الألباب في شرح منظومة الآداب

Beliau mencatatkan :
حَكَى صَاحِبُ الزَّوَاجِرِ وَغَيْرُهُ مِنْ الْأَئِمَّةِ الْمُعْتَبَرِينَ أَنَّ رَجُلًا حَجَّ...

Terjemahan : Pengarang al-Zawajir (iaitu al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami. Wafat 807H) dan imam-imam muktabar yang lain meriwayatkan bahawa [seorang] lelaki telah [pergi menunaikan] haji...(hingga ke akhir kisah seperti yang diceritakan si ustaz)

Cerita ini juga dimuatkan Imam al-Zahabi (wafat 748H) dalam kitab al-Kaba'ir (الكبائر) yang dinisbahkan kepada beliau, dan al-Hafiz Ibn Abi al-Dunya (wafat 281H) dalam karyanya, Kitab al-Qubur. 

Walaupun jalan cerita yang dinukilkan oleh para ulama ini ada perbezaan, namun elemen yang menjadikannya isu (dialog antara orang hidup dan orang mati, dan Barahut lokasi roh-roh orang-orang kafir), wujud dalam kesemua penceritaan mereka.

Al-Hafiz Ibn Abi al-Dunya umpamanya mencatatkan :

حدثنا الحسن بن عبد العزيز ثنا عمرو بن أبي سلمة عن عمر بن سليمان قال : "مات رجل من اليهود وعنده وديعة لمسلم، وكان لليهودي ابن مسلم فلم يعرف موضع الوديعة فأخبر شعيبا الجبائي فقال : إإت برهوت، فإن دونه عين تسبت، فإذا جفت في يوم السبت فامش عليها حتى تأتي عينا هناك فادع أباك، فإنه سيجيبك فاسأله عما تريد". ففعل ذلك الرجل، ومضى حتى أتى العين فدعا أباه مرتين، أو ثلاثا فأجابه فقال : "أين وديعة فلان؟"، قال : تحت أسكفة الباب، فادفعها إليه والزم ما أنت عليه".
 
Terjemahan : Telah menceritakan kepada kami al-Hasan Ibn Abdul Aziz, [beliau berkata] telah menceritakan kepada kami Amru Ibn Abi Salamah, [yang memetik] daripada Umar Ibn Sulaiman [bahawa] dia berkata, "seorang lelaki Yahudi telah mati, dan dia ada [menyimpan] wadi'ah (barang yang diamanahkan untuk dijaga) seorang muslim. 

Lelaki Yahudi [tersebut] mempunyai  seorang anak lelaki muslim, namun beliau (anak Yahudi yang muslim) tidak tahu tempat wadi'ah [disimpan]. 

Lalu beliau memberitahu [hal itu] kepada Syuaib al-Juba'ie, lantas [Syuaib al-Juba'ie] berkata, "pergilah ke [telaga] Barahut, dan sesungguhnya sebelumnya [ada] mata air yang tenang. 

Apabila ia kering pada hari Sabtu, lintasilah ia (kawasan mata air yang sudah kering) sehingga kamu sampai kepada satu mata air di sana, dan [di sana] serulah ayahmu. Sesungguhnya, dia akan menyahut [seruan]mu, maka tanyalah dia tentang apa yang kamu mahu". 

Si lelaki [tadi] melakukan [apa yang disarankan Syuaib al-Juba'ie], dan bergerak sehingga sampai kepada mata air [yang dinyatakan]. Lalu [sebaik tiba] beliau menyeru ayahnya dua kali atau tiga [kali]. 

Lantas ayahnya [yang telah mati] menjawab [seruan]nya, lalu beliau bertanya [ayahnya], "di manakan wadi'ah si fulan?". [Ayahnya] menjawab, "di bawah ambang pintu. Serahkannya (wadi'ah) kepadanya (empunyanya), dan [hendaklah] kamu kekal di atas keadaan kamu [sekarang ini-iaitu kekal di atas Islam]"

Imam Zahabi  
    
Adapun cerita versi ustaz seleberiti tadi, ia bersumberkan kitab al-Kaba'ir, yang dinisbahkan kepada Imam al-Zahabi. 

Ia seperti berikut :

حكي أن رجلا من الأغنياء حج إلى بيت الله الحرام، فلما وصل إلى مكة أودع من ماله ألف دينار عند رجل كان موسوما بالأمانة والصلاح إلى أن يقف بعرفات، فلما وقف بعرفات ورجع إلى مكة وجد الرجل قد مات، فسأل أهله عن ماله علم أنه لم يكن لهم به علم.
فأتى علماء مكة فأخبرهم بحاله وماله، فقالوا له : "إذا كان نصف الليل فأت زمزم وانظر فيها وناد "يا فلان" باسمه، فإن كان من أهل الجنة فسيجيبك بأول مرة، فمضى الرجل ونادى في زمزم فلم يجبه أحد، فجاء إليهم وأخبرهم فقالوا : "إنا لله وإنا إليه راجعون، نخشى أن يكون صاحبك من أهل النار.
اذهب إلى أرض اليمن ففيها بئر يسمى برهوت يقال أنه على فم جهنم، فانظر فيه بالليل وناد "يا فلان"، فإن كان من أهل النار فسيجيبك منها، فمضى إلى اليمن وسأل عن البئر فدل عليها فأتاها بالليل ونظر فيها ونادى "يا فلان" فأجابه فقال : "أين ذهبي؟" قال : "دفنته في الموضع الفلاني من داري ولم ائتمن عليه ولدي، فأتهم واحفر هناك تجده"، فقال له : "ما الذي أنزلك هاهنا وكنا نظن بك الخير؟" فقال : "كان لي أخت فقيرة هجرتها وكنت لا أحنو عليها فعاقبني الله سبحانه بسببها وأنزلني الله هذه المنزلة".

Terjemahan : Diriwayatkan bahawa seorang lelaki kaya telah pergi [menunaikan] haji di Baitullah al-Haram. Tatkala sampai di Mekah, beliau menyerahkan [sebanyak] seribu dinar kepada seorang lelaki yang dikenali dengan [sifat] amanah dan kesolehan [supaya menjaga hartanya itu] sehingga [beliau selesai] wukuf di Arafah. 

Setelah berwukuf di Arafah dan kembali ke Mekah, beliau mendapati lelaki [tadi] telah mati. Lalu beliau bertanya keluarganya tentang hartanya [yang ditinggalkan kepada si lelaki].[Akhirnya] beliau [mendapat] tahu bahawa mereka tidak mengetahuinya. 

Lalu beliau [pergi] menemui ulama-ulama Mekah dan menceritakan kepada mereka [tentang] situasi dan hartanya [yang tidak diketahui dimana berada]. 

Lalu mereka [para ulama Mekah] berkata kepadanya, "apabila [tiba] pertengahan malam, [kamu] pergilah ke [telaga] Zam Zam, dan lihatlah ke dalamnya, dan serulah 'wahai di fulan' dengan [menyebut] namanya. Jika dia [tergolong] dari [kalangan] ahli syurga, nescaya dia akan menyawab [seruan]mu itu dengan sekali seru [sahaja]. 

Lantas, si lelaki pergi [ke telaga Zam Zam] dan menyeru [nama si mati] di [telaga] Zam Zam, tetapi tiada seseorang pun menjawab [seruan]nya. 

Lalu beliau datang [semula] kepada mereka [para ulama], dan menceritakan [apa yang berlaku], lantas mereka berkata, "inna lillah wa inna ilaihi raji'un, kami bimbang rakan mu itu (si mati) [tergolong] dari [kalangan] ahli neraka! 

Pergilah ke negeri Yaman kerana di sana [terdapat sebuah] telaga yang dinamakan Barahut, [yang] dikatakan bahawa ia terletak di mulut [neraka] Jahannam. Lihatlah ke dalamnya (telaga Barahut) pada waktu malam, dan serulah 'wahai si fulan'. 

Jika dia dari [kalangan] ahli neraka, maka dia akan menyahut [seruan]mu dari dalamnya (perigi Barahut)". 

Lalu beliau pergi ke Yaman dan bertanya tentang telaga tersebut, lantas ditunjukkan kepadanya [lokasinya].

Lalu, beliau mengunjunginya pada waktu malam lantas [sebaik tiba] beliau merenung ke dalamnya dan menyeru 'wahai si fulan'. Lantas dia (si mati) menjawab [seruan]nya, lalu beliau bertanya, "di mana [wang] emasku [kamu letakkan]?". 

Dia (si mati) menjawab, "aku menanamnya di tempat sekian-sekian di [kawasan] rumahku. Aku tidak mengamanahkannya kepada anakku [agar dia menjaganya selepas kematianku].

Maka, pergilah [kamu menemui] mereka (keluargaku), dan galilah di sana, nescaya kau akan menemuinya (wang emas)". 

Beliau bertanya kepadanya (si mati), "apakah yang telah menempatkan kamu di sini (telaga Barahut), sedangkan kami menyangka kamu orang yang baik?". 

Dia menjawab, "aku mempunyai seorang saudara kandung perempuan yang fakir. Aku tidak bertegur sapa dengannya dan tidak mengasihinya, maka Allah menghukumku disebabkannya (disebabkan sikapku terhadapnya) dan menempatkanku pada kedudukan ini!".

Yang menariknya, sebaik sahaja menukilkan cerita ini, pengarang al-Kaba'ir terus memberi komentar berikut : 

و تصديق ذلك في الحديث الصحيح قوله صلى الله عليه و سلم : [ لا يدخل الجنة قاطع ] يعني قاطع رحم كالأخت و الخالة و العمة و بنت الأخت و غيرهم من الأقارب فنسأل الله التوفيق لطاعته إنه جواد كريم   

Terjemahan : Perakuan [kepada yang sedemikian] itu [terdapat] dalam [sepotong] hadis sahih, iaitu sabda [Nabi] sallallahu 'alaihi wasallam [yang berbunyi], "tidak masuk syurga orang yang memutuskan]", yakni orang yang memutuskan [hubungan silatur] rahim, seperti saudara kandung perempuan, adik beradik perempuan ibu (ibu saudara sebelah ibu), adik perempuan bapa (ibu saudara sebelah bapa), anak perempuan [kepada] saudara kandung perempuan (anak saudara perempuan) dan kaum kerabat yang lain. 

Kita bermohon kepada Allah [agar memberi] taufik [kepada kita] untuk mentaatinya. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah".

Cerita dan komentar yang sama juga dirakamkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami dalam al-Zawajir .

Namun, berdasarkan konteks ayat, maksud 'perakuan [kepada yang sedemikian] itu [terdapat] dalam [sepotong] hadis sahih...', ialah 'hakikat bahawa orang yang memutuskan hubungan silaturahim, tidak masuk syurga', diperakui oleh hadis sahih yang dinyatakan. 

Komentar ini tidak bermaksud bahawa kebenaran keseluruhan cerita yang dikisahkan ini diperakui oleh hadis sahih tersebut.

Natijah

Natijah penting daripada paparan ini ialah cerita kontroversi ini bukan hanya dinukilkan oleh kitab al-Kaba'ir, yang dikatakan dikarang oleh Imam al-Zahabi itu.

Selain beliau, ia turut dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Abi Dunya, al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami, Imam al-Saffarini dan ulama-ulama muktabar lain seperti yang dinyatakan Imam al-Saffarini sendiri.

Sekali lagi ditegaskan, artikel ini tidak bermaksud mengajak sesiapa menerima, atau menolak cerita nukilan ulama-ulama muktabar ini.

Objektif tulisan ini ialah memberi sumbangan-setakat termampu-dalam pengukuhan manhaj interaksi yang tepat dengan sebarang isu, terutamanya isu-isu agama.

Setelah isu ini disoroti melalui jendela manhaj yang dicadangkan artikel ini, kemudian diusahakan kritikan ilmiah ke atasnya, terpulanglah kepada setiap individu untuk menerima atau menolaknya.

Namun, tindakan memutuskan cerita ini sebagai batil, dan menghukum ustaz berkenaan sebagai 'qussas' atau panglipulara, semata-mata kerana membawa cerita yang asing pada penilaian sendiri, ia sepatutnya tidak berlaku.

Bagi yang berminat mencari kata putus berhubung kesahihan cerita ini, persoalan tentang 'kebarangkalian berlaku dialog antara orang yang masih hidup dengan orang yang telah mati', serta kesahihan sanad cerita ini-seperti yang dicatatkan al-Hafiz Ibn Abi Dunya, perlu diputuskan terlebih dahulu.

Dalam kitab al-Muwafaqat, Imam Syatibi ada memaparkan huraian tentang beberapa kaedah tentang karamah al-auliya' yang mungkin boleh membantu.  

Wallahu a'lam.

Monday, 14 April 2014

Ahli syurga di Telaga Zam-Zam, Ahli neraka di Telaga Barahut & Ustaz popular

Gambar hiasan
Entahlah...

Saya tidak pasti, adakah perlu tulisan ini dilakar...

Perasaan bercampur baur, rasa serba salah berlegar-legar di laman perasaan...

Namun, akhirnya keputusan dimuktamadkan juga...

Lalu, terhasillah coretan ini...

'Misteri' sebuah telaga

Sebetulnya, lama dulu, saya pernah menyediakan satu tulisan berkenaan satu telaga 'misteri' yang terletak di Hadramaut, Yaman. Namanya, Barahut. Telaga Barahut (bukan Barhut).

Tapi, atas sebab-sebab tertentu, saya tidak menyiarkannya.

Sebenarnya, dakwaan seorang ustaz popular bahawa ahli syurga di tempatkan di telaga Zam-Zam, manakala ahli neraka ditempatkan di Telaga Barahut, bukan satu isu.

Ia tidak perlu di'geger' dan disensasikan...

Ustaz tersebut juga tidak wajar dikecam, dikutuk atau dihukumkan menyeleweng atau sesat, semata-mata kerana beliau menukilkan cerita perihal tempat tinggal roh-roh ahli syurga dan neraka itu.

Mengapa?

Kerana, kalau kita membuka salah satu kitab karangan Imam Ibn Qayyim r.a, iaitu al-Ruh, akan ditemui satu perbahasan tentang 'tempat tinggal' ruh-ruh orang mati sebelum berlaku kiamat.

Dalam ungkapan lain, orang yang mati sebelum berlaku kiamat, setelah jasadnya dikebumikan, di manakah ruhnya ditempatkan.

Imam Ibn Qayyim mendatangkan banyak pendapat. Iaitu sekitar 11 pendapat.

Pendapat salaf

Di sini, saya hanya menukilkan pandangan yang berkaitan dengan tajuk tulisan ini sahaja.

Imam Ibn Qayyim menukilkan (al-Ruh (1984), ms.113, Jeddah : Darul Madani)

قال ابن منده : روي عن جماعة من الصحابة والتابعين أن أرواح المؤمنين بالجابية وأرواح الكفار ببرهوت بئر بحضرموت  

Terjemahan : Ibn Mandah berkata, "diriwayatkan daripada sekumpulan sahabat dan tabi'een bahawa [mereka berkata] roh-roh orang-orang yang beriman [ditempatkan] di [satu tempat bernama] Jabiyah, dan roh-roh orang-orang kafir [ditempatkan] di Barahut, [iaitu sebuah] telaga di Hadramaut".

Di waktu ini, Jabiyah berada dalam negara Syria.

Di halaman 131, Imam Ibn Qayyim menegaskan bahawa pendapat ini (roh orang mukmin di Jabiyah dan roh orang kafir di Telaga Barahut) adalah pendapat sebahagian ulama Ahli Sunnah, sambil menolak dakwaan Ibn Hazm yang mengatakannya pendapat Rafidhah.

Di halaman 114 pula Imam Ibn Qayyim mencatatkan :

وقالت طائفة : أرواح المؤمنين ببئر زمزم وأرواح الكفار ببئر برهوت
 
Terjemahan : Sebilangan [ulama] berkata, "roh-roh orang-orang mukmin [ditempatkan] di Telaga Zam-Zam, dan roh-roh orang-orang kafir [ditempatkan] di Telaga Barahut".

Walau bagaimana pun, Imam Ibn Qayyim dengan keras menolak (ms.133) pendapat yang mengatakan roh-roh orang-orang mukmin ditempatkan di Telaga Zam-Zam.

Agar tidak lari daripada maksud asal artikel ini ditulis, tulisan ini tidak akan memberi analisis terhadap setiap pandangan ulama berhubung tempat tinggal roh orang-orang mati sementara ketibaan kiamat ini.

Sesiapa yang inginkan pendetailan yang lebih, bolehlah merujuk kepada kitab al-Ruh atau terjemahannya (dalam Bahasa Indonesia).

Fakta 'pelik' agama

Realitinya, dalam khazanah Islam, banyak fakta 'pelik' yang sekali pandang seperti tidak masuk dek akal.

Saya masih ingat ketika mengambil subjek Tafsir 2 ketika belajar di Universiti Mu'tah dahulu. Antara kitab yang saya rujuk, ialah kitab Tafsir al-Manar karangan Syaikh Rasheed Redha rhm.

Antara fakta 'mengejutkan' dari Tafsir al-Manar ini, ialah kenyataan ulama-ulama muhaqqiqeen bahawa syurga yang didiami Nabi Adam a.s dan Hawa, adalah terletak di bumi!

Lebih dahsyat lagi, Imam al-Alusi dalam karyanya, Ruhul Ma'ani menukilkan dakwaan sesetengah tokoh sufi bahawa mereka pernah memasuki syurga Nabi Adam a.s itu!

Ketika mempelajari subjek Manahij Muhaddithin pula, tindakan Nabi Musa a.s menampar malaikat maut (Izrail), sehingga tercabut sebelah matanya, peristiwa Baginda berlari tanpa seurat pakaian, 'sikap buruk' cicak yang sengaja meniup api yang membakar Nabi Ibrahim s.a.w (dengan tujuan agar ia semakin marak), sedangkan beberapa haiwan lain berusaha memadamkannya-seperti yang dinyatakan hadis-hadis yang sahih-dan lain-lain fakta, memang memiliki kejutan tersendiri.

Semua ini akhirnya mendarat pada satu kesimpulan penting...

Bertenanglah...

Usahlah gelojoh...

Dan, teruskanlah kembara ilmi, dan usah berhenti...

Kerana, lautan ilmu ini tersangatlah luas!

Wallahu a'lam.